Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 7

Bab 7 hanya dia, bidadariku


Bab 7


    "Baru balik ke Miss In love? " Najiha menegur sebaik Farisha muncul di sebalik pintu rumah mereka. 


        "Miss In love apa pula ni? Suka kau je kan bagi gelaran dekat orang." Farisha mencebik, tetapi dalam hati teramat suka dengan gelaran yang diberikan.


    Apakah benar dia sudah jatuh cinta? Apakah debaran yang dirasakan itu debaran cinta? Tapi layakkah dia untuk mencintai lelaki baik seperti Aminuddin itu. 


       "Yela kau kan tengah hangat bercinta sekarang ni, okey apa gelaran yang aku bagi tu kan?" Najiha menambah usikannya. 

  

   Dia dapat melihat aura cinta dari mata sahabatnya itu. Walau dia tidak dapat tahu kebenarannya, yang pasti dia tahu perasaan Farisha. Jika benar apa yang dirasakan, dia berharap ini yang terakhir dan terbaik untuk Farisha, jika hanya di sebelah pihak pastinya sejarah lama akan berulang kembali. Farisha bangun dan menuju masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri dan solat Isyak. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman. Najiha menggeleng kepala tersenyum. 


      "Wei, lari camtu je? Duduk la sekejap, banyak benda aku nak tanya ni. Isha." Najiha menjerit kecil apabila Farisha bangun menuju ke dalam bilik. 

    Gadis itu tidak menoleh sebaliknya menghilang ke dalam bilik. Najiha ketawa, mulutnya sudah berulang kali menguap, mata yang kuyu sudah merayu minta ditutup. 


    "Apa yang di menungkan tu Aishah? Jauh sangat  Kak Kiah tengok." Satu suara halus menyapa lembut membuatkan Puan Sri Aishah terkejut, lamunannya terbang bersama angin yang bertiup. 


        "Takda apalah Kak kiah, tiba-tiba saya teringatkan Farisha. Dah lama dia tak balik kan?" Puan Sri Aishah melepaskan keluhan. Keluhan yang sarat dengan kerinduan. Walau mulut mengukir senyum tetapi wajahnya penuh dengan kehibaan dan kesedihan akibat merindui anak tersayang yang jauh di rantauan. 


       “Sibuk sangat agaknya, sampai tak sempat nak balik jenguk kita kat sini."  kak Kiah cuba memujuk.

     Dia juga sangat merindukan Farisha, dari kecil dia menjaga dan mengasuh, sudah dianggap gadis itu seperti anaknya sendiri. Sejak kematian Tan Sri Aziz, Farisha sudah jarang pulang ke rumah itu, katanya terlalu banyak kenangan antara dia dengan arwah. Meskipun arwah sudah meninggal empat tahun gadis itu masih lagi berduka dan bersedih kerana itulah dia memilih untuk bekerja dengan orang lain dari memilih bekerja di syarikat milik arwah Tan Sri Aziz mahupun menguruskan butik milik Puan Sri Aishah.  

        Zafriel, anak sulung keluarga itu sahaja yang ada menguruskan syarikat dan meneruskan legasi Tan Sri Aziz, jika tidak entah bagaimana nasib syarikat itu sekarang. Mahu menunggu anak bongsu keluarga itu masih lama lagi untuk menamatkan pengajian. Lagipula Hazril tidak minat dalam bidang perniagaan. Sekarang juga dia menuntut dalam ilmu perubatan dan tidak lama lagi bakal bergelar seorang doktor. Hanya Zafriel sahaja harapan keluarga itu. Selepas tamat pengajian degree, Zafriel terus bekerja dengan Tan Sri Aziz, dan belajar selok belok perniagaan. 


        "Sibuk mana la sangat dia tu Kak kiah? Bukannya CEO, cuma kerani biasa je.” Puan Sri Aishah sekali lagi mengeluh. Bukan aksud untuk menghina, cuma dia rasakan Farisha lebih layak mendapatkan pekerjaan yang lebih setaraf dengan kelulusannya. 


        "Tak baik Aishah cakap macam tu, janji kerja dia halal tak kisahlah kerja apa pun."  Kak Kiah menegur dengan cara yang sopan tidak mahu tegurannya itu di salah ertikan oleh majikannya. 


       "Saya tak kisah dia nak kerja apa pun kak, cuma saya ni terkilan bila dia sanggup hidup macam tu, dah puas saya cuba pujuk dia untuk tolong Zafriel dekat syarikat tetap juga dia menolak." Puan Sri Aishah mmebela diri. Kak Kiah hanya mengangguk, kali ini dia bersetuju dengan Puan Sri Aishah. 


   “Mungkin dia sedih Tan Sri dah takda?” Kak Kiah masih mencuba menenangkan perasaan majikannya itu. Puan Sri Aishah hanya memandang dirinya sepi tanpa jawapan. 

  Kalau diikutkan rasa  dia lagi sedih dan pilu apabila kehilangan lelaki yang dicintai, dipeluk dan bermanja setiap hari. Farisha seolahnya ingin melarikan diri dari sesuatu dan bukan kerana dia bersedih dengan pemergian Tan Sri Aziz. Farisha memang seorang yang degil dan berpendirian tegas, jika A katanya A lah tidak akan sesiapa boleh mengubah menjadi B. Perangainya tidak ubah seperti arwah suaminya, tegas dalam pendirian dan keputusan. 


       "Mama, Maya nak pergi butik ni, mama nak pergi sekali ke? Atau mama nak duduk rumah je?" Maya berjalan mendapatkan Puan Sri Aishah yang sedang duduk berbual dengan Kak Kiah itu. Maya, isteri kepada Zafriel. Jika Zafriel menguruskan syarikat Maya pula membantu menguruskan butik milik Puan Sri Aishah. 

 

      "Maya pergi je la, mama tak sedap badan. Mama nak rehat je dekat rumah." Puan Sri Aishah tersenyum pada menantunya itu. Maya tunduk bersalaman dengan Puan Sri Aishah dan Kak kiah. 


      "Okay, kalau macam tu Maya pergi dulu la ye, mama jangan lupa makan ubat okey. Anything i'll let you know.”  Maya berpesan sebelum berlalu pergi. Puan Sri Aishah mengangguk laju. Nasib ada Maya, ada juga orang yang boleh membantunya di butik, jika tidak sakit pun dia terpaksa bekerja. Mahu mengharapkan Farisha? memang tiada harapan ke arah itu. 


       "Akak masuk dulu la ye, nak masak untuk tengah hari nanti bising pula mulut budak kenit dua orang tu balik sekolah takda makanan." Kak Kiah bangun, tetapi pantas tangan ditarik oleh Puan Sri Aishah membuat Kak Kiah terduduk semula. 


        "Hari ni tak payah masak lah kak, kita makan dekat luar je. Nanti akak siap-siap, lepas tu teman saya pergi spa ye Kak." Pinta Puan Sri Aishah pada Kak Kiah.

      Wanita separuh abad itu angguk, akur dengan permintaan majikannya. Badan yang sudah tua juga terasa penat melakukan tugas harian di rumah agam yang besar itu. Kak Kiah berjalan masuk ke dalam rumah untuk menyelesaikan tugasan hariannya sebelum mereka keluar, tinggallah Puan Sri Aishah yang masih termenung di atas gazebo yang dibina di tengah-tengah kolam ikan yang besar. Puan Sri Aishah gemar menghabiskan masanya di situ sambil melayan ikan-ikan  peliharaannya yang berbagai jenis dan warna. 


  Aminuddin berdiri di sebalik pintu kabin berwarna biru itu, Farisha sibuk dengan kerjanya sehingga tidak perasan akan kehadiran lelaki itu. Melihat wajah lembut gadis itu mampu membuatkan hati Aminuddin bergetar hebat, jika ini yang dikatakan getaran cinta, kenapa dia tidak merasakan semua itu sewaktu bercinta dulu? Bukankah si dia cinta pertama dalam hidupnya. 


     "Isha, hang masak apa hari ni? " Tanya Aminuddin pada gadis itu sebaik dia masuk ke dalam kabin tempat gadis itu bekerja. 


         "Aku masak cincai ja hari ni, pi la amik kat meja belakang tu." Farisha mengarahkan jari telunjuk ke arah meja yang terletak makanan yang sudah dibekalkan untuk Aminuddin dan dirinya. 

 

       "Hang tak makan sekali ka?" Soal Aminuddin sambil membuka bekas makanan tersebut. 

    Perut yang sudah berbunyi meronta meminta di isi. Ayam masak merah, kuah labu lemak dan ikan masin gelama. Ini yang dia kata masak cincai? Kalau masak elok, entah apalah menunya. Aminuddin tergelak sendiri. 

    "Hang makan la dulu, aku ada banyak reja nak kena siapkan ni, satgi dah setle aku makan na." Farisha membelek fail yang bersepah di atas mejanya. 


     Apabila tiba waktu untuk pengiraan gaji dialah orang yang paling sibuk kerana harus menyiapkan semua borang permohonan kerja lebih masa, kedatangan dan cuti yang di pinta. Tambahan pula sekarang dia sendirian menguruskan semua itu, jika dulu ada Najiha membantunya tetapi kini Najiha sudah ditukar ke tempat lain. 


          "Hang ni la, time makan tu makan, time reja barulah buat reja." Aminuddin menutup dan mengemas semua fail yang bersepah di hadapan Farisha, gadis itu terkejut dengan tindakan Aminuddin. Kemudian lelaki itu datang kembali dengan bekal makanan yang disediakan oleh Farisha kemudian menghidangkan makanan itu di atas meja. 


      "Dah, pi basuh tangan kita makan sama-sama, mengada sungguh time makan nak pi buat reja pasai apa." Aminuddin membebel pada Farisha. 


     Dalam terpaksa Farisha menurut arahan lelaki itu, dalam hati sedikit tersentuh dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki itu padanya. Selepas membaca doa mereka menikmati hidangan makanan tengah hari dengan begitu nikmat. Selesai makan Aminuddin duduk di kerusi hujung sudut bilik kabin itu untuk merehatkan diri dan tidur sebentar seperti biasa.

     Farisha memandang wajah polos lelaki itu ketika lena dibuai mimpi, sungguh tenang dan mendamaikan. Kulit hitam manis lelaki itu amat menarik hatinya untuk terus menatap tanpa jemu. Benarlah kata orang, hitam hitam si tampuk manggis, semakin dipandang semakin manis. Amboi sempat pula dia bergurindam sambil merenung ke arah Aminuddin yang sedang lena itu. 


       'Hai Din, kenapa kau baik sangat dengan aku? Kenapa layanan yang kau bagi macam istimewa sangat aku rasa, apakah kau rasa apa yang aku rasa bila ada berdua dengan kau? Atau kau memang macam ni dengan semua orang?' Farisha berteka-teki  dengan fikirannya. Seringkali dia cuba menyangkal perasaan yang dirasakan itu. Seringkali dia menasihati dirinya agar tidak bermain dengan perasaan, takut tidak seperti yang diharapkan, dan sekali lagi dia akan dikecewakan, seperti mana lelaki-lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya, terutama lelaki yang amat dicintainya dulu pergi meninggalkan dirinya tanpa khabar berita. 


        "Hoi hang menung apa tu? Berlubang dah dinding tu hang duk tenung." Aminuddin menyergah dari belakang membuatkan Farisha tersentak dari lamunannya. 


   Kelam kabut dia membuka semula fail yang sedari tadi tidak di usik, pertanyaan Aminuddin dibiarkan berlalu sepi. Bagaimana dia tidak perasaan masa rehat sudah habis, dan entah berapa lama dia merenung lelaki itu, pasti Aminuddin akan fikir yang bukan-bukan terhadap dirinya. Aminuddin keluar, Farisha menarik nafas lega. Disandarkan tubuhnya ke kerusi, dipicit kepala yang terasa berdenyut itu. Kenapa bayangan lelaki itu perlu mengekori fikirannya? Sikap terlebih peduli lelaki itu membuatkan dia teringatkan seseorang. Seseorang yang pernah bertakhta dihatinya suatu ketika dulu. Kerana keprihatinan itulah dia jatuh cinta dan akhirnya dikecewakan. Apakah sejarah lama akan berulang kembali? Apakah dia akan di kecewakan lagi kali ini? Apakah benar ini cinta? Arghh! Kepala Farisha semakin kusut memikirkan persoalan yang tidak berjawab di dalam fikirannya itu. 


         'No Farisha,you can't fall in love! Apa yang kau rasa ni cuma mainan perasan dan khayalan kau, ini bukan kenyataan! Kau lupa ke apa yang jadi dulu? Lelaki semua sama, penipu dan pengkhianat cinta! ' Farisha memberi amaran keras kepada dirinya sendiri. Tidak mahu terus hanyut jauh di bawa perasaan yang tidak ada kepastian. 

           Dadanya terasa sesak dan sebak, terasa seperti dihiris belati tajam yang menyiat isi hatinya sedikit demi sedikit. Hatinya menyendat. Hiba dan lara kian memuncak. Hatinya basah dengan perasaan. Farisha tidak dapat lagi menampung rasa sedih yang hadir. Begitu laju air mata membasahi pipi, apatah lagi kolam hatinya. Kesedihan yang membadai, memecahkan empangan kesabaran yang cuba ditahan sejak tadi. Tangisan membanjiri hatinya.  Semuanya kerana teringat kisah lama. Seharian dia tidak boleh fokus dengan kerjanya. Kepala terasa semakin memberat, tubuhnya lemah longlai seperti orang yng baru selesai bertinju.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie