Bab 25

TERNGANGA Hana melihat perhiasan di dalam rumah agam milik keluarga Aniq Rafisqy ini. Semuanya nampak mahal, eksklusif dan sudah semestinya perhiasan-perhiasan di rumah agam ini diimport dari luar negara. Ruangan rumah itu menarik perhatiannya kerana hiasan dalamannya disusun atur mengikut tema moden-klasik. Aniq membiarkan sahaja tunangnya memerhatikan sekeliling rumah agam ini.

“Cik Aivy,” Tegur seorang wanita yang agak sebaya dengan uminya.

“Macam mana…” Hana diam. Mesti mereka tahu namanya daripada lelaki itu. Hana laju mempamerkan senyuman buat wanita itu.

“Mak cik ni siapa?” Tanya Hana lembut.

“Saya Syafiyah. Cik Aivy, boleh panggil saya Mak Yah. Saya pembantu rumah di rumah ni.” Jawabnya mesra.

“Cik Aivy, mari saya tunjukkan bilik untuk Cik Aivy.” Mak Yah menarik tangan Hana. Hana memandang Aniq.

“Ikut saja Mak Yah. Dia akan tunjukkan Suha bilik tetamu.” Ujar Aniq. Hana membuntuti Mak Yah dari belakang.

Sampai sahaja di tingkat atas, Mak Yah terus membuka pintu untuk Hana. Bulat mata Hana melihat bilik tetamu itu. Ruang bilik yang cukup luas dan nampak sangat cantik. Bertemakan warna coklat cair. Pandangannya tertancap pada sebuah katil. Katil yang bersaiz King itu mengalahkan saiz katilnya.

“Ini bilik Cik Aivy. Arah kiblat dekat sana. Beg pakaian Cik dengan Arissa ada di situ. Kalau ada apa-apa panggil saja saya atau pembantu rumah yang ada di sini.” Beritahunya.

“Mak Yah, terima kasih.” Ucapnya. Mak Yah senyum.

“Tak payahlah berterima kasih. Tak sangka pula Cik Aivy ni cantik orangnya.” Hana ketawa kecil mendengar pujian Mak Yah itu.

“Saya biasa-biasa sajalah, Mak Yah. Tak payah puji sangat saya ni. Nanti makin tinggi saya terbang nanti.” Mereka sama-sama ketawa. Tidak lama kemudian Mak Yah meminta diri untuk turun ke bawah menyiapkan makan malam mereka. Sempat Mak Yah memberitahunya yang Arissa ada di dalam bilik Yana.

 

SEBAIK sahaja selesai menunaikan solat Isyak, Hana melipat semula sejadah dan juga telekung lalu diletakkan di birai katil. Dia melepaskan kembali ikatan rambutnya supaya dia dapat mengeringkan rambut yang masih basah itu. Sedang dia mengeringkan rambut dengan tuala, matanya terarah pada telefon yang diletakkan di atas bantal. Lantas Hana mengambil telefon tersebut dan membuat panggilan.

“Assalamualaikum, umi.” Hana memberi salam sebaik sahaja panggilan berjawab.

Waalaikumussalam. Hana dekat mana ni? Dah sampai KL?” Tanya Puan Hanis.

“Dah, umi. Sekarang dekat rumah Aniq.” Teragak-agak Hana memberitahu uminya. Takut pula uminya memarahinya kerana menumpang tidur di rumah bukan muhrimnya.

Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Arissa mana? Aniq ada dengan kamu?” Tanya Puan Hanis lagi.

Hana mencebik. Ingatkan nak marah aku duduk dekat rumah orang yang tak sepatutnya. “Arissa ada dalam bilik Yana. Hana seorang saja dalam bilik tetamu ni.” Beritahu Hana. Jelas terdengar nafas kelegaan Puan Hanis di hujung talian.

“Umi, jangan risaulah. Hana okey saja. Hana tahu jaga diri.”

“Umi tahu. Tapi, umi tetap risau dengan kamu. Otak kamu tu bukannya boleh pakai. Suka buat benda di luar jangkaan. Ikut sedap mulut je nak bercakap.” Kata Puan Hanis.

“Hesy, umi ni…” Hana membuat muka. Nasib baik Puan Hanis tidak ada bersamanya. Kalau tidak habis Hana dicubit oleh uminya itu.

“Umi…”

Hmmm…

“Umi pujuklah Aniq. Hana nak pulang, tapi dia tak bagi. Kereta Hana kan masih dekat sana lagi.” Hana teringat kereta MYVI itu. Sudah berapa hari dia tidak menjenguk kereta kesayangannya.

“Tak payah nak sibuk pasal kereta kamu tu. Kereta tu biar dekat sini saja. Ingat, dekat rumah orang buat perangai tu elok sikit. Jangan nak malukan umi. Nanti, umi dengan yang lain datang sana.” Terkejut Hana bila mendengarnya.

“Umi dengan ayah nak datang sini? Nak buat apa? Nak tengok keadaan Hana ke?” Bertubi-tubi soalan Hana ajukan kepada uminya.

“Tak payah ambil tahu. Nanti, kamu akan tahu juga.” Ujar Puan Hanis.

“Dah, umi nak letak dulu. Banyak lagi kerja yang nak disiapkan. Kamu jaga-jagakanlah Arissa dengan Yana tu. Aniq pula jangan di marah-marah. Belajar cara menghormati dia. Cuba cari apa yang dia suka dan tak suka. Asyik dia saja yang nak menyelidik kamu.”

Bulat mata Hana bila mendengar pesanan uminya.

“Apa yang umi cakap ni? Hana tak faham.” Hana mengerutkan dahi. Terdengar suara Puan Hanis berdeham.

“Hana tahu umi…”

“Umi rasa kamu masih ingatkan apa yang umi cakap dengan kamu. Mana dulu yang datang itu yang akan umi pilih dulu.” Laju Puan Hanis memotong kata anak perempuannya. 

Puan Hanis dapat mengagak apa yang sedang difikirkan oleh Hana. Dia mengingatkan semula kata yang pernah dia beritahu kepada anak perempuannya itu.

“Tapi, Hana tak…” Sekali lagi Hana terdiam bila Puan Hanis mencelah.

“Umi tak nak dengar. Mulai sekarang, belajar untuk kenal tunang kamu tu. Umi tak nak kamu malukan umi, faham!” Tegas suaranya memberi amaran kepada Hana. Hana merengus.

“Kalau tak ada nak cakap lagi, umi nak letak. Ingat pesan umi tu. Assalamualaikum.” Belum sempat Hana bertanya lagi, uminya sudah memutuskan talian. Geram pula Hana.

 

HANA turun ke bawah apabila Mak Yah memanggilnya sebentar tadi. Dari anak tangga, Hana melihat Arissa dan juga Yana yang sedang bermain dengan Aniq. Dia tidak tahu pula Aniq itu sekaya ini. Apa pekerjaan dia sebenarnya?

 Rumah besar, perhiasan yang sangat eksklusif, pengawal dan pembantu rumah yang agak ramai. Banyak sungguh duit dia nak gaji orang-orang di rumah besar ni. Halaman rumah yang amat luas, banyak bilik, ruang tamu yang besar dan luas, bilik mandi yang selesa. Ahh... Selesanya kehidupan dia dengan rumah besar yang serba lengkap ni. Cuma bahagian dapu rlagi aku tak tengok. Agaknya bagaimanalah ruang dapur rumah besar ni?Tertanya-tanya Hana di dalam hati.

Sampai anak tangga terakhir dia terus mencari kelibat Mak Yah. Aniq dan juga dua orang budak itu tidak dihiraukannya. Hana berjalan sehingga ke bahagian dapur. Kaku dengan bola mata yang besar. Terpegun melihat dapur yang amat luas. Mengalahkan dapur yang ada di dalam sebuah restoran. Peralatan dapur semuannya lengkap dan tersusun cantik. Beberapa pekerja sedang sibuk menyiapkan makan malam mereka. Hana perlahan-lahan menapak masuk ke ruangan tersebut.

Nampaknya, semua pembantu di dapur itu masih tidak menyedari lagi akan kehadirannya. Hana tersenyum sendiri. Nampak sangat mereka fokus dengan kerja mereka. Lantas Hana menghampiri peti sejuk yang bersaiz besar yang terletak tidak jauh darinya. Sempat dia mengerling ke arah pekerja-pekerja dapur yang sedang membelakanginya.

Hana perlahan-lahan membuka pintu peti sejuk tersebut. Terbeliak matanya melihat pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar ada di dalamnya. Hana membuka bahagian atas dan segala jenis daging dan ikan termasuk makanan segera ada di situ.

Hana menggaru tapak tangannya yang mulai gatal. Gatal hendak memasak. Hana pantang nampak bahan-bahan yang lengkap dan mulalah otaknya berfikir tentang makanan-makanan sedap.

“Cik Aivy!” Salah seorang pekerja lelaki di dapur itu perasan akan kehadiran Hana lalu menegurnya. Terkejut bila tunang majikan mereka ada di situ. Hana tersengih.

“Cik Aivy, kenapa cik ada dekat sini? Baik cik keluar dari sini sebelum Mak Yah atau Tuan Aniq nampak.”

“Tak apa. Jangan takut. Awak siapa nama?” Hana berlagak seperti biasa. Dunia masakannya sudah berlegar-legar di dalam minda.

“A… Adib.” Tergagap-gagap dia hendak memberitahu namanya. Hana tersenyum lebar. Dia memandang semula bahan-bahan yang ada di dalam peti sejuk. Dengan selamba Hana mengambil beberapa jenis bahan basah lalu diletakkan di atas meja tepi peti sejuk tersebut. Adib mula cuak.

“Cik Aivy, nak buat apa dengan bahan-bahan ni?” Kelam-kabut Adib memasukkan semula bahan-bahan basah yang diambil oleh Hana itu. Hana jungkit kening. Geram dengan tindakan pekerja dapur di sebelahnya ini. Hana mengeluarkan semula bahan-bahan yang dimasukkan oleh Adib tadi.

“Cik Aivy, tak payahlah kacau kami dekat dapur ni. Cik Aivy, duduk saja temankan tunang cik dekat luar tu.”

No. Saya tak nak. Saya nak masak juga!” Hana tidak mempedulikan pekerja lelaki itu. Suka hati dia hendak buat apa yang dia mahu di dalam dapur ini. Adib memandang pekerja lain meminta bantuan. Nampaknya, kata-kata mereka juga tidak berguna kerana Hana tetap berdegil.

 

KECOH bahagian dapur gara-gara tunang majikan mereka. Adib keluar mencari tuannya. Di luar dapur dia terserempak dengan Mak Yah. Segera Adib mendekati Mak Yah yang baru sahaja turun dari tingkat atas.

“Mak Yah! Mak Yah kena tolong Adib dengan yang lain.” Riak wajahnya cemas. Mak Yah mengerutkan dahi.

“Apa yang terjadi?” Sempat matanya mengerling ke arah Aniq yang masih sibuk melayan karenah anak saudara dan juga anak saudara tunangnya.

“Cik Aivy ada di dalam dapur. Dia nak memasak katanya. Kami tak benarkan. Tapi dia degil,”

“Mak Yah, saya takutlah Tuan Aniq marah. ” Adib garu kepala yang tidak gatal. Mak Yah yang mendengarnya sudah tentulah terkejut.

“Kamu tak payah takut. Mari kita sama-sama jumpa dengan Tuan Aniq.” Kata Mak Yah. Lantas mereka berdua menuju ke tempat majikan mereka.

Aniq memandang Mak Yah dan juga Adib bersilih ganti. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Arissa dengan Yana turut sama terdiam bila melihat pekerja dapur dan juga pembantu rumah itu berdiri tegak di hadapan mereka.

“Tuan, maafkan kami.”

“Maafkan kamu? Untuk apa saya maafkan kamu berdua?” Tanya Aniq. Dahinya berkerut. Tiba-tiba sahaja dua orang pekerjanya ini meminta maaf kepadanya.

“Cik Aivy…”

“Kenapa dengan dia?” Aniq menghalakan pandangannya ke belakang mencari kelibat Hana.

“Cik Aivy mana?!” Tanya Aniq seraya renungan tajam dihadiahkan buat dua orang pekerjanya itu.

“Dia ada dalam dapur. Saya dah cuba halang tapi dia degil. Dia cakap nak masak.” Laju Adib memberitahu majikannya. Aniq menarik nafas lega. Dia ingatkan Hana sudah melarikan diri dari rumah ini.

Mendengar sahaja Hana yang sedang memasak di dapur, Arissa dan Yana terus berhenti bermain. Laju mereka berdua merapati Aniq, Mak Yah dan juga Adib.

Aunty Aivy masak?!” Serentak Arissa dan Yana menjerit. Tanpa menunggu jawapan dari mereka bertiga, Arissa dan Yana terus berlari menuju ke bahagian dapur. Hairan Mak Yah dengan dua orang budak itu. Begitu juga dengan Adib.

“Tak apa la. Biarkan sahaja dia buat apa yang dia nak. Saya nak kamu berdua awasi dia dengan dua orang budak tu. Takut terjadi apa-apa nanti.” Pesan Aniq dengan nada yang tenang. Adib dan Mak Yah berpandangan sesama sendiri.

Aniq menguntum senyuman lebar sebaik sahaja dua pekerjanya beredar dari situ. Sejak pertama kali merasa hidangan yang dimasak oleh Hana membuatkan dia teringin lagi hendak makan. Tidak sangka pula hari ini dia bertuah kerana Hana sudi memasak untuk mereka.

 

HAMPIR lima jenis hidangan yang dimasak olehnya. Belum masuk lagi dengan hidangan-hidangan yang pekerja dapur itu masak. Hana tersenyum gembira. Dia sudah mengagihkan kesemua hidangan-hidangan kepada dua bahagian. Bahagian untuk pekerja-pekerja di rumah itu dan juga bahagian untuk dia dan juga tiga orang. Terharu mereka bila Hana baik hati menyediakan makanan untuk mereka semua. Hana menghadiahkan mereka dengan senyuman ikhlasnya. Hana berlalu ke bahagian ruang makan.

Arissa dan Yana sudah tidak sabar mahu menjamu selera. Telan liur mereka berdua melihat hidangan sedap di depan mata. Hana memandang Aniq dari jauh. Mata lelaki itu langsung tidak berkedip melihat hidangan yang banyak di atas meja. Hana melajukan langkah lalu mengambil tempat di sebelah tepi.

Hana mengaut nasi untuk mereka. Arissa dan Yana masing-masing menunjuk lauk yang mereka mahu. Hana turuti sahaja kehendak mereka berdua dan menyauk lauk tersebut ke dalam pinggan mereka.

“Jangan tengok saja. Jom, makan.” Suara Hana mengejutkan Aniq yang duduk di kepala meja.

Aunty, sedaplah aunty masak.” Puji Yana. Dia terlebih dahulu merasa hidangan yang dimasak oleh Hana itu. Arissa turut sama memuji masakan auntynya. Aniq pula masih kaku. Terliur dia melihat Yana dan Arissa itu makan.

“Hidangan yang awak masak…” Belum sempat Aniq menghabiskan katanya, Hana laju menghulurkan salah satu hidangan yang dia masak.

“Nah, awak cubalah rasa.” Tidak sabar dia hendak tahu reaksi lelaki itu. Dengan lafaz bismillah, Aniq menyuakan sedikit hidangan gulai ayam tersebut ke dalam mulutnya. Tersenyum-senyum Aniq mengunyah makanan tersebut. Tidak cukup satu pinggan, dia menambah lagi.

Melihat wajah Aniq yang begitu khusyuk menikmati makanannya, Hana dapat idea. Dia ingin mengenakan lelaki itu.

“Awak tambah lagi hidangan tu mesti sedap, kan?”

Aniq tidak memandangnya. Angguk pun tidak. Hana tidak puas hati. Sekejap lagi kau mesti pandang aku. Hana menyimpan senyuman nakal.

“Awak tahu tak sebab apa awak balik-balik ambil hidangan tu? Sebabnya hidangan tu saya masak dengan belacan.” Dia menyoal, dia juga yang menjawab. Tersedak Aniq dibuatnya. Hana ketawa mengekek.

“Suha letak belacan?!” Wajah Aniq bertukar. Dia memang tidak suka dengan hidangan yang bercampur dengan belacan. Aniq berdiri. Dia mahu mengorak langkah ke bilik air tapi sempat dihalang oleh Hana.

“Tak adalah. Saya gurau je la. Saya tahu awak tak suka belacan. Saya saja nak kenakan awak.” Kata Hana dengan sisa tawanya. Aniq memandangnya dengan pandangan menggerunkan. Hana telan liur melihat wajah itu. Dia marah ke?

Aniq meninggalkan ruang makan dan berlalu naik ke biliknya. Hilang terus seleranya hendak menikmati makanan tersebut. Hana tergamam. Arissa dengan Yana buat tidak tahu. Urusan orang tua tak payah di kacau. Baik makan saja.

Hana naik ke atas dan menuju ke bilik Aniq. Sudah dua jam Aniq tidak keluar dari biliknya. Hana risau pula lelaki itu tidak keluar makan.

Hana mengetuk pintu Aniq berkali-kali. Dia mahu lelaki itu keluar juga.

“Rafisqy, keluarlah. Saya minta maaf. Lain kali saya tak buat lagi. Awak keluarlah.” Hana terus memujuk. Kalau ikutkan hatinya, dia memang tidak mahu pujuk. Tetapi, salah tetap salah dan dia harus meminta maaf pada Aniq. Sempat dia mengerling dua bekas makanan yang dipegangnya. Bersungguh-sungguh dia membuat hidangan istimewa ini untuk tunangnya.

“Rafisqy, keluarlah. Kalau awak tak keluar saya lari. Saya tak nak kahwin dengan awak!” Ugut Hana. Namun, tiada juga tindak balas dari tunangnya.

Hesy, aku lari betul-betul baru dia tau, Hana mengeluh.

“Abang Is, Suha ni. Abang Is tolonglah keluar. Kalau tak, Suha buang aje bento ni.” Hana buat muka mahu muntah. Geli aku nak panggil dia abang Is. Tapi aku terpaksa, demi memujuk seseorang yang tengah merajuk dengan aku.

Baru sahaja Hana mahu bersandar di pintu bilik itu, tiba-tiba pintu di kuak dari dalam. Nasib baik dia tidak terjatuh. Laju Hana berpaling menghadap Aniq yang berdiri sambil berpeluk tubuh di depannya. Wajah lelaki itu serius.

“Abang Is marah lagi?”

Aniq tidak menjawab.

“Maaflah. Saya saja je nak usik abang Is tadi. Takkan itu pun tak boleh. Abang Is boleh pula usik saya.” Hana menundukkan kepala. Aniq masih berdiam diri. Langsung tidak mahu membuka mulut. Hana memandangnya semula.

“Nah, abang Is bukalah. Saya ikhlas buatkan makanan ni untuk abang. Saya tak nak abang Is marah saya.” Kata Hana sambil memuncungkan mulutnya. Dua bekas bento diberikan kepada Aniq. Aniq mengambilnya dan terus mengunci bilik semula. Hana terpana.

“Begitu je?” Hana bagai tidak percaya dengan tindakan lelaki itu kepadanya. Hana merengus kasar. Dengan langkah lemah dia menuju ke biliknya. Tiba-tiba, bunyi mesej masuk. Hana membuka dan membacanya.

Terima kasih sebab Cik Bento sudi pujuk abang Is. Thanks untuk dua jenis bento ni. Comel. Siap ada perkataan maaf lagi. Abang akan habiskan makanan ni malam ni juga. ~Aniq

Sekali lagi bunyi mesej masuk dan Hana membacanya lagi.

Nice try. Lepas ni panggil abang dengan nama tu. Abang Is. Abang suka dengan nama tu. ~Aniq

Hana tersenyum senang walaupun dia tidak suka dengan mesej kedua yang dihantar oleh tunangnya itu. Pujukannya akhirnya berhasil juga.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh