Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 3

Bab 3

Pak Long Kerbau menyambut tetamu-tetamunya itu dengan meriah walaupun kedatangan mereka ke rumahnya itu secara mengejut. Dia mengarahkan Mak Long Piah, isterinya memasak semua lauk yang ada di dalam peti ais. Mewahlah meja makan dengan gulai ikan bawal, ayam goreng, telur dadar, rebung masak lemak, sambal belacan, ikan kering goreng, tembikai dan jus oren Sunquick.

Mereka makan tengah hari sambil berbual tentang skim pelaburan Pak Lang itu.

“Sedap ni. Pandai mak long masak,” puji Karim.

Mak Long Piah tersipu-sipu malu tetapi hatinya berbangga bila dipuji begitu. “Makan sampai habis kalau sedap.”

“Insyallah, ” sambut Karim.

Mak Long Piah suka hati melihat Karim menambah nasi.

“Memang untung ke?” tanya Pak Long Kerbau tiba-tiba.

Karim yang baru berkira-kira hendak membuka mulut tersenyum di dalam hati. Mengikut pengalamannya keberangkalian untuk bakal pelabur yang bertanyakan soalan seperti itu untuk melabur adalah tinggi. Mereka sudah putuskan untuk melabur tetapi hanya mahu mendengar jaminan daripada agen pelaburan tentang keuntungan.

“Pasti untung, Pak Long!” jawab Karim.

Bakar dan Dahlan yang diam mengangguk-angguk setuju selepas dilihat oleh Pak Long Kerbau.

“Macam itu jugalah yang aku dengar daripada beberapa orang kampung ni yang sudah melabur. Ada seorang tu dah balik modal dan sekarang makan untung saja ,” kata Pak Long Kerbau.

Karim tersenyum di dalam hati. Dia tahu misi kali ini mudah. Dia yakin Pak Long Kerbau pasti melabur. Tetapi soalnya ialah berapa ringgit? Misi sukarnya adalah untuk memastikan Pak Long Kerbau melabur sebanyak yang mungkin. Tetapi adakah dia sudah menjual tanahnya?

“Sebab tu tak rugi kalau melabur banyak,” kata Karim.

“Betul. Penghulu Shaari, yang sudah balik modal tu, sekarang menyesal sebab tak melabur banyak dahulu. Tapi untungnya pun sudah bolehkan dia dan bini pergi umrah bulan lepas,” sambut Pak Long Kerbau.

“Pak Long hendak melabur berapa ratus ribu?” tanya Karim dengan muka selamba.

“Aku mana ada duit,” jawab Pak Long Kerbau dengan muka selamba juga.

Karim agak terpukul. Tetapi kembali tenang bila Pak Long Kerbau ketawa.

“Seribu boleh?” tanya Pak Long Kerbau.

“Boleh, boleh,” sambut Karim susah payah. Suaranya tersekat-sekat. Kemudian menyumpah-nyumpah di dalam hati. “Tapi kalau melabur banyak lagi bagus. Nanti rugi macam Penghulu Shaari,” cubanya.

Pak Long Kerbau mengangguk sambil mengunyah nasi lalu meneguk jus oren Sunquick. “Berapa yang paling baik? Sepuluh, belas, puluh atau ratus ribu?”

“Sejuta lagi bagus?” balas Karim lalu ketawa.

Mereka semua ketawa sama.

“Tapi aku tak ada duit sebanyak tu. Kalau ada pun tak mungkin nak labur sebanyak tu,” kata Pak Long Kerbau. Dia bersendawa. Pinggannya licin. Membasuh tangan dan mengambil sepotong tembikai merah lalu memakannya.

“Berapa ratus ribu yang Pak Long sanggup labur?” tanya Karim, mengumpan. Dia juga sudah menghabiskan nasi lalu membasuh tangan, mengambil sepotong tembikai dan memakannya. Dia tahu sekarang adalah peringkat kritikal di dalam urus niaga itu.

Pak Long Kerbau tersenyum dan kemudian melihat Mak Long Piah yang duduk di sisinya. Mak Long Piah mengangguk semacam memberi persetujuan tentang perkara yang sudah dibincangkan mereka sejak beberapa hari yang lalu. “Seratus ribu boleh?” tanyanya.

Bakar tersedak. Nasinya tersembur dan dia lekas meneguk jus oren Sunquick. “Entah siapa yang sebut nama ni,” katanya.

Dahlan mengurut belakang Bakar sambil berkata kepada Pak Long Kerbau. “Tak nak tambah lagi Pak Long? Tak rugi pun. Dulu sepuluh bulan baliklah modal tapi sekarang lagi pendek. Lagi banyak melabur lagi pendek tempoh balik modal.”

Mata Pak Long Kerbau terbeliak. “Sekarang berapa bulan dah balik modal?”

“Dulu syarikat bagi dividen sepuluh persen sebulan. Sekarang sudah naik dua belas persen sebulan. Maknanya bulan ke sembilan dah balik modal dan dapat untung sedikit. Bulan ke sepuluh sudah dapat untung penuh. Itu untuk pelaburan 100 ribu ringgit ke bawah.” terang Dahlan.

“Benar begitu?” tanya Pak Long Kerbau, teruja.

“Betul. Stuktur dividen sudah diubah sejak semalam. Lagi menarik,” jawab Karim.

“Maksud hang?” tanya Pak Long Kerbau.

“Pelaburan bawah 100 ribu akan dapat 12 persen. Pelaburan dua ratus ribu ringgit ke atas sampai 499 ribu akan dapat 15 persen dividen setiap bulan. Pelaburan 500 ribu ke atas sehingga 999 ribu dapat 20 persen sebulan. Sejuta ke atas dapat 25 persen sebulan,” jelas Karim.

Bukan sahaja Pak Long Karim ternganga mendengar struktur dividen terbaru itu tetapi juga Dahlan dan Bakar. Mereka berdua baru dengar struktur dividen terbaru itu.

“Betul ke Karim?” tanya Dahlan.

Karim mengangguk yakin. “Maknanya kalau pak long labur 500 ribu, dalam lima bulan sudah balik modal. Bulan-bulan berikutnya, selama-lamanya pak long dapat untung 100 ribu sebulan!”

Pak Long Kerbau ternganga mendengar keuntungan yang dicanang oleh Karim itu.

“Kalau sejuta ke atas, dalam empat bulan dah balik modal. Dan sebulan pak long untung 250 ribu sebulan! Selama-lamanya!” sambung Karim.

Mulut Pak Long Kerbau lebih ternganga. Matanya bersinar-sinar kerana suka.

“Kalau saya ada sejuta macam Pak Long saya labur sejuta tu,” kata Dahlan.

“Hang ni macam tahu-tahu saja aku ada duit sebanyak tu,” balas Pak Long Kerbau tersengih.

Karim gembira mendengar kata-kata Pak Long Kerbau itu.

“Pak long sudah jual tanah tu ke?” tanya Bakar.

“Sudah. Beres dua hari lepas. Sebab aku nak cepat melabur dengan syarikat hangpalah…” jawab Pak Long Kerbau.

“Jadi berapa Pak Long nak labur?” tanya Karim.

Pak Long Kerbau berfikir lama. Pada mulanya dia mahu melabur seratus ribu sahaja. Tetapi maklumat tentang stuktur dividen baru yang baru dikhabarkan oleh Karim itu membuatkannya menilai semula keputusan awal itu. Rugi jika dia tidak mengambil peluang di atas struktur dividen baru yang amat menarik itu. Dia melihat Mak Long Piah.

“Saya ikut sahaja apa yang abang putuskan,” kata Mak Long Piah yang memahami maksud pandangan Pak Long Kerbau itu.

“Lagi besar pelaburan lagi cepat pulang modal.” Karim mengingatkan.

Pak Long Kerbau mengangguk-angguk faham. Tidak lama kemudian dia pun menetapkan fikirannya. “Aku labur lima ratus ribu.”

Karim tersenyum puas. Bakar ikut tersenyum mengenangkan komisen yang akan diperolehinya. Karim segera menghulurkan tangan kepada Pak Long Kerbau dan diikuti oleh Bakar dan Dahlan. Mereka ketawa seronok.

“Bulan keenam pendapatan pak long seratus ribu sebulanlah. Fuh, untung-untung kalaulah saya ada duit sebanyak pak long. Pak Long memang sudah buat keputusan yang bijak,” kata Karim.

Pak Long Kerbau berasa senang dengan kata-kata Karim itu. “Bila nak bagi duit tu?”

“Bila Pak Long boleh bagi?” tanya Karim.

“Hari ni pun boleh. Pakai cek boleh?” tanya Pak Long Kerbau.

“Boleh, boleh. Tarikh ceknya kena hari ni lah. Saya nak daftarkan pelaburan pak long tu hari ni juga. Lagi cepat lagi bagus,” jawab Karim.

“Yang tu tak ada masalah. Memang duit jual tanah tu aku masuk dalam akaun semasa syarikat ternak kerbau aku tu. Aku bagi atas nama syarikat aku tu boleh?” jawab Pak Long Kerbau.

“Boleh. Tak ada masalah,” jawab Karim yang gembira bukan kepalang.

“Akaun aku nanti siapa yang jaga? Bakar kan?” tanya Pak Long Kerbau.

“Ya, ya,” jawab Karim pantas.

“Aku tahu agen macam hangpa ni tentu dapat komisen. Aku nak Bakar dapat komisen tu. Aku kenal dia. Aku nak tolong dia,” kata Pak Long Kerbau.

Bakar terharu.

“Tapi apa-apa aku cari dia jugalah,” kata Pak Long Kerbau, ketawa.

Mereka semua ketawa.

Selepas menandatangani borang-borang yang berkenaan akhirnya urus niaga pelaburan itu pun selesailah. Cek sudah berada di tangan Karim.

“Alhamdulillah semuanya sudah selesai,” kata Bakar.

“Hang kena belanja aku. Komisen masuk banyak kali ni,” kata Dahlan.

Bakar tersenyum. “Tak jadi masalah. Tapi kena tunggu cukup bulanlah. Eh, mana Karim?”

“Dia masuk bilik dia tadi,” kata Dahlan.

Ketika mata mereka berdua melihat ke arah bilik pejabat Karim, Karim pun keluar dari situ. Berjalan tersenyum mendekati mereka berdua dengan membawa beberapa ikat duit.

“Nah ini komisen hang. Ni pulak habuan hang tolong yakinkan pak long,” kata Karim sambil meletakkan empat ikat not 50 ringgit di hadapan Bakar dan seikat not 50 ringgit di hadapan Dahlan. “Empat ribu untuk hang dan seribu untuk hang,” sambungnya.

Bakar dan Dahlan terkejut besar. Karim tersenyum selamba.

“Bukan dapat sekali dengan gaji awal bulan depan ke?” tanya Bakar ragu-ragu. Tetapi matanya tidak lepas memandang empat ikat not 50 ringgit di hadapannya itu. “Kenapa empat ribu sahaja?” tanyanya lagi kehairanan.

Komisen bagi setiap kutipan pelaburan 100 ribu ringgit ialah lima ribu ringgit. Sepatutnya komisen Bakar untuk pelaburan yang dibuat oleh Pak Lang Kerbau itu ialah dua puluh lima ribu ringgit.

“Ini kes istimewa. Ini komisen dari aku sendiri. Komisen daripada syarikat tetap akan dimasukkan dalam akaun hang awal bulan nanti,” terang Karim.

Muka Bakar bercahaya. “Memang engkau bos dan sahabat yang baik, Terima kasih, terima kasih.” Pujinya sambil mengambil empat ikat not 50 ringgit itu dengan gopoh gapah.

“Tak nak kerja lagi?” tanya Dahlan, memerli Bakar.

Bakar tersengih macam kerang busuk. “Siapa yang tak nak duit, kawan,” katanya kemudian.

Mereka bertiga ketawa besar.

Karim menunaikan cek tunai daripada Pak Long Kerbau petang itu juga. Dia terus masuk ke dalam bilik tidurnya sebaik sampai di rumah selepas ke dapur menjenguk isterinya, Kalsum. Dia mengira kutipan wang pelaburan kumpulannya untuk minggu itu. Semuanya 800 ribu ringgit termasuk 500 ribu ringgit Pak Long Kerbau tadi. Dia mencongak di dalam kepala. Sampai ke saat ini dia sudah memegang lebih dua juta ringgit sejak pertemuan terakhirnya dengan Ramlan tiga minggu yang lalu.

Dua minggu lagi sampailah cukup bulan. Dia berasa wang yang dimilikinya sekarang sudah mencukupi untuknya membina kehidupan baru di tempat lain. Dia harus pergi dari situ dengan segera. Dia akan ke luar negara mengikut jejak Ramlan. Dia dan keluarganya tidak selamat jika terus tinggal di dalam negara ini bila kejatuhan skim pelaburan Pak Lang diketahui umum kelak.

Dia tergelak sendirian. Apa salahnya membuat untung daripada sesuatu yang memang sudah salah? Dia terus tergelak sendirian lama. Kini dia seorang jutawan!

Selain ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital, Habshah juga mencuba ubat-ubatan yang dibelikan oleh suaminya dari farmasi-farmasi dan kedai ginseng cina untuk merawat penyakitnya itu. Dia berasa beransur sihat.

Sebaik dia menelan ubat-ubatan terdengar loceng rumahnya berbunyi. Pembantu rumahnya, Bibik Aminah, menerpa ke luar rumah. Tidak berapa lama kemudian terjongollah Latifah di muka pintu. Rakan baiknya itu memberi salam dan masuk ke dalam rumah lalu mendapatkannya di ruang tamu. Sejak pulang dari hospital dia memang berkampung di tingkat bawah. Dia tidak larat hendak turun naik tangga. Bila malam dia akan tidur di bilik bawah bersama Bibik Aminah. Bila siang dia selesa berbaring di atas kerusi malas atau sofa di ruang tamu.

“Apa khabar engkau hari ni Sah?” tanya Latifah selepas meletakkan satu bungkusan di sisi sofa.

“Sihat sikit. Sudah tidak lemah macam dulu,” jawab Habshah. Habshah memanggil Bibik Aminah dan memintanya membawa minuman dan kuih untuk dihidangkan kepada Latifah.

“Alhamdulillah. Engkau kena tabah ya. Ada hikmahnya,” kata Latifah.

Habshah mengangguk.

“Ini aku ada bawakan ginseng cina. Kawan aku kata kanser emaknya semakin pulih selepas makan ubat ni,” kata Latifah lalu mengeluarkan isi bungkusan yang dibawanya tadi. Kotak berisi kapsul-kapsul ginseng itu diunjukkan kepada Habshah.

Habshah mengambil kotak ginseng itu. “Betul ke Pah?”

“Kawan aku cakap begitu. Engkau cuba makan dulu. Ginseng ni mahal. Kalau mahal tentulah elok kan? Import terus dari China. Ada di kedai-kedai ginseng terpilih sahaja,” balas Latifah.

“Berapa?” tanya Habshah.

“Sekotak ni lima ratus ringgit. Dalam ni hanya ada empat belas biji kapsul sahaja. Sehari kena makan dua biji kapsul. Siang sekali dan malam sekali selepas sarapan dan makan malam. Maknanya sekotak ni tahan seminggu sahajalah. Yang ni aku beli untuk hang cuba. Aku sedekah,” jelas Latifah.

“Terima kasih, Latifah” ucap Habshah.

“Ya,” balas Latifah. “Engkau kan kawan baik aku…”

“Hah, boleh tak engkau pesankan ginseng ni empat kotak sekali gus. Ginseng ni terhad kan? Aku takut stoknya habis. Manalah tahu ginseng yang engkau beli ni memang bagus,” kata Habshah. Dia mencapai beg tangannya dan menyerahkan dua ribu ringgit kepada Latifah.

“Aku baru nak cakap dengan engkau pasal perkara ini. Sebab kawan aku beritahu permintaan banyak tapi stok kurang. Stok baru hanya ada bulan depan,” balas Latifah.

“Terima kasihlah Latifah sebab prihatin. Engkau baik sangat dengan aku,” balas Habshah lantas memegang tangan Latifah.

Air mata Latifah mengalir. “Engkau kena cepat baik. Aku tak larat hendak pangku semua kerja engkau. Aku tak sehebat engkau. Macam mana engkau buat semua kerja tu selama ini? Aku baru pangku tak berapa lama ni pun sudah pening dibuatnya.”

Habshah tergelak kecil tetapi kemudian terbatuk. “Ramai orang ingat jadi pengurus ini senang. Gaji memanglah besar tapi tugas dan tanggungjawab pun besar.”

Latifah tersenyum. Sekarang dia yang memangku jawatan pengurus sumber manusia syarikat elektronik tempat mereka berdua bekerja itu. “Aku sekarang kadang-kadang sampai makan pun tak sempat!”

“Eloklah tu. Bagi badan slim lagi…” balas Habshah.

“Engkau nak bagi pinggang aku jadi macam pinggang kerengga?” jawab Latifah.

Habshah tergelak kecil. Latifah sama tergelak.

Seorang perempuan tua baru sahaja menuruni tangga rumah itu. Latifah yang galak gelak tersentak sebaik melihat perempuan tua itu. Tindakannya itu menyebabkan Habshah menoleh ke arah tangga. Perempuan tua itu menghilang ke dapur.

“Siapa tu?” tanya Latifah.

“Mak mertua aku lah,” jawab Habshah.

“Mak mertua engkau? ” tanya Latifah. Baru pertama kali melihat mak mertua Habshah.

“Ya. Mak mertua tiri aku. Mak Siti,” jawab Habshah yang memang selalu memperkenalkan mak tiri suaminya itu sebagai mak mertuanya sahaja.

“Oh..” balas Latifah.

Mak Siti datang ke ruang tamu itu. Dia bersalaman dengan Latifah. Kemudian terus memandang kotak ginseng yang berada di atas sofa itu. Lama sebelum pandangannya diganggu oleh penjelasan Habshah.

“Latifah bawakan ginseng ni untuk saya mak. Dia kata kanser emak kawannya beransur pulih bila makan ginseng ni,” kata Habshah.

Mak Siti cuma mengangguk acuh tak acuh. Tanda dia tidak senang dengan pemberian Latifah itu. Tetapi Latifah tidak melihat reaksi Mak Siti itu. Dia sedang melihat jam tangannya.

“Aku minta diri dulu Sah. Ada saudara nak datang rumah pukul enam setengah nanti.” Latifah meminta diri.

“Baiklah. Terima kasih ziarah aku,” kata Habshah menggagahkan diri memeluk Latifah.

Latifah membalas pelukan Habshah itu. Selepas itu bersalaman pula dengan Mak Siti sebelum berjalan ke arah pintu. Mak Siti memerhati lenggok Latifah itu sehingga hilang di balik pintu.

“Kenapa mak?” tanya Habshah yang menyedari pandangan luar biasa Mak Siti pada Latifah.

“Tiada apa-apa,” jawab Mak Siti lalu tersenyum.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin