Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 11

Bab 11 hanya dia bidadariku


Bab 11


    "So, Din memang dari dulu minat nak jadi  welder ke? Atau ada cita-cita lain?" Tanya Zafriel pada lelaki itu, ketika yang lain sedang sibuk bergembira. 


      "Memang minat bang, tapi dulu ada la cita-cita lain, saya nak jadi arkitek, tapi saya ni orang susah jadi tak mampu nak sekolah tinggi-tinggi. Saya pilih bidang ni dan kalau buleh nak jadi orang besaq dalam bidang kimpalan." Bersungguh lelaki itu menyuarakan impiannya.

    Apabila dia mula melibatkan diri dalam bidang kimpalan selepas di pujuk Yasin, dia hanya ingin bekerja dan membantu keluarga. Selepas melihat peluang besar dalam bidang ini, dia sudah mula memasang impian untuk berjaya. 


      "Bagus tu, masa muda ni la kena simpan azam dan impian lepas tu usaha tu kena ada juga jangan setakat angan-angan je, tak ke mana pun kita nanti. Kalau ada duit pergi ambil  sijil dan kursus yang perlu untuk majukan diri kita." Zafriel kagum dengan semangat anak muda itu. 

    Muka penuh kesungguhan membuatkan dia terimbas kembali zaman mudanya, sewaktu dia seumuran dengan lelaki itu. Bersungguh dia belajar selok belok perniagaan dengan arwah Tan Sri Aziz. Hasilnya, sekarang dia mampu menguruskan Garuda emas Holding dengan baik dan berjaya. Aminuddin hanya mengangguk mendengar nasihat dari Zafriel. Mereka terus berborak dari satu cerita ke satu cerita, berselang seli mereka ketawa dan mengekek tanpa mereka sedar ada sepasang mata yang asyik memerhatikan gelagat mereka berdua. Farisha tersenyum sendiri melihat kemesraan yang terjalin antara Aminuddin dan abangnya itu. 


       "Amboi, sampai naik juling dah mata tu duk jeling menjeling orang di belakang sana tu, risau hilang kena culik ke si buah hati tu?" Tegur Maya membuatkan Farisha termalu sendiri, jelas kelihatan wajahnya merona kemerahan, ditampar lembut lengan Maya. 


       "Apa akak ni, buah hati apa pula? Suka buat gosip tau," Farisha menafikan usikan Maya itu, dia sambung melayan Sasha dan Haziq yang sedang leka bermain belon buih bersama nenek mereka. 


       "Urm tak nak mengaku pula, dengan akak pun berahsia?" Soal Maya lagi cuba mencari kepastian. Dia yakin dan perasan cara pandangan Farisha kepada Aminuddin amat berbeza, tidak seperti pandangan biasa. Farisha hanya tersenyum tanpa menjawab apa-apa. 


       "Ini kad abang, kalau Din perlu apa-apa bantuan atau nasihat, just give me a call okay. I do my best to help you out." Zafriel menyerahkan sekeping kad nama pada Aminuddin. 

    Lelaki itu menyambut baik, namun saat melihat nama di atas kad itu dia tergamam. Zafriel Tan Sri Aziz? Bermakna Farisha anak Tan Sri? Betulkah apa yang dilihatnya? Atau sekadar permainan mata. Digosok berkali-kali matanya dan nama di atas kad itu masih sama. Aminuddin menelan air liur dalam kepayahan. 


      "Tan Sri Aziz?" Laju perkataan itu keluar dari mulut Aminuddin. 


        "Yup, nama papa kami, Din tak tahu ke? Kenapa nampak macam terkejut sangat ni?" Zafriel pelik melihat reaksi Aminuddin yang kelihatan terkejut besar.

     Aminuddin hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan. Zafriel mengeluh kecil seraya dia menggelengkan kepala, lalu pandangan dihalakan kepada Farisha yang masih leka bermain bersama Sasha dan Haziq itu. 


      "Farisha tu memang macam tu Din, dia seorang yang sangat merendah diri, kalau dilihatkan gayanya memang orang takkan percaya yang dia tu anak orang kenamaan. Bagi dia semua orang sama dan dia memilih untuk tidak menunjuk, kerana dari situlah dia kata dia boleh kenal siapa kawan dan siapa sahabat, pelik adik abang sorang tu." Zafriel tidak hairan jika Aminuddin terkejut apabila mengetahui tentang status Farisha.

      Semua kawan-kawan Farisha mengalami nasib yang sama dan ada yang sampai sekarang pun masih tidak tahu Farisha itu anak Tan Sri Aziz, orang yang banyak memberi sumbangan di universiti tempat dia belajar dahulu. Hanya pihak atasan universiti sahaja yang tahu, itupun atas kemahuan Farisha sendiri. 


          "Maaf saya tak tau pulak bang, tadi pun saya panggil mak abang dengan panggilan makcik ja. Saya betui-betui mintak maaf bang." Aminuddin merasa bersalah kerana tidak menggunakan panggilan yang sepatutnya kepada Puan Sri Aishah. 


        "Eh, it's okay. Kita ni sama je Din, sama-sama hamba Allah. Harta, kedudukan dan pangkat tu cuma penghargaan yang diberikan oleh manusia bukan Allah, dan satu pinjaman semata-mata, jadi tak perlu nak bermegah. even mama kami pun lebih selesa orang tak panggil dia Puan Sri tau." Zafriel ketawa kecil melihat wajah cuak Aminuddin. Pasti dia merasa rendah diri dan tidak layak untuk terus berkawan dengan Farisha jika kasta dan pangkat menjadi keutamaan bagi mereka. Aminuddin menarik nafas lega mendengar kata-kata Zafriel. 


          "Abang, jom balik. Semua dah penat ni." Farisha menghempas punggungnya di sebelah Zafriel. Aminuddin hanya tersenyum melihat wajah ceria Farisha. 

    Pertama kali dia melihat wajah teruja gadis itu. Sungguh comel dan menawan hati. Keperibadian seorang ibu yang baik terlihat jelas dari cara dia melayan kerenah anak buahnya itu. Zafriel mengangguk dan berdiri membetulkan urat setelah lama duduk berbual dengan Aminuddin. 


         "Din, kamu drive kereta Isha balik rumah kamu, Isha balik dengan kami je sebab dah lewat sangat ni kan, tak elok pula dia memandu seorang diri." Zafriel menyerahkan kunci kereta Farisha pada Aminuddin.

     Farisha mencebik. Jika Zafriel sudah membuat keputusan maknanya dia tidak boleh membantah. Farisha sangat patuh dengan kehendak dan keputusan abangnya itu sejak dari kecil, kerana sudah terzahir didikannya seperti itu dari dulu. Aminuddin mengambil kunci dengan perasaan berbelah bahagi. Mahu di tolak apa pula kata Zafriel, sudahnya dia menurut sahaja. Mereka pulang ke rumah masing-masing setelah penat beriadah malam itu.


         "Hoi! Hang duk menung apa tu?" Yasin menyergah dari belakang membuatkan Aminuddin terkejut, seperti mahu gugur jantung dek kerana sergahan Yasin. Aminuddin mencerlung ke arah  Yasin sehingga mengecil matanya menahan rasa tidak puas hati, lalu di hadiahkan sebuah jelingan maut pada sahabatmya itu. 


        "Ha, jeling! Aku korek bijik mata hang satgi, mai reja nak reja ka nak menung? Dah macam orang mati bini aku tengok hang ni, duk ingat sapa dia tak tau." Yasin membebel pada Aminuddin. Lelaki itu hanya memimikkan bibir mengajuk cakap Yasin. 


       "Yasin, hang  taw dak Isha tak mai reja hari ni.” Aminuddin menghadap memandang Yasin.

    Kebiasaannya mereka pasti akan bertembung di pintu pagar imbasan mata tetapi tidak pula pada hari ini, semalam tidak pula dia diberitahu yang gadis itu tidak bekerja pada hari ini. 


      "Erm patutlah duk menung. Awek tak mai rupanya," Yasin mengejek, dia ketawa besar melihat wajah serius Aminuddin. Lelaki itu menunjukkan penumbuk pada Yasin membuatkan lelaki itu menambahkan kelantangan tawanya. 


       "Pasai apa dia tak mai? Mak hang pi masuk minang dia ka?" Yasin menambah gurauannya membuatkan Aminuddin semakin geram. Disiku perut Yasin sekuat hati membuat Yasin mengerang menahan kesakitan. 


      "Tu dia, amik habuan hang! Duk buat teruk sangat, melalut pa dia pun tak tau boya kerinting ni." Giliran Aminuddin pula menyindir hebat. Yasin menggosok perutnya yang masih kesakitan. 


      "Main kasaq hang Din! Sakit hang tau dak." Yasin membetulkan duduknya. Aminuddin sudah ketawa berdekah-dekah melihat Yasin menahan kesakitan akibat penangan dari sikunya yang padu itu. 


        "Keluarga Isha mai semalam, tapi dia tak habaq pun dia cuti." Aminuddin berkongsi cerita walaupun Yasin tidak bertanya. Entah kenapa dia merasa tidak tenang bila tidak dapat melihat wajah gadis itu, serba tidak kena harinya hari ini. Mesej tidak berbalas, telefon tidak berjawab menambahkan kegusaran di hati. 


       "Biaq pi la kat dia, yang hang kalut pasai apa? Awat kalau dia takdak hang tak buleh reja?" Yasin menyoal bersahaja. Perut masih dipegang dan diurut. 


      "Dak aih. Hang nak tau dak satu benda pasai Farisha? Aku yakin, kalau hang tau mesti hang terkejut boya punya." Aminuddin sengaja menggunakan perkataan buaya semata ingin menambahkan rasa sakit hati Yasin. Lelaki berambut kerinting itu hanya mencebik apabila mendengar perkataan buaya. 


       "Hang nak tau Farisha tu anak Tan Sri." Aminuddin bercakap seperti budak tadika yang sedang bercerita dengan rakan-rakannya, Yasin memandang tepat ke muka Aminuddin tanpa semena tawanya berdekah bertaburan. 

          Aminuddin sudah menjangkakan reaksi itu. Yasin memegang perutnya yang keras, kali ini bukan kerana sakit tapi kerana penuh dengan angin dalam ruang perutnya. Dua perkara di rasakan lucu di situ. Pertama cara Aminuddin bercakap, dan yang kedua tentang Farisha anak Tan sri? Lawak apakah yang sedang cuba disampaikan oleh sahabatnya itu. Aminuddin menunjukkan kad nama yang diberi kan oleh Zafriel semalam dihadapan mata Yasin sebagai bukti, langsung mematikan tawa Yasin. 


       "Ni kad abang dia, abang dia bagi kat aku kemarin, hang tengok tu dia tulis apa. Zafriel Tan Sri Aziz." Aminuddin menyebut nama Zafriel dengan jelas ditelinga Yasin. Yasin seakan tidak percaya lalu diambil kad nama itu dari tangan Aminuddin dan membelek kad itu lama, terkulat-kulat matanya melihat kad nama itu. 


      "Gila bapak! Biaq betui? Tak nampak macam anak Tan Sri pun?"Yasin terkejut besar, seperti Aminuddin dia juga seakan tidak percaya tentang perkara itu. Bahkan sampai sekarang dia seakan tidak percaya tentang kebenaran Farisha. 


      "Aku pun tak percaya tapi tu la yang betui. Kemarin aku jumpa dah keluarga dia, kami makan steamboat ramai-ramai." Aminuddin menambah. 

    Yasin semakin terkejut. Sungguh pantas Aminuddin mengatur langkah, sampaikan  boleh berjumpa dengan keluarga Farisha lagi. Bila di tanya tiada apa, tapi sampai jumpa keluarga dan makan sekali? apa yang tiada apa? 


     "Buleh gagah hang noh, sampai jumpa family dia teruih." Yasin menepuk bahu lelaki itu. Mungkin Yasin tidak tahu cerita sebenarnya kerana Aminuddin tidak menceritakan dari mula bagaimana dia boleh makan malam bersama keluarga Farisha. 

   

    “Hang tak tau macam mana aku boleh,” 


     "Allah Din, hang ngan Isha tu kawan ja kan? Nak kalut pa, biaq pi lah dia anak raja sekali pun bukannya hang nak menikah ngan dia ye dak? Tapi kalau hang mau itu lain cerita la." Yasin memotong sebelum sempat Aminuddin menyudahkan ceritanya.

   Kini dia sudah faham segalanya, tapi dia merasa pelik kenapa Aminuddin begitu terasa hati apabila mendapat tahu yang Farisha ada menyembunyikan perkara sebesar itu dari pengetahuannya. Dalam masa yang sama dia kagum akan sikap Farisha yang tidak bermegah dengan kekayaan dan kelebihan yang dia punya. 

     Susah mahu menjumpa orang yang begitu merendah diri seperti Farisha. Aminuddin tersengih, ada betulnya juga kata-kata Yasin itu. Sememangnya dia dan Farisha hanya berkawan. Jika diikutkan sudah cukup bagus Farisha sudi berteman dengan budak kampung seperti dia. Jika anak Tan sri lain, ataupun anak Yb sekali pun belum tentu mahu berkawan dengannya. 


          "Isok kita pi mandi laut jom? Isok tak reja kan?" Yasin teringat rancangan teman serumah mereka, yang lain sudah bersetuju, tinggal lelaki itu sahaja yang masih belum diajak. 


       "Dak kot, isok aku ada hai, lagipun isok nak hantaq balik keta Isha tu, hangpa pi la." Aminuddin menolak cara baik. Dia terlebih dahulu berjanji dengan Zafriel untuk ikut serta bersama mereka makan tengah hari sebelum mereka pulang ke Kuala Lumpur. Yasin mengangguk tanda akur. Dia sambung semula kerjanya yang tertangguh sebentar tadi, begitu juga dengan Aminuddin.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie