Bab 45

“KITA buat apa dekat IOI City Mall ni?” Jarang sekali Hana pergi ke tempat tersebut. Dia lagi suka berjalan di tempat yang selalu dia pergi.

“Saja, bawa tunang abang ni jalan-jalan. Lagipun, abang tengah cuti. Abang Harith yang uruskan syarikat sekarang.”

“Eee… Rafisqy, tak payahlah bahaskan diri tu abang. Saya tak suka dengarlah.” Makin kerap Aniq membahaskan dirinya abang. Hana tidak berapa suka dengar panggilan tersebut.

“Suka atau tak, Suha kena panggil abang juga, kan?”

“Tapi, bukan sekarang. Tunggulah…” Hana laju menekup mulutnya. Jangan kau buat hal Hana! Nasib baik kau tak terlepas cakap.

“Tunggulah apa?” Aniq jungkit kening. Hana tersengih sambil geleng kepala.

“Jom, masuk kedai tu.” Hana laju membawa Aniq ke salah satu kedai pakaian.

Keluar daripada bangunan shopping, Hana terus berubah wajah. Dia menjeling tajam tunangnya. Geram betul dengan lelaki di sebelahnya ini. Matanya jatuh ke bawah. Kedua-dua tangan Aniq penuh dengan barang-barang shopping yang berjenama.

“Padan muka! Saya dah cakap yang saya tak nak. Awak degil. Nak juga beli benda-benda tu semua.” Geram Hana dengan kelakuan Aniq yang selamba sahaja membelanjakan duitnya untuk beli barang-barang tersebut. Apa sahaja barang jualan yang disentuh olehnya di dalam butik mahupun kedai lain pasti Aniq akan membelinya. Terkejut besar juga Hana bila Aniq membayar ke semua barang-barang tersebut.

“Abang memang dah pasang niat pun bila datang sini.”

Hana tergamam. Gila ke apa lelaki ni? Kalau aku sentuh barang yang lagi mahal dari barang-barang ni nak ke dia bayar?! Marah Hana dalam hati.

“Lain kali jangan pasang niat bila bawa saya jalan. Tangan saya ni mana boleh kawal nak sentuh itu ini.” Hana berpeluk tubuh.

“Suka hati abanglah. Untuk Suha juga, kan? Bukan untuk orang lain. Atau nak abang bagi barang-barang ni dengan Chinta?” Sengaja Aniq ingin mengusiknya. Mencerlung tajam Hana memandangnya. Mereka berdua sampai di tempat Aniq memarkirkan keretanya.

“Tengok tu. Abang usik je dah marah. Kenapa? Jeles dengan Chinta?” Aniq mentertawakan Hana.

“Buat apa saya nak jeles dengan dia. Saya cuma tak suka nama dia je.”

“Eleh, jeleslah juga tu. Sebab bunyi nama dia ‘cinta’. Suha memang jeles, kan? Maknanya, Suha sudah ada perasaan dekat abanglah ni?” Aniq senyum sambil meletakkan barang-barang shopping di belakang bonet keretanya. Hana mengajuk kata lelaki itu. Malas dia hendak berdalih lagi. 

“Betul, Suha tak nak barang-barang ni semua?” Aniq meminta kepastian. Hana geleng kepala.

“Tak nak. Awak bagilah dekat kak Rafidah atau mama. Tidak pun, bagi dekat pembantu-pembantu rumah awak.”

“Suka hati saja mulut dia bercakap. Kalau Suha tak nak, tak apalah.” Jelas suara lelaki itu menunjukkan dia sedang merajuk. Hana malas hendak pujuk.

Sedang Aniq memasukkan barang-barang shopping di dalam bonet, Hana terpandang satu kelibat yang amat dikenalinya. Orang itu berdiri tidak jauh dari tempat dia dengan Aniq berdiri. Hana telan liur. Tanpa disedari tangannya memegang hujung baju Aniq. Aniq terkejut dengan tindakan Hana itu.

“Kenapa ni?” Tanya Aniq bila melihat riak wajah Hana berubah.

“Rafisqy, jom balik. Nanti, tertunggu-tunggu pula Arissa dengan Yana.” Hana mahu cepat-cepat pergi dari tempat tersebut.

“Okey. Tapi, muka Suha nampak lain macam je. Apa yang Suha tengok tu?” Aniq perasan yang tunangnya sedang memandang sesuatu di belakangnya. Bila Aniq berpaling ke tempat tersebut, Hana laju menghalang. Tidak mahu Aniq tahu tentang itu.

“Semua barang-barang shopping dah masuk, kan?” Hana memerhatikan barang-barang shopping yang sudah disusun di dalam bonet kereta kemudian tangannya laju menutup bonet tersebut. Hana menyuruh Aniq masuk ke dalam. Aniq pelik. Tapi, diturutkan juga.

 

TIBA di kawasan sekolah, Hana terus keluar dan menghenyakkan punggung di satu sudut dekat pondok bas yang telah disediakan. Aniq keluar dari kereta dan menuju ke arah Hana yang sudah mengambil tempat di pondok bas tersebut.

“Cakap dengan abang.” Aniq duduk di sebelah Hana.

“Nak cakap apa?” Hana berpura-pura tidak tahu. Sepanjang perjalanan tadi, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Langsung tidak menjawab soalan yang Aniq kemukakan kepadanya.

“Muka Suha jelas menunjukkan ada sesuatu yang merunsingkan Suha. Baik Suha ceritakan apa yang Suha nampak tadi.” Tegas nadanya. Hana mencebik sambil berpeluk tubuh.

Dia ni, suka sangat memaksa aku!

“Nanti sajalah saya cerita.” Kata Hana malas.

“Tak nak cerita tak apa. Suha tak nak buku Suha tu balik ke?” Aniq sengaja memancing reaksi Hana. Laju Hana memandang. Dia hampir lupa tentang buku ilustrasi yang dihadiahkan oleh Mitsuha kepadanya.

“Mana buku saya? Bagi balik!” Hana menadahkan tangannya agar lelaki itu memberikan bukunya semula. Aniq angkat kening.

“Laju je dia minta buku dia. Abang tak nak bagi selagi Suha tak ceritakan dekat abang. Soalan abang pun Suha tak jawab lagi.” Aniq berpeluk tubuh sambil menanti cerita dari mulut tunangnya. Hana mengeluh. Dia tahu soalan apa yang dimaksudkan oleh Aniq itu. Lama dia berdiam. Berfikir sama ada mahu membuka cerita ataupun tidak. Mereka ada dua puluh minit sebelum sekolah tamat.

“Awak…”

“Abang.” Aniq membetulkan panggilan Hana kepadanya.

“Eee… tak naklah. Saya geli nak panggil awak macam tu.”

“Cepat. Belajar panggil abang dengan nama tu. Ataupun, Cik Bento ada nama lain untuk tunang Cik Bento ni?”

Panggilan lain? Aku memang geli nak panggil dia abang. Nama apa yang sesuai untuk lelaki ni, huh? Hana meneliti wajah Aniq.

“Encik Aniq? Atau Encik Rafisqy ke?”

“Encik? Abang tak nak panggilan tu. Lain.” Bertukar terus wajah Aniq bila Hana memanggilnya ‘Encik’.

“Dia panggil orang Cik Bento, boleh pula. Kalau Tuan Aniq, macam mana?”

Laju Aniq menggeleng kepala.

“Ala, tak naklah! Janganlah paksa saya. Kalau tak saya tak nak buka cerita.” Hana merajuk. Aniq pula yang mengeluh.

You suka sangat merajuk, kan? cuma nak tahu nama panggilan yang you panggil untuk I je. Salahkah?”

Dia dah mula dah. Serius betul muka dia ni. Kata Hana dalam hati.

Mister Serious. Saya panggil awak dengan nama itulah.” Cadang Hana. Bulat mata Aniq bila mendengar nama panggilan tersebut.

“Tak ada nama lain ke? tak nak. Panggil abang sajalah.”

“Belajar panggil abang dengan nama tu. Lepas kahwin nanti pun, Suha akan panggil dengan nama tu juga.” Kata Aniq lagi. Hana garu kepalanya yang berlapik. Boleh jadi gila dia melayan karenah tunangnya ini. Hana memandang ke tempat lain dan matanya terpaku pada satu susuk tubuh yang berdiri di sebelah kereta hitam di seberang jalan.

“Awak kenal dengan Cik Edine dah berapa lama?” Hana tukar topik. Lebih kepada cerita yang ingin dia beritahu kepada Aniq. Cuma dia mahu tahu dulu siapa perempuan itu sebenarnya.

“Kenapa tiba-tiba Suha nak tahu ni?” Tanya Aniq. Suaranya juga sudah bertukar nada.

“Saja. Supaya saya boleh lawan dia lain hari.” Jawab Hana selamba. Matanya masih melekat pada orang itu. Dari jauh mereka berdua berperang mata. Aniq pula memandang ke arah bangunan sekolah.

“Ingatkan jeles dekat dia.”

“Buat apa nak jeles dengan perempuan macam tu. Hesy, awak ni asyik cakap saya jeles je. Tak naklah buka cerita kalau macam ni.” Hana menjuih bibir. Aniq ketawa melihat reaksi tunangnya.

“Okey, okey. Jangan buat muka macam tu. Abang tergoda tau.”

Hana jeling tajam. Lagi sekali Aniq ketawa.

“Bagi tahulah awak kenal dia dah berapa lama?” Hana balik ke topiknya.

“Abang dengan dia dah kenal lebih daripada tiga tahun. Abang jumpa dia masa dalam perjalanan pulang ke rumah. Masa tu hujan dan kereta dia rosak. Abang tumpangkan dia. Kami kenal macam tu saja.”

“Kenal macam tu je? Tak jatuh cinta? Cinta pandangan pertama ke? Atau dia memang cinta awak sebelum ini?”

“Abang tak pernah anggap dia lebih daripada seorang kawan, Suha. Abang tak pernah suka pun dengan dia apatah lagi jatuh cinta. Kalau boleh abang memang tak nak jumpa dia lagi. Tapi, kami selalu saja terserempak. Dia pula beria-ia nak abang jadi kawan dia. Abang terima sajalah."

“Tapi, kenapa dia cakap yang awak ni bukan sekadar kawan bagi dia? Siap cakap awak tu boyfriend dia lagi.” Hana memandang Aniq.

“Jadi, Suha percaya cakap dia?” Aniq membalas pandangan gadis itu.

“Kedua-duanya saya percaya. Saya percaya apa yang awak cakap dan saya juga percaya dengan apa yang dia cakap. Tapi kepercayaan saya lebih kepada awak dan bukannya perempuan seks itu,”

“Saya tahu Cik Edine saja nak mempergunakan awak sebab awak ni orang kaya. Tapi, masa kami gaduh depan bangunan syarikat awak, saya dapat rasa yang Cik Edine memang ada perasaan dengan awak. Mulanya saya fikir nak putuskan saja pertunangan kita supaya dia boleh bersama dengan awak. Memandangkan perangai dia teruk, so, tak jadi nak putuslah.” Hana tersengih. Suaranya tidak lagi kasar seperti tadi. Aniq tersenyum.

Hana memandang semula ke arah kereta hitam yang berparkir di seberang jalan.

“Tak ada?” Orang itu dan juga kereta hitam yang dia lihat tadi sudah menghilang dari pandangan.

“Apa yang tak ada?” Tanya Aniq yang turut sama memandang ke arah tempat yang dipandang oleh tunangnya itu. Hana geleng kepala. Senyumannya lebar.

“Dia ni! Nak kena cubit ke?”

“Cubitlah kalau berani!” Hana mencabar. Dia tahu tunangnya tidak akan berani menyentuhnya selagi mereka berdua belum ada status yang sah.

“Tadi bukan main lembut lagi dia bersuara. Sekarang ni pakai suara tinggi pula. Suha tunggu saja lepas kita kahwin nanti.”

Hana telan liur. Dia hampir lupa akan hal itu.

“Rafisqy, pasal kahwin tu…" Hana menundukkan kepala. Dia takut hendak memandang wajah tunangnya.

"Pasal kahwin tu, boleh tak awak bagi saya masa. Saya tak habis fikir lagi.” Hana bersuara lembut. Aniq diam. Malas dia hendak menjawab alasan tunangnya. Hana menghela nafas berat. Dia faham maksud 'diam' tunangnya itu. Hana melihat jam di screen telefonnya. Hanya beberapa minit lagi loceng sekolah itu akan berbunyi.

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh