Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 6

Bab 6

Asap secawan kapucino menerawang di udara. Aroma gaulan espresso, susu panas dan busa susu yang menyegarkan menyapa mesra hidungnya. Karim menghirup busa kapucino pada permukaan cawan seramik di hadapannya. Dia hampir memejamkan mata ketika menikmati kelazatan minuman istimewa Itali itu. Menunjukkan isyarat bagus dengan tangannya kepada barista atau pembancuh kopi yang membancuh kapucino itu. Barista lelaki itu tersenyum dipuji begitu. Kemudian dia mengunyah perlahan pancake yang dicelup dengan sirap maple sambil membuang pandangannya ke arah jalan yang sudah mulai sesak.

Bahu Karim ditepuk dari belakang. Dia menoleh pantas dan seraya terkejut dengan lelaki yang sudah pun berdiri di sisi meja kopi itu. Lelaki itu tersenyum memandangnya. Karim membalas senyuman lelaki itu walaupun masih berasa was-was.

“Hang Karim bukan?” tanya lelaki itu.

Karim teragak-agak hendak menjawab.

Lelaki itu memintas kekagetan Karim. “Betul bukan?” tanyanya lagi.

Karim masih teragak-agak hendak menjawab. Fikirannya bersimpang siur. Kawan atau lawan?

“Hang dah tak kenal aku?” tanya lelaki itu, tersenyum dan hampir tergelak. “Sama tarikh lahir pun tak ingat?”

Dahi Karim berkerut. Dia sudah lupa siapa nama lelaki di sisinya itu.

Lelaki itu membuka cermin matanya. “Macam ni hang kenal?” tanya lelaki itu.

“Sanusi?” tanya Karim kembali.

Lelaki itu tergelak lalu mengangguk. “Dan hang betul Karim kan?”

“Ya, ya,” akui Karim setelah pasti lelaki di sisinya itu tidak datang untuk memberi ancaman. “Maaf sebab tak kenal hang. Sudah lama sangat tak nampak hang. Dulu hangkan sedikit berisi. Sekarang sudah sasa. Berkaca mata pulak,” sambungnya.

Lelaki itu tergelak. “Dulu bukan berisi tapi gemuk. Gemuk gedempul. Sekarang sudah rabun. Maklumlah sudah tua. Hang tu sahaja yang masih tak berubah. Dari dulu sampai sekarang tetap kurus dan tegap. Muka pun tak berubah langsung. Awet muda!”

Karim tersengih dipuji begitu.

“Hang buat apa di sini? Melancong, bisnes atau urusan kerja?” tanya Sanusi.

“Aku tengah cari peluang bisnes,” jawab Karim, sungguh-sungguh. “Dan cuba untuk tinggal di sini.”

“Maksud hang… hang sudah tinggalkan Malaysia?” tanya Sanusi yang cepat menangkap kata-kata Karim.

Karim tersengih.

“Sudah berapa lama?” tanya Sanusi.

“Sudah beberapa bulan,” jawab Karim.

“Hang kerja di mana?” tanya Sanusi.

“Aku menganggur,” jawab Karim.

“Habis tu? Tempat tinggal, makan, minum? Ada saudara di sini?”

“Aku guna duit simpanan yang ada. Aku tidak terlalu terdesak untuk mencari duit. Aku cuba intai peluang bisnes. Tak ada saudara mara di sini,” jawab Karim lalu mencicip kapucino. Teringatkan sesuatu dia segera menggamit pelayan kafe itu. Seorang pelayan perempuan datang ke meja dan mengambil pesanan Sanusi.

“Ah, sudah lama kita tak jumpa. Tidak sangka pula akan berjumpa di sini,” kata Sanusi sebaik melabuhkan punggung di kerusi. “Hang tinggal di mana?” tanyanya selepas itu.

“Apartment di St John’s Wood,” jawab Karim, tersenyum.

“Sewa di situ mahal,” balas Sanusi.

Karim mengangguk, bangga. “Aku bukan tinggal seorang tetapi dengan anak bini. Kena menyewa di tempat yang selesalah kan…”

Sanusi mengangguk. Di dalam hatinya dia berasa kagum dengan Karim. Tentu kawan lamanya itu bukan orang biasa. Poketnya pasti tebal. Jika tidak masakan dia dapat menyewa di St John’s Wood dan tinggal di kota mewah ini tanpa pekerjaan selama beberapa bulan!

“Hang pula, apa yang hang buat di sini?” tanya Karim.

“Aku memang sudah jadi orang sini,” jawab Sanusi.

“Bukan hang ke Perancis ke dulu?” tanya Karim yang kehairanan. Ibu bapa Sanusi meninggal dunia dalam satu kemalangan. Sanusi yang ketika itu menuntut di Universiti Malaya patah hati mengenangkan nasibnya yang sebatang kara. Selepas urusan harta selesai, Sanusi dikatakan terbang ke Perancis. Melalui khabar orang, Sanusi ke Perancis untuk belajar seni halus di Strosborne.

“Memang betul. Setahun di Strosborne dan kemudian berhijrah ke sini. Terus menetap di sini sehingga sekarang. Rupa-rupanya seni halus terutamanya lukisan bukanlah wajib dipelajari secara teori. Bakat banyak menentukan hasil. Itu penemuan aku,” jawab Sanusi, bangga.

“Hang masih melukis?” tanya Karim.

“Ya. Aku buat duit dengan lukisan,” jawab Sanusi.

“Hang ada galeri sendiri di sini?” tanya Karim, berminat.

“Aku sedang usahakan. Selama ini aku jual melalui agen. Ada juga pembeli yang beli terus dari aku. Aku juga jadi agen kepada kawan-kawan pelukis lain,” jawab Sanusi.

“Untung?” tanya Karim.

Sanusi tersenyum. “Memang untung. Lebih untung daripada jual beli hartanah,” jawab Sanusi.

“Betul ke?” tanya Karim.

“Jika jadi pemilik galeri lagi untung. Pelukis yang masuk pameran yang kita anjurkan kita kenakan bayaran ikut hari. Kita juga kenakan caj hampir 40 ke 50 persen untuk setiap lukisan yang terjual,” tambah Sanusi.

Karim melopong. “Maksudnya jika galeri dapat tarik pelukis yang sudah ada nama, atau sedang meningkat naik, yang pastinya lukisannya mahal, maka galeri akan untung besar, begitu?”

Sanusi mengangguk, tersenyum. “Hang nak jadi rakan kongsi aku? Sebagai pemilik galeri bersama atau agen bersama. Pilih yang mana satu.”

Karim tersengih. Dia nampak peluang untuk membuat duit. Peluang begini memang diperlukannya. Dia sedar, balak kalau ditebang tanpa diganti pasti akan habis juga akhirnya. Tetapi dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Ya, dia memang kenal Sanusi. Mereka sekampung. Membesar bersama sehinggalah Sanusi membawa diri. Tetapi perangai orang boleh berubah mengikut persekitaran, pengalaman dan masa.

Sanusi dapat mengesan keengganan Karim untuk menerima pelawaannya itu. Dia tahu dia harus melakukan sesuatu untuk meyakinkan lelaki itu. Dia mencicip kapucino yang baru sampai. Terilham sesuatu. “Engkau lapang nanti?”

Karim ketawa. “Aku memang lapang selalu beberapa bulan ini termasuk hari ini, esok, lusa dan mungkin juga pada hari-hari berikutnya. Kenapa?”

Sanusi ketawa. “Aku hendak pergi jumpa klien selepas sarapan ini. Ahli korporat ini beli sekeping lukisan kawan aku. Aku hendak hantar lukisan itu kepadanya nanti sebelum dia berlepas ke New York tengah hari nanti. Hang nak ikut aku? Boleh tengok macam mana aku jalankan urus niaga. Mudah.”

“Boleh, boleh,” jawab Karim pantas.

Selepas bersarapan mereka terus berjumpa dengan klien Sanusi itu. Setiausaha ahli korporat itu membawa mereka masuk ke dalam bilik pejabat bosnya. Sanusi disambut hangat oleh ahli korporat itu. Mereka bertiga duduk di sofa di dalam bilik pejabat serba mewah itu.

“Jadi, ini lukisannya?” tanya ahli korporat yang bernama James itu.

“Ya,” jawab Sanusi.

“Boleh aku melihatnya?” tanya James.

“Sudah tentu. Tidak mengapa kalau balutannya dibuka, tuan?” jawab Sanusi.

“Oh, tidak apa-apa. Nanti saya minta pekerja saya balutkan semula,” jawab James.

Sanusi membuka balutan lukisan itu dengan berhati-hati. Kemudian meletakkan lukisan itu di atas sofa panjang. James yang sudah berdiri di hadapan sofa panjang itu bersinar matanya. Dia merenung lama lukisan itu. Air mukanya berubah mendung perlahan-lahan.

Karim juga melihat lukisan itu. Semakin lama lukisan itu dilihatnya semakin celaru fikirannya. Dia tertanya-tanya bagaimana ada orang yang sanggup membeli lukisan yang dia sendiri boleh melukiskannya. Lukisan itu terlalu ringkas – keseluruhan hitam dan hanya ada satu titik kecil berwarna putih di tengah-tengahnya. Dan bahagian yang hitam itu pula di bawahnya diperciki oleh warna merah, coklat dan kelabu yang kelam.

James menitiskan air mata. Keadaan itu mengagetkan Karim. Sanusi yang mengerti memegang bahu James.

“Engkau tahu Sanusi. Lukisan ini mengingatkan aku kepada diriku. Warna-warna di sebalik warna hitam itu adalah dosa-dosaku yang lalu. Warna hitam itu adalah diriku hasil dosa-dosaku yang lalu. Dan warna putih sekecil buah anggur itu adalah sekelumit kebaikan yang baru aku usahakan sekarang. Aku harap cahaya warna putih itu akan membesar dan membesar akhirnya menghapuskan warna hitam yang menguasai,” kata James.

“Semua orang pernah melakukan dosa, James. Bukan tuan seorang sahaja,” jawab Sanusi. “Cuba tuan lihat lukisan itu betul-betul. Nampak tak cahaya titik putih itu sebenarnya kelihatan sedang merayap untuk memutihkan warna hitam di sekelilingnya itu.”

James membesarkan matanya, meneliti lukisan itu dengan lebih teliti. “Aku tidak nampak itu.”

Sanusi bergerak ke sisi sofa. Lalu mengajak James ke situ juga. “Cuba tuan lihat dari sisi.”

James melihat lukisan itu dari sisi. Matanya terbeliak lalu terpacul, “Wow!”

Sanusi tersenyum bila dipandang James yang kagum. “Aku sudah kata ia berbaloi dimiliki dengan harga yang kusebutkan tempoh hari.”

James mengangguk, mengakui kata-kata Sanusi itu. Lantas ke meja kerjanya. Menulis cek dan kembali ke sofa dan menyerahkan cek itu kepada Sanusi. Sanusi mengambil cek itu dan menyimpannya di dalam poket dalam kotnya.

“Engkau tidak mahu periksa nilai cek itu?” tanya James lalu tersenyum.

“Tuan klien lama aku. Tentunya aku percaya,” jawab Sanusi.

James tersenyum lalu menepuk-nepuk bahu Sanusi. “Engkau memang agen yang hebat. Tahu menilai pelukis dan lukisannya. Tahu juga kepada siapa lukisan ini perlu dijual.”

“Tuan terlalu memuji,” balas Sanusi.

“Semua lukisan yang aku beli daripada engkau bila dinilai beberapa tahun kemudian memang melonjak tinggi harganya. Engkau ingat lukisan rumah api karya Joseph itu?”

“Ya, ya aku ingat,” jawab Sanusi.

“Sekarang ini harganya sudah tiga kali ganda daripada harga asal yang engkau jual kepadaku dua tahun lepas. Joseph itu pun sekarang sudah terkenal. Lukisannya semakin mahal,” kata James.

Sanusi mengangguk. “Aku ada karya terbarunya. Dia ada minta aku cari pembeli untuk lukisan terbarunya. Dia menelefonku beberapa hari yang lalu. Tuan berminat?”

“Apa subjeknya?” tanya James.

“Nanti aku dapatkan butiran terperincinya. Tetapi apa pun karyanya, ia pastinya satu pelaburan yang berbaloi,” jawab Sanusi.

“Ya, itu tidak dinafikan. Tetapi aku membeli kerana minat. Aku pengumpul tegar. Hanya lima peratus sahaja daripada koleksi aku jual semula. Itu pun kerana tidak cukup ruang untuk menyimpan,” jawab James.

Sanusi mengangguk. “Jika subjeknya kena dengan tuan dan ia pula dari hasil tangan Joseph, pastinya ia berbaloi untuk dimiliki.”

“Ya, betul kata engkau. Pastikan engkau hantar butiran terperinci lukisan itu secepat mungkin,” kata James.

“Baik, tuan,” jawab Sanusi.

Selepas bersalaman, Sanusi dan Karim pun beredar dari pejabat James. Sebaik masuk ke dalam kereta dan belum pun Sanusi menghidupkan enjin, Karim yang memuncak ingin tahunya terus bertanya itu ini kepada Sanusi.

“Berapa harga lukisan tadi?” tanya Karim.

Sanusi menghidupkan enjin dan kemudian menghidupkan pula penghawa dingin.

“Hang tak mahu dedahkan kepada aku?” tanya Karim.

Sanusi tersenyum melihat gelagat Karim. Dia gembira kerana sudah dapat memancing minat Karim melalui urus niaga tadi.

“Bagaimana aku nak jadi sekutu hang jika buktinya tiada…” luah Karim.

Sanusi tersengih dan terus mengeluarkan cek yang diberi James itu dari poket dalam kot. Cek itu diberikannya kepada Karim. Karim melihat cek itu. Matanya terbeliak besar.

“Betul ke ni?” tanya Karim selepas beberapa lama melihat cek itu.

“Ya,” jawab Sanusi.

“Dua ratus lima puluh ribu pound sterling?” tanya Karim untuk mengesahkan.

“Ya,” jawab Sanusi.

“Mahalnya,” kata Karim.

“Ingat, lebih mahal lebih untung!” balas Sanusi kemudian tersenyum. “Bagi James harga itu tidak apa-apa berbanding sentimen yang dicetuskan oleh lukisan itu yang baginya tidak ternilai harganya.”

“Berapa engkau untung?” tanya Karim.

Sanusi tergelak. “Engkau rasa?” tanyanya selepas gelaknya reda.

“Lima peratus daripada harga lukisan?” jawab Karim.

Sanusi menggeleng.

Karim melopong. “Sepuluh peratus?”

Sanusi menggeleng lagi.

Karim terus melopong. “Lima belas peratus?”

Sanusi menggeleng juga.

“Habis tu?” tanya Karim.

“Lima belas peratus darab dua,” jawab Sanusi.

“Tiga puluh peratus?!” sambut Karim yang tersentak, terkejut besar.

“Ya,” jawab Sanusi.

“Maksudnya hang untung ….”

“Tujuh puluh lima ribu pound sterling!” pintas Sanusi.

Karim terus terlopong.

Sanusi masuk gear satu. Lepas pedal kelas dan menekan pedal minyak. Kereta bergerak perlahan. Ketika dia masuk ke gear dua, dia berkata lagi, “Itu baru sekeping lukisan. Bayangkan kalau dalam sebulan atau setahun dapat jual berbelas lukisan bernilai serupa…”

“Tentu kita kaya!” sambut Karim.

“Kita kaya?” tanya Sanusi memandang Karim sepintas lalu.

“Boleh anggap aku sudah jadi sekutu engkau?” tanya Karim, sungguh-sungguh.

“Sebagai agen atau pemilik galeri?” tanya Karim.

“Apa-apa sahajalah,” jawab Sanusi.

“Hang hendak tidak kalau aku beri satu peluang buat untung sebelum engkau jadi sekutu aku?” tanya Karim.

“Peluang apa?” tanya Karim dengan mata yang bersinar.

“Ada kenal seorang pelukis yang sedang meningkat naik. Sama seperti Joseph. Lukisan dia baru siap seminggu yang lalu selepas dua tahun. Aku kenal beberapa klien yang memang pengumpul tegar lukisan dia,” jelas Sanusi.

“Jadi?” tanya Karim yang belum dapat menangkap rancangan Sanusi.

“Apa kata hang beli lukisan dia pada harga dia. Kemudian jual pada klien aku dengan harga yang lebih tinggi,” jelas Sanusi lagi. “Jadi hang untung atas angin.”

“Kalau klien-klien hang tak nak beli lukisan tu, tak ke naya aku nanti,” balas Karim.

“Macam aku cakap tadi, mereka tu pengumpul tegar lukisan pelukis ni. Mereka pasti beli. Tambahan pula pelukis ni bakal terkenal,” kata Sanusi.

Karim mengangguk-angguk. Dia terlepas fakta itu. “Berapa harga lukisan dia tu?”

“Dua ratus ribu pound sterling,” jawab Sanusi.

Karim menelan air liur. Dia mengira di dalam kepala. Dua ratus ribu pound sterling jika ditukar kepada ringgit Malaysia bermakna lebih kurang sejuta lima ratus ribu ringgit. Itu angka yang amat besar walaupun dia ada wang sebanyak itu. Selepas ditolak sewa apartmen selama setahun, membeli belah dan makan minum sepanjang beberapa bulan ini, duitnya masih ada sejuta lapan ratus lima puluh ribu ringgit. Soalnya sekarang, secepat mana dia boleh dapatkan kembali pelaburan terhadap lukisan itu nanti. Dia tidak mahu mengambil risiko jika terlalu lewat.

“Hang tahu berapa harga yang hang boleh letak jika jual semula kepada klien aku?” tanya Sanusi bila melihat Karim berfikir lama.

“Berapa?” tanya Karim, terpancing semula.

“Kurang-kurang pun tiga ratus ribu pound sterling. Aku akan runding harga terbaik. Aku cuba dapatkan tiga ratus lima puluh ribu pound sterling. Hang boleh untung sekurang-kurangnya seratus ribu pound sterling!” jawab Sanusi.

“Berapa lama aku boleh dapat balik pelaburan aku tu?” tanya Karim.

“Selepas salah seorang klien aku beli,” jawab Sanusi.

“Secepat mana mereka akan beli?” tanya Karim.

Sanusi menghubungi beberapa orang kliennya yang menjadi pengumpul tegar lukisan Van Basten. Kesemua mereka sberetuju untuk membeli lukisan tersebut. Dia berjaya mendapatkan temu janji dengan mereka. Petang itu dia dan Karim turun naik tangga pejabat untuk berjumpa dengan klien-klien tersebut. Kesemua klien itu bersetuju dengan harga yang diletakkan oleh Sanusi selepas tawar menawar. Karim gembira tidak terkata.

“Secepat bila kita boleh dapatkan lukisan itu?” tanya Karim yang sudah tidak sabar untuk mendapatkan untung.

“Kita ke studio dia. Lihat lukisan itu. Berunding pula dengan dia,” kata Sanusi.

Mereka berdua ke studio lukisan Van Basten. Van Basten menyambut mereka dengan senang hati.

“Engkau sudah dapatkan pembelinya, Sanusi?” tanya Van Basten sambil meneguk bir.

“Sudah,” jawab Sanusi. “Mana lukisan itu?”

Van Basten membawa mereka masuk ke dalam pejabatnya. Lukisan itu terpamer megah di sisi kanan meja kerja, terletak elok di atas pancang lukisan. Ia sebuah lukisan abstrak yang berwarna warni. Sapuan-sapuannya bersimpang siur, dibintiki oleh warna-warna yang garang dan diperciki pula oleh warna-warna pastel.

“Siapa pembelinya? Pengumpul lukisan aku seperti selalu?” tanya Van Basten.

“Dia,” jawab Sanusi sambil menunjuk ke arah Karim.

“Kawan engkau ini?” tanya Van Basten yang agak terkejut, meneguk bir lagi.

“Ya. Sebab itu engkau kena jual murah sedikit,” kata Sanusi lalu tergelak.

Van Basten tersenyum. “Harga yang aku letakkan sudah terlalu murah. Harga muktamad,” jawab Van Basten.

“Okey, okey,” balas Sanusi.

“Tiada komisen untuk engkau. Harga itu untuk aku. Barangkali engkau boleh minta komisen daripada kawan engkau,” kata Van Basten.

“Dia kawan aku. Kami sekampung. Aku tak ambil untung atas dia. Dia berminat hendak beli lukisan engkau,” jawab Sanusi.

“Jadi bila aku boleh dapatkan lukisan ini?” tanya Karim tiba-tiba.

“Selepas duit bertukar tangan,” jawab Van Basten lalu tersenyum.

“Mari kita balik. Uruskan wang itu secepat mungkin,” kata Sanusi.

“Kalau boleh kita selesaikan urus niaga ini sebelum aku ke Paris dua hari lagi,” pesan Van Basten.

Sanusi dan Karim mengangguk. Mereka beredar dari situ.

Telefon berdering. Karim menjawab. Panggilan telefon daripada Sanusi.

“Dia hendak duit itu malam ini juga?!” tanya Karim, agak terkejut dengan perkembangan terbaru itu.

“Ya. Dia terpaksa bertolak ke Paris esok pagi. Penerbangan awal. Mungkin akan berada dua minggu di Paris ” jawab Sanusi.

“Jika begitu kita berdua pergi berjumpa dengannya untuk serahkan duit dan ambil lukisan itu. Lagi cepat lagi bagus. Lagi cepat lagi lekas untung!” balas Karim yang tiba-tiba mendapati perkembangan terbaru itu baik untuknya.

“Aku sudah jumpa dia dan ambil lukisan tu daripada dia. Aku pergi jumpa engkau dan serahkan lukisan tu pada engkau. Engkau serahkan duit untuk aku beri pada dia,” kata Sanusi.

“Baik,” jawab Karim.

Sanusi tiba di apartmen sewa Karim sejam kemudian. Duit dan lukisan bertukar tangan.

“Boleh aku tengok lukisan ini?” tanya Karim.

Sanusi mengangguk. Karim membuka lukisan itu. Tersenyum melihat lukisan Van Basten itu sudah menjadi miliknya.

“Lusa kita jumpa klien-klien aku tu. Pastikan hang lapang sepanjang hari itu. Simpan lukisan ini elok-elok,” kata Sanusi.

Sanusi meminta diri. Dia memecut laju kereta membelah kepekatan malam Kota London.



Sudah tiga hari Habshah dipindahkan ke rumah Mak Siti. Dia ditempatkan di katil yang diletakkan di ruang sorong di tingkat atas rumah papan yang besar itu. Di situlah satu-satunya ruang yang tidak sibuk, baik pada siang atau malam hari. Semua urusan berubat dilakukan di ruang ibu. Ada tangga di sisi rumah untuk pelanggan Mak Siti naik terus ke ruang ibu itu.

Mak Siti yang sibuk sepanjang hari akan melihat keadaan Habshah sekali sekala. Bibik Aminah sahaja yang setia menunggunya setiap masa. Johan dan anak-anak pula akan menjenguknya bermula jam enam petang dan pulang ke rumah mereka selepas isyak, selalunya sekitar pukul sembilan ke sepuluh malam. Mereka tidak tidur di situ kerana jarak yang terpaksa ditempuh untuk ke sekolah dan pejabat agak jauh jika dari sini. Hanya akan bermalam di situ pada hujung minggu. Pada hari ini mereka pulang lebih awal iaitu selepas maghrib. Johan ada kertas kerja yang perlu disiapkan untuk mesyuarat penting esok.

Habshah berasa lebih sihat sejak berpindah ke rumah Mak Siti. Dia tidak lagi melihat kelibat dan mendengar suara kanak-kanak perempuan itu. Tidak juga bermimpi yang bukan-bukan lagi. Dia tidur lena sepanjang malam. Raungan dan rengekan pesakit Mak Siti setiap malam tidak langsung menganggunya.

Habshah terganggu dengan bahagian siling yang terlopong yang terletak betul-betul di bawah katil dan bersetentangan dengan perutnya itu. Siling itu begitu sejak dia dipindahkan ke sini. Dia ingin bertanya tentang siling itu kepada Mak Siti tetapi hal itu tidak terkeluar dari mulutnya.

“Bibik, siling ini memang terlopong sebelum saya datang ke sini ke?” tanya Habshah dengan suara perlahan sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah bahagian siling yang terlopong itu.

“Setahu saya puan, ia elok sahaja sebelum puan datang ke sini. Saya bersih dan kemaskan ruang tamu ini dua minggu lepas,” jawab Bibik Aminah. Matanya memandang tajam ke arah lubang empat segi tepat pada siling yang terlopong itu. Lubang itu gelap dan menakutkan bila dilihat lama. Bulu romanya meremang. Dia segera mengalihkan pandangannya ke arah Habshah selepas merasakan ada sesuatu yang sedang memerhati mereka.

“Kenapa bibik?” tanya Habshah yang mengesan perubahan air muka Bibik Aminah .

“Meow…. Meow…. Meow….” Bunyi kucing mengiau kedengaran menyambut pertanyaan Habshah itu.

Habshah dan Bibik Aminah terkejut. Bibik Aminah pantas melihat sekeliling. Dia mencari kelibat kucing. Tidak dilihatnya walau seekor pun di situ.

“Mungkin kucing di luar…” kata Habshah.

Bibik Aminah yang tidak puas hati mencari-cari lagi. Dia percaya kucing itu ada di sekitar ruang sorong rumah itu. Ngiaunya kedengaran begitu hampir. Dia mencari di sebalik kabinet telivisyen. Melutut dan membongkok untuk melihat di bawah kabinet telivisyen itu. Tiada kucing di situ. Ketika dia mengangkat muka, dirinya terkejut lagi. Mak Siti sedang berdiri di ambang pintu yang memisahkan ruang sorong dan ruang ibu.

“Apa yang engkau cari?” tanya Mak Siti.

“Kucing,” jawab pembantu rumah itu.

Mak Siti menggerak-gerakkan jarinya. Memanggil sesuatu di belakang dinding sebelah kirinya. “Meow…. Meow…. Meow…” panggilnya dengan penuh pujuk. “Mari sini sayang… Mari sini sayang…” pujuknya lagi.

Seekor kucing yang keseluruhan badannya berwarna hitam berjalan dari arah dinding sebelah kiri itu ke ambang pintu. Kucing itu menggesel-geselkan badannya pada kaki kiri Mak Siti. Mak Siti tersenyum suka. Bibik Aminah melihat perlakuan kedua-dua makhluk itu. Dia terperanjat besar bila kucing itu memandang tajam dan kemudian menjegil garang kepadanya. Dia beredar dari situ dengan tergesa-gesa. Sempat menoleh sebelum hilang ke ruang sorong, dilihatnya Mak Siti sudah pun mendukung kucing itu sambil menjilat-jilat kepalanya. Seorang perempuan cantik yang berkemban baru sahaja melalui belakang Mak Siti. Mak Siti menghilang ke dinding sebelah kanan mengekori perempuan cantik itu. Tidak lama kemudian terdengar bunyi deram air.

“Jumpa kucing tu?” tanya Habshah kepada Bibik Aminah.

“Kucing Mak Siti,” jawab Bibik Aminah.

Dahi Habshah berkerut. “Bila Mak Siti bela kucing?”

“Saya pun tak tahu, puan,” jawab Bibik Aminah.

“Meow… Meow… Meow…” Ngiau kucing kedengaran lagi.

Habshah dan Bibik Aminah terkejut lagi. Bibik Aminah segera menjenguk ke ambang pintu yang ditinggalkannya tadi. Kucing hitam itu ada di situ. Kucing hitam itu memandang tajam ke arahnya. Bibik Aminah segera menarik pandangannya. Suara kucing mengiau kedengaran lagi. Kali ini lebih lama dan mendayu. Bibik Aminah menjenguk takut-takut ke arah amabng pintu. Dia nampak kelibat kucing itu menghilang di balik dinding sebelah kiri.

Kedengaran derap sesuatu berlari di atas siling serta bunyi ngiau kucing yang semakin galak. Habshah dan Bibik Aminah berasa gentar. Mata Habshah melilau di serata siling hingga akhirnya tertumpu pada siling yang terlopong. Dia menanti entah apa. Selepas beberapa ketika di balik kegelapan itu, dia nampak sepasang mata hijau yang berkilauan.

“Nampak tak mata hijau tu?” tanya Habshah.

“Saya tak nampak apa-apa puan,” jawab Bibik Aminah. Dia tidak nampak apa-apa walaupun sudah memfokuskan penglihatannya pada lubang siling itu. “Hanya gelap sahaja…”

“Di dalam gelap itu,” jawab Habshah, menunjukkan jari telunjuknya ke arah lubang siling itu.

Bibik Aminah melihat dengan lebih bersungguh-sungguh. Gelap lubang itu perlahan-lahan mencerah dan ketika itulah dia nampak sepasang mata hijau yang dimaksudkan oleh Habshah. Sepasang mata hijau yang berkilauan itu tiba-tiba berubah menjadi merah menyala. Dan dia juga nampak sebaris gigi tajam yang rapat-rapat sedang menyerigai kepadanya. Dia terkejut sehingga terjelepuk ke lantai. Beberapa saat kemudian terdengar lagi derap sesuatu berlari di atas siling disertai bunyi kucing mendengus.

Habshah dan Bibik Aminah saling berpandangan.

“Kucing ke?” tanya Habshah.

“Bunyi macam kucing,” jawab Bibik Aminah, menyembunyikan fikirannya yang sebenar.

“Kucing kejar tikus, agaknya,” kata Habshah lagi.

Bibik Aminah mengangguk-angguk payah untuk mengiakan anggapan Habshah itu.

Deram enjin kenderaan kedengaran di halaman rumah. Biasan lampu menerangi cermin tingkap. Bibik Aminah bangun dan berjalan ke arah tingkap tersebut.

“Pesakit kut…” kata Habshah.

Bibik Aminah tetap ke tingkap. Biasan lampu hilang. Dia membuka cermin tingkap. Sebuah kereta Proton Iswara biru tua baru parkir di sisi tangga. Dari dalam kereta itu keluar seorang lelaki, seorang perempuan dan dua orang kanak-kanak. Mereka kelihatan letih kerana baru menempuhi perjalanan yang jauh.

“Puan, kakak puan datang,” beritahu Bibik Aminah dengan nada gembira.

“Kak Limah?” tanya Habshah dengan mata yang bersinar.

“Ya, puan,” jawab Bibik Aminah.

“Tolong bukakan pintu, bibik. Suruh mereka masuk ikut pintu depan ni,” kata Habshah.

Panggilan salam kedengaran dari bawah. Bibik Aminah segera menjawab salam Halimah dan Mazlan. Kemudian dia terburu-buru membuka pintu. Tersenyum sebaik melihat sepasang suami isteri itu bersama anak-anak mereka.

“Naik puan, naik puan,” jemput Bibik Aminah dengan penuh mesra.

“Bibik sihat?” tanya Halimah lalu melontarkan senyuman, menaiki tangga dan kemudian menghulurkan salam.

“Saya sihat puan,” jawab Bibik Aminah, membalas senyuman dan menyambut salam Halimah.

“Sudah berapa hari pindah ke sini?” tanya Halimah. Kedua-dua anaknya dan Mazlan mengekori dari belakang.

“Sudah tiga hari,” jawab Bibik Aminah sambil menyambut salam anak-anak Halimah.

Halimah mengangguk. Kini sudah pun berada di ruang sorong itu. Habshah menyambutnya dengan senyuman. Dia segera mendapatkan Habshah lalu memeluk dan mencium pipi adiknya itu. Kedua anaknya juga mendapatkan adiknya itu dan berebutan mencium tangan Habshah. Kemudian kedua beradik itu segera pula duduk di sisi Mazlan yang sudah pun bersila di sisi katil. Mak Siti terpacul di ruang sorong itu. Tiada siapa menyedari kedatangannya.

“Bila engkau sampai Limah?” tanya Mak Siti.

Semua yang ada di situ terkejut.

“Baru sebentar tadi Mak Siti,” jawab Halimah selepas mengucap panjang kerana terkejut. Kemudian bersalaman dengan Mak Siti. Diikuti oleh anak-anaknya.

“Ingatkan siapa tadi. Bibik buatkan air dan bawa biskut,” kata Mak Siti.

“Tak payahlah susah-susah. Kami sudah makan tadi. Masih kenyang lagi,” jawab Halimah.

“Kalau begitu tidak apalah. Duduklah dulu. Mak Siti ada kerja nak buat. Pesakit ramai,” balas Mak Siti.

Halimah mengangguk.

Mazlan berkata, “Ya lah Mak Siti. Mak Siti jangan risaukan kami. Buatlah kerja Mak Siti tu. Nampak pesakit pun memang ramai malam ini. Kereta bersusun di luar tu.”

Mak Siti tersenyum mendengar kata-kata Mazlan itu. Dia beredar dari situ tetapi sempat memandang ke arah dua orang anak Halimah dan Mazlan. Dia tersenyum memandang Raudhah yang memandangnya dan kemudian melihat lama Azlan yang sejak tadi melihat ke arah siling yang terlopong itu. Azlan berpaling pantas ke arahnya. Dia senyum kepada anak sulung Halimah dan Mazlan itu. Azlan memandangnya tanpa berkelip. Mak Siti menghilang di balik dinding kanan yang memisahkan ruang sorong dan ruang ibu itu.

“Bagaimana kak tahu saya ada di sini?” tanya Habshah, cuba hendak bangun tetapi tidak berdaya.

“Engkau baring sahajalah. Tak payah susahkan diri bangun,” kata Halimah.

Habshah mengikut kata Halimah.

“Kakak dan Abang Mazlan ke rumah engkau tadi. Johan beritahu engkau ada di sini. Kami teruslah datang ke sini,” sambung Halimah.

Habshah mengangguk-angguk. “Johan tidak dapat temankan kakak dan abang ke sini sebab dia ada kerja yang kena disiapkan malam ini juga,”beritahunya walaupun tidak ditanya.

Halimah dan Mazlan mengangguk, faham. Johan sudah beritahu mereka tadi. Mereka tidak terasa hati. Lagipun mereka memang tahu jalan ke rumah Mak Siti.

“Kak Limah asyik teringatkan engkau. Sebab tu kami datang ni,” kata Mazlan.

“Kantin?” tanya Habshah.

“Kami minta tutup dua hari. Pengurus Sumber Manusia luluskan. Mujurlah gerai-gerai MPSP dekat dengan kilang Hume tu,” jawab Mazlan.

Habshah tersenyum. Di balik senyuman itu ada riak terharu yang cuba disembunyikannya. Hatinya tersentuh dengan keprihatinan kakak dan abang iparnya itu. Sejak dia jatuh sakit memang pasangan suami isteri inilah antara yang kerap melawatnya. Tindakan mereka itu lebih bermakna kerana tempat tinggal mereka lebih jauh berbanding adik beradiknya yang lain. Adik beradik yang lain tinggal di lembah klang. Sedangkan kakaknya sekeluarga tinggal di Pulau Pinang.

“Terima kasihlah kak, Abang Mazlan,” kata Habshah.

“Hari ini hari engkau dik. Entah esok lusa hari kak pula,” jawab Halimah.

Azlan bangun dari duduk. Dia tertarik dengan kucing hitam yang sedang duduk di hadapan ambang pintu di ruang tengah itu. Sementara yang lain-lain masih bersembang. Mazlan membiarkan sahaja anak sulungnya itu beredar dari sisinya.

“Engkau sihat Sah?” tanya Halimah.

“Semakin sihat,” jawab Habshah. “Sejak pindah ke sini memang tak ada gangguan yang pelik-pelik lagi,” sambungnya.

“Baguslah. Kak doakan engkau cepat sembuh,” kata Halimah.

“Tapi kadang-kadang tu memanglah terasa bisa sana sini dalam badan ni. Mak Siti kata itu disebabkan bisa kanser tu. Dia sudah tengokkan. Benda bercampur. Sihir dan kanser. Kanser tu sikit sahaja. Sebenarnya belum sampai tahap empat. Sihir tu yang buat kanser tu nampak macam tahap empat,” terang Habshah.

“Latifah ada hubungi engkau lagi, Sah?” tanya Halimah.

Habshah menggeleng.

“Betul ke dia yang buat begini pada engkau?” tanya Halimah lagi.

“Mak Siti yang cakap,” jawab Habshah.

“Boleh ke percaya?” tanya Halimah.

Habshah merenung muka Halimah. Dia tidak menyangka kakaknya bertanyakan soalan itu. Kakaknya, sejak kecil sehingga sekarang, terkenal dengan sifat lemah lembut.

“Selama ini apa yang Mak Siti cakap betul belaka,” jawab Habshah dengan nada suara yang sedikit tinggi. Entah mengapa dia tidak berapa senang dengan pertanyaan Halimah.

“Bukan kakak hendak menuduh Mak Siti tu berbohong tetapi…”

“Selama ini orang yang datang menengok semuanya kata cakap Mak Siti betul belaka,” pintas Habshah.

Halimah tidak membalas kata-kata Habshah itu. Dia tahu adiknya itu begitu sayang kepada emak mertua tirinya itu. Apa pun masalah, sejak masih jadi tunangan Johan, dirujuknya kepada Mak Siti. Seperti katanya dahulu, Mak Siti ada jawapan bagi setiap permasalahannya. Jika tidak kerana berasa bertanggungjawab, dia sendiri tidak mahu membangkitkan soal itu. Dia cuma tidak mahu adiknya menuduh sembarangan. Mengikut penelitiannya yang pernah berjumpa dengan Latifah beberapa kali, perempuan itu baik orangnya.

Azlan bangun dan berjalan ke ruang ibu. Kucing hitam sedang duduk di ambang pintu di antara ruang sorong dan ruang ibu itu. Azlan mendekati kucing hitam itu. Pandangan matanya melawan pandangan mata tajam kucing hitam itu. Kucing hitam itu menghilang di balik dinding sebelah kiri ketika mereka berjarak tiga langkah. Azlan di ambang pintu. Melihat ke ruang kanan berdekatan tangga itu. Tidak dikesannya kelibat kucing hitam tadi.

Di ruang sorong, Raudhah menunjuk ke arah siling yang terlopong. Perbualan orang-orang dewasa terhenti disebabkan perlakuannya. Azlan kembali ke ruang sorong. Terus ke sisi katil Habshah dan mendongak muka menyertai adiknya melihat siling yang terlopong.

“Ada apa Raudhah, Azlan?” tanya Halimah kepada anak-anaknya itu.

“Ada…”

“Kucing agaknya,” kata Habshah, memintas kata-kata Raudhah.

“Bukan kucing tapi…”

“Tikus?” potong Habshah. Kali ini dia memintas kata-kata Azlan.

Di atas siling bunyi derap keras sesuatu berlari kedengaran lagi. Mata Azlan dan Raudhah tetap pada siling yang terlopong itu. Mazlan bangun mendekati Azlan. Dia mahu melihat siling yang terlopong itu dengan lebih dekat. Derap keras sesuatu berlari itu hilang.

“Cuba abang tengok apa bendanya. Bibik tolong ambilkan kerusi dan lampu suluh kalau ada,” kata Halimah.

Bibik Aminah mengambil kerusi. Juga lampu suluh yang terletak di atas kabinet telivisyen. Bulu romanya merinding dan dia berasa tidak sedap hati.

“Ini kerusinya encik. Hati-hati,” pesan Bibik Aminah kepada Mazlan.

Mazlan mengangguk. Dia meletakkan kerusi di sisi katil. Azlan memegang seluarnya.

“Bahaya abah,” kata Azlan.

Mazlan, Halimah, Habshah dan Bibik Aminah hairan dengan kata-kata Azlan itu. Mereka memandangnya seketika sebelum Habshah berkata-kata.

“Kucing kejar tikus saja tu,” kata Habshah.

Mazlan tetap naik di atas kerusi. Menyalakan lampu suluh dan menghalakan jalur cahayanya ke dalam siling yang terlopong itu.

“Tak ada apa-apa,” kata Mazlan.

Sebaik habis Mazlan berkata-kata, derap keras sesuatu berlari ke arah siling yang terlopong itu kedengaran semula. Ia bermula dari ruang tengah dan menghala ke ruang sorong. Azlan memeluk kaki kanan Mazlan. Tindakan Azlan itu diikuti oleh Raudhah yang segera pula memeluk kaki kiri Mazlan. Dari dalam siling yang terlopong itu melompat seekor tikus yang besar. Tikus itu mendarat di atas katil. Betul-betul di antara kangkang Habshah. Habshah terkejut lantas menjerit dan terbidas duduk. Begitu juga dengan Halimah dan Bibik Aminah yang sama terkejut dan menjerit. Mazlan pula hampir terjatuh ke lantai.

Tikus itu merayap di serata katil. Mazlan segera turun dari kerusi. Dia dan Azlan mengejar tikus itu. Tidak lama kemudian dari siling yang terlopong itu melompat pula seekor kucing hitam. Ia mendarat di bahu kanan Habshah. Membenamkan kukunya seketika di situ sebelum melompat untuk menerkam tikus yang sudah meloncat turun ke lantai. Kedua-dua binatang itu berkejaran ke ruang ibu. Azlan mengejar dari belakang dan kemudian memberhentikan langkahnya. Dia mendapati kucing hitam dan tikus itu ghaib sebelum sampai ke ambang pintu.

Habshah mengaduh sambil meraba-raba bahunya. Dia menarik tangan bila merasakan ia basah.Tapak tangannya itu berlumuran darah.

“Astaghfirullah…” ucap Halimah sebaik melihat keadaan itu. “Bibik, ambilkan tisu atau kain bersih. Ambil minyak gamat sekali kalau ada.”

Bibik Aminah segera mencari barang-barang yang diminta Halimah. Dia kembali dengan tisu yang diambil dari kabinet telivisyen. Kemudian menghilang untuk mencari minyak gamat pula.

“Dalam cakar kucing ni Sah,” kata Halimah selepas melihat luka pada bahu kanan Habshah itu.

“Pedih sangat ni. Berdenyut. Bisa,” kata Habshah yang sudah pun berair matanya menahan kesakitan. Tangannya yang memegang tisu terus menekap luka itu.

“Kucing tu dapat tikus tu, Azlan?” tanya Mazlan yang menghampiri Azlan yang masih berdiri terpacak di ruang tengah itu.

“Dah hilang abah,” beritahu Azlan.

“Lari ke bawah?” tanya Mazlan.

Azlan menggeleng.

“Habis tu?” tanya Mazlan.

“Hilang dekat situ,” bisik Azlan sambil menunjuk ke arah tempat kucing hitam dan tikus itu hilang.

Mazlan kehairanan. “Dekat mana?” tanyanya.

Azlan berjalan dan berhenti selangkah dari ambang pintu. “Dekat sini, abah.”

“Dekat sini?” tanya Mazlan yang mahu mengesahkan.

“Betul, abah,” jawab Azlan.

Mazlan tidak berkata apa-apa lagi. Dia menarik Azlan kembali ke ruang sorong. Halimah dan Habshah menunggu Bibik Aminah membawa minyak gamat. Mazlan melihat Halimah. Halimah yang mengerti air muka suaminya memberi isyarat ‘kenapa’ dengan riak mukanya. Mazlan berkata tanpa suara : ‘Nanti.’ Halimah tidak memaksa.

Bibik Aminah mencari minyak gamat hingga ke tingkat bawah. Dia mencari di dalam kabinet-kabinet tetapi tidak berjumpa walau sebotol minyak. Dia naik ke tingkat atas semula, mencari Mak Siti untuk bertanya di mana letaknya minyak gamat. Dia berdiri di hadapan bilik rawatan yang terletak di antara ruang ibu dan tangga itu. Pesakit Mak Siti, seorang perempuan cantik, keluar dari bilik rawatan itu dengan tersenyum-senyum. Diikuti oleh Mak Siti. Mak Siti tidak terkejut dengan kehadiran Bibik Aminah di hadapan pintu bilik itu.

“Engkau cari minyak gamat?” tanya Mak Siti.

Bibik Aminah mengangguk dalam kehairanan.

“Ada dekat bawah. Dalam almari yang tersandar di tepi dinding bilik belakang,” beritahu Mak Siti.

Mak Siti ke bilik sebelah. Bilik sebelah yang tidak berpintu tetapi hanya di tutupi oleh langsir itu adalah tempat menunggu pesakit Mak Siti. Bilik itu penuh dengan pesakit yang duduk di atas kerusi-kerusi rotan yang disediakan. Mak Siti memanggil pesakit yang seterusnya. Seorang perempuan muda menghilang bersama Mak Siti ke dalam bilik rawatan.

Bibik Aminah kembali ke tingkat bawah dan terus ke almari yang dimaksudkan oleh Mak Siti. Beberapa botol minyak gamat memang ada di dalam almari itu. Dia mengambil sebotol daripadanya. Ketika dia mahu melangkah untuk kembali ke tingkat atas, didengarnya bunyi yang ganjil dari dalam bilik belakang itu.

Bibik Aminah menajamkan pendengaran. Dia seolah-olah mendengar suara budak lelaki menangis. Tangisan itu berbaur pula dengan ngiau nipis kucing. Dia sangat pasti bahawa bunyi ganjil itu datangnya dari dalam bilik khas itu. Dia selalu membersihkan rumah Mak Siti itu. Tetapi dilarang memasuki bilik rawatan dan bilik khas itu. Apa yang ada di dalam bilik rawatan itu pernah dilihatnya. Pelbagai bahan mengubat pesakit ada di dalam bilik itu. Dia mengambil kesempatan menjenguk ke dalam bilik rawatan itu dari luar melalui pintunya yang selalu dibuka sedikit oleh Mak Siti terutamanya pada siang hari. Tetapi dia tidak pernah tahu apa yang ada di dalam bilik khas itu. Pintu bilik itu sentiasa bermangga.

Tetapi malam ini pintu bilik khas itu tidak bermangga seperti selalu. Bibik Aminah menghampiri pintu bilik khas tersebut. Suara budak lelaki menangis dan ngiau nipis kucing kedengaran semakin kuat. Dia tertanya-tanya anak siapa di dalam bilik khas itu. Mungkinkah anak salah seorang pesakit Mak Siti tersesat sehingga masuk ke dalam bilik khas itu. Dia memegang tombol pintu dan menolaknya. Kiut engsel berbunyi nyaring. Suara tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing lenyap sebaik pintu itu dibuka luas.

Terbuntang di hadapannya ialah kegelapan. Kegelapan yang amat sangat sehingga segala isi di dalam bilik khas itu tidak mampu dicerap oleh penglihatannya. Dia meraba-raba dinding di tepi pintu bilik. Menjangkakan suis lampu terletak di situ. Gerak hatinya benar. Dia menekan suis lampu. Dia menunggu beberapa saat tetapi lampu di dalam bilik itu tidak menyala. Kegelapan masih menyelubungi bilik tersebut. Dia menekan suis beberapa kali lagi tetapi lampu di dalam bilik belakang itu masih tidak menyala. Dia putus asa. Dia berhasrat hendak beredar dari situ. Lagi pula suara tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing tadi tidak lagi kedengaran. Jika benar ada anak pesakit Mak Siti tersesat ke dalam bilik itu tentulah dia sudah menerpa keluar sebaik pintu dibuka tadi. Ini tiada budak lelaki pun yang meluru keluar.

“Bibik!”

Bibik Aminah terkejut besar. Kepalanya segera melilau mencari arah suara tersebut. Azlan tercegat tiga langkah darinya. Bibik Aminah mengurut laju dadanya.

“Emak minta minyak gamat tu cepat,” kata Azlan yang turun mencari Bibik Aminah setelah disuruh oleh Halimah.

“Ya, ya. Baru ketemu,” kata Bibik Aminah.

“Bilik siapa tu bibik?” tanya Azlan, menunjuk kea rah bilik khas itu.

“Bilik Mak Siti. Ya, sudah. Mari kita naik ke atas,” kata Bibik Aminah sambil menyerahkan botol minyak gamat yang dipegangnya kepada Azlan.

Azlan mengambil botol minyak gamat itu tetapi tidak melangkah terus ke tingkat atas. Sebaliknya kaki anak kecil itu mahu melangkah masuk ke dalam bilik khas itu. “Ada apa dalam bilik tu bibik?”

Bibik Aminah segera menutup pintu bilik khas itu. Ketika daun pintu separuh tertutup, dengan tidak semena-mena lampu bilik itu mengerlip pantas sebelum berhenti. Pembantu rumah itu dapat melihat sepintas lalu sebahagian isi di dalam bilik belakang itu. Ia dipenuhi dengan pelbagai jenis botol dan balang dalam pelbagai saiz yang diletakkan di atas para-para setinggi siling. Di tengah-tengah bilik itu tadi dilihatnya seorang budak lelaki bermata bulat sedang tersenyum kepadanya. Dia dapat melihat gigi budak lelaki itu yang rapat-rapat dan tajam.

Benarkah apa yang dilihatnya itu? Dia memberanikan diri membuka pintu itu semula. Menunggu lampu bilik itu mengerlip semula.

“Apa ada dalam bilik?” tanya Azlan lagi. Azlan cuba hendak masuk ke dalam bilik khas itu tetapi dilarang keras oleh Bibik Aminah. Dia mengikut arahan pembantu rumah itu walaupun perasaan ingin tahunya menyala-nyala.

Lampu tidak berkerlip lagi. Dia menekan semula suis lampu beberapa kali. Tiba-tiba dia berasa tangannya itu disentuh oleh tangan yang tersangat dingin. Dia segera menarik tangannya. Bulu romanya merinding. Dia pantas berasa seram. Pantas mahu menutup pintu bilik khas itu.

Lampu berkerlip sebaik pintu itu hampir tertutup. Bibik Aminah nampak semula budak lelaki itu. Budak lelaki itu tersenyum kepadanya sehingga ternampak giginya yang rapat-rapat dan tajam. Kali ini mulut budak lelaki itu berdarah!

Bibik Aminah menutup pintu bilik khas itu dengan pantas. Segera menarik Azlan pergi dari situ. Di telinganya terngiang-ngiang suara tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing. Dia membaca ayat kusri di dalam hati. Lama kelamaan suara-suara itu hilang.

“Kenapa lambat sangat bibik?” tanya Halimah sebaik Bibik Aminah sampai ke ruang sorong itu.

“Baru ketemu minyak gamatnya. Itu pun selepas tanya Mak Siti,” jawab Bibik Aminah.

“Kenapa dengan bibik?” tanya Mazlan pula. Dia dapat mengesan kepucatan pada muka Bibik Aminah.

“Bibik nampak hantu abah. Hantu budak lelaki,” kata Azlan tanpa disangka-sangka.

“Ish, cakap baik-baik Azlan,” tegur Halimah.

“Betulkan bibik?” tanya Azlan lalu tersenyum.

Bibik Aminah tersengih-sengih, tidak mengiakan. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Azlan itu. Dia perlu menimbang semasak mungkin untuk mengiakan kata-kata Azlan itu. Dia khuatir jika pengakuannya nanti mencetuskan keruh di dalam perhubungan di antara keluarga itu. Halimah dan adik beradiknya pasti mengorek apa yang diketahuinya sehabis-habisnya.

“Ish, jangan cakap bukan-bukan Azlan,” tegur Halimah lagi sambil menjegil matanya memberi amaran.

Azlan tersengih dan tidak jadi membuka mulut lagi. Dia tidak jadi memberitahu apa yang dinampaknya di dalam rumah Mak Siti itu kepada mereka.

Ketika Halimah menyapu minyak gamat pada luka Habshah, terdengar suara orang memberi salam. Bibik Aminah segera memeriksa melalui tingkap lalu memberitahu Yunus dan Zaman, kedua abang kepada Halimah dan Habshah itu, datang. Mereka berdua naik selepas Bibik Aminah membuka pintu.

“Bila sampai Mazlan?” tanya Yunus, abang sulung kepada Halimah dan Habshah.

“Baru sahaja,” jawab Mazlan.

“Dari Penang?” tanya Zaman, abang kedua Halimah dan Habshah.

“Ya. Bertolak petang tadi. Pergi ke rumah Halimah. Johan beritahu Mak Siti jaga dia di sini,” jawab Mazlan.

“Kenapa Johan dan anak-anak tak temankan engkau di sini, Sah?” tanya Yunus.

Habshah sedikit terganggu dengan pertanyaan abang longnya itu. Tetapi dia gagahkan diri menjawab, “Dia kena siapkan kertas kerja malam ni juga. Ada mesyuarat penting pagi esok.”

“Tak boleh siapkan di sini?” tanya Yunus lagi.

“Sini kan ramai pesakit Mak Siti. Tak selesa,” jawab Habshah.

“Atas ni lengang saja. Tak boleh buat kat sini sambil jaga engkau? Mak Siti larat ke jaga engkau? Dia kan banyak pesakit,” balas Yunus.

Habshah diam sahaja. Malas hendak membantah kata-kata Yunus. Suasana sedikit tegang.

“Senang dia nak pergi kerja dan hantar anak-anak sekolah esok pagi, abang long,” kata Halimah cuba mengendurkan suasana.

“Betullah tu tetapi biarlah susah sikit asalkan isteri terjaga,” jawab Yunus.

Habshah terasa hati. Tetapi dia tidak salahkan Yunus. Memang itulah sepatutnya yang perlu dilakukan oleh Johan. Dia ada meminta Johan tinggal bersamanya di sini tetapi suaminya itu enggan kerana tidak mahu susah-susah. Dia terasa hati dengan keputusan Johan itu tetapi apakan daya. Suaminya itu tidak suka dibantah. Bantah bermakna perang besar. Dalam keadaan dirinya yang sakit begini lebih elok dia mengalah sahaja.

Bukan hal itu sahaja yang dia terasa hati dengan Johan. Di awal jatuh sakit, tekaknya teringin sangat hendak makan mempelam. Lalu dimintanya Johan membeli mempelam. Tetapi sampai ke hari ini Johan masih tidak menunaikan permintaannya itu. Mula-mula alasannya terlupa dan kemudian mempelam sudah habis di kedai buah berdekatan taman perumahannya itu. Mempelam habis? Dia tidak dapat terima alasan itu. Jika benar mempelam habis di kedai buah berdekatan taman perumahan mereka itu, banyak lagi kedai buah di Bandar Klang yang jual mempelam sepanjang masa. Kalau soal duit yang dikirakan oleh Johan, mahu sahaja dia hulurkan duitnya sendiri untuk membeli mempelam. Tetapi dia malas hendak gaduh-gaduh. Lalu terpaksa rela menjeruk hati.

“Abang rasa engkau tak sesuai tinggal di sini,” kata Zaman yang diam seketika tadi. Matanya memandang siling yang terlopong itu.

Semua mata memandang ke arah Zaman. Masing-masing menanti Zaman menyambung kata.

“Engkau sihat, Sah?” tanya Zaman sambil melihat Habshah.

Habshah mengangguk. “Lebih sihat daripada duduk di rumah saya, bang ngah,” jawab Habshah.

“Betul engkau sihat?” tanya Zaman.

Habshah mengangguk ragu. Tidakkah abang ngahnya itu nampak perubahan dirinya berbanding ketika dia berada di rumahnya. Zaman ada melawatnya beberapa kali ketika dia terlantar di rumahnya dulu.

“Bahu engkau itu permulaan kepada kerakusan makhluk ni,” kata Zaman.

Kata-kata Zaman itu mengejutkan Habshah dan lain-lain.

“Apa maksud abang ngah?” tanya Habshah.

Zaman diam sahaja. Dia serba salah. Hendak ditelan termengkelan, hendak diluah tiada keluar.

“Apa maksud engkau angah?” tanya Yunus pula.

Zaman mengeluh dalam.

“Apa halnya abang ngah?” tanya Halimah pula.

Zaman melihat Halimah sebentar sebelum matanya tumpah pada Habshah semula. “Abang ngah nak cakap pun serba salah.”

“Abang ngah cakap saja. Tak ada apa-apanya,” kata Habshah, memberi jaminan yang dia takkan marah apa jua kata-kata yang keluar daripada mulut Zaman.

“Abang ngah dapat alamat. Mimpi perkara yang sama tiga kali. Buat solat hajat dan sebagainya. Rujuk pada orang yang diberikan Allah ilmu dalam selok belok permainan sihir ni. Betul, engkau disihir orang. Tapi bukan oleh Latifah…” bongkar Zaman.

“Habis tu siapa yang buat Sah, abang ngah?” tanya Habshah yang terkejut dengan kata-kata Zaman itu.

Zaman melihat ke arah siling yang berlopong itu. Lama…

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin