Bab 11

HARI MINGGU seperti biasa Faiz akan menjemput Hana. Kali ini dia membawa Hana berjalan-jalan sekitar Alor Setar. Tempat pertama yang mereka pergi adalah Gua Gunung Keriang. Walaupun, Hana sudah lama menetap di Kedah namun, belum pernah sekalipun dia pergi ke tempat seperti itu lagi. Hari ini Hana bersyukur kerana Faiz membawanya melawat tempat tersebut.

“Saya tak percayalah Hana tak pernah pergi sini.” Mereka beriringan jalan menuruni anak-anak tangga. Beberapa pelancong dari negara lain turut ada di situ.

“Betullah. Lagipun, saya mana ada kawan nak ke sini. Hari ini saya beruntung sebab awak yang bawa saya ke sini.” Hana tersengih.

“Biar betul?” Faiz ketawa kecil.

“Saya baru nak suruh awak jadi guide saya.” Mereka sama-sama ketawa.

Selesai melawat gua-gua yang ada di Gunung Keriang, Faiz membawa Hana ke lokasi seterusnya. Restoran Mee Sham adalah destinasi tempat makan tengah hari untuk mereka. Hana memesan Roti Doll yang amat popular di tempat tersebut.

“Makan roti je?”  

“Teringin nak makan Roti Doll. Awak pula nak makan apa?” Giliran Hana bertanya.

“Rasanya nak makan Nasi Lemak Royale.” Tersengih-sengih Faiz memberitahunya. Mereka berdua kemudian memesan makanan masing-masing serta minuman.

Beberapa minit kemudian pekerja restoran menghantar hidangan yang dipesan. Terliur Hana melihat hidangan yang dipesan olehnya. Faiz mengukir senyuman. Tercuit hatinya melihat gelagat gadis di depannya itu.

“Cuba makan perlahan-lahan. Hana ni mengalahkan budak kecil.” Tegur Faiz.

“Ada saya kisah. Suka hati saya nak makan macam mana pun. Awak apa kurangnya. Comot.” Hana menunjukkan sisa kuah Nasi Lemak Royale yang melekat di tepi bibir Faiz. Laju sahaja Faiz mengelapnya. Hana ketawa.

“Saya tipu je lah.” Hana mentertawakannya.

“Nak kena cubitan saya ke, huh?” Geram Faiz bila Hana mengusiknya.

“Usik pun tak boleh.” Hana menjelingnya. Faiz kemudian tersenyum.

“Awak marah? Janganlah marah. Nanti, saya tak bawa jalan-jalan lagi.” Faiz cuba memujuk.

“Awak nak bawa saya kemana pula lepas ni?” Tanya Hana dengan nada merajuknya.

“Ada la. Nanti, awak tahu juga. Cepat makan lepas tu kita gerak terus.” Arah Faiz. Hana mencebik.

Selesai membayar, Faiz terus memanaskan enjin keretanya. Hana mengerling tajam ke arah Faiz. Geram betul dia dengan kejadian tadi. Hana sebenarnya tidak suka bila orang tolong bayarkan makanan yang dipesannya. Selagi dia berduit selagi itu dia bayar sendiri. Tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Ala… Dah dua kali Hana merajuk. Saya memang berniat nak belanja Hana makanlah. Dah tak payah nak gaduh-gaduh pasal duit. Lain kali, Hana pula yang belanja saya, okey?” Faiz memberi cadangan. Laju Hana memandang dengan senyuman manisnya.

“Janji, okey. Lepas ni, biar saya yang belanja awak.”

Faiz sekadar mengangguk.

Waktu menyusur ke petang. Destinasi yang seterusnya mereka pergi adalah Menara Alor Setar. Menara kedua yang tertinggi di Malaysia dan merupakan mercu tanda Bandaraya Alor Setar. Hana mula cuak.

“Faiz, tak ada tempat lain ke kita nak pergi selain tempat ni?” Tanya Hana. Faiz mengerutkan dahinya.

“Kenapa? Hana tak suka pergi sini?” Faiz mendongak ke atas meneliti bangunan Menara Alor Setar itu.

“Err… Bukan tak suka.”Hana diam. Dia sedang berfikir sesuatu. Hana memandang Faiz.

“Faiz kalau awak nak naik pergilah. Biar saya tunggu dekat sini.”

“Kenapa pula? Aivy, cuba awak cakap betul-betul. Awak buat saya tertanya-tanyalah.” Faiz mengurut belakang tengkuknya. Hana jadi tidak keruan.

“Sebenarnya…” Hana telan liur.

“Tak apa. Biar saya sajalah yang naik atas kejap. Saya ambil gambar. Lepas tu, saya turun balik. Okey?” Faiz akhirnya membuat keputusan dan Hana laju saja mengangguk. Lega sebab dia tidak perlu memberikan alasan.

Hana tidak peduli sama ada dapat naik atau tidak. Jika dia hendak pergi biarlah dia dengan keluarganya sahaja.

Sejam kemudian Faiz turun semula dan berlari ke arah Hana yang sedang duduk di satu sudut. Hana melemparkan senyuman sebaik saja Faiz berdiri di depannya. Faiz membetulkan pernafasannya sebelum membalas senyuman gadis itu.

“Apa yang awak tengok dekat atas?” Tanya Hana.

“Nah,” Faiz memberikan telefonnya kepada Hana. Dia menyuruh Hana melihat gambar-gambar yang diambilnya ketika berada di atas sebentar tadi. Hana senyum sendiri melihat Faiz berswafoto di dalam telefon itu. Pemandangan yang diambil juga sangat cantik.

“Cantik.” Puji Hana. Dia memandang Faiz semula.

“Kenapa lambat sangat? Sejam tunggu awak dekat sini.”

“Maaflah. Terlalu teruja sampai tak ingat awak tadi.” Faiz tersengih.

“Jom, kita pergi ke tempat yang seterusnya sebelum saya hantar awak pulang.” Faiz terus berjalan ke tempat parkir kereta. Hana membuntuti dari belakang.

“Harap-harap bukan tempat macam ni lagi.” Kata Hana perlahan.

Mereka berhenti di destinasi terakhir, Taman Jubli Emas. Taman ini merupakan tempat reaksi penduduk sekitar Bandaraya Alor Setar dan menjadi tumpuan ramai terutama di hujung minggu seperti ini.

Hana meliarkan mata di kawasan sekeliling. Dia melihat budak-budak bermain layang-layang, bermain papan luncur, menunggang kuda, bersenam dan banyak lagi aktiviti. Pandangannya kemudian dibuang ke arah tasik buatan itu. Pengunjung yang datang seronok memberikan makan kepada ikan-ikan yang ada di dalam tasik tersebut.

“Awak suka tempat ni?” Faiz bersuara selepas beberapa minit mereka melayan perasaan masing-masing. Hana sekadar mengangguk.

“Sebelum ni pernah pergi sini?” Tanya Faiz lagi.

“Pernah.” Jawab Hana sepatah.

Boyfriend? I mean ex-boyfriend?”

Hana mengerutkan dahi. Faiz tersengih.

"Maksud saya, awak ke sini dengan boyfriend atau ex...?"

Hana tersenyum nipis.

“Saya ke sini dengan kawan saya. Boyfriend-boyfriend ni tak mainlah."

Faiz tercengang. "Biar betul awak ni, Hana?! Jangan cakap selama ni awak tak pernah bercinta pula. Sejak saya pindah, takkanlah tak ada langsung lelaki yang awak minat?"

"Entahlah, Faiz. Hati saya ni tak terbuka lagi untuk mana-mana lelaki."

Faiz memandangnya.“Takkan satu pun tak ada?” Hana jungkit bahu lalu mengorak langkah. Faiz mengejar Hana yang sudah jauh ke depan.

“Atau… awak sebenarnya tunggu saya?”

“Tunggu awak?!” Mahu ketawa Hana mendengar soalan Faiz itu.

“Mana ada. Awak ni, kan.” Hana memukul bahu Faiz yang berlapik itu.

 Faiz ketawa.

“Kenapa awak ketawa? Nak ejek sayalah tu?” Hana jadi geram pula.

“Taklah. Saya cuma terkejut. Saya fikir awak tunggu saya.” Senyuman manis Faiz itu membuatkan hati Hana tidak senang.

Kenapa pula dengan kau ni, Hana?! Perasaannya mula kacau. Lebih baik dia teruskan berjalan daripada melayan bicara lelaki itu. Dia melajukan langkahnya ke depan.

Faiz terkesima dengan kelakuan Hana yang tiba-tiba saja meninggalkannya di situ.

“Aivy!” Faiz memanggilnya namun tidak dipedulikan oleh gadis itu. Hana sudah jauh ke depan.

“Aku salah cakap lagi ke?” Tanya Faiz dengan dirinya sendiri. Dia memandang Hana yang semakin jauh menghilang dari pandangannya. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke arah gadis itu.
Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh