Bab
6
Asap secawan kapucino menerawang
di udara. Aroma gaulan espresso, susu panas dan busa susu yang menyegarkan
menyapa mesra hidungnya. Karim menghirup busa kapucino pada permukaan cawan
seramik di hadapannya. Dia hampir memejamkan mata ketika menikmati kelazatan
minuman istimewa Itali itu. Menunjukkan isyarat bagus dengan tangannya kepada barista atau pembancuh kopi yang
membancuh kapucino itu. Barista
lelaki itu tersenyum dipuji begitu. Kemudian dia mengunyah perlahan pancake yang dicelup dengan sirap maple
sambil membuang pandangannya ke arah jalan yang sudah mulai sesak.
Bahu Karim ditepuk dari belakang.
Dia menoleh pantas dan seraya terkejut dengan lelaki yang sudah pun berdiri di
sisi meja kopi itu. Lelaki itu tersenyum memandangnya. Karim membalas senyuman
lelaki itu walaupun masih berasa was-was.
“Hang Karim bukan?” tanya lelaki
itu.
Karim teragak-agak hendak
menjawab.
Lelaki itu memintas kekagetan
Karim. “Betul bukan?” tanyanya lagi.
Karim masih teragak-agak hendak
menjawab. Fikirannya bersimpang siur. Kawan atau lawan?
“Hang dah tak kenal aku?” tanya
lelaki itu, tersenyum dan hampir tergelak. “Sama tarikh lahir pun tak ingat?”
Dahi Karim berkerut. Dia sudah
lupa siapa nama lelaki di sisinya itu.
Lelaki itu membuka cermin matanya.
“Macam ni hang kenal?” tanya lelaki itu.
“Sanusi?” tanya Karim kembali.
Lelaki itu tergelak lalu
mengangguk. “Dan hang betul Karim kan?”
“Ya, ya,” akui Karim setelah
pasti lelaki di sisinya itu tidak datang untuk memberi ancaman. “Maaf sebab tak kenal hang. Sudah lama sangat tak
nampak hang. Dulu hangkan sedikit berisi. Sekarang sudah sasa. Berkaca mata
pulak,” sambungnya.
Lelaki itu tergelak. “Dulu bukan
berisi tapi gemuk. Gemuk gedempul. Sekarang sudah rabun. Maklumlah sudah tua.
Hang tu sahaja yang masih tak berubah. Dari dulu sampai sekarang tetap kurus
dan tegap. Muka pun tak berubah langsung. Awet muda!”
Karim tersengih dipuji begitu.
“Hang buat apa di sini?
Melancong, bisnes atau urusan kerja?” tanya Sanusi.
“Aku tengah cari peluang bisnes,” jawab Karim,
sungguh-sungguh. “Dan cuba untuk tinggal di sini.”
“Maksud hang… hang sudah
tinggalkan Malaysia?” tanya Sanusi yang cepat menangkap kata-kata Karim.
Karim tersengih.
“Sudah berapa lama?” tanya
Sanusi.
“Sudah beberapa bulan,” jawab
Karim.
“Hang kerja di mana?” tanya
Sanusi.
“Aku menganggur,” jawab Karim.
“Habis tu? Tempat tinggal, makan,
minum? Ada saudara di sini?”
“Aku guna duit simpanan yang ada.
Aku tidak terlalu terdesak untuk mencari duit. Aku cuba intai peluang bisnes.
Tak ada saudara mara di sini,” jawab Karim lalu mencicip kapucino. Teringatkan
sesuatu dia segera menggamit pelayan kafe itu. Seorang pelayan perempuan datang
ke meja dan mengambil pesanan Sanusi.
“Ah, sudah lama kita tak jumpa.
Tidak sangka pula akan berjumpa di sini,” kata Sanusi sebaik melabuhkan
punggung di kerusi. “Hang tinggal di mana?” tanyanya selepas itu.
“Apartment di St John’s Wood,”
jawab Karim, tersenyum.
“Sewa di situ mahal,” balas
Sanusi.
Karim mengangguk, bangga. “Aku
bukan tinggal seorang tetapi dengan anak bini. Kena menyewa di tempat yang
selesalah kan…”
Sanusi mengangguk. Di dalam
hatinya dia berasa kagum dengan Karim. Tentu kawan lamanya itu bukan orang
biasa. Poketnya pasti tebal. Jika tidak masakan dia dapat menyewa di St John’s
Wood dan tinggal di kota mewah ini tanpa pekerjaan selama beberapa bulan!
“Hang pula, apa yang hang buat di
sini?” tanya Karim.
“Aku memang sudah jadi orang
sini,” jawab Sanusi.
“Bukan hang ke Perancis ke dulu?”
tanya Karim yang kehairanan. Ibu bapa Sanusi meninggal dunia dalam satu
kemalangan. Sanusi yang ketika itu menuntut di Universiti Malaya patah hati
mengenangkan nasibnya yang sebatang kara. Selepas urusan harta selesai, Sanusi
dikatakan terbang ke Perancis. Melalui khabar orang, Sanusi ke Perancis untuk
belajar seni halus di Strosborne.
“Memang betul. Setahun di
Strosborne dan kemudian berhijrah ke sini. Terus menetap di sini sehingga
sekarang. Rupa-rupanya seni halus terutamanya lukisan bukanlah wajib dipelajari
secara teori. Bakat banyak menentukan hasil. Itu penemuan aku,” jawab Sanusi,
bangga.
“Hang masih melukis?” tanya
Karim.
“Ya. Aku buat duit dengan
lukisan,” jawab Sanusi.
“Hang ada galeri sendiri di
sini?” tanya Karim, berminat.
“Aku sedang usahakan. Selama ini
aku jual melalui agen. Ada juga pembeli yang beli terus dari aku. Aku juga jadi
agen kepada kawan-kawan pelukis lain,” jawab Sanusi.
“Untung?”
tanya Karim.
Sanusi tersenyum. “Memang untung.
Lebih untung daripada jual beli hartanah,” jawab Sanusi.
“Betul ke?” tanya Karim.
“Jika jadi pemilik galeri lagi
untung. Pelukis yang masuk pameran yang kita anjurkan kita kenakan bayaran ikut
hari. Kita juga kenakan caj hampir 40 ke 50 persen untuk setiap lukisan yang
terjual,” tambah Sanusi.
Karim melopong. “Maksudnya jika
galeri dapat tarik pelukis yang sudah ada nama, atau sedang meningkat naik,
yang pastinya lukisannya mahal, maka galeri akan untung besar, begitu?”
Sanusi mengangguk, tersenyum.
“Hang nak jadi rakan kongsi aku? Sebagai pemilik galeri bersama atau agen
bersama. Pilih yang mana satu.”
Karim tersengih. Dia nampak
peluang untuk membuat duit. Peluang begini memang diperlukannya. Dia sedar,
balak kalau ditebang tanpa diganti pasti akan habis juga akhirnya. Tetapi dia
tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Ya, dia memang kenal Sanusi. Mereka
sekampung. Membesar bersama sehinggalah Sanusi membawa diri. Tetapi perangai
orang boleh berubah mengikut persekitaran, pengalaman dan masa.
Sanusi dapat mengesan keengganan
Karim untuk menerima pelawaannya itu. Dia tahu dia harus melakukan sesuatu untuk
meyakinkan lelaki itu. Dia mencicip kapucino yang baru sampai. Terilham
sesuatu. “Engkau lapang nanti?”
Karim ketawa. “Aku memang lapang
selalu beberapa bulan ini termasuk hari ini, esok, lusa dan mungkin juga pada
hari-hari berikutnya. Kenapa?”
Sanusi ketawa. “Aku hendak pergi
jumpa klien selepas sarapan ini. Ahli korporat ini beli sekeping lukisan kawan aku.
Aku hendak hantar lukisan itu kepadanya nanti sebelum dia berlepas ke New York
tengah hari nanti. Hang nak ikut aku? Boleh tengok macam mana aku jalankan urus
niaga. Mudah.”
“Boleh, boleh,” jawab Karim pantas.
Selepas bersarapan mereka terus
berjumpa dengan klien Sanusi itu. Setiausaha ahli korporat itu membawa mereka
masuk ke dalam bilik pejabat bosnya. Sanusi disambut hangat oleh ahli korporat
itu. Mereka bertiga duduk di sofa di dalam bilik pejabat serba mewah itu.
“Jadi, ini lukisannya?” tanya
ahli korporat yang bernama James itu.
“Ya,” jawab Sanusi.
“Boleh aku melihatnya?” tanya
James.
“Sudah tentu. Tidak mengapa kalau
balutannya dibuka, tuan?” jawab Sanusi.
“Oh, tidak apa-apa. Nanti saya
minta pekerja saya balutkan semula,” jawab James.
Sanusi membuka balutan lukisan
itu dengan berhati-hati. Kemudian meletakkan lukisan itu di atas sofa panjang.
James yang sudah berdiri di hadapan sofa panjang itu bersinar matanya. Dia
merenung lama lukisan itu. Air mukanya berubah mendung perlahan-lahan.
Karim juga melihat lukisan itu.
Semakin lama lukisan itu dilihatnya semakin celaru fikirannya. Dia
tertanya-tanya bagaimana ada orang yang sanggup membeli lukisan yang dia
sendiri boleh melukiskannya. Lukisan itu terlalu ringkas – keseluruhan hitam
dan hanya ada satu titik kecil berwarna putih di tengah-tengahnya. Dan bahagian
yang hitam itu pula di bawahnya diperciki oleh warna merah, coklat dan kelabu
yang kelam.
James menitiskan air mata.
Keadaan itu mengagetkan Karim. Sanusi yang mengerti memegang bahu James.
“Engkau tahu Sanusi. Lukisan ini
mengingatkan aku kepada diriku. Warna-warna di sebalik warna hitam itu adalah
dosa-dosaku yang lalu. Warna hitam itu adalah diriku hasil dosa-dosaku yang
lalu. Dan warna putih sekecil buah anggur itu adalah sekelumit kebaikan yang
baru aku usahakan sekarang. Aku harap cahaya warna putih itu akan membesar dan
membesar akhirnya menghapuskan warna hitam yang menguasai,” kata James.
“Semua orang pernah melakukan
dosa, James. Bukan tuan seorang sahaja,” jawab Sanusi. “Cuba tuan lihat lukisan
itu betul-betul. Nampak tak cahaya titik putih itu sebenarnya kelihatan sedang
merayap untuk memutihkan warna hitam di sekelilingnya itu.”
James membesarkan matanya,
meneliti lukisan itu dengan lebih teliti. “Aku tidak nampak itu.”
Sanusi bergerak ke sisi sofa.
Lalu mengajak James ke situ juga. “Cuba tuan lihat dari sisi.”
James melihat lukisan itu dari sisi. Matanya
terbeliak lalu terpacul, “Wow!”
Sanusi tersenyum bila dipandang
James yang kagum. “Aku sudah kata ia berbaloi dimiliki dengan harga yang
kusebutkan tempoh hari.”
James mengangguk, mengakui
kata-kata Sanusi itu. Lantas ke meja kerjanya. Menulis cek dan kembali ke sofa
dan menyerahkan cek itu kepada Sanusi. Sanusi mengambil cek itu dan
menyimpannya di dalam poket dalam kotnya.
“Engkau tidak mahu periksa nilai
cek itu?” tanya James lalu tersenyum.
“Tuan klien lama aku. Tentunya
aku percaya,” jawab Sanusi.
James tersenyum lalu
menepuk-nepuk bahu Sanusi. “Engkau memang agen yang hebat. Tahu menilai pelukis
dan lukisannya. Tahu juga kepada siapa lukisan ini perlu dijual.”
“Tuan terlalu memuji,” balas
Sanusi.
“Semua lukisan yang aku beli
daripada engkau bila dinilai beberapa tahun kemudian memang melonjak tinggi
harganya. Engkau ingat lukisan rumah api karya Joseph itu?”
“Ya, ya aku ingat,” jawab Sanusi.
“Sekarang ini harganya sudah tiga
kali ganda daripada harga asal yang engkau jual kepadaku dua tahun lepas.
Joseph itu pun sekarang sudah terkenal. Lukisannya semakin mahal,” kata James.
Sanusi mengangguk. “Aku ada karya
terbarunya. Dia ada minta aku cari pembeli untuk lukisan terbarunya. Dia
menelefonku beberapa hari yang lalu. Tuan berminat?”
“Apa subjeknya?” tanya James.
“Nanti aku dapatkan butiran
terperincinya. Tetapi apa pun karyanya, ia pastinya satu pelaburan yang
berbaloi,” jawab Sanusi.
“Ya, itu tidak dinafikan. Tetapi
aku membeli kerana minat. Aku pengumpul tegar. Hanya lima peratus sahaja
daripada koleksi aku jual semula. Itu pun kerana tidak cukup ruang untuk
menyimpan,” jawab James.
Sanusi mengangguk. “Jika
subjeknya kena dengan tuan dan ia pula dari hasil tangan Joseph, pastinya ia
berbaloi untuk dimiliki.”
“Ya, betul kata engkau. Pastikan
engkau hantar butiran terperinci lukisan itu secepat mungkin,” kata James.
“Baik, tuan,” jawab Sanusi.
Selepas bersalaman, Sanusi dan
Karim pun beredar dari pejabat James. Sebaik masuk ke dalam kereta dan belum
pun Sanusi menghidupkan enjin, Karim yang memuncak ingin tahunya terus bertanya
itu ini kepada Sanusi.
“Berapa harga lukisan tadi?”
tanya Karim.
Sanusi menghidupkan enjin dan
kemudian menghidupkan pula penghawa dingin.
“Hang tak mahu dedahkan kepada
aku?” tanya Karim.
Sanusi tersenyum melihat gelagat
Karim. Dia gembira kerana sudah dapat memancing minat Karim melalui urus niaga
tadi.
“Bagaimana aku nak jadi sekutu
hang jika buktinya tiada…” luah Karim.
Sanusi tersengih dan terus
mengeluarkan cek yang diberi James itu dari poket dalam kot. Cek itu
diberikannya kepada Karim. Karim melihat cek itu. Matanya terbeliak besar.
“Betul ke ni?” tanya Karim
selepas beberapa lama melihat cek itu.
“Ya,” jawab Sanusi.
“Dua ratus lima puluh ribu pound
sterling?” tanya Karim untuk mengesahkan.
“Ya,” jawab Sanusi.
“Mahalnya,” kata Karim.
“Ingat, lebih mahal lebih
untung!” balas Sanusi kemudian tersenyum. “Bagi James harga itu tidak apa-apa
berbanding sentimen yang dicetuskan oleh lukisan itu yang baginya tidak
ternilai harganya.”
“Berapa engkau untung?” tanya
Karim.
Sanusi tergelak. “Engkau rasa?”
tanyanya selepas gelaknya reda.
“Lima peratus daripada harga
lukisan?” jawab Karim.
Sanusi menggeleng.
Karim melopong. “Sepuluh
peratus?”
Sanusi menggeleng lagi.
Karim terus melopong. “Lima belas
peratus?”
Sanusi menggeleng juga.
“Habis tu?” tanya Karim.
“Lima belas peratus darab dua,”
jawab Sanusi.
“Tiga puluh peratus?!” sambut
Karim yang tersentak, terkejut besar.
“Ya,” jawab Sanusi.
“Maksudnya hang untung ….”
“Tujuh puluh lima ribu pound
sterling!” pintas Sanusi.
Karim terus terlopong.
Sanusi masuk gear satu. Lepas
pedal kelas dan menekan pedal minyak. Kereta bergerak perlahan. Ketika dia
masuk ke gear dua, dia berkata lagi, “Itu baru sekeping lukisan. Bayangkan
kalau dalam sebulan atau setahun dapat jual berbelas lukisan bernilai serupa…”
“Tentu kita kaya!” sambut Karim.
“Kita kaya?” tanya Sanusi
memandang Karim sepintas lalu.
“Boleh anggap aku sudah jadi
sekutu engkau?” tanya Karim, sungguh-sungguh.
“Sebagai agen atau pemilik
galeri?” tanya Karim.
“Apa-apa sahajalah,” jawab Sanusi.
“Hang hendak tidak kalau aku beri
satu peluang buat untung sebelum engkau jadi sekutu aku?” tanya Karim.
“Peluang apa?” tanya Karim dengan
mata yang bersinar.
“Ada kenal seorang pelukis yang sedang
meningkat naik. Sama seperti Joseph. Lukisan dia baru siap seminggu yang lalu
selepas dua tahun. Aku kenal beberapa klien yang memang pengumpul tegar lukisan
dia,” jelas Sanusi.
“Jadi?” tanya Karim yang belum
dapat menangkap rancangan Sanusi.
“Apa kata hang beli lukisan dia
pada harga dia. Kemudian jual pada klien aku dengan harga yang lebih tinggi,”
jelas Sanusi lagi. “Jadi hang untung atas angin.”
“Kalau klien-klien hang tak nak
beli lukisan tu, tak ke naya aku nanti,” balas Karim.
“Macam aku cakap tadi, mereka tu
pengumpul tegar lukisan pelukis ni. Mereka pasti beli. Tambahan pula pelukis ni
bakal terkenal,” kata Sanusi.
Karim mengangguk-angguk. Dia
terlepas fakta itu. “Berapa harga lukisan dia tu?”
“Dua ratus ribu pound sterling,”
jawab Sanusi.
Karim
menelan air liur. Dia mengira di dalam kepala. Dua ratus ribu pound sterling
jika ditukar kepada ringgit Malaysia bermakna lebih kurang sejuta lima ratus
ribu ringgit. Itu angka yang amat besar walaupun dia ada wang sebanyak itu.
Selepas ditolak sewa apartmen selama setahun, membeli belah dan makan minum sepanjang
beberapa bulan ini, duitnya masih ada sejuta lapan ratus lima puluh ribu
ringgit. Soalnya sekarang, secepat mana dia boleh dapatkan kembali pelaburan
terhadap lukisan itu nanti. Dia tidak mahu mengambil risiko jika terlalu lewat.
“Hang tahu berapa harga yang hang
boleh letak jika jual semula kepada klien aku?” tanya Sanusi bila melihat Karim
berfikir lama.
“Berapa?” tanya Karim, terpancing
semula.
“Kurang-kurang pun tiga ratus
ribu pound sterling. Aku akan runding harga terbaik. Aku cuba dapatkan tiga
ratus lima puluh ribu pound sterling. Hang boleh untung sekurang-kurangnya
seratus ribu pound sterling!” jawab Sanusi.
“Berapa lama aku boleh dapat
balik pelaburan aku tu?” tanya Karim.
“Selepas salah seorang klien aku
beli,” jawab Sanusi.
“Secepat mana mereka akan beli?”
tanya Karim.
Sanusi menghubungi beberapa orang
kliennya yang menjadi pengumpul tegar lukisan Van Basten. Kesemua mereka sberetuju
untuk membeli lukisan tersebut. Dia berjaya mendapatkan temu janji dengan
mereka. Petang itu dia dan Karim turun naik tangga pejabat untuk berjumpa
dengan klien-klien tersebut. Kesemua klien itu bersetuju dengan harga yang
diletakkan oleh Sanusi selepas tawar menawar. Karim gembira tidak terkata.
“Secepat bila kita boleh dapatkan
lukisan itu?” tanya Karim yang sudah tidak sabar untuk mendapatkan untung.
“Kita ke studio dia. Lihat
lukisan itu. Berunding pula dengan dia,” kata Sanusi.
Mereka berdua ke studio lukisan
Van Basten. Van Basten menyambut mereka dengan senang hati.
“Engkau sudah dapatkan
pembelinya, Sanusi?” tanya Van Basten sambil meneguk bir.
“Sudah,” jawab Sanusi. “Mana
lukisan itu?”
Van Basten membawa mereka masuk
ke dalam pejabatnya. Lukisan itu terpamer megah di sisi kanan meja kerja,
terletak elok di atas pancang lukisan. Ia sebuah lukisan abstrak yang berwarna
warni. Sapuan-sapuannya bersimpang siur, dibintiki oleh warna-warna yang garang
dan diperciki pula oleh warna-warna pastel.
“Siapa pembelinya? Pengumpul
lukisan aku seperti selalu?” tanya Van Basten.
“Dia,” jawab Sanusi sambil
menunjuk ke arah Karim.
“Kawan engkau ini?” tanya Van
Basten yang agak terkejut, meneguk bir lagi.
“Ya. Sebab itu engkau kena jual
murah sedikit,” kata Sanusi lalu tergelak.
Van Basten tersenyum. “Harga yang
aku letakkan sudah terlalu murah. Harga muktamad,” jawab Van Basten.
“Okey, okey,” balas Sanusi.
“Tiada komisen untuk engkau.
Harga itu untuk aku. Barangkali engkau boleh minta komisen daripada kawan
engkau,” kata Van Basten.
“Dia kawan aku. Kami sekampung.
Aku tak ambil untung atas dia. Dia berminat hendak beli lukisan engkau,” jawab
Sanusi.
“Jadi bila aku boleh dapatkan
lukisan ini?” tanya Karim tiba-tiba.
“Selepas duit bertukar tangan,”
jawab Van Basten lalu tersenyum.
“Mari kita balik. Uruskan wang
itu secepat mungkin,” kata Sanusi.
“Kalau boleh kita selesaikan urus
niaga ini sebelum aku ke Paris dua hari lagi,” pesan Van Basten.
Sanusi dan Karim mengangguk. Mereka
beredar dari situ.
Telefon berdering. Karim menjawab.
Panggilan telefon daripada Sanusi.
“Dia hendak duit itu malam ini
juga?!” tanya Karim, agak terkejut dengan perkembangan terbaru itu.
“Ya. Dia terpaksa bertolak ke Paris esok pagi.
Penerbangan awal. Mungkin akan berada dua minggu di Paris ” jawab Sanusi.
“Jika begitu kita berdua pergi
berjumpa dengannya untuk serahkan duit dan ambil lukisan itu. Lagi cepat lagi
bagus. Lagi cepat lagi lekas untung!” balas Karim yang tiba-tiba mendapati
perkembangan terbaru itu baik untuknya.
“Aku sudah jumpa dia dan ambil
lukisan tu daripada dia. Aku pergi jumpa engkau dan serahkan lukisan tu pada
engkau. Engkau serahkan duit untuk aku beri pada dia,” kata Sanusi.
“Baik,” jawab Karim.
Sanusi tiba di apartmen sewa
Karim sejam kemudian. Duit dan lukisan bertukar tangan.
“Boleh aku tengok lukisan ini?”
tanya Karim.
Sanusi mengangguk. Karim membuka lukisan
itu. Tersenyum melihat lukisan Van Basten itu sudah menjadi miliknya.
“Lusa kita jumpa klien-klien aku
tu. Pastikan hang lapang sepanjang hari itu. Simpan lukisan ini elok-elok,”
kata Sanusi.
Sanusi meminta diri. Dia memecut
laju kereta membelah kepekatan malam Kota London.
Sudah tiga hari Habshah
dipindahkan ke rumah Mak Siti. Dia ditempatkan di katil yang diletakkan di ruang
sorong di tingkat atas rumah papan yang besar itu. Di situlah satu-satunya
ruang yang tidak sibuk, baik pada siang atau malam hari. Semua urusan berubat
dilakukan di ruang ibu. Ada tangga di sisi rumah untuk pelanggan Mak Siti naik
terus ke ruang ibu itu.
Mak Siti yang sibuk sepanjang
hari akan melihat keadaan Habshah sekali sekala. Bibik Aminah sahaja yang setia
menunggunya setiap masa. Johan dan anak-anak pula akan menjenguknya bermula jam
enam petang dan pulang ke rumah mereka selepas isyak, selalunya sekitar pukul sembilan
ke sepuluh malam. Mereka tidak tidur di situ kerana jarak yang terpaksa
ditempuh untuk ke sekolah dan pejabat agak jauh jika dari sini. Hanya akan
bermalam di situ pada hujung minggu. Pada hari ini mereka pulang lebih awal
iaitu selepas maghrib. Johan ada kertas kerja yang perlu disiapkan untuk
mesyuarat penting esok.
Habshah berasa lebih sihat sejak
berpindah ke rumah Mak Siti. Dia tidak lagi melihat kelibat dan mendengar suara
kanak-kanak perempuan itu. Tidak juga bermimpi yang bukan-bukan lagi. Dia tidur
lena sepanjang malam. Raungan dan rengekan pesakit Mak Siti setiap malam tidak
langsung menganggunya.
Habshah terganggu dengan bahagian
siling yang terlopong yang terletak betul-betul di bawah katil dan bersetentangan
dengan perutnya itu. Siling itu begitu sejak dia dipindahkan ke sini. Dia ingin
bertanya tentang siling itu kepada Mak Siti tetapi hal itu tidak terkeluar dari
mulutnya.
“Bibik, siling ini memang
terlopong sebelum saya datang ke sini ke?” tanya Habshah dengan suara perlahan
sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah bahagian siling yang terlopong itu.
“Setahu saya puan, ia elok sahaja
sebelum puan datang ke sini. Saya bersih dan kemaskan ruang tamu ini dua minggu
lepas,” jawab Bibik Aminah. Matanya memandang tajam ke arah lubang empat segi
tepat pada siling yang terlopong itu. Lubang itu gelap dan menakutkan bila
dilihat lama. Bulu romanya meremang. Dia segera mengalihkan pandangannya ke
arah Habshah selepas merasakan ada sesuatu yang sedang memerhati mereka.
“Kenapa bibik?” tanya Habshah
yang mengesan perubahan air muka Bibik Aminah .
“Meow…. Meow…. Meow….” Bunyi
kucing mengiau kedengaran menyambut pertanyaan Habshah itu.
Habshah dan Bibik Aminah
terkejut. Bibik Aminah pantas melihat sekeliling. Dia mencari kelibat kucing.
Tidak dilihatnya walau seekor pun di situ.
“Mungkin kucing di luar…” kata
Habshah.
Bibik Aminah yang tidak puas hati
mencari-cari lagi. Dia percaya kucing itu ada di sekitar ruang sorong rumah
itu. Ngiaunya kedengaran begitu hampir. Dia mencari di sebalik kabinet
telivisyen. Melutut dan membongkok untuk melihat di bawah kabinet telivisyen itu.
Tiada kucing di situ. Ketika dia mengangkat muka, dirinya terkejut lagi. Mak
Siti sedang berdiri di ambang pintu yang memisahkan ruang sorong dan ruang ibu.
“Apa yang engkau cari?” tanya Mak
Siti.
“Kucing,” jawab pembantu rumah
itu.
Mak Siti menggerak-gerakkan
jarinya. Memanggil sesuatu di belakang dinding sebelah kirinya. “Meow…. Meow….
Meow…” panggilnya dengan penuh pujuk. “Mari sini sayang… Mari sini sayang…”
pujuknya lagi.
Seekor kucing yang keseluruhan badannya
berwarna hitam berjalan dari arah dinding sebelah kiri itu ke ambang pintu.
Kucing itu menggesel-geselkan badannya pada kaki kiri Mak Siti. Mak Siti tersenyum
suka. Bibik Aminah melihat perlakuan kedua-dua makhluk itu. Dia terperanjat
besar bila kucing itu memandang tajam
dan kemudian menjegil garang kepadanya. Dia beredar dari situ dengan
tergesa-gesa. Sempat menoleh sebelum hilang ke ruang sorong, dilihatnya Mak
Siti sudah pun mendukung kucing itu sambil menjilat-jilat kepalanya. Seorang
perempuan cantik yang berkemban baru sahaja melalui belakang Mak Siti. Mak Siti
menghilang ke dinding sebelah kanan mengekori perempuan cantik itu. Tidak lama
kemudian terdengar bunyi deram air.
“Jumpa kucing tu?” tanya Habshah
kepada Bibik Aminah.
“Kucing Mak Siti,” jawab Bibik
Aminah.
Dahi Habshah berkerut. “Bila Mak
Siti bela kucing?”
“Saya pun tak tahu, puan,” jawab
Bibik Aminah.
“Meow… Meow… Meow…” Ngiau kucing
kedengaran lagi.
Habshah dan Bibik Aminah terkejut
lagi. Bibik Aminah segera menjenguk ke ambang pintu yang ditinggalkannya tadi.
Kucing hitam itu ada di situ. Kucing hitam itu memandang tajam ke arahnya.
Bibik Aminah segera menarik pandangannya. Suara kucing mengiau kedengaran lagi.
Kali ini lebih lama dan mendayu. Bibik Aminah menjenguk takut-takut ke arah
amabng pintu. Dia nampak kelibat kucing itu menghilang di balik dinding sebelah
kiri.
Kedengaran derap sesuatu berlari
di atas siling serta bunyi ngiau kucing yang semakin galak. Habshah dan Bibik
Aminah berasa gentar. Mata Habshah melilau di serata siling hingga akhirnya
tertumpu pada siling yang terlopong. Dia menanti entah apa. Selepas beberapa
ketika di balik kegelapan itu, dia
nampak sepasang mata hijau yang berkilauan.
“Nampak tak mata hijau tu?” tanya
Habshah.
“Saya tak nampak apa-apa puan,”
jawab Bibik Aminah. Dia tidak nampak apa-apa walaupun sudah memfokuskan
penglihatannya pada lubang siling itu. “Hanya gelap sahaja…”
“Di dalam gelap itu,” jawab
Habshah, menunjukkan jari telunjuknya ke arah lubang siling itu.
Bibik Aminah melihat dengan lebih
bersungguh-sungguh. Gelap lubang itu perlahan-lahan mencerah dan ketika itulah
dia nampak sepasang mata hijau yang dimaksudkan oleh Habshah. Sepasang mata
hijau yang berkilauan itu tiba-tiba berubah menjadi merah menyala. Dan dia juga nampak sebaris gigi tajam yang
rapat-rapat sedang menyerigai kepadanya. Dia terkejut sehingga terjelepuk ke
lantai. Beberapa saat kemudian terdengar lagi derap sesuatu berlari di atas siling
disertai bunyi kucing mendengus.
Habshah dan Bibik Aminah saling
berpandangan.
“Kucing ke?” tanya Habshah.
“Bunyi macam kucing,” jawab Bibik
Aminah, menyembunyikan fikirannya yang sebenar.
“Kucing kejar tikus, agaknya,”
kata Habshah lagi.
Bibik Aminah mengangguk-angguk
payah untuk mengiakan anggapan Habshah itu.
Deram enjin kenderaan kedengaran
di halaman rumah. Biasan lampu menerangi cermin tingkap. Bibik Aminah bangun
dan berjalan ke arah tingkap tersebut.
“Pesakit kut…” kata Habshah.
Bibik Aminah tetap ke tingkap.
Biasan lampu hilang. Dia membuka cermin tingkap. Sebuah kereta Proton Iswara
biru tua baru parkir di sisi tangga. Dari dalam kereta itu keluar seorang
lelaki, seorang perempuan dan dua orang kanak-kanak. Mereka kelihatan letih
kerana baru menempuhi perjalanan yang jauh.
“Puan, kakak puan datang,”
beritahu Bibik Aminah dengan nada gembira.
“Kak Limah?” tanya Habshah dengan
mata yang bersinar.
“Ya, puan,” jawab Bibik Aminah.
“Tolong bukakan pintu, bibik.
Suruh mereka masuk ikut pintu depan ni,” kata Habshah.
Panggilan salam kedengaran dari
bawah. Bibik Aminah segera menjawab salam Halimah dan Mazlan. Kemudian dia
terburu-buru membuka pintu. Tersenyum sebaik melihat sepasang suami isteri itu
bersama anak-anak mereka.
“Naik puan, naik puan,” jemput Bibik
Aminah dengan penuh mesra.
“Bibik sihat?” tanya Halimah lalu
melontarkan senyuman, menaiki tangga dan kemudian menghulurkan salam.
“Saya sihat puan,” jawab Bibik
Aminah, membalas senyuman dan menyambut salam Halimah.
“Sudah berapa hari pindah ke
sini?” tanya Halimah. Kedua-dua anaknya dan Mazlan mengekori dari belakang.
“Sudah tiga hari,” jawab Bibik
Aminah sambil menyambut salam anak-anak Halimah.
Halimah mengangguk. Kini sudah
pun berada di ruang sorong itu. Habshah menyambutnya dengan senyuman. Dia
segera mendapatkan Habshah lalu memeluk dan mencium pipi adiknya itu. Kedua
anaknya juga mendapatkan adiknya itu dan berebutan mencium tangan Habshah.
Kemudian kedua beradik itu segera pula duduk di sisi Mazlan yang sudah pun
bersila di sisi katil. Mak Siti terpacul di ruang sorong itu. Tiada siapa
menyedari kedatangannya.
“Bila engkau sampai Limah?” tanya
Mak Siti.
Semua yang ada di situ terkejut.
“Baru sebentar tadi Mak Siti,”
jawab Halimah selepas mengucap panjang kerana terkejut. Kemudian bersalaman
dengan Mak Siti. Diikuti oleh anak-anaknya.
“Ingatkan siapa tadi. Bibik
buatkan air dan bawa biskut,” kata Mak Siti.
“Tak payahlah susah-susah. Kami
sudah makan tadi. Masih kenyang lagi,” jawab Halimah.
“Kalau begitu tidak apalah.
Duduklah dulu. Mak Siti ada kerja nak buat. Pesakit ramai,” balas Mak Siti.
Halimah mengangguk.
Mazlan berkata, “Ya lah Mak Siti.
Mak Siti jangan risaukan kami. Buatlah kerja Mak Siti tu. Nampak pesakit pun memang
ramai malam ini. Kereta bersusun di luar tu.”
Mak Siti tersenyum mendengar
kata-kata Mazlan itu. Dia beredar dari situ tetapi sempat memandang ke arah dua
orang anak Halimah dan Mazlan. Dia tersenyum memandang Raudhah yang
memandangnya dan kemudian melihat lama Azlan yang sejak tadi melihat ke arah siling
yang terlopong itu. Azlan berpaling pantas ke arahnya. Dia senyum kepada anak
sulung Halimah dan Mazlan itu. Azlan memandangnya tanpa berkelip. Mak Siti
menghilang di balik dinding kanan yang memisahkan ruang sorong dan ruang ibu
itu.
“Bagaimana kak tahu saya ada di
sini?” tanya Habshah, cuba hendak bangun tetapi tidak berdaya.
“Engkau baring sahajalah. Tak
payah susahkan diri bangun,” kata Halimah.
Habshah mengikut kata Halimah.
“Kakak dan Abang Mazlan ke rumah
engkau tadi. Johan beritahu engkau ada di sini. Kami teruslah datang ke sini,”
sambung Halimah.
Habshah mengangguk-angguk. “Johan
tidak dapat temankan kakak dan abang ke sini sebab dia ada kerja yang kena
disiapkan malam ini juga,”beritahunya walaupun tidak ditanya.
Halimah dan Mazlan mengangguk,
faham. Johan sudah beritahu mereka tadi. Mereka tidak terasa hati. Lagipun mereka
memang tahu jalan ke rumah Mak Siti.
“Kak Limah asyik teringatkan
engkau. Sebab tu kami datang ni,” kata Mazlan.
“Kantin?” tanya Habshah.
“Kami minta tutup dua hari.
Pengurus Sumber Manusia luluskan. Mujurlah gerai-gerai MPSP dekat dengan kilang
Hume tu,” jawab Mazlan.
Habshah tersenyum. Di balik senyuman itu ada
riak terharu yang cuba disembunyikannya. Hatinya tersentuh dengan keprihatinan
kakak dan abang iparnya itu. Sejak dia jatuh sakit memang pasangan suami isteri
inilah antara yang kerap melawatnya. Tindakan mereka itu lebih bermakna kerana
tempat tinggal mereka lebih jauh berbanding adik beradiknya yang lain. Adik
beradik yang lain tinggal di lembah klang. Sedangkan kakaknya sekeluarga
tinggal di Pulau Pinang.
“Terima kasihlah kak, Abang
Mazlan,” kata Habshah.
“Hari ini hari engkau dik. Entah
esok lusa hari kak pula,” jawab Halimah.
Azlan
bangun dari duduk. Dia tertarik dengan kucing hitam yang sedang duduk di
hadapan ambang pintu di ruang tengah itu. Sementara yang lain-lain masih
bersembang. Mazlan membiarkan sahaja anak sulungnya itu beredar dari sisinya.
“Engkau sihat Sah?” tanya
Halimah.
“Semakin sihat,” jawab Habshah.
“Sejak pindah ke sini memang tak ada gangguan yang pelik-pelik lagi,”
sambungnya.
“Baguslah. Kak doakan engkau
cepat sembuh,” kata Halimah.
“Tapi kadang-kadang tu memanglah
terasa bisa sana sini dalam badan ni. Mak Siti kata itu disebabkan bisa kanser
tu. Dia sudah tengokkan. Benda bercampur. Sihir dan kanser. Kanser tu sikit
sahaja. Sebenarnya belum sampai tahap empat. Sihir tu yang buat kanser tu
nampak macam tahap empat,” terang Habshah.
“Latifah ada hubungi engkau lagi,
Sah?” tanya Halimah.
Habshah menggeleng.
“Betul ke dia yang buat begini
pada engkau?” tanya Halimah lagi.
“Mak Siti yang cakap,” jawab
Habshah.
“Boleh ke percaya?” tanya
Halimah.
Habshah merenung muka Halimah.
Dia tidak menyangka kakaknya bertanyakan soalan itu. Kakaknya, sejak kecil
sehingga sekarang, terkenal dengan sifat lemah lembut.
“Selama ini apa yang Mak Siti
cakap betul belaka,” jawab Habshah dengan nada suara yang sedikit tinggi. Entah
mengapa dia tidak berapa senang dengan pertanyaan Halimah.
“Bukan kakak hendak menuduh Mak
Siti tu berbohong tetapi…”
“Selama ini orang yang datang
menengok semuanya kata cakap Mak Siti betul belaka,” pintas Habshah.
Halimah tidak membalas kata-kata
Habshah itu. Dia tahu adiknya itu begitu sayang kepada emak mertua tirinya itu.
Apa pun masalah, sejak masih jadi tunangan Johan, dirujuknya kepada Mak Siti.
Seperti katanya dahulu, Mak Siti ada jawapan bagi setiap permasalahannya. Jika
tidak kerana berasa bertanggungjawab, dia sendiri tidak mahu membangkitkan soal
itu. Dia cuma tidak mahu adiknya menuduh sembarangan. Mengikut penelitiannya
yang pernah berjumpa dengan Latifah beberapa kali, perempuan itu baik orangnya.
Azlan bangun dan berjalan ke ruang ibu. Kucing
hitam sedang duduk di ambang pintu di antara ruang sorong dan ruang ibu itu.
Azlan mendekati kucing hitam itu. Pandangan matanya melawan pandangan mata
tajam kucing hitam itu. Kucing hitam itu menghilang di balik dinding sebelah
kiri ketika mereka berjarak tiga langkah. Azlan di ambang pintu. Melihat ke
ruang kanan berdekatan tangga itu. Tidak dikesannya kelibat kucing hitam tadi.
Di ruang sorong, Raudhah menunjuk
ke arah siling yang terlopong. Perbualan orang-orang dewasa terhenti disebabkan
perlakuannya. Azlan kembali ke ruang sorong. Terus ke sisi katil Habshah dan
mendongak muka menyertai adiknya melihat siling yang terlopong.
“Ada apa Raudhah, Azlan?” tanya Halimah
kepada anak-anaknya itu.
“Ada…”
“Kucing agaknya,” kata Habshah,
memintas kata-kata Raudhah.
“Bukan kucing tapi…”
“Tikus?” potong Habshah. Kali ini
dia memintas kata-kata Azlan.
Di atas siling bunyi derap keras
sesuatu berlari kedengaran lagi. Mata Azlan dan Raudhah tetap pada siling yang
terlopong itu. Mazlan bangun mendekati Azlan. Dia mahu melihat siling yang
terlopong itu dengan lebih dekat. Derap keras sesuatu berlari itu hilang.
“Cuba abang tengok apa bendanya.
Bibik tolong ambilkan kerusi dan lampu suluh kalau ada,” kata Halimah.
Bibik Aminah mengambil kerusi. Juga lampu
suluh yang terletak di atas kabinet telivisyen. Bulu romanya merinding dan dia
berasa tidak sedap hati.
“Ini kerusinya encik. Hati-hati,”
pesan Bibik Aminah kepada Mazlan.
Mazlan mengangguk. Dia meletakkan
kerusi di sisi katil. Azlan memegang seluarnya.
“Bahaya abah,” kata Azlan.
Mazlan, Halimah, Habshah dan
Bibik Aminah hairan dengan kata-kata Azlan itu. Mereka memandangnya seketika sebelum Habshah berkata-kata.
“Kucing kejar tikus saja tu,”
kata Habshah.
Mazlan tetap naik di atas kerusi.
Menyalakan lampu suluh dan menghalakan jalur cahayanya ke dalam siling yang
terlopong itu.
“Tak ada apa-apa,” kata Mazlan.
Sebaik habis Mazlan berkata-kata,
derap keras sesuatu berlari ke arah siling yang terlopong itu kedengaran semula.
Ia bermula dari ruang tengah dan menghala ke ruang sorong. Azlan memeluk kaki
kanan Mazlan. Tindakan Azlan itu diikuti oleh Raudhah yang segera pula memeluk kaki
kiri Mazlan. Dari dalam siling yang terlopong itu melompat seekor tikus yang
besar. Tikus itu mendarat di atas katil. Betul-betul di antara kangkang
Habshah. Habshah terkejut lantas menjerit dan terbidas duduk. Begitu juga dengan
Halimah dan Bibik Aminah yang sama terkejut dan menjerit. Mazlan pula hampir
terjatuh ke lantai.
Tikus itu merayap di serata
katil. Mazlan segera turun dari kerusi. Dia dan Azlan mengejar tikus itu. Tidak
lama kemudian dari siling yang terlopong itu melompat pula seekor kucing hitam.
Ia mendarat di bahu kanan Habshah. Membenamkan kukunya seketika di situ sebelum
melompat untuk menerkam tikus yang sudah meloncat turun ke lantai. Kedua-dua
binatang itu berkejaran ke ruang ibu. Azlan mengejar dari belakang dan kemudian
memberhentikan langkahnya. Dia mendapati kucing hitam dan tikus itu ghaib
sebelum sampai ke ambang pintu.
Habshah mengaduh sambil meraba-raba
bahunya. Dia menarik tangan bila merasakan ia basah.Tapak tangannya itu
berlumuran darah.
“Astaghfirullah…” ucap Halimah
sebaik melihat keadaan itu. “Bibik, ambilkan tisu atau kain bersih. Ambil
minyak gamat sekali kalau ada.”
Bibik Aminah segera mencari
barang-barang yang diminta Halimah. Dia kembali dengan tisu yang diambil dari
kabinet telivisyen. Kemudian menghilang untuk mencari minyak gamat pula.
“Dalam cakar kucing ni Sah,” kata
Halimah selepas melihat luka pada bahu kanan Habshah itu.
“Pedih sangat ni. Berdenyut.
Bisa,” kata Habshah yang sudah pun berair matanya menahan kesakitan. Tangannya
yang memegang tisu terus menekap luka itu.
“Kucing tu dapat tikus tu,
Azlan?” tanya Mazlan yang menghampiri Azlan yang masih berdiri terpacak di
ruang tengah itu.
“Dah hilang abah,” beritahu
Azlan.
“Lari ke bawah?” tanya Mazlan.
Azlan menggeleng.
“Habis tu?” tanya Mazlan.
“Hilang dekat situ,” bisik Azlan
sambil menunjuk ke arah tempat kucing hitam dan tikus itu hilang.
Mazlan kehairanan. “Dekat mana?”
tanyanya.
Azlan berjalan dan berhenti
selangkah dari ambang pintu. “Dekat sini, abah.”
“Dekat sini?” tanya Mazlan yang
mahu mengesahkan.
“Betul, abah,” jawab Azlan.
Mazlan tidak berkata apa-apa
lagi. Dia menarik Azlan kembali ke ruang sorong. Halimah dan Habshah menunggu
Bibik Aminah membawa minyak gamat. Mazlan melihat Halimah. Halimah yang
mengerti air muka suaminya memberi isyarat ‘kenapa’ dengan riak mukanya. Mazlan
berkata tanpa suara : ‘Nanti.’ Halimah tidak memaksa.
Bibik Aminah mencari minyak gamat
hingga ke tingkat bawah. Dia mencari di dalam kabinet-kabinet tetapi tidak
berjumpa walau sebotol minyak. Dia naik ke tingkat atas semula, mencari Mak
Siti untuk bertanya di mana letaknya minyak gamat. Dia berdiri di hadapan bilik
rawatan yang terletak di antara ruang ibu dan tangga itu. Pesakit Mak Siti, seorang
perempuan cantik, keluar dari bilik rawatan itu dengan tersenyum-senyum.
Diikuti oleh Mak Siti. Mak Siti tidak terkejut dengan kehadiran Bibik Aminah di
hadapan pintu bilik itu.
“Engkau cari minyak gamat?” tanya
Mak Siti.
Bibik Aminah mengangguk dalam kehairanan.
“Ada dekat bawah. Dalam almari
yang tersandar di tepi dinding bilik belakang,” beritahu Mak Siti.
Mak Siti ke bilik sebelah. Bilik
sebelah yang tidak berpintu tetapi hanya di tutupi oleh langsir itu adalah
tempat menunggu pesakit Mak Siti. Bilik itu penuh dengan pesakit yang duduk di
atas kerusi-kerusi rotan yang disediakan. Mak Siti memanggil pesakit yang
seterusnya. Seorang perempuan muda menghilang bersama Mak Siti ke dalam bilik
rawatan.
Bibik Aminah kembali ke tingkat
bawah dan terus ke almari yang dimaksudkan oleh Mak Siti. Beberapa botol minyak
gamat memang ada di dalam almari itu. Dia mengambil sebotol daripadanya. Ketika
dia mahu melangkah untuk kembali ke tingkat atas, didengarnya bunyi yang ganjil
dari dalam bilik belakang itu.
Bibik Aminah menajamkan
pendengaran. Dia seolah-olah mendengar suara budak lelaki menangis. Tangisan
itu berbaur pula dengan ngiau nipis kucing. Dia sangat pasti bahawa bunyi
ganjil itu datangnya dari dalam bilik khas itu. Dia selalu membersihkan rumah
Mak Siti itu. Tetapi dilarang memasuki bilik rawatan dan bilik khas itu. Apa
yang ada di dalam bilik rawatan itu pernah dilihatnya. Pelbagai bahan mengubat
pesakit ada di dalam bilik itu. Dia mengambil kesempatan menjenguk ke dalam
bilik rawatan itu dari luar melalui pintunya yang selalu dibuka sedikit oleh
Mak Siti terutamanya pada siang hari. Tetapi dia tidak pernah tahu apa yang ada
di dalam bilik khas itu. Pintu bilik itu sentiasa bermangga.
Tetapi malam ini pintu bilik khas
itu tidak bermangga seperti selalu. Bibik Aminah menghampiri pintu bilik khas
tersebut. Suara budak lelaki menangis dan ngiau nipis kucing kedengaran semakin
kuat. Dia tertanya-tanya anak siapa di dalam bilik khas itu. Mungkinkah anak
salah seorang pesakit Mak Siti tersesat sehingga masuk ke dalam bilik khas itu.
Dia memegang tombol pintu dan menolaknya. Kiut engsel berbunyi nyaring. Suara
tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing lenyap sebaik pintu itu dibuka
luas.
Terbuntang di hadapannya ialah
kegelapan. Kegelapan yang amat sangat sehingga segala isi di dalam bilik khas
itu tidak mampu dicerap oleh penglihatannya. Dia meraba-raba dinding di tepi
pintu bilik. Menjangkakan suis lampu terletak di situ. Gerak hatinya benar. Dia
menekan suis lampu. Dia menunggu beberapa saat tetapi lampu di dalam bilik itu
tidak menyala. Kegelapan masih menyelubungi bilik tersebut. Dia
menekan suis beberapa kali lagi tetapi lampu di dalam bilik belakang itu masih
tidak menyala. Dia putus asa. Dia berhasrat hendak beredar dari situ. Lagi pula
suara tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing tadi tidak lagi kedengaran.
Jika benar ada anak pesakit Mak Siti tersesat ke dalam bilik itu tentulah dia
sudah menerpa keluar sebaik pintu dibuka tadi. Ini tiada budak lelaki pun yang
meluru keluar.
“Bibik!”
Bibik Aminah terkejut besar.
Kepalanya segera melilau mencari arah suara tersebut. Azlan tercegat tiga langkah
darinya. Bibik Aminah mengurut laju dadanya.
“Emak minta minyak gamat tu cepat,”
kata Azlan yang turun mencari Bibik Aminah setelah disuruh oleh Halimah.
“Ya, ya. Baru ketemu,” kata Bibik
Aminah.
“Bilik siapa tu bibik?” tanya
Azlan, menunjuk kea rah bilik khas itu.
“Bilik Mak Siti. Ya, sudah. Mari
kita naik ke atas,” kata Bibik Aminah sambil menyerahkan botol minyak gamat
yang dipegangnya kepada Azlan.
Azlan mengambil botol minyak
gamat itu tetapi tidak melangkah terus ke tingkat atas. Sebaliknya kaki anak
kecil itu mahu melangkah masuk ke dalam bilik khas itu. “Ada apa dalam bilik tu
bibik?”
Bibik Aminah segera menutup pintu
bilik khas itu. Ketika daun pintu separuh tertutup, dengan tidak semena-mena lampu
bilik itu mengerlip pantas sebelum berhenti. Pembantu rumah itu dapat melihat
sepintas lalu sebahagian isi di dalam bilik belakang itu. Ia dipenuhi dengan
pelbagai jenis botol dan balang dalam pelbagai saiz yang diletakkan di atas
para-para setinggi siling. Di tengah-tengah bilik itu tadi dilihatnya seorang
budak lelaki bermata bulat sedang tersenyum kepadanya. Dia dapat melihat gigi
budak lelaki itu yang rapat-rapat dan tajam.
Benarkah apa yang dilihatnya itu?
Dia memberanikan diri membuka pintu itu semula. Menunggu lampu bilik itu mengerlip
semula.
“Apa ada dalam bilik?”
tanya Azlan lagi. Azlan cuba hendak masuk ke dalam bilik khas itu tetapi dilarang
keras oleh Bibik Aminah. Dia mengikut arahan pembantu rumah itu walaupun
perasaan ingin tahunya menyala-nyala.
Lampu
tidak berkerlip lagi. Dia menekan semula
suis lampu beberapa kali. Tiba-tiba dia berasa tangannya itu disentuh oleh
tangan yang tersangat dingin. Dia segera menarik tangannya. Bulu romanya
merinding. Dia pantas berasa seram. Pantas mahu menutup pintu bilik khas itu.
Lampu berkerlip sebaik pintu itu
hampir tertutup. Bibik Aminah nampak semula budak lelaki itu. Budak lelaki
itu tersenyum kepadanya sehingga ternampak giginya yang rapat-rapat dan tajam.
Kali ini mulut budak lelaki itu berdarah!
Bibik Aminah menutup pintu bilik
khas itu dengan pantas. Segera menarik Azlan pergi dari situ. Di telinganya
terngiang-ngiang suara tangisan budak lelaki dan ngiau nipis kucing. Dia
membaca ayat kusri di dalam hati. Lama kelamaan suara-suara itu hilang.
“Kenapa lambat sangat bibik?”
tanya Halimah sebaik Bibik Aminah sampai ke ruang sorong itu.
“Baru ketemu minyak gamatnya. Itu
pun selepas tanya Mak Siti,” jawab Bibik Aminah.
“Kenapa dengan bibik?” tanya
Mazlan pula. Dia dapat mengesan kepucatan pada muka Bibik Aminah.
“Bibik nampak hantu abah. Hantu
budak lelaki,” kata Azlan tanpa disangka-sangka.
“Ish, cakap baik-baik Azlan,”
tegur Halimah.
“Betulkan bibik?” tanya Azlan
lalu tersenyum.
Bibik Aminah tersengih-sengih,
tidak mengiakan. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Azlan itu.
Dia perlu menimbang semasak mungkin untuk mengiakan kata-kata Azlan itu. Dia
khuatir jika pengakuannya nanti mencetuskan keruh di dalam perhubungan di
antara keluarga itu. Halimah dan adik beradiknya pasti mengorek apa yang
diketahuinya sehabis-habisnya.
“Ish, jangan cakap bukan-bukan
Azlan,” tegur Halimah lagi sambil menjegil matanya memberi amaran.
Azlan tersengih dan tidak jadi
membuka mulut lagi. Dia tidak jadi memberitahu apa yang dinampaknya di dalam
rumah Mak Siti itu kepada mereka.
Ketika Halimah menyapu minyak gamat
pada luka Habshah, terdengar suara orang memberi salam. Bibik Aminah segera
memeriksa melalui tingkap lalu memberitahu Yunus dan Zaman, kedua abang kepada
Halimah dan Habshah itu, datang. Mereka berdua naik selepas Bibik Aminah
membuka pintu.
“Bila sampai Mazlan?” tanya
Yunus, abang sulung kepada Halimah dan Habshah.
“Baru sahaja,” jawab Mazlan.
“Dari Penang?” tanya Zaman, abang
kedua Halimah dan Habshah.
“Ya. Bertolak petang tadi. Pergi
ke rumah Halimah. Johan beritahu Mak Siti jaga dia di sini,” jawab Mazlan.
“Kenapa Johan dan anak-anak tak
temankan engkau di sini, Sah?” tanya Yunus.
Habshah sedikit terganggu dengan
pertanyaan abang longnya itu. Tetapi dia gagahkan diri menjawab, “Dia kena
siapkan kertas kerja malam ni juga. Ada mesyuarat penting pagi esok.”
“Tak boleh siapkan di sini?”
tanya Yunus lagi.
“Sini kan ramai pesakit Mak Siti.
Tak selesa,” jawab Habshah.
“Atas ni lengang saja. Tak boleh
buat kat sini sambil jaga engkau? Mak Siti larat ke jaga engkau? Dia kan banyak
pesakit,” balas Yunus.
Habshah diam sahaja. Malas hendak
membantah kata-kata Yunus. Suasana sedikit tegang.
“Senang dia nak pergi kerja dan
hantar anak-anak sekolah esok pagi, abang long,” kata Halimah cuba mengendurkan
suasana.
“Betullah tu tetapi biarlah susah
sikit asalkan isteri terjaga,” jawab Yunus.
Habshah terasa hati. Tetapi dia
tidak salahkan Yunus. Memang itulah sepatutnya yang perlu dilakukan oleh Johan.
Dia ada meminta Johan tinggal bersamanya di sini tetapi suaminya itu enggan
kerana tidak mahu susah-susah. Dia terasa hati dengan keputusan Johan itu
tetapi apakan daya. Suaminya itu tidak suka dibantah. Bantah bermakna perang
besar. Dalam keadaan dirinya yang sakit begini lebih elok dia mengalah sahaja.
Bukan hal itu sahaja yang dia
terasa hati dengan Johan. Di awal jatuh sakit, tekaknya teringin sangat hendak
makan mempelam. Lalu dimintanya Johan membeli mempelam. Tetapi sampai ke hari
ini Johan masih tidak menunaikan permintaannya itu. Mula-mula alasannya terlupa
dan kemudian mempelam sudah habis di kedai buah berdekatan taman perumahannya
itu. Mempelam habis? Dia tidak dapat terima alasan itu. Jika benar mempelam
habis di kedai buah berdekatan taman perumahan mereka itu, banyak lagi kedai
buah di Bandar Klang yang jual mempelam sepanjang masa. Kalau soal duit yang
dikirakan oleh Johan, mahu sahaja dia hulurkan duitnya sendiri untuk membeli
mempelam. Tetapi dia malas hendak gaduh-gaduh. Lalu terpaksa rela menjeruk
hati.
“Abang rasa engkau tak sesuai
tinggal di sini,” kata Zaman yang diam seketika tadi. Matanya memandang siling
yang terlopong itu.
Semua mata memandang ke arah
Zaman. Masing-masing menanti Zaman menyambung kata.
“Engkau sihat, Sah?” tanya Zaman sambil
melihat Habshah.
Habshah mengangguk. “Lebih sihat
daripada duduk di rumah saya, bang ngah,” jawab Habshah.
“Betul engkau sihat?” tanya
Zaman.
Habshah mengangguk ragu. Tidakkah
abang ngahnya itu nampak perubahan dirinya berbanding ketika dia berada di
rumahnya. Zaman ada melawatnya beberapa kali ketika dia terlantar di rumahnya
dulu.
“Bahu engkau itu permulaan kepada
kerakusan makhluk ni,” kata Zaman.
Kata-kata Zaman itu mengejutkan
Habshah dan lain-lain.
“Apa maksud abang ngah?” tanya
Habshah.
Zaman diam sahaja. Dia serba salah.
Hendak ditelan termengkelan, hendak diluah tiada keluar.
“Apa maksud engkau angah?” tanya
Yunus pula.
Zaman mengeluh dalam.
“Apa halnya abang ngah?” tanya
Halimah pula.
Zaman melihat Halimah sebentar
sebelum matanya tumpah pada Habshah semula. “Abang ngah nak cakap pun serba
salah.”
“Abang ngah cakap saja. Tak ada
apa-apanya,” kata Habshah, memberi jaminan yang dia takkan marah apa jua
kata-kata yang keluar daripada mulut Zaman.
“Abang ngah dapat alamat. Mimpi
perkara yang sama tiga kali. Buat solat hajat dan sebagainya. Rujuk pada orang
yang diberikan Allah ilmu dalam selok belok permainan sihir ni. Betul, engkau
disihir orang. Tapi bukan oleh Latifah…” bongkar Zaman.
“Habis tu siapa yang buat Sah,
abang ngah?” tanya Habshah yang terkejut dengan kata-kata Zaman itu.
Zaman melihat ke arah siling yang
berlopong itu. Lama…