Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 2

Bab 2

“Aku fikir aku hendak berhenti cari klien. Tidak mahu kutip lagi. Tak sedap hati,” kata Bakar, menarik sebatang rokok Marlboro dari kotaknya. Kotak rokok itu diletakkan di atas meja. Kemudian mencucuh batang rokok Marlboro yang sudah tergantung di bibirnya itu. Menyedut rakus dan menghembus asap rokok itu beberapa saat selepas itu.

“Apa yang hang takutkan?” balas Dahlan yang baru menarik sebatang rokok Dunhill dari kotak rokok Dunhill. Rokok Dunhill yang sudah tergantung di bibir itu dicucuh. Dia berlagak santai menyedut dan menghembus asap rokok itu.

“Pihak berkuasa masih pantau. Tunggu masa sahaja hendak bungkus,” kata Bakar. Dia sudah menilai keadaan. Dia tahu syarikat pelaburan Pak Lang itu menanti masa untuk gulung tikar.

“Depa tu memang macam tu. Bukan hang tak tahu. Bank Negara sudah kecut. Ekonomi sekarang teruk. Depa tak ada kuasa. Memang bos kena bayar denda 250 ribu. Bayar tunai! Tapi hakim suruh depa bagi balik 1.7 juta ringgit duit yang dirampas dari rumah bos. Ramai orang sudah tak simpan di bank-bank. Yang simpan di bank semua sudah keluarkan. Labur dengan kita sebab lebih untung!” balas Dahlan.

“Aku tahu tu. Tapi aku tak sedap hati,” luah Bakar.

“Bodohlah hang kalau berhenti sekarang. Masa ni lah kita nak buat untung. Lebih ramai orang melabur dengan kita sejak kes mahkamah tu. Depa tu macam bagi promosi percuma pada kita saja,” kata Dahlan, mencicip kopi panas yang baru sampai.

Bakar mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Dahlan itu. Sejak kes mahkamah tempoh hari memang lebih ramai yang bertanya dan melabur di dalam skim pelaburan mereka itu. Semalam sahaja deposit pelaburan yang dikutipnya mencecah lima puluh ribu ringgit. Malah semalam sahaja sudah ada tanda-tanda sembilan orang bakal pelabur menunjukkan kesediaan untuk melabur dalam sehari dua ini. Pelabur yang sedia ada pula ramai yang mahu melabur lebih banyak dalam masa terdekat. Tidak dinafikannya sejak menjadi agen skim pelaburan itu hidupnya bertukar mewah. Hanya bermodalkan air liur dia berjaya mendapat komisen beribu ringgit sebulan. Sejak dua bulan lalu duit komisennya sudah mencecah lima angka.

Dahlan meneruskan kata-kata lagi, “Hang nak risau apa. Karim orang kuat bos. Dia tentu akan beritahu pada kita kalau ada yang tak kena nanti. Selama ini dia cepat maklumkan pada kita segala perkembangan terbaru.”

Bakar mengangguk, mengalah. Pujukan Dahlan itu berjaya menghalau kebimbangannya.

“Hah, panjang umur dia! Baru sebut sudah sampai,” kata Dahlan.

Sebuah Mercedes Benz S320 berwarna hitam metalik yang bersinar-sinar berhenti di hadapan kedai mamak itu. Dari dalamnya keluar lelaki berpakaian kemas. Berkemeja putih lengan panjang, berseluar slack hitam dan berkasut kulit coklat pekat. Di poket kemejanya tergantung kaca mata hitam jenama Ray-Ban bersama sebatang pen Parker Duofold. Selepas mengunci kereta mewah itu dia berjalan terus ke arah meja yang diduduki oleh Bakar dan Dahlan. Bersalaman dengan mereka berdua dan kemudian menyeluk poket seluar. Dia meletakkan pemetik api zippo dan sekotak Dunhill yang belum dibuka ke atas meja. Kemudian meletakkan pula telefon bimbit Nokia 3210 yang dipegangnya sejak tadi di sisi kotak Dunhill dan pemetik api zippo itu.

“Hangpa berdua sudah lama sampai?” tanya lelaki yang baru duduk itu.

“Baru sahaja. Air pun baru sampai,” jawab Dahlan.

“Aku terbangun lewat. Malam tadi jumpa ramai orang,” jawab Karim.

“Dekat mana?” tanya Dahlan.

“Kuala Muda. Tauke sawah padi,” jawab Karim.

“Orang melayu?” tanya Dahlan lagi.

“Melayu kita lah. Banyak duit dia ni,” jawab Karim, tersenyum.

“Dia masuk ke tak?” tanya Dahlan lagi.

“Ini Karimlah. Tak biasa orang yang aku jumpa tak masuk,” jawab Karim dengan angkuh. Dia menggamit pembantu restoran yang sedang mengambil pesanan di meja hujung. “Celaka mamak ni. Aku gamit dari tadi dia buat tak reti sahaja.” ngomelnya selepas menggamit beberapa kali.

“Hei mamak. Bos kita panggil sudah banyak kali kenapa tak datang ambil pesanan?!” marah Dahlan kepada pemilik restoran yang kebetulan melalui meja mereka itu.

Pemilik restoran itu memanggil pembantu restoran yang lain untuk mengambil pesanan Karim. Kemudian memanggil pula pembantu restoran yang digamit Karim tadi. Memarahinya kerana tidak melayan Karim dengan sebaiknya. Karim pelanggan tetapnya sejak dulu. Sejak Karim berduit memang restorannya itu menjadi tempat Karim belanja kawan-kawannya.

“Eh Bakar, kenapa hang diam dari tadi?” tanya Karim.

Bakar mengeluh lalu tersenyum ragu.

“Dia risaukan kes mahkamah hari tu. Takut nak kutip dah,” kata Dahlan.

“Tak ada apa-apalah. Kalau bersalah bukan sahaja kena denda tapi duit yang kena rampas tu tentu depa tak pulangkan balik,” kata Karim.

“Hah, dengar tu Bakar. Macam aku beritahu hang tadi,” sambut Dahlan.

“Tak ada apa nak dirisaukan. Dividen bukan turun tapi bertambah lagi. Maknanya apa? Maknanya pelaburan kita semakin berdaya maju dan kukuh,” kata Karim.

“Aku cuma terfikir. Aku anak jati sini. Kebanyakkan orang yang melabur melalui aku ialah orang-orang yang aku kenal. Macam mana aku nak hidup kalau skim pelaburan tu gulung tikar,” luah Bakar.

“Aku yakin semuanya okey. Hang jangan risau,” pujuk Karim. “Kalau ada apa-apa hangpa berdua orang pertama aku beritahu. Aku pasti dapat tahu apa-apa lebih awal berbanding sesiapa pun. Abang Ramlan kenal Pak Lang tu dah lama. Takkan aku nak aniaya hangpa…”

“Kan aku dah cakap,” sambut Dahlan sambil mengangguk-angguk bangga memandang Bakar.

Karim memujuk kerana bersebab. Bakar ahli kumpulannya yang paling besar peningkatannya dalam kutipan deposit pelaburan sejak beberapa bulan ini. Beberapa minggu sebelum Pak Lang ditangkap dan dibicarakan, Bakar ada merujuk satu pelabur berpotensi kepadanya. Bakar minta nasihatnya bagaimana hendak berhadapan dengan pelabur berpotensi itu. Pelabur berpotensi ini banyak harta. Bersedia menjual tanah jika dapat diyakinkan tentang keuntungan yang bakal diperolehi jika melabur di dalam skim pelaburan itu. Jika Bakar menarik diri sekarang rugi besarlah dia. Ini kerana pelabur berpotensi itu hanya percaya pada Bakar.

Pesanan Karim sampai. Kopi O panas, roti bakar dan telur separuh masuk terhidang di hadapannya. Kopi O panas dicicip. Roti bakar dikunyah perlahan-lahan. Kemudian dia berkata lagi, “Macam mana dengan Pak Long Kerbau? Jadi ke dia masuk?”

Bakar berfikir lama. “Jadilah kalau kita boleh yakinkan dia.”

“Hang dah jumpa dia semula?” tanya Karim.

“Aku takut. Kalau jadi, dia pasti melabur banyak. Kalau jadi apa-apa nanti teruk aku kena tanggung?” balas Bakar.

“Semuanya okey. Hang jangan risau. Percaya cakap aku. Kita jumpa dia hari ni boleh?” pujuk Karim lagi.

Bakar teragak-agak hendak menjawab.

“Aku yang cakap dengan dia. Tapi komisen tetap hang punya. Macam mana?” umpan Karim.

“Engkau yang cakapdengan dia?” tanya Bakar ingin mengesahkan.

Karim mengangguk. “Dan komisen hang punya.”

“Kalau macam tu aku setuju,” balas Bakar dengan pantas lalu tersengih.

Karim tersenyum panjang. Dahlan mencebik, mengejek.

Beberapa hari berlalu sejak dia bermimpikan bayi perempuan itu. Pagi itu, ketika dia mahu menyabun badan ketika mandi, alangkah terkejut bila didapatinya bahagian payu dara sebelah kiri berhampiran dengan puting itu sudah lebam. Lebam itu berwarna hijau kekuningan. Ia berdenyut sakit.

“Aku mimpi bayi perempuan lagi,” kata Habshah pada Latifah, rakan sekerjanya di bahagian sumber manusia sebuah syarikat elektronik terkemuka dunia itu.

“Nak dapat bayi perempuanlah tu,” balas Latifah, menarik matanya dari skrin komputer dan memberikan tumpuan kepada kawan karibnya itu. “Seronoklah engkau. Tahniah, tahniah,” ucapnya melulu. Tahu betapa Habshah mahukan anak lagi.

“Betul ke mimpi tu maksudnya begitu?” tanya Habshah, ragu-ragu.

“Sudah berapa kali engkau mimpi macam ni?” tanya Latifah.

“Tiga,” jawab Habshah.

“Memang sahlah tu. Tuhan nak bagi engkau yakinlah tu…” simpul Latifah.

“Dia bukan sahaja menyusu tapi digigitnya puting aku sampai berdarah!” beritahu Habshah. “Muka dia berubah hodoh. Takut aku,” sambungnya lagi.

“Yang bahagian tu mainan tidur saja kut,” balas Latifah.

“Mainan tidur apanya…” jawab Habshah lalu menarik tangan Latifah supaya mengikutinya.

Sekarang mereka berdua di dalam tandas. Habshah menunjukkan lebam pada payu dara kirinya itu kepada Latifah. Latifah terkejut melihat lebam yang sudah membiru itu. Tetapi dia ada jawapan untuk itu.

“Mungkin bakal bayi perempuan engkau tu nak beritahu sesuatu pada engkau tak?” kata Latifah.

Habshah kebingungan. “Beritahu apa?” tanyanya.

Latifah berfikir sebentar sebelum menjawab, “Engkau ada rasa sakit-sakit tak dekat situ?”

Habshah mengangguk.

“Cuba engkau buka baju. Periksa ada benjolan atau tidak pada payu dara engkau tu,” kata Latifah.

Habshah menurut. Dia membuka baju semula dan memeriksa kedua-dua belah payu dara di hadapan cermin tandas. Latifah menjaga pintu tandas. Bimbang jika ada pekerja lain mahu menggunakan tandas di kala rakannya itu membuat pemeriksaan sendiri payu dara.

Habshah merasa sakit bila meraba payu dara kirinya itu. Jari-jarinya mengesan benjolan di kawasan bawah payu dara kiri itu. Dia meraba-raba semula kawasan tersebut. Sah memang terdapat benjolan di situ. Dia segera memanggil Latifah dan meminta kawan baiknya itu meraba bahagian tersebut.

“Ada benjol. Kanser payu dara kut?” kata Latifah, terlepas cakap.

Habshah cepat memakai blausnya semula. Dia berdiri sambil tertunduk di hadapan cermin tandas itu. Dia bimbang dengan penemuan itu.

“Mungkin juga bukan kanser, Sah. Periksa dengan pakar dahulu,” pujuk Latifah.

Habshah diam lama sebelum menjawab, “Aku takut.”

“Dapat tahu apa bendanya lebih awal lagi bagus. Takkan hendak dibiar sudah teruk baru hendak rujuk pada pakar,” pujuk Latifah lagi.

“Nantilah aku fikirkan,” kata Habshah dan berlalu dari situ.

Latifah terus memujuk kawan baiknya itu supaya bertemu dengan pakar perubatan.

Hari demi hari bahagian yang lebam itu semakin merebak. Payu dara kiri itu pula semakin hari semakin sakit. Selepas dipujuk berkali-kali oleh Latifah, akhirnya Habshah mahu juga bertemu dengan pakar. Mereka berdua ke salah sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Habshah menjalani pemeriksaan mamogram. Keputusan pemeriksaan diperolehi. Habshah yang ditemani Latifah masuk ke dalam bilik pakar. Dr Ayuni menyambut mereka dengan ramah.

Habshah berdebar-debar. Latifah menenangkannya. Dr Ayuni berbicara selepas meneliti sekali lagi fail ujian mammogram milik Habshah itu.

“Bagaimana kesihatan puan selepas jalani ujian tempoh hari?” tanya Dr Ayuni.

“Semakin sakit, doktor,” jawab Habshah terus terang.

“Begini Puan Habshah, ujian mamogram menunjukkan puan positif kanser payu dara tahap dua,” kata Dr Ayuni.

Habshah terkejut. Jantungnya bagai disentap. Mukanya berubah pucat.

“Saya harap puan bersabar. Baru di tahap dua. Kita boleh usahakan sesuatu supaya ia terkawal,” sambung Dr Ayuni lagi.

Habshah menitiskan air mata. Latifah cuba menenangkannya.

Kanser yang menyerang payu dara kirinya itu merebak dengan begitu pantas sehingga menyebabkan Dr Ayuni dan pakar-pakar lain berasa hairan. Kumpulan pakar itu tidak pernah berdepan dengan kes sebegitu selama ini. Tidak sampai sebulan tahap kanser payu dara Habshah itu melompat dari tahap dua ke tahap empat walaupun sudah diusahakan pelbagai rawatan untuk melambatkan perebakan. Tiada apa lagi yang boleh dibuat sekarang kecuali membuang payu dara kiri itu. Walaupun keberatan tetapi dia akur. Berat badannya susut mendadak. Rambutnya gugur kerana kimoterapi. Dia tidak lagi seperti Habshah yang dulu. Kecantikannya yang masih menyerlah walaupun sudah di usia 40an itu perlahan-lahan sirna.

Ketika dia gigih untuk pulih dengan menjalani rawatan kimoterapi tiba-tiba payu dara kanannya pula disahkan dijangkiti kanser. Ini lebih membingungkan kumpulan pakar kanser payu dara hospital swasta tersebut. Hal itu tidak dikesan dalam ujian mamogram sebelumnya. Seperti payu dara kirinya yang sudah dibuang itu, kanser cepat memusnahkan payu dara kanannya itu juga. Tidak sampai sebulan tahap kanser itu melompat dari tahap dua ke tahap empat sehingga menyebabkan payu dara kanan itu juga terpaksa dibuang.

Habshah menangis mengenangkan nasibnya. Dia berasakan dirinya tidak lagi seperti seorang perempuan dan isteri. Apa sahaja tindakan suaminya mula dicurigainya. Dia berasa suaminya sudah tidak mengingininya lagi. Dia berasa suaminya sudah memandangnya lain. Dia berasa kasih sayang suaminya terhadapnya semakin lama semakin menipis.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin