Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 10


Jam dinding berdenting. Jarum jam menunjukkan sekarang tepat pukul 12 tengah malam.

Di Klang, Mak Siti meneruskan rancangan untuk menghapuskan Habshah pada malam itu juga. Dia mengambil patung jerami. Terus membaca mantera sambil memejamkan mata. Dia membayangkan Habshah sebagai patung jerami itu. Tangannya menjalar pada patung jerami itu. Dia menekan pada leher patung jerami itu sambil membaca mantera khas dengan niat mahu membisukan Habshah.

Di Pulau Pinang, Habshah tersentak dari pukau. Dia terbidas bangun sehingga mengejutkan Bibik Aminah yang baru hendak mendirikan solat isyak. Habshah berasa lehernya seperti baru ditekan keras oleh seseorang. Dia cuba bersuara tetapi suaranya tidak keluar.

“Kenapa puan?” tanya pembantu rumah itu.

Habshah cuba bersuara untuk memberitahu apa yang sedang dirasainya. Tetapi suaranya tidak mahu keluar.

Bibik Aminah segera ke ruang tamu untuk memanggil semua yang ada di situ. Mak Siti menggerakkan tangannya pada dada patung jerami itu pula. Dia menekan-nekan patung jerami itu dengan ibu jari dan jari telunjuk.

Habshah menjerit tanpa suara. Dadanya terasa seperti dirobek sesuatu. Pedihnya tak tertanggung. Dia dapat merasakan sesuatu sedang menembusi dada dan belakang badannya. Badannya terhempas ke tilam. Tangannya meraba-raba dada lepernya yang sedang sakit itu. Dia menggeliat dan meronta-ronta.

Pada ketika yang sama, di dalam rumah berdekatan masjid, Ustaz Yahya yang tidur selepas solat isyak, terbangun mengejut. Dia beristighfar sambil mengurut dada. Dia mendapat alamat sesuatu yang buruk sedang berlaku di rumah pusaka keturunan Haji Zainul. Dia lekas bersiap dan kemudian terus berjalan laju ke rumah pusaka itu.

Salim terkejut melihat keadaan Habshah. Dia berdiri di sisi Habshah lalu memejamkan mata. Dia nampak jari-jari yang sedang menembusi bahagian depan dan belakang dada patung jerami. Tetapi bila diimbas untuk melihat pelakunya, imej yang dilihatnya kabur sahaja.

Salim agak tersentak melihat keadaan patung jerami itu. Tidak dinampaknya benang atau paku atau lilin atau cuka atau apa sahaja pada patung jerami itu. Ia semata-mata patung jerami. Maka sedarlah dia bomoh yang dihadapinya ini memang bukan calang-calang. Dia bukan sahaja menggunakan jin untuk mencapai maksudnya tetapi juga punya ilmu makrifat hitam. Boleh menyeksa malah mematikan sesiapa tanpa perantaraan barang-barang seperti benang, paku, lilin, cuka dan sebagainya.

Salim membaca ayat 81 dan 82 surah Yunus lalu meniupkannya pada Habshah. Habshah sedikit tenang.

Mak Siti pula berasa ibu jari dan jari telunjuknya kebas sedikit. Tahulah dia Salim sedang cuba menawarkan sihirnya. Dia sudah menilik kemampuan Salim awal-awal tadi. Memang berisi tetapi tidak setanding dirinya. Dia terus mahu menyeksa Habshah dengan disaksikan oleh saka keturunan Habshah itu. Saka itu tersenyum dan ketawa sehingga hilaiannya memenuhi ruang rumah pusaka itu. Dia menggerakkan pula kedua jarinya itu ke kaki patung jerami itu.

Salim memagar dirinya dengan ayat 84 surah An-Nisa’ dan ayat 64 surah Yunus. Kemudian dia berzikir dengan kalimah tauhid lailahaillallah lalu memejamkan mata. Dia menggunakan kaedah tepuk. Menjurus dari jauh untuk menghancurkan patung jerami itu. Patung jerami itu kekal begitu. Tidak terkesan sedikit pun.

Mak Siti menekan kaki kiri patung jerami itu. Bermula dari paha hingga ke pergelangan kaki. Habshah di Pulau Pinang mengerang tanpa suara. Hanya bunyi derak-derik kaki tulangnya yang patah sahaja yang kedengaran.

Halimah panik. Air matanya bercucuran lebat. Begitu juga dengan Bibik Aminah. Kalsum mengepung mulut sambil menahan air mata keluar. Mazlan juga tidak tahu hendak membantu apa. Hanya mampu membaca ayat-ayat Al-Quran yang lazim dan terus berdoa kepada Allah mudah-mudahan Habshah selamat daripada sihir yang kejam itu. Salim cuba membantu sedaya upaya. Dia nampak hanya satu jalan. Habshah hanya boleh diselamatkan jika bomoh yang menyeksanya itu tumbang.

Salim terus berzikir di dalam hati dan memejamkan mata. Imej kabur bomoh itu terpampang lagi dalam pandangan batinnya. Dia cuba memeriksa pendamping-pendamping bomoh itu. Dia mendapat melihat dengan jelas pendamping-pendamping itu melindungi bomoh tersebut di empat penjuru. Kemudian dia memeriksa tahap ilmu bomoh tersebut dengan sepantas kilat. Sahlah bomoh yang dihadapinya ini seorang yang amat tinggi ilmu hitamnya.

Mak Siti tersenyum. Dia sedar Salim sedang mengimbasnya. Kali ini dibiarkan sahaja dirinya diimbas Salim. Dia mahu lawannya itu tahu betapa hebat ilmu hitam yang dimilikinya. Dia mahu Salim berundur tanpa melawan. Tetapi mengikut firasatnya Salim tidak sedia berundur. Dia mengarahkan pendamping-pendampingnya itu untuk bersiap sedia. Dia sendiri sudah melindungi dirinya dengan mantera. Dia akan habiskan Salim jika pemuda itu mengganggu-gugatnya. Tumpuannya masih pada Habshah. Dia mesti melunaskan janjinya pada saka itu. Sekarang adalah masa yang terbaik untuk menunaikan janji itu. Dia sukakan Habshah tetapi dia lebih sayangkan saka itu.

Mak Siti menjalarkan ibu jari dan jari telunjuk pada kaki kanan patung jerami pula. Dia menekan kedua-dua jari itu bermula dari pangkal peha menurun ke pergelangan kaki. Habshah meraung-raung tanpa suara. Sejurus kemudian bergemalah bilik Raudhah itu dengan derak-derik tulang patah. Semua orang diserang panik. Tidak ada daya untuk membantu. Mereka hanya mampu melihat Habshah meraung tanpa suara sehingga badannya melentik-lentik, tangannya yang menggenggam kuat cadar dan air matanya yang terus-terusan mengalir membasahi pipi. Kini tangan Mak Siti menjalar naik pula. Melepasi lutut, peha, perut dan kini kembali pada dada patung jerami itu. Habshah segera meraba-raba dada bila merasai dadanya sedang dipegang sesuatu.

Mengikut apa yang dipelajarinya, Salim tahu cara untuk menumbangkan bomoh tersebut ialah dengan menghapuskan dahulu pendamping-pendampingnya. Salim segera membaca ayat Kursi dengan niat untuk membakar keempat-empat pendamping bomoh itu. Pagar sekeliling rumah bomoh itu perlahan-lahan berjaya ditembusi.

Mak Siti tersentak bila mengetahui pagar kukuhnya yang selama ini hanya mampu ditembusi oleh seorang dua, kini berjaya pula ditembusi oleh Salim. Dia terlalu memandang rendah kepada Salim. Budak hingusan itu rupa-rupanya mampu mencabarnya.

Mak Siti melepaskan patung jerami. Tumpuannya kini kepada Salim. Habshah tidak lagi merasai sesuatu sedang menekan dadanya. Mak Siti membaca mantera lalu menghembuskannya pada imej Salim yang terpampang dalam pandangan batinnya. Salim dapat merasakan kedatangan angin sihir itu kepadanya. Dia membaca ayat pelindung dan pemusnah sihir iaitu ayat 84 surah An-Nisa’ bersama surah ayat 64 surah Yusuf dan ayat 81 serta 82 surah Yusuf. Angin sihir yang besar itu sebahagiannya berjaya juga menembusi pendinding itu. Sebahagian angin sihir yang terlepas itu berjaya dikecilkan oleh ayat pemusnah sihir tetapi tidak sampai menghapuskannya. Akhirnya ia kena juga pada Salim. Serentak dengan itu Salim terbatuk kecil dan kemudian keras sehingga memuntahkan darah.

“Salim, hang tak apa-apa?” tanya Mazlan.

Salim mengangguk kerana berasa masih mampu melawan Mak Siti. Dia mengesat bibir yang berlumuran darah.

Mak Siti ketawa besar. “Engkau berempat pergi serang budak tu. Kerjakan dia cukup-cukup!” Dia kembali mengambil patung jerami.

Salim diserang oleh pendamping-pendamping Mak Siti. Dia cuba bertahan.

Di luar rumah pusaka itu kedengaran suara orang memberi salam. Mazlan mengarahkan Karim melihat siapa yang datang. Azlan tanpa disuruh menemani Karim ke ruang tamu. Karim melihat dari lubang pintu. Ustaz Yahya di balik pintu. Dia menggelabah dan terus kembali ke bilik Raudhah memberitahu kedatangan Ustaz Yahya. Lantas Karim bergegas ke tingkat atas. Dia tidak sepatutnya dilihat oleh orang kampung. Azlan yang tidak berganjak di pintu terus sahaja membuka pintu itu sebaik dilihatnya Karim menghilang. Mazlan sampai ke ruang tamu sejurus kemudian.

“Assalammualaikum, Mazlan dan Azlan,” ucap Ustaz Yahya.

“Masuk, masuk, ustaz,” kata Mazlan.

Ustaz Yahya masuk lalu mengusap ubun-ubun Azlan dengan penuh kasih sayang. “Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” tanya Ustaz Yahya.

Mazlan terkejut dengan pertanyaan itu.

“Siapa di dalam selain hang?” tanya Ustaz Yahya.

“Kawan saya,” jawab Mazlan.

“Bagaimana keadaannya?” tanya Ustaz Yahya.

Mazlan yang kehairanan menjawab juga, “Saya tak tahu. Ustaz tengok sendiri. Dia ada di dalam bilik. Sedang bertarung dengan bomoh yang menyihir adik ipar saya. Ikut saya Ustaz.”

Ustaz Yahya mengangguk-angguk. Kemudian terus mengekori Mazlan ke bilik Raudhah. Mereka sampai ke dalam bilik Raudhah itu. Ustaz Yahya tidak masuk terus ke dalam bilik Raudhah itu. Dia berdiri beberapa ketika di ambang pintu sebelum masuk. Sebaik masuk dia mendapat bayangan apa yang sudah dan sedang berlaku di situ dengan izin Allah SWT.

Mak Siti sudah bersedia hendak mengambil nyawa Habshah. Dia menekan dada patung jerami itu dengan ibu jari dan jari telunjuknya. Habshah tersangkak-sangkak nafas dan meronta-ronta kesakitan. Mak Siti membayangkan dia sedang meramas jantung Habshah. Sementara Salim yang bersila kejap tadi mula terhoyong hayang dan tak lama kemudian tumbang. Dia cuba bangun semula tetapi tumbang sekali lagi dan tidak sedarkan diri.

Ustaz Yahya membaca Al-Fatihah. Suaranya kedengaran di rumah Mak Siti. Patung jerami terlepas dari tangan Mak Siti lalu terbakar dan musnah. Keempat-empat pendampingnya terpelanting dari rumah pusaka keturunan Haji Zainul dan merekot kesakitan di dalam bilik khasnya. Mak Siti pula berasa badannya panas dan bisa. Dia perlahan-lahan baring dan mengerang kesakitan.

Selepas dapat menumbangkan Mak Siti dan menghalau pendamping-pendamping Mak Siti, Ustaz Yahya menumpukan perhatiannya kepada Habshah dan Salim. Dia membaca Al-Fatihah, tiga kul dan ayat kursi disertakan niat meminta bantuan Allah SWT untuk memulihkan mereka berdua. Kedua-duanya berjaya dipulihkan dengan izin Allah SWT. Salim tersedar semula dan Habshah tenang semula.

Ustaz Yahya meletakkan tapak tangannya pada dada Salim dan kemudian membaca doa pembatal sihir. Salim berasa dadanya yang sakit itu bernasur-ansur pulih.

“Alhamdulillah, sihirnya tidak kena semua walaupun tepat. Jika tidak hanya Allah SWT sahaja yang tahu akibatnya,” kata Ustaz Yahya.

Salim memegang tangan Ustaz Yahya. “Terima kasih, kiyai.”

Ustaz Yahya tersenyum. “Hanya kepada Allah SWT kita meminta bantuan dan berserah.”

Salim mengangguk mengerti.

Ustaz Yahya bangun lalu mendekati katil. Halimah, Bibik Aminah dan Kalsum menangis melihat keadaan Habshah itu.

“Ustaz, tengokkan adik saya ni Ustaz,” rayu Halimah.

“Insyallah,” jawab Ustaz Yahya.

Ustaz Yahya mengimbas Habshah. Bayangan apa yang berlaku kepada Habshah terpampang dalam pandangan batinnya.

“Bagaimana Ustaz?” tanya Halimah.

“Memang sudah teruk. Tetapi dengan izin Allah SWT sahajalah adik hang ini masih hidup. Terlalu banyak sihir yang ada padanya. Kena buang satu persatu supaya suci. Selepas itu kita berserah kepada Allah SWT,” jawab Ustaz Yahya.

“Ustaz boleh tolong buangkan semua tu?” tanya Halimah.

“Insyallah. Tanyakan pada dia adakah dia mahu buang semua yang diambilnya itu?” tanya Ustaz Yahya.

Halimah mendekatkan mulutnya pada telinga Habshah. “Adik, ustaz tanya, adakah engkau mahu buang semua yang engkau ambil itu?”

“Ya…” jawab Habshah dengan suara yang terketar-ketar dan lemah.

“Alhamdulillah,” ucap Ustaz Yahya.

Kemudian Ustaz Yahya pun memulakan tugasnya membantu Habshah. Dia menawarkan semua sihir yang ada pada badan Habshah. Sihir minyak dagu, pelbagai susuk dan tuju-tuju. Kemudian dia menawarkan pula sihir patung jerami. Bisa-bisa sihir patung jerami itu berjaya dibuang. Kemudian Habshah dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan untuk kakinya yang patah itu. Ambulan dari Hospital Daerah Bukit Mertajam datang mengambilnya.

Ustaz Yahya tersenyum kepada Azlan yang melihat semua kejadian itu. Kemudian berkatalah lelaki berusia hujung lima puluhan itu, “Mazlan, anak hang ini istimewa. Dalam diri dia aku lihat arwah bapa, tok dan ulamak-ulamak besar dalam keturunan engkau. Bawalah dia berjumpa denganku bila usianya sesuai nanti untuk belajar ilmu agama. Seperti aku belajar dengan datuk hang dahulu.”

Mazlan mengangguk. “Terima kasih ustaz,” katanya.

Salim bersalaman dengan Ustaz Yahya. “Terima kasih ustaz,” katanya sekali lagi.

Ustaz Yahya menepuk bahu Salim. “Semuanya dengan izin Allah SWT.” Lalu Ustaz Yahya berjalan pulang ke rumahnya.

Di Klang, Mak Siti terus mengerang kesakitan. Dia menjerit, “Celaka engkau!”

Di Pulau Pinang, Ustaz Yahya yang sedang berjalan pulang dan mendengar makian Mak Siti itu berkata di dalam hati, “Kembalilah ke jalan yang benar. Allah SWT sahajalah yang berkuasa ke atas sesuatu. Allah SWT sahajalah tempat setiap makhluk meminta pertolongan.”

“Celaka engkau!” jerit Mak Siti lagi.

“Jangan engkau apa-apakan keluarga ini lagi. Aku memegang amanah arwah ayah Mazlan supaya menjaga mereka. Dengan izin Allah SWT, jika engkau menganggu mereka lagi, aku tidak teragak-agak membalas perbuatan engkau itu,” kata Ustaz Yahya di dalam hati.

Mak Siti tidak membalas kata-kata Ustaz Yahya itu. Yang kedengaran sekarang hanyalah rintihannya dan raungan pendamping-pendampingnya memenuhi bilik khas itu. Dendam memenuhi seluruh ruang dada Mak Siti.

Selepas seminggu di hospital, Habshah menghembuskan juga nafasnya yang terakhir. Dia pergi menemui Tuhan dalam keadaan yang baik. Sebelum nyawanya keluar dari badan, dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah. Dalam seminggu itu sempat juga dia bercerita segalanya tentang apa yang dilaluinya kepada Halimah. Semua orang ada termasuk Johan dan anak-anak ketika dia mengadap sakaratul maut. Mukanya bersih dan bibirnya tersenyum selepas nyawanya ditarik malaikat Izrail.

Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin