Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 8

Bab 8

Sudah seminggu Karim dan keluarganya kembali ke Malaysia. Mereka sampai di rumah pusaka keluarga Kalsum pada tengah malam. Menyelinap masuk ke dalam rumah tanpa diketahui oleh orang kampung. Mereka sekeluarga mendiami seluruh tingkat atas rumah pusaka itu. Manakala keluarga abangnya mendiami seluruh tingkat bawah rumah pusaka itu. Tingkat bawah dan atas rumah pusaka itu mempunyai ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik air sendiri.

Cerita Karim dan keluarganya yang kini tinggal di rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu tersebar di seluruh kampung. Yang membawa cerita tidak lain tidak bukan ialah Kak Ani, jiran yang rumahnya berada di seberang jalan. Kebetulan pagi itu dia ternampak kelibat Kalsum. Dia bergegas ke rumah pusaka itu untuk memastikan apa yang dilihatnya itu benar. Selepas salamnya dijawab, dia terus masuk ke dalam ruang tamu di tingkat bawah. Apa yang dilihatnya benar bila mendapati Kalsum sedang berbual dengan Halimah di ruang tamu itu.

Melalui perbualannya dengan Kalsum tahulah Kak Ani tentang beberapa perkara. Pertama, Karim ditipu oleh kawan lamanya sehingga menyebabkan keluarga itu terpaksa pulang ke Malaysia. Kedua, Karim sebenarnya tidak bersalah di dalam skim cepat kaya itu. Dia hanya jadi tukang kutip wang pelaburan yang diserahkan kepada orang atasan setiap hari. Ketiga, Kalsum dan anak-anaknya akan tinggal di situ untuk beberapa ketika. Keempat, Karim tiada di situ dan sekarang bekerja di Kuala Lumpur.

Pada pagi itu juga Kak Ani membawa mulut tentang empat perkara itu di Kedai Runcit Kudin ketika membeli ikan dan sayur untuk dibuat lauk pada hari itu. Lama kelamaan cerita tentang keluarga Kalsum yang sudah tinggal di rumah pusaka itu pun tersebarlah. Sebenarnya cerita itu hanya hangat sebentar sahaja. Ini kerana tiada penduduk kampung itu yang terkena tipu skim pelaburan Pak Lang itu. Walaupun begitu, perkara keempat yang dikhabarkan oleh Kak Ani terus menjadi tanda tanya beberapa orang penduduk kampung termasuklah Abang Min, suami kepada Kak Ani.

“Betul ke Karim tiada di rumah pusaka tu?” tanya Budin.

“Aku dengar begitulah. Tapi ada orang ternampak kelibat dia dalam rumah tu,” jawab Manan.

“Betul ke, Abang Min?” tanya Budin sebaik melihat Abang Min mendekati meja yang diduduki mereka berdua.

“Apa yang betul?” tanya Abang Min yang baru sampai di kedai kopi yang terletak di pangkal jalan masuk ke kampung itu. Kedai Kopi Mail itu amat terkenal. Penuh sesak saban pagi. Ia dikunjungi bukan sahaja oleh penduduk kampung itu tetapi juga penduduk-penduduk sekitar Kulim dan Bukit Mertajam.

“Betul ke Karim tak ada di rumah pusaka tu?” tanya Budin.

“Tapi ada orang nampak kelibat dia dalam rumah tu,” tekan Manan.

Abang Min tidak terus menjawab. Memesan kopi O panas dan nasi lemak terlebih dahulu. Kemudian barulah dia mengeluh lalu menjawab, “Aku sendiri pun nampak kelibat dia.”

“Betullah ni?” tanya Manan, teruja.

“Kak Ani sudah tanya Kalsum. Tapi dia nafikan,” jawab Abang Min. Kopi O panas dan nasi lemaknya sampai di hadapannya. Dia mencicip kopi O panas itu dahulu sebelum menyambung kata, “Tapi aku yakin dia memang ada di dalam rumah tu. Dia takut orang cari dia. Hangpa bukan tak tahu kes skim pelaburan Pak Lang tu. Kalau orang yang dia aniaya tu tahu dia ada di sini, mampuslah dia…”

“Betul jugak kata Abang Min. Abang tak tanya Mazlan?” kata Manan. Kata-katanya lebih terarah kepada Budin.

“Aku tak sempat nak tanya dia. Payah nak jumpa dia sekarang. Selalu sahaja ke Klang. Hari ni pun dia ke Klang. Dia balik sekejap sahaja tadi untuk ambik anak-anaknya,” jawab Abang Min.

“Betul ke dia ada di sini, abang?” Seorang lelaki yang duduk di meja sebelah bertanya dengan tiba-tiba. Dia memasang telinga sejak tadi. Matanya pada Abang Min.

“Apa?” tanya Abang Min yang sedikit terkejut bila ditanya oleh lelaki itu.

“Betul ke Karim sudah balik dan ada di sini?” tanya lelaki itu.

“Hang siapa?” tanya Abang Min lalu mencicip kopi O panas.

“Saya Bakar. Saya bekerja bawah dia dulu. Saya dah lama cari dia. Saya ingat dia masih di London. Bila dia balik?” jawab Bakar.

“Dia tipu hang juga ke?” tanya Abang Min.

“Tak adalah. Saya nak jumpa dia sahaja. Kami kawan rapat dulu,” jawab Bakar.

“Aku tak tahu dia ada ke tak di sini. Aku nampak kelibat dia saja. Tidak nampak betul-betul batang tubuh dia,” jawab Abang Min.

“Kak Kalsum?” tanya Bakar.

“Ha, dia memang ada di sini. Dia dengan anak-anak dia,” jawab Abang Min.

“Mana rumah depa tu, bang?” tanya Karim.

“Ikut jalan kampung ni,” sampuk Manan, “Rumah pertama sebelah kanan itulah rumahnya.”

“Terima kasih,” jawab Bakar. Dia segera bangun, bersalam dengan Abang Min, Manan dan Budin, membayar harga makanannya, berjalan tempang ke motosikalnya dan berlalu pergi dari situ.

Bakar memecut laju motosikalnya. Dia mahu segera ke rumah Dahlan. Dalam perjalanan ke sana dia terkenangkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku kepada mereka berdua yang ditinggalkan terkapai-kapai oleh Karim menghadapi semua klien. Paling segar di ingatannya ialah tindakan Pak Long Kerbau menghantar Jaiz dan kuncu-kuncunya untuk memukulnya. Terngiang segar di telinganya bunyi desas batang besi yang dihayun Jaiz. Yang diikuti pula oleh bunyi derak tempurung lututnya yang pecah akibat hentakan batang besi itu. Akibatnya dia menjadi tempang seumur hidup. Terpampang jelas juga di fikirannya bagaimana geran tanah ibu mertuanya bertukar milik dan wang sebanyak 300 ribu ringgit bertukar tangan. Mengenangkan semua itu hatinya pedih, kecewa dan marah.

Bakar sampai di rumah Dahlan. Dahlan sedang mencuci kereta.

“Ha, Bakar lama tak jumpa hang. Hang apa khabar?” tanya Dahlan sebaik melihat Bakar memberhentikan motosikal di hadapan rumahnya.

“Aku macam ni lah…” jawab Bakar, menghulurkan salam bila Dahlan menghampirinya.

Dahlan menyambut salam Bakar. “Ada apa hal?” tanyanya kemudian.

“Ada hal penting,” jawab Bakar.

“Apa?” tanya Dahlan.

“Aku dengar Karim dah balik,” jawab Bakar.

Dahlan terkejut bukan kepalang. “Betul ke Bakar?”

“Aku dengar dari orang kampung bini dia. Aku sarapan di Kedai Kopi Mail tadi. Terdengar orang-orang kampung bercerita,” jelas Bakar.

Dahlan bergegas masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Dahlan menunggu di luar rumah. Kemudian dia kembali ke luar rumah. Kali ini lengkap berseluar panjang dan berkemeja.

“Kita cari dia! Hang tunggu apa lagi?! Ikut aku! Motosikal tu hang letak dalam pagar,” kata Dahlan.

Bakar bergegas turun motosikal dan kemudian meletakkan motosikal di tempat yang disuruh oleh Dahlan. Selepas itu dia masuk ke dalam kereta. Dahlan segera menekan pedal minyak. Memecut laju keretanya ke kampung keluarga Kalsum. Mereka sampai di rumah pusaka keturunan Haji Zainul tidak sampai setengah jam kemudian.

Kalsum terkejut dengan kemunculan Dahlan dan Bakar. Dia sedang menyidai pakaian ketika Zakiah, anak sulungnya memberitahu ada orang datang.

“Abang Karim ada kak?” Dahlan terus bertanya. Dia memang sudah lama hendak bersemuka dengan Karim. Dia koma, harta keluarganya terjual dan diperli oleh adik beradiknya gara-gara Karim. Pendek kata Karimlah yang membuatkan hidupnya tidak seperti dulu sekarang.

Kalsum diam sahaja. Ketiga-tiga anaknya yang bermain di halaman rumah berhenti bermain. Lutfi, anak keduanya mendekati dan memegang baju kelawarnya.

“Saya tanya kakak ni!” jerkah Dahlan. “Abang Karim ada ke?!”

“Dia… dia tak ada di sini,” jawab Kalsum, terketar-ketar.

“Kak jangan tipu!” jerkah Dahlan lagi. Dia menyinsing lengan kemeja. Bersedia melanggar Kalsum untuk masuk ke dalam rumah.

“Memang dia tiada di sini. Dia kerja di Kuala Lumpur sekarang. Hal dulu tu bukan salah dia. Dia pengurus cawangan sebelah sini sahaja. Orang atas yang tipu hangpa,” kata Kalsum.

“Tak bersalah kak kata?!” Kali ini Bakar pula yang naik minyak. “Dia ambik juga pelaburan klien saya walau pun dia tahu syarikat tu sudah gulung tikar. Bukan sikit kak. 500 ribu! Kak tengok kaki saya ni! Sampai tempang dikerjakan samseng! Mana dia kak?!”

“Kak dah cakap dia tiada di sini,” jawab Kalsum.

“Dia ada di dalam rumah kan?!” tanya Dahlan, marahnya mula mendaki puncak.

“Dia tiada di sini,” kata Kalsum.

Di seberang jalan, Kak Ani dan Abang Min keluar rumah bila mendengar bunyi bising. Pasangan suami isteri itu bergegas mendapatkan Kalsum. Abang Min terkejut bila mendapati salah seorang lelaki itu adalah lelaki yang bertanya kepadanya di kedai kopi tadi tentang benar ke tidak Karim dan keluarganya ada di sini.

“Kenapa kecoh-kecoh ni?” tanya Kak Ani.

“Kami datang ni nak cari Karim keparat tu!” jawab Dahlan.

“Dia betul tiada di sini. Berapa kali kak nak cakap,” kata Kalsum yang air matanya mula mengalir ke pipi. Kesemua anaknya sudah berkumpul di sekelilingnya. Zakiah dan Lutfi sudah menangis. Soraya melihat tajam Dahlan dan Bakar.

“Tapi ada orang nampak dia di dalam rumah ni,” kata Bakar lalu melihat Abang Min.

Abang Min menjegilkan mata memberi isyarat agar Bakar tidak mendedahkan namanya.

“Siapa yang kata?” tanya Kalsum.

“Argh! Tak kisahlah kami dapat tahu dari mana! Sekarang ni panggil dia keluar! Kami nak jumpa dengan dia! Kami masuk cari sendiri nanti baru kak tahu langit tinggi rendah!” tempik Dahlan. Marahnya sudah berada di puncak. Kakinya sudah ringan hendak melanggar Kalsum.

“Hoi Karim! Keluarlah! Kami tahu hang ada di dalam!” jerit Bakar berkali-kali.

Orang kampung sedikit demi sedikit berkumpul di halaman rumah pusaka itu untuk mengetahui apa yang berlaku. Semakin lama bilangan mereka semakin ramai. Mereka berbisik sesama sendiri.

Dahlan dan Bakar sudah hilang sabar. Mereka melanggar Kalsum yang cuba mengepung. Kalsum terjelepuk ke tanah. Tetapi sebelum sampai ke pintu, mereka berdua ditahan oleh Ustaz Yahya. Dia dari bandar dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia menjenguk apa yang berlaku di balik kerumunan orang. Bila melihat kekalutan sebentar tadi dia terus melangkah ke hadapan untuk menghalang Dahlan dan Bakar dari memasuki rumah pusaka itu. Dahlan dan Bakar berhenti melangkah. Ustaz Yahya memperkenalkan dirinya.

“Cukuplah encik. Tak elok buat begini. Ini bukan cara yang betul,” nasihat Ustaz Yahya.

Dahlan dan Bakar berhenti melangkah. Amarah mereka menyejuk bila melihat muka Ustaz Yahya.

“Tidak baik masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran tuannya,” nasihat Ustaz Yahya lagi. “Kita bersangka baiklah. Mungkin benar apa yang dikatakan Kalsum bahawa suaminya tiada di sini. Saya pun tidak pernah nampak kelibat Karim sejak Kalsum pulang ke sini.”

Kata-kata Ustaz Yahya, imam masjid kampung itu, meredakan terus kemarahan Dahlan dan Bakar.

Dahlan dan Bakar berpandangan sesama sendiri. Mereka berdua melihat sekeliling. Baru tersedar ramainya khayalak yang melihat perbuatan mereka itu. Kini mereka berasa malu pula.

“Baiklah. Kami berdua turut nasihat ustaz,” kata Bakar.

“Suruh dia jumpa kami kak sebelum kami jumpa dia,” kata Dahlan pula.

Bakar dan Dahlan beredar dari situ. Penduduk kampung juga bersurai beransur-ansur setelah diarah oleh Ustaz Yahya.

Di tingkat atas rumah, dari celah tingkap, Karim memerhati seluruh kejadian itu. Badannya bermandikan peluh. Dia berasa lega kerana Bakar dan Dahlan beredar dari situ. Beberapa detik kemudian dia menyumpah seranah mereka berdua kerana telah memalukan dirinya dan keluarganya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin