Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 11 (Bahagian 2)

Pondok pesantren itu biasa sahaja. Kalau boleh hendak dikatakan daif tidaklah terlalu daif. Kalau hendak dikatakan moden tidaklah moden. Sederhana sahaja. Lengkap api, air, pondok asrama dan sebagainya. Ia diasaskan oleh Tuan Guru Muhammmad Muhyidin atau lebih dikenali dengan Tuan Guru Muhyidin. Tuan Guru Muhyidin adalah anak murid kepada Tuan Guru Muhammad Zainuddin Abdul Madjid, ulamak terkemuka Pulau Lombok dan antara yang dikenali di Nusantara.

“Assalammualaikum,” ucap Salim dari bawah rumah.

“Waalaikummusalam. Masuklah anakku Salim. Bawa masuk kawan engkau dari Malaysia itu sekali,” kata satu suara dari dalam rumah. Ia adalah suara Tuan Guru Muhyidin.

“Mari kita masuk, bang. Tuan guru ada di dalam rumah,” kata Salim.

“Eh, hang ada beritahu ke pada tuan guru yang kita nak datang?” tanya Karim yang berasa pelik.

Salim menggeleng sambil tersenyum. “Kita masuk dulu bang. Tuan guru mungkin memang menanti kita.”

Karim mengangguk lalu mengekori Salim. Mereka menunduk untuk masuk ke dalam rumah suku sasak itu. Persis seperti masuk ke dalam gua sebuah gunung. Tuan Guru Muhyidin menanti mereka di bale luar, ruang menyambut tetamu dan tidur bagi bapak dan anak-anak lelaki keluarga suku sasak.

“Jemput duduk encik,” ucap Tuan Guru Muhyidin sebaik melihat kelibat Karim. Tuan Guru Muhyidin sedang duduk di atas lantai. Di hadapannya sebuah kitab lama. Dia sedang menekuni kitab lama itu.

Salim dan Karim duduk bersila mengadap Tuan Guru Muhyidin. Karim memperkenalkan dirinya kepada Tuan Guru Muhyidin. Menghulur salam dan disambut.

“Anakku Salim, tuangkan airnya. Air kosong sahaja. Buat segarkan tekak,” kata Tuan Guru Muhyidin sambil menutup kitab lama itu. Pada kulit kitab lama itu tertulis Miftahul Murid : Fi Ilmi Tauhid.

Karim melihat pada kulit kitab lama itu. Dia tahu membaca Al-Quran dan jawi. Tajuk kitab lama itu diketahuinya. Tetapi dia diam sahaja. Tidak memberi sebarang reaksi sebaik melihat kitab lama itu.

“Minum, minum,” pelawa Tuan Guru Muhyidin.

Mereka bertiga sama-sama meneguk air kosong. Tekak yang kering terasa begitu segar.

Selepas bertanya khabar tuan gurunya dan menjawab beberapa pertanyaan tuan gurunya tentang pengalamannya di Malaysia, Salim terus sahaja kepada tujuan sebenarnya dia menemui tuan gurunya itu.

“Saya datang ke sini ada hajat tuan guru,” kata Salim. “Kawan saya ni, Abang Karim ni, dia hendak belajar agama daripada tuan guru.”

“Ya, ya. Pondok pesantren ini memang terbuka untuk semua. Tidak memilih-milih. Tidak perlu kelayakan apa-apa. Baik umur atau lulusan pendidikannya. Yang penting hati mesti betul-betul mahu belajar dengan ikhlas,” jawab Tuan Guru Muhyidin.

“Jadi diterima, tok guru?” tanya Karim, ghairah.

“Ya, ya. Encik boleh tinggal dengan beberapa orang murid lain yang saya kira hampir sebaya dengan encik,” jawab Tuan Guru Muhyidin.

“Tahniah, bang. Mudah-mudahan apa yang dihajat abang akan tercapai dengan izin Allah,” kata Salim, tersenyum gembira.

“Anakku Salim, pergi ke pondok belakang. Cari murid bernama Abang Lan. Panggil dia ke mari,” arah Tuan Guru Muhyidin.

