Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 4

Bab 4

Pengumuman penerbangan ke London bergema di ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu. Karim berasa amat gembira sebaik mendengar pengumuman itu. Sejak tadi dia mengawasi sekeliling. Khuatir kalau ada klien yang terserempak atau mencarinya di situ. Walaupun cukup bulan lagi beberapa hari tetapi manalah tahu jika tembelang syarikat pelaburan itu sudah gulung tikar dan orang-orang kanan syarikat yang kesemuanya sudah cabut lari entah ke mana itu dapat diketahui awal oleh kliennya.

Karim dan keluarganya memasuki balai berlepas dan tidak lama kemudian sudah pun berada di dalam perut Boeing 747 milik Malaysian Airline System atau MAS itu. Tidak lama selepas itu tayar pesawat itu pun berpisah dari landasan. Pesawat itu meluncur laju membawa Karim sekeluarga dan penumpang-penumpang lain ke kota London, ibu negara England.

Sementara di Kulim, Dahlan berasa bangga kerana dilantik oleh Karim memangku tugasnya sepanjang ketiadaannya di pejabat. Bakar mengetuk pintu ketika dia sedang berangan-angan menjadi bos di bangku empuk milik Karim. Dahlan terkejut dan tersengih sebaik melihat Bakar yang sudah berdiri di muka pintu.

“Wah, syok hang jadi bos! Aku ketuk pintu pun tak dengar,” tegur Bakar.

Dahlan tersipu-sipu malu. “Duduk, duduk,” katanya sambil tersenyum-senyum sambil menunjuk ke arah kerusi di hadapan meja. Dia mengajuk perlakuan yang selalu dilakukan Karim. Sebaik Bakar duduk di kerusi itu dia menyambung kata lagi, “Ada gaya macam Karim tak?”

Bakar tersenyum. “Ada. Tapi gaya sahajalah. Yang lain-lain tak serupa langsung!”

Muka Dahlan merah padam. Dia ambil hati dengan kata-kata Bakar walaupun tahu Bakar cuma berseloroh. “Apa hang ingat aku tak layak jadi bos ke?” tanya Bakar, mukanya mencuka.

Bakar tersengih melihat muka Dahlan yang merah padam itu. “Aku melawak saja. Tak ada orang lain yang layak untuk ganti tempat Karim selain hang.”

Muka Dahlan bersinar semula selepas mendengar pujian Bakar itu. Ambil hatinya tadi hilang begitu sahaja. “Ha, tahu pun.”

“Untunglah kalau hang betul-betul boleh jadi macam Karim. Boleh bawak anak bini melancong di luar negara macam dia,” kata Bakar lagi.

“Betul. Percuma pulak tu. Semua perbelanjaan syarikat yang tanggung. Memanglah dia ke sana untuk tolong Abang Ramlan. Tetapi boleh bawak anak bini. Serupa melanconglah tu. Fuh, memang bagus kalau dapat peluang begitu!” balas Dahlan.

Karim memaklumkan kepada mereka bahawa dia sekeluarga ke New York selama dua minggu bermula hari ini. Kononnya Abang Ramlan minta dia ke sana untuk menolong mengembangkan sayap pelaburan mereka di sana. Katanya sudah ada lebih sepuluh orang pelabur berpotensi berminat untuk melaburkan sejumlah wang yang banyak dalam skim pelaburan mereka itu. Sepanjang ketiadaanya, Karim melantik Dahlan memangku jawatannya. Sementara Bakar memangku jawatan Dahlan sebagai timbalan pengurus cawangan. Sedangkan Karim ke London, bukan ke New York. Bukan atas trip bisnes tetapi untuk melarikan diri. Anak-anak buahnya termasuk Bakar dan Dahlan percaya melulu kata-katanya.

“Aku ingat nak beli kereta baru,” beritahu Bakar tiba-tiba.

“Wah, macam itu lah! Daripada hari tu aku suruh tukar Toyota yang dah ketinggalan zaman tu. Kereta hang tu dah lama sangat dah. Dah boleh simpan bawah rumah,” kata Dahlan.

Bakar tersenyum. “Sebab itu lah. Aku ingat nak pergi tengok kereta petang ni kat Butterwoth. Hang temankan aku, boleh?”

“Boleh. Hang nak ambik Mercedes macam Karim ke?” tanya Dahlan.

“Gila. Aku mana mampu. Karim tu bos. Komisen dia kiri kanan. Komisen aku sikit saja,” jawab Bakar.

“Tak rugi pun. Bulan depan komisen hang masuk banyak. Komisen dari pelaburan Pak Long Kerbau saja pun dah dua puluh lima ribu. Tak masuk komisen lain lagi,” kata Dahlan.

Bakar tersengih.

“Tak rugi. Kalau kita pakai kereta besar, baju berjenama dan kasut kulit Itali. Lagi senang orang nak percaya dan yakin semua cakap kita. Macam kata Karim hari tu, pekerjaan macam kita ni penampilan diri adalah nombor satu selain manis dan ringan mulut. Sebab tu Karim senang dapat klien,” sambung Dahlan.

Bakar mengangguk mengerti. Apa yang dikatakan oleh Dahlan itu benar. Karim dapat meyakinkan orang sebelum dia membuka mulut lagi.

“Sebab tu aku beli Honda tu hari tu. Dengan pendapatan sekarang ni memang ansuran Honda tu tak jadi masalah. Hang pun perasan sejak aku pakai Honda tu aku kutip lebih banyak pelaburan setiap bulan. Hang pun mampu nak pakai Honda macam aku tu. Hang nak beli kereta macam aku?” Dahlan terus bersuara. Dia teringatkan kata-kata jurujual di Pusat Pameran Honda tempoh hari. Kata juru jual di situ dia akan dapat komisen jika merekomen sesiapa yang beli kereta di situ.

“Aku ingat nak beli proton,” jawab Bakar.

“Proton Wira?” tanya Dahlan.

Bakar mengangguk.

“Depa kata Proton Wira tu memang bagus. Tetapi Honda Civic VTEC macam aku tu lagi bagus. Memang mahal sikit tapi hang mampu. Bayar deposit lebih, kuranglah ansuran bulanannya. Nak risau apa sebab komisen hang tiap bulan semakin banyak,” pujuk Dahlan.

“Memanglah banyak. Tapi bini aku dah sibuk mintak buat kabinet dapur baru. Hari ni kontraktor datang ambil ukuran dapur,” jawab Bakar.

“Koreklah simpanan yang duk ada tu. Apa kata Karim hari tu, kita kena anggap kereta, pakaian, kasut, jam, pen, beg bimbit dan kasut kulit mewah yang kita beli untuk kerja ini sebagai pelaburan. Pelaburan untuk mendapatkan keyakinan orang. Bila orang yakin dengan kita maka dia akan percaya semua kata kita. Senanglah orang nak melabur dengan kita. Meningkatlah pendapatan kita nanti,” kata Dahlan.

Bakar mengangguk setuju. Dia memang mampu untuk membayar ansuran kereta Honda Civic VTEC seperti Dahlan itu. Dia juga memang mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk menambah deposit yang diperuntukkan untuk membeli Proton Wira.

“Macam mana? Kalau hang setuju aku nak telefon jurujual yang berurusan dengan aku hari tu. Dia boleh bagi macam-macam aksesori percuma. Kena buat temu janji dulu,” kata Dahlan.

“Bolehlah,” jawab Bakar.

Dahlan tersenyum gembira.

Petang itu mereka ke Pusat Pameran Honda di Butterworth. Bakar beli Honda seperti Dahlan. Minggu hadapan dia bakal memandu kereta baru. Juru jual itu kata Honda yang dikehendakinya ada di dalam stok mereka. Jadi dia akan dapat kereta baru itu dengan cepat jika semuanya diluluskan oleh pihak bank.

Isnin minggu pertama bulan baru itu, Bakar sudah pun menerima kereta barunya itu. Gembiranya bukan main. Tambahan pula hari itu satu hari bulan. Gajinya masuk pada hari itu. Dia memakirkan keretanya di sebelah Honda Dahlan. Sekumpulan rakan setugas yang berkumpul di koridor pejabat seperti tidak terkesan dengan kehadirannya. Dia berasa kehairanan dan kecewa.

Bakar keluar dari kereta baru lalu menuju ke arah rakan-rakan sekerjanya. Dia menegur mereka yang berbincang entah apa lalu terus hendak masuk ke dalam pejabat sebelum ditanya oleh Salim, salah seorang daripada rakan sekerjanya.

“Bakar, hang dah periksa gaji?” tanya Salim.

Semua mata rakan sekerjanya yang berkumpul di situ memandangnya.

“Belum. Petang nanti baru nak periksa. Awat?” kata Bakar.

“Shamsul dan Ghani dah periksa pagi tadi tapi tak masuk lagi,” beritahu Salim.

“Mungkin petang nanti kut. Tak pun esok. Bukan tak biasa jadi macam ni. Lapan bulan lepas biasa jadi sekali,” jawab Bakar. “Petang ni hangpa periksa lagi. Tak pun esok pagi.”

Bakar masuk ke dalam pejabat meninggalkan rakan-rakan sekerjanya yang masih tidak berpuas hati dengan kelewatan gaji itu. Selepas meletakkan begnya di mejanya dia terus berjumpa dengan Dahlan.

“Budak-budak tu dah kecoh gaji bulan ni tak masuk lagi,” kata Bakar kepada Dahlan.

“Bukan gaji kita sahaja tetapi dividen pelabur-pelabur pun tak masuk lagi ni. Dah ada tiga orang klien telefon tadi,” jawab Dahlan.

“Dividen pun tak masuk lagi?” tanya Bakar inginkan pengesahan.

“Ya. Lapan bulan lepas gaji kita saja. Tapi dividen klien masuk macam biasa. Tapi kali ni dua-dua lewat,” jawab Dahlan.

Telefon di meja Dahlan berbunyi. Seorang lagi kliennya menelefon mengadu dividen untuk bulan itu belum dikreditkan ke dalam akaun bank.

“Seorang lagi dah mengadu,” beritahu Dahlan selepas meletakkan ganggang telefon. Dia meminta kliennya memeriksa akaun bank pada esok pagi. Alasannya ialah kemungkinan sistem bank ada masalah.

“Hang dah hubungi ibu pejabat?” tanya Bakar yang tiba-tiba berasa bimbang.

“Sudah. Tak ada siapa yang jawab,” jawab Dahlan.

“Cuba hang telefon lagi,” pinta Bakar.

Dahlan menelefon ibu pejabat syarikat pelaburan mereka itu. Panggilan telefon itu dijawab. Kakitangan di ibu pejabat meminta mereka bersabar. Mereka akan rujuk perkara itu kepada Pak Lang sendiri.

“Kenapa ni?” tanya Bakar, makin bimbang.

“Aku pun tak tahu. Kalau Karim ada dia tahulah nak hubungi siapa untuk bertanyakan masalah ni,” keluh Dahlan.

“Cuba hang periksa buku telefon dia. Dia simpan buku telefon tu dalam laci meja,” kata Bakar.

Mereka berdua ke bilik pejabat Karim. Buku telefon yang dimaksudkan oleh Bakar itu memang ada di dalam salah sebuah laci meja itu. Dahlan memeriksa buku telefon itu. Nombor-nombor telefon orang-orang kanan syarikat pelaburan itu ada di dalam buku telefon itu. Dahlan menelefon mereka. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka berjaya dihubungi. Sebahagian nombor telefon itu sudah tidak digunakan lagi. Sebahagian yang lain dijawab oleh operator telefon.

Dahlan dan Bakar saling berpandangan.

“Aku tak sedap hati ni. Macam ada masalah sahaja ni…” luah Bakar, melonggarkan tali lehernya.

“Aku pun,” balas Dahlan. “Kita cuba nombor-nombor telefon ni,” katanya kemudian selepas menemui nombor-nombor telefon yang difikirkannya adalah nombor telefon saudara mara Karim.

“Nombor telefon siapa?” tanya Bakar.

“Aku rasa ni nombor telefon saudara mara Karim. Kita tanya depa macam mana nak hubungi Karim, ” jawab Dahlan.

Bakar meneliti senarai nombor telefon itu. Dia kenal salah seorang nama yang tercatat di dalam senarai itu. “Cuba hang telefon ni. Kalau tak silap Jefri ni adik dia.”

Dahlan segera menelefon Jefri. Panggilan telefon itu dijawab.

“Assalammualaikum, Jefri,” ucap Dahlan.

“Waalaikummussalam. Siapa ni?” jawab Jefri.

“Abang ni Dahlan. Kawan abang hang, Karim. Abang nak tanya hang ada tak nombor telefon Karim di New York?” tanya Dahlan.

“New York?” tanya Jefri dalam nada hairan.

“Ya, nombor telefon di New York,” jawab Dahlan, mengesahkan.

“Err… saya tak ada nombor telefon dia di sana. Dia dah pergi New York ke?” jawab Jefri.

“Dia pergi sana sejak dua minggu lepas. Hang tak tahu ke?” tanya Dahlan.

“Yang saya tahu dia ke London. Tak tahu pulak sekarang sudah di New York,” jawab Jefri terus terang.

“Apa, London?!” Dahlan terkejut.

“Ya. Dia terbang dari KLIA ke London,” beritahu Jefri.

“Hang ada nombor telefon dia di London?” tanya Dahlan yang sudah memicit-micit dahinya sambil mengeluh walaupun tidak pening.

“Ada. Abang telefon sekejap lagi. Saya cari dalam buku telefon,” jawab Jefri.

Perbualan telefon di antara Dahlan dan Jefri itu diputuskan. Selepas lima minit Dahlan menelefon semula Jefri. Selepas berpuluh kali mencuba akhirnya dia putus asa. Panggilan telefonnya itu tidak dijawab oleh Jefri. Mereka menghubungi rakan-rakan di cawangan-cawangan lain. Rakan-rakan mereka di cawangan-cawangan lain juga sedang mengalami masalah yang sama. Pengurus-pengurus cawangan lenyap tanpa dapat dijejak. Kini mereka berdua tahulah sesuatu yang tidak kena memang sedang berlaku.

Bakar dan Dahlan terduduk di kerusi. Bimbang bertenggek pada dada masing-masing.

“Memang ada yang tak kena ni. Entah-entah syarikat ni dah lingkup,” kata Bakar.

Dahlan mengeluh. Dia tidak mahu sampai pada kesimpulan itu. Tetapi tanda-tanda kesimpulan itu benar adalah kuat.

“Patutlah Karim bagi empat ribu pada aku hari tu. Kononnya komisen daripada dia. Selama ni mana pernah dia buat begitu. Mungkin dia tahu syarikat ni dah nak lingkup. Mungkin Abang Ramlan dah beritahu dia sebelum cabut lebih awal. Dia pulak tunggu untuk kutip duit lagi sebelum lari,” kata Bakar.

Dahlan diam. Tidak tahu hendak cakap apa.

“Kita memang dah kena tipu Dahlan! Hang percayalah cakap aku. Sekarang baru aku tahu kenapa dia minta Pak Long Kerbau tulis cek atas nama dia. Selalunya atas nama syarikat,” kata Bakar lagi.

“Aku susah nak percaya. Semua nampak okey saja sebelum hari ni,” kata Dahlan, mengeluh keras.

Tiba-tiba telefon di meja itu berbunyi. Salah seorang kawan Dahlan di salah sebuah cawangan memaklumkan satu maklumat terbaru yang mengesahkan kebimbangan yang disuarakan Bakar tadi. Pak Lang tidak dapat dihubungi. Jirannya memaklumkan yang bos besar mereka itu sudah tidak ada di rumah itu sejak dua bulan yang lalu. Jirannya yang lain memberitahu isteri Pak lang ada beritahu keluarganya akan menetap Indonesia.

“Celaka Karim!” marah Dahlan setelah mendapat maklumat terbaru itu.

Mereka berdua bergegas ke rumah Karim. Ingin mendapat maklumat tentang pemergian Karim sekeluarga ke London daripada jirannya. Bila mereka keluar dari bilik pejabat itu, rakan-rakan sekerja mereka sedang sibuk menjawab panggilan telefon dari klien masing-masing. Telefon-telefon tidak berhenti berdering.

Bakar dan Dahlan menggeletar lutut melihat keadaan itu.

Mula-mula dia berasa lebih sihat selepas mengambil ubat ginseng yang disyorkan oleh Latifah itu. Keluarganya juga amat gembira dengan perkembangan tersebut. Tetapi selepas hampir sebulan mengambil ubat ginseng itu kesihatannya mula merudum. Muka, tangan dan matanya menjadi kuning.

Dia dirujuk ke Hospital Assunta. Para pakar tidak tahu punca yang menyebabkan kesihatannya merudum. Mereka juga tidak dapat mengesan punca kekuningan pada muka, tangan dan matanya itu. Dia ditahan di wad beberapa hari dan kemudian dibenarkan pulang. Kesihatannya semakin merudum bila berada di rumah.

Badannya berasa amat lemah. Dia berasa sendi-sendinya sakit. Dia tidak berdaya hendak bangun. Dia terlantar di atas tilam.

“Emak rasa engkau ni bukan kena kanser, Sah,” kata Mak Siti yang memeriksa Habshah. Selepas beberapa bulan ini baru pertama kali bomoh terkenal di Selangor itu menawarkan diri untuk menengok keadaan Habshah.

Habshah terkejut. “Apa maksud emak?”

Mulut Mak Siti kumat kamit membaca mantera. Kemudian dia diam seketika dan sekali sekala memejamkan mata dan mengangguk-angguk. Dia seperti tekun mendengar sesuatu. “Mengikut firasat mak, engkau ni dah kena buatan orang dan bercampur dengan perbuatan saka.”

Habshah terkejut. Dia teringatkan mimpinya dan menceritakannya kepada Mak Siti.

“Engkau bermimpi begitu?” tanya Mak Siti.

“Ya emak,” jawab Habshah.

“Kenapa tak cakap awal-awal?” marah Mak Siti.

“Saya macam terlupa,” kata Habshah. Dia benar-benar terlupakan hal itu selepas didiagnosis menghidap kanser. Fikirnya bayi perempuan di dalam mimpi itu muncul untuk memberi petanda kepada penyakit itu. “Apa maksud mimpi tu emak?” tanyanya.

“Ular hitam tu sihir yang dihantar orang,” kata Mak Siti.

“Dan bayi perempuan tu emak?” tanya Habshah sebelum sempat Mak Siti menyambung kata.

“Bayi perempuan tu saka keturunan engkau,” jawab Mak Siti.

“Betul ke emak?” tanya Habshah yang ketakutan.

Mak Siti mengangguk. “Engkau telah terima saka tu melalui mimpi,” terangnya lagi.

Habshah ketakutan.

“Sekarang ni kedua-dua benda tu sudah bersarang dalam badan engkau,” beritahu Mak Siti lagi.

“Sihir tu buatan siapa emak?” tanya Habshah.

Mulut Mak Siti kumat kamit membaca mantera. Dia diam semula. Sekali sekala memejam mata dan mengangguk-angguk.

“Dia orang yang baik dengan engkau. Rapat macam adik beradik,” jawab Mak Siti.

“Siapa emak?” tanya Habshah yang sudah pun menitiskan air mata.

“Sikit masa lagi engkau akan tahu siapa. Badan engkau yang kuning ni dialah penyebabnya. Benda yang dia bagi tu sudah rosakkan organ-organ dalaman engkau,” jawab Mak Siti.

“Siapa emak?” tanya Habshah yang terus menangis.

“Betul engkau nak tahu siapa?” tanya Mak Siti.

Habshah mengangguk. Johan turun dari tingkat atas bersama anak-anak. Mereka mahu keluar untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Tetapi tidak jadi keluar sebaik melihat Habshah menangis.

“Saya disihir orang bang,” kata Habshah. Johan memegang tangannya lalu melihat Mak Siti.

“Betul Johan. Mak baru sahaja menengok tadi,” jawab Mak Siti.

“Siapa punya kerja emak?” tanya Johan.

Mak Siti menggumam. “Kawan Sah. Kawan rapat,” jawab Mak Siti tak lama selepas itu.

“Siapa emak?” tanya Habshah lagi. Air matanya terus mengalir.

“Patutlah emak rasa lain bila pandang dia hari tu. Bila emak ada dia cepat-cepat minta diri,” kata Mak Siti.

Serta merta nama Latifah terlintas di fikiran Habshah. Tetapi hatinya berat hendak mempercayai lintasan fikiran itu. Dia dan Latifah macam adik beradik. Tiada rahsia antara mereka berdua. Setahunya Latifah anti bomoh. Pernah dia mengesyorkan kepada Latifah supaya mandi bunga untuk meningkat seri wajah tetapi ditolak mentah-mentah olehnya.

“Tak mungkin Latifah emak,” luah Habshah.

Mak Siti tersenyum. Dia mengesot sedikit dan kini betul-betul duduk bersila bersetentangan dengan pusat Habshah.

“Betul engkau nak tahu siapa?” tanya Mak Siti.

Habshah mengangguk.

“Baik. Emak akan keluarkan benda yang dia beri pada engkau tu. Hakikatnya tidak seperti yang engkau fikir dan lihat selama ini. Yani, tolong ambik takung muntah di bawah sinki,” kata Mak Siti.

Yani, anak perempuan sulung Habshah dan Johan itu berlari ke dapur untuk mengambil takung muntah. Gadis itu kembali dengan takung muntah di tangan.

Mulut Mak Siti kumat kamit membaca mantera sambil matanya terpejam. Tiba-tiba badannya tersentak dua tiga kali. Ada sesuatu yang baru meresap masuk kasar ke dalam badannya. Dia membuka mata dan menghulurkan tangan kirinya perlahan-lahan di atas perut Habshah. Jari-jari tangan kiri yang dikembangkannya itu digerakkan menghala ke kepala Habshah. Habshah terbelahak beberapa kali dan seterusnya muntah selepas mengiring ditampung rusuk kanan.

Yani yang memegang takung muntah terkejut dengan isi muntah itu. Kapsul-kapsul ginseng yang tidak larut bergaul bersama air dan lendir kuning bercampur darah dan rambut.

Habshah berhenti muntah selepas beberapa lama. Dia berasa lega. Yani yang memegang takung pula yang meloya. Dia bergegas ke dapur dan termuntah di sinki.

Johan mengambil takung muntah itu. Terkejut besar melihat kapsul-kapsul ginseng yang disyorkan Latifah dan sesuatu yang seperti rambut bergaul bersama air, lendir berwarna kuning dan darah.

“Apa bendanya bang?” tanya Habshah.

Johan diam lama. Dia macam tidak percaya. Dia amat tahu hubungan seperti adik beradik antara Habshah dan Latifah itu.

“Apa bendanya bang?” tanya Habshah lagi. Dia ingin bangun untuk melihat apa yang ada di dalam takung muntah itu. Matanya berair ketika muntah tadi dan tidak dapat melihat isi muntah itu. Tetapi dia dilarang bangun oleh Mak Siti. Dia melepaskan pandangan lemah kepada Johan.

Johan menjawab, “Ginseng Latifah.”

Habshah terkejut. “Apa bang?”

“Ginseng Latifah,” kata Johan, mengeraskan sedikit suaranya.

“Ginseng yang Latifah rekomenkan tu ke ?” tanya Habshah.

“Ya, Sah,” jawab Johan.

Mak Siti merampas takung muntah dari tangan Johan. Dia melihat muntah tersebut sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Betul ke emak?” tanya Habshah yang terpukul dengan jawapan-jawapan Johan tadi. Dia masih tidak mahu percaya lintasan fikirannya tadi.

Mak Siti mengesot dan duduk bersetentangan dengan dada Habshah. Selepas itu memasukkan tangan kanannya ke dalam muntah itu. Jari-jarinya mencari kapsul ginseng yang belum pecah. Tidak lama kemudian dia menarik tangannya keluar dari takung muntah itu. Menunjukkan kapsul yang berlendir diselaputi oleh lendir kuning dan rambut itu kepada Habshah.

Habshah tersentak. Dadanya berombak-ombak kasar kerana sebak. Johan cuba menenangkan.

Mak Siti memecahkan salah satu kapsul ginseng yang masih eloki. Dari dalamnya keluar beberapa helai rambut yang sudah disimpul-simpul.

Habshah tidak dapat menahan sebak sebaik melihat isi kapsul ginseng itu. Air matanya mengalir.

“Dia sudah datang. Sudah ada di depan rumah,” kata Mak Siti.

Loceng rumah berbunyi. Yani ke pintu gelongsor di ruang tamu dan melihat ke arah pintu pagar. Dia berdiri lama di situ dan ditanya siapa yang datang oleh Habshah.

“Auntie Latifah, emak,” jawab Yani.

Habshah menangis semahu-mahunya. Loceng rumah terus berbunyi. Johan meluru keluar rumah dan menghalau Latifah dari situ. Latifah beredar dengan terpinga-pinga.

“Sampai hati engkau Latifah buat aku macam ni…” Kata-kata itu diulang-ulang oleh Habshah berkali-kali sambil menangis.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin