Belum sempat Kalsum menjawab,
Hartini tiba-tiba bingkas bangun dari sofa, menarik kerusi malas berdekatan lalu melayangkannya ke arah Karim. Karim sempat tunduk. Kerusi malas itu menghentak
tingkap dan kemudian jatuh ke lantai.
Semua orang terkejut. Hartini
terus menerkam Fauziah. Mencekik leher Fauziah. Khalid cuba menarik tangan
Hartini tetapi tidak berjaya. Tenaga Hartini sekuat beberapa orang lelaki
dewasa. Fauziah bernafas tersangkak-sangkak. Matanya sudah terbeliak.
Mazlan dan Halimah kumat kamit
membaca ayat-ayat Al-Quran tetapi mereka dipandang sinis oleh Hartini. Hartini
terus mencekik leher Fauziah sambil tersenyum seram.
“Biar saya yang uruskan abang,”
kata Karim pada Khalid.
Khalid memberi kebenaran kepada
Karim. Karim kumat kamit membaca mantera lalu menghembus ke arah Hartini.
Hartini tumbang sepantas kilat. Cekakannya pada leher Fauziah terlerai. Dia
terbaring tidak sedarkan diri di kaki Fauziah.
Fauziah tersangkak-sangkak
menarik nafas supaya normal semula. Dia terbatuk-batuk sehingga air liurnya
bertali panjang lalu menitik di lantai. Lehernya berbirat merah kesan cekikan
Hartini. Khalid mengurut-ngurut belakang Fauziah. “Kenapa Tini, Karim?” tanya
Fauziah.
“Dia kerasukan kak. Sebab itu dia mampu lempar kerusi malas tu macam tu sahaja,” jawab Karim.
“Ambilkan abang air, Sum. Nak buat air jampi untuk Tini minum bila dia sedar
nanti.”
Kalsum berlari untuk mengambil
air.
“Apa yang merasuk Tini, Karim?”
tanya Fauziah.
“Susah nak cakap,” kata Karim,
bermain tarik tali.
“Hang cakap saja Karim. Beritahu
kak ni,” kata Fauziah lagi.
“Saya tak berani cakap,” jawab
Karim.
Karim melihat Hartini yang sedang
terlentang itu. Dia membaca mantera di dalam hati. Hartini bergerak
perlahan-lahan. Mulai sedar semula.
“Kak Fauziah, Abang Khalid duduk
di ruang tengah. Abang Mazlan dan Kak Limah pun duduk di ruang tengah. Dia
sudah jaga semula. Benda tu masih ada dalam badan dia,” arah Karim. “Sum letak
air tu di situ dulu. Nanti abang jampi. Nak keluarkan benda tu dari badan dia
dulu,” sambungnya, berkata kepada Kalsum yang tiba di ruang tengah dari dapur.
“Abang nak pergi mana?” tanya
Halimah kepada Mazlan bila melihat suaminya itu bergegas ke pintu.
“Abang nak pergi cari Ustaz
Yahya,” jawab Mazlan.
“Dia sudah balik ke dari rumah
anak dia?” tanya Halimah.
“Sepatutnya malam ni dia sudah
ada di rumah,” jawab Mazlan.
Halimah mengangguk. “Cepat
panggil Ustaz Yahya bang.”
Belum sempat Mazlan turun tangga,
Fauziah menegurnya, “Hang nak ke mana Mazlan?”
“Cari Ustaz Yahya kak,” jawab
Mazlan.
“Tengah-tengah malam macam ni?”
tanya Fauziah.
“Insyallah, dia tak kisah kak,”
jawab Mazlan.
“Karim pun boleh uruskan hal ni
bang,” kata Kalsum pula.
“Kalau ada Ustaz Yahya lagi baik
rasanya,” jawab Mazlan. Dia terus turun tangga tanpa menunggu lagi.
Hartini bangun dari baring. Duduk
bersila dengan kejap. Dia mengeliat-ngeliatkan leher dan badan. Bunyi tulang berderak-derak
kedengaran. Kemudian dia memejamkan mata dan duduk dengan gaya tersendiri.
Tangannya pada posisi seperti seorang sami Buddha sedang bermeditasi. Mulutnya
kumat kamit membaca mantera entah apa.
“Aku tak suka engko, celaka!
Pergi dari sini!!!” jerit Hartini. Jari telunjuknya lurus menunjuk Karim.
Karim tersenyum membalas makian
Hartini itu. Dia mula mengambil tempat. Bersila kejap di hadapan Hartini. Mereka berdua berjarak dua langkah sahaja.
Karim mengemaskan silanya.
“Bismi…” ucap awalnya dan terus tidak kedengaran lagi mantera seterusnya.
Hartini tiba-tiba menjadi garang.
Menderam dengan mata buas menikam pandangan Karim. “Celaka! Aku tak suka engko!
Pergi dari sini!”
“Siapa hang?” tanya Karim.
Hartini naik angin. Dihentaknya
telapak tangan pada lantai ruang sorong itu. Bunyi hentakan itu mengejutkan
semua. Sejurus selepas itu dia mula membuka bunga silat sambil terus menderam.
Sementara Karim membuka buah
silat juga. Kemudian dia duduk tegak menunggu serangan batin daripada Hartini.
Hartini melihat ke arah Karim dengan
pandangan yang begitu tajam dan riak muka yang amat bengis. Tidak lama kemudian
dia terus menarik tangannya mendekati ketiak lalu meluruskannya sepantas kilat
untuk melakukan jurus jarak jauh.
Serentak itu tangan Karim
bergerak pantas menepis jurus jarak jauh Hartini itu. Ditepisnya jurus jarak
jauh itu ke arah tingkap. Tingkap terbuka dan daunnya tergeleng-geleng menampar
dinding luar. “Hang jangan degil! Beritahu aku siapa hang?!” jerkah Karim
kemudian.
Hartini tersenyum sinis. Kemudian menderam lalu
kumat kamit membaca mantera sambil mengangkat tangannya tinggi ke udara.
Selepas itu dia pun menjatuhkan tangannya dengan laju. Menghentak lantai papan
sehingga bergema rumah pusaka itu. Menyebabkan Azlan yang tidur nyenyak di
bilik tidurnya terjaga. Serentak itu juga ada pusar angin yang menerpa ke arah
Karim. Bajunya terketar-ketar dan daun tingkap yang terbuka tadi semakin galak
menampar-nampar dinding luar. Karim berjaya menahan serangan batin Hartini itu
dengan menampan pusaran angin batin itu dengan kedua tapak tangannya.
Hartini yang melihat keadaan
Karim yang tidak apa-apa itu mulai ketakutan. “Pergi dari sini! Aku tak suka
engko! Jangan kacau aku!”
Karim tersenyum sinis. “Katakan
pada aku siapa hang?!” jerkah Karim.
“Pergi dari sini!!!” jerit Hartini.
“Hang degil ya. Hang masih tak
kenal aku siapa aku, ya. Nah rasakan!” kata Karim lantas terus kumat kamit
membaca mantera yang tidak dapat didengar lalu meniupkannya ke arah Hartini.
Hartini terhempas ke lantai.
Berguling-guling sambil memegang-megang lehernya.
“Apa dah jadi Karim?” tanya
Fauziah yang risau melihat keadaan Hartini. Dia bangun untuk mendapatkan
Hartini.
“Jangan ke mari kak. Yakin pada
saya. Saya bukan seksa Hartini. Saya dera benda yang ada dalam badan dia. Degil
sangat tetapi syaitan ni pasti mengalah,” kata Karim.
Hartini meronta-ronta keras.
Kedua-dua kakinya menghentak keras lantai. Matanya terbelalak berair. Air
liurnya keluar meleleh merayap ke dagu yang sebahagiannya mencari leher dan
sebahagiannya mencari lantai.
“Hang nak aku bunuh hang?!” tanya
Karim.
“Celaka engko!!!” lawan Hartini
walaupun kelihatan amat terseksa.
Karim kumat kamit membaca mantera
lalu meniupkannya ke arah Hartini.
Hartini meronta-ronta dengan
lebih kuat. Dia menjerit kesakitan lalu terpacullah dari mulutnya, “Tolong aku
tuan! Tolong aku tuan!”
“Siapa tuan hang? Cakap!!!” tekan
Karim.
Hartini terus meronta-ronta
kesakitan. “Tuan aku, tuan aku ialah…” Hartini melihat kea rah ruang tengah.
“Aku takut. Nanti dia dera aku.”
“Cakap!” balas Karim.
Mata Hartini sekejap ke ruang
tengah dan sekejap pada muka Karim.
“Hang ni memang degil! Hang
memang suka diseksa. Hang masih tak kenal siapa aku ya. Rasakan!” Karim
menggengam kesemua jari tangan kanannya dan membaca mantera pada kepalan jari
itu. Kemudian isi berupa mantera di dalam kepalan jarinya itu dilontar pada
Hartini.
“Aduh sakit!!! Tolong aku
tuan!!!” Kali ini pandangan Hartini terpacak pada Halimah.
Halimah tersentak bila dipandang
begitu oleh Hartini.
“Siapa tuan hang?! Cepat cakap!!!”
jerkah Karim lagi.
Hartini menahan sakit sehingga
keluar air matanya. “Aku takut!” balasnya dan sekali lagi memandang tepat ke
arah Halimah.
Halimah berasa tidak sedap hati.
Dia tertanya-tanya sudahkah Mazlan ke sini bersama Ustaz Yahya.
Di rumah Ustaz Yahya, Mazlan
sudah memberi salam untuk kali ketiga. Ketika dia berkira-kira hendak melangkah
pulang, salamnya itu dijawab oleh seseorang. Pintu dibuka dan Ustaz Yahya
tertegak di muka pintu.
“Ustaz, saya nak minta tolong.
Anak menakan saya kerasukan,” kata Mazlan.
“Kerasukan? Siapa? Di mana?”
tanya Ustaz Yahya.
“Anak Fauziah. Di rumah, ustaz,”
jawab Mazlan.
“Kalau macam tu kita pergi lekas,”
kata Ustaz Yahya lantas bergegas masuk semula ke dalam rumah dan kembali dengan
tongkat dan kain selempangnya.
Karim tahu Ustaz Yahya sedang
menuju ke rumah pusaka itu. Dia segera meneruskan rancangannya. “Cakap, siapa
tuan hang?”
Badan Hartini melentik dan
kemudian terhempas keras berulang kali. Akhirnya dia mengiring, melihat ke arah
ruang tengah. Kemudian dia menangis dan berkata, “Sakit tuan! Sakit tuan!”
“Siapa tuan hang?!” jerkah Karim.
Kali ini dia menarik nafas sehingga kedengaran deramnya.
Hartini terkebil-kebil hingga
nampak mata putihnya. Mulutnya mulai berbuih.
“Cakap!!!” jerkah Karim lagi.
“Aku akan tamatkan nyawa hang sekarang!”
“Maafkan aku tuan…” kata Hartini
tersekat-sekat. Lalu dia pun menyambung kata, “Tuan aku, dia!” Jari telunjuk
Hartini tepat ke arah Halimah.
Fauziah dan Khalid terkejut
besar. Begitu juga dengan Kalsum yang benar-benar tidak menyangka tuduhannya
selama ini kononnya benar. Kelima-lima pasang mata menikam muka Halimah.
Halimah yang paling terkejut,
terkedu dengan kata-kata Hartini itu. Belum sempat dia menjawab, Karim terlebih
dahulu bercakap.
“Siapa hang?” tanya Karim pada
Hartini.
“Aku saka keluarga dia. Dia tuan
aku sekarang,” kata Hartini lemah sambil menunjuk kea rah Halimah.
“Kenapa hang buat macam tu pada
Tini, Limah? Hang tak suka kami mai sini ka? Hang tak suka Kalsum duk rumah ni
ka?” tanya Fauziah yang beremosi.
“Apa kak cakap ni? Saya tak tahu
langsung pasal saka ni,” jawab Halimah.
“Saka tu dah pecahkan tembelang
Kak Limah. Kak Limah nak kata apa lagi? Sebab tu kak berani pujuk Abang Mazlan
supaya jangan jual tanah Permatang Tinggi tu kan?” Kalsum mula masuk campur.
“Apa yang hang kata ni Sum?”
balas Halimah dengan nada suara yang lembut.
“Hang nak bolot semua ke Limah?
Sampai hati hang!” tanya Fauziah dengan suara yang tinggi. Dia marah bukan
kepalang. Halimah dilihatnya dengan penuh kebencian.
Halimah tersentak. Hatinya
terhiris dengan kata-kata kakak iparnya itu. Dia yang tidak tahu hujung pangkal
itu mendapati dirinya diserang dari segenap penjuru.
“Cek tak sangka kak Limah sanggup
nak halau cek sekeluarga,” kata Kalsum bernada sayu.
Halimah sekejap tersentak dan
sekejap terpinga-pinga. Tidak faham dengan tuduhan-tuduhan liar ipar-duainya
itu. “Apa yang Sum dan Kak Fauziah cakap ni. Saya tak faham. Saya tak pernah
nak halau sesiapa dari rumah pusaka ni. Saya tak pernah nak bolot semua harta
arwah abah.”
“Habis tu kenapa benda Kak Limah
ni kacau kami?!” tanya Kalsum, mengherdik Halimah.
“Benda apa?” tanya Halimah.
“Hantu yang ada dalam badan Tini
tu,” jawab Kalsum selepas ketawa sinis.
“Kak tak membela hantu!” balas
Halimah, tegas. “Kak masih tahu halal haram dalam agama ni. Kak tahu akibat
syirik! Tak cium bau syurga!”
Kalsum ketawa menyindir lagi. “Sudah pecah tak
kan hendak mengaku…” katanya kemudian sambil menjuih mulut.
“Limah, cepat panggil hantu tu
keluar dari badan anak aku!” kata Fauziah.
Hartini terkebil-kebil matanya
dan badannya menggeletar. Kemudian dia rebah ke lantai. Kepalanya menghentak
kuat lantai. Dia menggelepar deras.
“Apa jadi pada Tini ni, Karim?”
tanya Khalid.
“Tuan dia suruh saka ni seksa
Hartini,” jawab Karim.
Hartini terus menggelupur macam
ayam baru lepas disembelih. Dadanya turun naik laju dan matanya terkebil-kebil.
Fauziah yang melihat keadaan
Hartini itu menangis semahu-mahunya. Dia melihat Halimah. “Jangan seksa anak
aku, Limah. Tolong, Limah…” katanya lalu menyembah Halimah.
Halimah yang tidak tahu apa-apa
ikut menangis. “Saya tak tahu apa-apa kak. Demi Allah saya tak tahu apa-apa
kak.”
“Jangan suka-suka hati bersumpah
dengan nama Allah, kak. Nanti makan diri!” marah Kalsum.
Halimah terus menitiskan air
mata.
“Keluarkan hantu hang tu Halimah!
Aku kata keluarkan hantu hang tu Halimah!” tengking Khalid.
Halimah ketakutan. Yang mampu
dibuatnya adalah menitiskan air mata.
Fauziah beralih kepada Karim.
“Tolong anak kakak Karim. Tolong Tini, Karim,” rayunya.
“Saya boleh tolong. Kalau saya
tarik benda itu, tuan dia pasti tumbang,” jawab Karim.
“Tarik cepat Karim. Tarik!” arah
Fauziah.
Azlan yang terjaga sudah berada
di muka pintu. Dia mendengar kebisingan dari tingkat atas. Terus naik tangga
dan kini berdiri di muka pintu. Sebaik sampai ke situ dilihatnya kekalutan yang
berlaku di ruang tengah dan sorong itu. Dia melihat Hartini yang menggelepar dan
tangis Fauziah dan ibunya. Anak tangga berkeriut dipijak orang. Azlan memandang
ke bawah. Abahnya dan Ustaz Yahya baru sampai.
Karim membaca mantera dan serta
merta Hartini tidak lagi menggelepar-lepar dan beberapa saat kemudian dia pun
pulihlah. Serentak dengan itu, di ruang tengah, Halimah yang bersimpuh sejak
tadi tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.
Mazlan dan Ustaz Yahya sampai di
tingkat atas.
“Hah Mazlan, sampai pun hang.
Bawak bini hang ke bawah. Aku tak nak tengok muka dia lagi!” marah Fauziah sebaik
melihat Mazlan.
Mazlan yang tidak tahu apa yang
berlaku tersentak dengan kata-kata Fauziah. “Apa yang terjadi ni, kak? Cek tak
faham,” katanya.
“Dialah punca semua ni! Hang tu
dah terkena dengan dia apa!” balas Fauziah.
“Apa kakak cakap ni?” tanya Mazlan.
“Sudahlah kak, abang, jangan
sebab Kak Limah ni kita adik beradik bergaduh,” celah Kalsum.
“Cepat bawa dia turun. Aku tak
nak tengok muka dia lagi!” jerit Fauziah.
Mazlan mencepung Halimah. “Apa
salah isteri saya ni kak?” tanya Mazlan.
“Dia bela hantu! Saka dia tu yang
kacau Tini. Hang tak faham lagi?!” marah Fauziah. “Nasib baik anak aku tak
mati!”
Ustaz Yahya dan Mazlan
beristighfar hampir serentak.
“Tak elok tuduh yang bukan-bukan,
Fauziah,” kata Ustaz Yahya.
Fauziah buat tidak dengar nasihat
Ustaz Yahya. Dia terus pergi mendapatkan Hartini. Memeluk anak sulungnya itu
dengan penuh kasih sayang. Hartini menangis dan Fauziah ikut menangis.
“Saya kenal isteri saya kak. Dia
takkan buat benda-benda syirik macam tu,” kata Mazlan.
“Takkan Kak Limah nak beritahu
abang…” kata Kalsum.
Mazlan memandang tajam Kalsum.
“Hang cakap baik-baik sikit Sum. Hang ada bukti? Tunjukkan aku bukti Kak Limah
ni membela.”
“Benda dalam badan Tini yang
mengaku tuannya Kak Limah,” jawab Kalsum, penuh yakin.
Mazlan menggeleng-gelengkan
kepala. Berasa meluat dengan jawapan Kalsum itu. “Hang tahu apa benda yang
merasuk Tini tadi?”
“Saka Kak Limahlah. Apa lagi?”
Kalsum menjawab. Nadanya melawan.
“Hang kenal saka tu?” tanya
Mazlan.
Kalsum diam.
“Kalau hang tak nampak, macam
mana hang percaya cakap dia? Kalau dia menipu?” tanya Mazlan.
“Sudahlah bang. Bawa sajalah Kak
Limah tu ke bawah. Nanti entah siapa lagi yang kena rasuk,” balas Kalsum.
Mazlan merah mukanya kerana
menahan marah dan terus beredar dari situ. Ustaz Yahya dan Azlan mengekorinya
turun ke tingkat bawah. Sementara Mazlan masuk ke dalam bilik tidur untuk
meletakkan Halimah di atas katil dan diikuti oleh Azlan, Ustaz Yahya pula ke
ruang tamu seperti yang diminta oleh Mazlan.
Halimah kembali sedar sebaik
badannya diletakkan oleh Mazlan di atas tilam di dalam bilik tidur mereka itu.
Badannya terus terbidas tegak sebaik melihat Mazlan dan terus memeluk erat
suaminya itu. Dia menangis di bahu suaminya itu.
“Mah tak salah bang…” kata
Halimah dalam nada yang amat menyayukan.
“Ya, ya, abang tahu,” jawab
Mazlan. “Mah rehat dulu. Abang nak pergi jumpa Ustaz Yahya sekejap. Dia
berseorangan di ruang tamu. Azlan, jaga ibu ya?”
“Ya, abah,” jawab Azlan dan terus
naik ke atas katil.
Halimah melepaskan pelukan dan kemudian
mengesat air mata.
Mazlan ke ruang tamu lalu berbual
dengan Ustaz Yahya.
“Apa pendapat ustaz?” tanya
Mazlan.
“Isteri engkau tak bersalah,”
kata Ustaz Yahya.
“Kenapa benda tu kata ia saka
isteri saya?” tanya Mazlan.
“Tipu daya syaitan, Mazlan. Kena hati-hati.
Ia sembunyi dalam terang dan menjelma dalam gelap,” jawab Ustaz Yahya.
“Habis tu benda tu siapa yang
punya?” tanya Mazlan lagi.
“Wallahu a’lam,” jawab Ustaz
Yahya. “Saya balik dululah Mazlan. Berdoa banyak-banyak. Insyallah, Allah akan
tunjukkan kebenaran,” sambungnya.
Mazlan mengangguk. “Baik, ustaz.
Terima kasih kerana datang sini. Maafkan saya jika ganggu tidur ustaz.”
“Tak ada apa-apa Mazlan. Pergilah
tengok Halimah tu,” balas Ustaz Yahya lalu bangun dari sofa dan terus menuju ke
pintu.
Ustaz Yahya pulang ke rumahnya.
Mazlan kembali ke bilik tidur.
Halimah menceritakan kepada Mazlan
semua yang berlaku sebaik suaminya itu keluar rumah untuk memanggil Ustaz Yahya
sehinggalah sebelum dia jatuh pengsan tadi.
“Abang, Mah tak pernah ada niat
setitik pun dalam hati ini hendak kuasai rumah pusaka dan tanah peninggalan
arwah abah,” kata Halimah. Dia sebak dan kemudian menangis tersedu sedan.
Mazlan memegang tangan isterinya.
“Abang faham. Maafkan kakak dan adik abang. Mereka berdua terlalu mengikut
perasaan. Sudah tak nampak yang mana benar dan tidak. Tambah-tambah lagi Si Sum
tu. Mulutnya bukan Mah tak tahu. Lancang,” katanya.
Halimah mengangguk. Tetapi dia
tidak dapat rela dengan tuduhan itu. Tuduhan itu terlalu berat.
“Mah bersabar ya,” kata Mazlan.
Halimah diam seketika. Dia
memandang wajah Mazlan. “Abang…” katanya sebak bila memikirkan peristiwa
beberapa hari sebelum arwah bapa mertuanya itu menghembuskan nafasnya yang
terakhir. “Mah rasa eloklah kita berpindah dari sini. Dan abang setujulah jual
tanah Permatang Tinggi tu. Itu dapat mematikan tuduhan adik beradik abang tu.”
“Mah sudah lupa pesan arwah
bapa?” tanya Mazlan yang berat hendak setuju dengan saranan isterinya itu.
“Mah ingat, abang. Tetapi keadaan
memaksa kita melupakan pesanan itu,” jawab Halimah. Air matanya bercucuran
lagi. Azlan memeluknya lalu menangis teresak bersamanya. Dia terkenangkan
semula peristiwa hari-hari terakhir sebelum kematian bapa mertuanya itu. Dia
ternampak bapa mertuanya yang berbaring lemah di atas katil itu menggamit
Mazlan dan dirinya. Terngiang di telinganya kata-kata bapa mertuanya itu,
“Hangpa berdua mesti tinggal di rumah ni tak kira apa jadi. Jangan sesekali
tinggalkan rumah ni. Jaga rumah ni elok-elok. Ini rumah pusaka. Di sekeliling
rumah ni dulu penuh pondok mengaji.” Beberapa orang tua di kampung ini yang
menziarahi bapa mertuanya ketika itu menjadi saksi akan peristiwa itu.
“Bagi abang masa untuk fikir. Hal
ni hal besar. Tak boleh terburu-buru buat keputusan. Sabar ya,” jawab Mazlan.
Halimah mengangguk. Dia tahu
Mazlan keberatan untuk menerima saranannya itu. Dia teringat Mazlan pernah
berkata kepadanya jikalau boleh, dia mahu mati di dalam rumah pusaka ini.
Diziarahi oleh orang-orang kampung yang datang membacakannya yasin sepanjang hari
sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Seperti yang berlaku kepada arwah
datuk dan abahnya. Dia mahu mengikuti jejak langkah mereka di hari-hari
terakhir menemui maut.