Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 31

Bab31

   

   Farisha berdiri di hadapan pondok pengawal. Kad pekerja diserahkan sebelum dia melangkah keluar. Dia memerhati keadaan sekeliling mencari kelibat orang yang dikatakan oleh Najiha tadi. Matanya tertancap pada seorang lelaki yang berdiri di sebelah kereta Mercedez Benz CLK500. Wajah tidak leihatan kerana lelaki itu berdiri membelakanginya. 

   Tapi dari sekilas pandangan lelaki itu nampak muda. Bertubuh sasa dan tinggi. Dia kemudian menghampiri lelaki tersebut. 

   “Assalamualaikum. Maaf bertanya. Encik ke yang nak jumpa saya?” Farisha bertanya sebaik berdiri betul-betul di belakang lelaki itu. 

   Lelaki itu sudah menguntum senyum sebaik mendengar suara Farisha. Dia menarik nafas dalam sebelum memberanikan diri untuk berpusing. Dia tidak pasti apa reaksi Farisha nanti. 

   “Walaikumsalam Isha.” Lelaki itu berkalih posisi. Dia kini sudah menghadap Farisha. 

   Farisha terkedu. Mulut sedikit ternganga. Farisha sedikit mengundur ke belakang. Dia menekup mulutnya sambil menggeleng kepala. Tanpa sedar air mata sudah mula bertakung di kolam mata. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat sekarang. 

   Farisha pantas berlari masuk semula ke dalam, cepat-cepat dia mengambil pas pekerja di pondok pengawal dan beredar. Sedaya upaya ditahan air mata dari menitis. Lelaki itu cuba mengejar Farisha. Tetapi di tahan oleh pengawal kerana dia perlu mendaftar terlebih dahulu. Lebih tepat dia harus ada alasan yang kukuh untuk masuk ke dalam kawasan dalam itu. 

    Lelaki itu terus memekik memanggil nama Farisha. Namun gadis itu langsung tidak menoleh. Malahan dia terus berlari sehingga menjauh dan menghilang. Lelaki itu mengeluh hampa. Dia berjalan semula masuk ke dalam kereta dengan perasaan marah dan kecewa. 

   Dia sudah mengagak reaksi ini daripada Farisha. Lelaki itu terus memandu keluar dari Sapura Kencana menuju ke Hospital Pantai. 

    “Kenapa mesti sekarang? Ya Allah, kenapa aku yang dipilih untuk lalui semua ujian ini?” Farisha menghamburkan tangis sebaik masuk ke dalam kabin. Terhincut tubuhnya menhana esakan tangisan. 

    “Isha, kau kenapa ni? Kau okey tak?” Najiha yang terkejut melihat keadaan Farisha itu terus menarik kerusi dan duduk di sebelah sahabatnya itu. 

    “Jiha… Kenapa sekarang? Kenapa dia mesti kembali?” Farisha memeluk Najiha erat. Semakin kuat tangisan Farisha di bahu Najiha. 

   “Sabar babe. Aku tahu kau kuatkan. Aku sentiasa ada untuk kau okey.” Najiha mengusap lembut belakang Farisha. Dia turut sama dapat merasakan kesedihan sahabatnya itu. Sakit Farisha, sakitlah juga yang dia rasakan. 

   “Kenapa aku di uji dengan ujian yang berat macam ni Jiha? Berdosa sangat ke aku ni?” Tersekat-sekat percakapan Farisha kerana menahan sebak. 

   “Tak baik kau cakap macam tu. Allah tahu kau kuat. Sebab tu dia uji kau. Jangan cakap macam ni lagi okey.” Najiha juga sudah mula sebak. Namun cuba ditahan air mata dari turut mengalir. Dia tidak kuat melihat tangisan Farisha. Dia tahu bagaimana tersiksanya gadis itu sebelum ini. 

   Dia juga terkejut mulanya. Tidak sangka yang lelaki itu berani kembali selepas membuat onar pada Farisha dulu. Tapi apa tujuan dia kembali sekarang? Najiha seolah dapat merasa sesuatu yang tidak baik akan berlaku nanti. Apakah tidak cukup dengan apa yang terjadi selama ini. Najiha mengeluh beberapa kali sebelum mengemaskan lagi pelukannya terhadap Farisha. 

   Aminuddin sudah tidak senang duduk. Sedari tadi dia membelek telefonnya. Diletak dan diangkat semula. Diulang beberapa kali, wajah yang muncung sampai boleh di sangkut kuali itu benar-benar membuatkan Nadirah ketawa mengekek. 

   “Awatnya la orang tu macam kucing hilang anak aih.” Teguran Nadirah mematikan tingkah Aminuddin. Lelaki itu duduk tegak berdiri dan pura-pura menonton TV. 

   “Apa dia pulak dah? Kacaulah orang tengok TV dia nih.” Aminuddin cuba berlagak tenang. Tidak mahu menampakkan kegelisahan hatinya. Najiha hanya ketawa. 

   “La tengok TV? Cita apa? Awat gelap ja… tengok diri sendiri berlakon ka. Tajuk dia, awat awek aku tak tipon?” Galak Nadirah menyakat. Dia berdiri betul-betul di hadapan TV sambil meraba-raba skrin tersebut. 

   “Eh macam mana buleh mati pula tu. Kucinglah tu tekan tadi tu.” Aminuddin mencapai alat kawalan jauh dan menekan butang hijau untuk menghidupkan televisyen tersebut. Baru dia perasan yang dia memberikan alasan tidak kena pada keadaan. 

   “Dahlah bang Din. Bukan kami tak tau yang bang Din duk susah hati Kak Isha tak angkat tipon kan? Mesej tak balas kan?” Nadirah duduk di sebelah abangnya dengan ketawa yang masih bersisa. 

   “Mana hang tau? Macam ahli nujum pula aih dia ni,” Aminuddin memandang tepat ke arah Nadirah. Gadis itu hanya tersengih melihat wajah cemerut abangnya. 

   “Kami pun ada tipon dia, tapi tak dapat. Sibuk kot.” Nadirah menyandar di kerusi. Cuba memujuk hati abangnya. Alat kawalan jauh dicapai dan dia menukar siaran mencari cerita yang seronok untuk ditonton. 

   Aminuddin hanya mendiamkan diri. Farisha sibuk? Selalunya sesibuk mana pun dia, tidak pernah dia tidak menjawab telefon atau membalas mesej darinya. Kebiasaannya baru sahaja mesej bertanda biru gadis itu sudah menaip untuk membalas. Telefon pula tidak perlu menunggu lama pasti akan terus di angkat. Hatinya berasa tidak senang dengan keadaan itu. Hailah hati, janganlah hang buat kalut! Aminuddin mengeluh tanpa sedar. 

    Pulang dari kerja Farisha ingin terus pulang ke rumah. Najiha pula mahu mengajak dia singgah ke pasaraya Aeon untuk membeli barang peribadi. Dengan terpksa Farisha hanya menurut kemahuan sahabatnya itu. Tidak mahu Najiha berkecil hati. Ikutkan hatinya sekarang dia mahu duduk di dalam bilik air dan buka pancuran air, menangis sepuas-puasnya. 

    “Isha, kau rasa kenapa dia datang balik ek?” pertanyaan Najiha mematikan lamunan Farisha. 

   “Entah,” jawab Farisha acuh tidak acuh. Malas dia mahu membahaskan soal itu. 

   “Berani pula dia tunjuk muka kan. Aku tadi mula-mula jumpa dia, aku terkejut tau. Rasa macam nak tumbuk je. Tapi makin handsome pula dia sekarang kan,” dalam mengutuk sempat lagi Najiha memuji. Farisha pula buat tidak tahu. Malas dia mahu dengar perihal lelaki itu. 

   “Kau dengar tak apa aku cakap ni? Senyap je.” Najiha menarik tangan Farisha membuatkan gadis itu terhenti dari melangkah. 

   “Jiha. Stop it. Aku tak nak bincang pasal dia lagi,” Farisha menolak troli laju meninggalkan Najiha yang terkebil-kebil di marah. 

   Najiha melihat sekeliling, mujur tiada orang di situ. Dia mengejar Farisha yang sudah jauh ke depan. “Ala sorrylah Isha. Aku tak sengaja buat kau marah. Hurmm,” Najiha menarik muncung, lengan baju Farisha dikutil sampai bersimpul. 

    “Aku tak marah kat kau. Cuma aku tak nak kau sebut lagi pasal dia. Aku dah tak nak ingat lagi dah kisah lama. Yang merana nya aku, cukup-cukuplah dengan masalah yang sedia ada ni.” panjang lebar Farisha meluah. Najiha hanya mengangguk. Tetapi dia sedikit hairan, masalah apa yang dimaksudkan Farisha. 

    “Masalah apa lagi? Bukan kau dengan Din dah ehem-ehem ke?” Najiha bertanya sambil dua jari telunjuk dirapatkan sebagai ganti isyarat sudah bersama. 

   “Pandai je kau. Kami masih berkawanlah, takda istilah cintanya. Aku pun tak tahu perasaan sebenar dia. Kadang nampak macam suka, kadang tu menyakitkan hati pun ada. Tapi dia ada tanya, aku suka dia ke?” 

  “Ha, kau jawab apa? Jawab suka tak?” Najiha menjadi teruja. 

   “Aku cakplah suka. Lepas tu dia cuma senyum je. Aku pun tak tahu cakap macam mana, pening aku dengan Pak Tam tu tau.” Farisha membelek cokelat yang berada di hadapannya. Tanpa sedar beberapa keping cokelat sudah berada di dalam troli. 

   Pak Tam gelaran terkenal di antara kenalan Aminuddin dan panggilan untuk Farisha ketika marahkan lelaki itu. Najiha berfikir sejenak, sebelum tersengih sendiri. 

   “Dia suka kaulah tu. Tapi malu nak cakap. Mungkin dia rendah diri kot, rasa tak layak dengan kau.” Najiha membuat andaian sendiri. 

   “Apa tak layaknya? Aku ni bukan anak sultan ke anak Agong ke, sampai kena jaga darjat. Kita ni kan hamba Allah.” Farisha tidak bersetuju dengan pendapat sahabatnya itu. 

   “Itu kata kau, kata dia? Kau luah je lah semuanya. Habis cerita, tak payah tunggu dia.” Najiha memberi cadangan. 

   “Entahlah. Sekarang ni abang Zarel pula buat hal.” Luah Farisha tiba-tiba. 

   “Hadoi, masalah pula. Apa dia buat?” 

   “Dia nak…”

   “Apa kata kita pergi makan sambil berbual. Kering tekak aku dengar cerita kau,” Najiha mencelah. Dia menolak laju troli ke kaunter bayaran. Farisha hanya menurut sambil menggeleng.

Previous: Bab 31
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie