Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 1

Bab 1 hanya dia bidadariku. 


Bab 1


       "Rasanya dah ok la kot ni kan? Cantik sangat pun nak buat apa? Bukan ada orang nak pun." Farisha berpusing-pusing dihadapan cermin yang besar itu. Diamati seluar jeans hitam dan baju jaket oren yang dipakainya, terlalu besar sehingga menutup seluruh potongan tubuhnya,memang tidak sesuai dengannya pada pandangan orang lain, tetapi baginya dia amat selesa berpenampilan seperti itu, sekali imbas tidak ubah seperti lelaki. Itulah gadis kecil molek berlesung pipit, Farisha Amirah. Setelah berpuas hati dia berjalan keluar dari biliknya menuju ke dapur untuk menghidangkan sarapan sebelum berangkat kerja. 

      

      "Oi makcik! Tak siap lagi ke? " Farisha mengetuk pintu bilik sahabatnya itu sebelum berlalu ke dapur. Tiada jawapan dari dalam, hanya kedengaran suara gadis sedang menyanyi. Farisha tersenyum, tahulah dia, bahawa sahabatnya itu sudah bangun dari tidur. Sesampai didapur, Farisha menceduk nasi goreng yang sudah dimasak sebelum bersiap tadi ke dalam mangkuk. 


       "Senang hati kau pagi ni? Menang loteri ke? " Tanya Farisha pada Najiha. Kegembiraan gadis itu terlebih dari selalu, seperti orang yang mendapat kemenangan yang besar. Najiha mencebik, dia berjalan ke sudut dapur untuk mengambil pinggan dan cawan. Tidak menjawab pertanyaan sahabatnya itu, dia terus menyanyi dengan perasaan yang senang hati dan berbunga-bunga. Farisha memandang wajah Najiha dengan penuh tanda tanya. Najiha merenung gadis itu kembali. Farisha membulatkan matanya, diangkat sedikit kening sebelah kirinya meniru gaya ala-ala Ziana Zain. Jawapan dari gadis itu masih dinantikan. Najiha mengeluh, ternyata Farisha tidak mengalah. 


      "Ala kau ni, tahulah mata tu bulat, besar, takyahlah jengil macam tu..., takut aku tengok. " Najiha mencedok nasi ke dalam pinggannya. Tidak berani dia mahu menatap mata Farisha yang masih membulat dan merenung dirinya menantikan jawapan. 

  

     "Mak aku cakap pagi-pagi kena ceria, barulah rezeki masuk mencurah-curah. Sudahlah, makan cepat nanti kita lambat pergi kerja kau juga yang membebel." Najiha membantu mencedokkan nasi ke dalam pinggan gadis itu. Hampir sahaja Farisha tergelak melihat wajah cuak Najiha apabila melihat dirinya menjengilkan mata yang bulat seperti bola ping pong itu. 


     "Yela tu! Macam aku percaya sangat. Takpelah...  siapalah aku ni? Nak tahu pasal diri kau, nak ambil berat pasal diri kau? Aku sedar aku ni bukanlah siapa-siapa... ." Sengaja dileretkan suaranya biar kelihatan lebih sayu dan sedih. Apabila melihat wajah serba salah Najiha, hatinya sudah mula melonjak gembira. Dia pasti akan mendapat jawapan,kenapa Najiha terlalu gembira pada pagi ini. 


      "Yelah, aku cerita,suka sangat buat ayat sedih bagi aku rasa serba salah tau! Tak aci! " Najiha mengalah, Farisha sudah tersengih puas, dirirnya terlalu bijak memainkan peranan dan watak dalam meraih simpati, selalu Najiha tewas dengan helah Farisha. Gadis itu pula sudah melonjak tersenyum.


       "Mukhlis lamar aku, minggu depan dia nak hantar rombongan meminang. Lepas enam bulan kami akan berkahwin. " Najiha bercerita dengan perasaan yang teruja pada Farisha. Ikutkan hati, semalam juga dia mahu bercerita, tetapi ketika pulang dari berjumpa Mukhlis hari sudah lewat malam,dijenguk ke bilik Farisha, gadis itu sudah lena dibuai mimpi,jadi rasa gembira itu dipendam dahulu. Farisha sudah melopong seakan tidak percaya. 


     "Tahniah babe! Aku happy untuk kau. " Farisha menggenggam jemari Najiha. Gadis itu tersenyum manis sambil mengangguk-angguk kepalanya. Kembang kempis hidungnya menahan rasa gembira. 


     "Eh! Cop...cop..., macam mana si mamat  blur tu boleh melamar kau? Tetiba pula tu? " Farisha menyoal pelik. Sebagai sahabat dia gembira dengan apa yang didengar, dan dia memang sedia maklum mereka itu bercinta,dan sebelum ini ada juga Najiha berkias soal berkahwin, tetapi Mukhlis tidak memberi apa-apa  respon, alih-alih  pagi ini dia di khabarkan dengan lamaran lelaki itu. 


     "Eee...! tak baik tau kau panggil dia macam tu,ku bagitahu dia nanti. " Najiha mencebik, tidak suka dengan gelaran yang diberikan oleh Farisha kepada Mukhlis. Walaupun memang lelaki itu agak lembab dalam menangkap sesuatu maksud, tetapi dia seorang lelaki yang romantis dan penyanyang. Farisha menjelirkan lidahnya seperti orang yang ingin muntah, sengaja menyindir Najiha. Sudah pandai pula hendak mengadu pada si buah hati. Najiha menjeling, menunjuk protes. 


     "Nanti la aku cerita kat kau,sekarang ni jom pergi kerja, dah lewat ni, kang ada pula nenek kebayan yang membebel sepanjang jalan dan sepanjang hari dekat aku. " Najiha berkata sinis. Farisha mencebik. 


     "Amboi, agak kasar bahasa Cik Adik tu. " Farisha mendengus geram sebelum tertawa kecil. Sudah pandai sindir menyindir pula sekarang ini. Najiha ketawa mengekek. Mereka berdua bekerja di sebuah syarikat gas dan minyak di Sitiawan Perak. Sudah hampir setahun setengah mereka bekerja di Sapura Kencana Petroleum itu, sebaik sejurus mereka tamat pengajian dalam bidang Civil Engineering. Perjalanan dari rumah mereka ke tempat kerja mengambil masa lima belas minit menaiki motosikal. 


      Selepas membuat imbasan mata untuk kedatangan kerja, Farisha dan Najiha berjalan ke tempat meletak basikal, lalu mengayuh perlahan menuju ke kabin mereka. Sesampai di sana, semua pekerja telah beratur tegak mendengar taklimat yang ingin disampaikan oleh penyelia mereka. 


      "Seperti biasa, tiada apa yang saya nak ingatkan pada semua, selain menjaga keselamatan diri masing-masing dan juga rakan-rakan anda. Gunakan peralatan kerja yang lengkap, dan jangan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan. Jika ada apa-apa masalah, boleh terus lapor pada foreman atau supervisor masing-masing. " Tegas sungguh pesanan Dasuki. Dasuki adalah pihak atasan bagi jabatan kimpalan di Sapura Kencana. Semua pekerja kimpalan berada di bawah jagaan beliau. Semua pekerja mengangguk tanda mengerti. Selepas selesai taklimat, Farisha menyerahkan satu helaian kertas kepada seorang pekerja di situ untuk diedarkan danmereka menurunkan tanda tangan sebagai bukti kehadiran mereka datang bekerja selain dari imbasan mata ketika mula masuk ke dalam kawasan kerja. 


      "Isha. " Tegur satu suara garau dari arah belakang gadis itu. 


      "Ye saya. " Gadis itu menyahut panggilan namanya, lalu menoleh ke arah empunya suara. 


      "Ni ada tiga helai borang budak baru, hari ni dia orang masuk induksi,nanti kamu ambil diaorang dekat pagar utama sana, kat situ ada nombor telefon dia orang, kamu telefon la tanya mereka ada di mana. " Hamid menyerahkan beberapa helai kertas pada Farisha. Gadis itu mengangguk tanda mengerti. Tanpa berlengah dia menuju masuk ke dalam kabin untuk menyiapkan tugasan hariannya sebelum dia menguruskan kemasukan budak baru itu nanti. 


      "Morning Farisha. " Satu suara romantis dan lembut menegur dari belakang. Farisha dan Najiha serentak menoleh. Farisha mencebik. Najiha menggelengkan kepalanya. 


      "Kita ni orang islam! Tak reti ke nak bagi salam bila bertandang rumah orang? Lepuk juga karang. " Sindir Najiha pada lelaki itu. Khairol menjuihkan mulutnya, tidak memperdulikan sindiran Najiha. Dia berjalan menghampiri meja Farisha, lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan Farisha. Najiha menjeling meluat dengan sikap berlagak Khairol. Dia menyambung melakukan tugasnya, tidak memperdulikan lelaki itu. 


     "Nak apa? " Tanya Farisha bengang. Setiap pagi pasti lelaki itu akan menyinggah di tempat mereka, walau tiada alasan yang kukuh untuk beliau berada di situ. 

  

     "Saja, datang nak tengok my sunshine ni sihat ke tidak, ok ke tidak, " khairol tersenyum manis. Farisha pula tersenyum kelat. Rasa mahu termuntah hijau mendengar ayat si buaya darat. Entah jin manalah merasuk jiwa lelaki itu, pagi-pagi sudah melalut dan sasau. Naik meremang bulu roma gadis itu. 


     "Dah tengok kan, ok je kan? So boleh tak tolong keluar dari sini, dan jangan ganggu aku. Aku ada banyak kerja nak buat! " Farisha bernada sinis. Tidak kuasa dia melayan lelaki perasan di hadapannya itu. Najiha tertawa kecil mendengar amarah Farisha. Khairol mencebik bibir. Dia bangun lalu meninggalkan mereka berdua dengan perasaan marah dan kesal, malu juga ada dirasakan olehnya. Apa salahnya sehingga Farisha perlu melayan dia seperti sampah? Dan kenapa dia masih tidak jemu dan berputus asa cuba mendekati gadis itu walau dia tahu Farisha tidak pernah memberikan dia peluang. 


      "Apa hal mamat tu? Sewel ke apa? " Tanya Najiha pada Farisha sebaik Khairol hilang dari pandangan. Perangai peliknya semakin hari semakin menjadi-jadi sejak beberapa hari ini. Semuanya selepas kejadian Farisha bersetuju untuk keluar makan bersama tempoh hari. Itupun kerana terpaksa. Jika tidak kerana lapar dan terdesak, tidak mahunya Farisha menerima pelawaan lelaki itu. 


     "Entah la! Meroyan agaknya? Geli geleman aku. Eeeeiii, meremang bulu tengkok aku! " Farisha meliuk seperti orang di serang sawan, dipegang tengkoknya untuk merasakan bulu yang tegak merinding dek kelakuan 'sweet' tidak bertempat oleh Khairol itu. Najiha yang tersenyum sebentar tadi meledak ketawa berdekah-dekah melihat reaksi Farisha. Entah apalah malangnya sahabatnya itu. Dia tidak faham kenapa cara Khairol melayan dirinya lain daripada dia melayan orang lain. Kalau mahu dikatakan dia melayan Khairol terlebih istimewa? Tidak pula, bahasa panggilan juga menggunakan kau aku. Layanan dia juga kasar seperti mana dia melayan lelaki lain. Mahu dikatakan tiada rupa, dia boleh dikatakan salah seorang jurutera yang tergolong dalam carta sepuluh yang 'hot', ada juga gadis-gadis di pejabatnya cuba mengurat, tetapi tidak dilayannya. Dengan susuk tubuh yang sasa dan sado seperti Aaron Aziz itu sudah cukup memudahkan bagi lelaki itu mencari pasangan yang cantik dan meletop. 


        'Takkan la dia sukakan aku? Eh! Mustahil! Dia tu handsome kot..., aku ni? Sedih ya amat! " Farisha merendah diri. Dia cuba meyakinkan yang khairol hanya bergurau dan tidak seperti apa yang difikirkan. 


      "Woi! Kau kat sini lagi? " Najiha memekik separa kuat. Farisha melompat terperanjat. Tercampak semua kertas yang dipegang di tangannya. Diurut dadanya berulang kali sambil beristighfar. Dia memukul lengan Najiha berulang kali tanda tidak berpuas hati, lalu menunduk mengutip kertas yang berteburan di lantai. 

    

      "Oi..., oi...!  Sakit la. Ganas betul kau ni kan? " Najiha cuba mengelak dari terus menerima pukulan sahabatnya itu. Farisha mendengus geram, dia duduk kembali di kerusi untuk menyambung kerja yang terbengkalai. 


      "Padan muka! " Jawab Farisha tanpa melihat wajah sahabatnya itu. 


     "A'ah, memang lah padan muka aku sekarang! Tapi kejap lagi kau yang  padan muka, sebab Pak Hamid akan mengamuk dekat kau tu! " Najiha menarik kerusi lalu duduk disebelah Farisha. Gadis berambut pendek  itu memandang Najiha dengan pandangan yang berkerut apabila mendengar nama Pak Hamid, seperti ada sesuatu yang dia lupa. Kemudian dia teringat sesuatu, dilihat jam di tangan. Melopong mulutnya, bingkas dia bangun dan mencapai fail yang berada dihujung meja. Dia terlupa yang dia perlu menguruskan kemasukan pekerja baru hari ini. Ini semua gara-gara Khairol, jika tidak pasti dia tidak akan lupa tugas pentingnya itu. Najiha hanya mengekek melihat Farisha yang berlari seperti lipas kudung keluar dari kabin mereka. 


     'Tulah! Berangan lagi pagi-pagi ,Isha... Isha. ' Najiha membebel sendiri, dia menggeleng kepala melihat Farisha. Kawannya itu ada bakat menjadi seorang pelawak.  Begitulah keadaan mereka seharian, sekejap bergaduh manja, sekejap ketawa berdekah-dekah, sekejap bermasam muka, tetapi persahabatan yang terjalin dari sekolah menengah itu tidak pernah menemui jalan pengakhiran, sebaliknya semakin kukuh dan teguh. Sikap Farisha Amirah yang kelam kabut dan spontan membuatkan Najiha Arisa terus melekat berkawan baik dengan dirinya. Setiap rahsia dikongsi bersama, tidak ada yang di simpan.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie