Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 14

Kalsum panik bila mendapati Karim tiada di atas katil sebaik terjaga dari tidur. Matanya melilau mencari di seluruh bilik. Karim memang tiada di situ.

Dia bergegas keluar dari bilik tidur itu. Mencari di ruang sorong. Karim juga tiada di situ. Mencari di ruang tengah. Karim tetap tiada di situ. Mencari di bilik air. Karim tiada di situ juga walaupun didapatinya lantai bilik air itu basah. Dia berjalan semula ke ruang tengah. Tercium bau hancing dan busuk. Membongkok-bongkok mencari punca bau hancing dan busuk itu. Ternampak ceretek air kencing yang tidak dilap. Tiba-tiba dirinya dipeluk dari belakang.

Kalsum terkejut. “Siapa ni?!” jeritnya. Dia melihat tangan yang merangkul tubuhnya. Dia segera berpaling. Dia terkejut besar. “Abang!”

Karim tersenyum lalu terus mencumbuinya. Di atas lantai hancing dan busuk itu mereka melempiaskan nafsu syahwat yang sudah lama terpendam.

“Saya hairan bang,” kata Kalsum yang terbaring keletihan.

“Apa?” tanya Karim.

“Bagaimana abang boleh pulih ni? Bila pulih ni?” tanya Kalsum.

“Tengah malam tadi. Terjaga. Tiba-tiba nak terkencing dan terberak. Abang panggil Sum. Tapi Sum tak dengar. Abang cuba nak pergi sendiri ke bilik air. Tiba-tiba boleh bangun sendiri,” jawab Karim.

“Kenapa malam tadi abang nak ke bilik air? Selalunya abang kencing dan berak atas tilam tu saja,” tanya Kalsum, hairan juga.

“Tergerak hati, Sum. Tuhan bagi gerak hati tu. Masa tidur malam tadi Abang bermimpi. Seorang tua yang bersih mukanya datang rumah ni. Dia mengubat abang. Guna ayat-ayat Al-Quran. Dalam mimpi itu abang sembuh. Boleh bangun,” bohong Karim.

“Sebab tu abang bangun bila jaga?” tanya Kalsum.

“Ya. Dia kata nanti abang boleh mengubat orang. Dengan izin tuhan,” bohong Karim lagi.

“Betul ke bang?” tanya Kalsum, teruja. “Bagusnya bang. Berkat abang belajar agama di Lombok tu, agaknya.”

Karim mengangguk.

Kalsium mencium-cium sesuatu.

“Kenapa?” tanya Karim yang berpura-pura tidak tahu.

“Abang tak bau hancing dan busuk?” tanya Kalsum.

Karim menggeleng.

Kalsum terus mencium-cium.

Karim tersenyum di dalam hati. Lalu bangun dan masuk ke dalam bilik tidur. Kalsum terburu-buru mengekorinya. Anak-anak mereka masih tidur merekot di bawah selimut. Termasuk Soraya yang tidur semula. Karim mengenakan pakaian baru.

“Abang nak pergi mana?” tanya Kalsum.

“Abang nak ke Kedai Kopi Mail. Sudah lama tidak pekena kopi Mail,” jawab Karim.

Kalsum terpana dengan jawapan suaminya itu.

“Sum jangan risau. Abang takkan apa-apa. Sampai bila hendak menyorok,” kata Karim yang tahu apa yang sedang bermain di fikiran isterinya itu.

“Sum takut kalau kawan-kawan abang tu datang balik,” luah Sum.

“Abang akan selesaikan nanti,” jawab Karim, begitu yakin.

Sum mengangguk-angguk. Menurut sahaja dengan penjelasan Karim itu walaupun hatinya tetap risau.

Karim berjalan masuk ke dalam Kedai Kopi Mail. Kedai kopi itu sudah dipenuhi ramai orang. Abang Min, Budin dan Manan duduk semeja. Mereka bersarapan di meja berdekatan kaunter bayaran.

Budin menyiku lengan Manan. Kemudian menjuihkan bibirnya ke arah Karim yang baru duduk di meja berdekatan meja kuih muih dan nasi lemak diletakkan.

“Apa?” tanya Manan.

“Karim!” jawab Budin hampir tanpa suara, menegaskan kepada Manan.

“Karim?” tanya Manan, mula menarik matanya dari halaman sukan surat khabar dan melihat ke arah juih bibir Budin ditujukan. Manan hampir terlopong melihat Karim. “Dia ke tu?” tanyanya hampir tidak percaya.

“Dialah siapa lagi,” kata Abang Min yang ikut melihat Karim. “Nampak lebih muda.”

Tiba-tiba Karim melihat ke arah mereka dan melepaskan senyuman.

Abang Min seolah-olah terpaksa mengangkat tangan, menegur sapa dari jauh. Begitu juga Budin dan Manan.

“Bila dia balik, bang?” tanya Budin kepada Abang Min.

“Entah. Mungkin malam tadi. Dah habis belajar di pesantren agaknya,” jawab Abang Min.

“Apa? Pe…pesan…pesan…” tanya Manan tergagap.

Gagap Manan dipotong Abang Min. “Pesantren! Seperti sekolah pondok di sini,” jelas Abang Min kepada Manan.

“Ohh. Dia belajar agama? Dah jadi ustazlah ni,” balas Manan.

“Yalah kalau pelajaran agamanya habis,” sambut Budin.

“Nanti aku sembang dengan dia. Barulah tahu letak duduk perkara yang sebenar. Aku pun tahu daripada Kak Ani. Dia bersembang dengan Kalsum dulu. Kalsum kata Karim ke Indonesia untuk belajar agama. Kalau tak silap sudah tiga tahun,” kata Abang Min.

“Saya pun dengar begitu,” kata Budin.

“Kenapa aku tak tahu apa-apa?” tanya Manan.

Abang Min dan Budin tersenyum. Mereka terkejut bila ditegur Karim yang datang ke meja itu entah bila. Kedatangannya tidak disedari langsung oleh mereka bertiga.

“Boleh aku duduk di sini?” tanya Karim, menunjuk ke arah kerusi yang kosong di sebelah Abang Min.

“Apa salahnya,” jawab Abang Min.

Karim bersalam dengan Manan, Budin dan Manan. Selepas itu barulah dia duduk.

“Bila sampai sini?” tanya Abang Min.

“Tengah malam tadi,” jawab Karim.

“Balik sendiri?” tanya Abang Min.

“Ya,” jawab Karim sambil mengangguk. Dia menggamit salah seorang pekerja kedai kopi itu. Memesan secawan lagi kopi O panas.

“Sudah habis belajar agama?” tanya Abang Min.

“Ya. Alhamdulillah,” jawab Karim.

“Cepat ya,” kata Manan lalu mencicip busa teh panas.

“Apa tak cepat. Siang malam tadah kitab. Sehari tidur dua tiga jam saja. Selebihnya baca kitab, baca kitab, baca kitab,” jawab Karim lalu tersenyum.

“Patutlah habis cepat,” kata Budin.

“Lepas ni bolehlah hang bagi usrah di masjid,” kata Abang Min.

“Aku belajar agama untuk diri sendiri dan keluarga je bang. Cukuplah sekadar lepas keluarga. Buat masa sekarang tidak berniat hendak mengajar. Mungkin di masa hadapan, kalau diizinkan tuhan,” kata Karim.

“Ohh…” balas Abang Min sambil mengangguk-angguk.

Budin dan Manan pun mengangguk-angguk macam burung belatuk.

“Eh, dah nak dekat pukul sembilan ni,” kata Abang Min selepas melihat masa pada jam tangannya. “Aku balik dulu. Bawa sarapan untuk Kak Ani,” sambungnya.

“Kak Ani sihat bang?” tanya Karim.

“Hang tak tahu?” tanya Abang Min.

“Tahu apa?” tanya Karim.

“Nampak sangat hang tak tahu,” balas Abang Min. “Kak Ani sudah tiga tahun lebih lumpuh. Tiba-tiba awal pagi tu dia strok. Mulut dia berbuih-buih. Nasib baik aku sedar. Nasib baik sempat bawa ke hospital. Ha, waktu tu adik kepada kak ipar hang tu baru sampai dari Klang.”

“Oh begitu…” balas Karim. Dia tersenyum di dalam hati.

Abang Min beredar. Sampai di rumah dia teringatkan sesuatu. Dia menyelongkar dompetnya. Berjumpa juga dengan sekeping kertas yang tercatat senarai nombor telefon. Dia mendail nombor-nombor telefon itu. Dia memberitahu semua orang yang dihubunginya bahawa Karim sudah pulang ke situ. Dia tersenyum mengingatkan komisen yang dijanjikan mereka. Dalam tiga tahun ini banyak sekali orang mencari Karim di rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu. Ada di antara mereka yang singgah di rumahnya dahulu untuk bertanya benar atau tidak rumah di hadapan rumahnya itu ialah rumah pusaka keluarga Kalsum. Pertanyaan yang sederhana itu selalunya akan bersambung dengan perbualan. Melalui perbualan itulah beberapa orang menawarkannya sedikit habuan jika dia dapat memaklumkan kepada mereka jika nampak kelibat Karim pulang ke situ.

Budin dan Manan kekal bersama Karim. Mereka bersembang panjang. Penduduk-penduduk kampung yang baru berkunjung ke Kedai Kopi Mail itu menegur dan bersalam dengan Karim sebaik melihatnya. Kemunculannya itu tiba-tiba menjadi sensasi dan disambut seperti orang penting di situ. Mereka seperti terlupa kerja kotor yang dibuat oleh Karim dulu sehingga riuh halaman rumah pusaka itu lebih tiga tahun yang lalu. Peristiwa itu tersebar di seluruh kampung. Tiada siapa yang tidak tahu tentang peristiwa itu. Tetapi sebaik melihat Karim tadi semua terlupa akan hal itu.

Dahlan dan Bakar orang yang pertama sampai sebaik dihubungi oleh Abang Min. Karim masih di Kedai Kopi Mail ketika mereka berdua sampai. Sebaik kereta Dahlan masuk simpang kampung, mata Dahlan terus ternampak kelibat Karim di Kedai Kopi Mail itu. Dahlan memakirkan kereta di bawah pokok ara berdekatan Kedai Kopi Mail.

Dahlan dan Bakar keluar kereta dengan terburu-buru. Bunyi keriut pintu kereta dibuka menarik perhatian Karim. Sedarlah Karim akan kehadiran mereka berdua. Karim tersenyum di dalam hati. Dia bersedia untuk berdepan dengan bekas orang bawahannya itu.

Dahlan dan Bakar semakin menghampiri Karim. Marah kedua-duanya membuak-buak. Sebaik sampai di meja Karim berada, Dahlan yang tidak dapat mengawal perasaan terus menampar meja tersebut. Pinggan dan gelas terangkat lalu berselerak di atas meja. Kopi O panas dan teh panas tumpah di atas meja. Sebahagiannya terpercik pada baju Karim, Budin dan Manan. Kedai Kopi Mail itu menjadi gempar.

“Astaghfirullah…” ucap Karim menghadapi keadaan itu. Ucapan itu hanya di mulut. Tetapi di dalam hatinya memaki hamun Dahlan.

“Celaka hang Karim!” pekik Dahlan yang sudah mengepal jari.

“Kita bawa bincang,” jawab Karim, tenang.

“Bincang engkau kata? Sebelum lari dulu kenapa tak bincang? Hang tengok kaki aku ni. Tempang sebab hang bangsat!” pekik Bakar pula.

Dahlan menggenggam kolar kemeja Karim. Menariknya ke atas sehingga memaksa Karim bangun. “Hang memang penipu!” Satu tumbukan dilepaskan. Tumbukannya itu kena tepat pada mata Karim. Karim mengaduh dan terlutut di tanah.

Suasana menjadi kelam kabut. Manan yang kasihankan Karim cuba menyabarkan Dahlan. Tetapi percuma dia ditolak ke tepi oleh Bakar.

“Aku tak bersalah. Aku dianiaya oleh orang atas. Aku juga sama macam hangpa. Ya Allah, tunjukkanlah kepada mereka,” ucap Karim. Di mulut sahaja. Di hati dia mula membaca mantera.

“Jangan nak tunjuk alimlah….” Kata Dahlan lalu mengambil kerusi. Kerusi kayu itu diangkat tinggi melepasi kepalanya. Dia bersedia menghentak kepala Karim dengan kerusi itu.

Budin cuba menghalang Bakar. Tetapi ditahan oleh Bakar.

Semua mata memandang Dahlan. Dahlan menghentak kerusi itu sekuat hati. Tetapi entah bagaimana kerusi itu terlepas dari tangannya. Tercampak ke deretan motosikal yang parkir di hadapan halaman Kedai Kopi Mail itu. Disusuli oleh bunyi derak tulang yang kedengaran kuat.

“Aduh!!!” Dahlan memegang ketiaknya. Dia dapat merasakan tulang bahunya lari dari soket sendi. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang menyentap keras tangannya tadi.

Semua yang berada di kedai kopi itu kehairanan.

“Aduh!!! Tolong aku Bakar. Sakit!!!” teriak Dahlan yang perlahan-lahan melutut.

Bakar mengambil kerusi lain. Menghayun kerusi itu sekuat-kuatnya. Kerusi yang dihayunnya itu terlepas dari genggamannya. Melayang ke arah tempat basuh pinggan. Patah bila bertembung dengan dinding di situ. Bunyi derak tulang kedengaran sekali lagi.

“Aduh!!!” Kali ini teriakan itu dari mulut Bakar. Bakar memegang-megang ketiaknya. Tulang bahunya lari dari soket sendi. Seperti Dahlan, dia juga dapat merasakan ada sesuatu yang menyentap keras tangannya tadi.

Kini Dahlan dan Bakar melutut di tanah.

“Aku tak bersalah. Aku dianiaya. Tengok Tuhan sudah tunjuk,” kata Karim kepada Dahlan dan Bakar.

Pengunjung-pengunjung kedai kopi itu segera mengerumuni Karim, Bakar dan Dahlan. Karim bangun dan berjalan ke arah Bakar.

“Maafkan aku Bakar sebab engkau jadi tempang. Aku juga dianiaya,” kata Karim.

Kemudian Karim pergi kepada Dahlan. “Maafkan aku Dahlan.”

Karim kemudian berjalan longlai ke rumah pusaka. Dahlan dan Bakar terus meraung kesakitan. Beberapa orang penduduk menghantar mereka ke hospital. Tetapi satu kejadian aneh berlaku. Bakar dan Dahlan yang melutut di tanah itu tidak dapat bangun. Badan mereka terasa amat berat. Walaupun dengan bantuan orang ramai mereka tetap gagal untuk bangun. Lutut mereka seolah-olah tertancap kukuh pada tanah.

“Kes berat ni,” kata salah seorang pelanggan kedai kopi itu.

Dahlan dan Bakar terus meraung sakit. Masing-masing dapat merasakan bahu mereka itu seperti sedang diramas keras oleh sesuatu.

“Ini ada kena mengena dengan Karim ni. Aku rasa seseorang harus pergi jumpa dia. Minta dia maafkan mereka berdua ni. Doa orang teraniaya cepat makbul,” kata seorang pelanggan kedai kopi yang lain.

Manan berlari ke rumah pusaka keturunan Haji Zainul. Memberi salam dan dijawab Mazlan. Setelah diberitahu apa yang terjadi di kedai kopi, Mazlan segera memanggil Karim yang sudah pun berada di tingkat atas rumah. Karim turun ke tingkat bawah. Manan beritahu apa yang sedang berlaku terhadap Bakar dan Dahlan. Lalu mereka bertiga bergegas ke Kedai Kopi Mail.

“Aku maafkan engkau berdua. Bangunlah,” kata Karim. Membaca mantera di dalam hati.

Barulah Bakar dan Dahlan boleh bangun.

“Maafkan kami Karim. Kami tuduh hang sembarangan,” kata Dahlan.

Karim mengangguk dan tersenyum. “Semua orang buat silap.”

Bakar dan Dahlan terus dibawa ke hospital.

Mulai dengan kejadian itu cakap-cakap pun bertebaranlah. Nama Karim perlahan-lahan jadi sebutan. Karim yang dulu dilabel kaki kelentong dan sebagainya itu kini bertukar status kepada orang yang teraniaya. Apa yang terjadi kepada Bakar dan Dahlan itu adalah buktinya. Doa Karim dimakbulkan Allah serta merta. Bakar dan Dahlan yang pulih berbaik semula dengan Karim. Mereka berdualah yang menyebarkan kepada bekas-bekas pelabur skim pelaburan Pak Lang bahawa Karim tidak bersalah. Malah Karim teraniaya seperti mereka.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin