Fauziah sekeluarga datang
menziarah Keluarga Mazlan dan Keluarga Kalsum. Mereka sampai petang Jumaat dan
akan pulang pada petang ahad seperti selalu. Kali ini kedatangan Fauziah bukan
semata-mata hendak menziarah tetapi untuk membincangkan sesuatu yang penting.
Fauziah memanggil adik-adiknya
untuk berkumpul di beranda rumah selepas solat isyak. Karim, Abang Khalid dan
Halimah ada sekali. Anak-anak mereka bermain di ruang tamu di tingkat bawah.
Sementara anak sulung Fauziah yang sudah remaja sedang membaca novel di atas
sofa di ruang sorong tingkat atas.
“Kakak minta hangpa berdua berkumpul
ni sebab ada hal penting nak dibincang,” kata Fauziah.
Cerita bohong Karim tentang
pengalamannya menuntut ilmu agama di pesantren tersingkir begitu sahaja. Semua
perhatian kini tertumpu kepada Fauziah pula.
“Berkenaan tanah arwah abah di
Permatang Tinggi tu,” sambung Fauziah.
“Ada orang nak beli ke kak?”
tanya Kalsum, teruja.
“Ya. Kawan kakak dari Kuala
Lumpur,” jawab Fauziah.
“Berapa harga dia letak?” tanya
Kalsum, matanya bersina-sinar gembira.
“Tiga juta,” jawab Fauziah.
“Tiga juta?!” Kalsum benar-benar
teruja.
“Apa kata hang, Mazlan?” tanya
Fauziah kepada Mazlan yang tidak memberi apa-apa reaksi.
Mazlan melepaskan nafas. “Siapa
orang yang nak beli tu, kak? Orang melayu ke cina?”
“Orang melayu,” jawab Fauziah.
“Kenapa dia nak beli, kak?” tanya
Mazlan lagi.
“Mungkin dia nak kumpul harta,”
jawab Fauziah.
“Siapa dia tu kak?” tanya Mazlan
lagi.
“Dia orang kanan Datuk Farid,
ahli parlimen tu,” jawab Fauziah.
“Patutlah…” balas Mazlan.
“Kenapa Mazlan?” tanya Fauziah.
“Cek dengar tempat tu nak dibangunkan
dengan sebuah bandar baru mungkin dalam lima enam tahun dari sekarang. Dalam
tiga empat tahun lagi tanah di kawasan tu mesti meningkat mendadak. Tiga juta
yang ditawarkan kawan kakak tu mungkin boleh pergi sekali atau dua kali ganda
lagi pada masa tu,” terang Mazlan.
“Abang tahu mana?” tanya Kalsum,
ada nada tidak puas hati terselit di dalam pertanyaan itu.
“Dengar orang cakap,” jawab
Mazlan.
“Bukan boleh percaya cakap-cakap
orang ni. Sementara ada orang nak beli sekarang, baik kita jual sahajalah.
Dapat juga sejuta seorang. Kita tak ikut faraid kan? Bahagi sama rata, kan?”
balas Kalsum, gopoh.
Mazlan menggeleng-gelengkan
kepala dengan sikap Kalsum yang tidak berubah. Tanah di Mahang dulu pun
Kalsumlah yang beria-ia mahu menjualnya. Dia berkeras pada mulanya tetapi
terpaksa akur kerana Kalsum berjaya memujuk Fauziah untuk menyokongnya.
Akhirnya tanah yang beberapa ekar itu terlepas ke tangan Cikgu Hamid dengan
nilai hanya beberapa puluh ribu ringgit. Beberapa bulan selepas itu tanah itu
menjadi milik tauke cina kilang papan pula. Dengar ceritanya Cikgu Hamid itu
hanya menjadi orang tengah kepada Ah Hong, tauke cina kilang papan itu. Urusan
jual beli semua atas nama Cikgu Hamid. Kemudian Cikgu Hamid pindah pemilikan
tanah itu kepada Ah Hong. Itu cara Ah Hong beli tanah-tanah orang melayu yang
enggan berurusan dengan bangsa lain. Cikgu Hamid dapat komisen dan gembira
mengkhianati bangsanya sendiri. Selepas beberapa bulan Ah Hong jual pula pada
tauke cina kilang papan dengan harga beratus ribu ringgit.
“Kakak pun fikir macam tu, Mazlan,” kata
Fauziah. “Lagipun yang nak beli ni pun orang melayu. Tak apalah juga kalau
terlepas tanah pada bangsa sendiri.”
“Cek dah serik kena tipu. Kes Cikgu
Hamid dulu tu, kak tak ingat?” balas Mazlan, menegakkan pendiriannya.
“Cikgu Hamid tu manalah tahu kita
tahu jadi macam tu. Itu cerita lama, bang,” kata Kalsum.
“Cerita lamalah hendak kita buat
pengajaran,” jawab Mazlan.
Fauziah melihat Abang Khalid.
Abang Khalid mengangguk. Dia bersedia masuk campur. Mereka perlukan duit dalam
masa terdekat. Syarikatnya sedang menghadapi masalah. Perlu suntikan modal
kira-kira lima ratus ribu ringgit dengan segera. “Abang rasa begini Mazlan,
elok sajalah tanah tu kita jual. Abang kenal benar dengan Encik Ghafur ni. Dia
kawan sekelas abang semasa di Victoria Institution dulu. Orangnya baik. Tak
mungkin dia ni ali baba untuk mana-mana tauke cina. Lagi pula projek bandar
baru tu pun kita tak tahu jadi ke tidak. Kalau jadi baiklah. Kalau tidak
rugilah kita.”
Mazlan diam sahaja.
“Cek tak sanggup nak tunggu lima
enam tahun lagi,” sambut Kalsum pula. “Entah hidup atau tidak cek masa tu.
Sekurang-kurangnya nak merasa juga duit tanah tu semasa masih hidup ni. Buat
apa nak disimpan sementara ada orang nak beli.”
Mazlan mengeluh.
“Apa kata hang, Mazlan?” tanya
Fauziah lagi.
“Cek tak mahu jual tanah tu dalam
masa terdekat ni, kak. Kalau terpaksa jual sebab nak bangun bandar baru nanti,
masa tu baru cek setuju jual. Jual pada pemaju. Percayalah kak, Kalsum, masa tu
harganya lebih daripada tiga juta ringgit. Tetapi kalau depa tak jadi bangun
bandar baru di situ pun tak apa. Cek tak rasa rugi apa-apa sebab tanah tu masih
milik kita. Kalau kita tak ada bolehlah diwariskan pada anak cucu,” jawab
Mazlan. Dia kemudiannya segera meminta diri. Halimah mengekorinya.
Kalsum mendengus marah. Fauziah
mengeluh kecewa. Khalid gelisah di dalam hati. Halimah lega dengan keputusan
suaminya. Sementara Karim tersenyum riang di dalam hati.
Pagi besoknya, Kalsum dan Fauziah
berbual tentang perbincangan malam tadi. Mereka berdua duduk berbincang di
beranda. Mazlan dan Halimah keluar selepas subuh lagi untuk berniaga.
“Macam mana ni kak? Abang Mazlan
sungguh-sungguh tak setuju ni,” kata Kalsum.
Fauziah mengeluh dalam. “Itulah.
Kak pun memang perlukan duit sekarang ni. Syarikat Abang Khalid tak cukup modal
untuk buat projek.”
“Cek pun nak guna duit juga.
Ingat nak berniaga dekat depan tu. Dekat tanah arwah abah yang di tepi jalan
tu. Setentang dengan Kedai Kopi Mail tu. Mail tu boleh maju takkan kita tak
boleh maju juga,” kata Kalsum.
“Kenapa Abang Mazlan macam tu?
Asyik membangkang saja. Tanah dah ada. Jual sajalah. Arwah abah beli tanah-tanah
tu pun dulu sebab nak tinggalkan pada kita. Kalau sesak macam sekarang bolehlah
jual untuk teruskan hidup,” kata Kalsum.
“Cakap hang tu betul tapi dia
mungkin sayangkan tanah tu. Dia yang duk pergi tengok tanah tu dengan arwah
abah masa kecik dulu. Sampai nyaris kena patuk dengar ular tedung selar. Hang
tak ingat?” balas Fauziah.
“Betullah tu kak. Tapi kenangan
macam tu elok simpan sajalah dalam fikiran. Tak payahlah dibawa sampai ke
realiti. Realitinya kakak dan saya perlu duit. Duit tanah tu boleh bantu,” kata
Kalsum lagi.
“Itulah. Tapi dia dah tak nak,
nak buat macam mana. Kalau ada jalan dapat lembutkan hatinya kan bagus. Hang
ada jalan?” balas Fauziah.
“Kita minta tolong Kak Limah
pujuk dia, kak,” jawab Kalsum.
“Halimah?” tanya Fauziah.
Kalsum mengangguk. “Kalau Kak Limah
pujuk dia mesti lembut hati. Abang Mazlan tu sayang sungguh pada Kak Limah.
Lagi pun Kak Limah tu baik orangnya. Cakapnya mesti beri kesan pada Abang
Mazlan.”
“Malulah. Nanti apa pula cakap
Halimah. Nanti dia fikir kita kemaruk sangat nak jual tanah tu. Anak-anak
perempuan Haji Zainul, gila jual harta. Hang nak dia fikir macam tu?” kata
Fauziah.
“Kak Limah tak kan fikir macam tu
kak. Cek dah duduk lama dengan dia. Cek tahu dia baik hati. Perihal keluarga cek
pun dia tak tanya sepatah pun. Cek yang beritahu dia macam-macam. Cek pun tak
dengar dia sebarkan kisah keluarga cek ni pada orang-orang kampung,” jelas
Kalsum.
Fauziah berfikir sejenak.
“Jikalau macam tu, hang saja cakap dengan dia. Boleh? Jangan pula hang kata aku
suruh hang pujuk dia. Jangan sesekali beritahu pasal masalah syarikat Abang
Khalid tu.”
“Baik,” sambut Kalsum, riang.
Selepas makan tengah hari bersama
Mazlan dan anak-anak, Halimah melepaskan lelah di ruang tamu. Entah mengapa
akhir-akhir ini badannya berasa letih walaupun bekerja sekerat hari pada sabtu
itu. Mazlan dan Azlan ke pekan Kulim untuk menggunting rambut. Raudhah pula
sudah terlena di sofa panjang.
Di luar terdengar seseorang
memberi salam. Halimah yang hampir tertidur tersedar lalu menjawab salam dan
segera ke pintu.
“Hang ke Kalsum. Kakak ingatkan
siapa tadi. Masuk, masuk,” kata Halimah sebaik melihat Kalsum. Dia memang tidak
dapat mengecam suara Kalsum tadi kerana mengantuk.
“Kak dah lena ke?” tanya Kalsum
sambil masuk ke dalam rumah.
Halimah tersenyum. “Hampir nak
lena. Duduklah.” Kemudian dia menghilang ke dapur. Kembali dengan membawa sejag
jus oren dan sepiring karipap ke ruang tamu. Meletakkan minuman dan makanan itu
di atas meja kopi.
“Ini saja yang ada Sum. Jus oren
dan karipap,” kata Halimah sambil menuang jus oren ke dalam gelas.
“Kak ni susah-susah saja,” kata
Kalsum lalu mengambil sebiji karipap dan memakannya. “Sedap karipap ni kak. Kak
buat?”
“Kak buat inti dan dohnya. Yang
lain pekerja yang buat. Kalau tak dibuat sendiri mana nak dapat untung,” jawab
Halimah. “Makanlah sampai habis kalau dah sedap. Kak Fauziah sekeluarga ke
Penang?”
Kalsum mengangguk-angguk. “Kak, cek ada hal nak mintak tolong kak ni,”
katanya.
“Kalau kak boleh bantu, insyallah kak bantu,”
jawab Halimah.
“Cek datang ni sebab Kak Fauziah
suruh datang jumpa kak. Kak Fauziah malu hendak berjumpa sendiri dengan kak,”
kata Kalsum.
“Kak Fauziah suruh Sum jumpa
kak?” tanya Halimah, mahu mengesahkan apa yang didengarnya tadi.
“Ya, kak,” jawab Kalsum.
“Apa halnya?” tanya Halimah.
“Kak Fauziah minta kak pujuk
Abang Mazlan supaya setuju jual tanah di Permatang Tinggi tu,” jawab Kalsum.
Halimah diam sejenak. “Tapi Abang
Mazlan nampak sungguh-sungguh tak nak jual tanah tu.”
“Dia pasti setuju kalau kakak
yang pujuk,” balas Kalsum.
“Abang Mazlan tak perlu ikut
cakap kakak, Sum. Kakak yang mesti ikut cakap dia,” kata Halimah.
“Cek percaya dia akan ikut cakap
kakak kalau kak pujuk. Tolonglah kak,” rayu Kalsum.
Halimah diam tidak memberi
persetujuan.
“Kak Fauziah bukan saja-saja nak
jual tanah tu kak. Dia nak jual bersebab. Syarikat Abang Khalid hadapi masalah
kewangan. Tak ada modal hendak teruskan projek yang tengah berjalan sekarang.
Kalau projek tu lambat siap kena samanlah nanti. Ekonomi teruk sekarang. Bank
payah nak bagi pinjaman. Peniaga lain elak nak bagi hutang,” kata Kalsum.
“Abang Khalid hadapi masalah
kewangan?” tanya Halimah terkejut.
“Ya, kak. Kalau bukan sebab tu Kak
Fauziah pun tak nak jual tanah tu. Masa sempit macam ni lah tanah tu
diperlukan,” jawab Kalsum.
“Begitu…” balas Halimah. Berasa
simpati dengan Fauziah. “Kalau macam tu nanti kak cuba cakap dengan Abang
Mazlan. Tetapi Sum beritahulah pada Kak Fauziah supaya jangan berharap sangat.
Abang Mazlan tu kadang-kadang tegas.”
“Terima kasih, kak,” Kata Kalsum
yang amat percaya yang Halimah mampu mengubah pendirian Mazlan. Dia sudah terbayangkan
wang sejuta ringgit.
Azlan dan Raudhah sudah tidur.
Halimah naik ke atas katil. Berbaring di sisi Mazlan. Perlahan dia memberitahu
Mazlan tentang perjumpaannya dengan Kalsum petang tadi.
“Apa Sum tu nak?” tanya Mazlan.
“Dia hanya sampaikan hajat Kak
Fauziah,” jawab Halimah.
“Apa hajat Kak Fauziah?” tanya
Mazlan.
“Dia harap abang bersetuju jual
tanah Permatang Tinggi tu,” jawab Kalsum.
“Sayang nak jual tanah tu, Mah.
Kalau terpaksa tak apalah. Tetapi sekarang pemaju bukan nak ambik lagi,” jawab
Mazlan. Belum sempat Halimah membuka mulut, Mazlan menyambung lagi, “Dulu abang
dan arwah abah yang pi tengok tanah tu. Kami bersama-sama pekerja pi bubuh baja
dan sebagainya. Abang nyaris nak kena patuk dengan ular tedung selar. Abang
ingat lagi, arwah abah pesan, kalau boleh jangan jual tanah tu.”
“Tapi bang, syarikat Abang Khalid
ada masalah kewangan. Tak cukup modal untuk teruskan projek. Nanti kena saman
kalau tak siap,” kata Halimah, memujuk.
Mazlan diam seketika sebelum
bersuara semula, “Syarikat kan boleh buat pinjaman. Kenapa ambik projek besar kalau
tak cukup modal. Abang tengok depa tu mewah sangat. Dalam tak ada duit, siang
tadi berbelanja juga di Penang. Berbeg-beg bawa balik. Semua pakaian jenama
butik yang kita nak lalu di depannya pun seram sejuk.”
Halimah kalah dengan hujah
suaminya itu. “Sekarang kan ekonomi teruk. Bank payah nak bagi pinjaman.
Peniaga lain pun payah nak bagi hutang. Tapi kalau betul depa ada masalah macam
mana bang?”
Mazlan tidak menjawab pertanyaan
Halimah itu. “Sudahlah. Kita tidurlah.”
Pagi itu, Mazlan memanggil Fauziah
untuk berbincang tentang hal tanah Permatang Tinggi itu. Mereka duduk berbual
berdua di beranda. Kalsum sekeluarga ke pasar pagi di Kulim untuk membeli ikan,
ayam, sayur dan lain-lain untuk dimasak bagi juadah tengah hari.
“Kak, cek bukan tak nak jual
tanah tu. Tetapi sayanglah kak. Kalau hendak saja-saja jual, cek memang tak
setuju. Kalau terpaksa jual, tak boleh dielak, itu cek tak boleh buat apa lah.
Selagi boleh bertahan, cek nak bertahanlah kak,” kata Mazlan.
Fauziah menelan air liur. “Kita
tak rugi apa, Mazlan. Kawan kakak tu tawarkan harga yang tinggi.”
“Betul tu. Harga tu memang tinggi pada masa
sekarang tetapi harga tu rendah untuk lima enam tahun akan datang,” jawab
Mazlan.
Fauziah mengeluh dalam. Sepanjang
perjalanan ke Penang semalam dia ada berbincang hal tanah Permatang Tinggi itu
dengan Khalid. Khalid berharap sangat tanah itu dapat dijual. Jikalau perlu
mereka akan tinggal beberapa hari lagi di sini sampai Mazlan bersetuju. Sebenarnya
dia sendiri tidak tahu mengapa Khalid nampak tanah Permatang Tinggi milik
keluarganya itu sahajalah sebagai penyelesaian yang ada. Khalid ada adik
beradik yang ramai. Kesemua adik beradiknya kaya. Malah abang sulung Khalid,
Datuk Kamil, adalah seorang jutawan. Jika Khalid mahu dia boleh sahaja minta
tolong daripada adik beradiknya itu. Cukup dengan Datuk Kamil seorang pun sudah
boleh selesaikan masalah pusingan modal syarikatnya itu. Setakat lima ratus
ribu ringgit, bagi Datuk Kamal adalah amaun yang bukan apa-apa.
“Abang Khalid nak guna duit ke
kak?” tanya Mazlan tiba-tiba.
Fauziah tersentak dari lamunan
sedetiknya itu. “Eh, tak adalah.” Mukanya tiba-tiba disimbah merah kerana malu.
“Kak cakaplah yang benar,” kata
Mazlan. “Macam mana nak berbincang kalau kak tak cakap hal yang sebenar,”
sambungnya.
“Mana Mazlan dengar?” tanya
Fauziah, kini riak mukanya serius bagi menyembunyikan malunya tadi.
“Halimah beritahu. Dia cuba pujuk
cek malam tadi. Dia kata bisnes Abang Khalid ada masalah. Tak ada modal nak
teruskan projek syarikat,” jawab Mazlan terus terang.
“Mana pula isteri hang tahu?”
tanya Fauziah, mula menampakkan marah.
“Kalsum yang beritahu. Bukan ke
kakak yang suruh Kalsum jumpa Halimah untuk pujuk saya?” tanya Mazlan, hairan.
“Pandai-pandai saja Sum tu. Hang
percayalah cakap dia. Dia yang beria-ia nak jual, aku pula yang
disangkutkannya. Memanglah aku ada pembeli. Tetapi kalau hang sudah tak setuju,
aku taklah kemaruk sampai hendak pujuk rayu hang,” jawab Fauziah, cuba
menyelamatkan diri sendiri.
“Baguslah macam tu. Saya pun
takkan setuju walaupun dipujuk malah ditetak sekali pun untuk jual tanah tu.
Kalau betul-betul syarikat Abang Khalid ada masalah kewangan, cek boleh bantu
apa yang patut. Duit simpanan cek ada dekat 200 ribu. Kalau kak nak pakai dulu,
cek boleh beri. Bila projek tu siap dan bayaran sudah terima, kak bayarlah
balik,” kata Mazlan.
“Banyaknya duit hang Mazlan. Mana
hang dapat?” tanya Fauziah teruja, terlupa kemarahannya sebentar tadi.
“Duit tanah dulu campur duit saya
simpan setiap bulan hasil berniaga selama ni. Campur juga dengan dividen ASB
yang saya tak pernah usik,” jawab Mazlan yang memang cermat orangnya.”Nak guna
ke kak? Kalau nak guna saya nak uruskan pengeluarannya esok.”
Fauziah tersengih. “Syarikat
Abang Khalid memang ada masalah kewangan. Kak malu nak mengaku kat hang tadi.”
“La. Betullah kata Kalsum. Besok cek
uruskan pengeluaran tu,” kata Mazlan.
“Tapi Abang Khalid hang perlu lima
ratus ribu,” kata Fauziah.
“Cek mana ada sampai lima ratus
ribu kak. Lagi tiga ratus ribu mintalah tolong pada adik beradik Abang Khalid.
Adik beradik dia pun semua berduit berharta,” jawab Mazlan yang memang tahu
siapa adik beradik Khalid.
Fauziah terdiam. Malu tersimbah
ke muka semula. “Baiklah,” balasnya perlahan.
Mazlan meminta diri. Sebaik
Mazlan turun tangga, Kalsum, Karim dan anak-anak mereka sampai dari Kulim.
Fauziah terus meminta Kalsum menemuinya di atas beranda.
“Kenapa hang kata kakak yang
minta Halimah pujuk Mazlan tu?! Kan kak dah cakap jangan libatkan kakak! Malu
aku, tahu tak?!” marah Fauziah, sebelum sempat Kalsum melabuhkan punggung di
kerusi rotan di atas beranda itu.
Kalsum menggaru-garu kepala
berpura-pura tidak mengerti. “Apa kak cakap ni?”
“Hang jangan buat tak tahu
pulak?!” marah Fauziah. Mukanya merah. “Tadi Mazlan jumpa aku. Dia kata Halimah
pujuk dia untuk jual tanah tu. Halimah kata hang jumpa dia atas arahan aku.
Lagi satu hang beritahu aku kena jual tanah tu untuk selesaikan masalah
kewangan syarikat Abang Khalid. Bukan begitu?!”
“Tak sangka pulak jadi begini…”
balas Kalsum.
“Betullah hang kata begitu?!”
Fauziah marah bukan main.
“Memanglah…” jawab Kalsum. “Tapi cek
dah beritahu Kak Limah supaya jangan cakap kak yang minta dia pujuk Abang
Mazlan. Cek pun beritahu pada Kak Limah jangan sebut pasal masalah syarikat
Abang Khalid tu. Tak sangka dia beritahu juga pada Abang Mazlan,” dalihnya.
Fauziah diam mendengar dan
menimbang kata-kata Kalsum itu.
“Kak Limah sengaja beritahu Abang
Mazlan untuk buat Abang Mazlan lagi tak nak jual tanah tu kut kak,” fitnah
Kalsum yang cuba menyalahkan Halimah.
Fauziah mengeluh dalam. “Tapi
Mazlan memang tetap tak nak jual tanah tu.”
“Cek rasa macam tu lah kak. Kak
Limah sengaja kenakan kita ni!” sambut Kalsum yang mula marah pula.
“Takkanlah dia nak buat begitu. Hang sendiri
kata semalam dia tu baik,” kata Fauziah.
“Dari segi luarannya sahajalah
kak. Tapi di belakang, tuhan saja yang tahu. Cek tak sangka Kak Limah tak boleh
simpan rahsia,” jawab Kalsum.
“Kak pun tak sangka. Malu kak
bila ditanya dengan Mazlan tadi. Nampak sangat kakak nak jual tanah tu sebab nak
tolong Abang Khalid,” kata Fauziah.
“Cek dah cakap dengan Kak Limah
banyak kali supaya rahsiakan hal tu daripada Abang Mazlan tapi dia beritahu
jugak,” beritahu Kalsum sekali lagi.
“Tapi apa motif dia?” tanya
Fauziah.
“Abang Mazlan kan kepala kuasa
harta arwah bapa tu. Dia nak bolot seorang agaknya!” serkap Kalsum yang tak
berasas. Mengapi-apikan kemarahan Fauziah supaya cenderung membakar Halimah.
“Ish, takkan sampai ke situ,”
balas Fauziah.
“Manalah tahu kak,” jawab Kalsum.
“Kita kenal luaran tapi dalaman? Dalam hati dia tu manalah kita tahu. Risau
pulak saya nak duduk di sini.”
“Kenapa pulak?” tanya Fauziah,
hairan.
“Manalah tahu dia tak selesa kami
tinggal di sini. Tunggu cari alasan nak halau kami sahaja,” jawab Kalsum.
“Ini kan rumah pusaka. Siapa pun
boleh duduk. Arwah abah tak letak nama sesiapa pun pada rumah dan tanah ni,” jawab Fauziah.
“Kak senanglah cakap sebab kak
sudah ada rumah. Cek tak ada rumah sebab tu risau. Sebab itulah kalau dapat
duit tanah tu bolehlah cek beli rumah sendiri. Duduk tak duduk lain kira. Yang
penting dah ada rumah sendiri. Kalau jadi apa-apa adalah tempat nak tuju,” kata
Kalsum.
Fauziah berasa kesian pula dengan
Kalsum. “Mazlan tak nak jual tanah tu nak buat macam mana…” keluhnya.
“Ini semua sebab Kak Limahlah ni!”
marah Kalsum. Sudah lama dia hendak lepaskan kata-kata itu. Dia cemburu bila
orang kampung memandang tinggi pada Halimah. Surirumah-surirumah yang membeli
barangan di Kedai Runcit Kudin selalu bercerita tentang betapa baiknya budi
Halimah. Lama-lama perasaan cemburu terhadap kakak iparnya itu terbitlah.
Membukit hari demi hari. Dia juga memang ada berangan hendak memiliki rumah
pusaka itu dengan tapaknya sekali. Jika hanya dia dan keluarganya tinggal di
situ, tingkat atas dan bawah rumah pusaka itu akan jadi miliknya. Dengan
sedikit ubah suai, rumah pusaka itu akan lebih cantik. Dikepung pula nanti
dengan pagar batu dan pintu pagar berkerawang, ia akan jadi banglo dengan
halaman rumah yang luas.
“Cakap perlahan sikit. Nanti Halimah dengar
apa pula kata dia,” tegur Fauziah.
“Cek peduli apa. Geram cek ni
kak. Cek dah berangan-angan nak buat macam-macam kalau dapat duit tanah tu.
Alih-alih tak dapat. Abang Mazlan tu ikut sangat cakap bini. Macam lembu
dicucuk hidung!” luah Kalsum.
“Mazlan yang tak nak dari mula,”
kata Fauziah, belum terpancing dengan tuba Kalsum.
“Tapi Kak Limah buat Abang Mazlan
lagi tak nak jual tanah tu,” jawab Kalsum. “Cuba kalau dia pujuk rayu Abang
Mazlan, mesti Abang Mazlan akan setuju jual tanah tu. Memang dia nak bolot
semua harta kita kak. Kak tak tahu, apa jadi kat cek dalam rumah ni. Cek
tahulah. La ni baru cek tahu kenapa jadi macam tu pada cek.”
Fauziah membeliakkan mata. “Hang
cakap apa?”
Kalsum menceritakan tentang saka
keluarga Halimah yang mengacaunya beberapa bulan yang lalu itu.
Fauziah terkejut besar. “Betul
ke?”
“Abang Karim pun nampak benda tu
kak selepas balik dari masjid. Dia duduk atas bumbung rumah ni. Benda tu lari
bila Abang Karim tenung lama,” jawab Kalsum.
“Eh, seram aku aih. Naik bulu roma
ni…” kata Fauziah yang bulu romanya sudah pun meremang.
“Cek rasalah kak. Kak Limah ambik
benda tu dari adik dia. Benda tu mesti kena diwarisi. Kalau tak orang yang
membelanya tak boleh nak mati. Lepas Kak Limah ambil barulah Si Habshah tu
boleh mati,” fitnah Kalsum.
Fauziah tidak menyambut kata-kata
Kalsum itu. Masih memikirkan kerasionalan kata-kata adiknya itu.
“Dia guna saka tu untuk halau cek
dari rumah ni. Baru sekarang cek nampak. Sebab benda tu kacau keluarga cek
saja. Benda tu tak kacau pun keluarga dia,” kata Kalsum lagi.
“Betul ke ni Sum?” tanya Fauziah,
yang masih ragu-ragu.
“Betullah kak,” jawab Kalsum
dengan pantas. “Sebab tu Kak Limah berani beritahu Abang Mazlan tentang masalah
kak tu. Padahal saya sudah pesan jangan bocorkan rahsia tu. Orang membela ni
kak memang berani. Macam Kak Ani tu dulu, mulut lancang bukan main. Siapa yang
tak dikatanya. Rupa-rupanya membela.”
Fauziah masih belum dapat menelan
bulat-bulat kata-kata Kalsum itu.
“Kena pada kak barulah kak tahu
nanti,” kata Kalsum.
Khalid muncul dari bawah.
Perbualan dua beradik perempuan itu mati di situ.
“Bila kita balik Fauziah?” tanya
Khalid.
“Besok atau lusalah bang,” jawab
Fauziah.
“Okey,” jawab Khalid sepatah
kemudian lalu kembali ke kereta. Dia membersihkan karpet kereta.
Mengibas-ngibasnya pada pokok limau kasturi di sorong rumah itu.
Di atas rumah, di balik pintu di
antara beranda dan ruang tamu itu, Karim yang mendengar semua perbualan di
antara isterinya dan Fauziah tersenyum lebar.