Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 18

Hari-hari kemudian tidak lagi sama seperti sebelumnya. Walaupun hubungan itu cuba diperbaiki tetapi tingkah laku Kalsum dan Fauziah yang kerap pulang sejak kejadian pada malam itu, mengeruhkan lagi hubungan di antara mereka. Sapaan dan huluran salam Halimah tidak disambut oleh dua beradik itu. Mereka melayan Halimah seperti orang luar walaupun di hadapan Mazlan. Mazlan sedar keadaan itu tetapi dia tetap tidak mahu berganjak daripada pendiriannya yang tidak akan sesekali keluar dari rumah pusaka itu dan menjual tanah di Permatang Tinggi.

Kedegilan Mazlan itu menaikkan kemarahan Karim. Rancangan mahu memiliki rumah pusaka itu masih terbantut. Dada Karim sakit bagai direntap-rentap. Geramnya bukan kepalang.

“Jika dia tak nak pergi cara begitu, aku akan guna cari lain,” kata Karim pada diri sendiri.

Karim tersenyum. Suka dengan rancangan jahat di dalam kepala. Dia berasa rancangan itu sempurna. Dia sudah nampak bagaimana gahnya rumah pusaka ini jika diubahsuai. Dia juga sudah terbau wang hasil penjualan tanah di Permatang Tinggi itu. Dia juga nampak orang tunduk hormat kepadanya.

Demi semua itu, maka pada malam itu juga dia melaksanakan rancangannya untuk menghalau Mazlan dari rumah pusaka itu. Hanya dia tinggal di tingkat atas rumah pusaka itu sekarang. Kalsum dan anak-anak mengikut Fauziah sekeluarga ke Kelantan untuk bercuti.

Malam itu malam bulan penuh. Burung hantu berbunyi satu-satu. Angin lumpuh. Karim bersila kejap di sebelah kiri ruang tengah itu. Memejamkan mata lalu membaca mantera sambil membayangkan wajah Mak Siti. Di dalam hatinya dia berkata, “Pakaikan aku wajah ini.” Dia meluruskan tangan membayangkan mengambil wajah Mak Siti. Menarik tangan lalu menyapu tapak tangannya itu pada mukanya. Pada pandangan batinnya dia nampak dirinya bermukakan Mak Siti.

Karim tersenyum lalu membuka matanya. Dia mengambil patung jerami yang diletakkannya di atas kain kuning di hadapannya sejak tadi. Dia membaca mantera sihir lalu meniupkannya pada patung jerami itu sambil membayangkan wajah Mazlan. Patung jerami itu diletakkan semula di atas kain kuning yang terhampar di hadapannya.

Karim membaca mantera lain pula. Di dalam mantera itu terselit nama penuh Mazlan berbinkan ibunya. Sebaik habis membaca mantera itu dia pun meludah ke arah patung jerami itu. Air liurnya berceretek mengenai patung jerami dan kain kuning itu.Lantas tangannya lekas menyentap kaki kiri patung jerami itu.

Di bilik tidur utama di tingkat bawah, Mazlan tersentak dari tidur. Dia berasa badan dan kaki kirinya itu direnjis air dan disentap oleh seseorang. Hatinya berdebar-debar lantas dia spontan memeriksa kaki kirinya. Kaki kirinya memang basah diperciki air. Dia ingin turun katil untuk memasang lampu bilik tetapi meraung sebaik menggerakkan kaki kirinya.

“Kenapa bang?” tanya Halimah yang terjaga kerana raungan Mazlan itu.

“Kaki abang rasa sakit sangat. Tersalah urat agaknya,” jawab Mazlan.

Halimah turun dari katil dan terus memasang lampu. Mazlan dilihat sedang mengurut-ngurut kaki kirinya sambil melihat ke arah hujung katil.

“Mana datang air ni Limah?” tanya Mazlan bila mendapati ada titisan-titisan air yang berceretek di atas kaki kirinya dan cadar.

Halimah ke hujung katil dan memeriksa. “Betullah bang. Ada air. Mana datang air ni?” kata Halimah dan terus memeriksa siling. “Nak kata ada bumbung bocor tak ada pun kesannya.” Dia ke tingkap lalu membukanya sedikit dan menyambung kata, “Lagi pun hari tak hujan.”

“Salah urat ni,” kata Mazlan yang terus mengurut-ngurut kaki kirinya itu.

“Mari saya urutkan,” kata Halimah.

Mazlan melepaskan tangan daripada kaki kirinya itu dan membiarkan pula Halimah mengurut kaki itu dengan minyak urut. Lega sedikit. Dia berpesan sesuatu kepada Halimah. Tidak lama kemudian mereka berdua tidur semula.

Pagi esoknya, Mazlan mula berjalan terhincut-hincut. Dia tetap pergi berniaga walaupun Halimah menyarankan agar berehat sahaja di rumah. Petang itu dia pergi berurut dan sakitnya itu tidak juga lega walaupun si tukang urut mengatakan urat-urat kaki kirinya itu sudah dibetulkan.

Mazlan berkeadaan begitu selama seminggu. Kaki kirinya itu kelihatan semakin membengkak. Dia sudah mengambil ubat urat di klinik. Tetapi sakitnya itu masih belum lega. Jika dilihat pada luarannya kaki kirinya itu kelihatan baik sahaja selain bengkak akibat bentan kata orang. Sudah malas ke klinik dia beli pula ubat di farmasi. Mula-mula ubat urat sahaja tetapi kemudian merebak pada ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit pula dari yang dos biasa ke dos yang paling tinggi. Ubat tahan sakit berdos paling tinggi itu mula-mula bertahan empat ke lima jam tetapi lama kelamaan bertahan hanya setengah jam.

“Macam mana bang? Kita ke hospital sahaja bang,” kata Halimah sebaik masuk ke dalam bilik di dalam kantin kilang itu.

“Tak mahulah…” jawab Mazlan. Sudah terlalu lama dia tidak ke hospital. Jika demam atau dijangkiti sebarang penyakit, jika tidak baik selepas makan ubat dari farmasi, dia akan pergi ke klinik sahaja. Hakikatnya dia jarang sekali jatuh sakit. “Nanti elok sendirilah ni…” sambungnya.

Halimah mengeluh di dalam hati. “Ubat tahan sakit dos paling tinggi pun dah tak berapa berkesan ni. Takut bukan sebab urat tapi sebab benda lain. Jomlah kita periksa di hospital.”

Mazlan menggeleng. Tiba-tiba dia terasa hendak terkencing.

Di tingkat atas rumah pusaka itu, Karim meneruskan rancangan jahatnya itu. Kalsum sedang sibuk di dapur. Dia berseorangan di dalam bilik tidur. Dia berbaring sambil mengurut-ngurut kelangkang patung jerami itu. ‘Kencinglah kamu, kencinglah kamu…” katanya perlahan-lahan.

Mazlan bangun dari duduk berjuntai di tepi birai katil.

“Nak ke mana bang?” tanya Halimah.

“Nak ke tandas. Tiba-tiba rasa nak buang air kecil,” jawab Mazlan.

Mazlan berjalan terhincut-hincut ke bilik air. Ditemani oleh seorang pekerjanya yang kebetulan mahu ke tandas juga. Mereka tidak ikut jalan hadapan tetapi jalan belakang untuk ke tandas.

Di dalam bilik tidur utama tingkat atas rumah pusaka yang berkunci dari dalam itu, Karim mula mengurut-urut kaki kiri patung jerami itu. Perlahan dia berkata kepada pendampingnya, “Pergi sekarang kepada dia. Tolak dia sampai jatuh. Masuk ke dalam badannya.”

Dua tiga langkah daripada sinki basuh pinggan di belakang kantin, kaki kiri Mazlan tersadung pada pertemuan dua lantai bersimen yang tidak sama ketinggiannya. Dia hampir tersungkur. Sempat memaut lengan pekerjanya walaupun lututnya nyaris menghentak lantai.

Karim menekan beberapa bahagian kaki kiri patung jerami itu sambil membaca mantera. Dia tersenyum sinis. Apa yang berlaku di kantin kilang Hume itu terpampang jelas dalam pandangan batinnya.

Mazlan bangun deras dan ketika itulah terdengar bunyi derak tulang kaki kirinya.

Dari mulut Mazlan terpacul kalimah Allah. Kakinya menggigil. Mukanya merona merah. Pekerjanya yang panik segera menjerit memanggil Halimah. Halimah dan pekerja-pekerja lain datang terburu-buru.

“Kenapa pak cik ni, Zali?” tanya Halimah kepada pekerjanya yang menemani Mazlan ke bilik air tadi.

“Pak cik tersepak tu. Nasib baik tak tersungkur. Sempat pegang tangan saya. Bila bangun bunyi macam tulang patah,” jawab Zali. Jarinya menunjuk ke arah pertemuan dua lantai yang tinggi rendah itu.

Halimah menyuruh pekerjanya yang lain mengambil kerusi. Pekerja itu bergegas masuk ke dapur dan kembali dengan kerusi plastik. Kerusi plastik itu diletakkan berdekatan Mazlan. Mazlan perlahan-lahan duduk sambil menahan sakit yang amat sangat. Kemudian pekerja-pekerjanya mengangkatnya ke tepi.

“Aku dahaga. Bagi aku air,” kata Mazlan. Muka dan lehernya kemerahan.

“Abang kan nak buang air kecil tadi?” tanya Halimah.

“Dah tak rasa nak buang air. Aku dahaga! Ambilkan aku air!” jawab Mazlan. Suaranya tinggi tiba-tiba. Matanya terjegil. Fiilnya itu berlainan daripada kebiasaan.

Halimah meminta Zali mengambil air minuman. Zali masuk ke dalam dapur dan datang semula dengan sebotol air mineral. Botol air mineral itu diserahkannya kepada Mazlan. Mazlan mengambilnya, membuka penutupnya dan meneguk air mineral itu dengan gelojoh sehingga habis basah leher dan kemejanya akibat air mineral yang meleleh.

Halimah berasa hairan dengan kelakuan Mazlan itu. Dia memandang Zali dan pekerja-pekerja lain. Mereka juga berasa pelik.

Mazlan mencampak botol air yang kosong itu ke lantai. Kemudian mengelap bibirnya dengan tapak tangan. “Ambilkan aku makanan. Cepat!”

“Pakcik nak makan apa?” tanya Zali.

“Nasilah bodoh! Pi ambik nasi. Bubuh lauk ayam. Sayur sekali. Nasi tambah.” jerkah Mazlan. Kemudian dia menoleh ke belakang. Menjegil ke arah pekerja-pekerjanya. “Hangpa duk tengok aku pasal apa?! Pi lah masuk dalam buat kerja!”

Pekerja-pekerja kantin itu baik lelaki dan perempuan bergegas masuk ke dalam dapur semula. Sambil buat kerja mereka berbual tentang kelakuan Mazlan yang berubah dengan drastik itu. Ada yang seram dengan jegilan mata Mazlan. Ada juga yang kata bulu roma mereka menegak sebaik tengok Mazlan tadi.

Zali memberi pinggan yang berisi nasi itu kepada Mazlan. Mazlan menyambutnya dengan kasar. Zali beredar ke bilik air. Halimah yang menemani Mazlan di situ kebingungan dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya itu. Mazlan makan dengan gelojoh. Cepat sahaja nasi dan ayam itu habis.

“Abang tak apa-apa ke?” tanya Halimah yang risau.

“Mah pi masuk dalam dulu. Biar abang duduk di sini sampai balik,” jawab Mazlan tanpa perasaan. Mukanya dingin sahaja.

“Kaki abang tu…”

“Abang tak apa-apa,” jawab Mazlan.

“Saya bawa abang ke hospital ya?” tanya Halimah.

Mazlan menjegil ke arah Halimah. “Abang tak nak pergi hospital! Abang tak biasa. Bukan Mah tak tahu!”

“Biarlah doktor periksa. Takut patah ke retak ke…”

Halimah berhenti bercakap sebaik Mazlan menjegil sekali lagi kepadanya. Memang sudah lain macam, detik hatinya. Selama hidup bersama Mazlan, suaminya itu tidak pernah menjegil begitu kepadanya.

“Bawak abang balik rumah saja nanti. Abang akan minta Karim ubatkan,” kata Mazlan.

Halimah lebih pelik dengan kata-kata suaminya itu. Kenapa tiba-tiba sahaja Karim yang diteringatkan oleh suaminya itu? Sedangkan dalam beberapa bulan ini hubungan mereka dengan keluarga Kalsum dan Fauziah amat dingin.

“Kita pergi hospital sajalah bang. Di hospital doktor…” Halimah terputus kata sebaik melihat Mazlan menjegil sekali lagi.

“Apa sudah jadi?” Satu suara tiba-tiba menegur dari jauh.

Halimah dan Mazlan menoleh ke kanan. Ah Seng, pengurus sumber manusia kilang Hume itu berjalan pantas ke arah mereka. “Kenapa Mazlan?” tanya Ah Seng yang baik sekali dengan Mazlan.

“Tak ada apa-apa, Ah Seng. Terseliuh sikit saja,” jawab Mazlan.

“Betul ke terseliuh saja Halimah?” tanya Ah Seng.

Halimah terkulat-kulat. Tidak menjawab pertanyaan Ah Seng itu.

“Saya sudah panggil ambulan. Nanti ambulan datang hang kena pi hospital, Mazlan. Biar doktor periksa,” kata Ah Seng yang mendengar berita Mazlan tersadung lantai tak sama tinggi itu sehingga terdengar bunyi derak tulangnya daripada seorang kerani yang datang membeli teh ais bungkus di kantin itu tadi. Kerani itu pula dapat berita itu daripada salah seorang pekerja Mazlan.

“Tak payahlah. Aku balik rumah saja nanti. Adik ipar aku boleh ubatkan,” jawab Mazlan.

“Haiya, Mazlan. Pergi berubat moden dulu ma. Kalau tak lega baru berubat kampung,” balas Ah Seng.

Mazlan membatu sahaja. Tidak puas hati dengan Ah Seng. Dia mati-mati tidak mahu ke hospital.

Siren ambulan kedengaran sayup-sayup. Semakin lama semakin mendekat pula.

“Mah, ambik kereta. Bawa abang balik sekarang!” kata Mazlan kepada Halimah.

Halimah serba salah. Ah Seng menggelengkan kepala, mengisyaratkan supaya dia tidak mengikut kata suaminya itu. Tetapi Halimah tetap ke garaj kereta. Dia membawa kereta dan sampai serentak dengan ambulan di kantin itu.

“Masukkan aku ke dalam kereta. Mah bawa aku balik,” kata Mazlan, cuba perlahan-lahan bangun.

Beberapa orang pekerja lelaki menolong Mazlan untuk bangun tetapi tidak berjaya. Mazlan meraung kesakitan lalu terduduk semula ke kerusi. Badannya berpeluh-peluh, muka dan lehernya pula merah kerana kesakitan.

Mazlan tetap mahu masuk ke dalam kereta melalui pintu di bangku penumpang hadapan yang sudah ternganga itu. Dia mencuba sekali lagi tetapi tetap tidak berjaya. Raung sakitnya semakin keras dalam usahanya untuk bangun dari kerusi. Hanya diam sebaik terduduk ke kerusi semula.

“Abang, kita pi hospital, ya,” pujuk Halimah yang sudah pun mengalirkan air mata.

Mazlan diam sahaja.

“Kita pi hospital ya bang,” pujuk Halimah lagi.

Mazlan menekan kedua tangannya pada pemegang-pemegang kerusi. Cuba melonjakkan dirinya untuk bangun. Tangan, badan dan kakinya terketar-ketar mengumpul kekuatan. Giginya mengetap, bercampur dengan aduh yang cuba ditahan keluar. Dia hampir berjaya berdiri tegak. Tetapi terduduk ke kerusi semula bila dirasainya seperti ada sesuatu yang menyentap keras tulang pinggulnya.

“Aduh!!!!!” jerit Mazlan. Jeritan ini paling kuat berbanding sebelumnya.

“Abang, kita ke hospital bang. Depa dah tunggu tu,” pujuk Halimah. Air matanya semakin bercucuran.

Mazlan tercungap-cungap sambil mengaduh. Muka, leher dan badannya lencun dengan peluh.

“Macam mana bang? Mahu atau tidak ke hospital. Kalau tak mahu kami nak balik,” gertak salah seorang paramedik.

“Mazlan, hang jangan takut dengan hospital. Tak ada apa-apa ma…” kata Ah Seng.

“Kita pergi ya bang?” tanya Halimah.

Mazlan mengangguk juga akhirnya. Dia dinaikkan di atas katil dengan sepantas kilat oleh paramedik dan pembantu-pembantu yang tidak mempedulikan raungannya. Kemudian dia segera pula dimasukkan ke dalam ambulan. Ambulan berlalu pantas dari situ dengan lampu siren yang menyala-nyala galak dan bunyi siren yang menyalak kuat.

Selepas melakukan imbasan x-ray, doktor mendapati tulang kering kaki kiri Mazlan itu patah. Selepas mendapat persetujuan, mereka melakukan pembedahan untuk menggantikan tulang kering yang patah itu dengan besi. Pembedahan dilakukan dan besi dimasukkan. Dia ditahan beberapa hari di wad. Halimah, Azlan dan Raudhah setia menemani.

Kalsum, Karim dan anak-anak mereka datang melawat mereka. Mereka datang sekali dengan Fauziah sekeluarga yang datang dari Shah Alam sebaik dimaklumkan tentang apa yang terjadi kepada Mazlan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah pusaka, mereka bersembang tentang kejadian yang menimpa Mazlan itu.

“Tersadung tu punca sahaja kak. Tetapi benda apa yang buat Abang Mazlan tersadung? Cek rasalah kak, ini semua angkara saka Kak Limah tu,” kata Kalsum, memfitnah.

“Kenapa Limah nak buat macam tu pada Mazlan? Kalau dia nak buat tentu dia tuju kita ni dulu,” jawab Fauziah.

“Benda ni kak,” Karim bersuara tiba-tiba. Dia berhenti sekejap. Semua mata memandang ke arahnya termasuk Khalid yang menoleh sekejap. “Bila sampai masa kena bagi korban. Selalunya orang-orang terdekat dululah yang kena.”

“Tergamak Limah!” marah Fauziah.

“Tapi doktor kata patah tulang saja,” kata Khalid yang memandu.

“Saya tak rasa macam tu bang. Sebelum tu Abang Mazlan sudah jalan terhincut-hincut,” jawab Karim.

“Cek ada tanya pasal tu pada Abang Mazlan beberapa hari lalu. Dia kata kakinya seperti disentap ketika tidur. Lepas tu macam ada orang renjis dengan air pula. Basah kaki dan cadar. Siapa yang renjis? Kak Limahlah yang renjis. Dia kan tidur sebilik dengan Abang Mazlan,” tambah Kalsum.

Fauziah melepaskan keluh. “Kasihan Mazlan. Apa kita nak buat sekarang?”

“Kita tunggu Abang mazlan sembuh dulu kak. Bila dia balik ke rumah semula, saya akan cuba tengokkan,” jawab Karim.

“Hang tak tengok tadi Karim?” tanya Fauziah lagi.

“Tak boleh kak. Nanti bergaduh dalam wad nanti. Tak mungkin Kak Limah dan saka dia nak diam saja,” jawab Karim.

Sebaik Kalsum dan Fauziah sekeluarga pulang, Mazlan berasa kaki kirinya itu semakin sakit terutamanya di bahagian sambungan di antara besi dan tulang. Dapat dirasakannya hujung besi itu seperti merodok hujung tulang yang bersambung dengannya.

“Aduh!!!” Mazlan mengaduh.

“Kenapa bang?” tanya Halimah yang melepaskan sudu teh lalu menumpukan perhatian kepada Mazlan. Dia sedang membancuh kopi O panas untuk Mazlan tadi.

Mazlan mengaduh sahaja. Air mata terbit dari tubir mata lalu mengalir membasahi pipi.

“Ngilu ke bang?” tanya Halimah.

“Bukan. Tapi sakit Mah. Rasa macam besi tu rodok tulang abang,” jawab Mazlan lalu mengaduh panjang lagi. “Allah…” sambungnya mengingati Allah.

Halimah segera memanggil jururawat. Seorang jururawat datang.

“Biasalah pakcik kalau ngilu dan sakit. Tetapi sekejap sahaja. Nanti okeylah,” kata jururawat tu.

“Tapi dik, pakcik rasa macam besi tu rodok tulang,” beritahu Halimah.

Jururawat itu berfikir sejenak.

“Boleh tak panggilkan doktor?” tanya Halimah.

Jururawat itu pergi ke kaunter. Membuat panggilan telefon. Doktor yang bertugas di wad ortopedik datang. Beberapa doktor datang kemudian selepas dipanggil oleh doktor yang paling awal memeriksa Mazlan itu. Akhirnya para doktor itu membuat keputusan untuk melakukan semula imbasan x-ray pada kaki kiri Mazlan itu. Mereka juga melakukan imbasan Gema Pengimejan Magnetik atau MRI.

Keputusan imbasan x-ray dan MRI yang terbaru memberikan keputusan yang mengejutkan. Tulang peha kaki kiri Mazlan pula disahkan patah. Patahnya bukan patah biasa tetapi patah banyak. Tulang pehanya itu seperti mereput. Besi yang menggantikan tulang kering merodok tulang peha itu.

Para doktor segera melakukan biopsi. Hasil biopsi memberi keputusan bahawa Mazlan mengidap kanser tulang tahap empat. Diagnosis awal bahawa ia kes tulang patah biasa tidak terpakai lagi.

“Allah…” Apalagi yang mampu diucapkan oleh Halimah sebaik mendengar hasil keputusan biopsi itu daripada doktor yang bertanggungjawab memantau Mazlan itu.

“Bersabarlah puan. Banyak berdoa kepada Allah,” kata doktor itu memberi nasihat.

Halimah mengangguk. Apa lagi yang mampu dibuatnya selain reda di atas ketentuan Allah SWT. Tetapi air matanya tetap mengalir juga.

Reda satu hal tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Satu pembedahan pemindahan tulang titanium bagi menggantikan tulang yang reput itu harus dilakukan segera. Hal ini membawa masalah baru. Masalah yang hangat dibincangkan antara Halimah, Fauziah dan Kalsum di katil Mazlan di wad ortopedik itu.

“Limah, kak rasa eloklah dibawa Mazlan ni ke hospital swasta. Rawatan di sana jauh lebih baik berbanding hospital kerajaan. Biarlah kita bergolok bergadai asalkan mendapat rawatan dan kemudahan yang terbaik. Agar tak ralat di kemudian hari,” kata Fauziah.

“Betul tu Kak Limah,” tambah Kalsum.

Mata Halimah pada Mazlan. “Abang, kita ke hospital swasta ya?”

Mazlan membisu.

“Kenapa hang tak nak Mazlan? Jangan putus asa. Putus asa serupa bunuh diri. Selagi boleh kita mesti usaha Mazlan,” marah Fauziah.

“Rawatan di sini pun elok kak,” jawab Mazlan.

“Abang takut kos rawatan tu?” tanya Kalsum.

Mazlan tidak menjawab.

Kalsum menyambung kata, “Jual tanah Permatang Tinggi tu. Tentu dapat tampung kos rawatan tu. Berapa kos rawatan di hospital swasta kak?” Matanya pada Fauziah.

“Ratus ribu. Mungkin dua ratus ribu. Mungkin juga lebih,” jawab Fauziah.

“Cek tak ada duit sebanyak tu kak,” jawab Mazlan. Pandangannya pada Fauziah. Harap Fauziah mengerti kerana simpanannya sudah habis dipinjamkan kepada Fauziah.

“Kak pun tak ada duit nak tolong hang Mazlan. Bayaran untuk projek Abang Khalid pun belum dapat lagi,” kata Fauziah.

“Kita dapatkan rawatan di hospital swasta ya bang?” pujuk Halimah terus.

Mazlan diam, fikirannya tengah menimbang-nimbang.

“Jual sahajalah tanah Permatang Tinggi tu bang. Abang terdesak sangat ni. Takkan tak nak dapatkan rawatan terbaik sedangkan duitnya abang boleh dapat. Tanah tu tidak boleh bawa mati bang,” kata Kalsum, memegang tangan Mazlan, air mata buayanya menitis.

“Betul tu Mazlan,” kata Fauziah. “Lagipun bolehlah Limah dan anak-anak hang merasa duit tanah tu juga kalau…” Dia tidak jadi meneruskan kata-kata. Tidak sanggup hendak menyatakan kemungkinan Mazlan menemui ajal.

Mazlan tersenyum. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Fauziah. Ia berkaitan dengan status tanah itu. Sesiapa yang meninggal awal berbanding adik beradik yang lain, warisnya terbatal hak ke atas tanah itu. Status begitu dipanggil ‘pulang seorang balik seorang’. Maknanya jika dia meninggal dunia dahulu berbanding Fauziah dan Kalsum, Halimah dan anak-anaknya tidak akan dapat sesen pun dari hasil penjualan tanah itu nanti. Di saat-saat menghadapi ujian begini, dia tahu sepatutnya bukan soal tanah itu yang harus difikirkannya. Setelah ditimbang-timbang, dengan rasa yang bersalah yang amat sangat, dan kerana untuk mendapatkan rawatan terbaik, dia mengambil keputusan untuk menyetujui cadangan Fauziah dan Kalsum itu. Dia nekad akan beli tanah lain untuk menggantikan tanah Permatang Tinggi itu. Walaupun mungkin tidak akan dapat seluas tanah Permatang Tinggi itu tetapi sekurang-kurangya ada.

“Bagaimana Mazlan? Kena buat keputusan lekas. Takut kawan kakak tu berubah hati tak nak beli tanah kita tu nanti. Kalau hang setuju, la ni kakak hubungi dia. Beberapa hari dapatlah hang duit untuk buat rawatan di hospital swasta,” kata Fauziah.

Mazlan menganggu beserta dengan air mata. Dia berasa bersalah dengan arwah abahnya.

Kalsum terlopong tetapi segera tersenyum lebar. Dia memandang Karim dan suaminya itu tersenyum memandangnya. Mereka akan jadi orang kaya semula. Memang dia tidak menyangka Mazlan akan bersetuju. Sakit Mazlan adalah satu rahmat bagi mereka. Tentunya bukan dia dan Karim sahaja yang berasa begitu tetapi Fauziah dan Khalid juga yang ceria muka.

“Jadi hang setuju Mazlan?” tanya Fauziah, mahu memastikan.

“Ya, jika itu yang terbaik,” jawab Mazlan dengan nada perlahan. Dia mencari tangan Halimah dan memegangnya erat. Halimah membalas dengan penuh kasih sayang.

Kalsum menjerit di dalam hati. Mahu sahaja dia melompat riang di situ. “Memang itulah yang terbaik bang,” ucapnya penuh lembut dan sayu sambil menyembunyikan kegirangan di dalam hati.

Geran sudah bertukar milik. Duit sudah bertukar tangan. Segalanya dilakukan dengan amat pantas. Malah pembeli memberikan wang sebelum proses tukar nama selesai. Fauziah berjaya mendesak kawannya itu membayar dengan segera. Alasannya khuatir jika Mazlan berubah fikiran secara tiba-tiba.

Mazlan dipindahkan dari hospital kerajaan ke hospital swasta. Pembedahan pemindahan tulang titanium berjaya dilakukan. Tetapi dia masih tidak dibenarkan keluar wad beberapa lama selepas pembedahan itu. Sekumpulan doktor memantaunya dari masa ke semasa. Ujian demi ujian dilakukan. Ada sesuatu yang menghairankan mereka. Mereka tidak pasti kanser tulang yang menyerangnya itu primer atau sekunder. Simptom yang ada pada tulang yang mereput itu menunjukkan ia sekunder. Tetapi mereka tidak nampak kanser itu merebak dari organ yang lain. Jika ia primer simptomnya tidak tepat pula – imbasan x-ray tidak menunjukkan adanya seperti sinar matahari pada bahagian kanser itu.

Selepas beberapa hari menjalani pembedahan, kesihatan Mazlan merudum dengan mendadak. Suhu badannya naik mengejut. Dia demam panas. Perutnya juga sakit, kepalanya seperti migrain dan kulit pada tapak kakinya mengelupas dan merekah sehingga berdarah.

Kenapa? Jawapannya pada Karim yang melaksanakan rancangan keduanya itu.

“Rancangan pertama sudah selesai. Sekarang rancangan seterusnya,” kata Karim pada dirinya sendiri sambil tersenyum memandang patung jerami itu.

Semua bahan sudah disediakan. Lilin, jarum peniti, cuka getah dan kaca terletak kemas di hadapannya. Karim yang bersila santai mula membaca mantera selepas menyalakan lilin. Mengambil patung jerami di sisinya itu lalu perlahan-lahan melayurkannya pada api lilin. Dia menariknya bila merasa patung jerami itu sudah berbahang. Keadaan Mazlan terimbas di hadapannya. Mazlan mulai berasa gelisah kerana kepanasan. Kemudian Karim mengambil jarum peniti dan menyucuknya melalui atas kepala sehingga tembus ke dubur patung jerami itu. Tidak lama kemudian dia melihat muka Mazlan yang berkerut-kerut. Mazlan sekejap memicit-micit kepala dan sekejap menekan-nekan perut. Migrain dan sakit perut mula menyerang Mazlan. Kemudian Karim mengambil pula cuka getah yang diletakkan di dalam sebuah bekas. Direndamnya tapak kaki patung jerami itu di dalam cuka getah tersebut. Di hospital Mazlan mula merasa tapak kakinya berbahang dan kemudian kulitnya mengelupas. Selepas beberapa hari tapak kaki itu akan merekah dan menerbitkan sedikit darah dari masa ke semasa. Yang terakhir Karim mengambil kaca dan melumurkannya pada seluruh badan patung jerami itu. Mazlan yang sudah terseksa kerana kepanasan, migrain, sakit perut, mengelupas dan merekah tapak kaki sehingga berdarah, kini mulai merasa bisa-bisa pada badannya.

Sejak itu, setiap malam, Mazlan pasti meracau sehingga tercabut jarum yang menyambungkan badannya dengan antibiotik dan lain-lain yang tergantung di dalam beg-beg lutsinar di sisi katilnya. Dia jarang bercakap sekarang. Malah sentiasa memejamkan mata. Benar-benar tidak berdaya dan keletihan.

Akhirnya, salah seorang doktor melayu yang baru mengambil alih tugas memantau Mazlan itu bersuara.

“Puan, saya rasa elok juga kalau kakak bawa abang berubat cara alternatif. Pergi dapatkan rawatan Islam,” kata doktor melayu itu.

“Kenapa doktor?” tanya Halimah.

“Sebenarnya kami sendiri sangsi dengan penyakit abang ni. Nampak macam kanser tulang tetapi pelik,” jawab doktor itu.

“Apa yang pelik?” tanya Halimah.

Doktor itu menerangkan dua jenis kanser itu – primer dan sekunder itu. Kemudian menyimpulkan, “Tak tahu kanser yang menyerang abang ni kanser sekunder atau primer. Lagipun semakin hari nampaknya semakin merosot kesihatan abang ni. Jika perubatan moden tidak berjaya, mungkin jawapannya ada pada perubatan Islam.”

“Doktor kenal mana-mana pengamal perubatan Islam?” tanya Halimah yang semakin risau bila mengetahui penyakit suaminya itu misteri bagi perubatan moden.

“Saya tidak tahu puan. Tetapi eloklah puan cari sementara masih ada waktu. Kalau benar kanser ia sudah di tahap empat. Selalunya di tahap begini hayat pesakit tidak bertahan lama,” balas doktor melayu itu.

Halimah mengangguk. Doktor melayu itu berlalu dari pintu bilik itu. Halimah memandang Mazlan yang terpejam matanya itu dengan penuh sayu. “Ya Allah, kuatkanlah hamba-MU ini dalam menempuh dugaan-MU.”

Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin