Bab 44

BENTO terakhir dimasukkan ke dalam plastik bersaiz sederhana. Hana sudah meminta kebenaran daripada kakaknya untuk meminjam kereta hari ini. Umi dan ayahnya tidak ada di rumah kerana bermalam di rumah Datin Ruhaina. Hana malas hendak ambil tahu apa yang ibu bapanya buat di sana. Puan Izati pula sudah pulang ke Kedah. Katanya rindu pada suami.

Hana memanaskan enjin kereta terlebih dulu sementara menunggu anak buahnya yang masih berada di dalam rumah. Plastik-plastik yang berisi bento sudah pun diletakkan di belakang tempat duduk kereta.

Hana teringat semula kata-kata Edine. Perempuan itu sanggup berbuat apa sahaja sekiranya dia tidak mahu melepaskan Aniq. Tapi, bagaimana dia hendak melepaskan diri sedangkan tunangnya itu langsung tidak mahu melepaskannya. Takut sungguh dia jika Edine mengotakan janjinya. Dia tidak mahu Arissa dan Yana menjadi mangsa perempuan itu. 

Apa yang patut aku buat sekarang ni…? Umi terima pinangan tapi aku masih berat sebelah. Aniq nak kahwin dengan aku tapi aku sebaliknya pula. Perempuan seksi tu lagi buat hal. Ugut aku supaya jauhkan diri daripada Aniq. Ini semua sebab kaulah, Hana! Suka sangat cakap lepas. Tengok sekarang apa dah jadi dekat diri kau? Hesy, apa yang aku patut buat sekarang ni?

Hana menghela nafas.

Kahwin? Hati oh hati, kau nak kahwin tak dengan lelaki tu? Bukan senang nak dapat bakal suami yang kaya macam dia. Rugi Hana kau tak kahwin dia, pujuk hatinya.

Tapi, kaya tak membawa kepada kebahagiaan pun. Apa sebenarnya yang kau nak Hana? Ciri-ciri lelaki yang macam mana kau nak sebenarnya ni? Aniq tu dah cukup pakej pun tapi kenapa kau masih tak ada hati dekat dia?

Sorry aunty!” Suara Arissa menyentak lamunannya.

“Lambat. Buat apa lagi dekat dalam tadi?” Tanya Hana. Arissa masuk dan duduk di sebelah tempat pemandu.

“Cari ni.” Arissa mengangkat bakul kertas berisi souvenir yang dibeli semasa mereka berada di Pulau Langkawi. Hana geleng kepala.

“Pakai seat belt tu.” Arah Hana. Dia terus memandu keluar dari perkarangan rumah.

 

SAMPAI di sekolah, Hana meminta kebenaran pengawal untuk masuk ke dalam sebentar. Ketika itu juga Aniq muncul dengan Yana. Hana tidak terkejut. Arissa dengan Yana pula yang berlebih-lebih bila mereka sudah berjumpa antara satu sama lain. Macamlah mereka berdua itu lama tidak berjumpa. Padahal, selalu bersama juga.

“Nampak berat je. Biar abang saja yang bawa bakul-bakul plastik tu.” Aniq selamba merampas plastik-plastik yang berisi bento yang dijinjing oleh Hana itu.

“Tak apa. Biar saya yang bawa.” Hana mahu merampas semula namun cepat Aniq menjauhkan dirinya dari gadis itu.

No. Biar abang saja yang bawa. Jangan nak berdegil.”

Hana merengus, geram.

“Arissa, panggil kawan-kawan sekelas Arissa. Yana, pun. Aunty dengan uncle tunggu dekat kantin.” Arah Hana. Arissa dan Yana mengangguk. Laju mereka berdua berlari naik ke kelas masing-masing.

 

TIDAK sampai lima belas minit mereka semua sudah pun berada di kantin. Hana senyum lebar. Aniq hanya menjadi pemerhati. Berebut-rebut mereka ingin bersalaman dengan Hana dan juga Aniq.

Aunty Aivy, rindu betul kita orang dekat aunty, tau.” Luah Leong yang lama tidak berjumpa dengan aunty Arissa itu. Hana mencubit pipi gebu Leong. Dia juga rindu dengan teman-teman Arissa itu.

“Maaflah. Aunty sibuk sangat. Sekarang Aunty tengah cuti. So, korang semua bolehlah order nak makan apa lepas ni. Nanti, aunty boleh buatkan.” Hana senyum bila semua menjerit keriangan.

“Arissa, Yana. Tolong agih-agihkan bento ni untuk kawan-kawan korang.” Arah Hana. Mereka berdua angguk lalu mengikut arahan. Arissa dan Yana dibantu oleh teman mereka masing-masing untuk mengagihkan bento kepada teman mereka yang lain.

Aunty, uncle ni siapa?” Tanya Haikal. Dari tadi dia memerhatikan lelaki yang duduk di sebelah aunty Arissa itu.

“Ini uncle Aniq, tunang aunty. Uncle ni uncle Yana.” Beritahu Hana. Baik dia jujur saja dengan mereka. Kalau tidak Aniq akan memaksanya untuk beritahu mereka tentang status mereka berdua. Hesy, budak-budak je pun!

Aniq menghadiahkan senyuman buat Haikal. Haikal membalas dengan senyuman yang lebar.

“Aniq, yang ni teman sekelas Arissa. Haikal.” Hana memperkenalkan budak lelaki itu kepada tunangnya.

“Haikal suka dekat aunty Aivy?” Tidak semena-mena soalan itu keluar dari mulut Aniq. Hana memandang tajam tunangnya. Haikal senyum dan laju menganggukkan kepalanya.

“Bukan Haikal je. Leong dengan yang lain pun suka dekat aunty Aivy. Aunty Aivy selalu bagi kita orang makanan yang sedap-sedap bila dia ada dekat sini.” Sengihnya. Aniq ketawa kecil.

“Semua dah dapat?” Tanya Hana. Takut pula kalau tidak cukup. Dia sudah sedia maklum dengan jumlah murid kelas Arissa dan juga Yana dari guru kelas mereka. Hana agak rapat juga dengan guru-guru di sekolah ini dan mempunyai beberapa senarai nombor telefon guru-guru di sekolah ini.

“Sudah!” Jerit mereka serentak.

Aunty Aivy, Ijat tak nak bento ni. Dia kata dia tak suka.” Laju Arissa memberitahu auntynya bila salah satu teman sekelasnya tidak mahu terima bento yang dibuat oleh auntynya itu. Arissa memberikan lebihan bento itu kepada Hana.

“Ijat mari dekat aunty.” Lembut Hana memanggil budak lelaki yang berada di belakang Arissa. Ijat menurut kata. Kepalanya ditundukkan sedikit.

“Pandang aunty.” Arah Hana. Sekali lagi Ijat menurut katanya.

“Kenapa tak nak bekal yang aunty bagi ni?” Soalnya lembut.

“Saya tak suka makanan bekal.” Jawabnya jujur.

“Kenapa pula Ijat tak suka? Kawan-kawan Ijat yang lain semuanya suka.” Berkerut dahi Hana. Ijat diam.

“Ijat lagi suka beli di kantin berbanding bawa bekal ke?” Tiba-tiba Aniq menyampuk. Ijat mengangguk perlahan. Aniq tersenyum kecil. Dia mengusap kepala Ijat.

“Ijat tahu tak bawa bekal tu banyak faedahnya.” Aniq memancing reaksi budak itu. Ijat memandangnya.

“Ijat boleh jimatkan duit belanja. Kalau beli dekat kantin, duit Ijat akan habis nanti. Lepas tu, Ijat tak dapatlah nak menabung. Ijat nak tahu lagi tak? Makanan bekal ni lagi terjamin kebersihannya berbanding makanan di kantin tau.” Hana mencelah. Aniq menjegilkan mata. Geram pula bila ada orang menyampuk katanya. Hana tersengih melihat wajah cemberut tunangnya itu.

Bento yang ada di tangan Hana itu diambil oleh Aniq lalu memberikannya kepada Ijat. Ijat tersenyum nipis.

“Patutlah kawan-kawan Ijat suka bawa bekal. Kawan Ijat pernah cakap. Dia suka bawa bekal sebab dia kata kalau dia bawa bekal, duit belanja dia bolehlah dia buat tabungan." Beritahu Ijat yang teringat akan cerita kawannya itu. Makin lebar senyuman Ijat apabila memandang Hana dan juga Aniq.

"Terima kasih, uncle. Aunty Aivy, terima kasih juga sebab buatkan bekalan ni untuk kami semua.” Ucapnya. Hana dan Aniq tersenyum senang. Hana mengerling jam di pergelangan tangannya.

“Okey. Kalau semua dah dapat, pergi masuk kelas sekarang. Sekejap lagi kelas dah nak mula. Aunty dengan uncle pun dah nak balik.” Kata Hana.

“Arissa jangan lupa souvenir tu, ya.” Arissa angguk kepala. Hana memandang Yana pula.

“Yana ada bawa souvenir yang kita beli hari tu?”

Yana angguk laju.

“Nanti, Yana bagi dekat dia orang.” Beritahu Yana. Teman-teman mereka yang lain mula beransur masuk ke kelas masing-masing.

“Arissa, Yana. Belajar tu baik-baik. Jangan main masa belajar. Okey?”

Laju mereka berdua mengangguk.

“Kalau macam tu, uncle dengan aunty nak gerak dulu.” Aniq berdiri dari tempat duduknya.

Arissa dan Yana bersalaman dengan aunty dan juga uncle mereka. Aniq dan Hana masing-masing tersenyum sambil menghantar anak buah mereka dengan pandangan.

“Jom,” Aniq mengajak Hana pergi. Hana menghayunkan langkahnya membuntuti Aniq. Mereka beriringan jalan keluar daripada kawasan sekolah.

Hana baru hendak masuk ke dalam perut kereta tapi dihalang oleh Aniq. Hana memandang dengan wajah yang berkerut.

“Kenapa?”

“Tinggalkan kereta dekat sini. Nanti, kita datang balik kalau sekolah dah habis.” Kata Aniq.

“Awak nak bawa saya pergi mana?” Tanya Hana ingin tahu.

“Ikut je. Jangan banyak tanya.” Aniq mengeyitkan mata lalu pintu kereta bahagian penumpang dibuka menyuruh Hana masuk ke dalam keretanya.

Hana membuat muka. Beg tangan diambil. Kereta dikunci. Hana terus masuk ke dalam perut kereta Aniq.Aniq tersenyum sambil menutup pintu kereta tersebut. Laju kakinya melangkah ke tempat pemandu.

 


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh