Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 19

Petang itu Kalsum dan Fauziah sekeluarga datang menziarahi Mazlan. Mazlan terjaga ketika mereka sampai ke katil. Matanya meliar mencari seseorang. Tetap bila terpandang wajah Halimah yang berdiri di sisinya. Dia mengukir senyuman selepas mendapati isterinya itu ada di sisinya.

“Mah…” kata Mazlan dengan suara serak dan lemah.

“Ya, bang. Kak Fauziah, Abang Khalid, Kalsum dan Karim datang. Anak-anak menakan abang pun ada sekali,” kata Halimah.

Mazlan mengangguk, melihat Fauziah, Khalid, Kalsum dan Karim sepintas lalu sebelum pandangannya kembali tetap pada Halimah. “Abang nak balik. Mah ingat hajat abang dulu?”

Halimah segera sebak. Masakan dia tidak ingat hajat yang kali terakhir disuarakan Mazlan pada malam suaminya itu terjaga mengejut kerana merasakan kakinya disentap dan direnjis oleh seseorang itu. Terngiang kata-kata suaminya sebelum mereka lelap : “Kalau apa-apa jadi pada abang, pastikan abang dibawa balik ke sini. Biar abang sakit di sini. Orang kampung pasti datang baca Yasin untuk abang. Macam mereka lakukan pada arwah abah dan tok ayah sebelum meninggal dunia dulu.”

“Mah ingat tak?” tanya Mazlan.

Halimah mengangguk perlahan. “Tapi tunggu abang baik dulu ya. Kita tunggu sampai doktor benarkan balik.”

“Dah tak guna Mah. Depa tak boleh buat apa-apa dah…” balas Mazlan.

Halimah yang sebak tadi mula tersedu-sedan. “Saya takut abang akan kena jangkitan kuman di rumah nanti. Di sini semua bersih. Jururawat dan doktor ada jika terjadi apa-apa.” Dia mahu suaminya itu mendapat penjagaan yang terbaik.

“Tolong ya Mah. Abang nak balik…” kata Mazlan, seolah merayu kepada Halimah.

Air mata Halimah mengalir deras. Jika itu kehendak suaminya dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika suaminya bahagia untuk berada di kampung di waktu-waktu akhir hayatnya itu, dia akan turutkan sahaja. Belum sempat dia mengiakan kehendak suaminya itu, Kalsum mencelah dengan nada tidak puas hati.

“Kenapa kak tak nak bagi Abang Mazlan keluar dari sini? Biarlah abang balik jika itu boleh menggembirakannya. Kalau hati gembira, derita boleh berkurangan kak,” kata Kalsum.

“Kakak baru hendak iakan permintaan Abang Mazlan ni. Bukan apa kalau duduk di sini lebih terjaga. Tetapi kakak tak larang kalau Abang Mazlan nak balik juga,” jawab Halimah.

Kalsum mencebik sebelum membalas, “Kalau kak tak mampu nak jaga, biar saya yang jaga.”

Halimah tidak membalas sindiran pedih Kalsum itu. Dia membatu sahaja. Matanya terus pada Mazlan. “Baiklah bang. Saya akan minta pihak hospital keluarkan abang dari sini ya?”

Mazlan mengangguk. Tersenyum lalu memejamkan mata semula.

Sebaik Mazlan memejamkan mata, Fauziah, Khalid, Kalsum dan Karim terus pulang bersama anak-anak mereka.

Mazlan pulang ke rumah pusaka itu selepas beberapa lama tinggal di hospital. Dia enggan ditempatkan di bilik tidur. Sebaliknya memilih untuk ditempatkan di ruang tamu. Katil bujang dibeli dan diletakkan di ruang tamu itu. Mazlan baring sepanjang hari di atas katil bujang itu.

Sebaik mengetahui kepulangan Mazlan, orang-orang kampung mula menziarahinya. Abang Min orang paling awal menunjukkan muka.

Abang Min sebak tidak semena-mena. Hatinya tersentuh bila melihat keadaan Mazlan yang kurus kering dan tidak bermaya itu cuba melontarkan senyuman dengan serba payah untuk menyambutnya.

“Terima kasih datang, Abang Min…” kata Mazlan dengan suara yang lemah.

Abang Min terus memegang bahu Mazlan. “Ini hari hang Mazlan. Manalah tahu esok lusa hari aku.” Kemudian Abang Min menoleh ke arah Halimah, Azlan dan Raudhah. Kini matanya tertumpu pada Azlan. “Azlan, dengar baik-baik apa yang pakcik nak cakap ni. Abah hang ni manusia paling baik yang pernah pakcik jumpa. Dia baik sejak kanak-kanak lagi. Dia berbeza dengan adik beradiknya lain. Ya, memang dia sahaja anak lelaki datuk hang tetapi jika dia mahu dia boleh bermegah-megah dengan kekayaan datuk hang. Dia boleh sahaja bergaul dengan anak-anak orang kaya sahaja.”

Abang Min berhenti berkata seketika. Dia semakin sebak. Mazlan memintanya tidak terlalu memuji. “Abang Min mesti cakap juga Mazlan. Biar anak-anak hang kenal siapa hang.” Dia memandang semula Azlan. Azlan menadah telinga. “Tetapi abah hang pilih sebaliknya. Dia tak perhabis duit datuk hang. Dia cari duit sendiri jika mahukan sesuatu. Dia ikut abah pakcik ke kebun-kebun buah orang di sekitar kawasan ini. Hasil dari upah mengutip buah itulah abah hang beli apa yang dia nak. Abah hang juga tidak bergaya macam anak orang kaya. Datuk hang beli beberapa pasang kasut sekolah untuknya tetapi dia pilih berkaki ayam seperti rakan-rakan sekolahnya. Dia juga menolak untuk dihantar ke sekolah dengan kereta tetapi lebih suka berjalan kaki bersama-sama rakan sekolah untuk ke sekolah.”

“Pakcik mahu hang ingat tu Azlan. Pakcik mahu hang jadi sebaik abah hang nanti,” kata Abang Min selepas menarik nafas.

Air mata Mazlan mengalir ke pipi. Begitu juga air mata Azlan. Anak kecil itu berasa begitu sayu mendengar kata-kata Abang Min itu.

Karim yang mendengar di luar rumah kata-kata Abang Min sejak tadi hanya mencebik sahaja. Cebikannya itu disembunyikannya selepas menyedari ada sekumpulan orang kampung datang untuk menziarahi Mazlan. Sebenarnya dia bencikan Mazlan sejak dulu lagi. Dia tidak berapa serasi dengan Mazlan. Paling diingatinya ialah Mazlanlah orang yang cuba menghalang Kalsum memilihnya sebagai suami. Kalsum nyaris mengikuti kata-kata Mazlan. Daripada mulut Mazlan, Kalsum tahu dia kaki perempuan, taik disko, taik arak dan taik judi. Mujurlah dia berjaya memujuk Kalsum dan akhirnya mereka segera berkahwin. Walaupun Mazlan menerimanya baik sebagai adik ipar selepas itu tetapi dia masih berasa sangsi. Sangsi yang tidak pernah padam sehingga sekarang. Tiba-tiba dendam dan cemburunya terhadap Mazlan membuak-buak.

Karim terpaksa mengikut orang-orang kampung masuk ke dalam tingkat bawah rumah pusaka itu. Tiga orang daripada rombongan orang kampung itu adalah orang-orang yang paling tua di kampung itu. Usia mereka ada yang lebih tua dan muda sedikit daripada usia arwah bapa mertuanya jika dia masih hidup.

Ketiga-tiganya menangis sebaik melihat keadaan Mazlan. Salah seorang daripadanya berkata, “Kuatkan hati hang Mazlan. Semua ini dugaan Allah. Ada hikmah di sebaliknya.”

Mazlan mengangguk mengerti.

Rombongan orang kampung itu mengeluarkan buku bacaan Yasin masing-masing dan mula membaca surah Yasin secara berjemaah.

Mazlan tersenyum sepanjang bacaan Yasin itu. Hajatnya yang sudah terpendam lama itu dimakbulkan oleh Allah SWT juga. Perlahan bibirnya bergetar mengucap alhamdulillah. Hatinya lancar mengikut bacaan Yasin rombongan orang kampung. Air matanya meleleh melepasi tubir mata dan seterusnya mengalir mencari pipi. Tidak lain kerana rasa syukur kepada Allah SWT.

Karim tidak puas hati bila melihat senyuman dan ketenangan Mazlan itu. Dia beransur pergi dari ruang tamu itu sambil menyumpah-nyumpah di dalam dada. Dia mahu Mazlan mati secara terhina tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Previous: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin