Bab 34

LINA mundar-mandir di ruang tamu. Semua orang turut sama berkumpul di ruangan tersebut. Aniq pula dari tadi tidak henti-henti membuat panggilan dan tiada satu pun panggilan yang dijawab oleh Hana.

“Sudah dua hari dia pergi dengan kereta saya. Dia langsung tak bagi tahu nak ke mana. Betul-betul buatkan kita semua risaulah.” Kata Lina geram.

“Sabar Lina, jangan marah sangat.” Rafidah menenangkan Lina.

"Saya tak marah. Saya cuma geram saja dengan budak tu." Kata Lina. Dia memandang uminya yang berada di sofa. Riak risau jelas terpamer di wajah tua itu.

“Mitsuha, Hana langsung tak bagi tahu apa-apa dengan kamu ke yang dia nak pergi mana?” Soal Puan Hanis pada teman baik Hana itu. Mitsuha perlahan-lahan geleng kepala. Dia juga ada menelefon Hana tapi panggilannya langsung tidak dijawab.

“Aniq, dapat?” Risau Datin Ruhaina melihat anaknya yang sudah tidak keruan itu.

“Tak dapat. Mama, Aniq nak keluar sekejap cari dia.” Tanpa menunggu balasan mamanya mahupun yang lain Aniq terus melangkah keluar daripada rumah. Dia tahu Hana marahkan dia.

“Kita berdoa sajalah agar dia selamat. Mudah-mudahan tiada apa-apa yang tidak baik berlaku dengan anak kita tu.” Kata Encik Syukri yang tenang saja.

 

SUDAH empat hari Hana menginap di salah sebuah hotel. Dia tidak mahu sesiapa mengganggunya. Telefon yang asyik berdering di atas tilam hanya dibiarkan begitu sahaja. Fikirannya masih lagi bercelaru dengan apa yang berlaku pada dirinya sekarang. Cerita Faiz sudah ditolak ke tepi. Tiada guna lelaki itu di dalam fikirannya lagi.

Kepalanya sekarang ligat memikirkan tentang tunangnya. Aniq memaksanya untuk mempercepatkan perkahwinan mereka. Masalahnya dia tidak cinta dengan lelaki itu. Cincin yang tersarung di jari manis dipandang lama. Rasanya, dia perlu berjumpa dengan Datin Ruhaina secara peribadi.

Selesai solat subuh, Hana terus bersiap untuk keluar daripada hotel tersebut. Hari ini dia sudah membuat keputusan untuk berjumpa dengan Datin Ruhaina. Kereta milik kakaknya masih lagi diguna pakai olehnya. Dia tidak kisah kalau kakaknya marah jika dia pulang ke rumah nanti. Hana meluncur laju meninggalkan bangunan hotel tersebut.

 

“DATIN,” Panggil Pak Wan dengan suara yang perlahan. Datin Ruhaina yang baru sahaja menjejaki anak tangga yang terakhir laju mendekati Pak Wan. Mana tahu, Pak Wan membawa khabar berita tentang bakal menantunya yang sudah hilang beberapa hari ini.

“Ada apa Pak Wan? Ada khabar tentang bakal menantu saya ke? Pak Wan dah dapat cari dia?” Tanya Datin Ruhaina. Sebelum ini dia ada meminta Pak Wan dengan pekerja lain mencari bakal menantunya itu. Risau sungguh dia dengan Hana yang masih lagi tidak muncul-muncul sehingga hari ini.

“Sabar datin. Datin jangan risau. Cik Aivy baik-baik saja. Dia ada di luar sekarang ni. Katanya nak berjumpa dengan Datin secara peribadi.” Pak Wan menyampaikan pesanan Hana kepada majikannya. Datin Ruhaina yang agak terkejut dengan khabar itu tidak putus-putus mengucapkan syukur. Mana tidaknya sudah berapa hari tiada khabar dari gadis itu. Ahli keluarga Hana gagal menghubunginya begitu juga dengan Aniq dan teman baik Hana. Mereka semua amat risau tentang keselamatan anak dara itu.

“Secara peribadi? Dia tak nak jumpa dengan Aniq?”

Pak Wan geleng kepala.

“Kenapa Pak Wan tak suruh saja dia masuk?”

“Dia tak nak, Datin.”

“Baiklah. Pak Wan boleh pergi.”

Datin Ruhaina mempercepatkan langkahnya sebaik sahaja melihat kelibat Hana yang sedang menunggu di luar kawasan rumahnya.

“Hana, ke mana sahaja kamu menghilang ni. Mama dengan yang lain risau tau tak!” Tidak semena-mena Datin Ruhaina memarahinya.

"Hana minta maaf." Dia tersenyum tawar. Hana menyalami Datin Ruhaina. Sebaik sahaja dia melepaskan tangannya, Datin Ruhaina laju memeluknya. Hana terkesima.

“Ma… mama kenapa ni?” Hana terkejut dengan tindakan Datin Ruhaina. Perlahan-lahan Hana mengusap lembut bahagian belakang tubuh wanita itu.

“Mama sudahlah. Hana dah ada dekat depan mama ni.” Hana meleraikan pelukan mereka. Datin Ruhaina mengusap lembut pipi gebu milik gadis itu.

“Mama, Hana minta maaf sebab menghilangkan diri macam tu je. Hana sebenarnya nak tenangkan diri Hana. Semua yang berlaku terlalu cepat bagi Hana.” Hana menunduk.

“Kenapa buat kami macam ni? Risau tau tak. Panggilan kamu tak jawab. Mesej tak balas. Ahli keluarga Hana semua risaukan Hana tahu tak? Arissa dengan Yana tak henti-henti cari Hana. Aniq lagilah. Dia makan pun tak. Risau sangat dengan keselamatan kamu. Lain kali jangan buat macam ni lagi. Kalau nak pergi seorang diri pun kena bagi tahu kami dulu.” Marah Datin Ruhaina. Hana hanya pasang telinga sahaja mendengar leteran wanita itu.

“Saya tahu salah saya, mama. Tapi, sekarang ni saya perlukan ruang,”

“Mama…” Hana memandang Datin Ruhaina dengan satu harapan.

“Mama, boleh tak kalau Hana bawa mama ke tempat lain? Ada banyak benda yang Hana nak cakap dengan mama.” Lembut dan tenang sahaja Hana meminta bakal mentuanya itu.

 

ANIQ memarkirkan kereta lalu mematikan enjin kereta tersebut. Lantas, dia keluar mendapatkan Pak Wan yang berada di pondok pengawal.

“Pak Wan, itu bukan kereta kak Lina ke?” Aniq meminta kepastian. Terkejut juga Pak Wan dengan sergahan dari anak majikannya itu.

“Ya, tapi Cik Aivy yang bawa.”

Aniq meliaukan pandangannya mencari kelibat Hana. Sungguh dia rindukan gadis itu.

“Maaf, tuan. Kereta dia memang ada tapi orangnya tak ada.” Beritahu Pak Wan apabila perasan reaksi majikannya.

“Tak ada?! Pergi mana?” Riak risau dipamerkan.

“Tenang, tuan. Cik Aivy selamat. Dia keluar dengan mama tuan. Tapi, saya tak tahu pula ke mana mereka berdua pergi.” Pak Wan laju memberitahunya.

“Naik apa?” Aniq cuba bertenang.

“Kereta mama tuan. Pian yang jadi pemandu mereka.” Beritahu pengawal itu lagi. Laju Aniq mengeluarkan telefonnya namun sempat dihalang oleh Pak Wan.

“Kenapa pula ni Pak Wan?”

“Datin Ruhaina pesan dekat saya supaya bagi tahu tuan agar jangan kacau mereka. Dia tak nak tuan telefon mereka. Mereka tak nak diganggu.”

Aniq meramas rambut belakangnya. Nafas berat dihela. Hilang terus tekanan yang dirasakan olehnya. Apa agaknya yang mereka berdua tengah buat sekarang? Aniq berharap agar mamanya tidak memarahi tunangnya itu.


POKOK-POKOK Pine yang tinggi menghijau menghiasi sepanjang tepi jalanan membuatkan Hana rasa begitu tenang sekali. Ditambah pula dengan kabus yang tidak seberapa tebal membuatkan susana jadi nyaman. Senyuman masih tidak lekang di wajah Hana.

“Mama bawa Hana pergi mana ni?” Hana melihat sekeliling kawasan dari dalam kereta yang dipandu oleh pemandu Datin Ruhaina. Kereta kakaknya ditinggalkan sahaja di perkarangan rumah Datin Ruhaina.

 “Kejap lagi kita akan sampai. Nanti, Hana tahulah.” Ujar Datin Ruhaina dengan senyuman yang diukir.

Pintu pagar utama terbuka luas oleh pengawal keselamatan di sana menjemput masuk tetamu ke kawasan tersebut. Pian, pemandu Datin Ruhaina memandu masuk ke kawasan rumah besar itu. Enjin kereta dimatikan. Hana melangkah keluar daripada perut kereta. Datin Ruhaina pula sudah ke depan untuk membuka kunci pintu rumah besar itu.

“Siapa punya rumah ni, mama?” Terpegun Hana melihat rumah besar yang tersergam indah di depan mata. Datin Ruhaina sekadar mengukir senyuman dan membawa bakal menantunya masuk ke dalam.

Hana tergamam. Terbeliak melihat isi di dalam rumah itu. Sangat cantik! Elegan! Konsep moden yang digunakan dalam rumah besar ini sangat menambat hati Hana. Konsepnya sama seperti konsep hiasan dalaman yang dia selalu lihat di kaca televisyen dalam program rancangan barat.

“Ini vila arwah ayah Aniq. Tapi, sekarang dah jadi milik Aniq sepenuhnya. Hiasan rumah ni semuanya idea Aniq. Dia selalu datang sini setiap hujung bulan untuk bersihkan vila ni.” Beritahu Datin Ruhaina.

“Dia yang bersihkan sendiri? Mana orang gaji rumah ni? Kenapa dia tak suruh saja orang gaji rumah ni yang kemaskan dan bersihkan kawasan rumah ni?” Soal Hana bertubi-tubi. Meletus tawa Datin Ruhaina kerana terkejut dengan soalan yang begitu laju keluar dari mulut mungil gadis itu.

“Hana, ini vila dah jadi milik dia. Suka hati dia nak ambil orang gaji atau tak. Hanya pengawal keselamatan itu saja yang dia upah untuk tengok-tengokkan kawasan rumah ini.” Datin Ruhaina menarik tangan Hana ke bahagian dapur.

“Tapi, Aniq lebih suka bersihkan sendiri rumah ni. Katanya, dengan cara itu saja dia boleh melepaskan rindunya pada arwah ayah dia.” Sambung wanita separuh abad itu lagi. Hana diam. Agaknya dia terharu dengan bicara Datin Ruhaina itu.

Sampai di bahagian dapur Hana terkesima dengan reka bentuk ruang tersebut. Walaupun tidak seluas dapur di rumah Datin Ruhaina, namun cukup cantik dan kemas sahaja ruangan tersebut. Alatan dapur semuanya tersusun rapi di tempatnya.

“Cantiknya dapur ni. Dapur ni pun dia yang kemas juga ke?” Jarang sebenarnya aku tengok lelaki pandai mengemas dapur. Apatah lagi satu rumah ni, kata Hana dalam hati.

Datin Ruhaina mengukir senyuman sambil mengangguk. Dia kemudian memeriksa barang-barang kering yang disimpan di atas almari dapur. Semuanya masih elok diguna pakai lagi. Datin Ruhaina kemudian membawa Hana keluar dari situ dan menunjukkan bahagian lain dalam rumah. Hampir semua tempat Datin Ruhaina tunjukkan kepada bakal menantunya itu dan Hana pula tidak putus-putus memuji hiasan dalaman tersebut.

Setengah jam mereka berdua berlegar-legar di dalam vila dua tingkat itu dan akhirnya Datin Ruhaina membawa Hana duduk di halaman vila. Sempat Hana membuat teh panas untuk mereka berdua.

“Mama,” Hana buka mulut setelah beberapa minit mereka berdua mendiamkan diri. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

“Kalau Hana tanya sesuatu boleh?”

Datin Ruhaina memandangnya.

“Hana nak tanya apa?”

Hana menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata.

“Mama jujur dengan Hana, ya?”

Datin Ruhaina sekadar mengangguk. Teh yang masih panas yang terhidang di atas meja bulat itu diambil dan diteguk perlahan.

“Tanyalah apa yang Hana nak tanya dekat mama.”

“Mama suka Hana?”

Berkerut dahi Datin Ruhaina mendengar soalan tersebut. “Kenapa Hana tanya soalan pelik macam tu? Mestilah mama suka Hana. Hana sesuai sangat dengan Aniq.”

Aku sesuai dengan Aniq? Rasa kelakar pula dengar ayat tu. Aku tak rasa pun Aniq tu sesuai dengan aku. Hana tersenyum sendiri.

“Hana cuma pelik dan baru terfikir. Biasanya, orang kaya tak suka dengan orang bawahan macam keluarga saya ni. Tapi, mama lain pula. Saya tak sangka mama akan terima saya.”

Terkejut Datin Ruhaina mendengar bicara bakal menantunya itu. Lama dia mendiamkan diri dan beberapa minit kemudian dia menghela nafas berat.

“Maafkan mama, Hana.”

“Untuk apa?” Tanya Hana. Datin Ruhaina memandang dengan senyuman nipis di wajahnya.

“Mama salah. Mama tersilap menilai Hana. Mulanya, mama tak setuju dengan keputusan Aniq yang mahu menjadikan Hana sebagai sebahagian daripada keluarga mama. Macam-macam mama fikir tentang orang bawahan seperti Hana yang tidak setaraf dengan keluarga mama,”

Hana terdiam. Tidak mahu mencelah. Hanya mahu mendengar sahaja.

“Tapi, Aniq tak pernah kecewakan mama. Jadi, mama setuju dengan pilihan dia. Sebab itu mama dengan yang lain ikut Aniq ke kampung dan kenal Hana dengan keluarga Hana. Mama tak sangka pula keluarga Hana jauh lebih baik dari apa yang mama sangkakan sebelum ini.” Wanita itu ketawa kecil.

“Ternyata pilihan Aniq itu betul. Setiap keputusan yang dia buat tidak pernah mengecewakan mama. Hana…” Datin Ruhaina mengusap lembut pipi Hana.

“Aniq ikhlas mahu Hana jadi isteri dia.”

Hana tertunduk. Hatinya masih berat untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya.

“Hana rasa Hana tak layak untuk dia, mama. Kami seperti langit dengan bumi. Kalau Aniq pilih Cik Edine tu mungkin…” Hana terdiam bila melihat reaksi Datin Ruhaina yang tiba-tiba sahaja berubah. Wanita separuh abad itu membesarkan bola matanya dengan wajah yang geram. Aku ada salah cakap ke? Fikir Hana.

“Mama tak sukalah perempuan tak cukup kain macam dia tu. Muka tak tahu malu. Selalu datang rumah dengan pakaian yang tidak sopan.” Datin Ruhaina merengus. Hana tercengang.

“Tapi, Cik Edine kan anak orang kaya?”

“Kayalah sangat! Latar belakang dia pun mama tak tahu. Mama pun tak tahu macam manalah Aniq boleh berkawan dengan perempuan yang tak cukup kain macam dia. Mama…” Datin Ruhaina diam. Dia baru sedar akan topik yang mereka bualkan.

“Hana kenal dengan Edine tu ke?!”

Hana ketawa kecil melihat Datin Ruhaina tercengang.

“Kenal begitu saja. First time jumpa dia masa dekat Sunway Pyramid. Masa tu juga pertemuan pertama Hana dengan Aniq. Lepas tu, Hana jumpa dia dekat depan bangunan syarikat Iris Star Holding. Itupun, Cik Edine yang tegur, marah-marah dekat Hana.” Beritahu Hana.

First time jumpa dekat Sunway Pyramid?”

Hana angguk kepala.

Berkerut wajah Datin Ruhaina. Apa yang Aniq bagi tahu sama dengan apa yang Hana beritahu kepadanya. Tapi, tentang Hana dengan perempuan yang tidak cukup kain itu, tidak pula anak lelakinya ceritakan kepadanya.

Datin Ruhaina memandang Hana. “Boleh mama tahu apa yang perempuan tu buat dekat Aniq masa mula-mula Hana dengan dia berjumpa?”

“Aniq marah dia. Lepas tu, Cik Edine tuduh yang bukan-bukan dan Hana masuk campur. Hana geram dengan perempuan tu, mama.” Tanpa segan silunya, Hana membuka cerita.

Datin Ruhaina ketawa kecil. Semakin dia mengenali Hana, semakin dia suka dengan gadis tersebut.

“Jadi, pertemuan yang seterusnya macam mana pula?” Tanya Datin Ruhaina berminat ingin tahu.

“Pertemuan seterusnya…” Hana meneruskan ceritanya. Datin Ruhaina setia mendengar. Sekali sekala terdengar juga ketawa besar mereka berdua. Kelekaan bercerita dan bergurau senda membuatkan mereka berdua alpa untuk pulang ke rumah.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh