Bab 12

HANA termenung sendirian. Dia teringat akan kata-kata Faiz semasa mereka berada di Taman Jubli Emas itu. Terngiang-ngiang sampai sekarang. Hana menyentuh dadanya. Tidak juga berdegup laju. Normal sahaja dirasakannya. Serta-merta ingatan melayang pada perbualan dia dengan uminya. Memikirkan kata-kata uminya itu Hana mengeluh panjang. Umi dengan ayah memang sporting. Tapi, bila sudah masuk bab kahwin ni dia orang jadi serius pula. Argh! Agaknya siapalah yang akan jadi suami aku nanti. Kalau Faiz…

“Hesy, tak mungkinlah. Perasaan aku dengan dia tak ada beza pun dengan perasaan seseorang terhadap kawan.” Hana memintal hujung tudung bawalnya. Sakit kepalanya memikirkan kata-kata uminya.

“Cik Hana!” Sergah Una. Hana terkejut lantas berpaling ke belakangnya.

“Una! Terkejut saya. Lain kali janganlah buat macam tu lagi.” Hana mengurut dadanya. Una tersengih.

“Cik Hana boleh tak saya minta cuti lusa nanti?” Una terus ke soalan utama.

“Kenapa?”

“Lusa, kan dah mula cuti sekolah. Una nak minta cuti beberapa hari sebab nak ikut keluarga Una bercuti dekat Pahang.” Tersengih-sengih dia memberitahu Hana.

“Okey.” Jawapan pendek dari Hana. Bulat mata Una. Senyuman diukir. Teruja bila dengar jawapan itu dari mulut anak saudara majikannya ini.

“Betul ke Cik Hana?” Una meminta kepastian. Hana mengangguk.

“Tapi, bila dah habis cuti nanti, jangan pula tambah cuti. Kerja tetap kerja.” Hana memberi amaran awal kepada pekerjanya itu. Una senyum. Dia memeluk Hana sebagai tanda terima kasihnya kerana memberi cuti.

“Terima kasih, Cik Hana.” Ucap Una lalu beredar dari situ.

“Cuti sekolah? Hmmm..." Hana mundar-mandir sambil memikirkan cuti sekolah yang bakal tiba.

"Agaknya kak Lina balik tak?” Tertanya-tanya dia jika kakaknya itu pulang ataupun tidak.


“PEREMPUAN ni memang tak faham bahasa ke?!” Muaz naik marah. Baru sebentar tadi dia bertembung dengan Edine di bahagian lobi. Seperti sebelumnya, dia tidak akan membenarkan perempuan itu naik ke atas. Teruk juga dia dimarahi dan dimaki hamun oleh perempuan itu.

“Muaz, kau okey tak?” Soal Rio salah seorang pekerja di situ. Dia dengan tidak sengaja ternampak akan situasi tersebut.

“Aku okey. Tapi, susah betul nak berdepan dengan perempuan tu. Kalau aku naik marah karang, habis perempuan tu aku tendang macam bola. Dah berapa kali datang, dah berapa kali bagi faham, dah banyak bahasa kena guna. Dia tetap degil juga.” Luah Muaz. Kalau dengan majikan, belum tentu dia akan luah seperti begitu. Nasib baik ada Rio yang sudi mendengar luahannya. Rio menepuk lembut bahu teman sekerjanya agar temannya itu bertenang.

“Jadi, mana perempuan tu? Masih di sini?” Terjenguk-jenguk Rio memandang di bahagian lobi itu.

“Aku dah halau. Aku suruh pengawal angkat dia keluar daripada kawasan bangunan ni. Stress betul aku nak hadap perempuan tu!” Geram betul Muaz. Rio ketawa. Geli hatinya melihat kelakuan Muaz seperti orang gila itu.

Butang Lif ditekan. Tidak sampai lima minit, pintu lif sudah terbuka. Terkejut Muaz dan juga Rio apabila melihat majikan mereka keluar daripada lif tersebut.

“Muaz, kamu dah halau perempuan tu?” Tanya Aniq. Muaz angguk kepala. Rio hanya berdiri statik di tempatnya.

“Muaz, saya cuti dua minggu. Nanti, kalau ada apa-apa just call me. Penting tak penting bagi tahu saja.”

“Err… Tuan nak pergi mana? Kenapa ambil cuti lama sangat?” Tanya Muaz.

“Cuti sekolah dah mula. So, saya nak bawa anak buah saya pergi bercuti.” Aniq memandang jam di pergelangan tangannya dan memandang semula Muaz dan juga Rio.

“Saya kena pergi. Sepanjang saya tiada di sini saya nak kamu berdua tolong jagakan syarikat ni, faham?” Aniq memberi arahan.

Terangkat kening Rio apabila dia juga diberikan tugas yang sama seperti Muaz. Rio angkat tangan sambil tersengih.

"Yes, Rio." Aniq memandangnya.

“Tuan Aniq nak saya jaga syarikat ni juga ke?” Tanya Rio yang kebingungan.

“Ya. Kamu tolong Muaz di sini dan kamu berdua jangan sesekali bagi tahu perempuan tu yang saya tengah bercuti. Faham?!” Aniq memberi amaran. Terangguk-angguk kedua-dua pekerjanya itu.

“Jangan sesiapa dalam bangunan syarikat ni bagi tahu tentang keberadaan saya jika perempuan tu datang ke sini. Saya tak nak dia ganggu cuti saya. Faham?!” Sekali lagi mereka berdua mengangguk. Selesai memberi arahan, Aniq terus keluar daripada bangunan tersebut.


“AWAK balik Australia malam ni? kenapa? Siapa yang nak jaga kafe awak nanti?” Soalan bertubi-tubi diajukan kepada Faiz.

“Kafe tu nanti saya serahkan kepada manager saya. Dia akan uruskan sewaktu ketiadaan saya. Jangan risaulah.” Terharu Faiz bila Hana mengambil berat tentang kafenya.

“Saya kena balik Australia pun sebab keluarga sebelah ayah saya yang suruh. Dia orang nak saya ada dekat sana masa majlis pertunangan kakak sepupu saya.” Beritahu Faiz. Hana diam tertunduk kemudian memandang Faiz semula.

“Kalau saya ikut, boleh? Nak juga tengok negara orang.” Tanpa segan silu Hana mengatakan hasratnya. Takut itu memang ada. Tapi, dia teringin mahu ikut lelaki itu.

Faiz tersengih sambil mengusap belakang tengkuknya.

“Nak ikut saya? Tak payahlah. Saya tak jamin awak selamat dekat sana walaupun saya ada dengan awak.” Hana mencembungkan pipinya bila Faiz tidak mahu mengajaknya ikut sama.

Tapi, ada baiknya juga Hana tidak mengikutinya ke Australia. Lagipun, Hana tidak mahu menaiki kapal terbang dengan orang yang bukan muhrim. Dia ada sebabnya sendiri. Sebelum ini pun dia ke luar negara dengan uncle dan auntynya sahaja.

“Ala, janganlah merajuk. Lain kali, okey?” Faiz memujuknya. Hana tidak memberi respons. Hana sengaja mahu Faiz memujuknya.

“Hana, janganlah macam ni. Saya tak pergi lamalah. Nanti, saya balik sini juga. Siapa yang nak jaga kafe tu kalau bukan saya, kan?” Faiz memancing reaksi Hana.

“Lain kali tu bila?” Tanya Hana tidak puas hati. Pipinya dikembang kempiskan. Kelakuannya itu mengundang tawa Faiz.

“Jangan buat macam tu boleh tak? Tak takut ke kalau saya jatuh hati dekat awak kalau awak buat muka comel macam tu.” Sejak mereka rapat kembali, banyak kelakuan comel yang Hana tunjukkan tanpa sengaja kepadanya. Boleh jatuh hati Faiz kalau hari-hari Hana buat perangai comelnya itu.

“Buat apa?”

“Tu. Kejap kembungkan pipi. Kejap buat mata kesian. Awak memang nak saya jatuh hati dekat awak ke?”

“Mana ada!” Hana membelakanginya. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah diri yang tidak berkelakuan baik di depan teman baiknya sendiri. Faiz mentertawakannya.

“Hana,” Panggil Encik Han. Selesai urusan kafe, dia terus keluar mencari anak saudaranya.

“Eh, Faiz pun ada sekali.”

Faiz tersengih.

“Sebenarnya uncle, saya datang nak bagi tahu Hana yang saya kena terbang ke Australia malam ni.” Faiz tidak mahu berselindung apa-apa dengan Encik Han.

“Eh, kenapa pula?” Giliran Encik Han bertanya.

“Sebab keluarga sebelah ayah dekat sana suruh datang majlis pertunangan kakak sepupu saya.” Beritahu Faiz. Pandangan Encik Han beralih pula pada anak saudaranya.

“Hana, okey?” Tersentak Hana dengan pertanyaan unclenya.

“Okey apa?” Acuh tak acuh dia bertanya.

“Yalah. Faiz balik Australia. Hana, okey ke? Boleh tahan ke rindu tu?” Sengaja Encik Han mengusik anak saudaranya. Merona merah wajah Hana. Faiz dan Encik Han sama-sama ketawa.

“Saya nak minta diri dululah. Saya dah lambat nak ke lapangan terbang ni. Takut terlepas pula penerbangan nanti.” Faiz meminta diri terlebih dahulu. Dia bersalaman dengan Encik Han. Faiz melambai tangan ke arah mereka berdua apabila dia sudah masuk ke dalam perut kereta. Hana memandang kereta Faiz sehingga kereta itu hilang dari pandangan.

“Dah, jom.” Encik Han sudah berada di depan keretanya. Hana hanya menurutinya.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh