Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 36

  Qisya menyuakan segelas air kosong kepada Najiha. Dia kemudian duduk di sebelah gadis itu. Terdengar keluhan berat terbit dari mulut Najiha. 

  “Kak... Qisya minta maaf ye pasal Athirah. Dia tak sengaja tu. Dia tengah stress kot.” Bersungguh lagi Qisya mempertahankan Athirah walaupun jelas sahabatnya itu bersalah. 

   “Kenapa Qisya pula kena minta maaf? Patutnya dia bukan Qisya.” Najiha meletakkan gelas yang kosong di atas meja. Qisya mati kata. 

  “Apa masalah kawan Qisya tu? Dahlah pagi tadi balik langsung tak tegur akak. Ingat akak ni tunggul ke? Kalau dia tak suka duduk dekat sini dia boleh keluar cari tempat lain.” Najiha melepaskan rasa geramnya.

   Sudah cukup lama dia bersabar dengan sikap Athirah. Dari hari pertama lagi Najiha sudah tidak menyenangi sikap gadis itu. Berkali-kali juga Farisha minta Najiha untuk bersabar. Kalau ikutkan hati yang panas ini sudah lama Athirah itu dihalau. 

  “Kak, jangan macam ni. Nanti saya cuba cakap elok-elok dengan Athi. Tanya apa masalah dia okey.”  Qisya memujuk. Lengan Najiha diurut perlahan. 

  “Suka hatilah. Akak nak dia balik nanti jumpa akak dan explain everything.” Najiha bangun dan masuk ke dalam bilik. Qisya hanya mampu mengangguk.

   Qisya keluar untuk mencari Athirah. Dia pasti Athirah tidak pergi jauh. Mereka tidak punya kenderaan di sini dan paling tidak mungkin Athirah pergi ke kolam renang. 

  Di kampung lain pula kisahnya. Aminuddin resah sendiri. Ke hulu ke hilir seperti kucing kehilangan anak. Fatimah yang dari tadi melihat anaknya juga ikutan gelisah. Entah apa yang sedang bermain di fikiran anaknya itu sekarang. Telefon tidak lepas dari tangan tapi tidak pula dia bercakap dengan sesiapa atau berbalas mesej seperti selalu. 

  “Hang ni pasai apa Din? Cer bawak duduk. Kaki tu baru ja lepas urut,” Fatimah mencapai alat kawalan jauh dan duduk di hadapan TV. 

  “Tak dak apa aih. Rasa panaih ja mak...” Aminuddin turut melabuhkan punggung di sebelah ibunya. 

  “Yalah tu. Dengan orang tua pun nak muhong kan. Derhaka tau dak muhong mak pak ni, hang mau kena bakaq dengan api neraka tu?” Balas Fatimah selamba. Langsung dia tidak percaya jawapan anaknya itu. 

  “Ish mak ni, tak baik kata lagutu kat che. Bila masa che muhong mak? Fitnah tu dosa mak...” Aminuddin tidak mahu mengalah. 

  “Hang tu... Duk dalam perut mak sembilan bulan Din oi. Mak jaga hang dari besaq dua jari ni tau.” Sambil jari ditayangkan di hadapan mata Aminuddin. 

  Aminuddin mengeluh. Dia tidak dapat membohongi ibunya. Apa yang dikatakan ibunya itu benar. Mana mungkin seorang anak boleh membohongi seorang ibu. Tetapi bagaimana dia mahu ceritakan masalah dia? Malulah jika Fatimah akan ketawakan dirinya nanti.

  “Mak ada tipon Isha dak?” Perlahan suara Aminuddin bertanya sambil wajah menunduk ke lantai. Kedengaran tawa Fatimah meledak. Dia sudah mengagakan itu. 

  “Dah agak dah. Ni pasai marka hang la ni kan. Ada...tapi...” Fatimah sengaja menggantung ayatnya. 

  “Tapi apa mak? Awat Din tipon dia tak angkat? Dia sihat ka mak? Dia ada mana? Bila mak tipon dia?” Bagaikan peluru berpandu soalan ditanyakan oleh Aminuddin. 

  “Amboi... Mana satu nak jawab dulu. Tanya satu-satu tak bulih ka?” Fatimah ketawa besar melihat wajah teruja anaknya itu . Dia tahu Aminuddin pasti risaukan Farisha jika tahu ibu Farisha sedang sakit. 

  “Dia ada dekat rumah mama dia. Katanya koma...” 

  “Biaq betui mak? Haboh tu Isha lagu mana? Dia okey ke dak?” Aminuddin terkejut besar. Dia terus bangun untuk masuk ke dalam bilik. 

  “Che nak pi mana tu?” Soal Fatimah pelik. 

  “Che nak pi kolumpoq nak tengok Isha. Mesti dia tengah susah hati la ni.” Aminuddin sudah menghilang ke dalam bilik. 

  Fatimah hanya mampu menggelengkan kepala. Sayang sungguh anaknya kepada Farisha. Belum pernah dia melihat Aminuddin sekalut itu. Fatimah juga sukakan Farisha. Dia sangat berharap yang mereka akan berjodohan nanti. 

  “Kaki che tu betul sihat dah ka yang duk kalut nak pi kolumpoq ni?” Soal Fatimah sambil membantu Aminuddin memasukkan baju ke dalam beg pakaian. 

  “Okey dah ni mak. Tok sah duk risau sangatlah, kan bomoh patah tu kata elok dah. Sakit ngilu sikit-sikit tu besalah mak.” Balas Aminuddin penuh yakin. Walaupun sebenarnya kaki itu masih belum kuat dan terasa sengal bila berjalan terlalu banyak. 

  Namun demi Farisha dia sanggup menolak semua itu ke tepi. Dia mahu berada di sisi Farisha sekarang ini. Kalau Farisha sanggup bersusah payah demi dia kenapa tidak kali ini dia melakukan perkara yang sama. Untuk membuktikan cinta yang tulus buat si gadis Aminuddin sanggup melakukan apa sahaja. 

  “Ha takpalah kalau che habaq lagutu. Satgi abah balik suruh dia hantaq pi stesen bas.” Fatimah akur dengan kehendak anaknya. Jika dilarang pun pasti Aminuddin akan tetap pergi juga. 

   Aminuddin duduk termenung di tepi tingkap biliknya sambil menunggu kepulangan Taufiq. Kata-kata Athirah tentang Farisha kembali terngiang di telinganya. Agaknya ini sebab kenapa Farisha tidak menghubungi dirinya dan tidak masuk kerja. Tetapi kenapa Athirah seolah cuba menunjukkan Farisha itu sedang melakukan perkara buruk? Masakan dia tidak tahu tentang perkara ini? Apa sebenarnya yang dimahukan oleh Athirah dengan melakukan semua ini.

  Farisha juga satu. Kenapa langsung tidak dia khabarkan tentang apa yang berlaku? Susah ke hendak telefon dan beritahu semuanya. Tidaklah dia berfikir bukan-bukan. Atau memang betul kata Athirah yang dia tidak penting dalam hidup gadis itu? Sebab itu dia rasa tidak perlu beritahu semua ini. 

  “Din! Jangan pikiaq bukan-bukan. Mungkin dia terlupa nak habaq kat hang kot. Mak dia koma, mestilah dia sedih tak pikiaq apa dah.” Aminuddin cuba memujuk diri. 

  Lamunannya terhenti bila terdengar pekikan Nadirah memanggil namanya. Taufiq sudah pulang dan menunggu dirinya di luar. Selepas bersalaman dengan Fatimah mereka bergerak menuju ke Stesyen bas Sungai Petani. 

  “Hang jaga diri elok-elok. Kaki hang tu pun bukan gagah lagi.” Kasih seorang bapa tidak kan pernah hilang mahupun berkurang. Taufiq agak berat hati melepaskan anaknya pergi tetapi dia juga tahu sekeras mana degil anaknya. Mana tidak tumpah kuah kalau tidak ke nasi bukan. 

  “Ye la abah. Abah tu jaga kesihatan. Makan tu pantang sikit.” Aminuddin pula menitipkan pesan. 

  Mereka berdua berpelukan sebelum Aminuddin masuk ke dalam bas. Hatinya tidak sabar untuk sampai ke Kuala Lumpur. Aminuddin sudah menelefon Zafriel sebelum dia bertolak. Nanti lelaki itu akan menjemput dia di Kuala Lumpur. 

  Lima jam menepuh perjalanan. Aminuddin sampai di Terminal bas bersepadu Selatan di Kuala Lumpur. Stesyen bas itu dipenuhi dengan selautan manusia berbilang bangsa dan negara. Mata meliar mencari pintu masuk utama kerana Zafriel baru menghantar pesan yang dia sedang menunggu di situ. 

  Aminuddin terintai kiri dan kanan mencari kelibat Zafriel. Lelaki itu datang menepuk bahunya dari belakang. Aminuddin tersenyum dan bersalaman dengan Zafriel. Mereka berjalan menuju ke kereta Zafiel. Sebaik sampai mulut Aminuddin sedikit tenganga apabila melihat kecantikan kereta Ferrari Spider milik Zafriel. Warna merah terang menambahkan lagi kemegahan kereta itu. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua. 

  Jika luar sudah memukau apatah lagi dalamnya. Aminuddin teruja sehingga tidak mampu berkata-kata. Zafriel sedikit tertawa melihat wajah Aminuddin. Dia faham situasi Aminuddin sekarang. Mungkin ini kali pertama dia menaiki kereta mewah seperti itu. 

  Zafriel terus membawa Aminuddin ke rumah kerana waktu melawat telah pun habis. Esok sahaja mereka pergi ke Hospital. Sekali lagi Aminuddin teruja melihat kemegahan Villa milik keluarga Farisha. Besarnya sudah seperti istana. Di sudut sebelah kanan rumah ada beberapa buah lagi kereta mewah yang terparkir elok. Di sebelah kiri ada sebuah gazebo dengan konsep taman berlatarkan air terjun mini. Rumput karpet yang hijau sungguh mendamaikan pandangan mata. 

   Jejak sahaja kaki ke dalam rumah dia sudah mahu pengsan. Susun atur yang berkonsepkan Eropah klasik itu sungguh memukau pandangan mata. Sashadan Haziq berlari mendapatkan Aminuddin. Haziq mendukung dua anak kecil itu dan membawa mereka duduk di ruang tamu. 

  “Adik induu pak ngah.” Bicara Haziq pelat. 

  “Kakak pun rindu dekat pak ngah. Kenapa lama tak datang jumpa kita orang.” Sasha pula menyampuk. 

 Aminuddin ketawa melihat keletah mereka berdua. Panggilan pak ngah kepada dirinya sungguh membuatkan dia terasa diterima dalam keluarga ini. In shaa Allah satu hari panggilan itu akan menjadi rasmi. Dia akan pastikan yang dia akan menjadi pak ngah mereka selamanya. 

  “Kakak, adik... Pak ngah kan baru sampai kesian pak ngah. Pergi naik atas siapkan homework okey.” Maya duduk di sebelah Zafriel. Aminuddin hadiahkan senyum pada Maya.

  “Suka betul dia orang dengan kamu Din. Dengar je kata kamu nak datang dia dah melompat-lompat seronok.” Beritahu Maya membuatkan Aminuddin tersipu sendiri.

  Tidak sangka yang anak kecil itu merindukan dirinya. Dia juga rindukan mereka tetapi segan untuk telefon. Takut jika mengganggu masa mereka.

  “Din pun rindu dengan depa ni kak. Riuh mulut.” 

  “Kaki kamu yang patah tu dah okey? Maaflah kami tak sempat nak melawat kamu.” Soal Maya. Zafriel sudah menghilang naik ke atas untuk membersihkan diri. 

  “Okey dah kak. Eh tak pa aih. Din paham akak dengan abang sibuk.” Jawab Aminuddin segan. Mak Kiah pula datang dengan segelas air dan disuakan kepada Aminuddin. 

  Selepas makan malam Aminuddin naik ke bilik membersihkan diri untuk solat Isyak berjemaah dengan keluarga Farisha. Aminuddin mengimamkan solat mereka pada kali ini. Kemudian mereka turun ke ruang tamu untuk berbual panjang dan bertukar cerita. Zafriel bila sudah bertemu dengan Aminuddin memang akan banyak cerita yang akan dibahaskan.

  Keesokannya selepas sarapan Maya dan Zafriel berangkat ke pejabat kerana ada urusan penting pagi ini. Zafriel memberikan kunci kereta kepada Aminuddin untuk dipakai. Mereka mungkin tidak sempat untuk ke Hospital hari ini. Mulanya agak keberatan untuk dia terima namun bila di desak oleh Maya, Aminuddin terpaksa terima. 

  Aminuddin memandang kereta BMW 5series warna merah itu. Ini kereta Farisha yang ditinggalkan kerana tidak mahu orang tahu dia anak orang kaya. Jam di tangan dipandang sekilas. Sudah hampir waktu tengah hari dan dia harus segera ke Hospital untuk menghantar bekalan yang disediakan Mak Kiah. Pasti Farisha akan terkejut melihat dia nanti. Aminuddin tarik senyum meleret. 

   “Farisha...” Satu suara bergema dari arah belakang Farisha. Gadis itu terpempan. 

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie