Bab 1

BENTO merupakan makanan bekal yang sangat popular di negara Jepun yang tidak mengira umur dan jantina. Makanan bekal berupa nasi dan lauk-pauk dalam bungkusan yang bertutup ini boleh sahaja dibawa dan dimakan di tempat yang disukai. Cara penyediaannya agak merumitkan juga kerana memerlukan kemahiran seni membentuk dan juga menggunakan imaginasi yang tinggi untuk menyediakannya. Namun, hidangan bento yang berwarna-warni dan comel mampu menarik minat kanak-kanak dan juga orang dewasa…”

 “Ibu, ayah. Yana nak juga macam tu. Yana nak bento!” Rengek si anak berusia tujuh tahun. Terliur dia melihat makanan yang terpapar di rancangan televisyen itu. Seorang pengacara wanita serta tukang masak menyediakan bento sambil mengulas tentang makanan tersebut.

 Rafidah garu kepala. Manalah dia hendak cari makanan Jepun itu. Rafidah mengerling ke arah suaminya untuk meminta tolong. Si suami menghela nafas berat. Dia mendekati anak perempuannya. Diusap lembut kepala Yana.

 “Mana nak cari bento tu, sayang. Itu cuma ada dekat negara Jepun saja. Kalau papa ada cuti nanti kita ke sana. Nanti, kita cari apa yang Yana nak dekat sana, okey?” Pujuk Harith. Yana geleng kepala berkali-kali.

“Yana nak makanan tu sekarang! Kita cari dekat-dekat sini sajalah, ayah. Yana nak sangat makan makanan tu.” Muncung ditarik sedepa.

“Fidah, macam mana ni? Mana nak cari bento tu di sini. Melainkan bento tu awak yang tolong buatkan. Macam mana?” Harith mengerdipkan matanya beberapa kali sambil membuat muka kesian.

“Hesy, abang ni. Ingat Fidah ni pandai buat? Seni pun tak lepas inikan nak buat bento macam tu.” Rafidah memeluk tubuh. Yana masih lagi dengan muka kesiannya. Meminta simpati pada ibu dan ayahnya.

“Cuba abang tanya pekerja dekat dapur. Mana tahu, kalau ada yang pandai buat bento ni.” Cadang Rafidah. Harith tidak terfikir pula untuk meminta tolong dengan orang-orang gajinya yang bekerja di bahagian dapur itu. Harith segera ke sana. Kasihan dia melihat anaknya yang masih merengek mahu makanan tersebut.

Beberapa minit kemudian, Harith kembali dengan muka masam. Rafidah pelik.

“Kenapa bang?” Tanya Rafidah. Yana masih fokus melihat bento yang dibuat oleh tukang masak dalam rancangan televisyen tersebut. Sambil dia menonton sambil dia merengek di depan ibunya.

“Abang dah tanya dia orang…”

“Jadi…” Tidak sabar Rafidah ingin tahu jawapannnya.

“Mereka reti masakan melayu dengan western je. Makanan Jepun mana mereka reti nak buat.” Beritahu Harith, hampa. Keluhan panjang dilepaskan.

So, apa kita nak buat sekarang? Makin menjadi-jadi rengek si Yana ni kalau tak dapat apa yang dia nak.” Rafidah mengerling anak perempuannya yang masih setia dengan rancangan makanan Jepun itu.

Anak perempuan mereka ini bukan senang untuk dipujuk. Jika Yana sudah menginginkan sesuatu, dia tidak akan berhenti untuk meminta sehingga permintaannya itu ditunaikan. Rafidah memandang semula suaminya.

“Abang cuba telefon dan tanya dengan adik abang. Manalah tahu, kalau dia ada kenalan atau pekerja dia yang boleh buatkan bento untuk anak kita.” Rafidah memberi cadangan.

“Ada ke kenalan dia yang pandai buat bento ni?” Harith garu kepala. Setahu dia, adik lelakinya itu tidak pernah ada kenalan rapat perempuan kerana dia sibuk menguruskan perusahaan syarikat keluarga mereka. Melainkan seorang perempuan tu. Kawan adiknya juga. Tapi, takkan perempuan moden macam dia pandai buat bento? Fikirnya.

“Abang Rith. Hesy, mengelamun pula dia ni!” Rafidah memukul bahu suaminya. Harith tersengih.

“Yalah, nanti abang cuba tanyakan. Itu pun kalau panggilan berjawablah, ya. Kalau tidak terpaksalah kita cari cara lain untuk pujuk budak kecil ni.” Kata Harith.


“CANTIKNYA bento aunty Aivy buat!” Puji Arissa. Bersinar matanya melihat bento beruang yang auntynya buat itu. Nasi goreng yang digoreng biasa dikepal menjadi bentuk beruang dan dihias di dalam bekas makanan. Hiasan lain seperti lobak merah yang dipotong dan dibentuk bunga. Sosej dipotong pendek dan dibelah separuh kepada empat bahagian. Bahan lain seperti kismis untuk hiasan mata dan hidung. Bahagian mulut dan juga telinga beruang pula diwarnakan dengan kuah sos tiram. Arissa memasukkan bentonya ke dalam bakul kertas.

Hana tersengih. Bento yang dia buatkan untuk Arissa itu sudah diubahsuaikan. Dia hanya menggunakan bahan-bahan yang disukai oleh Arissa sahaja. Arissa tidak   menggemarkan rasa Nori di dalam makanannya seperti masyarakat Jepun.

Berbaloi juga usahanya belajar membuat bento ini. Dia belajar seni bento ini pun ketika dia berada di Jepun dua tahun yang lepas. Banyak makanan tradisi yang dia belajar di negara itu.Selain itu, dia juga turut belajar masakan dari negara-negara lain.

“Hana, jangan manjakan sangat anak buah kamu ni. Nanti, akak juga yang susah.” Kata Lina yang lebih suka memanggil adiknya dengan nama pertama.

“Biarlah, kak. Asalkan Hana nampak dia gembira. Sejak ayahnya meninggal, tak pernah lagi Hana nampak dia gembira seperti ini. Kalau bento buatkan dia gembira apa salahnya, kan?”

Lina senyum nipis.Terharu dengan sikap adiknya. Arissa satu-satunya bukti cinta dan kasih sayangnya pada arwah suami yang sudah meninggal setahun yang lepas akibat kemalangan jalan raya.

“Akak tahu. Tapi, kamu bukan lama dekat sini. Habis cuti, kamu balik sana pula. Akak risau nanti Arissa cari kamu, nakkan bento. Kalau suruh akak yang buat memang taklah. Akak mana reti nak buat bento.” Kata Lina sambil menolong adiknya membersihkan meja makan yang penuh dengan alatan dan makanan untuk membuat bento.

“Akak jangan risaulah. Pandailah Hana pujuk Arissa nanti.” Hana senyum. Dia mengerling Arissa yang sudah bersedia untuk ke sekolah.

Aunty Aivy, cepatlah!” Jerit Arissa. Dia menunggu Hana di luar rumah.

“Pergilah hantar budak tu. Nanti, lambat pula sampai ke sekolah.” Kata Lina. Hana mengangguk. Dia segera naik ke atas memakai tudung.

 

TIBA di sekolah, Hana terus keluar daripada perut kereta. Dia kemudian membuka pintu kereta untuk anak buah kesayangannya. Sempat dia membetulkan pakaian dan juga rambut Arissa. Seperti biasa dia akan menghantar Arissa sehingga ke pintu pagar sekolah.

Aunty Aivy, kalau Arissa kongsi bento ni dengan kawan-kawan, boleh?” Tanya Arissa sebelum melangkah masuk ke kawasan sekolahnya.

“Aikk… sebelum ni, Arissa tak kongsi dengan kawan-kawan Arissa?”

“Tak.”

“Kenapa tak kongsi?”

“Arissa tak suka kongsi dengan dia orang sebab dia orang tu makan tak ingat orang lain. Kalau Arissa bagi nanti dia orang habiskan. Lepas tu, Arissa pula yang tak dapat makan.” Omel si anak buah berusia tujuh tahun itu. Hana ketawa kecil mendengar omelan Arissa.

“Arissa, kongsi makanan dengan orang lain itu kan dapat pahala. Kalau Arissa kongsi dengan kawan-kawan Arissa, nanti Arissa juga yang beruntung dapat pahala. Arissa nak pahala, kan?”

“Nak. Tapi kalau kita bagi kenalah ikhlas, kan? Arissa tak ikhlaslah nak bagi dia orang.”

“Arissa kenalah belajar bagi dengan ikhlas. Baru Allah sayang anak buah kesayangan aunty ni.” Hana mencuit hidung Arissa. Arissa senyum. Suka bila auntynya buat dia seperti begitu.

“Okeylah, nanti Arissa kongsi dengan dia orang.”

“Macam itulah anak buah kesayangan aunty Aivy. Lepas ni, aunty buat banyak bento untuk Arissa dengan kawan-kawan Arissa sekali. Arissa nak?” Laju Arissa mengangguk dengan senyuman lebarnya.

Aunty, Arissa nak masuk dululah.” Arissa menyalami Hana.

“Balik nanti tunggu ditempat biasa. Jangan merayau.” Pesan Hana. Arissa sudah menapak masuk ke dalam kawasan sekolah.

“Okey, aunty! Assalamualaikum!” Sempat Arissa melambai tangan ke arah Hana sebelum berlari masuk ke dalam bangunan sekolah.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh