Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 24

Bab 24 hanya dia bidadariku


    Keadaan menjadi sunyi seketika. Seakan masa terhenti dan segala memori lalu kembali tertayang di hadapan mata mereka berdua. Aminuddin hanya sekadar menjadi penonton. Terbit sedikit rasa cemburu bila melihat Farisha bertatapan mata dengan doktor itu. Apakah mereka kenalan lama? Kenapa pula Farisha menangis ketika bertentang mata. Siapa lelaki itu. 

    “Abang Zarel?” perlahan suara Farisha menyoal. Hampir tidak keluar namun dapat ditangkap soalannya di pendengaran Aminuddin dan doktor itu. 

    “Yes it's me.” Zarel Ikmal tersenyum girang. Tidak menyangka dia akan bertemu dengan gadis yang selama ini menghiasi taman hatinya. 

    Farisha berlari keluar dari dalam bilik wad itu membuatkan Zarel terpinga-pinga. Dipandang Aminuddin sekilas sebelum berlalu keluar mendapatkan Farisha. Aminuddin hanya mampu mengeluh. Baru sahaja dia hendak mendapatkan perhatian Farisha tapi ada pula yang menghalang. Pasti gadis itu gembira dapat berjumpa dengan orang yang dia cari selama ini. Tetapi kenapa Farisha melarikan diri, wajahnya juga nampak sedih. Andaikan dia mampu berdiri sekarang pasti dia pergi mendapatkan Farisha. 

    “Isha tunggu.” Zarel cuba menarik tangan Farisha. Gadis itu terhenti dari melangkah namun masih belum menoleh menghadap Zarel. 

    “Kenapa Isha nak lari?” Zarel memaut bahu Farisha dan memusingkan tubuh menghadap dirinya. Dagu Farisha ditarik naik supaya dapat ditatap wajah gadis itu. Zarel tersenyum manis sebaik Farisha memandang dirinya. 

   “Abang,” Farisha sebak. Tidak mampu untuk dia teruskan kata-katanya. Zarel meletakkan jari di bibir Farisha memberikan isyarat supaya senyap. 

    “Isha dah banyak berubah, makin cantik bila Isha bertudung,” Zarel memuji. Mereka duduk di kerusi ruang menunggu. Farisha tersipu malu. 

   Aminuddin gagahkan diri untuk turun dari katil. Dia berjalan perlahan-lahan menghampiri pintu, dibuka sedikit dan dijengahkan kepala mencari kelibat dua insan tadi. Luluh hatinya melihat kemesraan yang terpamer di antara mereka berdua. Farisha ketawa riang. Tidak pernah dia melihat wajah segembira itu sebelum ini. Perlahan pintu ditutup dan dia kembali memanjat katil dalam kepayahan. Sakit yang dirasakan tidak mampu menandingi rasa sakit hatinya sekarang. 

    Din! Hang pasai apa? Nak marah buat apa? Isha tu bukannya bini hang pun. Takkan hang cemburu kot. Aminuddin cuba beristighfar sebanyak mungkin. Dia terlalu mengikut kan perasaan. Tidak pantas rasanya untuk dia marah atau cemburu akan kemesraan mereka berdua. 

    Seperti yang dia sedia maklum, Farisha sendiri pernah beritahu yang dia masih sayangkan Zarel Ikmal. Sayang sangat. Masih jelas perkataan itu di halwa pendengarannya. 

    Daun pintu bilik wad ditolak perlahan. Aminuddin cepat-cepat memejamkan mata pura-pura tidur. Farisha masuk dan duduk di bangku sebelah katil Aminuddin. Wajahnya terlakar senyuman yang indah. Dipandang Aminuddin sekilas yang sedang nyenyak tidur. Dia kemudian termenung, jauh terbawa kenangan lama yang mula mengimbas di benak fikiran. Kenangan yang selama ini cuba ditindih supaya tidak berjaya keluar dari memori ingatannya. 

   Aminuddin cemburukan senyuman itu. Tetapi dia terpana melihat keindahan ciptaan Allah yang maha besar. Andaikan senyuman itu untuknya pasti dia akan menjadi lelaki paling bahagia. Nampaknya dia tidak akan berpeluang meluahkan rasa hatinya kepada gadis itu. 

    Mana mungkin dia boleh menandingi kehebatan Zarel Ikmal. Seorang lelaki yang berjaya, kaya dan kacak. Bodohlah Farisha jika memilih dia yang tiada apa-apa. Aminuddin mengeluh tanpa sedar. Farisha tersentak apabila mendengar desah keluhan lelaki itu. 

    “Din, hang okey ka?” lembut Farisha bertanya. Disentuh lembut bahu lelaki itu. Aminuddin memusingkan tubuhnya tanpa emjawab pertanyaan gadis itu. Farisha terdiam. Diamati tubuh lelaki yang sedang berbaring membelakangi dirinya itu. 

    Kenapa pula dia ni? Tidur ke? Jaga ke? Sakit ke? Tanya senyap pula. Farisha mengangkat punggung dan berjalan ke sebelah depan Aminuddin. Mata lelaki itu terpejam rapat. Farisha mengeluh. 

    “Din, aku balik dulu na. Satgi aku mai bawa nasi kat hang okey.” Farisha menanti jawapan lelaki itu. Dia tahu Aminuddin tidak tidur. 

   “Hurmmm,” seminit kemudian Aminuddin menjawab tanpa membuka mata. Farisha mencapai beg di meja dan berjalan keluar. 

   “Kenapa hang baik sangat dengan aku Isha? Hang tau dak hang dah curi hati aku.” Aminuddin berbicara lemah dengan dirinya sendiri. Kenapa hati ini terlalu rapuh dalam soal perasaan. 

    Sudah berkali cuba dipesan kepada hatinya jangan terlalu cepat serahkan segalanya. Perbezaan kasta dan cara kehidupan mereka terlalu jauh beza. Farisha bagaikan merak kayangan dan dia hanyalah nuri yang mampu bercicip hingar namun sekadar mampu duduk di dahan yang rendah. 

    Aminuddin tiba-tiba teringatkan Athirah. Mungkin inilah apa yang gadis itu rasakan bila dia memendam perasaan pada dirinya. Mungkin ini balasan baginya kerana menyiksa perasaan orang lain. Memang dia berkawan dengan Athirah pada awalnya cuba untuk melupakan Nurul. Tetapi dia tidak tahu kenapa dia tidak mampu meletakkan nama Athirah dalam hatinya. Dia juga selalu berpesan kepada Athirah supaya tdak mengharapkan apa-apa darinya. Biarlah perasaan itu hadir tanpa dipaksa. 

     Farisha terkejut saat membuka pintu rumahnya. Dilihat Najiha tercongok di hadapan TV. Dia menggantung kunci kereta dan menghempaskan punggung di sebelah Najiha. Matanya terasa berat dan perlu ditutup untuk sekejap. 

     “Kau tidur hospital ye?” soal Najiha sambil menepuk peha Farisha. Gadis itu membuka matanya luas. 

    “Hurmm,” matanya kembali terpejam rapat. Dia perlu merehatkan diri sebentar sebelum mula memasak untuk dibawa kepada Aminuddin. 

    “Sayang betul kau dekat Aminuddin tukan. Rusau sampai sanggup jaga kat hospital, yang aku ni punyalah risau cari kau dalam bilik takda. Telefon tak angkat. Kot ye pun cubalah bagitahu aku dulu, ni main buat suka hati je, lepas ni kau nak pergi hospital balik ke? Farisha, Isha….,” 

    “Aik. Tidur? Patutlah tak menjawab. Isha, Isha.” Najiha membaringkan tubuh Farisha yang sudah pulasan tidur itu. Pasti gadis itu keletihan. Penat sahaja dia membebel panjang-panjang tetapi gadis itu lena dibuai mimpi. 

    Farisha mengeliat kecil. Pinggang yang terasa sengal diurut perlahan. Berpinar matanya bila dibuka. Dilihat jam di dinding. Segar biji matanya bila melihat jam merangkak ke angka 12.00 tengah hari. Dia bingkas bangun dan menuju ke dapur untuk memasak. Sudah dua jam dia tertidur. 

    Selesai masak, Farisha bergegas masuk ke bilik untuk mandi dan menukar pakaian. Telefon bimbit dicapai. Dilihat ada lima panggilan tidak berjawab daripada Aminuddin. Pasti lelaki itu sedang menunggu kedatangannya. Pasti lelaki itu sedang kelaparan. Farisha cepat-cepat memasukan bekalan makanan dan bergegas keluar dari rumah. Kereta dipandu selaju mungkin. 

    “Din sorry. Aku tertidoq tadi. Ni aku dah masakkan lauk kegemaran hang.” Farisha memandang bekas makanan yang disediakan oleh pihak hospital. Masih tidak berusik, bermakna lelaki itu belum menjamah apa-apa. Farisha tersenyum kecil. Lelaki itu pasti sedang menunggu makanan yang dimasak olehnya. 

    “Takpa aku paham. Hang mesti letih,” Aminuddin menjawab tanpa senyuman. Hatinya dipagut rasa sedih setiap kali melihat riak wajah Farisha. Tidak tahu bagaimana hendak mengawal perasaannya. 

    “Ni awat muka sedih ja ni? Lapaq pun takkan nak nangis,” Farisha cuba berseloroh. Dia perasan sedari tadi, garis muka Aminuddin sungguh kendur. Tiada langsung senyuman terpamer seperti pagi tadi. 

    “Takda apalah, sakit eksiden baru terasa kot. Sengai-sengai habis rasa badan aku.” Aminuddin mencipta alasan. Dia mencapai pinggan yang sudah berisi lauk rendang ayam dan sayur campur kegemarannya itu. 

   Nasi ditelan perit. Kuah rendang kegemarannya seperti tidak memberikan apa-apa rasa. Tawar. Setawar hatinya sekarang. Dicuri jeling ke arah Farisha yang sedang leka bermain telefon. 

   Tengah mesej dengan doktor Zarel la tu. Huh. Aminuddin mencebik. Pinggan nasi diletakkan ke atas meja dan berbaring semula. Selimut ditarik menyelubungi dirinya. Farisha terpinga-pinga. Dia bangun menghampiri Aminuddin. 

   “Sikit ja makan, hang okey ka?” Farisha memandang sepi pinggan nasi yang disentuh sedikit oleh Aminuddin. Lelaki itu tidak seperti selalu.

    “Aku takda selera. Letak je kat situ, nanti aku lapaq aku sambung makan.” Aminuddin bersuara dari dalam kelubung selimut. Farisha mengeluh kecil. Ditutup pinggan nasi dan keluar dari bilik wad untuk memberikan ruang kepada Aminuddin berehat. 

    Aminuddin menjengah kepalanya sedikit apabila mendengar daun pintu ditutup. Dia cuba menyandar dalam kepayahan. Hatinya dipagut sebak bila Farisha meninggalkan dirinya sendiri. 

   Din! Tolong jadi kuat. Hang bukannya suka dia pun. Aminuddin berpesan pada dirinya. Namun perasaannya lebih memahami apa yang tersirat di hati. Air matanya jatuh menitis perlahan. Aminuddin akhirnya tewas dengan perasaan sendiri. Perasaan yang selama ini cuba dibenam jauh ke dalam dirinya. 

    Perempuan kedua yang berjaya mengugurkan air mata jantannya. Aminuddin menarik nafas dalam cuba menahan sesak di dada. Semua ini harus dilawan. 

   “Kalau hang suka dia, hang lawan Din. Jadikan dia hak milik hang.” Aminuddin memprovok dirinya sendiri. Dia tidak mahu melepaskan sesuatu yang mampu buat dia bahagia. Tetapi layakkah aku dengan dia? Mengenangkan soal itu,  azamnya mulai kendur. Dia melemparkan pandangan kosong ke luar tingkap.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie