Bab 54

"UNCLE harap kamu dapat jaga anak saudara uncle tu baik-baik.” Ujar Encik Han. Aniq mengangguk senyum.

“Hana tu nampak saja macam tu. Degil. Keras kepala. Tapi, kalau kamu dah kenal dia, anak ayah tu manja orangnya. Yang…” Belum sempat Encik Syukri menghabiskan ayatnya, Puan Izati mencelah.

“Yang menarik tentang anak saudara aunty ni dia pandai pujuk. Kalau Aniq merajuk, sekejap saja dia pujuk. Kita tak boleh nak merajuk dengan dia lama-lama sebab dia memang pandai buat hati kita ni lembut balik. Dia tak suka tengok orang kesayangan dia marah dekat dia dan dia akan berusaha pujuk agar orang kesayangan dia tu baik semula dengan dia.” Bisik Puan Izati. Aniq ketawa kecil. Dia masih ingat lagi bagaimana Hana memujuknya sewaktu dia merajuk pasal hidangan yang diletakkan dengan belacan.

“Ni, buat abang jeles ni.” Encik Han memerli isterinya yang sedang berbisik dengan menantu anak saudara mereka. Puan Izati ketawa melihat wajah suaminya yang masam.

“Itu pun, abang nak jeles. Jom kita ke sana. Kejap lagi Aniq dah nak bawa Hana pergi rumah baru dia orang.” Puan Izati mengajak mereka bertiga ke ruang tamu.

 

“HANA sekarang dah jadi isteri orang. Jadi, buat perangai macam isteri. Jangan nak perasan diri tu masih bujang.” Puan Hanis mengingatkan status anak perempuannya.

“Jaga makan minum suami. Layan suami tu baik-baik.” Pesan Rafidah pula.

Hana senyum tawar. Dia tahu semua itu. Cuma hatinya belum sepenuhnya lagi menerima lelaki itu di dalam hidupnya.

“Mama tahu Hana dengan Aniq tak berapa kenal lagi antara satu sama lain. Tapi, mama yakin yang Hana boleh bahagia dengan Aniq. Hana kena buka hati dan kenal hati budi suami Hana. Insya-Allah, Hana akan mencintai dan sayang dengan suami Hana tu.” Giliran Datin Ruhaina pula menasihati menantunya.

Semua mengharapkan kebahagiaan dia dengan Aniq. Tapi, bolehkah dia bahagia sedangkan perasaan cinta itu masih belum ada untuk lelaki itu?

Aunty! Aunty! Uncle Aniq tunggu dekat luar!” Terjerit-jerit Yana memberitahu Hana.

“Ala, lepas ni kami tak dapat lagi nak makan bento.” Rengek Arissa. Hana tersenyum.

“Kalau rindu nak makan bento nanti telefon saja aunty. Nanti, aunty buatkan, hantar dekat korang berdua.” Kata Hana membuatkan mereka berdua tersenyum lebar.

“Tapi, jangan sekarang. Korang berdua kalau nak susahkan aunty korang ni tunggu lepas sebulan lebih. Bagi peluanglah aunty kamu ni nak bersayang-sayang dengan uncle korang.” Kata-kata kak Lina membuatkan mereka ketawa. Hana tersipu malu.

“Dah, pergilah. Suami dah tunggu tu. Kalau ada apa-apa masalah, bincang elok-elok. Jangan terburu-buru buat keputusan. Kami semua ada untuk kamu kalau kamu nak meluahkan masalah.” Wajah uminya yang sudah dimamah usia dipandang lama. Kemudian beralih pula pada wajah ibu mertuanya. Dia memeluk kedua-dua orang tua itu.

“Dah. Dah. Jangan sedih-sedih. Ada masa, datang jenguk kami.” Pesan Puan Hanis sambil mengusap lembut belakang tubuh anak perempuannya.

“Hana belajarlah mencintai anak mama. Mama yakin Aniq pilih Hana atas dasar cinta. Mama tahu anak mama tu macam mana. Just, yakin pada anak mama. Trust him. He will be the best husband to you.” Kata-kata ibu mertuanya itu membuatkan dia diam tak terkata.

Bolehkah aku terima dia sepenuhnya dalam hidup aku sedangkan aku tak bersedia lagi dengan semua ini. Belajar mencintai dia? Yakin? Percayakan dia? Akhirnya, Hana senyum hambar.

“Jangan tidur berasingan pula.” Sempat Lina memberi pesanan terakhir sebelum adiknya itu melangkah keluar dari rumah agam.

 

BEBERAPA jam kemudian, mereka berdua tiba di sebuah banglo tiga tingkat. Aniq memakirkan keretanya di dalam kawasan rumah. Enjin kereta dimatikan. Aniq keluar dari perut kereta tanpa mengajak isterinya.

Hana mengeluh. Aniq masih marahkan dia. Semalam, suaminya langsung tidak mahu bercakap dengannya. Tapi, bila di depan keluarga pandai pula suaminya berlakon. Berlagak baik dan mesra. Hakikatnya, hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Dalam bilik pula, Aniq tidak tidur bersamanya. Suaminya tidur di atas sofa. Hana memandang Aniq dengan ekor mata. Suaminya sudah masuk ke dalam rumah baru mereka dengan bagasi pakaian mereka.

Hana masih di luar memerhatikan sekeliling kawasan rumah. Pandangannya terpaku pada satu kenderaan berwarna hitam yang tidak jauh memarkir dari kawasan rumah. Pemandu lelaki itu sedang memerhatikannya dengan senyuman. Meremang bulu roma Hana bila melihat pemandu tersebut. Laju dia berlari masuk ke dalam rumah.

Terpegun dia melihat dekorasi dalaman rumah yang menggunakan konsep moden, mewah dan nampak begitu elegan. Hana kemudian ke ruang dapur. Bahagian itu adalah bahagian pertama yang ingin dia lihat. Hana berpuas hati dengan keadaan dapur tersebut. Dia kemudian menaiki anak tangga satu persatu.Aniq sudah berada di tingkat atas.

Habis satu rumah dikelilinginya. Hana paling suka dengan bilik tidur tingkat paling atas. Bilik tidurnya sangat cantik dan luas. Menggunakan konsep moden dan yang memikat hatinya lagi adalah kawasan beranda bilik tersebut. Berandanya agak luas. Terdapat kolam renang dan lantai yang dihiasi dengan rumput hijau. Beberapa pokok bunga ros yang berlainan warna dan jenis di susun cantik di tepi-tepi dinding.

Terharu Hana dengan semua yang dilakukan oleh suaminya itu. Impian majlis perkahwinan Hana dan juga dekorasi rumah seperti ini sudah tercapai. Aniq tahu apa yang dia inginkan.

Hana duduk di birai katil. Aniq tiada di ruangan tersebut. Baru saja tadi Aniq menghantar mesej kepadanya yang mereka akan tidur berasingan. Hana menghela nafas berat. Sepatutnya dia suka dengan keputusan itu. Tapi, kenapa hati dia rasa lain? Takkan aku dah mula sayang dengan suami aku sendiri?

Hana membaringkan tubuhnya di atas tilam empuk. Dia memandang siling atas yang berwarna krim itu. Tiba-tiba dia teringat dengan balang kaca yang berisi gulungan-gulungan kertas kecil yang Aniq berikan kepadanya sebelum ini. Pantas Hana mengambil balang kaca tersebut yang ada di dalam beg bagasinya.

Dia membuka penutup balang kaca dan semua gulungan-gulungan kertas dikeluarkan dari balang kaca tersebut. Hana perasan setiap gulungan kertas itu ditandakan dengan nombor 1 hingga 13. Hana tarik nafas dalam sebelum membuka ikatan tali pada gulungan kertas tersebut.

Gulungan kertas yang ditandakan dengan nombor satu itu dibuka perlahan. Hana tergamam saat dia membaca ayat yang terkandung dalam kertas kecil tersebut.

Pertama kali bertemu, Suha menghadirkan satu rasa yang abang sendiri tidak dapat tafsirkan.

*1

Luahan Aniq kepadanya saat pertemuan kali pertama mereka di Sunway Pyramid. Hana membuka lagi gulungan kertas yang seterusnya.

Suha berani mengungkapkan perkataan 'Suami' dan 'Tunang' dengan stranger macam abang. I like it.

*14

Hana jadi malu. Aniq tidak pernah lupa tentang kejadian tersebut. Gulungan kertas yang ketiga dibuka.

Pertama kali abang nampak seorang gadis muslimah berani melawan Edine di depan mata abang.

*9

Hana ketawa kecil. Dia masih ingat dengan kejadian ini. Tapi, dia masih tidak puas hati. Dia perasan di bawah setiap ayat itu ditandakan dengan simbol bintang dan juga nombor yang berlainan.

Abang tak sangka akan berjumpa dengan Suha lagi. Suha asyik bermain di fikiran abang saja. Thanks to Yana sebab mempertemukan abang dengan My Miss Bento. 😉

*17

Abang suka cara Suha layan Yana dan juga Arissa. Comel.

*3

Gulungan kertas ke-empat dan juga ke-lima dibuka dan dibaca. Hana senyum kecil bila melihat emoji kenyit mata di hujung ayat tersebut. Gelaran Cik Bento itu adalah kerana dia selalu membuat bento untuk Arissa, Yana dan yang lain.

Namun, dia tetap bingung dengan nombor yang di tanda dengan simbol bintang itu. Apa sebenarnya yang Aniq cuba sampaikan kepadanya? Lantas, gulungan kertas yang lain dibuka dan dibaca mengikut urutan nombor.

Sebab Bento abang pergi kampung Suha. Alasan lain, abang tiba-tiba rindu dengan Suha.

*9

Abang suka kampung Suha. Abang suka bila Suha layan abang walaupun tak mesra.

*14

Abang suka tengok Suha merajuk dan abang suka tengok Suha marah.

*20

Suha buat abang risau bila Suha tak balik rumah. You make me crazy, dear.

*1

Abang suka cara Suha pujuk abang. 

*19

Abang suka tengok Suha cemburu. Itu tandanya Suha sayang abang, kan? 😉

*21

Sekejap Hana ketawa. Sekejap dia tersenyum. Rupanya, suaminya memerhatikan tingkah lakunya sejak dari awal pertemuan mereka lagi. Tak sangka Aniq dapat membaca riak mukanya. Aniq tahu dia cemburu. Cemburu dengan perempuan yang bernama Chinta. Wanita itu ada berbual dengannya sewaktu majlis resepsi kelmarin. Chinta sudah menjelaskan hubungan dia dengan Aniq. Hubungan mereka setakat kawan sahaja. Hana percaya tapi tetap ragu-ragu dengan wanita itu. Tapi, sekarang Aniq sudah menjadi suaminya. Dia tidak kisah lagi tentang wanita itu. Hana ukir senyuman. Gulungan kertas yang seterusnya dibuka.

Suha hati abang. Bintang hati abang. Selalu ada dalam hati abang.

*8

Hana tersentak. Tiba-tiba terasa lain. Degupan jantung berdebar laju. Apa maksud dia?

Hana membaringkan tubuhnya. Fikirannya masih berfikir tentang isi yang tersirat di sebalik ayat tersebut. Gulungan kertas yang terakhir dibuka. Malas dia hendak fikir maksud di sebalik ayat-ayat tadi.

Jawapan yang Suha nak ada dalam semua kertas ni. Just find it.

*1

Bulat mata Hana bila membaca ayat dari gulungan kertas yang terakhir. Jawapan yang aku nak ada dalam semua kertas ni. Jawapan apa? Hana bangun dari perbaringan. Dia memerhatikan semua kertas yang sudah dibacanya.

Gulungan kertas ditanda mengikut nombor turutan. Ayat-ayat yang ditulis juga berbeza. Semua itu adalah luahan Aniq kepadanya. Cuma…

Hana perhatikan semula kesemua kertas-kertas tersebut. Kenapa setiap ayat terakhir diberi simbol bintang dengan nombor yang berlainan. Hana laju menyusun semula kertas tersebut mengikut turutan bacaan.

Hana cuba merungkai apa yang tersirat di sebalik nombor tersebut. Dia amat terkejut setelah menjumpai jawapannya. Nombor yang di tanda dengan simbol bintang itu mewakili setiap huruf. Tidak semena-mena air matanya jatuh. Rupanya, selama ini Aniq sudah jatuh cinta kepadanya.

ANIQ CINTA SUHA

Previous: Bab 53
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh