Sejak itu Karim menjadi orang
suruhan Munarep. Dia melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh Munarep. Menyediakan
bahan-bahan untuk santet, menyelia pesakit yang datang berubat, meletakkan
bahan-bahan sihir di bawah rumah orang dan sebagainya. Dia menjadi orang yang
paling rapat dengan Munarep yang memang selama ini sebatang kara.
Karim tidak mengikut Munarep
secara melulu. Dia mencerap setiap perlakuan Munarep. Malah ada mantera-mantera
tertentu yang sudah pun dihafalnya. Dia juga sudah mahir benar mengendalikan
bahan-bahan santet dan sebagainya. Malah ramuan-ramuan untuk sihir-sihir hebat
juga sudah terakam kemas di dalam ingatannya. Dia juga sekarang tidak
keseorangan menjadi orang suruhan Munarep. Sebulan yang lalu dia berjaya
menrekrut seorang pemuda sasak yang sebatang kara di Mataram ini untuk mengikut
mereka. Syarat awal Munarep supaya dia mencari pengganti sekiranya sampai
masanya diperturunkan ilmu dan pergi dari situ berjaya dipenuhinya. Kini hanya
menanti Munarep menurunkan semua ilmunya secara rasmi kepadanya.
Penantiannya itu berakhir pada
malam itu. Munarep memintanya menemuinya di dalam bilik khas. Kini mereka duduk
berhadapan tidak lagi sebagai orang suruhan dan tuan. Tetapi sebagai mahaguru
dan anak murid.
“Wahai Karim, sekarang aku akan
ambil engkau menjadi muridku. Mahukah engkau?” tanya Munarep.
“Ya, mahaguru,” jawab Karim.
“Mahukah engkau ikut segala syaratnya?”
tanya Munarep lagi.
“Ya, mahaguru,” jawab Karim.
Munarep tersenyum melihat Karim
lantas bangun dan berdiri selangkah daripada Karim. “Sekarang, sembah dan cium
kakiku,” arahnya.
Karim melepaskan sila lalu
bersujud menyembah Munarep. Kemudian merangkak sedikit lantas menyembah lagi.
Tetapi kali ini sambil mencium kaki mahagurunya itu. Kaki yang berkuku panjang
dan hitam itu dicium semahu-mahunya. Dia berasa kepalanya disentuh Munarep. Dia
dapat merasakan seperti ada sesuatu yang meresap masuk ke dalam kepala lalu
merayap ke seluruh tubuhnya.
“Sekarang engkau sah anak
muridku!” kata Munarep lalu ketawa besar.
Karim berasa gembira. Dia
tersenyum bangga.
Bermula pada malam itu juga, pada
setiap malam tanpa bintang atau pada bulan penuh, dalam tiga bulan itu, Karim
diajar satu persatu ilmu-ilmu hitam paling berkuasa suku sasak yang dimiliki
oleh Munarep. Disamping ilmu-ilmu hitam lain seperti pedang pekir, kedebong
embus, semanis mate dan sebagainya yang diajar sekali lalu.
Pertama, dia diperturunkan oleh
Munarep dengan ilmu Banggru. Bukan ilmu Banggru biasa tetapi luar biasa. Diajar
mantera dan ritual ilmu itu dengan sempurna supaya mangsa yang dirasuk ilmu ini
tidak mampu dipulihkan kecuali memenuhi syarat. Dia mencuba ilmu hitam itu buat
pertama kalinya kepada seorang gadis penjual ayam taliwang di sebuah gerai
makanan di tengah kota Mataram itu. Mangsanya itu dipilih secara spontan. Tidak
ada apa-apa hubungan langsung dengannya. Gadis itu merana. Ilmu sihir Banggru
itu berjaya dikuasainya.
Selepas itu dia diperturunkan
oleh Munarep dengan ilmu Sokik Api. Diajar mantera dan ritual melakukan sihir
tersebut. Dia mencuba ilmu hitam itu kepada seorang pesilat. Pesilat ini
dipilih secara rambang ketika sedang membuat demonstrasi pertarungan di salah
satu acara di Mataram. Mengikut khabar yang didengarnya pesilat ini adalah
antara pelapis yang terhandal di Pulau Lombok itu. Sihirnya menjadi dengan
sempurna. Pesilat itu merana kesakitan kerana kepanasan. Akhirnya menemui ajal
tidak berapa lama kemudian.
Karim terus menunggu Munarep
menurunkan ilmu selak, ilmu paling hebat yang dimiliki oleh Munarep. Tetapi
orang tua itu seperti enggan hendak menurunkan ilmu itu dalam masa terdekat.
Jadi, sekarang masa untuk meninggalkan mahagurunya itu. Mahagurunya itu
membenarkan. Selepas beberapa lama di Mataram akhirnya dia meninggalkan kota
yang banyak mengubah hidupnya itu.
Karim tidak terus pulang ke
Malaysia. Dia mahu berkelana ke dua tempat lagi. Destinasi pertamanya ialah
Bali. Dia pernah melihat betapa hebatnya ilmu sihir Bali. Seorang pesakit yang
disihir oleh dukun bali hampir sahaja melayang nyawanya. Nyaris waris pesakit
itu sempat membawanya berjumpa Munarep. Dia lihat mahagurunya itu berhempas
pulas mengubati pesakit itu. Malah mahagurunya itu mengalami kecederaan dalaman
ketika bertempur batin dengan dukun bali itu. Dia teringat kata-kata
mahagurunya, “Memang dari dulu, dukun bali selalu menyusahkanku. Begitu juga
dukun dari Pati.”
Karim tiba di Bali. Berlagak
seperti orang biasa yang dungu. Menyembunyikan segala ilmu hitam suku sasak
yang dimilikinya. Tidak lama kemudian dia berjumpalah dengan I Gede Mahendra, antara
dukun paling terkenal di Bali. Dia diterima menjadi murid dukun itu selepas
bersusah payah memujuk dan merayu. Walaupun berasa ada sesuatu yang disembunyikannya
tetapi dukun bali itu tetap menerima Karim sebagai anak muridnya.
Prosesnya sama ketika dia
mula-mula menjadi murid Manurep dahulu. Menjadi orang suruhan pada mulanya dan
sedikit demi sedikit sampai berjaya mendapatkan kepercayaan dukun bali tersebut.
Akhirnya dukun itu menurunkan segala ilmu hitam bali yang dimilikinya kepadanya.
Setelah sudah berguru dengan mahaguru keduanya itu, maka dapatlah dia ilmu
desti dan cetik bali. Juga ilmu leak yang dikatakan mirip ilmu selak itu. Malah
ilmu leak dikatakan lebih hebat berbanding ilmu selak.
Badannya terkesan sedikit dengan
pertambahan ilmu hitam itu. Tetapi lama kelamaan ilmu hitam sasak dan bali itu
elok menyatu di dalam dirinya walaupun kadang-kadang dia berasa bebannya.
Sesekali dia berasa pitam.
Walaupun begitu, dia tidak pernah
terlintas untuk membatalkan hasratnya untuk menuntut ilmu hitam jawa pula.
Selepas habis menuntut daripada dukun bali, dia bergegas ke Pati, Jawa Tengah.
Dia menjadi murid kepada Ji Joko Budianto, salah seorang dukun jawa yang
terkenal. Dia diterima masuk ke dalam padepokan dukun itu. Seperti biasa
melalui senjata pujuk dan rayu. Melihat kesungguhan dan ketebalan jahilnya,
maka Ji Joko Budianto menerimanya. Mula-mula sebagai orang suruhan dan semakin
lama meningkat menjadi murid yang paling dipercayai. Sebagai murid yang paling
dipercayai, Karim diturunkan dengan ilmu-ilmu hitam jawa. Santet, teluh, pelet
dan pelbagai ilmu hitam jawa berjaya dimilikinya. Dia mahir dengan semua ilmu
hitam itu dengan begitu pantas. Ji Joko Budianto berasa takjub dan berasa
bangga kerana punya anak murid sehebat Karim.
“Sekarang aku mahu lihat engkau
praktikkan ilmu yang kuajar itu. Pilih mangsamu,” kata Ji Joko Budianto.
Karim serta merta teringatkan
Sanusi.
“Engkau sudah pilih mangsamu?”
tanya Ji Joko Budianto.
Karim mengangguk.
“Santet dia,” arah Ji Joko
Budianto.
Karim menyantet Sanusi dengan
menggunakan patung jerami.
“Tiga hari lagi mangsa engkau itu
akan mati,” kata Ji Joko Budianto dengan penuh yakin.
Karim menelefon Kalsum pada hari
ketiga selepas dia menyantet Sanusi. Benarlah seperti yang dikatakan oleh Ji
Joko Budianto. Sanusi sudah meninggal dunia pagi tadi. Kebetulan Sanusi pulang
ke kampung seminggu lepas. Dia baru sahaja dikebumikan selepas asar tadi.
Selepas merantau lebih kurang
tiga tahun lebih, akhirnya Karim memutuskan untuk kembali ke Malaysia. Dia
berasa ilmu hitam yang dimilikinya sudah cukup untuk menjadi bekalan hidup di
Malaysia nanti. Dia sudah merancang segalanya dengan rapi. Tetapi malam sebelum
dia pulang ke Malaysia, dia diserang demam. Badannya berpeluh dingin. Kepalanya
diserang pening. Dadanya berasa sesak. Dia tahu sebabnya. Ilmu-ilmu hitam yang
bercampur baur itu sedang menunjukkan kesannya yang sebenar. Malam itu dia
bermimpi, seorang lelaki tua yang pendek dan gendut memberitahu bahawa itulah
kesan yang akan dihadapinya kerana menuntut ilmu-ilmu berlainan suku itu. Dia
akan jatuh sakit dan menderita dalam satu tempoh. Akan bangun semula selepas
itu dengan kekuatan baru kerana ilmu-ilmu hitam itu sudah menyatu antara satu
sama lain.
Karim tersentak terjaga. Badannya
berasa semakin lemah. Tetapi dia bertegas untuk pulang ke Malaysia pada hari
itu juga. Dia lepas semua pemeriksaan di lapangan terbang. Akhirnya sampai di
Malaysia. Berjalan longlai keluar dari dewan ketibaan dan disambut oleh Kalsum,
anak-anaknya, Mazlan, Abang Khalid, Halimah dan Fauziah. Dia meminta mereka
terus pulang ke Pulau Pinang dengan alasan dirinya demam. Mazlan memandu terus
dari Subang ke Pulau Pinang dalam kereta yang bersempit.
Karim
rebah di muka pintu rumah pusaka keturunan Haji Zainul sebaik sampai. Mazlan
memapahnya naik ke tingkat atas dan dibaringkan di atas katil. Bermula dari
waktu itu keadaannya semakin teruk hari demi hari. Dia tidak mampu berdiri.
Tidak upaya berjalan. Terkejang sahaja di atas katil. Buang air kecil dan besar
di atas tilam. Enggan dipakaikan lampin pakai buang dewasa. Hancing air kencing
dan busuk tahi meloyakan Kalsum dan anak-anak. Kadang-kadang bau itu tersebar
sehingga ke tingkat bawah. Badannya semakin hari semakin kurus sehingga akhirnya
menampakkan tulang rusuk dan tengkorak kepalanya. Yang peliknya selera makannya
tidak pula kurang. Malah ia bertambah dari hari ke hari. Belum pun nasi di
dalam mulut dikunyah lumat, dia sudah minta Kalsum menyuapkan nasi lain. Paling
kurang dia makan dua pinggan setiap hidangan. Selalunya sampai tiga, empat dan
lima pinggan untuk satu hidangan!
Yang lebih pelik ialah Karim
tidak mahu dihantar ke hospital. Berkali-kali Kalsum menyatakan hasrat untuk
membawanya ke hospital tetapi ditolak dengan tegas. Sampai mencarut memarahi
isterinya yang mengambil berat tentang dirinya itu. Sejak dicarut dan dimarahi
Karim di hadapan Mazlan dan Halimah, Kalsum tidak lagi bertanyakan tentang hal
itu. Pagi, petang, siang, malam, Kalsum berendam air mata memikirkan penyakit
yang menimpa suaminya itu. Masa hadapannya dan anak-anak kelihatan suram kerana
duit simpanan yang semakin berkurangan jika Karim tidak pulih seperti dahulu.
Dia tidak nampak ada harapan untuk Karim pulih.
Tepat jam dua belas tengah malam,
pada hari ke 44 Karim terlantar, dia dapat merasakan sesuatu masuk melalui kedua
belah tapak kaki dan kepalanya. Dia berasa amat dingin. Seperti ada angin
antartika yang sedang menjalar di dalam setiap urat-urat dan tulang-tulangnya. Dia
dapat merasakan tiga angin sejuk itu akhirnya bertembung di dalam dadanya.
Tiba-tiba dadanya itu panas membahang sehingga menyakitkannya. Dia meraung
sekuat-kuat hati. Anehnya raungan itu tidak didengari oleh sesiapa pun termasuk
Kalsum dan anak-anak yang tidur di lantai berdekatan. Badannya melentik-lentik
menahan kesakitan. Tidak lama kemudian badannya terhempas ke tilam bila
kesakitan itu hilang mengejut. Dia kembali sihat. Dia serta merta merasakan semangat
baru yang sedang bernyala-nyala di dalam dirinya.
Karim bangun dari perbaringan.
Duduk seketika di tepi katil sebelum terus keluar dari bilik tidur itu. Kainnya
terlondeh dan terlepas dari badan. Dia berjalan terus ke ruang tengah. Tempat
pertama yang dituju selepas pulih itu ialah sebuah almari lama yang sudah
berada di situ sejak puluhan tahun. Dia membuka almari lama itu dengan
tergesa-gesa. Mengeluarkan seluruh isi di dalamnya dengan kasar. Al-Quran dan kitab kuning dibiarkan
jatuh bersepai dan bersepah di lantai. Kitab-kitab kuning itu dipijak-pijak dan
Al-Quran pula bukan setakat dipijak tetapi ditendang melayang menghempas
dinding. Kemudian selerakan Al-Quran dan kitab-kitab kuning itu dikencingnya.
Al-Quran diperlakukan dengan lebih biadap. Dia duduk bertinggung lalu berak di
atas salah sebuah naskah Al-Quran itu. Dia ketawa seronok bila melihat tahinya
berselepat di halaman naskah Al-Quran itu. Dia mengoyak halaman-halaman
naskah-naskah Al-Quran yang lain. Halaman-halaman Al-Quran yang dikoyaknya itu
dibuat sebagai tisu pengelap najisnya.
Selepas itu Karim memasukkan
naskah-naskah Al-Quran dan kitab-kitab yang berselepat dengan najis dan basah
dengan air kencingnya itu ke dalam plastik sampah. Dia mencampak plastik sampah
itu di atas siling ruang tengah itu.
Kini dia berjalan pula ke sorong
rumah. Membuka salah sebuah tingkap di situ. Terbelahak dan sendawa beberapa
kali. Kemudian mengeluarkan kahak dari kerongkong. Meludah gumpalan kahak itu
ke luar. Kahak hijau bercampur merah darah itu jatuh pada pokok limau kasturi
yang ditanam di tanah.
Sejurus kemudian dia kembali ke
ruang tengah. Duduk bersila kejap di tengah-tengah ruang tengah itu. Dia
membaca mantera dan meniupnya pada segenap penjuru rumah. Rumah itu bergegar
sedikit. Dia tersenyum lalu berkata :
“Mulai saat ini engkau semua jaga
rumah ini. Inilah sarang engkau sekarang. Inilah istana kita sekarang!”
Alang rumah berkeriat-keriut,
bumbung berdetap-detap, angin menderu kasar di luar.
Karim ketawa semahu-mahunya.
Kemudian dia bangun, mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Dia
menoleh pantas ketika berada di muka pintu bilik air kerana merasakan ada
seseorang sedang memerhatikannya. Soraya berdiri tegak di ruang tamu. Anaknya
yang paling bongsu itu melihat semua kejadian itu tanpa rasa gentar malah
tersenyum pula. Karim membalas senyuman Soraya. Soraya kembali ke bilik tidur.
Di tingkat bawah, Azlan tersentak terjaga dan
kemudian tidur semula selepas beberapa ketika.