Bab
2
“Aku fikir aku hendak berhenti
cari klien. Tidak mahu kutip lagi. Tak sedap hati,” kata Bakar, menarik sebatang
rokok Marlboro dari kotaknya. Kotak rokok itu diletakkan di atas meja. Kemudian
mencucuh batang rokok Marlboro yang sudah tergantung di bibirnya itu. Menyedut
rakus dan menghembus asap rokok itu beberapa saat selepas itu.
“Apa yang hang takutkan?” balas Dahlan
yang baru menarik sebatang rokok Dunhill dari kotak rokok Dunhill. Rokok
Dunhill yang sudah tergantung di bibir itu dicucuh. Dia berlagak santai
menyedut dan menghembus asap rokok itu.
“Pihak berkuasa masih pantau. Tunggu
masa sahaja hendak bungkus,” kata Bakar. Dia sudah menilai keadaan. Dia tahu
syarikat pelaburan Pak Lang itu menanti masa untuk gulung tikar.
“Depa tu memang macam tu. Bukan
hang tak tahu. Bank Negara sudah kecut. Ekonomi sekarang teruk. Depa tak ada
kuasa. Memang bos kena bayar denda 250 ribu. Bayar tunai! Tapi hakim suruh depa
bagi balik 1.7 juta ringgit duit yang dirampas dari rumah bos. Ramai orang sudah tak simpan di bank-bank.
Yang simpan di bank semua sudah keluarkan. Labur dengan kita sebab lebih untung!”
balas Dahlan.
“Aku tahu tu. Tapi aku tak sedap
hati,” luah Bakar.
“Bodohlah hang kalau berhenti
sekarang. Masa ni lah kita nak buat untung. Lebih ramai orang melabur dengan
kita sejak kes mahkamah tu. Depa tu macam bagi promosi percuma pada kita saja,”
kata Dahlan, mencicip kopi panas yang baru sampai.
Bakar mengangguk-angguk setuju
dengan kata-kata Dahlan itu. Sejak kes mahkamah tempoh hari memang lebih ramai
yang bertanya dan melabur di dalam skim pelaburan mereka itu. Semalam sahaja
deposit pelaburan yang dikutipnya mencecah lima puluh ribu ringgit. Malah
semalam sahaja sudah ada tanda-tanda sembilan orang bakal pelabur menunjukkan kesediaan
untuk melabur dalam sehari dua ini. Pelabur yang sedia ada pula ramai yang mahu
melabur lebih banyak dalam masa terdekat. Tidak dinafikannya sejak menjadi agen
skim pelaburan itu hidupnya bertukar mewah. Hanya bermodalkan air liur dia berjaya
mendapat komisen beribu ringgit sebulan. Sejak dua bulan lalu duit komisennya
sudah mencecah lima angka.
Dahlan meneruskan kata-kata lagi,
“Hang nak risau apa. Karim orang kuat bos. Dia tentu akan beritahu pada kita
kalau ada yang tak kena nanti. Selama ini dia cepat maklumkan pada kita segala
perkembangan terbaru.”
Bakar mengangguk, mengalah.
Pujukan Dahlan itu berjaya menghalau kebimbangannya.
“Hah, panjang umur dia! Baru
sebut sudah sampai,” kata Dahlan.
Sebuah Mercedes Benz S320
berwarna hitam metalik yang bersinar-sinar berhenti di hadapan kedai mamak itu.
Dari dalamnya keluar lelaki berpakaian kemas. Berkemeja putih lengan panjang,
berseluar slack hitam dan berkasut kulit coklat pekat. Di poket kemejanya
tergantung kaca mata hitam jenama Ray-Ban bersama sebatang pen Parker Duofold. Selepas
mengunci kereta mewah itu dia berjalan terus ke arah meja yang diduduki oleh
Bakar dan Dahlan. Bersalaman dengan mereka berdua dan kemudian menyeluk poket
seluar. Dia meletakkan pemetik api zippo dan sekotak Dunhill yang belum dibuka
ke atas meja. Kemudian meletakkan pula telefon bimbit Nokia 3210 yang
dipegangnya sejak tadi di sisi kotak Dunhill dan pemetik api zippo itu.
“Hangpa berdua sudah lama
sampai?” tanya lelaki yang baru duduk itu.
“Baru sahaja. Air pun baru sampai,”
jawab Dahlan.
“Aku terbangun lewat. Malam tadi
jumpa ramai orang,” jawab Karim.
“Dekat mana?” tanya Dahlan.
“Kuala Muda. Tauke sawah padi,”
jawab Karim.
“Orang melayu?” tanya Dahlan
lagi.
“Melayu kita lah. Banyak duit dia
ni,” jawab Karim, tersenyum.
“Dia masuk ke tak?” tanya Dahlan
lagi.
“Ini Karimlah. Tak biasa orang
yang aku jumpa tak masuk,” jawab Karim dengan angkuh. Dia menggamit pembantu
restoran yang sedang mengambil pesanan di meja hujung. “Celaka mamak ni. Aku
gamit dari tadi dia buat tak reti sahaja.” ngomelnya selepas menggamit beberapa
kali.
“Hei mamak. Bos kita panggil
sudah banyak kali kenapa tak datang ambil pesanan?!” marah Dahlan kepada pemilik
restoran yang kebetulan melalui meja mereka itu.
Pemilik
restoran itu memanggil pembantu restoran yang lain untuk mengambil pesanan
Karim. Kemudian memanggil pula pembantu restoran yang digamit Karim tadi.
Memarahinya kerana tidak melayan Karim dengan sebaiknya. Karim pelanggan
tetapnya sejak dulu. Sejak Karim berduit memang restorannya itu menjadi tempat
Karim belanja kawan-kawannya.
“Eh Bakar, kenapa hang diam dari
tadi?” tanya Karim.
Bakar mengeluh lalu tersenyum
ragu.
“Dia risaukan kes mahkamah hari
tu. Takut nak kutip dah,” kata Dahlan.
“Tak ada apa-apalah. Kalau
bersalah bukan sahaja kena denda tapi duit yang kena rampas tu tentu depa tak pulangkan
balik,” kata Karim.
“Hah, dengar tu Bakar. Macam aku
beritahu hang tadi,” sambut Dahlan.
“Tak ada apa nak dirisaukan.
Dividen bukan turun tapi bertambah lagi. Maknanya apa? Maknanya pelaburan kita
semakin berdaya maju dan kukuh,” kata Karim.
“Aku cuma terfikir. Aku anak jati
sini. Kebanyakkan orang yang melabur melalui aku ialah orang-orang yang aku
kenal. Macam mana aku nak hidup kalau skim pelaburan tu gulung tikar,” luah Bakar.
“Aku yakin semuanya okey. Hang
jangan risau,” pujuk Karim. “Kalau ada apa-apa hangpa berdua orang pertama aku
beritahu. Aku pasti dapat tahu apa-apa lebih awal berbanding sesiapa pun. Abang
Ramlan kenal Pak Lang tu dah lama. Takkan aku nak aniaya hangpa…”
“Kan aku dah cakap,” sambut
Dahlan sambil mengangguk-angguk bangga memandang Bakar.
Karim memujuk kerana bersebab.
Bakar ahli kumpulannya yang paling besar peningkatannya dalam kutipan deposit
pelaburan sejak beberapa bulan ini. Beberapa minggu sebelum Pak Lang ditangkap
dan dibicarakan, Bakar ada merujuk satu pelabur berpotensi kepadanya. Bakar
minta nasihatnya bagaimana hendak berhadapan dengan pelabur berpotensi itu.
Pelabur berpotensi ini banyak harta. Bersedia menjual tanah jika dapat
diyakinkan tentang keuntungan yang bakal diperolehi jika melabur di dalam skim
pelaburan itu. Jika Bakar menarik diri sekarang rugi besarlah dia. Ini kerana
pelabur berpotensi itu hanya percaya pada Bakar.
Pesanan Karim sampai. Kopi O
panas, roti bakar dan telur separuh masuk terhidang di hadapannya. Kopi O panas
dicicip. Roti bakar dikunyah perlahan-lahan. Kemudian dia berkata lagi, “Macam
mana dengan Pak Long Kerbau? Jadi ke dia masuk?”
Bakar berfikir lama. “Jadilah
kalau kita boleh yakinkan dia.”
“Hang dah jumpa dia semula?”
tanya Karim.
“Aku takut. Kalau jadi, dia pasti
melabur banyak. Kalau jadi apa-apa nanti teruk aku kena tanggung?” balas Bakar.
“Semuanya okey. Hang jangan
risau. Percaya cakap aku. Kita jumpa dia hari ni boleh?” pujuk Karim lagi.
Bakar teragak-agak hendak
menjawab.
“Aku yang cakap dengan dia. Tapi
komisen tetap hang punya. Macam mana?” umpan Karim.
“Engkau yang cakapdengan dia?” tanya Bakar ingin
mengesahkan.
Karim mengangguk. “Dan komisen
hang punya.”
“Kalau macam tu aku setuju,”
balas Bakar dengan pantas lalu tersengih.
Karim tersenyum panjang. Dahlan
mencebik, mengejek.
Beberapa hari berlalu sejak dia bermimpikan
bayi perempuan itu. Pagi itu, ketika dia mahu menyabun badan ketika mandi,
alangkah terkejut bila didapatinya bahagian payu dara sebelah kiri berhampiran
dengan puting itu sudah lebam. Lebam itu berwarna hijau kekuningan. Ia berdenyut
sakit.
“Aku mimpi bayi perempuan lagi,”
kata Habshah pada Latifah, rakan sekerjanya di bahagian sumber manusia sebuah syarikat
elektronik terkemuka dunia itu.
“Nak dapat bayi perempuanlah tu,”
balas Latifah, menarik matanya dari skrin komputer dan memberikan tumpuan
kepada kawan karibnya itu. “Seronoklah engkau. Tahniah, tahniah,” ucapnya
melulu. Tahu betapa Habshah mahukan anak lagi.
“Betul ke mimpi tu maksudnya
begitu?” tanya Habshah, ragu-ragu.
“Sudah berapa kali engkau mimpi
macam ni?” tanya Latifah.
“Tiga,” jawab Habshah.
“Memang sahlah tu. Tuhan nak bagi
engkau yakinlah tu…” simpul Latifah.
“Dia bukan sahaja menyusu tapi
digigitnya puting aku sampai berdarah!” beritahu Habshah. “Muka dia berubah
hodoh. Takut aku,” sambungnya lagi.
“Yang bahagian tu mainan tidur
saja kut,” balas Latifah.
“Mainan tidur apanya…” jawab
Habshah lalu menarik tangan Latifah supaya mengikutinya.
Sekarang mereka berdua di dalam
tandas. Habshah menunjukkan lebam pada payu dara kirinya itu kepada Latifah.
Latifah terkejut melihat lebam yang sudah membiru itu. Tetapi dia ada jawapan untuk
itu.
“Mungkin bakal bayi perempuan
engkau tu nak beritahu sesuatu pada engkau tak?” kata Latifah.
Habshah kebingungan. “Beritahu
apa?” tanyanya.
Latifah berfikir sebentar sebelum
menjawab, “Engkau ada rasa sakit-sakit tak dekat situ?”
Habshah mengangguk.
“Cuba engkau buka baju. Periksa
ada benjolan atau tidak pada payu dara engkau tu,” kata Latifah.
Habshah menurut. Dia membuka baju
semula dan memeriksa kedua-dua belah payu dara di hadapan cermin tandas. Latifah
menjaga pintu tandas. Bimbang jika ada pekerja lain mahu menggunakan tandas di
kala rakannya itu membuat pemeriksaan sendiri payu dara.
Habshah merasa sakit bila meraba
payu dara kirinya itu. Jari-jarinya mengesan benjolan di kawasan bawah payu
dara kiri itu. Dia meraba-raba semula kawasan tersebut. Sah memang terdapat
benjolan di situ. Dia segera memanggil Latifah dan meminta kawan baiknya itu
meraba bahagian tersebut.
“Ada benjol. Kanser payu dara
kut?” kata Latifah, terlepas cakap.
Habshah cepat memakai blausnya
semula. Dia berdiri sambil tertunduk di hadapan cermin tandas itu. Dia bimbang
dengan penemuan itu.
“Mungkin juga bukan kanser, Sah.
Periksa dengan pakar dahulu,” pujuk Latifah.
Habshah diam lama sebelum
menjawab, “Aku takut.”
“Dapat tahu apa bendanya lebih
awal lagi bagus. Takkan hendak dibiar sudah teruk baru hendak rujuk pada
pakar,” pujuk Latifah lagi.
“Nantilah aku fikirkan,” kata
Habshah dan berlalu dari situ.
Latifah terus memujuk kawan
baiknya itu supaya bertemu dengan pakar perubatan.
Hari demi hari bahagian yang
lebam itu semakin merebak. Payu dara kiri itu pula semakin hari semakin sakit.
Selepas dipujuk berkali-kali oleh Latifah, akhirnya Habshah mahu juga bertemu
dengan pakar. Mereka berdua ke salah sebuah hospital swasta di Petaling
Jaya.
Habshah menjalani pemeriksaan mamogram.
Keputusan pemeriksaan diperolehi. Habshah yang ditemani Latifah masuk ke dalam
bilik pakar. Dr Ayuni menyambut mereka dengan ramah.
Habshah berdebar-debar. Latifah
menenangkannya. Dr Ayuni berbicara selepas meneliti sekali lagi fail ujian
mammogram milik Habshah itu.
“Bagaimana kesihatan puan selepas
jalani ujian tempoh hari?” tanya Dr Ayuni.
“Semakin sakit, doktor,” jawab
Habshah terus terang.
“Begini Puan Habshah, ujian mamogram
menunjukkan puan positif kanser payu dara tahap dua,” kata Dr Ayuni.
Habshah terkejut. Jantungnya bagai
disentap. Mukanya berubah pucat.
“Saya harap puan bersabar. Baru
di tahap dua. Kita boleh usahakan sesuatu supaya ia terkawal,” sambung Dr Ayuni
lagi.
Habshah menitiskan air mata. Latifah
cuba menenangkannya.
Kanser yang menyerang payu dara kirinya
itu merebak dengan begitu pantas sehingga menyebabkan Dr Ayuni dan pakar-pakar
lain berasa hairan. Kumpulan pakar itu tidak pernah berdepan dengan kes
sebegitu selama ini. Tidak sampai sebulan tahap kanser payu dara Habshah itu
melompat dari tahap dua ke tahap empat walaupun sudah diusahakan pelbagai
rawatan untuk melambatkan perebakan. Tiada apa lagi yang boleh dibuat sekarang
kecuali membuang payu dara kiri itu.
Walaupun keberatan tetapi dia akur. Berat badannya susut mendadak. Rambutnya
gugur kerana kimoterapi. Dia tidak lagi seperti Habshah yang dulu.
Kecantikannya yang masih menyerlah walaupun sudah di usia 40an itu
perlahan-lahan sirna.
Ketika dia gigih untuk pulih
dengan menjalani rawatan kimoterapi tiba-tiba payu dara kanannya pula disahkan
dijangkiti kanser. Ini lebih membingungkan kumpulan pakar kanser payu dara
hospital swasta tersebut. Hal itu tidak dikesan dalam ujian mamogram sebelumnya.
Seperti payu dara kirinya yang sudah dibuang itu, kanser cepat memusnahkan payu
dara kanannya itu juga. Tidak sampai sebulan tahap kanser itu melompat dari
tahap dua ke tahap empat sehingga menyebabkan payu dara kanan itu juga terpaksa
dibuang.
Habshah menangis mengenangkan
nasibnya. Dia berasakan dirinya tidak lagi seperti seorang perempuan dan isteri.
Apa sahaja tindakan suaminya mula dicurigainya. Dia berasa suaminya sudah tidak
mengingininya lagi. Dia berasa suaminya sudah memandangnya lain. Dia berasa
kasih sayang suaminya terhadapnya semakin lama semakin menipis.