Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 21

Bab 21 hanya dia bidadariku


Bab 21


   Yasin berdehem kecil sebelum duduk bersebelahan dengan Aminuddin. Lelaki itu masih lagi dengan lamunan yang entah ke mana. Kehadiran Yasin langsung tidak mengganggu khayalannya. 


   "Din, hang pasai apa? Duk sentap ngan aku pasai apa?” Yasin menepuk bahu membuatkan Aminuddin tersentak. Seharian ditempat kerja Aminuddin tidak bertegur dengan Yasin. Sepatah ditanya sepatah dijawab, kadang dibiarkan sepi tidak berbalas. 


     "Bila pulak aku sentap ngan hang? Takda pasai aih." Jawab lelaki itu acuh tak acuh.

    Buku di tangan kembali diselak. Yasin tertawa kecil, buku diambil daripada tangan Aminuddin dan meletakkan di atas meja. Tubuh dipusing menghadap Aminuddin yang sudah mencerlung ke arahnya.


      "Hang pasai apa? Aku nak baca buku pun tak senang la." Aminuddin  mendengus geram.

   Tubuh sedikit tertunduk cuba mengambil kembali buku di atas meja tetapi pantas di halang oleh Yasin membuatkan Aminuddin berpeluk tubuh. Tangan disilang ke dada dan pandangan dilemparkan ke luar. 


       "Hang marah ka aku bergurau dengan Isha tadi? Kalau pasai tu, aku mintak maap kat hang, aku bergurau ja." Yasin pasti, itulah sebab Aminuddin marahkan dirinya. Bukan sehari dia kenal lelaki itu, semua gerak geri dan tingkah Aminuddin sudah berada dalam kepalanya. 


      "Pasai apa aku nak marah? Dia bukan bini aku pun. Lantak pi kat hang lah nak buat apa dengan dia." Aminuddin membalas dengan senafas. 

   Dadanya sudah mula berombak, jiwanya tidak tenang, hatinya terasa panas bila teringat kembali kemesraan Yasin dan Farisha pagi tadi. Ya, memang dia cemburu. Dia sendiri tidak pasti kenapa, perasaan itu datang menguasai dirinya. Biarlah perasaan itu dipendam sendiri, dia malu dengan keadaan itu. 


      "Hang toksah duk muhong aku la Din, aku kenai hang! Hang sukakan Isha kan, tapi hang tak mau mengaku." Yasin masih dengan firasatnya. 

   Kebenaran harus dituntut. Dia sudah lama perhatikan mereka berdua, saling memendam rasa dan malu untuk meluahkan. 


       "Hurmm..., tak tau la Sin, aku serabut. Tak patut pun aku marah kat hang, tapi aku tak tau kenapa aku tak buleh kawai marah aku." Dipandang wajah Yasin sayu, rasa bersalah menguasai diri. Tidak sepatutnya dia lepaskan  kepada Yasin. Sungguh dia keliru dengan perasaannya sekarang. 


      "Tak pa Din, aku paham. Tapi aku nak tau satu ja, hang memang sukakan Isha tu kan? Hang cintakan dia kan?" Tanya Yasin sekali lagi. Walaupun dia sudah tahu jawapan yang sebenar, dia mahu Aminuddin mengaku sendiri. 


       "Tak tau nak kata la. Kalau ya pun… aku tak layak dengan dia." Aminuddin sedar diri. Pipit sepertinya mana mungkin terbang setinggi helang. 


        "Pasai apa pulak tak layak. Pasai dia anak Tan Sri?" Tanya Yasin lagi, walau dia sudah tahu memang itulah sebabnya. 


      "Banyak sebab Sin, aku tak mau panjat tinggi-tinggi lepaih tu jatuh ke bawah, sakit nanti aku jugak. Aku tak mau amik risiko." Aminuddin sebak. Disandarkan tubuhnya ke bangku, mata memandang kipas siling yang berputar laju, di picit sedikit kepala yang terasa berat. 


       "Dah tau panjat tinggi, hang pakailah safety harness, lepas tu cangkuk, takda la jatuh lepaih ke bawah." Yasin cuba bergurau, tidak mahu terlalu serius membicarakan soal hati dan perasaan. Aminuddin ketawa, ditepuk peha Yasin geram membuatkan lelaki itu sedikit meloncat kerana kesakitan. 


       "Cakap ngan hang ni buat sakit hati. Baik aku pi tidoq lagi baguih." Aminuddin mengangkat punggung malas dan berjalan  menuju ke bilik, Yasin mengekek geli hati. Suka dia dapat melihat senyuman sahabatnya yang seharian hilang. 

      "Habih tu Athirah? Bukan hang dok berkawan dengan dia ka? " Soal Yasin tiba-tiba, membuatkan langkah Aminuddin terhenti, ditoleh ke belakang melihat Yasin yang sedang menanti jawapan. 


       Aminuddin hanya mengeluh sebelum kembali menapak membiarkan soalan tidak berjawab. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan, kenapa semua ini berlaku. Jauh dalam hatinya terbuku rasa bersalah yang amat besar pada Athirah, jika benar perasaannya pada Farisha, pastinya gadis itu akan kecewa, dan dia sudah pastinya berdosa kerana mengecewakan seorang gadis. 

      Walau mereka bukan rasmi bercinta tetapi dia sedar dia telah meletakkan harapan secara tidak sengaja pada  gadis itu. Dia sendiri maklum akan perasaan Athirah kerana berulang kali cuba meluahkan rasa hati melalui kiasan kata-kata. Tapi, dia tidak mampu mengikis rasa yang sedang melonjak dalam hati buat gadis bernama Farisha. Kehadirannya membuatkan hidup terasa berbeza dan bahagia. Satu rasa yang tidak pernah dia lalui, walaupun ketika dia bersama dengan cinta pertama dahulu. 


          "Athi, kau dah dapat ke tempat untuk kita buat practical nanti? Kalau tak dapat lagi aku nak tolong." Qisya bersuara tiba-tiba membuatkan lamunan Athirah terhenti. Dipandang wajah Qisya lalu menggelengkan kepalanya. 


      "Hurmm, aku dah agak dah. Don't worry, aku dah settle kan semuanya," Qisya tersenyum sendiri.

     Sememangnya dia tahu yang gadis itu tidak mengambil peduli apa pun sekarang soal belajar, yang ada dalam fikiran gadis itu sekarang hanyalah Aminuddin. Sudah letih dia cuba menasihati  tetapi masih juga sama keadaannya. 


     "Thanks." Jawab Athirah tanpa perasaan.

    Qisya hanya menggelengkan kepala. Athirah sudah tidak tahu bagaimana hendak mengawal dirinya, setiap masa dan saat otaknya hanya memikirkan tentang Aminuddin. Dia sudah tidak dapat membendung rasa rindu yang sarat dihati. Walaupun mereka tidak pernah berjumpa tetapi perasaan sayang pada lelaki itu amat mendalam. Ramai juga yang cuba mencuri perhatiannya di sini, tetapi semua ditolak mentah-mentah. 

   "Come on lah babe, janganlah macam ni. Kita kena fokus dengan study, itu masa depan kita. Bukan buang masa fikirkan perasaan yang belum pasti sudahannya." Qisya menepuk bahu Athirah lembut, diangkat buku yang berada di atas meja lalu bangun dan beredar. Dia sudah penat melihat drama sebabak Athirah setiap waktu. Athirah hanya menghantar Qisya dengan pandangan sejenak. 


         Puas sudah dia berfikir dan mentafsir, apa sebenar perasaan Aminuddin padanya? Kenapa lelaki itu seperti sedang melarikan diri? Dia perasan, sejak dia mula bercerita tentang Farisha, Aminuddin sudah tidak sama lagi setiap kali mereka berbicara melalui telefon ataupun mesej. Nama Farisha akan menjadi perbualan utama mereka. Farisha itulah, Farisha inilah, mahu sahaja di luahkan perasaan cemburunya. Tetapi dia sedar  siapa dia didalam hidup Aminuddin, semuanya dipendam sendiri. 


      Din, berbaloikah penantian Athi? Apakah Din rasa apa yang Athi rasa pada Din selama ni? Kalau Din sukakan orang lain, kenapa tak bagitau ja? Kan ka senang? Dari siksa perasaan Athi macam ni, tak guna Din. Athirah sebak sendiri, titisan air mata jernih menitis membasahi pipinya. 

    

     Antara cinta dan cita-cita dia buntu untuk memilih yang mana. Keduanya amat penting dalam hidup. Perasaan sayang yang hadir untuk lelaki itu tidak mungkin terbuang begitu sahaja. Walaupun Aminuddin tidak pernah menyatakan cinta, dia yakin lelaki itu turut mempunyai rasa seperti dirinya. Selagi belum milik sesiapa, dia akan berjuang mendapatkan apa yang diinginkan. Athirah nekad untuk berusaha lebih keras mendapatkan lelaki pujaan hatinya, biarlah jika orang menganggap dia seperti perigi mencari timba. 

    “Assalamualaikum,” bicara Athirah sebaik panggilan bersahut. Mulut terukir senyuman bak bunga ros mekar. 

    “Athi sibuk ka? Sihat? Makan dak lagi.” Bertubi soalan diajukan. 

   “Tak sibuk pun. Alhamdulillah sihat, Din dah makan?” giliran Athirah bertanya. 

    Athirah senang hati dapat berbual lama dengan Aminuddin, hilang semua rasa marahnya pada lelaki itu. Mereka begitu rancak sehingga berderai ketawa Aminuddin. Sedari tadi ada sepasang mata yang asyik memerhati gerak geri Aminuddin dan menguping bual bicaranya. Hati mula dipagut rasa cemburu. 

    “Isha, jom makan.” Aminuddin membuka bekalan yang sudah tersedia seperti selalu. Farisha masih kaku dan berdiam diri. 

   “Hang makanlah.” Tutur gadis itu lemah sebelum melangkah pergi meninggalkan Aminuddin. Langsung tidak menoleh ataupun tersenyum seperti selalu. 

    Aminuddin memanggil Farisha berkali-kali tetapi langsung tidak dipedulikan. Farisha terus melangkah hingga hilang dari pandangan matanya. Ditenung bekas makanan yang masih belum berusik itu, fikirannya melayang berterbangan bersama angin. 

   Kenapa Farisha seperti marah pada dirinya? Kepala digaru berulang kali, perut yang bergendang kelaparan sebentar tadi sudah kembung dengan beribu soalan bermain di fikiran. Dia harus mencari tahu kenapa Farisha berkelakuan seperti itu.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie