Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 16

Fauziah sekeluarga datang menziarah Keluarga Mazlan dan Keluarga Kalsum. Mereka sampai petang Jumaat dan akan pulang pada petang ahad seperti selalu. Kali ini kedatangan Fauziah bukan semata-mata hendak menziarah tetapi untuk membincangkan sesuatu yang penting.

Fauziah memanggil adik-adiknya untuk berkumpul di beranda rumah selepas solat isyak. Karim, Abang Khalid dan Halimah ada sekali. Anak-anak mereka bermain di ruang tamu di tingkat bawah. Sementara anak sulung Fauziah yang sudah remaja sedang membaca novel di atas sofa di ruang sorong tingkat atas.

“Kakak minta hangpa berdua berkumpul ni sebab ada hal penting nak dibincang,” kata Fauziah.

Cerita bohong Karim tentang pengalamannya menuntut ilmu agama di pesantren tersingkir begitu sahaja. Semua perhatian kini tertumpu kepada Fauziah pula.

“Berkenaan tanah arwah abah di Permatang Tinggi tu,” sambung Fauziah.

“Ada orang nak beli ke kak?” tanya Kalsum, teruja.

“Ya. Kawan kakak dari Kuala Lumpur,” jawab Fauziah.

“Berapa harga dia letak?” tanya Kalsum, matanya bersina-sinar gembira.

“Tiga juta,” jawab Fauziah.

“Tiga juta?!” Kalsum benar-benar teruja.

“Apa kata hang, Mazlan?” tanya Fauziah kepada Mazlan yang tidak memberi apa-apa reaksi.

Mazlan melepaskan nafas. “Siapa orang yang nak beli tu, kak? Orang melayu ke cina?”

“Orang melayu,” jawab Fauziah.

“Kenapa dia nak beli, kak?” tanya Mazlan lagi.

“Mungkin dia nak kumpul harta,” jawab Fauziah.

“Siapa dia tu kak?” tanya Mazlan lagi.

“Dia orang kanan Datuk Farid, ahli parlimen tu,” jawab Fauziah.

“Patutlah…” balas Mazlan.

“Kenapa Mazlan?” tanya Fauziah.

“Cek dengar tempat tu nak dibangunkan dengan sebuah bandar baru mungkin dalam lima enam tahun dari sekarang. Dalam tiga empat tahun lagi tanah di kawasan tu mesti meningkat mendadak. Tiga juta yang ditawarkan kawan kakak tu mungkin boleh pergi sekali atau dua kali ganda lagi pada masa tu,” terang Mazlan.

“Abang tahu mana?” tanya Kalsum, ada nada tidak puas hati terselit di dalam pertanyaan itu.

“Dengar orang cakap,” jawab Mazlan.

“Bukan boleh percaya cakap-cakap orang ni. Sementara ada orang nak beli sekarang, baik kita jual sahajalah. Dapat juga sejuta seorang. Kita tak ikut faraid kan? Bahagi sama rata, kan?” balas Kalsum, gopoh.

Mazlan menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Kalsum yang tidak berubah. Tanah di Mahang dulu pun Kalsumlah yang beria-ia mahu menjualnya. Dia berkeras pada mulanya tetapi terpaksa akur kerana Kalsum berjaya memujuk Fauziah untuk menyokongnya. Akhirnya tanah yang beberapa ekar itu terlepas ke tangan Cikgu Hamid dengan nilai hanya beberapa puluh ribu ringgit. Beberapa bulan selepas itu tanah itu menjadi milik tauke cina kilang papan pula. Dengar ceritanya Cikgu Hamid itu hanya menjadi orang tengah kepada Ah Hong, tauke cina kilang papan itu. Urusan jual beli semua atas nama Cikgu Hamid. Kemudian Cikgu Hamid pindah pemilikan tanah itu kepada Ah Hong. Itu cara Ah Hong beli tanah-tanah orang melayu yang enggan berurusan dengan bangsa lain. Cikgu Hamid dapat komisen dan gembira mengkhianati bangsanya sendiri. Selepas beberapa bulan Ah Hong jual pula pada tauke cina kilang papan dengan harga beratus ribu ringgit.

“Kakak pun fikir macam tu, Mazlan,” kata Fauziah. “Lagipun yang nak beli ni pun orang melayu. Tak apalah juga kalau terlepas tanah pada bangsa sendiri.”

“Cek dah serik kena tipu. Kes Cikgu Hamid dulu tu, kak tak ingat?” balas Mazlan, menegakkan pendiriannya.

“Cikgu Hamid tu manalah tahu kita tahu jadi macam tu. Itu cerita lama, bang,” kata Kalsum.

“Cerita lamalah hendak kita buat pengajaran,” jawab Mazlan.

Fauziah melihat Abang Khalid. Abang Khalid mengangguk. Dia bersedia masuk campur. Mereka perlukan duit dalam masa terdekat. Syarikatnya sedang menghadapi masalah. Perlu suntikan modal kira-kira lima ratus ribu ringgit dengan segera. “Abang rasa begini Mazlan, elok sajalah tanah tu kita jual. Abang kenal benar dengan Encik Ghafur ni. Dia kawan sekelas abang semasa di Victoria Institution dulu. Orangnya baik. Tak mungkin dia ni ali baba untuk mana-mana tauke cina. Lagi pula projek bandar baru tu pun kita tak tahu jadi ke tidak. Kalau jadi baiklah. Kalau tidak rugilah kita.”

Mazlan diam sahaja.

“Cek tak sanggup nak tunggu lima enam tahun lagi,” sambut Kalsum pula. “Entah hidup atau tidak cek masa tu. Sekurang-kurangnya nak merasa juga duit tanah tu semasa masih hidup ni. Buat apa nak disimpan sementara ada orang nak beli.”

Mazlan mengeluh.

“Apa kata hang, Mazlan?” tanya Fauziah lagi.

“Cek tak mahu jual tanah tu dalam masa terdekat ni, kak. Kalau terpaksa jual sebab nak bangun bandar baru nanti, masa tu baru cek setuju jual. Jual pada pemaju. Percayalah kak, Kalsum, masa tu harganya lebih daripada tiga juta ringgit. Tetapi kalau depa tak jadi bangun bandar baru di situ pun tak apa. Cek tak rasa rugi apa-apa sebab tanah tu masih milik kita. Kalau kita tak ada bolehlah diwariskan pada anak cucu,” jawab Mazlan. Dia kemudiannya segera meminta diri. Halimah mengekorinya.

Kalsum mendengus marah. Fauziah mengeluh kecewa. Khalid gelisah di dalam hati. Halimah lega dengan keputusan suaminya. Sementara Karim tersenyum riang di dalam hati.

Pagi besoknya, Kalsum dan Fauziah berbual tentang perbincangan malam tadi. Mereka berdua duduk berbincang di beranda. Mazlan dan Halimah keluar selepas subuh lagi untuk berniaga.

“Macam mana ni kak? Abang Mazlan sungguh-sungguh tak setuju ni,” kata Kalsum.

Fauziah mengeluh dalam. “Itulah. Kak pun memang perlukan duit sekarang ni. Syarikat Abang Khalid tak cukup modal untuk buat projek.”

“Cek pun nak guna duit juga. Ingat nak berniaga dekat depan tu. Dekat tanah arwah abah yang di tepi jalan tu. Setentang dengan Kedai Kopi Mail tu. Mail tu boleh maju takkan kita tak boleh maju juga,” kata Kalsum.

“Kenapa Abang Mazlan macam tu? Asyik membangkang saja. Tanah dah ada. Jual sajalah. Arwah abah beli tanah-tanah tu pun dulu sebab nak tinggalkan pada kita. Kalau sesak macam sekarang bolehlah jual untuk teruskan hidup,” kata Kalsum.

“Cakap hang tu betul tapi dia mungkin sayangkan tanah tu. Dia yang duk pergi tengok tanah tu dengan arwah abah masa kecik dulu. Sampai nyaris kena patuk dengar ular tedung selar. Hang tak ingat?” balas Fauziah.

“Betullah tu kak. Tapi kenangan macam tu elok simpan sajalah dalam fikiran. Tak payahlah dibawa sampai ke realiti. Realitinya kakak dan saya perlu duit. Duit tanah tu boleh bantu,” kata Kalsum lagi.

“Itulah. Tapi dia dah tak nak, nak buat macam mana. Kalau ada jalan dapat lembutkan hatinya kan bagus. Hang ada jalan?” balas Fauziah.

“Kita minta tolong Kak Limah pujuk dia, kak,” jawab Kalsum.

“Halimah?” tanya Fauziah.

Kalsum mengangguk. “Kalau Kak Limah pujuk dia mesti lembut hati. Abang Mazlan tu sayang sungguh pada Kak Limah. Lagi pun Kak Limah tu baik orangnya. Cakapnya mesti beri kesan pada Abang Mazlan.”

“Malulah. Nanti apa pula cakap Halimah. Nanti dia fikir kita kemaruk sangat nak jual tanah tu. Anak-anak perempuan Haji Zainul, gila jual harta. Hang nak dia fikir macam tu?” kata Fauziah.

“Kak Limah tak kan fikir macam tu kak. Cek dah duduk lama dengan dia. Cek tahu dia baik hati. Perihal keluarga cek pun dia tak tanya sepatah pun. Cek yang beritahu dia macam-macam. Cek pun tak dengar dia sebarkan kisah keluarga cek ni pada orang-orang kampung,” jelas Kalsum.

Fauziah berfikir sejenak. “Jikalau macam tu, hang saja cakap dengan dia. Boleh? Jangan pula hang kata aku suruh hang pujuk dia. Jangan sesekali beritahu pasal masalah syarikat Abang Khalid tu.”

“Baik,” sambut Kalsum, riang.

Selepas makan tengah hari bersama Mazlan dan anak-anak, Halimah melepaskan lelah di ruang tamu. Entah mengapa akhir-akhir ini badannya berasa letih walaupun bekerja sekerat hari pada sabtu itu. Mazlan dan Azlan ke pekan Kulim untuk menggunting rambut. Raudhah pula sudah terlena di sofa panjang.

Di luar terdengar seseorang memberi salam. Halimah yang hampir tertidur tersedar lalu menjawab salam dan segera ke pintu.

“Hang ke Kalsum. Kakak ingatkan siapa tadi. Masuk, masuk,” kata Halimah sebaik melihat Kalsum. Dia memang tidak dapat mengecam suara Kalsum tadi kerana mengantuk.

“Kak dah lena ke?” tanya Kalsum sambil masuk ke dalam rumah.

Halimah tersenyum. “Hampir nak lena. Duduklah.” Kemudian dia menghilang ke dapur. Kembali dengan membawa sejag jus oren dan sepiring karipap ke ruang tamu. Meletakkan minuman dan makanan itu di atas meja kopi.

“Ini saja yang ada Sum. Jus oren dan karipap,” kata Halimah sambil menuang jus oren ke dalam gelas.

“Kak ni susah-susah saja,” kata Kalsum lalu mengambil sebiji karipap dan memakannya. “Sedap karipap ni kak. Kak buat?”

“Kak buat inti dan dohnya. Yang lain pekerja yang buat. Kalau tak dibuat sendiri mana nak dapat untung,” jawab Halimah. “Makanlah sampai habis kalau dah sedap. Kak Fauziah sekeluarga ke Penang?”

Kalsum mengangguk-angguk. “Kak, cek ada hal nak mintak tolong kak ni,” katanya.

“Kalau kak boleh bantu, insyallah kak bantu,” jawab Halimah.

“Cek datang ni sebab Kak Fauziah suruh datang jumpa kak. Kak Fauziah malu hendak berjumpa sendiri dengan kak,” kata Kalsum.

“Kak Fauziah suruh Sum jumpa kak?” tanya Halimah, mahu mengesahkan apa yang didengarnya tadi.

“Ya, kak,” jawab Kalsum.

“Apa halnya?” tanya Halimah.

“Kak Fauziah minta kak pujuk Abang Mazlan supaya setuju jual tanah di Permatang Tinggi tu,” jawab Kalsum.

Halimah diam sejenak. “Tapi Abang Mazlan nampak sungguh-sungguh tak nak jual tanah tu.”

“Dia pasti setuju kalau kakak yang pujuk,” balas Kalsum.

“Abang Mazlan tak perlu ikut cakap kakak, Sum. Kakak yang mesti ikut cakap dia,” kata Halimah.

“Cek percaya dia akan ikut cakap kakak kalau kak pujuk. Tolonglah kak,” rayu Kalsum.

Halimah diam tidak memberi persetujuan.

“Kak Fauziah bukan saja-saja nak jual tanah tu kak. Dia nak jual bersebab. Syarikat Abang Khalid hadapi masalah kewangan. Tak ada modal hendak teruskan projek yang tengah berjalan sekarang. Kalau projek tu lambat siap kena samanlah nanti. Ekonomi teruk sekarang. Bank payah nak bagi pinjaman. Peniaga lain elak nak bagi hutang,” kata Kalsum.

“Abang Khalid hadapi masalah kewangan?” tanya Halimah terkejut.

“Ya, kak. Kalau bukan sebab tu Kak Fauziah pun tak nak jual tanah tu. Masa sempit macam ni lah tanah tu diperlukan,” jawab Kalsum.

“Begitu…” balas Halimah. Berasa simpati dengan Fauziah. “Kalau macam tu nanti kak cuba cakap dengan Abang Mazlan. Tetapi Sum beritahulah pada Kak Fauziah supaya jangan berharap sangat. Abang Mazlan tu kadang-kadang tegas.”

“Terima kasih, kak,” Kata Kalsum yang amat percaya yang Halimah mampu mengubah pendirian Mazlan. Dia sudah terbayangkan wang sejuta ringgit.

Azlan dan Raudhah sudah tidur. Halimah naik ke atas katil. Berbaring di sisi Mazlan. Perlahan dia memberitahu Mazlan tentang perjumpaannya dengan Kalsum petang tadi.

“Apa Sum tu nak?” tanya Mazlan.

“Dia hanya sampaikan hajat Kak Fauziah,” jawab Halimah.

“Apa hajat Kak Fauziah?” tanya Mazlan.

“Dia harap abang bersetuju jual tanah Permatang Tinggi tu,” jawab Kalsum.

“Sayang nak jual tanah tu, Mah. Kalau terpaksa tak apalah. Tetapi sekarang pemaju bukan nak ambik lagi,” jawab Mazlan. Belum sempat Halimah membuka mulut, Mazlan menyambung lagi, “Dulu abang dan arwah abah yang pi tengok tanah tu. Kami bersama-sama pekerja pi bubuh baja dan sebagainya. Abang nyaris nak kena patuk dengan ular tedung selar. Abang ingat lagi, arwah abah pesan, kalau boleh jangan jual tanah tu.”

“Tapi bang, syarikat Abang Khalid ada masalah kewangan. Tak cukup modal untuk teruskan projek. Nanti kena saman kalau tak siap,” kata Halimah, memujuk.

Mazlan diam seketika sebelum bersuara semula, “Syarikat kan boleh buat pinjaman. Kenapa ambik projek besar kalau tak cukup modal. Abang tengok depa tu mewah sangat. Dalam tak ada duit, siang tadi berbelanja juga di Penang. Berbeg-beg bawa balik. Semua pakaian jenama butik yang kita nak lalu di depannya pun seram sejuk.”

Halimah kalah dengan hujah suaminya itu. “Sekarang kan ekonomi teruk. Bank payah nak bagi pinjaman. Peniaga lain pun payah nak bagi hutang. Tapi kalau betul depa ada masalah macam mana bang?”

Mazlan tidak menjawab pertanyaan Halimah itu. “Sudahlah. Kita tidurlah.”

Pagi itu, Mazlan memanggil Fauziah untuk berbincang tentang hal tanah Permatang Tinggi itu. Mereka duduk berbual berdua di beranda. Kalsum sekeluarga ke pasar pagi di Kulim untuk membeli ikan, ayam, sayur dan lain-lain untuk dimasak bagi juadah tengah hari.

“Kak, cek bukan tak nak jual tanah tu. Tetapi sayanglah kak. Kalau hendak saja-saja jual, cek memang tak setuju. Kalau terpaksa jual, tak boleh dielak, itu cek tak boleh buat apa lah. Selagi boleh bertahan, cek nak bertahanlah kak,” kata Mazlan.

Fauziah menelan air liur. “Kita tak rugi apa, Mazlan. Kawan kakak tu tawarkan harga yang tinggi.”

“Betul tu. Harga tu memang tinggi pada masa sekarang tetapi harga tu rendah untuk lima enam tahun akan datang,” jawab Mazlan.

Fauziah mengeluh dalam. Sepanjang perjalanan ke Penang semalam dia ada berbincang hal tanah Permatang Tinggi itu dengan Khalid. Khalid berharap sangat tanah itu dapat dijual. Jikalau perlu mereka akan tinggal beberapa hari lagi di sini sampai Mazlan bersetuju. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu mengapa Khalid nampak tanah Permatang Tinggi milik keluarganya itu sahajalah sebagai penyelesaian yang ada. Khalid ada adik beradik yang ramai. Kesemua adik beradiknya kaya. Malah abang sulung Khalid, Datuk Kamil, adalah seorang jutawan. Jika Khalid mahu dia boleh sahaja minta tolong daripada adik beradiknya itu. Cukup dengan Datuk Kamil seorang pun sudah boleh selesaikan masalah pusingan modal syarikatnya itu. Setakat lima ratus ribu ringgit, bagi Datuk Kamal adalah amaun yang bukan apa-apa.

“Abang Khalid nak guna duit ke kak?” tanya Mazlan tiba-tiba.

Fauziah tersentak dari lamunan sedetiknya itu. “Eh, tak adalah.” Mukanya tiba-tiba disimbah merah kerana malu.

“Kak cakaplah yang benar,” kata Mazlan. “Macam mana nak berbincang kalau kak tak cakap hal yang sebenar,” sambungnya.

“Mana Mazlan dengar?” tanya Fauziah, kini riak mukanya serius bagi menyembunyikan malunya tadi.

“Halimah beritahu. Dia cuba pujuk cek malam tadi. Dia kata bisnes Abang Khalid ada masalah. Tak ada modal nak teruskan projek syarikat,” jawab Mazlan terus terang.

“Mana pula isteri hang tahu?” tanya Fauziah, mula menampakkan marah.

“Kalsum yang beritahu. Bukan ke kakak yang suruh Kalsum jumpa Halimah untuk pujuk saya?” tanya Mazlan, hairan.

“Pandai-pandai saja Sum tu. Hang percayalah cakap dia. Dia yang beria-ia nak jual, aku pula yang disangkutkannya. Memanglah aku ada pembeli. Tetapi kalau hang sudah tak setuju, aku taklah kemaruk sampai hendak pujuk rayu hang,” jawab Fauziah, cuba menyelamatkan diri sendiri.

“Baguslah macam tu. Saya pun takkan setuju walaupun dipujuk malah ditetak sekali pun untuk jual tanah tu. Kalau betul-betul syarikat Abang Khalid ada masalah kewangan, cek boleh bantu apa yang patut. Duit simpanan cek ada dekat 200 ribu. Kalau kak nak pakai dulu, cek boleh beri. Bila projek tu siap dan bayaran sudah terima, kak bayarlah balik,” kata Mazlan.

“Banyaknya duit hang Mazlan. Mana hang dapat?” tanya Fauziah teruja, terlupa kemarahannya sebentar tadi.

“Duit tanah dulu campur duit saya simpan setiap bulan hasil berniaga selama ni. Campur juga dengan dividen ASB yang saya tak pernah usik,” jawab Mazlan yang memang cermat orangnya.”Nak guna ke kak? Kalau nak guna saya nak uruskan pengeluarannya esok.”

Fauziah tersengih. “Syarikat Abang Khalid memang ada masalah kewangan. Kak malu nak mengaku kat hang tadi.”

“La. Betullah kata Kalsum. Besok cek uruskan pengeluaran tu,” kata Mazlan.

“Tapi Abang Khalid hang perlu lima ratus ribu,” kata Fauziah.

“Cek mana ada sampai lima ratus ribu kak. Lagi tiga ratus ribu mintalah tolong pada adik beradik Abang Khalid. Adik beradik dia pun semua berduit berharta,” jawab Mazlan yang memang tahu siapa adik beradik Khalid.

Fauziah terdiam. Malu tersimbah ke muka semula. “Baiklah,” balasnya perlahan.

Mazlan meminta diri. Sebaik Mazlan turun tangga, Kalsum, Karim dan anak-anak mereka sampai dari Kulim. Fauziah terus meminta Kalsum menemuinya di atas beranda.

“Kenapa hang kata kakak yang minta Halimah pujuk Mazlan tu?! Kan kak dah cakap jangan libatkan kakak! Malu aku, tahu tak?!” marah Fauziah, sebelum sempat Kalsum melabuhkan punggung di kerusi rotan di atas beranda itu.

Kalsum menggaru-garu kepala berpura-pura tidak mengerti. “Apa kak cakap ni?”

“Hang jangan buat tak tahu pulak?!” marah Fauziah. Mukanya merah. “Tadi Mazlan jumpa aku. Dia kata Halimah pujuk dia untuk jual tanah tu. Halimah kata hang jumpa dia atas arahan aku. Lagi satu hang beritahu aku kena jual tanah tu untuk selesaikan masalah kewangan syarikat Abang Khalid. Bukan begitu?!”

“Tak sangka pulak jadi begini…” balas Kalsum.

“Betullah hang kata begitu?!” Fauziah marah bukan main.

“Memanglah…” jawab Kalsum. “Tapi cek dah beritahu Kak Limah supaya jangan cakap kak yang minta dia pujuk Abang Mazlan. Cek pun beritahu pada Kak Limah jangan sebut pasal masalah syarikat Abang Khalid tu. Tak sangka dia beritahu juga pada Abang Mazlan,” dalihnya.

Fauziah diam mendengar dan menimbang kata-kata Kalsum itu.

“Kak Limah sengaja beritahu Abang Mazlan untuk buat Abang Mazlan lagi tak nak jual tanah tu kut kak,” fitnah Kalsum yang cuba menyalahkan Halimah.

Fauziah mengeluh dalam. “Tapi Mazlan memang tetap tak nak jual tanah tu.”

“Cek rasa macam tu lah kak. Kak Limah sengaja kenakan kita ni!” sambut Kalsum yang mula marah pula.

“Takkanlah dia nak buat begitu. Hang sendiri kata semalam dia tu baik,” kata Fauziah.

“Dari segi luarannya sahajalah kak. Tapi di belakang, tuhan saja yang tahu. Cek tak sangka Kak Limah tak boleh simpan rahsia,” jawab Kalsum.

“Kak pun tak sangka. Malu kak bila ditanya dengan Mazlan tadi. Nampak sangat kakak nak jual tanah tu sebab nak tolong Abang Khalid,” kata Fauziah.

“Cek dah cakap dengan Kak Limah banyak kali supaya rahsiakan hal tu daripada Abang Mazlan tapi dia beritahu jugak,” beritahu Kalsum sekali lagi.

“Tapi apa motif dia?” tanya Fauziah.

“Abang Mazlan kan kepala kuasa harta arwah bapa tu. Dia nak bolot seorang agaknya!” serkap Kalsum yang tak berasas. Mengapi-apikan kemarahan Fauziah supaya cenderung membakar Halimah.

“Ish, takkan sampai ke situ,” balas Fauziah.

“Manalah tahu kak,” jawab Kalsum. “Kita kenal luaran tapi dalaman? Dalam hati dia tu manalah kita tahu. Risau pulak saya nak duduk di sini.”

“Kenapa pulak?” tanya Fauziah, hairan.

“Manalah tahu dia tak selesa kami tinggal di sini. Tunggu cari alasan nak halau kami sahaja,” jawab Kalsum.

“Ini kan rumah pusaka. Siapa pun boleh duduk. Arwah abah tak letak nama sesiapa pun pada rumah dan tanah ni,” jawab Fauziah.

“Kak senanglah cakap sebab kak sudah ada rumah. Cek tak ada rumah sebab tu risau. Sebab itulah kalau dapat duit tanah tu bolehlah cek beli rumah sendiri. Duduk tak duduk lain kira. Yang penting dah ada rumah sendiri. Kalau jadi apa-apa adalah tempat nak tuju,” kata Kalsum.

Fauziah berasa kesian pula dengan Kalsum. “Mazlan tak nak jual tanah tu nak buat macam mana…” keluhnya.

“Ini semua sebab Kak Limahlah ni!” marah Kalsum. Sudah lama dia hendak lepaskan kata-kata itu. Dia cemburu bila orang kampung memandang tinggi pada Halimah. Surirumah-surirumah yang membeli barangan di Kedai Runcit Kudin selalu bercerita tentang betapa baiknya budi Halimah. Lama-lama perasaan cemburu terhadap kakak iparnya itu terbitlah. Membukit hari demi hari. Dia juga memang ada berangan hendak memiliki rumah pusaka itu dengan tapaknya sekali. Jika hanya dia dan keluarganya tinggal di situ, tingkat atas dan bawah rumah pusaka itu akan jadi miliknya. Dengan sedikit ubah suai, rumah pusaka itu akan lebih cantik. Dikepung pula nanti dengan pagar batu dan pintu pagar berkerawang, ia akan jadi banglo dengan halaman rumah yang luas.

“Cakap perlahan sikit. Nanti Halimah dengar apa pula kata dia,” tegur Fauziah.

“Cek peduli apa. Geram cek ni kak. Cek dah berangan-angan nak buat macam-macam kalau dapat duit tanah tu. Alih-alih tak dapat. Abang Mazlan tu ikut sangat cakap bini. Macam lembu dicucuk hidung!” luah Kalsum.

“Mazlan yang tak nak dari mula,” kata Fauziah, belum terpancing dengan tuba Kalsum.

“Tapi Kak Limah buat Abang Mazlan lagi tak nak jual tanah tu,” jawab Kalsum. “Cuba kalau dia pujuk rayu Abang Mazlan, mesti Abang Mazlan akan setuju jual tanah tu. Memang dia nak bolot semua harta kita kak. Kak tak tahu, apa jadi kat cek dalam rumah ni. Cek tahulah. La ni baru cek tahu kenapa jadi macam tu pada cek.”

Fauziah membeliakkan mata. “Hang cakap apa?”

Kalsum menceritakan tentang saka keluarga Halimah yang mengacaunya beberapa bulan yang lalu itu.

Fauziah terkejut besar. “Betul ke?”

“Abang Karim pun nampak benda tu kak selepas balik dari masjid. Dia duduk atas bumbung rumah ni. Benda tu lari bila Abang Karim tenung lama,” jawab Kalsum.

“Eh, seram aku aih. Naik bulu roma ni…” kata Fauziah yang bulu romanya sudah pun meremang.

“Cek rasalah kak. Kak Limah ambik benda tu dari adik dia. Benda tu mesti kena diwarisi. Kalau tak orang yang membelanya tak boleh nak mati. Lepas Kak Limah ambil barulah Si Habshah tu boleh mati,” fitnah Kalsum.

Fauziah tidak menyambut kata-kata Kalsum itu. Masih memikirkan kerasionalan kata-kata adiknya itu.

“Dia guna saka tu untuk halau cek dari rumah ni. Baru sekarang cek nampak. Sebab benda tu kacau keluarga cek saja. Benda tu tak kacau pun keluarga dia,” kata Kalsum lagi.

“Betul ke ni Sum?” tanya Fauziah, yang masih ragu-ragu.

“Betullah kak,” jawab Kalsum dengan pantas. “Sebab tu Kak Limah berani beritahu Abang Mazlan tentang masalah kak tu. Padahal saya sudah pesan jangan bocorkan rahsia tu. Orang membela ni kak memang berani. Macam Kak Ani tu dulu, mulut lancang bukan main. Siapa yang tak dikatanya. Rupa-rupanya membela.”

Fauziah masih belum dapat menelan bulat-bulat kata-kata Kalsum itu.

“Kena pada kak barulah kak tahu nanti,” kata Kalsum.

Khalid muncul dari bawah. Perbualan dua beradik perempuan itu mati di situ.

“Bila kita balik Fauziah?” tanya Khalid.

“Besok atau lusalah bang,” jawab Fauziah.

“Okey,” jawab Khalid sepatah kemudian lalu kembali ke kereta. Dia membersihkan karpet kereta. Mengibas-ngibasnya pada pokok limau kasturi di sorong rumah itu.

Di atas rumah, di balik pintu di antara beranda dan ruang tamu itu, Karim yang mendengar semua perbualan di antara isterinya dan Fauziah tersenyum lebar.

Previous: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin