Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
205,715
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

Ezri pulang ke rumah dan menghempaskan dirinya ke kusyen.Dia membaringkan dirinya dan cuba melelapkan mata.Kelibat Nur Jannah tidak kelihatan dan Ezri sendiri malas mengambil tahu tentang gadis itu. Seketika dia terdengar derap kaki dari dapur dan menuju ke arahnya. Pantas Ezri menutup mata dan berpura-pura tidur.

“ Abang..” Nur Jannah memanggil perlahan. Wajah insan yang dirinduinya dipandang lama. Hatinya sedikit lega walau ada luka yang masih berdarah. Dia benar-benar merindui Ezri dan mengharapkan Ezri sentiasa berada disampingnya.

“ Abang!” Nur Jannah menggoyangkan tubuh suaminya. Pantas Ezri membuka mata dan memandangnya tanpa senyuman. Dia bergegas bangun dan menuju ke dapur dan mengambil segelas air masak. Nur Jannah yang memerhati merintih hiba..sampai hati Ezri melakukan dirinya sebegitu. Tiada lagikah cinta di hati lelaki itu buatnya? Selama ini mereka menyemai cinta dengan gelak dan tawa. Tiada sengketa antara mereka. Namun kini segala-galanya telah berubah. Dia sememangnya tidak mengerti apa yang telah berlaku.

“ Esok mama dan daddy nak datang!” laung Ezri dari dapur. Nur Jannah yang mendengar mula mengerti mengapa Ezri pulang ke rumah. Hatinya yang sakit makin bernanah. Alangkah dayusnya Ezri sebagai seorang lelaki. Cuba melakonkan kebahagiaan hidup berumah tangga di hadapan orang tuanya sedangkan mahligai mereka hampir berkecai.

“ Sebab tu abang balik?” Nur Jannah bersuara keras saat Ezri melangkah ke arahnya. Wajahnya kemerahan menahan marah. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh lelaki bergelar suami. Hina sangatkah dia kerana menjadi isteri kepada Ezri.

“ Kau tak berhak menyoal aku. Rumah ni rumah aku. Aku nak balik ke, tak nak balik ke, kau tak berhak masuk campur!” Ezri memberontak. Dia duduk sambil meneguk air yang diambilnya dari dapur.

“ Nur tak berhak? Nur ni siapa? Pelacur atau hamba abdi abang? Nur isteri abang..abang sudah lupa?” Nur Jannah cuba bersabar, namun kesabarannya seakan terhakis. Penat dia mengharap pengertian daripada suaminya. Namun hanya luka yang diguris di tapak hatinya tanpa belas kasihan.

“ Kalau kau isteri aku, kenapa kau nak berkurang ajar?” Ezri membidas sambil memandang ke arah Nur Jannah yang berdiri. Benci benar dia pada Nur Jannah saat itu.

“ Kurang ajar? Siapa yang ajar Nur macam ni? Kalau bukan abang. Kenapa abang hukum Nur macam ni? Apa salah Nur abang?” Nur Jannah mengendurkan suara. Tanpa dipaksa air matanya mengalir ke pipi. Sampai hati Ezri memberi hukum. Bukan niatnya untuk melawan. Dia perlukan penjelasan dari Ezri.Andai cinta itu telah tiada apa lagi ertinya hidup bersama.Dia digantung tidak bertali dari mula perkahwinan. Dia atau Ezri yang kurang ajar dalam hal tersebut.

“ Aku yang salah. Bukan kau. Aku yang tersilap memilih!” Ezri bersuara perlahan, namun jelas pada pendengaran Nur Jannah.

“ Tersilap memilih? Apa maksud abang ni?Apa yang Nur dah buat?” tutur Nur Jannah mulai lemah. Bibirnya bergetar-getar menahan kelukaan hati. Adakah dia diduakan tanpa disedari? Adakah juga kerana kepercayaannnya kepada Ezri selama ini dibalas dengan kecurangan?

“ Kau tak buat apa-apa! Tapi kerana kau, hati aku yang merana sekarang!” Tutur Ezri tanpa mempedulikan rintihan di hati isterinya. Hanya bayangan Zurina yang bermain di matanya dengan senyuman.

“ Bagaimana pula dengan hati Nur, bang?’’ Nur Jannah duduk di kaki suaminya. Wajah suaminya ditatap dengan penuh kasih. Namun pandangan lelaki itu berkalih ke arah lain. Benci benar tampaknya dia kepada Nur Jannah. Entah ke mana menghilang kasih dan sayangnya yang dulu.

“ Aku minta maaf! Aku tak mampu ubatkan hati orang lain! Hati aku sendiri terasa sakit..’’

“ Tapi kenapa kita berkahwin bang? ’’

“ Mungkin ada yang membomohkan aku! ’’ Tutur Ezri dengan suara yang sinis. Wajah Nur Jannah dipandang. Tiada sekelumit simpati di dalam hatinya untuk isterinya. Nur Jannah terduduk mendengar kata-kata suaminya. Hatinya hancur berderai seperti kaca yang terhempas. Tidak pernah dia menyangka percintaan mereka selama ini palsu belaka.

“ Sekurang-kurangnya, aku tidak mengambil kesempatan kepada kau walaupun kau dah sah jadi isteri aku! Ingat tu!’’Ezri bangun dan keluar. Seketika enjin keretanya kedengaran dan hilang sekelip mata. Nur Jannah menangis teresak-esak menahan kelukaan hati. Jiwanya sakit dan parah. Namun cintanya pada Ezri tetap mekar disitu. Tiada dua atau tiga, hanya Ezri yang satu.

****

Ezri memecut laju keretanya ke arah Setapak. Pening kepalanya memikirkan apa yang telah berlaku. Terasa saat itu juga dia ingin berpisah dengan Nur Jannah. Namun memikirkan banyak kemungkinan yang akan berlaku dia membatalkan hasrat hatinya.

“ Aku cintakan Zurina. Bukan kau!” Ezri menghentak streng kereta. Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Masih jelas di matanya air mata Nur Jannah yang mengalir laju.

“ Maafkan aku! Aku tak ada niat nak buat kau macam tu!” Ezri meraup wajahnya. Dia sendiri hairan, mengapa dia terlalu membenci Nur Jannah. Ingatannya hanya pada Zurina. Kasihnya pada Zurina seluas lautan. Cintanya pada gadis itu terlalu banyak. Bagaimana dia memilih Nur Jannah yang kurang serba-serbinya. Ah! Semuanya sudah berlaku. Apa yang terjadi tidak dapat diundurkan kembali. Nur Jannah kini menjadi miliknya. Isterinya yang sah, namun cintanya pada Zurina makin mekar dari hari ke hari. Dia tidak mampu melupakan Zurina walaupun sesaat. Jauh sekali untuk meninggalkan gadis itu. Tidak sekali-kali Dalam kekusutan, Ezri mencapai telefonnya dan mendail seseorang.

“ Helo..” Ezri bersuara apabila panggilannya dijawab.

“ Helo..siapa?” kedengaran suara Arman Mustaqim di corong telefon.

“ Aku Ezri lah! Kau kat mana Arman?” pantas Ezri bersuara. Rasa bosan menyelinap masuk ke dalam dirinya saat itu.

“ Aku kat rumah. Apahal Ez?”`

“ Jom..kita keluar!” Ezri begitu mengharap. Dia tidak ingin berseorangan saat itu.

“ Maaflah Ez! Aku ada hal malam ni..kau kenapa?” tutur Arman Mustaqim tanpa mengerti perasaan Ezri yang bercelaru.

“ Tak ada apa. Saja ajak minum..kalau tak dapat tak apalah.” Suara Ezri sedikit kecewa. Nampak gaya, terpaksalah dia melayan sendiri kepalanya yang semakin sakit.

“ Kau ajaklah bini kau tu..jangan asyik keluar dengan Zurina je. Tak baik! Curang namanya tu. Oklah aku ada hal ni..” sempat Arman Mustaqim memberi nasihat.

“ Yelah..” Ezri bersuara singkat. Kemudian talian diputuskan selepas menjawab salam Arman Mustaqim. Sakit juga hatinya dikenakan berkali-kali. Dia termenung seketika. Curangkah dia? Salahkah dia bersama Zurina yang menduduki tempat di hatinya. Berdosakah dia menyintai gadis itu? Ah, mengapa semua ini berlaku! Memikirkannya kepala Ezri semakin sakit. Dia menghidupkan kembali keretanya dan menuju ke arah Gombak. Ezri berkira-kira untuk pulang ke rumah namun akhirnya dia singgah di kedai Mamak dan mengenakan secawan kopi.

****

Zurina membelek-belek majalah wanita yang dibeli oleh Maisarah. Dia mencari halaman yang berkaitan dengan diet dan cara-cara menguruskan badan.Tangannya berhenti membelek apabila membaca cara-cara mendapatkan diet yang berkesan.

“ Em..minum air putih banyak-banyak dalam lapan gelas sehari atau lebih..jangan makan selepas pukul lapan.Bukan payah sangat!” Zurina bersuara sendiri. Dia membaca lagi dan termenung seketika.

“ Kau apahal? aku tengok termenung semacam je! Apa yang menarik sangat?” Maisarah duduk di sebelah Zurina. Matanya pantas membaca helaian yang dibaca oleh Zurina. Dia tersenyum sendiri sambil diperhatikan oleh Zurina yang mengerutkan dahinya.

“ Kenapa kau senyum? Apa yang kelakarnya?”

“ Kau tu dah kurus. Buat apa nak diet-diet ni..buat seksa badan jelah. Badan dah macam kerengga, dah langsing. Lainlah macam aku ni, lemak sana sini.”

“ Aku takut pakwe aku larilah Mai..Nanti merana aku!” Zurina berwajah sedih. Maisarah tergelak kecil melihat mimik muka temannya.

“ Sayang..kaukan dah kena tinggal dengan boyfriend. Si Ezri tu kan dah kahwin..atau kau dah ada boyfriend baru ni? Saja tak nak cakap dengan aku,” Maisarah memandang ke arah Zurina dengan pandangan tajam. Cuba diselami temannya yang masih bersedih dengan perkahwinan kekasih hati.

“ Tak adalah..aku..” Zurina memberhentikan percakapannya sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Kemudian dia memandang Maisarah sekilas sebelum menatap semula majalah kesukaannya.

“ Atau kau ada hubungan lagi dengan jantan tu? Kau jangan Zurina. Tak baik kau menghancurkan rumah tangga orang!” Maisarah memberi nasihat. Zurina memandang kembali kepadanya.

“ Dia yang hancurkan percintaan aku dengan Ezri.Bukan aku yang merampas!” Tiba-tiba Zurina membentak keras. Tidak habis-habis orang menyalahkan dirinya.

“ Zurina, merampas kekasih dengan merampas suami tak sama. Lelaki tu telah diamanahkan menjaga seorang perempuan yang telah diakadkan olehnya sebagai seorang isteri. Seorang isteri yang halal untuk dia sentuhi dan wajib dia memberi kebahagiaan kepada isterinya,” Maisarah bersuara panjang. Dia tahu ada kelukaan di hati Zurina yang menaruh kepercayaan kepada Ezri terhadap cinta mereka selama ini.

“ Ezri adalah cinta pertama aku Mai! Dia juga cintakan aku sepertimana aku cintakan dia.” Wajah Maisarah dipandang lama. Temannya itu sendiri tahu tentang percintaan mereka. Tetapi kenapa Maisarah sentiasa menyalahkan dirinya?

“ Cinta? Dia cintakan kau? Zurina, kalau dia cinta dan sayang sangat kat kau, dia takkan kahwin dengan perempuan lain walau dipaksa. Tapi dia sendiri yang rela. Dan kau harus tahu Ezri tu curang orangnya..” Maisarah menggelengkan kepalanya. Memang benar kerana cinta manusia menjadi buta untuk menilai yang baik dan yang salah. Kerana cinta juga seseorang boleh menjadi kejam dengan melukai hati insan lain. Sebagai teman, Maisarah tidak ingin melihat Zurina karam dengan mainan perasaan.Biarlah Zurina menangis pedih kerana kehilangan Ezri daripada menghancurkan hati seorang isteri.

“ Dia tersilap memilih Mai. Dan dia masih cintakan aku..dia tak sayang perempuan tu. Agaknya perempuan tu guna ubat guna-guna tak Mai?”Zurina mula menitiskan air mata. Dia cintakan Ezri sepenuh hati. Dia tidak sanggup kehilangan Ezri. Jika diberi peluang, Zurina sanggup mengucup tapak kaki isteri kekasihnya supaya melupakan lelaki itu. Sungguh Zurina akan melakukannya.

“ Mengucap Zurina..bukankah jodoh pertemuan itu di tangan tuhan. Memang kau dan Ezri tiada jodoh. Tidak baik menuduh orang macam tu. Masih ramai lelaki yang baik diluar sana yang akan sukakan kau. Tapi yang pasti orang tu bukan Ezri!” Tegas Maisarah cuba menyedarkan Zurina yang tidak habis-habis menyalahkan orang lain.

“ Aku sayangkan dia. Aku tak boleh hidup tanpa dia!”

“ Berapa ramai yang mati kerana putus cinta? Tak ramaikan? Kalau ada pun yang cetek iman dan pegangan agamanya dengan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Aku tak nak tengok kau jadi sebodoh tu Ina!” Maisarah tidak berhenti menasihati. Dia tahu tentang percintaan Zurina dan Ezri. Dia juga tahu kasih Zurina pada lelaki itu seluas lautan. Namun semuanya tidak bermakna andai kasih sayang dibalas dengan kecurangan. Sebagai gadis terpelajar Zurina seharusnya sedar cinta Ezri hanyalah permainan.

“ Aku tak tahu, apa yang harus aku lakukan Mai. Aku hanya mampu menunggu Ezri tunaikan janjinya!”

“ Kau nak bermadu?” Maisarah memandang tajam.

“ Ezri akan ceraikan isteri dia, dan akan kahwin dengan aku.”

“ Astaghfirullahalhazim…Zurina tidak baik meruntuhkan rumah tangga orang. Tu namanya meruntuhkan masjid..lagipun kau akan menyesal Ina!” Maisarah terkejut dengan keputusan Zurina. Hebat sangatkah Ezri sehingga temannya itu sanggup melukai hati wanita lain. Tidak terfikirkah Zurina, hati seorang isteri yang akan terluka parah kerana seorang suami yang curang. Malah perkahwinan mereka masih dianggap mentah.

“ Bukan aku puncanya Mai!Ezri tak cintakan perempuan tu. Malah mereka tidak tinggal sebumbung pun. Jadi bukan aku yang salah!” Zurina masih kuat mempertahankan sikapnya.

“ Sampai tak tinggal sebumbung? Tu pun kau cakap bukan salah kau?Kerana Ezri couple balik dengan kau lah, dia tak pulang Ina! Tu pun kau tak sedar lagi? Sudahlah aku tak nak bertekak dengan kau. Cuma sebagai teman, aku nasihatkan jangan bermain dengan api Ina..” Maisarah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Alang-alang hati aku panas, lebih baik aku terbakar..biar jadi debu sekalipun, aku takkan lepaskan Ezri..” Zurina bersuara keras. Sudah tekad di hatinya, walau apapun terjadi cinta Ezri hanya untuknya.

“ Kalau kau dah nikah dengannya, satu hari Ezri jatuh cinta dengan orang lain dan perempuan tu nak dia ceraikan kau, kau sanggup hadapi..ingat Ina..setiap perbuatan ada balasannya..cinta manusia bila-bila boleh berubah, tapi cinta pada Illahi kekal abadi. Oklah, aku nak mandi dulu. Sekejap lagi solat maghrib..banyakkanlah berdoa semoga Allah berikan kau petunjuk. Andai Ezri jodoh kau, InsyaAllah..dia akan bersama kau juga. Namun biarlah tiada hati yang terguris! Hanya kerana cinta kalian,” Maisarah bangun dan menuju ke bilik. Zurina hanya mampu mengetap bibir. Tanpa sedar air matanya menitis lagi..sungguh dia tidak bisa membuat keputusan. Kasihnya pada Ezri seluas lautan, namun mengapa Maisarah tidak mengerti. Maisarah tidak berhak menghukumnya..tahukah Maisarah erti kelukaan hatinya. Banyak mana luka di hati isteri Ezri, hatinya lagi terluka, jiwanya sakit dan untuk merawatnya sendiri dia tidak berdaya. Zurina membelek lagi buku Wanita yang dipegangnya. Namun fikirannya berserabut dengan kata-kata Maisarah sebentar tadi. Pantas dia bangun dan menuju ke bilik untuk mandi. Seketika wajah Ezri bermain di ruang matanya dan tanpa dipaksa dia tersenyum sendiri.

****

Ezri pulang ke rumahnya di Taman Harmonis. Dia berkira-kira untuk masuk atau tidak. Malas dia melayan soalan Nur Jannah yang bertubi-tubi. Puas dia bersandar di dalam kereta akhirnya Ezri membelok keretanya ke halaman rumah. Lampu yang terpasang menandakan Nur Jannah masih berada di ruang tamu. Setelah mematikan enjin kereta, Ezri melangkah ke arah pintu dan membukanya dengan menggunakan kunci pendua. Pantas matanya terarah ke arah Nur Jannah yang terlena di atas kusyen. Televisyen yang masih terpasang tidak sedikitpun mengganggu lena Nur Jannah yang mungkin sedang diulit mimpi. Ezri melangkah ke arah bilik dan menguncinya dari dalam. Dia menukar pakaiannya dan menuju ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi, Ezri menghala ke arah televisyen dan mengambil remote control dan mematikannya. Seketika wajah Nur Jannah ditatap lama. Ada kesal di hatinya kerana melukai Nur Jannah. Maafkan abang..abang yang bersalah..tapi abang cintakan Zurina..jangan cintakan abang lagi! Ezri bersuara di dalam hati. Dia tahu Nur Jannah pasti terluka, namun cintanya untuk Nur Jannah mula pudar dan tiada serinya. Ezri melangkah ke arah bilik tanpa mengejutkan Nur Jannah. Dia mencapai sebuah novel kesukaan isterinya yang berjudul Hatimu Untuk Siapa hasil karya H.M Tuah Iskandar. Dia membelek-belek isi kandungannya dan meletak semula di atas meja. Hati abang hanya untuk Zurina..getus Ezri sendiri. Dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Zurina.

“ Helo sayang..” Ezri bersuara lembut saat panggilannya dijawab oleh gadis itu. Wajah kekasihnya terbayang di mata dengan senyuman yang manis.

“ Abang kat mana?” Zurina bersuara manja, cukup menenangkan hati Ezri yang keresahan.

“ Abang kat rumahlah sayang..Ina dah makan?” masih lembut tutur katanya.

“ Belum..tak ada selera!” Zurina kedengaran merengek bagai anak kecil. Ezri tersenyum sendiri.

“ Aik! Tak ada selera? Ni mesti rindu kat abang kan?” Ezri meneka dan tergelak kecil. Wajah Zurina yang manis terbayang lagi di ruang mata.

“ Mestilah..abang jom keluar makan..” lembut suara Zurina memujuk kekasih hati.

“ Tadi kata tak ada selera. Macam mana nak makan kalau dah kenyang?” sengaja Ezri mengenakan Zurina di hujung telefon. Seronok dia melihat Zurina mengajuk walaupun bukan mudah untuk dipujuk.

“ Bila pulak Ina cakap Ina kenyang. Cuma tak ada selera makan tanpa abang,” Zurina memberi alasan. Ezri tersengih mendengar alasan kekasihnya. Tak ada selera konon! Agaknya dah berpinggan makanan dia sebat!

“ Dah malamlah sayang..nanti ada masa, kita makan sama-sama. Masa tu Ina jangan cakap tak ada selera k!”

“ Abang duduk kat rumah mana ni?” suara Zurina mula berbaur cemburu. Ezri tidak senang dengan soalan Zurina yang seolah menguji kesetiaannya. Sebolehnya, dia tidak ingin Zurina bertanya itu ini di saat hubungannya dengan Nur Jannah belum menemui kata putus.

“ Abang duduk kat Sentul. Mana lagi.. Ina jangan fikir yang bukan-bukan ek! Oklah, abang dah ngantuk ni. Ina pun tidurlah ye..”

“ Em..yelah! abang jangan lupa mimpikan Ina. Jangan mimpi orang lain!” suara Zurina yang bagai memberi arahan itu sudah biasa Ezri dengar. Semua kata-katanya bagai satu kewajipan untuk ditelan. Sudahnya Ezri hanya tergelak sendiri memikirkan Zurina yang suka memaksa. Namun begitu, Ezri senang andai Zurina cemburu. Itu menandakan Zurina sayang padanya. Kata orang, cemburu itu tanda sayang!

“ Em yelah.. I love you!” Ezri memberi satu kucupan di corong telefon.

Love you too..good night!” Zurina bersuara manja. Ezri membalasnya dan tersenyum sendiri. Dia membalikkan dirinya di atas tilam. Matanya dipejam, cuba membuang semua masalah yang datang. Sesekali wajah Nur Jannah datang menerpa bermain di kepalanya dan bayangan Zurina, membuatkan Ezri mula terlena bersama senyuman yang memanjang.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.