Salim keluar rumah untuk mencari Abang Lan. Meninggalkan Karim bersendirian dengan tuan gurunya.

“Encik tahu kitab ini?” tanya Tuan Guru Muhyidin sambil menyerahkan kitab Miftahul Murid itu.

Karim mengambil kitab itu. Membaca tajuk kitab itu. “Miftahul Murid,” katanya.

“Pernah tahu atau belajar kitab ini?” tanya Tuan Guru Muhyidin.

Karim menggeleng. “Nipis,” Soal nipis kitab itu yang menjadi perhatiannya.

Tuan Guru Muhyidin tersenyum. “Ya, nipis. Tetapi ilmu di dalamnya luas. Cukup untuk dijadikan pegangan akidah yang sahih. Tahu siapa pengarangnya?”

Karim menggeleng.

“Kitab ini karangan Sheikh Zainal Abidin bin Muhamad al-Patani. Lebih dikenali sebagai Tuan Minal. Tahu? Kenal?” kata Tuan Guru Muhyidin.

Karim menggeleng juga.

“Dia antara ulamak yang hebat di nusantara ini. Kitab-kitabnya tersebar meluas. Saya tidak pernah jemu membaca kitab-kitabnya. Makin didalami makin banyak yang perlu dipelajari. Setara dengan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Patani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjiri, Tok Kenali, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Patani dan lain-lain,” kata Tuan Guru Muhyidin lagi.

Karim mengangguk-angguk.

Tuan Guru Muhyidin hanya tersenyum. Tahulah tuan guru itu bahawa Karim memang tidak pernah ambil peduli tentang ilmu agama sebelum ini. Jika tidak dia mesti tahu siapa Tuan Minal.

“Boleh saya tanya sesuatu tuan guru?” tanya Karim.

“Ya, silakan. Jika saya mampu menjawabnya, saya jawab. Jika tidak, maafkan saya yang kurang pengetahuan ini,” jawab Tuan Guru Muhyidin.

“Berapa lama masa yang saya akan ambil untuk belajar di sini? Maksud saya sehingga saya betul-betul dapat akidah, syariat dan tasauf itu,” tanya Karim.

“Terpulang. Ada yang cepat. Ada yang lambat. Tetapi insyallah, jika ikhlas dan bersungguh-sungguh, bantuan Allah pasti akan turun,” jawab Tuan Guru Muhyidin.

Mata Karim terkebil-kebil. Ah, pasti lambat. Detiknya di dalam hati.

“Tidak apa lambat asalkan sampai. Sampai itu yang penting. Tidak guna cepat jika tidak sampai,” kata Tuan Guru Muhyidin.

Karim merah mukanya. Termalu. Berasa seperti Tuan Guru Muhyidin tahu apa yang terdetik di hatinya sebentar tadi.

Salim sampai bersama Abang Lan. Mereka duduk mengapit Karim.

“Lan, mulai hari ini Karim duduk dengan engkau. Engkau tunjukkan dia apa yang patut,” beritahu Tuan Guru Muhyidin.

Abang Lan mengangguk. Bersalaman dengan Karim. Kemudian mereka berdua terus ke pondok belakang. Salim tinggal seketika dengan tuan gurunya. Berjanji akan berjumpa dengan Karim sebelum berangkat pulang nanti.

“Saya sedikit khuatir, tuan guru,” kata Salim tiba-tiba.

Tuan Guru Muhyidin tersenyum. “Maksud anak, tentang tujuannya?”

Salim mengangguk. “Dia lebih terpesona dengan ilmu batin daripada mahu belajar asas agama.”

“Itu janganlah dirisaukan. Manalah tahu hatinya berubah nanti bila sudah dapat merasai kemanisan menuntut ilmu agama. Berasa nikmatnya kenal Tuhan. Sehingga terlupa niatnya yang sebenar. Kita tengok dulu perjalanannya,” jawab Tuan Guru Muhyidin

Salim mengangguk, bersetuju.

Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin