Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 17 (Bahagian 1)

Hartini, anak sulung Fauziah, belum tidur. Matanya celik tidak mahu lena. Novel yang dibaca begitu mengujakannya. Kisah cinta muda mudi yang penuh fantasi begitu menarik minatnya untuk meneruskan pembacaan.

“Tini…”

Hartini berpaling pantas lalu terus memandang ke arah ruang tengah tingkat atas rumah pusaka itu. Ruang tengah itu kelam. Hanya disinari oleh tempias cahaya dari lampu kalimantang dari ruang sorong itu

“Mama! Mama!” panggil Hartini.

Tiada sahutan daripada Fauziah yang tidur di dalam bilik tidur yang ada di ruang tengah itu. Bermakna bukan Fauziah yang memanggilnya tadi. Dia lupakan hal itu. Fikirnya mungkin dia terperasan ada orang memanggilnya sahaja.

Hartini meneruskan bacaan. Tenggelam semula ke dalam novel cinta itu. Perasaannya terbuai sehingga beberapa babak sedih di dalam novel itu mampu membuatkannya menangis.

Serentak itu telinganya menangkap bunyi esakan di belakangnya. Dia segera menoleh ke belakang. Dia pasti apa yang didengarnya tadi bukan esakannya sendiri. Esakan yang baru didengarnya tadi itu adalah esakan orang lain. Esakan itu terdengar dekat di telinganya. Darahnya tersirap bila mendapati di belakangnya itu semata-mata tingkap.

Hartini meletakkan novel. Dia bangun dari sofa sambil menyapu air mata pada pipi. Dia mendekati tingkap. Berkira-kira hendak membuka tingkap di belakang sofa yang didudukinya tadi. Belum sempat dia membuka tingkap itu, telinganya terdengar lagi suara esak tangis seseorang. Dia terperanjat lalu terundur dua langkah ke belakang sehingga punggungnya terlanggar kepala sofa. Esak tangis yang jelas itu kedengaran sedetik sahaja.

Suasana sepi.

Hartini mendekati tingkap semula. Dia mula berasa takut. Tetapi rasa ingin tahun mengatasi ketakutan. Dia memanjangkan tangan untuk membuka tingkap. Menarik kuncinya lalu menolak tingkap itu perlahan-lahan. Bunyi keriuk engsel karat kedengaran. Serentak itu keriat-keriut alang rumah juga kedengaran. Disusuli sejurusnya oleh detap-detup sesuatu berjalan di atas bumbung.

Hartini tidak sempat melihat ke luar tingkap. Matanya terus melilau pada siling rumah. Terpegun seketika mendengar bunyi yang saling bertingkah itu. Ada angin yang menyerbu leher belakangnya. Bulu romanya berdiri pantas. Keseraman mematuk-matuk hatinya. Dia menoleh perlahan-lahan. Tiada apa-apa di luar sana. Hanya gelap malam yang berdiri menyambutnya.

Hartini menghela nafas lega lalu mengurut laju dada. Dia menutup tingkap itu semula. Esak tangis, keriat-keriut alang rumah dan detap-detup sesuatu berjalan di atas bumbung tidak kedengaran lagi. Dia kembali ke sofa yang ditinggalkannya tadi. Menunduk untuk mengambil novel yang ditinggalkan terlentang. Ketika dia mengangkat muka dan bersiap untuk duduk semula di sofa itu, matanya terpandang kelibat satu lembaga sedang berdiri di ruang tengah.

Hartini melihat sekali lagi. Memang ada satu lembaga yang sedang berdiri di hadapan pintu bilik tidur. Dia cuba memusatkan penglihatan. Masih tidak dapat dilihatnya dengan jelas siapakah yang sedang berdiri itu. Ruang tengah yang tadi samar-samar entah mengapa menjadi hampir gelita waktu itu.

“Mama ke tu?” tanya Hartini, teragak-agak. Dia masih berdiri di ruang sorong.

Lembaga itu tidak menjawab pertanyaan Hartini. Bergerak menghala ke pintu di mana terletaknya tangga dalam.

“Mama ke tu?” tanya Hartini lagi.

Lembaga itu berpaling.

“Mama nak pergi mana?” tanya Hartini. Kakinya melangkah menghala ke ruang tengah. Kini berdiri di hadapan muka pintu yang memisahkan ruang sorong dan ruang tengah. Lembaga itu sudah berada betul-betul di hadapan pintu menuju ke tangga dalam. “Mama nak buat apa turun ke bawah?” tanyanya.

Lembaga itu diam tidak menjawab. Berdiri tegak sahaja.

Hartini berasa pelik. Hidungnya sekejap tercium bau wangi dan sekejap tercium bau busuk. Dia sampai di hadapan bilik tidur papa dan mamanya. Dia menolak pintu bilik tidur itu. Papanya yang tidur terlentang berdengkur nipis. Adiknya yang tidur lesak sehingga kakinya pada dada papanya itu sedang mengigau entah apa. Dan di sebelah adiknya, sekujur tubuh sedang berselimut sepenuhnya.

“Mama!” panggil Hartini.

“Apa?” jawab seseorang.

Hartini mencari arah suara itu. Lembaga yang berdiri di hadapan pintu itu bergerak mahu merempuh pintu.

“Mama nak ke mana tu?” tanya Hartini.

“Nak pergi mana pulak?” Satu suara menyahut dari bawah selimut.

Hartini melihat tubuh yang bergerak di bawah selimut itu. Dari dalamnya tersembul kepala. Dia memusatkan penglihatannya. Didapatinya bahawa ia kepala mamanya. Dia segera pula melihat ke pintu. Lembaga yang berada di pintu itu sempat menoleh ke arahnya. Alangkah terkejutnya bila mendapati lembaga itu adalah seorang perempuan muda yang amat cantik paras rupanya.

Hartini terkejut. Jantungnya bagaikan berhenti.

“Kenapa Tini?” tanya Fauziah yang sudah pun terbidas badannya lalu duduk berlunjur.

“Perempuan muda, mama,” jawab Hartini sambil menunjuk ke arah pintu.

Fauziah bangun dan melihat ke arah pintu. Tiada apa-apa di situ selain pintu yang tertutup rapat. “Apa Tini merepek ni…”

Hartini terdengar semula suara esak menangis seseorang. Dia juga terdengar bunyi alang rumah berkeriat-keriut dan detap-detup sesuatu berjalan di atas bumbung. Tidak lama kemudian dia juga mendengar namanya dipanggil. “Tini…. Tini…” Hartini gelabah dan takut. Dia menekap-nekap telinga. Tetapi suara dan bunyi-bunyi itu terus bergema di telinga.

“Kenapa Tini?” tanya Fauziah, pelik dengan sikap Hartini.

“Aku di depan Tini….”

Hartini menoleh. Terlihat olehnya perempuan muda itu sedang berdiri sambil tersenyum seram ke arahnya di ruang sorong. Dia menjerit sekuat hati lalu jatuh pengsan.

Fauziah bergegas mendapatkan Hartini. Khalid terbidas bangun. Lampu bilik tidur utama menyala. Sejurus kemudian Karim dan Kalsum sudah berada di ruang tengah itu.

“Kenapa kak?” tanya Kalsum.

“Entah. Kak tengah tidur. Dia panggil kakak. Dia nampak pelik. Macam ternampak sesuatu. Lepas tu dia menjerit dan jatuh pengsan,” terang Fauziah sambil menggoncang-goncang badan Hartini. “Tini! Tini!”

Hartini tetap tidak sedarkan diri.

“Sum, ambikkan air,” arah Karim.

Kalsum bergegas mengambil air. Fauziah dan Khalid berusaha menggerakkan Hartini. Tetapi Hartini masih tidak sedarkan diri. Shamir, anak lelaki mereka baru terjaga dan kehairanan melihat tindak tanduk kedua orang tuanya. Lebih hairan bila melihat kakaknya yang sedang terkulai layu.

Kalsum kembali dengan secebok air. Diberikannya kepada Karim.

Karim mengambil cebok berisi air itu. “Bismi…” Hanya itu permulaan kata-kata yang didengar. Selepas itu dia kumat kamit membaca mantera tanpa suara. Dia mencelup kelima-lima jarinya di dalam air. Kemudian merenjis air itu ke muka Hartini.

Hartini tersedar mendadak. Perkataan pertama yang keluar dari mulutnya ialah : “Hantu!” Lalu dia termengah-mengah macam orang baru ditarik dari kelemasan. “Tini takut mama… Tini takut mama…” katanya lalu menangis sambil memeluk Fauziah.

Keadaan kembali tenang. Kini mereka duduk di ruang sorong.

“Apa yang Tini nampak? Cuba beritahu mama,” tanya Fauziah.

“Tini nampak hantu, mama,” jawab Hartini.

“Hantu?” tanya Khalid.

“Betul pa…” jawab Hartini.

Khalid melihat Fauziah. Fauziah mengangkat bahu.

“Betul papa, mama. Tini dengar ada orang panggil nama Tini. Tini dengar suara perempuan menangis dekat luar, bunyi alang rumah dan orang berjalan atas bumbung…”

“Bunyi alang rumah dan bunyi orang berjalan atas bumbung?” sampuk Kalsum.

Hartini mengangguk.

Kalsum memandang Karim. Karim tersenyum.

“Kenapa Sum?” tanya Fauziah bila melihat Kalsum dan Karim saling berpandangan.

“Cek pun dengar bunyi yang sama juga hari tu. Kan cek dah beritahu kak siang tadi. Tapi kak tak percaya,” jawab Kalsum.

“Bunyi apa tu?” tanya Fauziah yang memang lupa butir-butir perbualannya dengan Kalsum siang tadi.

Kalsum tidak menjawab pertanyaan Fauziah itu. Perhatiannya tertumpu kepada anak saudaranya yang berusia lima belas tahun itu. “Apa yang Tini nampak? Apa rupa hantu tu?”

“Hantu perempuan muda,” jawab Hartini.

“Betullah dah…” sambut Kalsum.

“Apa yang betul ni Sum?” tanya Fauziah dengan terburu-buru.

“Cek pun dikacau hantu yang serupa kak. Malam tu…” kata Kalsum lalu menceritakan apa yang dialaminya pada malam yang mengerikan itu. Cerita itu lebih untuk didengar oleh Khalid. Dia sudah ceritakan cerita yang sama pada Fauziah siang tadi. Kemudian menamatkan ceritanya dengan, “Abang Karim pun nampak hantu tu atas bumbung, Abang Khalid.”

“Betul ke Karim?” tanya Fauziah.

Karim mengangguk.

“Betul ke saka keluarga Kak Limah?” tanya Fauziah lagi. Matanya pada Karim.

“Saya ni bukan pandai sangat kak. Sikit-sikit tu bolehlah. Belajar dari kiyai masa di pesantren dulu. Payah nak cakap kak. Nanti bergaduh adik beradik,” jawab Karim.

“Betullah kak. Habshah dulu pun masa sakit nampak hantu perempuan muda tu,” kata Kalsum.

“Hang ni Sum. Kalau silap nanti kita tanggung dosa,” balas Fauziah.

“Sebab tu dia berani kak… . Macam cek cakap siang tadi,” sambut Kalsum.

“Betul ke ni?” tanya Fauziah.

“Betullah kak…” jawab Kalsum.

Pintu di ruang tengah itu diketuk orang. Terdengar suara Mazlan memberi salam. Kalsum segera membuka pintu itu. Mazlan dan Halimah datang bertanya apa yang berlaku.

“Saya dengar macam suara Tini menjerit, betul ke?” tanya Mazlan.

“Ya, ya. Dia nampak hantu,” jawab Khalid terus terang. Pandangannya tidak pada Mazlan tetapi pada Halimah.

Halimah sedang memandang Hartini yang duduk di sofa. Sudah tiga kali Hartini melarikan mata sebaik bersetentang mata dengannya. Terbit hairan di hatinya.

“Tetapi alhamdulillah, semua sudah okey. Abang Karim jampikan air,” celah Kalsum.

Mazlan mengangguk-angguk. “Alhamdulillah.”

“Itulah nasib baik ada Abang Karim. Jika tidak tak tahu jadi apa pada Tini ni,” sambut Kalsum lagi.

Karim kembang kempis hidungnya. Bangga dipuji begitu walaupun dari mulut isterinya sendiri.

“Mazlan anak beranak tak pernah kena ganggu ke?” tanya Fauziah.

“Setakat ni alhamdulillah, tidak kak,” jawab Mazlan, jujur.

“Si Sum ni pun pernah kena ganggu,” kata Fauziah. “Halimah pernah?”

“Tak, kak,” jawab Halimah yang sejak tadi berasa pelik dengan kelakuan Hartini.

Karim membaca mantera di dalam hati. Ditiupnya mantera itu pada Hartini dalam diam-diam. Hartini nampak gelisah. Matanya meliar-liar. Memandang tajam ke arah Halimah. Halimah berlawan mata dengan Hartini. Hartini mengalah dan segera melarikan mata. Halimah mahu bertanya tentang kelakuan pelik Hartini itu tetapi suaranya tidak terlepas dari kerongkong. Tersekat kerana tidak mahu menganggu perbualan suaminya dengan Fauziah.

“Hang kena ganggu macam mana Sum?” tanya Mazlan beralih kepada Kalsum.

Previous: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin