Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 11 (Bahagian 1)

Karim berasa takjub dengan apa yang dilihatnya pada malam itu. Dia memasang angan-angan untuk memiliki ilmu batin sekurang-kurangnya setara Salim. Dia segera berjumpa Salim dan berjaya memujuk pemuda itu untuk membawanya ke Lombok. Dia akan berguru dengan guru Salim. Karim teringatkan perbualannya dengan Salim beberapa minggu yang lalu.

“Ustaz Yahya kan ada, bang. Abang boleh berguru dengan dia. Dia lebih hebat daripada saya. Saya juga percaya dia lebih hebat daripada guru saya,” kata Salim.

“Aku malu dengan dia. Aku berguru dengan guru hang sahajalah,” balas Karim.

“Mana boleh malu kalau hendak menuntut ilmu. Rugi,” kata Salim.

“Tetapi guru hang juga guru yang murshid bukan?” tanya Karim.

Salim mengangguk. “Alhamdulillah.”

“Jadi tak salah juga aku nak belajar dari guru yang murshid selain Ustaz Yahya tu kan?” tanya Karim.

“Betul. Tetapi kenapa perlu membawa diri jauh sedangkan yang dekat ada,” kata Salim.

“Biarlah aku belajar dengan guru hang dulu. Nanti bila dah habis berguru dengan guru hang tu, aku menuntut pula dari Ustaz Yahya,” kata Karim.

Salim mengangguk. Akhirnya dia bersetuju dengan rancangan Karim itu.

“Jika begitu kita berangkat awal bulan depan. Aku belikan tiket kapal terbang untuk kita berdua. Boleh?” tanya Karim.

Salim mengangguk. “Tetapi saya tak ikut abang pulang nanti. Saya mahu tinggal di sana terus. Sudah lama merantau. Ingin berjasa pada desa pula.”

“Ya, ya. Agak-agak berapa lama aku akan di sana?” tanya Karim.

“Bergantung kepada abang. Jika abang cepat belajar dan memahami, insyallah akan segera. Selalulah berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan segala hajat. Mungkin setahun, mungkin dua tahun dan mungkin lebih,” jawab Salim. “Bagaimana dengan keluarga abang?” tanyanya yang terlintaskan perihal keluarga Karim jika ditinggalkan ketua keluarga itu dalam tempoh masa yang panjang.

“Aku rasa perbelanjaan mereka mencukupi untuk setahun dua ini,” jawab Karim.

Salim mengangguk.

Hari yang ditunggu Karim itu tiba. Dia enggan dihantar ke KLIA dari rumah Fauziah, kakak sulung Mazlan dan Kalsum. Rumah Fauziah di Shah Alam. Dia berkeras hendak menaiki teksi untuk ke sana. Kemahuannya dituruti walaupun Kalsum mempersoalkannya. Alasannya dia tidak sampai hati hendak meninggalkan Kalsum dan anak-anak jika di lapangan terbang. Jadi eloklah dia meninggalkan mereka dari rumah Fauziah. Mahu tidak mahu Kalsum terpaksa menurut juga.

“Kak Halimah dan Abang Mazlan tolong tengokkan depa ya? Maafkan saya jika permintaan saya ini menyusahkan kakak dan abang,” kata Karim sebaik melihat sebuah teksi menghampiri perkarangan rumah Fauziah.

“Isteri hang tu adik ipar kak. Anak-anak hang tu anak-anak menakan kak. Sudah tentulah kak akan tengok depa,” jawab Halimah.

“Insyallah, Karim. Abang akan tengokkan keluarga hang ni. Abang dan Kak Limah akan tolong apa yang termampu. Hang ke sana bukan kerana suka-suka. Nak menuntut ilmu. Ilmu agama pula. Hal keluarga hang di sini, insyallah, akan baik sahaja. Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh,” kata Mazlan pula lalu memegang bahu Karim dan meramasnya lembut.

Teksi itu berhenti di hadapan perkarangan rumah Fauziah. Karim melihat Kalsum dan anak-anaknya. “Sum, jaga diri baik-baik selama ketiadaan abang ya? Abang akan hubungi Sum dan anak-anak selalu. Janganlah bersedih. Abang pergi untuk sesuatu yang baik.”

Kalsum menitiskan air mata. Entah untuk kali ke berapa dia menangis bila mengenangkan hasrat suaminya untuk berkelana ke Lombok bagi menuntut ilmu.

Karim mendekati anak-anaknya dan mencium pipi mereka.

“Abang,” kata Kalsum dalam sendunya, “Tuntut ilmu agama betul-betul abang. Niat abang tu mestilah lurus. Jangan lari walau sedikit pun.”

Karim tersenyum manis dengan susah payah. “Insyallah.”

Pemandu teksi mengambil bagasi Karim dan memasukkannya ke dalam bonet kereta. Kemudian dia duduk menunggu di dalam teksi.

“Abang Mazlan, Kak Halimah, Kak Fauziah, Abang Khalid, Sum…” Mazlan terhenti bersuara sebaik menyebut nama isterinya itu. Sebak menyerang hendapnya. Dia menahan sebak itu supaya tidak memuntahkan tangis. Selepas beberapa ketika dia mampu juga menahan kesedihannya. “Maafkan segala silap saya zahir dan batin, ya?”

Mazlan, Halimah, Fauziah, Khalid dan Kalsum mengangguk.

Karim memeluk anak-anaknya dan berkali-kali memberitahu pemergiannya itu tidak lama dan betapa sayangnya dia terhadap mereka.

Pemandu teksi membunyikan hon. Memberitahu bahawa masa untuk berangkat ke KLIA tiba. Dia ada pelanggan lain yang memerlukan khidmatnya selepas ini.

Karim yang faham terus bersalam dengan Mazlan dan Khalid. Kalsum mencium tangannya semahu-mahunya dan kemudian mereka berpelukan. Kalsum terus melinangkan air mata. Sementara Karim masih mampu mengawal sebak.

Mereka semua mendekati teksi. Karim masuk ke dalamnya. Teksi bergerak meninggalkan perkarangan rumah besar itu. Karim melambai ke arah mereka. Kalsum dan anak-anak yang masih keberatan untuk membiarkan Karim pergi hampir mengejar teksi dan kelihatan Halimah, Fauziah, Mazlan dan Khalid menahan mereka dari terus mengejar teksi yang semakin menjauh. Teksi membelok masuk simpang dan imej keluarganya, ipar-iparnya dan biras-birasnya itu pun hilang.

Karim mengeluh dalam dan menghenyakkan badannya pada tempat duduk belakang teksi itu. Pemandu teksi meneliti tingkah laku penumpangnya itu sejak tadi.

“Encik, boleh saya bertanya?” tanya pemandu teksi itu.

Karim terus mengeluh tetapi dia menjawab juga, “Hang nak tahu kenapa aku jadi begini? Serba salah begini?”

“Ya, ya. Apa masalahnya encik? Encik nak ke mana? Keluarga encik tak bagi encik pergi?” balas pemandu teksi itu dengan sederet pertanyaan.

“Aku nak pergi menuntut ilmu,” jawab Karim.

“Ilmu apa encik?” tanya pemandu teksi itu.

“Ilmu agama dan kemudian ilmu batin. Nak belajar dengan kiyai di Indonesia. Bila balik sini boleh mengubat orang,” jawab Karim, terus terang.

“Oh, begitu. Dekat sini pun boleh belajar ilmu nak mengubat orang tu. Saya dengar kalau guna saluran agama ni payah sikit. Maaflah kalau cakap saya ni menyinggung hati. Tetapi itu kebenarannya,” kata pemandu teksi itu.

“Maksud hang?” tanya Karim, terus tertarik untuk berbual dengan pemandu teksi itu.

“Nak belajar agama tu makan bertahun. Nak kena kukuhkan akidah dulu. Wajib tegapkan syariah dulu. Nak sebatikan tasawuf. Semua ini perlu betul-betul kukuh. Dengan tarekat yang betul baru sampai kepada hakikat dan kemudian makrifat. Tok-tok guru agama pula bukan pilih sembarangan murid. Murid yang sudah sampai tahap tertentu sahaja yang akan dipilih untuk dibimbing dan diberi panduan bagi mendapatkan ilmu rahsia. Selalunya dalam ramai-ramai itu hanya seorang dua sahaja yang akan dipilih. Kalau dipilih, baguslah. Jika tidak, meloponglah,” terang pemandu teksi itu dengan panjang lebar.

Karim termenung memikirkan kata-kata pembantu teksi itu. “Dia tak bagi pada semua?” tanya Karim.

“Ya, encik. Murid yang biasa dapat ilmu-ilmu batin yang biasa sahajalah. Kalau nak lawan dengan Tok Ali, Tok Pian, Mak Siti, tok batin, tok Cha, sami Siam, memang tak mungkin lepaslah…” jawab pemandu teksi.

“Begitu…” jawab Karim lalu teringatkan bagaimana Salim berjaya ditewaskan oleh bomoh Mak Siti. Mujurlah Ustaz Yahya tiba-tiba muncul. Jika tidak nyawa Habshah pasti sudah melayang awal. Begitu juga Salim yang sudah tentu jadi mayat.

“Nak mengaji syariat, akidah dan tasawuf tu pun bukannya cepat. Ambil masa bertahun…” kata pemandu teksi itu sambil sekali sekala menjeling ke arah Karim yang melontarkan pandangannya ke luar tingkap. “Encik sanggup?”

Karim diam lama sebelum menjawab dengan keluhan yang dalam. “Itulah dilema aku sekarang ni. Soal masa itulah yang aku hiraukan. Kalau boleh aku nak segera dapatkan ilmu batin tu. Segera aku dapat mengubat orang,” jawab Karim, menyembunyikan beberapa tujuan sebenar dia hendak menuntut ilmu batin itu. “Segera pula aku dapat bersama keluarga semula. Jalankan tugas sebagai seorang suami dan bapa yang baik. Supaya dapat berikan kebahagiaan kepada mereka.”

Pemandu teksi itu mengangguk seolah mengerti apa yang cuba diluahkan oleh Karim itu.

“Encik boleh miliki ilmu batin itu secara cepat tetapi…”

“Tetapi apa?” Karim gelojoh memotong kata-kata pemandu teksi itu.

“Bukan dengan cara mengaji di pondok-pondok agama,” jawab pemandu teksi itu.

“Habis tu?” tanya Karim pantas.

“Ambil ilmu batin tu dari bomoh-bomoh. Cepat. Tak payah tunggu lama-lama,” jawab pemandu teksi itu.

“Ambil hantu? Jin? Jembalang?” balas Karim.

“Itu sajalah jalannya kalau nak cepat. Menuntut ilmu hitam ni cepat dapat. Cepat dapat mengubat orang. Cepat dapat tolong orang. Dan yang paling penting cepat dapat duit. Boleh jadi kaya dalam sekelip mata kalau rawatan kita sudah dikenali mujarab,” kata pemandu teksi itu.

Karim tersentak. Dia melihat pemandu teksi itu melalui cermin pandang belakang. Matanya tertembung dengan mata pemandu teksi itu.

“Tapi hati kena kering sikitlah kalau nak ambik benda tu semua. Lagi kering hati, lagi encik boleh dapat benda yang berkuasa,” sambung pemandu teksi itu.

Karim diam sahaja. Segera membuang pandangannya ke luar tingkap. Bangunan KLIA sudah kelihatan. Dia melayan perasaannya yang mula terbahagi dua : Pergi atau tidak? Teksi berhenti di perkarangan lapangan terbang itu. Pemandu teksi membuka bonet dan keluar untuk mengeluarkan bagasi Karim. Karim keluar dari teksi itu dengan perasaan malas dan tidak bersemangat kerana perasaannya yang terbahagi dua itu.

Karim menyerahkan tambang teksi setelah diberitahu harganya.

“Encik, ingat kata-kata saya tadi.Timbang-timbangkanlah. Saya harus lekas pergi. Ada pelanggan lain sedang menunggu,” kata pemandu teksi itu.

“Ya, ya,” jawab Karim.

Pemandu teksi itu bersalaman dengan Karim. Tidak dengan Salim. Lalu tergesa-gesa masuk ke dalam teksi dan pergi dari situ.

Salim memandang pelik teksi yang baru berlalu pergi itu. Perasaanya berasa tidak sedap. Tetapi dia tidak bersangka buruk.

Mereka berdua masuk ke dalam bangunan lapangan terbang itu. Mendaftar masuk dan kemudian sudah berenak-enak di dewan berlepas sebelum menunggu penerbangan.

Hati Karim masih berbelah bahagi. Pergi atau tidak? Masa terus berdetik. Masa untuk terbang ke Indonesia semakin menghampiri.

“Abang tak apa-apa?” tanya Salim yang mengesan kegelisahan Karim.

“Okey saja. Cuma berdebar sedikit. Maklumlah hendak pergi merantau ke tempat orang,” beritahu Karim.

Salim tersenyum. “Saya pun begitu dulu ketika mahu datang ke Malaysia. Tetapi Insyallah, kita serumpun. Cara hidup tidak jauh berbeza. Agama pula sama. Insyallah, abang akan diterima baik oleh orang-orang desa terutamanya anak-anak pesantren. Lama-lama abang akan biasa.”

Karim mengangguk-angguk. Entah setuju entah mahu mengambil hati Salim.

Jam terus berdetik. Lagi lima belas minit pintu perlepasan hendak dibuka, Salim meminta diri ke bilik air. Dia membasuh mukanya berkali-kali dan kini memandang cermin.

‘Perlukah?’ kata hatinya.

‘Perlu.’ Bisik hati putihnya.

‘Tak perlu!’ tegas hati hitamnya.

Kata-kata pemandu teksi terngiang-ngiang di telinganya. Kemudian kata-kata Salim pula terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata pemandu teksi dan Salim itu saling tolak menolak, bertarung hebat. Kepala Karim panas dengan semua itu. Lebih panas bila keadaan Habshah yang terseksa dan Salim yang muntah darah terpampang macam wayang gambar dalam fikirannya itu.

Karim membasuh mukanya berkali-kali ini. Kali ini sehingga kepala, leher dan sebahagian kolar bajunya lencun. Dia menarik muka dari sinki lalu melihat mukanya di dalam cermin. Merenung tajam matanya sendiri. Cuba mengusir kata-kata pemandu teksi dan Salim. Juga imej Habshah yang terseksa dan Salim yang muntah darah. Dia menguatkan semangat untuk membuat keputusan. Dia nampak Kalsum dan anak-anaknya. Dia teringat bagaimana bersungguhnya mereka mengejar teksi tadi. Tetapi alangkah malunya jika dia menarik balik keputusan untuk menuntut ilmu agama di Indonesia. Di mana dia hendak letak muka kepada Abang Mazlan, Kak Halimah, Abang Khalid, Kak Fauziah dan Salim. Maruahnya tercalar kerana penipuan skim pelaburan Pak Lang, terobek pula kerana kegagalan bertahan di London dan kini akan musnah berkecai jika dia tidak jadi menuntut ilmu agama di Indonesia. Dia tahu dengan cara menuntut ilmu agama di Indonesia ini sahajalah maruahnya akan meraih semula penghormatan daripada keluarga isterinya dan orang ramai.

“Abang!”

Karim tersentak. Dia segera melihat ke pintu bilik air lapangan terbang itu.

Salim yang tercegat menyambung kata, “Panggilan penerbangan sudah dibuat. Ayuh berangkat.”

“Ya, ya,” balas Karim lantas mengekori Salim.

Selepas beberapa minit mereka berdua sudah pun berada di dalam perut kapal terbang. Tidak lama selepas itu kapal terbang pun berlepas dari landasan. Kepala Karim masih panas memikirkan apa betul atau tidaknya keputusan pemergiannya ke Indonesia itu. Enggan melayan fikiran dan perasaan, dia mengambil keputusan untuk tidur, jaga, tidur dan jaga. Sedar-sedar dia sudah tiba di Lapangan Terbang Selaparang di Ampenan.

Dari lapangan terbang mereka ke stesen bas. Menaiki bas berjam-jam lamanya untuk ke rumah Salim yang terletak di Selong Kota dalam Wilayah Selong. Besok mereka akan berangkat ke Sandubaya yang terletak di dalam Wilayah Selong juga untuk bertemua tuan guru Salim.

Previous: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin