Home Novel Cinta Hanya dia bidadariku
Bab 19

Bab 19 hanya dia bidadariku


Bab 19


    Dari luar Taufiq sudah mendengar riuh rendah di dapur. Dia masuk untuk melihat apakah yang sedang berlaku. Fatimah, isterinya berdiri di sebalik dinding seperti orang yang sedang bersembunyi di sebalik pintu gerbang untuk turun ke dapur. Dicuit pinggang Fatimah membuatkan isterinya sedikit terloncat. 


       "Ish abang ni! Terperanjat Mah tau dak? Mujuq takda sakit jantung, tidak keras dah tang ni." Fatimah menampar manja bahu suaminya itu. Taufiq menahan dengan lengan dan tangan pula pantas menggenggam jemari gempal Fatimah. 


       "Apa yang Mah buat tang ni? Duk terendap macam penyamun?" Soal Taufiq sambil menayang muka pelik. 

      Fatimah meletakkan jari telunjuk ke bibir Taufiq memberi amaran supaya tidak bising. 


      "Apa ni? Main letak jari pula? Kot nak romantik pun tunggu malam satni la yang oi." Taufiq mengusik, membuatkan Fatimah menjeling tajam. Geram dengan sikap gurau terlebih Taufiq. 


      "Gatai! Tu, cer abang tengok depa tu," mulutnya memuncungkan ke arah dapur, Taufiq memandang ke arah yang ditunjukkan. 

 

      "Bahagianya depa bang, kan baguih kalau Isha tu jadi menantu kit, berkenan saya dengan dia bang. Budaknya baik, pandai urus rumah tangga, pandai masak." Puji Fatimah melambung. 

    Sikap gadis kecil molek itu telah menambat hatinya. Sehingga dia memasang impian untuk bermenantukan gadis itu. Taufiq ikutan tersenyum, dia bersetuju dengan Fatimah. Dia juga berkenan dengan Farisha. Gadis itu seorang calon menantu yang baik. 


       "Itu kalau, bukan ka Aminuddin habaq dah, depa tu kawan ja." Taufiq berjalan menuju ke ruang tamu, meninggalkan Fatimah yang masih mengintai, melihat suaminya beredar, dia menurut langkah yang sama. 


      "Tu dia la bang, ruginya kalau tak dapat menantu macam si Isha tu, payah dah la ni nak cari budak lagu.Hah! Apa kata kita pi masuk meminang dia nak bang?” Fatimah memberi cadangan. Cadangan gila. 


      "Ish, hang toksah duk buat pasai Mah, entah budak Isha tu mau ka tak mau kat anak kita tu? Dak pun mungkin dia dah ada tunang ka, buah hati ka, kita mana nak tau?" Taufiq tidak bersetuju. 

    Dia tidak mahu mengatur kehidupan anak-anaknya. Biarlah mereka memilih pasangan hidup mereka sendiri, dan jika benar ada jodoh tercipta antara mereka, pasti mereka akan bersatu. Melihatkan dari gaya dan penampilan Farisha, Taufiq dapat merasakan yang gadis itu anak orang kaya, layakkah keluarga mereka berdampingan mahupun berbesan dengan keluarganya. Fatimah hanya mengeluh kecil, hasrat hatinya terpaksa dipendamkan. Tetapi jauh di sudut jiwanya dia masih mengharap yang mereka akan berjodohan. 


       "Najiha, tunggu sat." Jerit Yasin  membuatkan Najiha terhenti dari melangkah, seraya tubuhya  menoleh ke arah suara yang memanggil. 


      "Ye, ada apa Yasin?" Soal Najiha sebaik lelaki itu berdiri dihadapanya. 


       "Jiha ada nampak Isha dak? Yasin nak mintak borang cuti, nak balik kampung." 


       "Isha takda, dia pergi Kedah, lusa baru balik kot. " 


        "Kedah? "


         "Ha'ah Kedah, kenapa? " 


        "Takda apa, Din pun ada Kedah, dia pun balik lusa jugak "


        "Kebetulan kot, borang cuti tu takpe, nanti saya bagi kat Yasin ye." Najiha tersengih, baru dia tahu kenapa Farisha tiba-tiba mahu ke Kedah, katanya ada urusan, rupanya pergi berjumpa calon keluarga mentua. Najiha sudah ketawa sendirian. 


      "Farisha, Farisha! Pantas betul kau ek, langsung tak citer kat aku! Siap kau nanti kau balik." Najiha mengomel sendiri, Yasin hanya memerhati. 


      "Jiha cakap dengan sapa?" Tanya lelaki pelik. Tersedar yang lelaki itu masih disitu, Najiha termalu sendiri, pantas dia menggelengkan kepala, dan berlalu dari situ, tidak menoleh lagi.


      Usai solat subuh berjemaah yang di imamkan oleh Aminuddin selesai, Farisha terus masuk ke dalam bilik untuk mengemas pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg. Selepas sarapan nanti mereka akan bergerak balik ke Lumut. Taufiq juga sudah kelihatan lebih sihat, dan semua nampak elok-elok sahaja. Suasana pagi itu terasa amat meriah dengan gelak tawa dan senda gurau antara mereka. Sungguh terlihat seperti sebuah keluarga bahagia. Aminuddin memasukkan beg pakaian mereka ke dalam kereta, enjin dihidupkan untuk memanaskan enjin sebelum memulakan perjalanan mereka. 


        "Makcik, pakcik, terima kasih sebab bagi Isha tumpang duduk sini dan rasa kemeriahan keluarga ni, masakkan makanan yang sedap-sedap  untuk Isha, terima kasih ye." Farisha bersalaman dengan Fatimah, kemudian wanita itu menarik Farisha ke dalam pelukannya. Hati sedikit tersentuh rasa sebak ingin berpisah. 


     "Takda apa aih, masakan kampung ja, len kali mai lagi  mak tunggu Isha mai na." Fatimah mencium ubun-ubun Farisha.

    Mak? Belum apa lagi dah bahasa mak? Macam ada peluang cerah je ni. Farisha terharu, perasaan rindu pelukan mamanya menerpa ke dalam hati, dia memeluk tubuh gempal Fatimah erat, seakan tidak mahu dilepaskan. Aminuddin hanya tersenyum melihat drama sebabak itu, macam Farisha pula anak kandung mereka pula. Lebih memeranjatkan lagi bila dengan panggilan yang digunakan ibunya. 


      "In shaa Allah makcik." Farisha tersenyum manis. 

   Kelopak mata sudah mula bertakung, sekuat daya dia cuba menahan air mata dari mengalir, berat rasa hati ingin meninggalkan kampung itu, masih belum puas dia menikmati keindahan kampung Aminuddin. Ditambah layanan baik keluarga itu, sungguh membuatkan dia berasa selesa. Aminuddin bersalaman dan berpelukan dengan ibu dan ayahnya, sempat dia membebel kepada Nadirah meninggalkan pesan supaya menjaga ayah dan ibu mereka elok-elok. 

   

 “Panggil Mak ja Isha,” Fatimah memaut bahu gadis itu erat. Farisha mengangguk. 


       "Mak, ni ikhlas dari saya, mak buat la belanja beli apa yang patut ye," Farisha menghulurkan sekeping sampul ke tangan Fatimah. 

   Mulanya wanita itu menolak dan tidak mahu terima, tetapi Farisha berkeras dan akhirnya Fatimah menerima dengan berat hati. Kereta mula bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah, mereka melambai sehingga tidak lagi kelihatan. Farisha memandang sayu sawah padi yang menghijau itu, diturunkan tingkap separuh lalu diambil beberapa keping gambar melalui kamera telefon bimbitnya. Masih belum puas dia bercuti di sini. 


       "Tak habih lagi amik gambaq," suara Aminuddin memecah kesunyian antara mereka, sengaja dia mendiamkan diri melihat gelagat gadis itu. 


       "Dak, best la dekat sini, tak tau la boleh mai lagi ke dak kampung ni." Farisha mengeluh kecil, sengaja ingin memancing emosi Aminuddin, berharap yang lelaki itu akan memberikan jawapan yang dia mahukan. 


      "Alah isok-isok kita mai la lagi, kalau ada cuti panjang ka, apa ka? Bukan jauh pun." Laju sahaja Aminuddin menjawab tanpa perlu berfikir panjang, entah kenapa dia juga berharap yang masa sepeti ini akan berulang. 

   Masa di mana dia mampu berada dekat dengan Farisha, ditambah pula dengan kemanisan gadis itu bertudung, dia berdoa agar Farisha terus kekal seperti ini. Farisha senyum teruja, sememangnya itulah yang diharapkan. 


       "Din, kalau aku tanya hang sesuatu hang marah dak?" 


       "Apa dia? Tanya dak lagi, nak marah lagumana."


       “Err, hang dengan Athirah tu ada apa-apa ka? Maksud aku, hangpa ada hubungan yang serius ka." 

 

       "Awat hang tanya lagutu? Hang jeles ka?" 


       "Dak aih, nak jeles buat apa? Hang bukan nya laki aku pun,"


      "Takda apa aih. Kami kawan ja, macam aku kawan dengan hang jugak." 


       "Ooo, takpalah kalau camtu, saja nak tau." Pandangan dilepaskan keluar, entah kenapa hatinya seakan berat untuk percaya, sepatutnya dia gembira bila mendengarkan perkara itu, tetapi sekarang hati seolah berkata Aminuddin hanya berselindung demi menjaga hatinya. Tiada lagi bicara antara mereka, masing-masing menyepikan diri, hanya ditemani deejay radio yang tidak berhenti berceloteh sedari tadi. 


       "Hang nak pi mana Din?” Farisha melihat Aminuddin mengambil lorong kiri dan melalui jalan susur keluar,setahunya hari itu datang jalannya cuma lurus.


       "Bosan la balik awai, jom kita turun Penang, mau dak?" Aminuddin tersenyum, mata masih fokus pada pemanduannya, tangan masih kemas mengawal stereng. 


      "Mau tak mau, hang dah masuk pun jalan pi Penang kan? Aku nak kata apa lagi?" Farisha memandang kosong wajah lelaki yang sedang memandu itu. Tapi jika difikirkan kembali, ada baiknya juga cadangan lelaki itu, boleh lah dia mencari pasembor, sudah lama dia ingin ke Penang, tetapi selalunya tidak jadi kerana tiada masa. Aminuddin tersengih-sengih seperti kerang busuk. 


      'Aku tau hang nak makan pasemboq, takpa Isha..., Abang Din bawa pi makan pasemboq na.'  getus Aminuddin.

    Siulan terbit dari mulut lelaki itu, Farisha hanya mengerling nipis, entah kenapa lelaki itu tiba-tiba gembira semacam. 


     Selepas menempuh kesesakan untuk masuk ke Penang, mereka sampai  ke tempat yang di tuju. Aminuddin memarkir kereta betul-betul di hadapan sebuah medan selera yang menempatkan banyak gerai yang menjual pasembor. Farisha teruja, dipandang wajah lelaki itu dengan senyuman menggoda. Aminuddin mengenyitkan mata membuat Farisha terpegun, melihat aksi spontan itu. Perasaan malu mula mengusai diri, dengan pantas Farisha keluar dari kereta dan terus masuk menuju ke dalam medan selera, tanpa menoleh ke belakang lagi. 


     "Amboi, laju. Lapaq ka malu?" Aminuddin ketawa sendiri, dia mengejar Farisha yang sudah jauh ke hadapan.

     Rambang mata melihat makanan yang ada disitu, jika boleh mahu sahaja dicuba semua yang ada. Farisha menjamah pasembor dengan begitu selera dan nikmat,sikap gadis itu yang bersahaja dan selamba, sungguh membuatkan dirinya merasa selesa untuk berada di samping  selalu, tidak seperti mana-mana gadis lain yang kebanyakannya akan cuba mengawal keayuan mereka bila makan bersama lelaki atau makan di khlayak ramai. Farisha lebih senang menjadi diri sendiri, tidak hipokrit dan  sombong. 


       "Hang macam tau ja aku dah lama nak makan pasemboq, thanks Din." Ucap Farisha sambil mengunyah makanan hambir tersembur apa yang berada di dalam mulutnya. 


      "Makan dulu baru cakap, ni mulut penuh kalut nak cakap, cakap apa pun tak tau." Tegur Aminuddin lembut, Farisha tersengih. 

    Pantas dia mengunyah dan menelan makanan yang ada di dalam mulut, lalu mengulangi kata-katanya sebentar tadi. Aminuddin hanya mengangguk dan tersenyum. Suka dia melihat wajah ceria gadis itu. Jika sebelum ini pun wajah gadis bermata bulat itu sering bermain di dalam mimpinya, entah bagaimana pula selepas ini, pasti tidak boleh tidur malam dibuatnya asyik terbayangkan wajah manis gadis bertudung merah ini. Sungguh dia tidak mampu melarikan matanya dari terus memandang wajah Farisha. 


      "Din, hang ada apa-apa ka nak cakap?” Soal Farisha sebaik mereka duduk di atas tembok menghadap pantai itu. Sedari tadi dia perasan Aminuddin tidak lepas dari cuba mandang dirinya, sesekali bila mata mereka bertaut cepat lelaki itu mengalihkan pandangannya. 


       "Err, urm, aku." Aminuddin cuba mengatur bicara. 


        "Sejak bila pula hang jadi gagap?"


      "Aku suka hang, Eh! Tak. Maksud aku, aku suka tengok hang pakai macam ni, boleh dak kalau hang terus pakai macam ni? Pakai tudung macam ni," pantas ayat dibetulkan. 

      Hampir meletup jantung Farisha mendengar ayat tersilap Aminuddin, dia berharap itulah ayat yang ingin di sampaikan. Dia memandang wajah lelaki itu kosong, cuba mencari kepastian, apakah benar lelaki itu suka dia berpenampilan seperti ini? Apakah dia akan menurut kemahuan lelaki itu untuk terus berhijab dan menutup aurat? Memang dia ingin melakukan itu, tetapi rasanya masa masih belum tiba, dia tidak mahu berubah hanya kerana seseorang, dia mahu berubah pada waktu dia benar-benar menginginkannya. Waktu di mana Allah memberikannya hidayah untuk menutup aurat dengan kerelaan hati, bukan kerana terpaksa, mahupun kerana sesiapa. 


      "I've no answer for that. Aku memang suka macam ni, rasa selamat dan tenang, tapi buat masa ni aku belum rasa lagi masanya sampai Din." Farisha berkata lemah, tidak berani dia memandang wajah Aminuddin. Pasti lelaki itu akan kecewa dengan jawapan yang diberikannya. 


        "Biarlah dia datang dengan sendiri, aku nak ikhlaskan diri aku sebelum aku ubah semuanya." Sambung gadis itu lagi, dia mengeluh kecil. Tidak pasti dengan dirinya sendiri. Aminuddin menggelengkan kepalanya. 


      "Salah cara hang pikiaq ni Isha, tutup aurat tu satu kewajipan bagi setiap hamba Allah, tak kira lelaki atau perempuan, masing-masing ada bahagian aurat yang perlu dilindung bukan kena tunggu ikhlas baru nak tutup aurat, buat ja, biaq mula-mula kita rasa terpaksa atau rimas nanti lama-lama okeylah. Apa kata hang cuba teruskan, cantik apa." Lelaki itu bersyarah panjang memberikan penjelasan tentang tuntutan menutup aurat. Farisha hanya mengangguk tanda mengerti cuba menghadam satu persatu ayat yang disampaikan lelaki itu. 


      "In shaa Allah Din, aku cuba." Timbul satu rasa semangat dalam diri gadis itu. 

    Jika difikirkan benar juga kata-kata lelaki itu, sampai bila dia harus mendedahkan aurat miliknya, sudah banyak dia membaca tentang balasan di akhirat kelak bagi perempuan yang mendedahkan aurat. Lima hari bersama keluarga Aminuddin membuatkan dia lebih mengenali islam lebih mendalam, walaupun dia sememangnya seorang islam. Selama hidup, dia hanya tahu perkara asas sahaja, dan tidak pernah merasa ingin belajar lebih dalam, hanya sekadar melakukan perkara wajib solat lima waktu, itupun kadang-kadang  tidak lengkap seharian solatnya. Semenjak dia, berkawan dengan Aminuddin dia sudah mula memenuhi solat wajib, dan banyak pendedahan agama yang diberikan lelaki itu.

        Dia bertuah kerana dapat mengenali lelaki sebaik Aminuddin. Selepas Zarief Ikmal, Aminuddin lelaki kedua yang banyak membuatkan dirinya rasa dihargai dan dilindungi, banyak persamaan di antara mereka berdua. 

   Bersama Aminuddin membuatkan Farisha merasa seolah-olah berada bersama Zarief Ikmal. Entah apa khabarnya lelaki itu? Dan dimanakah beliau berada sekarang? Tiba-tiba ada satu perasaan rindu yang muncul jauh di sudut hati. Mereka menghabiskan waktu petang dengan mengambil angin di tepi laut itu, angin sepoi-sepoi bahasa menerpa lembut ke wajah mereka, hujung minggu begini ramai pengunjung yang beriadah bersama keluarga masing-masing. Kanak-kanak berlari-lari di tepian pantai, sungguh menghiburkan hati. 


       "Jom kita balik." Ajak Aminuddin lembut, dia bangun dan membersihkan pasir pantai yang melekat di belakang seluarnya.

      Farisha hanya menurut, dia terkesima dengan kelembutan lelaki itu mengajaknya pulang, sungguh lembut dan romantis, terasa seperti mereka baru berkahwin, dan sedang berbulan madu. Hatinya berbunga riang, sebolehnya dia mahu masa terhenti ketika ini, biar dia dapat merasakan bahagia yang menjengah untuk seketika. 


     Perjalanan mereka agak lancar, trafik juga tidak sesak. Selepas menghantar Aminuddin pulang, Farisha juga terus pulang ke rumah, badan sudah penat, mata sudah kuyu, tidak sabar untuk dia sampai ke rumah dan bergolek diatas tilam empuknya itu

Previous: Bab 18
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie