Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
205,822
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Bab 15

Pagi itu Aiman Ezri memberitahu ada staf baru yang akan bekerja di situ. Fakhruddin hanya mendengar separuh hati. Dia sibuk membuat kerjanya yang belum selesai. Suri yang berada di sebelah Zurina berbisik-bisik bertanya siapa staf baru yang disebutkan.

“ Laki ke perempuan?” Suri menguis jari Zurina berkali-kali. Dia menjenguk kepalanya ke arah Ezri yang berdiri di hadapan mereka. Kemudian lelaki itu berlalu menuju ke biliknya.

“ Perempuanlah! Lelaki buat apa! Sakitkan hati je.” Tutur Zurina sedikit kasar. Wajahnya tiba-tiba mencuka tanpa sebab.

“ Aik! lain macam je cakap kau. Sejak bila kau benci kat laki-laki ni?” Suri mencebik. Bukan dia tidak tahu, gadis itu sering berkepit dengan bos mereka. Dia sendiri tahu tentang percintaan mereka yang bagai romeo dan juliet itu. Cuma apa yang dia tidak tahu, mengapa Zurina asyik membenci lelaki sejak akhir-akhir ini.

“ Aku bukan bencikan lelaki! Aku bencikan mamat perasan tu. Belajar entah sampai mana, berlagak tak tentu pasal,” Zurina bersuara kuat sambil memandang geram ke arah Fakhruddin yang khusyuk menyiapkan kerjanya.Panas hatinya makin bertambah apabila lelaki itu hanya berwajah selamba.Ah! Sakit hati aku!

“ Maksud kau Fakhruddin? Apa masalah kau dengan dia. Aku tengok dia okey je.” Suri mencuri pandang wajah tampan Fakhruddin. Lelaki itu cukup untuk menggetarkan hati mana-mana perempuan yang memandangnya. Agaknya Zurina dah jatuh cinta kat mamat tu kut! Sebab tu marah-marah! Sengih Suri sendiri.

“ Masalahnya..budak tu sombong, berlagak! Aku tegur, bukan nak jawab. Dari mula-mula lagi aku dah menyampah tengok dia!” Zurina tidak habis-habis mencemuh dengan kata-kata yang menyakitkan telinga.

“ Menyampah? Benci? Kau jangan Zurina. Kata orang benci tanda sayang. Mana tahu, menyampah kau nanti jadi rindu pulak,” Suri mengekek perlahan. Zurina membulatkan matanya. Dengan mamat perasan tu? Nonsense! Bagilah percuma sekalipun, dia tidak akan hairan dengan lelaki seperti Fakhruddin yang begitu mahal dengan senyuman.

“ Zurina, You masuk bilik I kejap,” Ezri tercegat di hadapan Zurina yang masih masam mencuka. Suri tergesa-gesa ke tempat duduknya. Sesekali matanya mencuri pandang pada Zurina yang mula bangun mengekori Ezri. Tiba-tiba matanya terpandang seseorang yang memberi salam. Pantas dia mempersilakan masuk dan tersenyum ramah.

“ Cik nak jumpa siapa?” Suri terpegun melihat kecantikan gadis itu. Wajahnya yang ayu dan bertubuh ramping cukup membuatkan setiap lelaki memandang. Encik Shahidan dan Fakhruddin seolah-olah tidak perasan kehadiran tetamu istimewa itu.

“ Emm…Encik Aiman Ezri dan Zurina ada?” Gadis itu bersuara lembut dan tersenyum manis.

“ Ada! Cik…”

“ Em..panggil je Sahara.”

“ Sahara? Oh ye cik Sahara duduk dulu. Nanti saya maklumkan pada mereka,” Suri berlalu menuju ke bilik Ezri. Dia mengentuk pintu dan menolaknya setelah di beri arahan. Kelihatan Zurina yang menjeling kepadanya seperti tidak berpuas hati.

“ Cik Sahara nak jumpa,” Suri tersengih panjang. Takut kalau-kalau dianggap mengganggu. Jelingan Zurina dibalas dengan senyuman.

“ Oh ye! Suri, You suruh dia masuk,” Ezri memberi arahan. Zurina hanya mendiamkan diri dan membuat muka pada gadis itu. Suri berlalu dan tidak lama kemudian pintu diketuk dari luar.

“ Masuk!” Ezri memberi arahan. Seketika pintu ditolak dari luar dan Sahara melangkah masuk dengan senyuman.Zurina membeliakkan matanya melihat dressinggadis itu yang cukup berani.

“ Kau apahal Ina?” Sahara kehairanan melihat sahabatnya itu membulatkan mata. Seakan ingin terkeluar biji mata Zurina. Ezri hanya tersenyum melihat tingkah kekasihnya. Sahara melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan Zurina.

“ Kau apahal seksi sangat.Kalau macam ni, kalah aku. Tak pasal-pasal lelaki kat sini terseksa sebab kau!” Zurina melepas kata.

“ Merepeklah kau ni Ina. Aku datang nak kerja. Tempat lama dah tak sesuai untuk aku. Mujur aku jumpa kau dengan Encik Ezri hari tu. Kalau tak, tak tahulah aku,” Sahara teringat bagaimana seksanya apabila meninggalkan rumah dan suami. Dia tiada arah untuk di tuju. Mujurlah berjumpa semula dengan Zurina teman sekolahnya. Apa yang menjadi rahsia tetap disimpan kukuh di dalam dadanya. Zurina atau Ezri, tiada siapa yang mengetahui dia telah berumahtangga. Biarlah semuanya rahsia. Biarlah!

“ Kau tinggal kat mana sekarang?” Zurina masih bertanya.

“ Aku nak cari rumah sewalah. Hari tu aku duduk dengan orang tua aku kat Cheras. Tapi sekarang rasa nak berdikarilah pulak.”

“ Em..apa kata kau duduk dengan aku je! Tak gitu honey?Zurina memandang ke arah Ezri yang menjadi pemerhati dari tadi.

“ Em..abang tak kisah. Ina duk kat rumah tu pun dengan Maisarah je kan? So I think you all bolehlah duduk sekali,” Ezri menganggukkan kepalanya tanda menyokong. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“ Tak menyusahkan ke? I takut you all tak senang dengan kehadiran I nanti.” Sahara cuba mendapatkan kepastian.

“ Ek eleh kau ni! Kitakan bestfriend masa sekolah. Takkan tu pun nak berkira.Lagipun kau pun kena bayar rumah sewa. Bukan aku dengan Maisarah je,” Zurina tersenyum mengenakan Sahara. Sememangnya dia juga perlukan teman serumah. Kalau tidak, hari-hari dia bertekak dengan Maisarah. Maklumlah gadis itu suka memberi ceramah kepadanya. Apa yang dia buat semuanya tidak kena pada pandangan temannya itu. Namun begitu, Zurina akui Maisarah seorang yang baik budi pekertinya.

“ Kalau macam tu aku setujulah duduk rumah kau,” Sahara membuat keputusan. Dia ingin lari dari John David dan kehidupannya yang bagaikan neraka. Hatinya yang terluka tidak mampu lagi menerima sebarang kesakitan lagi. Pada papa dan mamanya sendiri tidak diberitahu tentang apa yang telah terjadi. Biarlah masa yang akan menceritakan segala-galanya. Yang pasti bukan saat itu.

“ Oklah! Sekarang I nak perkenalkan You pada staf-staf yang lain,” Ezri bangun dan melangkah untuk keluar. Zurina dan Sahara mengekori dari belakang dan melempar senyum sesama sendiri.

“ Ok semua, I nak perkenalkan staf baru syarikat kita, cik Sahara. I hope you all boleh beri tunjuk ajar dan bekerjasama andai ada apa-apa masalah,” Ezri memperkenalkan Sahara yang sejak tadi melempar senyum. Zurina menjeling ke arah tempat duduk Fakhruddin. Mamat sekor ni ponteng ke apa!

“ Selamat pagi. Nama saya Sahara. I hope you all dapat beri tunjuk ajar. Maklumlah saya staf baru yang mungkin banyak kekurangan!” Sahara memperkenalkan diri.

“ Em..dah berpunya ke?” Shahidan bersuara sambil tersenyum lebar. Wajah Sahara di pandang lama dan dia tersenyum sendiri.

“ Kau ni sempat lagi nak menggatal.Orang cantik, mesti dah berpunya!” Suri pula menyampuk.

“ Em..saya masih solo dan tiada boyfriend,” Sahara bersuara lancar sedangkan di hatinya bergelora. Wajah John David bermain-main di mindanya.

“ Oh ye Shahidan! Mana Fakhruddin?” Ezri melilau mencari lelaki itu.Pantas matanya menangkap ke arah Fakhruddin yang menghala kepada mereka.

“ Saya ke toilet tadi Encik Ezri,” Fakhruddin bersuara mendengar pertanyaan bosnya. Sahara yang mendengar cepat-cepat memandang. Matanya seakan terbeliak melihat Rizman Fakhruddin berada disitu. Dengan kata lain ex-boyfriendnya berada di situ di saat cintanya masih mekar mewangi. Dia memandang Fakhruddin yang tidak menyedari kehadirannya. Serasa air matanya ingin tumpah mengenangkan dosanya kepada lelaki itu.

“ Em..Fakhruddin, ni staf baru yang I maksudkan, Sahara,” Ezri memandang ke arah Sahara yang memandang tajam ke arah Fakhruddin. Pantas Fakhruddin memandang ke arah gadis yang dimaksudkan yang berselindung di belakang Zurina. Dia benar-benar terkejut melihat orang yang menghancurkan hatinya berada disitu. Fakhruddin cuba berlagak selamba dan berpura-pura tidak mengenali Sahara.

“ Oklah! Kamu semua boleh sambung kerja and You Sahara, You boleh start kerja esok.” Sahara menganggukkan kepalanya. Sesekali matanya berkalih ke arah Fakhruddin yang memulakan kerja tanpa mempedulikan kehadirannya. Sungguh dia tidak menyangka berjumpa lelaki itu di situ.

“ Em..baiklah Encik Ezri.Thanks sebab ambil saya bekerja kat sini.” Senyuman dilemparkan cukup manis walaupun ada resah yang mula bermain di jiwanya.

It’s okey! Bila you nak pindah rumah Zurina?”Ezri tersenyum memandang Zurina yang merenung manja ke arahnya.

“ Bila ye Ina?” Sahara pula bertanya Zurina.

“ Malam ni boleh..nanti I call Maisarah cakap dengan dia dulu. Kan tak pasal-pasal dia terkejut ada bidadari turun dari langit,” Zurina tergelak kecil. Terbayang di matanya wajah Maisarah yang sentiasa mahal dengan senyuman. Namun cukup murah dengan kata-kata nasihat yang sentiasa meniti di bibirnya. Kadang kala, sakit juga kepala Zurina apabila sentiasa di tegur oleh teman serumahnya itu. Emm…kali ni, biar Sahara pulak yang kena! Kalau tak, asyik aku je yang kena dengar ceramah! Zurina tersengih sendiri.

“ Pandailah kau tu!” Sahara mencubit lengan Zurina yang tidak beralas. Dia mengaduh kecil sambil menjeling ke arah Fakhruddin. Saat itu mata mereka bertentang dan Zurina melarikan anak matanya dengan riak wajah yang mencuka.

“ Nak ambil kau kat mana nanti?”

“ Em..aku sekarang ada kerja sikit kat KL.Nanti apahal aku call kau.”

“ Ok jangan lupa tu!” Zurina mengingatkan Sahara.

“ Oklah..Ina sambung kerja You balik. I ada kerja yang belum selesai,” Ezri berlalu ke biliknya. Sahara meminta diri untuk pulang. Matanya terarah kepada Fakhruddin saat dia berlalu keluar dari pejabat Aiman Ezri.Air matanya yang berkaca tiba-tiba menitis ke pipi. Dia akan cuba mendapatkan cinta Fakhruddin semula. Biarlah semuanya bermula di sini. Pertemuannya dengan Fakhruddin pasti membawa maksud yang tersirat. Pasti juga memberinya peluang untuk membetulkan segala kesilapan. Sungguh, Sahara sanggup berbuat apa saja demi memiliki jiwa raga lelaki itu walau terpaksa berkorban nyawa. Sesungguhnya saat itu akan tiba!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.