Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 15

Karim tersenyum sendirian di beranda rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu. Dia sedang menghirup udara segar pagi. Dia gembira kerana perancangan awalnya telah berjaya. Peristiwa di Kedai Kopi Mail itu sudah mencuci calatkan namanya yang busuk dulu. Memang berbaloi walaupun matanya lebam ditumbuk Dahlan. Sekarang dia sudah boleh menonjolkan diri. Tidak perlu menyembunyikan diri lagi.

Dia ingin menjadi seperti dahulu. Berduit dan dihormati. Mahu kembali berpakaian dan berkereta mewah. Mahu rumah yang lebih besar.

Dia ada cara untuk mencapai semua itu. Cara yang difikirkannya secara mendalam sepanjang berada di Indonesia. Dia akan melaksanakan rancangan-rancangan seterusnya secepat yang mungkin supaya boleh menjadi lebih hebat daripada dulu sesegera mungkin. Dia perlu menyingkirkan halangan-halangan yang ada terlebih dahulu.

Kalsum menoleh ke belakang dengan pantas. Dia berasa ada seseorang yang sedang melintas di belakangnya sebentar tadi.

“Lutfi! Lutfi!” Dia memanggil anaknya. Kemudian berasa bodoh sendiri kerana baru teringatkan yang anak lelakinya itu mengikut Karim ke masjid.

“Zakiah! Soraya!” jerit Kalsum lagi. Anak-anak perempuannya yang berada di dalam bilik tidur mendapatkannya di ruang tengah.

“Kenapa mama?” tanya Zakiah.

“Zakiah ada lalu sini tadi?” tanya Kalsum.

“Tak ada,” Zakiah.

“Betul Zakiah tak lalu di belakang mama tadi?” tanya Kalsum lagi.

“Ya,” jawab Zakiah lalu melesit pergi dari situ. Kembali ke bilik tidur.

“Soraya?” tanya Kalsum kepada anak bongsunya itu.

Soraya menggelengkan kepala dan terus berlalu pergi dari situ.

Kalsum mengeluh. Perasaannya sahaja barangkali, detik hatinya. Dia menyeterika baju semula. Tiba-tiba dia terdengar Halimah memanggilnya. Dia berpaling dan Halimah tiada di situ. Seingatnya Halimah memang tidak pernah lagi naik ke tingkat atas itu semenjak dia sekeluarga tinggal di situ. Paling dekat pun Halimah pernah naik sejauh beranda sahaja. Mereka berdua selalu duduk berbual di situ.

Kalsum terdengar bunyi tangga berkeriuk. Adakah Halimah memanggilnya dari tangga dalam rumah itu? Dia bergegas ke situ tetapi tiada sesiapa di situ. Kemudian baru teringatkan yang keluarga abangnya itu ke Klang untuk menghadiri kenduri arwah Habshah.

Teringatkan Habshah, bulu romanya terus meremang. Dia segera kembali ke ruang tengah dan menyeterika baju semula. Cuba tidak melayan perasaan takut yang mula bercambah.

Bunyi detap kedengaran di atas bumbung. Dia berhenti menyeterika. Memusatkan perhatian pada bunyi tersebut. Berasa ada seseorang di belakangnya. Dia menoleh ke belakang. Beristighfar sambil mengurut dada. Zakiah berdiri di muka pintu di antara ruang sorong dan ruang tengah itu.

“Bunyi apa tu tadi mak?” tanya Zakiah.

“Musang kut,” jawab Kalsum.

Zakiah mendekati Kalsum. “Kakak takut…” katanya.

Kalsum memeluk Zakiah. Mereka ke ruang sorong. Duduk di sofa. Soraya sedang nyenyak tidur di salah sebuah sofa. Dia buka televisyen dengan suara kuat. Tetapi bulu roma Kalsum terus meremang. Entah mengapa dia teringatkan kejadian yang berlaku kepada Habshah dahulu.

Pintu tingkat atas itu diketuk orang. Kalsum terkejut besar. Dia dan Zakiah mendekati pintu.

“Siapa?” tanya Kalsum.

Tiada jawapan.

“Siapa?” tanya Kalsum lagi.

Tiada jawapan.

“Siapa?” ulang Kalsum lagi.

“Lutfi mama,” jawab suara di balik pintu.

Kalsum segera membuka pintu. Lutfi yang berdiri di tangga tersengih.

“Kenapa tak jawab tadi?” tanya Kalsum.

Lutfi tersengih sahaja lantas masuk ke dalam rumah.

“Papa hang mana?” tanya Kalsum kepada Lutfi yang sudah pun duduk di hadapan telivisyen.

“Ada belakang Lutfi tadi,” jawab Lutfi.

Kalsum turun ke beranda. Dia melihat ke bawah. Dia melihat Karim yang masih berada di tanah melihat ke arah bumbung.

“Apa yang abang tengok tu bang?” tanya Kalsum.

Karim berpura-pura terkejut ditegur begitu. Kemudian lekas berkata, “Eh, tak ada apa-apa. Tengok bulan tu. Terang semacam malam ni.”

Kalsum masuk ke dalam rumah. Sementara Karim tersengih sendirian.

Pada malam yang lain, Kalsum tertidur awal. Itu bukan kebiasaannya. Selalunya dia akan berjaga sampai lewat malam. Anak-anaknya jenis tidur lewat. Dia hanya akan tidur selepas anak-anaknya tidur. Tetapi malam itu, mereka tertidur awal. Hanya Karim yang masih berjaga. Memang ini rencananya. Memukau Kalsum dan anak-anaknya itu supaya tertidur.

Karim di ruang tengah. Bersila kemas di tengah-tengahnya. Memejamkan mata lalu dari mulutnya terbitlah serangkaian mantera. Selepas itu dia pun diam. Tidak lama kemudian di hadapannya muncullah sesusuk lembaga hitam, berbulu dan amat besar. Mata lembaga itu merah menyala.

“Jalankan tugas engkau malam ini,” arah Karim.

Lembaga itu mendekati Kalsum yang sedang tidur dan menindihnya sehingga sukar bernafas.

“Pergi! Tolong! Tolong!” jerit Kalsum. Tetapi tindihan terhadapnya semakin kuat. Bergema di telinganya, ‘Aku akan balas dendam kepada kamu semua!”

Lama Kalsum berkeadaan begitu. Sehinggalah dia berasa badannya tidak ditindih lagi. Dia segera membuka mata. Dia ternampak samar-samar perempuan muda di dalam bilik yang gelap itu. Perempuan muda itu berundur dari katil dan menghilang di balik dinding.

Kalsum terbidas bangun. “Abang!” jeritnya.

Karim yang berpura-pura tidur berlakon terkejut. Terbidas bangun lantas melihat ke arah Kalsum. “Kenapa?” tanyanya.

“Ada hantu!” jawab Kalsum sambil menunjuk ke arah dinding di hujung katil.

“Apa? Hantu?” tanya Karim.

“Ya. Hantu tu tindih Sum tadi!” jelas Habshah dalam suara yang menggeletar.

“Hantu apa?” tanya Karim.

“Saka keluarga Kak Limah,” jawab Kalsum tanpa banyak siasat.

“Perempuan muda?” tanya Karim.

Kalsum mengangguk. “Mana abang tahu?”

“Sum ingat tak malam tu Sum ada tegur abang tengok apa atas bumbung?” tanya Karim.

Kalsum mengangguk. “Abang tengok hantu tu ke bang?”

Karim mengangguk. “Benda tu duk atas bumbung. Lepas tu terus hilang entah ke mana.”

“Malam tu memang bunyi macam-macam. Bunyi alang, bunyi ada benda berjalan atas bumbung dan dengar suara Kak Limah panggil Sum. Hari tu Kak Limah sekeluarga mana ada di sini. Depa ke Klang,” beritahu Kalsum.

“Kenapa Sum tak beritahu abang malam tu?” tanya Karim, pura-pura tidak tahu.

“Sum takut tersalah dengar. Takut mainan perasaan saja,” jawab Kalsum.

“Benda tu lah. Apa lagi…” balas Karim.

Kalsum terlopong. Bulu romanya meremang. “Kan Ustaz Yahya sudah halau dulu.”

“Bukannya benda tu tak boleh datang balik,” jawab Karim.

“Kita bukan buat apa-apa pada benda tu. Kita tak terlibat,” jawab Kalsum.

“Memanglah. Tapi benda tu mesti kacau seluruh penghuni rumah ni. Nak balas dendam,” jawab Karim.

Kalsum menelan air liur. Takut.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin