Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
206,336
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

Maria memecut kereta Satria miliknya menuju ke rumah Nur Jannah. Sesekali dia menghubungi gadis itu, namun tidak berangkat. Risau hatinya memikirkan kesihatan teman baiknya itu. Sampai di perkarangan rumah, pantas hon dibunyikan. Berkali-kali dia memanggil, namun tiada jawapan. Dia melangkah keluar dari kereta dan mendapati pintu pagar tidak berkunci. Maria bergegas ke arah pintu utama.

“ Aik! Pintu pun tak berkunci? Kenapalah Nur ni cuai sangat. Mahu dimasuki pencuri, baru dia tahu!” Maria membebel sendiri.

“ Nur..Nur..kau ada kat dalam ke?” Maria masuk sambil mencari kelibat Nur Jannah. Sepantas kilat matanya memandang ke arah Nur Jannah yang terbaring di atas lantai. Wajah temannya yang pucat begitu ketara tampaknya.

“ Ya Allah! Nur..Nur…” tubuh Nur Jannah digoyang kuat.Pantas Maria ke dapur dan mengambil air.Dia bergegas kembali dan merenjis air tersebut ke muka Nur Jannah.

“ Nur…Nur..” Maria bersuara makin cemas. Dia merasa denyut nadi gadis itu. Masih bergerak dan perasaannya sedikit lega.

“ Mar..” suara Nur Jannah seakan lemah.Dia membuka mata dan cuba bangun, namun tidak berdaya. Badannya benar-benar terasa sakit.

“ Nur..kau kenapa?” Maria membantu Nur Jannah untuk berdiri dan membaringkannya di atas sofa.Matanya menatap seraut wajah pucat Nur Jannah.

“ Mar..aku tak sihat!” Nur Jannah memandang ke arah Maria. Tanpa sedar air matanya mengalir ke pipi. Ingatannya berkalih kepada Ezri. Di mana Ezri saat itu? Sewajibnya Ezri yang mengambil berat tentangnya! Ezri yang sewajibnya bertanya tentang kesihatannya..tetapi..

“ Kenapa kau tak cakap dengan aku? Kau ni demam panas! Mana Ezri? Dia tahu tak kau sakit?” Maria sedikit marah. Tidak patut Ezri meninggalkan Nur Jannah dalam keadaan begitu. Suami jenis apa tak tahu!

“ Ezri..” Nur Jannah menangis teresak-esak. Dia sendiri tidak mengetahui di mana suaminya berada. Dia juga mencari Ezri. Namun lelaki itu sentiasa menghilang tanpa kesan. Ezri bagai angin yang datang dan berlalu sekelip mata. Hatinya yang sentiasa merindu turut menangis pilu.

“ Kenapa dengan Ezri?”Maria pantas bertanya. Air mata temannya tidak mampu menceritakan segala. Pastikah ada sesuatu yang dia tidak tahu?

“ Ezri ada kerja!” Nur Jannah tidak sanggup menceritakan tentang kepedihan rumah tangganya. Biarlah dia sendiri merasa. Biarlah dia menanggung segalanya..Biarlah..

“ Aku ingat apa jadi pada Ezri.Tapi, tak patut dia tinggal kau sorang-sorang. Sudah kaya pun masih tamak mencari harta. Aku rasa harta dia ni, takkan habislah walau tujuh keturunan!” Maria mula membebel. Mulutnya tidak berhenti-henti menyalahkan Ezri.

“ Mar..aku minta maaf, tak dapat teman kau pergi shopping macam dulu..”

“ Tak apa. Aku tak kisah. Kau ni pun, sempat lagi cakap pasal shopping! Sekarang aku nak teman kau pergi klinik.Ok tak? Maria tersenyum manis. Wajah Nur Jannah yang pucat dipandang lama. Tiada senyuman di wajah temannya itu.

“ Nur..kau bahagia ke dengan Ezri?” tiba-tiba soalan itu meluncur laju dari mulut Maria.Pandangannya menusuk masuk ke anak mata Nur Jannah.

“ Aku? Aku bahagia sangat-sangat. Kenapa kau tanya Mar?” Nur Jannah cuba melempar senyum, namun senyuman yang dilemparkan cukup hambar dan tawar. Tiada langsung kemanisan di raut wajahnya yang telah terbiasa dibasahi dek air mata.

“ Kalau betul, alhamdulillah... Ezri layan kau dengan baik?” tanya Maria lagi tanpa mengerti perasaan Nur Jannah.

“ Em..baik lebih dari yang aku sangka,” Nur Jannah menangis di dalam hati. Andainya Ezri seperti dulu, dia adalah terbaik. Ezri adalah lelaki yang diidamkan oleh mana-mana wanita di luar sana. Namun kini lelaki itu telah berubah sekelip mata. Tiada lagi senyuman yang mampu dilemparkan dengan perubahan Ezri yang tidak pernah terduga di benak hatinya.

“ Kalau macam tu, baguslah. Jom..aku bawa kau ke klinik. Panas badan kau ni!” tutur Maria tanpa menyoal lagi.

“ Aku buat air dulu ye Mar!”Nur Jannah cuba bangun namun cepat-cepat dihalang oleh Maria.

“ Tak payah. Aku dah minum dah. Kau nak tukar baju ke?”

“ Tak payahlah..macam ni je!” tutur Nur Jannah memberi kata putus. Maria yang menganggukkan kepala dipandangnya dengan rasa syukur. Mujur kau ada Mar! kalau tak, aku tak tahu apa jadi pada aku! bisik Nur Jannah di dalam hati.

“ Ok..kalau macam tu, jom kita pergi. Nampak gaya, aku kena dukung kau ni!” usik Maria sambil tergelak dan bergabung dengan tawa Nur Jannah yang juga tergelak kecil secara tiba-tiba.

****

“ Lain kali, dah tahu demam teruk macam ni, bagitahulah aku. Dahlah masa aku datang, pintu tak berkunci. Kalau perompak masuk macam mana? Kalau dicuri barang kat rumah ni tak apa! Kalau dia rogol kau ke, tak pasal-pasal je! Ni ubat kau makan tiga kali sehari..macam doktor pesan. Kau jangan tak makan. Aku tahu kau tu nak telan ubat pun payah,” Maria melihat satu persatu ubat yang diberi oleh doktor ketika di klinik tadi. Kata doktor, Nur Jannah kurang makan sebab itu badannya lemah. Maria sendiri pelik, badan dan melidi macam tu pun masih mahu berdiet.

“ Masa kau datang pintu tak berkunci?” Nur Jannah mengerutkan dahinya. Seram juga dia mendengar kata-kata Maria sebentar tadi. Kalau betul ada pencuri masuk dan merogolnya, tak pasal-pasal dia kehilangan dara. Walaupun dia bergelar isteri kepada Ezri, dirinya masih belum disentuhi oleh lelaki itu. Memikirkannya, Nur Jannah merasa kecut perut.

“ Yelah, kalau tak macam mana aku boleh masuk!” Maria menjeling geram. Soalan Nur Jannah tidak masuk dek akal yang waras.

“ Pintu pagar pun?”

“ Pintu pagar lagilah sayang.. Terbuka luas. Macam tahu je aku nak datang!” Maria memandang lama ke arah Nur Jannah. Sikap temannya itu seakan menyimpan seribu satu rahsia. Pandangannya membuatkan Nur Jannah tidak senang duduk.

“ Kenapa kau tengok aku macam tu?” tutur Nur Jannah sedikit cuak.

“ Kau lupa tutup pintu pagar ke?” Maria seolah mengorek sesuatu.

“ Emm…yelah..tadi aku buang sampah kat luar.Pastu masuk lupa nak tutup!” Nur Jannah tersenyum bagai dibuat-buat.

“ Pastu kau pengsan?” tanya Maria lagi.

“ Em..yelah kut!” Nur Jannah menjawab pantas walaupun dia sendiri tidak berapa pasti.

“ Ezri? Dia balik malam tadi? Dia pergi kerja pukul berapa?”Maria masih tidak jemu bertanya.Nur Jannah merasa sedikit berpeluh. Macam polislah pulak Mar ni!

“ Em…awal, pukul 7.00 dia dah pergi..” cepat-cepat Nur Jannah memberi jawapan.

“ Nanti aku call dia suruh balik tengok kau!” akhirnya Maria melepas kata-kata yang menyesakkan Nur Jannah. Pasti Ezri akan mengamuk bila diarah. Mungkin juga dia dituduh sengaja memburukkan namanya. Semua itu Nur Jannah cukup pasti. Tiada lagi prasangka yang baik untuk suaminya. Semunya buruk-buruk belaka yang datang menerjah fikirannya.

“ Tak payahlah Mar! badan aku dah sihat. Nanti kacau dia kerja. Jangan ek!” Nur Jannah seakan merayu.

“ Ok..tapi kau jaga diri ek. Apa-apahal kau call aku.”Maria mula mengalah. Banyak betul alasan minah ni! Sayang sangat kat laki macam tu! kalau akulah, dah lama aku mengamuk!

“ Yelah..kau dah nak balik ke?”Nur Jannah bersuara perlahan. Dia sebenarnya sunyi sendiri. Bersendirian bermakna dia berada dalam kesedihan. Jiwanya sepi. Dia akan menangis seperti biasa di kamar sepi tanpa kasih sayang daripada Ezri. Malah Ezri pasti tidak akan pulang. Itu dia cukup pasti.

“ Emm..ada masa kita jumpa lagi k. Kirim salam kat Ezri. Aku balik dulu!” Maria bangun dan bergegas ke pintu. Nur Jannah mengekori Maria sehingga ke kereta. Air matanya seakan ingin tumpah. Pada siapa dia harus mengadu keperitannya saat itu. Ah! Hanya persoalan yang sama bermain di kepalanya namun tiada jawapan untuk itu.

“ Mar, rajin-rajinlah kau datang rumah aku. Tak adalah aku sunyi sangat!” terlontar kata-kata itu dari mulut Nur Jannah. Wajah Maria yang manis dipandang dengan penuh harapan.

“ Iye! Aku datang! Kau tu jaga diri baik-baik! Jangan lupa makan nasi. Lepas tu makan ubat! Tak payah-payah nak berdiet-diet!’’ Maria seakan membebel persis seorang ibu lagaknya. Dia benar-benar risau dengan kesihatan Nur Jannah yang masih belum baik sepenuhnya.

“ Em..yelah Mar! kau pun jaga diri.” Nur Jannah menghulur tangan dan bersalaman.Pantas dia memeluk tubuh langsing Maria. Air matanya seakan ingin menitis.

“ Yelah!” Maria meloloskan tubuhnya ke perut kereta. Dia menghidupkan enjin kereta dan melemparkan senyuman sebelum menekan minyak untuk memulakan perjalanan. Nur Jannah membalasnya dengan senyuman hambar. Saat kereta Maria hilang dari pandangan, dia menghemburkan air mata yang sejak tadi ditahannya. Dia masuk semula ke rumah dan kesepian benar-benar mencengkam dirinya.

“ Ezri..hina sangatkah aku dimata kau?Mengapa kau buat aku macam ni?” Nur Jannah mengeluh perlahan. Teringat kembali saat-saat perkenalannya dengan Ezri di Tasik Titiwangsa. Lelaki itu datang kepadanya dengan senyuman.

“ Waktu petang macam ni memang seronok untuk melepaskan tension kan? Tenang fikiran. Awak buat apa kat sini?’’ soal lelaki yang tidak dikenali Nur Jannah. Nur Jannah tersenyum mengiakan kata-kata lelaki itu. Dia juga sentiasa datang ke situ untuk mengambil angin segar. Kadang kala, Nur Jannah datang berjogging bersama kawannya Maria.

“ Saya datang sini untuk tenangkan fikiran juga. Encik pun ada masalah?’’ soal Nur Jannah secara tiba-tiba. Entah kenapa soalan itu pula yang ditanya.

“ Semua orang ada masalah. Cuma kita je yang tidak tahu. Erm..saya Ezri, awak?’’ lelaki itu menghulurkan tangannya. Nur Jannah hanya tersenyum tanpa menyambut.

“ Nur Jannah,’’ singkat jawapannya. Tiba-tiba telefon Nur Jannah berbunyi menanadakan adanya pesanan masuk. Kenangan lama hilang sekelip mata. Nur Jannah pantas membacanya. Mesej daripada Maria yang menyuruhnya berehat dipandang dengan senyuman hambar. Nur Jannah duduk di sofa untuk berehat.Kepalanya sakit dan berdenyut-denyut. Kata doktor, dia kekurangan tenaga kerana tidak makan. Sudahnya Maria pula membebel dan mengatakan dirinya tidak patut berdiet dengan badan yang sememangnya sedia kurus. Bagi Nur Jannah, badannya yang lemah bukanlah kerana makanan, tetapi kerana rindu yang bersarang di hatinya untuk suami tersayang. Sudahnya dirinya sendiri yang menanggung azab.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.