Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 12

Sudah genap dua tahun Karim berada di pondok pesantren Tuan Guru Muhyidin itu. Setiap masa menadah telinga dan menatap kitab. Tidak didengar atau dilihatnya Tuan guru Muhyidin mengajar ilmu batin seperti yang diajarkannya kepada Salim. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata pemandu teksi :

“Tok-tok guru agama pula bukan pilih sembarangan murid. Murid yang sudah sampai tahap tertentu sahaja yang akan dipilih untuk dibimbing dan diberi panduan bagi mendapatkan ilmu batin. Selalunya dalam ramai-ramai tu hanya seorang dua sahaja yang dipilih. Kalau dipilih, baguslah. Jika tidak, meloponglah.”

Karim mengeluh. Resahnya bukan main. Perkembangan belajar agamanya tidak memberangsangkan. Dia susah hendak hadam betul apa yang diajarkan oleh Tuan Guru Muhyidin. Dia juga tidak tekun menelaah apa yang tidak difahaminya. Pendek kata hatinya tidak berapa mahu belajar agama. Dia dapat lihat dirinya bukanlah seorang dua yang akan dipilih itu. Cemerlang jauh darinya. Sukar untuk mencapai tahap itu.

“Kenapa Karim?” tanya Abang Lan yang sejak tadi memerhati gelagat Karim.

Karim melihat Abang Lan. Abang Lan tua lima tahun daripadanya. Dia kagum dengan Abang Lan. Benar-benar menekuni setiap pelajaran agama yang diajarkan oleh Tuan Guru Muhyidin.

“Cakaplah pada aku. Luahkan apa yang meresahkan engkau,” kata Abang Lan.

“Abang Lan tahu tak yang tuan guru tu akan bimbing murid-murid terpilihnya untuk mendapatkan ilmu batin?” tanya Karim.

Abang Lan mengangguk.

“Jadi, Abang Lan tahu?” tanya Karim, segar.

“Ya. Tapi dia tidak beri pada sembarangan murid. Hanya beri pada murid yang dirasainya sudah sampai tahap tertentu,” jawab Abang Lan.

“Abang Lan tak mahu begitu?” tanya Karim.

Abang Lan tersenyum. “Jika dapat, alhamdulillah. Jika tidak, cukuplah ilmu agama yang aku pelajari dan cuba amalkan ini. Lagipun aku tidak terlalu mengharap sampai ke tahap tertentu itu. Sulit. Cukuplah biasa begini. Sudah tua. Cukup akidah, syariah dan tasauf sudah memadai. Sudah lepas.”

Karim mengeluh di dalam hati. Nampaknya Abang Lan memang tidak terlalu berminat untuk memiliki ilmu batin. Jika Abang Lan pun merasa susah hendak layak menjadi dua tiga murid yang terpilih itu, apatah lagi dirinya yang memang sudah bosan dengan pelajaran dan suasana di pondok pesantren itu.

Karim membawa diri ke luar pondok. Meninggalkan Abang Lan menyambung menelaah kitab. Dia sampai di sebuah pondok lain. Pondok itu dihuni oleh dua orang dewasa lain. Dari luar dapat didengar dengan jelas butir perbualan di antara penghuni pondok itu.

“Tetapi Serinate, ilmu Allah itu lebih tinggi daripada ilmu syaitan. Dukun itu hanya belum bertemu lawannya yang sebenar. Kerana apa kiyai itu boleh tewas? Barangkali, ya barangkali, dukun itu terlalu handal kerana mungkin sudah menyatu dengan syaitan. Di mana tempat tinggal dukun itu?” kata salah seorang penghuni pondok itu.

Karim memasang telinga sambil berdiri di sisi pondok itu.

“Mataram, Abang Jan,” jawab Serinate.

“Siapa nama dukun itu?” tanya Abang Jan.

“Munarep,” jawab Serinate.

“Aku tak biasa dengar namanya,” kata Abang Jan.

“Tidak mahu menonjol. Tetapi ilmunya hebat sekali. Tapi aku dengar dukun-dukun dari Bali lebih dahsyat ilmu batinnya, betulkah begitu?” balas Serinate.

“Mereka pun ada tahap-tahapnya,” terang Abang Jan. “Mana yang lebih dekat dengan syaitan, dialah yang paling handal.”

Karim beredar dari situ sementara perbualan di antara dua orang penghuni pondok itu masih berlangsung. Di dalam kepalanya sekarang melekat beberapa perkataan : Mataram, Munarep dan Bali. Perkataan-perkataan inilah yang sedang ditimbang-timbangkannya sekarang. Pertimbangan yang akan mendorongnya membuat keputusan maha penting.

Pada tengah malam itu, dia sudah pun membulatkan keputusan. Ketika murid-murid pesantren yang lain sedang nyenyak tidur atau sedang leka menelaah kitab, dia memboloskan diri meninggalkan pondok pesantren itu. Dia menumpang cidomo, motosikal dan kereta. Selepas berhari-hari perjalanan, akhirnya dia sampai juga di Mataram.

Dia melilau mencari Munarep di situ. Peliknya semua orang yang ditanyainya tidak tahu siapa gerangan Munarep itu. Dia mencari di setiap pelusuk Mataram. Tidak kira siang dan malam. Sehinggalah pada malam itu dia tertidur di atas pangkin di hadapan sebuah rumah di pinggir Mataram itu akibat terlalu keletihan.

Angin malam yang dingin melanggar badan Karim yang sedang merekot kesejukan. Sayup-sayup kedengaran bunyi lolongan anjing bercampur baur dengan bunyi burung hantu. Tiupan angin malam itu semakin lama semakin kuat. Desir kini bertukar deru.

Satu tangan berkuku panjang dan hitam menjulur menyentuh tubuh Karim. Tangan itu menggoncang badan Karim. Karim terjaga mengejut lantas menggosok-gosok matanya. Taik mata yang berselepat hilang. Lalu dia membuka mata. Lantas terbidas bangun dan menjauhkan diri dari lembaga yang mengejutkannya tadi. Tergolek jatuh dari atas pangkin. Mukanya tetomoih ke tanah yang berdebu.

“Sia… siapa engkau?” tanya Karim dalam ketakutan sebaik dapat berdiri stabil. Suara lolongan anjing, bunyi satu-satu burung hantu dan deru angin membangkitkan keseraman. Keseraman itu bertambah kuat bila dia berdepan dengan lelaki yang hodoh rupanya itu. Lelaki yang rambutnya mengerbang, berparut terbakar pada keseluruhan muka dan sepasang mata yang tersembul.

“Akulah lelaki tua yang engkau cari beberapa hari ini,” kata lelaki dalam lingkungan usia hujung tujuh puluhan itu.

“Munarep? Dukun itu?” tanya Karim.

Lelaki tua itu mengangguk. “Mari masuk ke dalam rumah aku.”

“Di mana?” tanya Karim.

“Di sini,” kata Munarep sambil menunjuk ke arah pintu rumah di hadapan mereka itu.

“Ini rumah dukun?” tanya Karim.

“Memang engkau dipimpin untuk menjumpaiku,” jawab Munarep.

Munarep masuk ke dalam rumah. Diikuti oleh Karim. Mereka berdua kini berada di dalam sebuah bilik khas. Bilik khas itu ialah bilik pemujaan Munarep. Bilik di mana segala kesyirikan terhadap Allah SWT dilakukan.

“Aku ingin menuntut dari engkau, wahai dukun hebat,” kata Karim yang tidak sabar-sabar.

Munarep ketawa besar. Berasa bangga kerana dirinya digelar dukun hebat oleh Karim. “Aku tahu,” balasnya. Dia memang mahu mencari anak murid untuk diperturunkan segala ilmu hitam yang dimilikinya itu. Dia tidak punya anak.

“Jadi, tok terima aku?” tanya Karim.

“Ya,” jawab Munarep. “Aku akan perturunkan semua ilmu yang aku ada kepada engkau. Dengan syarat engkau mengikuti semua syaratnya,” jelasnya kemudian.

Karim tersenyum. Sejurus kemudian senyumannya itu bertukar menjadi ketawa. Ketawa yang pada mulanya kecil itu sudahnya menjadi besar.

Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin