Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 22

Bab 22 hanya dia bidadariku


Bab 22


  Farisha masuk ke dalam kabin selepas Aminuddin keluar, dilihat bekas makanan yang langsung tidak terusik itu membuatkan hatinya menangis. Marahkah lelaki itu padanya sehingga tidak dijamah langsung masakannya? Bukankah dia yang patut marah sekarang ini? Eh, kenapa mesti marah pula, kenapa mesti rasa cemburu? Farisha cuba mengawal perasaannya. 

    Tanpa sedar air mata mula membasahi pipi, sungguh perit permainan perasaan ini. Wahai hari bertabahlah dan mohon kuat supaya tidak lagi tersungkur kerana cinta. Farisha menarik nafas sedalam mungkin sebelum perlahan mengukir senyuman namun tangisan tidak mampu tertahan, hujan yang tadinya renyai sudah mula turun dengan lebatnya. 

    “Tak makan pun nak nangis ka?” satu suara bergema membuatkan Farisha tersentak, pantas diseka air matanya. 

    “Hang buat apa dekat sini? Mana ada nangis,” Farisha cuba melarikan wajahnya. Aminuddin sudah duduk bersebelahan dengan Farisha. 

    “Nak makanlah, tadi aku tunggu hang lepas tu sakit perut. Aku pi la tandas dulu,” Aminuddin mencapai bekas nasi itu dan bahagikan pada dua pinggan, satu di letakkan di hadapan Farisha dan satu lagi untuknya. 

   “Hang makanlah, aku takda selera.” Farisha menolak pinggan jauh darinya. 

    “Takda selera sebab cemburu aku talipon Athirah kan?” Farisha meneguk air liur perit. Aminuddin hanya menjeling sekilas, dicedok lauk ke dalam pinggan dan diberikan kepada Farisha semula pinggan nasi itu. 

   “Aku talipon dia saja tanya habaq ja, bukan berasmaradana pun. Hang buat teruk sungguhlah.” Aminuddin mengangkat tangan untuk berdoa, diberikan isyarat kepada Farisha untuk turut melakukan perkara sama. 

    Farisha hanya menjadi penonton ketika Aminuddin menjamah makanan, apakah ilmu yang dipakai lelaki itu sehinggakan dia tahu dengan jelas akan perasaannya. Atau memang jelaskah rasa cemburu itu terlihat di wajahnya? Ya Allah, malunya muka ni. 

    Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.30 petang, Farisha kelam kabut mengemas barang kerjanya dan mencapai beg di atas bangku, entah bagaimana dia boleh tertidur sebentar tadi. Mujur Aminuddin menelefon dirinya, jika tidak pasti sampai esok dia tidur di tempat kerja. Jalan agak sesak tidak seperti selalu membuatkan Farisha merasa pelik, selalunya jika waktu begini sudah lengang jalan raya kerana kebanyakan mereka keluar lebih awal. 

    Sebaik keluar dari simpang, dia melihat orang berkerumun di tepi jalan, seperti ada kemalangan di situ. Farisha mengeluh, sempat dia mendoakan orang yang terkena musibah itu selamat. Sebaik melintasi di kawasan kemalangan itu, dia melihat kelibat Yasin dan Akmal, hatinya tiba-tiba rasa resah. Aminuddin! Dia teringatkan lelaki itu harap dia baik-baik sahaja. 

   Yasin menahan kereta Farisha sebaik ternampak gadis itu, Farisha berhenti dan keluar dari kereta. Yasin kelihatan panik dan takut, lelaki itu meminta Farisha mengikutnya.

    Din! Farisha tergamam. Lututnya dirasakan lemah apabila melihat Aminuddin terbaring kaku dengan darah yang membasahi kepalanya. Tangan dan kakinya juga terkoyak dan berdarah. Farisha meminta Yasin mengangkat Aminuddin masuk ke dalam keretanya untuk di bawa ke hospital dengan segera. Farisha memecut laju menuju ke hospital yang terdekat. 

     Lima minit kemudian mereka sampai di hadapan Hospital Pantai Sri Manjung. Aminuddin ditarik masuk ke bilik kecemasan, Farisha pula menguruskan pendaftaran. Semasa menunggu proses rawatan, Yasin menceritakan semuanya kepada Farisha. 

   Sebuah kereta toyota Hilux memandu dengan laju dan tiba-tiba menukar lorong dan masuk simpang tanpa memberikan isyarat, Aminuddin tidak sempat mengelak lalu menghentam kereta itu secara berdepan ketika dia cuba memotong kenderaan di hadapannya. Pemandu Hilux itu melarikan diri dan tidak dapat dikejar oleh mereka tetapi ada saksi yang sempat mengambil nombor pendaftaran kereta itu. 

    “Waris kepada Encik Aminuddin Khabir bin Mohammad Taufiq.” jerit jururawat yang bertugas di hadapan pintu bilik rawatan itu. 

   “Ye saya,” Farisha sudah berdiri tercongok di depan wanita itu. 

    “Pesakit banyak kehilangan darah, kami pula kekurangan bekalan jenis darah pesakit. Cik ahli keluarganya ke?” soal jururawat itu. 

   “Apa jenis darahnya nurse?” soal Farisha kembali. 

   “O.” Jawab jururawat itu ringkas. 

   “Saya berdarah O juga, boleh ke saya dermakan darah saya?” jururawat itu mengangguk, Farisha ditarik masuk ke dalam untuk proses menderma darah. Farisha menjadi sebak melihat lelaki itu terbaring kaku dengan kesan luka dan calar balar di muka dan tangan.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie