Bab 28

HANA tiba di depan bangunan Nu Sentral. Dia baru sahaja menghantar mesej kepada Mitsuha untuk berjumpa di depan pintu utama bangunan tersebut. Sementara menunggu teman baiknya, Hana meliau-liaukan matanya di sekitar kawasan tersebut dan matanya terpaku pada satu susuk tubuh yang amat dikenalinya. Hana memisat-misat mata dan bila dia pandang ke arah yang sama kelibat itu sudah hilang. Hana senyum sendiri. Mungkin dia bermimpi agaknya.

“Hana!”

Hana terkejut namanya dipanggil dari jauh. Laju dia berpaling ke pintu utama. Senyuman dilebarkan. Laju kakinya melangkah ke arah Mitsuha. Mereka saling berpelukan.

Hisashiburi! (Lama tidak berjumpa!)” Kata Mitsuha.

“Ya, dah setahun lebih agaknya kita tak berjumpa. Rindu betul saya dengan awak.” Balas Hana.

Me too. Chottomatte. (Tunggu sekejap.)” Mitsuha meleraikan pelukan mereka. Lantas tangannya mengambil sesuatu di dalam beg tangannya.

Nan desuka? (Apa itu?)” Tanya Hana kebingungan. Mitsuha hanya senyum sahaja.

“TADA!” Mitsuha menunjukkan sebuah buku ilustrasi. Buku itu tidaklah terlalu besar. Cuma bersaiz sederhana dan agak tebal sedikit.

“Buku apa ni? Awak beli dekat Jepun ke?” Tanya Hana.

No. Buku ni saya buat sendirilah. Saya hadiahkan untuk Hana.”

Hana bungkam. Tidak tahu hendak berkata apa. “Tebal buku ni. How long you prepare this book?” Tanya Hana ingin tahu.

It doesn’t take too long. Lagipun, sudah lama saya berniat hendak bagi Hana sesuatu yang saya buat dari tangan saya sendiri.” Beritahu Mitsuha, ikhlas dari hatinya.

Hana mengambil buku ilustrasi dari tangan Mitsuha lalu membelek buku tersebut. Kemas, cantik dan menarik. Dia tahu Mitsuha suka dan pandai melukis.

Hana baru perasan lukisan tersebut. Karakter yang sama. Seorang perempuan bertudung dan juga seorang lelaki. Hana memandang Mitsuha dengan kerutan.

“Saya rasa perempuan ni saya, kan?”

Mitsuha angguk laju.

“Lelaki ni siapa?” Setiap helaian kertas yang dibukanya adalah dari karakter yang sama cuma situasi gambar sahaja yang berbeza dan setiap situasi disematkan dengan kata-kata indah yang Mitsuha tulis sendiri.

Your future husband.” Tersengih-sengih Mitsuha memberitahu. Hana turut sama tersengih. Terharu dengan hadiah yang diberi oleh temannya itu.

Arigato! (Terima kasih!)”

Douitashimashite. (Sama-sama)” Balas Mitsuha dengan senyuman manisnya. Hana memasukkan buku ilustrasi yang dihadiahkan oleh Mitsuha itu ke dalam beg tangannya.

Hmmm… Mitsuha,” Hana baru teringat tentang bento yang sepatutnya dia berikan kepada temannya ini.

“Kenapa, Hana?”

“Sebenarnya saya ada buatkan bento untuk awak. Tapi… bento tu dah diambil oleh orang lain.” Suaranya perlahan memberitahu Mitsuha.

It is okay. Ada Hana di depan mata saya pun cukup buatkan saya gembira hari ini.” Ujar Mitsuha. Lembut sahaja tutur bicaranya. Hana ukir senyum. Senang hati bila sudah meluahkan rasa bersalahnya pada teman baiknya.

So, where are we should go now?” Tanya Hana. Memandangkan Mitsuha itu tetamunya dia harus beri layanan yang terbaik sebagai teman baik.

I don’t know. Saya ikut Hana saja.” Kata Mitsuha.

“Kalau macam tu, saya bawa awak jalan-jalan sekitar sini dulu. Lepas tu, kita pergi tengok wayang, nak?” Hana beri cadangan dan Mitsuha mengangguk setuju. Baru sahaja kaki mahu mengorak langkah, Mitsuha berhenti. Dia meliau mencari sesuatu.

Naze? (Kenapa?)” Tanya Hana.

“Hana punya mei (anak saudara perempuan) mana?” Mitsuha baru teringat. Waktu mereka bermesej, Hana memberitahunya yang dia akan bawa sekali anak saudara perempuannya. Hana berubah muka.

“Dia keluar dengan orang lain. Lain kalilah saya kenalkan dia dengan awak, okey?” Mitsuha angguk. Dia tidak kisah, pun. Apa yang penting dia dapat berjumpa dengan Hana. Tanpa membuang masa, Hana terus membawa teman baiknya itu melawat beberapa tempat menarik sebelum mereka berdua pergi menonton wayang.

 

ANIQ membawa mereka berdua berjalan-jalan di sekitar KL. Baru sahaja sebentar tadi mereka bertiga menghabiskan bento yang dibuat oleh Hana. Walaupun ada rasa bersalahnya, Aniq tetap mahu merasa bento tersebut. Dia sebenarnya suka dengan bento yang dibuat oleh tunangnya itu.

Uncle, Arissa penatlah. Bila kita nak berhenti berjalan ni?” Arissa mula merungut.

Uncle, kita rehat dekat kafe tulah.” Yana menunjuk ke arah Kafe Coffee Bean yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Dia mula terasa penat.

Aniq masih memaku pandangan pada orang tersebut. Karenah Yana dan juga Arissa tidak di pedulikannya.

Uncle, tak payahlah tengok sana. Jom!” Arissa dan Yana menarik tangan Aniq. Aniq menghela nafas berat.

“Yalah. Yalah. Jom kita rehat dulu. Lepas tu, kita jalan balik, okey?”

“Takkan nak ikut orang tu lagi?” Yana sudah malas hendak mengikut unclenya itu.

“Tak apa. Uncle pergi. Tapi, tinggalkan kita orang dekat kafe tu, okey? Nanti, uncle datanglah balik ambil kami.” Arissa memberi cadangan. Kakinya betul-betul terasa penat.

“Suka hati saja suruh uncle pergi. Kalau korang berdua hilang macam mana?”

Tersengih kedua-dua budak comel itu.

“Kita orang takkan hilanglah, uncle. Penat macam ni takkan nak berjalan lagi. Uncle sajalah yang pergi. Ya, ya, ya.” Pujuk Arissa. Yana juga memujuk unclenya. Aniq ketawa kecil.

Korang ni. Umur baru tujuh tahun dah pandai penat.” Aniq geleng kepala.

“Yalah. Kami kan budak kecil. Kalau uncle dukung kami berdua tak apa juga. Kan Yana?”

Laju Yana mengangguk.

“Dah. Tak payah bercakap lagi. Tadi nak sangat pergi kafe, kan? Jom.”

Yana dan Arissa senyum lebar. Berjaya juga mereka memujuk Aniq.

 

PENAT mengelilingi kota raya, Hana dan Mitsuha terus ke panggung wayang berdekatan dengan hotel tempat teman baiknya itu menginap. Hampir sejam lebih mereka menonton wayang dan akhirnya mereka keluar dari tempat tersebut. Seronok betul mereka berdua mengulas cerita yang mereka tonton sebentar tadi.

Mitsuha meminta diri untuk ke tandas. Hana pula menunggunya di luar panggung. Sedang dia menunggu, Hana ditegur oleh seseorang. Hana berpaling menghadap suara tersebut dan tergamam.

“Faiz, bila awak pulang?!” Bagaikan tidak percaya, orang yang dia rindukan akhirnya muncul di depannya ditempat seperti ini.

“Semalam. Sorry tak bagi tahu awak. Tak sangka pula jumpa awak dekat sini.” Faiz meminta maaf. Hana senyum nipis. Terlepas juga rindunya pada lelaki yang bernama Faiz Dylan itu.

“Tak apa. So, awak buat apa dekat sini? Jalan-jalan seorang diri? Tak balik Kedah? Kafe awak macam mana?” Tanya Hana bertubi-tubi. Hana sebenarnya teruja bila  melihat Faiz di depan mata. Dia langsung tidak melepaskan pandangannya pada lelaki itu. Faiz ketawa.

“Banyak sangat soalan awak ni, Hana.” Faiz geleng kepala. Hana tersengih malu. Ketika itu juga mereka ditegur sapa oleh seorang perempuan. Serentak Hana dan juga Faiz berpaling.

“Sayang, siapa ni?”

Bulat mata Hana. Bagai hendak tercabut sahaja jantungnya bila mendengar perempuan itu memanggil Faiz dengan panggilan mesra. Faiz pula hanya bereaksi selamba.

“Hana, saya kenalkan yang ni bakal isteri saya, Lana Jasmine. Awak boleh panggil dia Lana.” Faiz memperkenalkan Lana Jasmine kepada Hana. Hana bungkam. Saat itu, Lana menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hana. Hana menyambut huluran tangan itu dengan hati yang terpaksa.

“Hana,” Panggil Faiz bila gadis di depannya ini masih lagi tidak mahu melepaskan tangan Lana.

“Aivy, you heard me?” Sekali lagi Faiz memanggilnya.

“Huh?” Hana tersedar. Cepat-cepat dia melepaskan tangan Lana.

“Maaf.” Hana menundukkan kepala. Ternyata cantik juga bakal isteri Faiz ini. Muka kacuk. Tinggi, pakaian sopan, natural beauty dan rambut yang agak bewarna sedikit.

“Eh, tak apa. Saya tahu awak mesti terkejut bila tahu saya ni bakal isteri Dylan.” Ujarnya dengan mesra. Hana hanya mampu tersengih.

“Err... Nama saya Suhana Aivy. Tapi, teman-teman saya biasa panggil saya dengan nama Hana.” Hana memperkenalkan dirinya dengan senyuman paksa.

“Cantik nama awak. Actually, Dylan banyak cerita dekat saya tentang awak.” Senyuman yang begitu menawan.

Dylan? Faiz Dylan, huh! Tak mustahil kalau perempuan ni panggil dia dengan nama keduanya tu. Bakal isteri la katakan...

 “Dah berapa lama korang berdua kenal ni?” Tanya Hana. Hatinya sudah terluka.

“Dah dua tahun lebih kenal dan akhirnya kami berdua bertunang beberapa hari yang lepas.” Beritahu Lana membuatkan Hana terkejut.

Patutlah tak nak aku ikut dia. Pertunangan sepupu konon! Marah Hana.

“Tak sangka awak fasih melayu macam Faiz.”

“Mestilah! Daddy saya orang sini dan mummy pula orang Australia. Saya tak sangka pula akan berjodoh dengan Dylan. Lagipun, kami kawan saja. Saya terharu bila dia sendiri luahkan perasaannya kepada saya.” Jelas terpamer riak gembira pada wajah Lana.

Hana pula sakit hati. Faiz luah perasaannya dekat perempuan ni? Maknanya dia langsung tak suka dekat aku?! Habis, perasaan aku ni macam mana? Bentak Hana di dalam hati. Nasib baik tempat awam.

Korang berdua nampak sangat sepadan. Untung awak Faiz dapat perempuan macam dia ni.” Ingin sahaja dia mengatakan apa yang dirasa tapi berat mulut dia mahu mengungkapkan kata tersebut dan akhirnya hanya pujian yang keluar daripada mulutnya. Tersenyum-senyum Faiz dengan pujian temannya itu.

By the way, awak buat apa dekat sini? Tak uruskan kafe uncle awak?”

Berat untuk dia membuka mulut lagi. Hana betul-betul rasa kecewa. Selama Faiz pergi selama itulah dia berperang dengan perasaannya sendiri. Tidak tahu sama ada dia suka atau cinta dengan lelaki di depannya ini. Malang tak berbau. Faiz sudah berpunya rupanya. Tapi, kenapa aku tak tahu?! Kenapa dia tak bagi tahu aku yang dia dah berpunya? Kenapa dia layan aku macam dia…

Tiba-tiba tangannya digenggam oleh seseorang.

“Sini pula dear ni. Puas abang cari tau.”

Hana terkesima. Macam mana Aniq boleh ada dekat sini? Hana tersedar sesuatu. Matanya diliarkan ke kawasan sekeliling.

“Arissa dengan Yana ada dengan kawan dear.” Seperti tahu apa yang sedang dicari oleh gadis itu, dia menjuihkan bibirnya di satu sudut belakang mereka. Mitsuha, Arissa dan Yana sama-sama melambai ke arahnya. Bulat mata Hana.

Macam mana pula dia ni kenal Mitsuha? Pandangan tajam menikam tepat pada anak mata Aniq.

“Awak...” Tidak jadi dia bersuara kerana tersentak bila tangannya digenggam kuat.  

“Bukan ini lelaki…” Faiz amat pasti. Mana dia boleh lupa akan kejadian itu.

“Saya Aniq Rafisqy. Tunang Hana.” Aniq memperkenalkan dirinya. Tangan Hana masih tidak mahu dilepaskan olehnya.

Aniq Rafisqy. Ya, dia sudah memberitahu aku nama sebenarnya dan juga tentang ahli keluarganya yang lain sebelum ini. Hana memandang tunangnya dengan hati yang kecewa. Kecewa kerana Faiz sudah dimiliki oleh orang lain.

“Tunang? Aivy, bukan awak cakap yang awak tak ada apa-apa dengan lelaki ni ke? Mana bukti yang korang berdua ni dah bertunang?” Faiz bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Aniq mengangkat tangan yang digenggam. Faiz tergamam melihat cincin yang sama tersarung di jari manis mereka.

“Awak…” Faiz tidak tahu untuk berkata apa lagi. Dia masih terkejut bila tahu teman lamanya itu sudah menjadi tunangan orang.

“Faiz, apa yang saya cerita dekat awak tu memang betul. Tapi, kalau sudah namanya jodoh nak buat macam mana, kan? Pertemuan kami pun bukannya di sengajakan.” Suaranya lemah menuturkan kata. Dia tidak mahu Faiz salah faham tentangnya.

“Wow, tak sangka pula.”Lana mencelah. Segaris senyuman menghiasi wajahnya.

Korang berdua bagai pinang dibelah dua. Sepadan sangat.” Pujinya pula. Hana senyum nipis. Dengar suara perempuan itu pun sudah cukup menyakitkan hatinya. Sekurang-kurangnya dia tidak berbohong seperti Faiz.

“Maaflah, korang berdua. Saya dengan Hana ada hal. Banyak lagi kami kena uruskan sebelum majlis perkahwinan kami nanti.”

Sekali lagi Faiz terkejut. “Kahwin?”

“Yup. Majlis perkahwinan minggu depan. Nanti, saya minta Hana hantarkan kad kahwin untuk korang.” Kata-kata Aniq langsung tidak mengejutkan Hana.

“Okey. Jangan lupa jemput kami tau. Nak juga tengok kawan baik Faiz ni kahwin sebelum kita, kan sayang?” Ujar Lana sambil melentokkan kepalanya di bahu Faiz. Hana sekadar senyum. Faiz dan Aniq saling bersalaman sebelum menghala tujuan masing-masing.

 


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh