Bab 36

ANIQ RAFISQY mengajak pembantunya dan juga Chinta makan tengah hari di sebuah restoran yang berdekatan dengan bangunan syarikatnya. Mujurlah tidak ramai pelanggan yang datang berkunjung ke restoran tersebut.

Aniq dan Muaz mengambil tempat masing-masing. Mereka berdua sudah memesan makanan dan juga minuman daripada pekerja restoran tersebut. Chinta meminta diri untuk mengambil hidangan di depan. Dia lagi suka hidangan layan diri sebab dia boleh pilih hidangan yang dia mahu dan tak perlu risau tentang kuantiti hidangan yang diambil.

Muaz mengerling majikannya. Wajahnya sedikit berkerut.

“Tuan Aniq,” panggil Muaz. Aniq memandangnya.

“Tuan tak kenyang lagi ke?”

Berkerut dahi Aniq mendengar soalan tersebut.

“Saya tak makan lagi macam mana nak kenyang? Kamu dah kenapa Muaz?”

Muaz menyengih. “Cik Aivy tak bagi apa-apa dekat tuan ke?”

“Dia bagi apa?” Makin berkerut dahinya. Sepanjang Hana ada di dalam bilik pejabatnya, gadis itu hanya mendiamkan diri sahaja. Terkejut juga dia dengan kehadiran Hana yang tiba-tiba muncul di depan mata setelah beberapa hari menghilangkan diri.

“Err… sebenarnya Mitsuha ada bagi tahu saya tujuan dia dengan Cik Aivy datang ke sana.” Teragak-agak Muaz ingin memberitahunya. Betul ke tuan tak dapat apa-apa daripada tunang dia tu?

“Tujuan?”

Muaz angguk perlahan. Ah, bagi tahu sajalah, kata Muaz dalam hati. Malas dia hendak berselindung.

“Mitsuha bagi tahu yang Cik Aivy datang jumpa tuan sebab nak minta maaf dengan tuan. Mitsuha cakap Cik Aivy ada buatkan bento untuk tuan. Sebab tu saya tanya tuan tadi.”

Aniq tergamam. Dia datang minta maaf? Bento? Melayang fikirannya bila teringat bakul kertas yang dipegang oleh Hana sewaktu mereka berada di dalam bilik pejabat. Dalam bakul kertas itu bento ke?

“Tuan Aniq,” Muaz menyentaknya. Aniq berdeham dan memandang semula pembantunya.

“Tapi, Muaz…”

“Hidangan korang tak sampai lagi ke?” Terbantut perbualan mereka berdua apabila Chinta muncul semula dengan nasi dan juga lauk yang dia pilih sebentar tadi. Muaz hanya senyum. Aniq juga begitu.

Aniq mengamati wanita di tepinya. Berselera sungguh Chinta makan walaupun hidangan yang diambil oleh wanita itu dalam kuantiti sikit. Dalam pejabat tadi, dia sibuk berbincang dengan Chinta. Hana pula dibiarkan saja duduk di bahagian sofa.

Kenapalah kau tak tanya dia dulu. Tengok, apa dah jadi? Dia pulang tanpa cakap apa-apa dengan kau. Bento kau pun kau tak dapat, marah Aniq pada dirinya sendiri.

“Chinta, Muaz. Saya ke sana kejap. Nak buat panggilan.” Aniq meminta diri. Serentak mereka berdua mengangguk.

Aniq menjauh daripada mereka berdua. Pantas telefon di tangannya dibuka. Nombor telefon Hana ditekan. Lama. Beberapa kali dia cuba menelefon gadis itu. Gagal. Dia merajuk ke?

 

“HANA, kenapa tidak angkat panggilan tu?”

“Tak nak. Malas saya nak jawab. Sibuk betul dia dengan perempuan tu. Tak cukup dengan si perempuan seksi. Sekarang ni dia mesra pula dengan perempuan lain. Aku tak pula dia layan macam tu.” Hana meluahkan rasa tidak puas hatinya. Hampir separuh bento itu dimakan oleh mereka berdua. Mitsuha geleng kepala. Tangannya pula lincah mengambil bento buatan Hana itu.

“Hana juga yang tak layan dia baik-baik, kan? Asyik nak marah dengan tunang saja.” Mitsuha memerlinya sambil mengunyah makanan di dalam mulut.

“Saya…” Hana tidak dapat teruskan katanya. Dia pun tidak tahu kenapa dia marah sangat bila Aniq bermesra dengan perempuan lain. Siap panggil cinta lagi dengan perempuan itu.

Hana melihat jam tangannya. Sekarang dah habis makan tengah hari. Mesti Aniq dah bergerak ke kilang dengan perempuan tu. Gelak tawa wanita itu dengan tunangnya bermain-main di minda. Hana geram.

“Siapa perempuan tu, hah?! Saya boleh terima si Edine tu lagi. Tapi, bila dia dah mesra dengan perempuan yang jauh lebih baik daripada perempuan seksi itu, saya sakit hati pula.” Melepas juga geram Hana yang ditahan-tahannya dari tadi. Mitsuha ketawa kecil.

“Hana, I think you fall in love with him.” Tercengang Hana dengan kata-kata Mitsuha.

“Hah?! Tak mungkinlah. Cepat juga saya jatuh cinta dengan lelaki tu.”

“Tidak salah pun kalau Hana jatuh cinta dengan tunang sendiri, kan?”

Jantungnya bagai hendak tercabut. Rahangnya hampir jatuh bila mendengar perkataan tersebut. Tajam matanya menjeling teman baik sendiri.

 

MALAMNYA ditemani oleh bintang-bintang yang berkelipan jauh di atas langit hitam. Hana duduk di tepi tingkap sambil menikmati suasana tersebut. Saat dia melayan perasaan, tiba-tiba bunyi mesej masuk. Hana membuka mesej tersebut.

Kenapa tak angkat panggilan tengah hari tadi? ~ Aniq

Malas nak angkat. ~ Hana

Esok datang pejabat. ~ Aniq

Tak nak! ~ Hana

Hana terus membuang telefonnya di atas tilam. Malas dia hendak layan tunangnya. Dia menuju ke sofa dan berbaring di atas sofa tersebut. Dia menguap. Baru hendak tutup mata tapi bunyi tersebut menganggu tidurnya. Hana merengus.

Telefon dicapai. Bukan mesej tapi bunyi panggilan dari lelaki itu. Hana memaksa dirinya untuk menjawab panggilan tersebut.

“Kenapa lagi ni?” Jawab Hana malas. Dia kembali ke bahagian sofa. Tubuh dibaringkan semula.

“Siapa yang marah siapa ni? Sepatutnya abang yang marah Suha tau. Menghilangkan diri macam tu saja. Sekarang ni terbalik pula.” Dari hujung talian itu jelas kedengaran nafas berat dilepaskan. Hana diam. Malas dia hendak cari gaduh.

“Suha diam saja. Suha marah abang lagi ke?” Tanya Aniq di hujung talian.

Ber‘abang’ pula lelaki ni. Hana mengiring ke sebelah. Telefon dilekapkan di telinga sebelah kiri.

“Marah untuk apa? Sudahlah. Saya nak tidur.” Hana terus mematikan taliannya. Dia menutup mata. Namun, sekali lagi telefonnya berbunyi. Bukan panggilan tapi bunyi mesej pula. Hana mendengus. Sekejap mesej. Sekejap telefon. Aku buang karang telefon ni baru tau.

Abang tak habis cakap lagi. Kenapa Suha matikan panggilan? ~ Aniq

Saya malas nak berbual dengan awak. Saya nak tidur dulu. ~ Hana.

Hana menggeram bila bunyi mesej dari lelaki itu tidak putus-putus masuk ke dalam aplikasi Whatsapp. Laju tangannya menekan kembali aplikasi tersebut. Mesej dibaca.

Esok jumpa abang.

Jumpa dekat pejabat.

Suha jangan lupa buat bento untuk abang, okey.

Abang tunggu Suha tengah hari nanti.

Kalau tak datang, abang pergi rumah Suha. Ambil Suha dekat sana.

Assalamualaikum, dear. Mimpi abang tau. ;)

Waalaikumussalam.” Jawab Hana tanpa membalas mesej tersebut. Dia terus menutup mata. Lebih baik dia tidur. Tidak mahu berfikir lagi. Esok pagi saja dia memikirkan mesej yang Aniq hantar kepadanya tadi.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh