Sudah genap dua tahun Karim
berada di pondok pesantren Tuan Guru Muhyidin itu. Setiap masa menadah telinga
dan menatap kitab. Tidak didengar atau dilihatnya Tuan guru Muhyidin mengajar
ilmu batin seperti yang diajarkannya kepada Salim. Tiba-tiba dia teringatkan
kata-kata pemandu teksi :
“Tok-tok guru agama pula bukan
pilih sembarangan murid. Murid yang sudah sampai tahap tertentu sahaja yang
akan dipilih untuk dibimbing dan diberi panduan bagi mendapatkan ilmu batin.
Selalunya dalam ramai-ramai tu hanya seorang dua sahaja yang dipilih. Kalau dipilih,
baguslah. Jika tidak, meloponglah.”
Karim mengeluh. Resahnya bukan
main. Perkembangan belajar agamanya tidak memberangsangkan. Dia susah hendak
hadam betul apa yang diajarkan oleh Tuan Guru Muhyidin. Dia juga tidak tekun
menelaah apa yang tidak difahaminya. Pendek kata hatinya tidak berapa mahu
belajar agama. Dia dapat lihat dirinya bukanlah seorang dua yang akan dipilih
itu. Cemerlang jauh darinya. Sukar untuk mencapai tahap itu.
“Kenapa Karim?” tanya Abang Lan
yang sejak tadi memerhati gelagat Karim.
Karim melihat Abang Lan. Abang
Lan tua lima tahun daripadanya. Dia kagum dengan Abang Lan. Benar-benar
menekuni setiap pelajaran agama yang diajarkan oleh Tuan Guru Muhyidin.
“Cakaplah pada aku. Luahkan apa
yang meresahkan engkau,” kata Abang Lan.
“Abang Lan tahu tak yang tuan
guru tu akan bimbing murid-murid terpilihnya untuk mendapatkan ilmu batin?”
tanya Karim.
Abang Lan mengangguk.
“Jadi, Abang Lan tahu?” tanya
Karim, segar.
“Ya. Tapi dia tidak beri pada
sembarangan murid. Hanya beri pada murid yang dirasainya sudah sampai tahap
tertentu,” jawab Abang Lan.
“Abang Lan tak mahu begitu?”
tanya Karim.
Abang Lan tersenyum. “Jika dapat,
alhamdulillah. Jika tidak, cukuplah ilmu agama yang aku pelajari dan cuba amalkan
ini. Lagipun aku tidak terlalu mengharap sampai ke tahap tertentu itu. Sulit.
Cukuplah biasa begini. Sudah tua. Cukup akidah, syariah dan tasauf sudah
memadai. Sudah lepas.”
Karim mengeluh di dalam hati.
Nampaknya Abang Lan memang tidak terlalu berminat untuk memiliki ilmu batin.
Jika Abang Lan pun merasa susah hendak layak menjadi dua tiga murid yang terpilih
itu, apatah lagi dirinya yang memang sudah bosan dengan pelajaran dan suasana
di pondok pesantren itu.
Karim membawa diri ke luar pondok.
Meninggalkan Abang Lan menyambung menelaah kitab. Dia sampai di sebuah
pondok lain. Pondok itu dihuni oleh dua orang dewasa lain. Dari luar dapat
didengar dengan jelas butir perbualan di antara penghuni pondok itu.
“Tetapi Serinate, ilmu Allah itu
lebih tinggi daripada ilmu syaitan. Dukun itu hanya belum bertemu lawannya yang
sebenar. Kerana apa kiyai itu boleh tewas? Barangkali, ya barangkali, dukun itu
terlalu handal kerana mungkin sudah menyatu dengan syaitan. Di mana tempat
tinggal dukun itu?” kata salah seorang penghuni pondok itu.
Karim memasang telinga sambil
berdiri di sisi pondok itu.
“Mataram, Abang Jan,” jawab
Serinate.
“Siapa nama dukun itu?” tanya Abang
Jan.
“Munarep,” jawab Serinate.
“Aku tak biasa dengar namanya,”
kata Abang Jan.
“Tidak mahu menonjol. Tetapi
ilmunya hebat sekali. Tapi aku dengar dukun-dukun dari Bali lebih dahsyat ilmu
batinnya, betulkah begitu?” balas Serinate.
“Mereka pun ada tahap-tahapnya,”
terang Abang Jan. “Mana yang lebih dekat dengan syaitan, dialah yang paling
handal.”
Karim beredar dari situ sementara
perbualan di antara dua orang penghuni pondok itu masih berlangsung. Di dalam
kepalanya sekarang melekat beberapa perkataan : Mataram, Munarep dan Bali.
Perkataan-perkataan inilah yang sedang ditimbang-timbangkannya sekarang.
Pertimbangan yang akan mendorongnya membuat keputusan maha penting.
Pada tengah malam itu, dia sudah
pun membulatkan keputusan. Ketika murid-murid pesantren yang lain sedang
nyenyak tidur atau sedang leka menelaah kitab, dia memboloskan diri
meninggalkan pondok pesantren itu. Dia menumpang cidomo, motosikal dan kereta.
Selepas berhari-hari perjalanan, akhirnya dia sampai juga di Mataram.
Dia melilau mencari Munarep di
situ. Peliknya semua orang yang ditanyainya tidak tahu siapa gerangan Munarep
itu. Dia mencari di setiap pelusuk Mataram. Tidak kira siang dan malam.
Sehinggalah pada malam itu dia tertidur di atas pangkin di hadapan sebuah rumah
di pinggir Mataram itu akibat terlalu keletihan.
Angin malam yang dingin melanggar
badan Karim yang sedang merekot kesejukan. Sayup-sayup kedengaran bunyi
lolongan anjing bercampur baur dengan bunyi burung hantu. Tiupan angin malam
itu semakin lama semakin kuat. Desir kini bertukar deru.
Satu tangan berkuku panjang dan
hitam menjulur menyentuh tubuh Karim. Tangan itu menggoncang badan Karim. Karim
terjaga mengejut lantas menggosok-gosok matanya. Taik mata yang berselepat
hilang. Lalu dia membuka mata. Lantas terbidas bangun dan menjauhkan diri dari
lembaga yang mengejutkannya tadi. Tergolek jatuh dari atas pangkin. Mukanya
tetomoih ke tanah yang berdebu.
“Sia… siapa engkau?” tanya Karim
dalam ketakutan sebaik dapat berdiri stabil. Suara lolongan anjing, bunyi
satu-satu burung hantu dan deru angin membangkitkan keseraman. Keseraman itu
bertambah kuat bila dia berdepan dengan lelaki yang hodoh rupanya itu. Lelaki
yang rambutnya mengerbang, berparut terbakar pada keseluruhan muka dan sepasang
mata yang tersembul.
“Akulah lelaki tua yang engkau
cari beberapa hari ini,” kata lelaki dalam lingkungan usia hujung tujuh puluhan
itu.
“Munarep? Dukun itu?” tanya
Karim.
Lelaki tua itu mengangguk. “Mari
masuk ke dalam rumah aku.”
“Di mana?” tanya Karim.
“Di sini,” kata Munarep sambil
menunjuk ke arah pintu rumah di hadapan mereka itu.
“Ini rumah dukun?” tanya Karim.
“Memang engkau dipimpin untuk
menjumpaiku,” jawab Munarep.
Munarep masuk ke dalam rumah. Diikuti oleh
Karim. Mereka berdua kini berada di dalam sebuah bilik khas. Bilik khas itu
ialah bilik pemujaan Munarep. Bilik di mana segala kesyirikan terhadap Allah
SWT dilakukan.
“Aku ingin menuntut dari engkau,
wahai dukun hebat,” kata Karim yang tidak sabar-sabar.
Munarep ketawa besar. Berasa
bangga kerana dirinya digelar dukun hebat oleh Karim. “Aku tahu,” balasnya. Dia
memang mahu mencari anak murid untuk diperturunkan segala ilmu hitam yang
dimilikinya itu. Dia tidak punya anak.
“Jadi, tok terima aku?” tanya
Karim.
“Ya,” jawab Munarep. “Aku akan
perturunkan semua ilmu yang aku ada kepada engkau. Dengan syarat engkau
mengikuti semua syaratnya,” jelasnya kemudian.
Karim tersenyum. Sejurus kemudian
senyumannya itu bertukar menjadi ketawa. Ketawa yang pada mulanya kecil itu sudahnya
menjadi besar.