Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 30

Bab 30


   “Athi, aku dah dapat keputusan untuk tempat praktikal kita nanti. Kau dah dapat?” Qisya mendapatkan Athirah yang sedang termenung di hujung sudut kafe kolej mereka. 

   “Dah.” Jawab gadis itu sepatah. Mukanya kelihatan sugul. 

   “Aik, dah kenapa muka macam tu? Bukan sepatutnya kau happy ke dapat praktikal tempat abang Din kau tu kerja?” Qisya merasa pelik dengan reaksi gadis itu. 

   Athirah hanya menoleh sekilas sebelum mengeluh berat. Dia tidak tahu bagaimana hendak bercerita pada Qisya. Hati yang sedang bercampuk aduk perasaan itu sangat menyesakkan dadanya. Memang mulanya dia gembira mendapat jawapan dari temuduga untuk tempat praktikal mereka. Dia terus menelefon Aminuddin untuk memberitahu perkara itu. 

   Namun semuanya hampa apabila dia mendapat tahu Aminuddin kemalangan dan sedang berehat di kampung untuk beberapa bulan. Maknanya mereka hanya boleh meluangkan masa lebih kurang dua bulan sahaja. Dimana sepatutnya mereka boleh berada dekat selama enam bulan. Sudah bermacam rancangan yang dirangka olehnya. 

   “What…, kemalangan? Macam mana kau tak tahu.” Qisya agak terkejut mendengar berita itu. 

   “Itulah, aku pun baru ja tau. Aku tak fahamlah, kenapa Din tak bagitau aku langsung. Patutlah beberapa hari ni aku rasa tak sedap hati ja. Nampak sangat aku ni tak penting untuk dia.” Athirah meluahkan rasa kecewanya. Rasa sebak mula meruntun hati bila mengenangkan sikap Aminuddin sekarang. 

   “Janganlah cakap macam tu, mungkin dia buat macam tu sebab tak nak kau susah hati? Kita tak tahu apa yang dia fikir.” Qisya cuba memujuk sahabatnya itu. 

   “Tapi perempuan tu boleh pula ambil peduli pasal dia? Sampai hantar balik kampung bagai.” Athirah tidak bersetuju dengan pendapat Qisya. Gadis itu menjadi marah setiap kali memikirkan soal Farisha. Apa lebih dan istimewanya Farisha berbanding dirinya. 

   “Kau ni, tak baiklah. Farisha tu kan kawan baik dengan Din. Apa salahnya dia tolong hantar balik kampung, kan Din tu sakit. Apalah kau ni Athi. Always with your bad perception lah,” Qisya membangkang. Satu perkara yang dia tidak suka tentang Athirah. Selalu bersikpa prejudis terhadap orang lain walaupun dia tidak mengenali seseorang itu. 

   “Entahlah. Tapi kan nanti kita nak tinggal kat mana?” Athirah mengubah topik. Malas dia mahu berbahas soal itu. Selalunya ia tidak ke mana melainkan perdebatan perbezaan pendapat. Dia tidak mahu kerana masalah ini hubungan baik dengan Qisya akan terjejas. 

    “Aku minta tolong abang aku, dia ada seorang kawan duduk dekat sana dan kebetulan kerja dekat Sapura Kencana tu juga.” Qisya sudah tersengih. Athirah hanya mengangguk. 

   “Okey ke kawan abang kau tu? Jangan dia…,” 

   “Ha mulalah tu nak buat andaian sendiri.” Qisya mencelah. Dia menggeleng kesal dengan sikap sahabatnya itu. Athirah hanya tersengih dan sambil mata menjuling naik ke atas. 

   “Kak Jiha tu okeylah. Aku pernah jumpa dia masa kenduri kahwin abang aku dulu. Kawan dia sorang lagi tu pun baik tau. Aku teruja nak jumpa Kak Isha tu.” Qisya menjadi tidak sabar untuk berjumpa mereka berdua. Walaupun cuma berjumpa sekali tetapi mereka ada juga berhubung melalui whatsapp dan facebook. 

   “Yelah. Sorry okey. Anyway siapa nama kakak sorang lagi tu?” Athirah tertarik dengan nama yang disebut oleh Qisya tadi. 

  “Siapa… Kak Jiha?”

  “Bukan. Sorang lagi,”

  “Kak Isha?” 

  “Ha, Kak Isha. Jangan-jangan dia tu Farisha kawan baik Din tu kot.” 

   “Hurmm, entahlah. Tapi kalau ye pun apa masalahnya? Kau jangan cakap tak nak duduk pula dengan diaorang. Kita nak pergi sana hujung minggu ni tau. Mana sempat nak cari rumah lain.” Qisya pula membuat andaian sendiri. Athirah hanya ketawa melihat wajah cemas Qisya. 

   “Rilekslah. Aku tak cakap apa pun kan. Kalau betul Kak Isha dan Farisha tu orang yang sama, lagilah bagus. Bolehlah aku kenal lebih rapat pesaing terbesar aku,” Athirah sudah tersenyum sendiri. Dia mengharapkan sangkaannya benar. 

   “Kau jangan macam-macam ek Athi.” Qisya sudah tidak senang duduk melihat senyum simpul Athirah itu. Entah apa yang sedang bermain di fikiran gadis itu sekarang. 

   Dari pagi lagi Khairol mencari kelibat Farisha. Dia sanggup masuk ke pejabat awal untuk turut serta dalam perbincangan bulat yang diadakan setiap hari untuk semua pekerja dengan harapan dapat berjumpa Farisha. Sudah beberapa hari dia tidak berjumpa dan melihat gadis pujaan hatinya itu. Rindunya sudah sarat dan meninggi sama hampir dengan gunung Kinabalu. 

   Tapi bayang Farisha pun tidak kelihatan di situ. Dia mencari pula di kabin. Senyum terukir sebaik melihat susuk tubuh Farisha sedang tekun menghadap komputer riba di atas meja. Dia berjalan perlahan-lahan dan mencuit bahu Farisha. Sebaik gadis itu menoleh dia turut bergerak bersembunyi di belakang Farisha supaya tidak kelihatan. Khairol mencuit pula bahu sebelah kiri. Sebaik Farisha menoleh Khairol mengacah membuatkan tangan Farisha laju menyepak pipi Khairol yang putih itu.

   Farisha bingkas bangun dan mengurut dada. Khairol pula sudah mengerang kesakitan. Dia memegang pipi yang terasa pijar kerana ditampar dengan kuat. Boleh tahan juga tenaga Farisha. Nampak sahaja kecil molek, tetapi daya kekuatan mengalahkan lelaki. Merah padam mukanya. Kulit yang putih melepak membuatkan cop telapak tangan Farisha jelas kelihatan di pipi. 

   “Kau ni dah kenapa? Kan dah makan penampar sulung aku!” Farisha mendengus geram. Dia menarik semula kerusi dan duduk menghadap kerja yang tertangguh sebentar tadi. 

   “Dahlah lama tak jumpa dia, sekali jumpa dapat hadiah baik punya.” Khairol membuat nada sedih. Pipi masih digosok perlahan. 

   “Padan muka kau! Nak bergurau tak kena tempat. Kau nak apa datang sini?” soal Farisha. Dia sudah berpusing menghadap Khairol yang duduk di belakangnya. 

   Khairol tersenyum manis bila Farisha menoleh. “Khai nak jumpa Isha, Khai rindu Isha.” Lelaki itu menghadiahkan satu kenyitan maut pada Farisha. 

   “Eh kau ni, main genyit-genyit mata pula. Nak mati dah ke?” Hampir sahaja Farisha memuntahkan mee goreng yang dijamah pagi tadi bila melihat aksi berani Khairol itu. 

    “Isk, tak baik tau Isha cakap macam tu. Semenjak bertudung ni makin garang Khai tengok. I like!” Khairol membuat aksi kucing jantan mencakar gatal. 

  Farisha yang merasa geli geleman dengan aksi terlampau Khairol cepat-cepat mencapai fail yang diperlukan dan berlari keluar dari kabinnya. Sebaik berada di tepi basikal,  Farisha menarik nafas lega dan mengurut dadanya. Mengeletis tubuh Farisha seperti orang sedang menggigil kesejukan. 

   ‘Lama-lama dengan orang macam ni, boleh mati terkejut dibuatnya.’ Farisha mengomel sendiri.  

   “Ni pasai apa duk sebut mati-mati ni? Sapa dia yang mati?” 

  “Oh mak kau mati anak, eh anak kau mati tercekik!” Farisha terlompat. Fail di tangan terlepas dan jatuh ke tanah. 

  “Melatah? Hahaha. Tak tau pula Isha melatah.” Yasin sudah mengekek ketawa melihat Farisha yang sedang mengurut dada. Gadis itu membetulkan tudung yang sudah sedikit herot kerana melatah sebentar tadi. 

   “Apa ni Yasin. Main timbul ja kot belakang kita. Mujuq tak keluaq Muay Thai tadi tau.” Farisha menampar lembut bahu Yasin ketika lelaki itu menyerahkan fail yang dipungut di atas tanah tadi. 

   “Ni pun dah bahaya. Kalau Muay Thai mau kami tersandaq kat tepu kabin tu kena terajang agaknya. Hahaha,” Yasin pegang perut yang mengeras dengan tawa. Farisha ikutan ketawa dengan gurauan Yasin itu. Ada sahaja helah lelaki itu mahu buat dia ketawa. 

   “Din lagu mana?” Soal Yasin sebaik tawa mereka reda.

   “Awat dengan Din?” Farisha kembali menyoal. 

   “Dia okey ka dak?”

   “Okey ja. Baru talipon dia tadi.”

   “Isha tipon dia angkat pula na? Kami tipon haram nak berjawab.”

   “Hahaha, macam tu pula?” 

   “Hurmm, kami ni sapalah? Tak penting pun macam Isha dalam hidup Din tu.” ada nada rajuk dalam kata-kata Yasin itu. 

   “Alo, sedihnya kami dengaq. Takpa nanti Isha tipon dia, Isha marah dia. Lepas tu Isha soh dia tipon Yasin na.” Farisha memujuk. Geli hati dia melihat Redza Rosli klon itu merajuk. Buruk betul rupanya. 

   “Ha marah dia kaw-kaw. Sampai hati lupa sahabat baik dia.” Yasin menambah perasa sebelum mereka berdua ketawa serentak.  

   “Takpalah Isha, kami mai nak tanya hat tu ja. Kami pi buat reja dulu la na.” Yasin meminta diri. Farisha mengangguk dan berjalan menuju ke pejabat Puan Nisa untuk menyerahkan laporan mingguan. 

   Khairol yang menjadi pemerhati setia sudah panas hati. Dinding kabin itu menjadi mangsa tumbukannya. Dia berjalan mengekori langkah Farisha dari belakang. Sakit matanya melihat Farisha melayan mesra orang lain. Kenapa dia tidak boleh menerima layanan seperti itu? Apa salahnya kepada Farisha sampai gadis itu benci pada dirinya.  

   Belum sempat dia mencapai tangan Farisha, Najiha sudah memeki memanggil nama Farisha. Khairol terus berkalih menuju ke arah surau. 

   “Isha, ada orang tunggu kau dekat pondok pengawal.” Beritahu Najiha sebaik Farisha berdiri di hadapannya. 

   “Siapa?” soal Farisha. 

   “Kau pergilah tengok sendiri. Aku nak naik jumpa Puan Nisa ni. Nanti membebel pula dia aku lambat.” Najiha terus berjalan masuk ke banggunan pejabat meninggalkan Farisha dengan penuh tanda tanya. 

   Gadis itu mengeluh dan berjalan perlahan menuju ke pintu pagar utama untuk berjumpa dengan orang yang diberitahu Najiha. Dalam otak puas berfikir siapa yang mencari dirinya.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie