Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 7

Bab 7

Lusa pun sampai. Karim gembira bukan main. Sanusi berjanji akan membawanya berjumpa klien-klien berpotensi yang akan membeli lukisan Van Basten. Dia sudah terbau wangi wang.

Selepas sarapan pagi, Karim bersiap dengan memakai kemeja lengan panjang dan dipadankan dengan seluar slack. Kasut kulitnya yang sudah dikilatkan malam tadi diletakkan di hadapan pintu bersama stokin yang diperosok ke dalamnya. Dia duduk menonton siaran televisyen di ruang tamu sambil menunggu Sanusi datang mengambilnya.

Sepuluh pagi. Loceng apartmen belum berbunyi. Telefon rumah juga belum berdering. Sanusi masih belum muncul. Sekarang baru dia terfikir : Pagi, tengah hari atau petang? Dia menyesal kerana tidak bertanya tentang masa pertemuan itu dengan terperinci. Juga menyesal kerana bangun awal. Berasa bodoh kerana bersiap terlalu awal. Tetapi dia tetap terus menunggu.

“Abang, makan dulu,” kata Kalsum.

Kata-kata Kalsum itu mengejutkan Karim. Dia segera melihat isterinya. “Makan apa?” tanyanya seperti kehairanan.

“Makan tengah hari. Sudah pukul 12 sekarang,” jawab Kalsum.

“Sudah pukul dua belas?” tanya Karim.

Kalsum mengangguk.

“Mana Sanusi ni. Dah tengah hari ni. Telefon pun tak,” keluh Karim. Dia memeriksa jam dinding. Tidak percaya masa terlalu cepat berlalu. Seperti dirasanya hari masih pukul sepuluh pagi.

“Awak ada janji apa dengan Sanusi?” tanyanya kemudian.

“Dia kata nak datang ambil lukisan dia tu. Lepas tu dia nak ajak saya berjumpa kawan-kawannya di sini. Manalah tahu kalau boleh cari peluang bisnes,” jawab Karim. Dia tidak beritahu hal sebenar kepada Kalsum. Dia tahu Kalsum pemboros orangnya. Jika Kalsum tahu dia akan menjana keuntungan daripada urusan jual beli lukisan itu, tentulah isterinya itu mahu habuan untuk membeli belah barangan mewah.

“Alah… Buat apa nak terburu-buru bisnes. Duit kita cukup nak sara hidup untuk beberapa tahun lagi,” kata Kalsum.

“Kalau sudah ada peluang tak salah kita sambar,” balas Karim.

“Ya lah. Jangan lupa elaun saya setiap bulan kena dinaikkan kalau dapat bisnes baru nanti. Bolehkan abang?” kata Kalsum dengan penuh manja.

Karim tersenyum payah tetapi mengiakan juga kehendak isteri tercintanya itu.

“Jom bang kita makan dulu. Kalau memang nak datang, sampailah dia nanti tu,” kata Kalsum menghilang ke meja makan.

Karim bangun dan melangkah malas ke meja makan. Di atas meja makan itu terhidang spaghetti dan lain-lain. Dia menyertai Kalsum dan anak-anaknya yang sedang makan. Fikirannya melayang sambil menguyah perlahan spaghetti. Sekarang dia tertanya-tanya apakah telinganya benar mendengar Sanusi mengatakan hari ini adalah hari mereka akan bertemu klien? Dia ragu-ragu pula dengan pendengarannya. Keadaan ketika itu kalut dan ada kemungkinan dia tersalah dengar. Pada ketika yang lain dia percaya pula pada pendengarannya. Jika pendengarannya benar, mengapa Sanusi tidak muncul-muncul lagi? Adakah lusa itu, maksudnya pada sebelah petang? Mungkin. Dia cuba memujuk diri sendiri.

Selepas makan tengah hari yang tidak berapa dinikmatinya, dia kembali duduk di atas sofa di ruang tamu. Dia belum bersedia menyalin pakaian. Kasut kulitnya yang berkilat itu masih tetap di hadapan pintu. Dia sangat berharap Sanusi datang pada hari itu. Dia amat berharap lukisan Van Basten itu dapat dijual dengan segera.

Tengah hari menginjak ke petang. Sanusi tetap tidak muncul. Karim mula berasa gelisah. Lengan kemejanya sudah disenteng ke paras siku. Dia duduk gelabah di sofa sehingga belakang kemejanya itu berkedut teruk. Dia juga mundar mandir di ruang tamu itu dan selalu menjenguk ke jalan melalui tingkap apartmen itu.

Karim segera mahu menghubungi Sanusi. Tetapi hasratnya itu dilumatkan. Dia berasa bodoh kepada diri sendiri. Manakan tidak kerana dia tidak ada sebarang alamat rumah atau nombor telefon Sanusi. Mengapa dia terlalu cuai kali ini? Dia menyalahkan diri sendiri. Semakin mundar mandir di ruang tamu.

“Sudahlah tu bang. Tukarlah baju. Mungkin dia tak dapat datang hari ini. Mungkin dia ada hal lain yang lebih penting. Lagipun kita bukan terdesak hendak cari duit,” kata Kalsum yang muncul dari dapur. Dia baru menyiapkan minum petang untuk keluarganya itu.

Karim mengeluh. “Takkanlah abang tersilap dengar kata dia hari tu.”

“Mungkin abang tersilap dengar,” kata Kalsum.

Karim berasa lega kerana Kalsum berkata begitu. Terubatlah sedikit keresahannya itu. Dia cuba menyedapkan hati sendiri. Dia memandang lukisan Van Basten yang berbalut kemas itu. Tidak terlintas di hatinya yang kemungkinan Sanusi menipunya. Lukisan Van Basten itu ada padanya. Harganya pula memang didengarnya sendiri dari mulut Van Basten dalam pertemuan mereka tempoh hari. Dia juga mendengar Sanusi bercakap dengan beberapa orang klien yang mahu membeli lukisan itu.

Malam menjelang. Akhirnya Karim dapat juga menerima bahawa Sanusi takkan berjumpa dengannya pada hari itu. Dia lelap juga walaupun dengan sedikit payah.

Esok muncul. Sanusi tetap tidak datang berjumpa Karim.

Lusa datang. Sanusi masih tidak muncul juga.

Begitulah untuk beberapa hari yang berikutnya sehingga genaplah seminggu.

Karim sudah hilang sabar. Resahnya sudah melimpah. Dia teringatkan Van Basten. Sudah tentulah pelukis terkenal itu ada nombor telefon Sanusi. Kemungkinan juga pelukis itu tahu perkembangan terbaru Sanusi, manalah tahu kalau ada sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Tetapi mengikut kata Sanusi, Van Basten hanya akan kembali ke London pada minggu hadapan. Dia teringatkan studio Van Basten. Mungkin dia akan berjumpa sesiapa di studio Van Basten. Dan mungkin orang itu tahu cara untuk menghubungi Van Basten di Paris.

Karim bergegas ke studio Van Basten. Mujurlah dia masih ingat di mana terletaknya studio pelukis itu. Teksi berhenti di hadapan studio Van Basten. Karim keluar dari teksi selepas membayar tambang. Dia menekan loceng. Tiada sesiapa yang membuka pintu studio lukisan itu. Dia menekan loceng itu sekali lagi. Masih tiada sesiapa membuka pintu studio lukisan itu. Dia mencuba sekali lagi. Keputusannya tetap sama. Dia mengintai-ngintai ke dalam studio lukisan itu. Studio itu kelam. Dia tidak mengesan kelibat sesiapa di dalamnya.

Karim menekan loceng sekali lagi. Dia mencuba untuk kali terakhir. Dia menunggu lama di hadapan pintu. Berharap akan ada seseorang yang membuka pintu studio itu. Tetapi hampa kerana pintu itu masih belum dibuka walaupun dia sudah berdiri tegak di hadapannya selama hampir sepuluh minit. Nampaknya usahanya bakal sia-sia. Sudahnya dia duduk di bangku panjang di hadapan studio itu sambil menekup muka kerana resah.

Lama Karim begitu sehinggalah seseorang menegurnya. Dia meleraikan tekupan lantas mendongak.

“Van Basten!” Kata-kata itu meluncur laju dari mulut Karim.

Van Basten tersenyum. “Engkau cari aku?” tanyanya.

Karim mengangguk pantas.

Van Basten membuka pintu studio lalu mengajak Karim masuk. Mereka berdua masuk ke dalam studio itu. Van Basten membuka lampu dan kemudian menghilang ke satu bahagian yang terlindung. Tak lama kemudian terdengar bunyi cerek menderam.

“Duduk dulu. Aku bancuh teh untuk kita nanti. Engkau minum teh?” tanya van Basten yang kemudian duduk di salah satu sofa bujang di tengah studio lukisannya itu.

Karim duduk di sofa bujang lain. “Ya. Bila engkau sampai?” tanya Karim.

“Semalam,” jawab Van Basten.

“Sanusi kata engkau di sana dua minggu,” kata Karim.

“Mula-mulanya memang rancang hendak berada di sana selama dua minggu. Urusan habis awal. Aku tak berapa suka Paris. Terlalu rindu pula pada London. Sebab itu aku balik awal,” jawab Van Basten, tersengih.

Karim ikut tersengih. Dia lega bukan kepalang bila melihat Van Basten tadi.

“Eh, mana Sanusi?” tanya Van Basten.

Karim mengeluh. “Aku pun baru hendak tanya engkau soalan yang sama.”

“Dia ada hubungi aku di hotel dua hari lepas. Aku tinggalkan nombor telefon hotel aku menginap sebelum berlepas,” beritahu Van Basten.

“Dia berbual apa dengan engkau?” tanya Karim.

“Tentang lukisan aku. Katanya sudah ada klien yang menunggu lukisan tu. Klien dengan harga tertinggi,” jawab Van Basten.

“Engkau kenal klien-klien tu?” tanya Karim. Jika tiada Sanusi pun tidak apa jika Van Basten sedia kenalkan klien-klien lukisannya itu, fikirnya.

“Kenal. Ada yang aku kenal rapat dan ada yang tidak,” jawab Van Basten.

Karim lega sebaik mendengar jawapan Van Basten itu. “Mengapa engkau tidak jual kepada mereka secara terus. Kenapa perlu gunakan orang tengah seperti Sanusi?”

Van Basten tersenyum. “Aku hanya pandai melukis. Mencari pembeli, urusan promosi dan menjalinkan hubungan dengan pembeli, bukan bidang aku. Lagipun aku yang tetapkan harga yang sudah tentunya menguntungkan aku. Selebihnya terpulang kepada orang tengah. Setakat ini Sanusi adalah agen terbaik walaupun licik. Aku sudah lama kenal dia. Sejak aku masih bukan sesiapa lagi.”

“Engkau tak mahu cuba dengan agen lain?” tanya Karim.

“Mungkin, kalau ada yang lebih baik daripadanya,” jawab Van Basten yang kemudian bangun lalu menghilang ke bahagian yang terlindung. Cerek yang menjerit nyaring menandakan air sudah mendidih. Dia membancuh teh untuk dirinya dan tetamunya itu.

Karim tersenyum di mulut dan hati. Dia sudah nampak peluang yang terbentang luas untuk membuat duit. Dia akan cuba mengambil hati Van Basten dan seterusnya menjadi agen kepada Van Basten dalam masa terdekat ini. Sanusi? Sanusi ada pelukis-pelukis lain di bawahnya yang lukisan mereka sama nilai seperti Van Basten. Sanusi tak akan rasa apa-apa kalau hilang Van Basten seorang. Galeri? Dia akan tetap bekerjasama dengan Sanusi jika bakal rakan kongsinya itu tidak mengambil hati.

Dia perlu membuat Van Basten kurang percaya kepada Sanusi.

Van Basten kembali ke ruang tengah itu dengan membawa dua cawan teh. Satu diberikannya kepada karim. Karim menyambut cawan teh itu sambil mengucapkan terima kasih. Mereka menyambung bual selepas masing-masing mencicip teh sekali dua.

“Berapa harga lukisan terbaru engkau?” tanya Karim.

“Lukisan yang engkau tengok tempoh hari?” tanya Van Basten.

“Ya,” jawab Karim.

“Seratus tujuh puluh lima ribu pound sterling,” jawab Van Basten.

“Bukan dua ratus ribu pound sterling?!” tanya Karim.

“Bukan. Ia seperti perjanjian aku dan Sanusi,” jawab Van Basten. “Kenapa?” tanyanya pula.

“Dia kata dengan aku dua ratus ribu pound sterling!” beritahu Karim. Celaka Sanusi. Dalam diam dia menipu aku. Karim menyumpah seranah di dalam hati.

Van Basten tersenyum. “Tentu dia nak untung sikit walaupun dengan kawan sekampung…”

“Untung sikit? Dua puluh lima ribu, kawan. Pound sterling! Bukan ringgit!” balas Karim.

Van Basten terus tersenyum. “Tapi dengan harga belian itu pun engkau masih boleh buat untung…” katanya.

“Mengikut pengalaman engkau, berapa harga yang sanggup dibayar oleh pengumpul-pengumpul tegar?” tanya Karim.

“Tak kurang tiga ratus ribu pound sterling. Paling tinggi, tak terbatas. Kalau ada yang betul-betul mahu tidak kira apa pun kosnya, mungkin boleh pergi sampai berjuta-juta,” jawab Van Basten.

Karim tersenyum.

“Walaupun dia letak harga dua ratus ribu tapi engkau tetap boleh untung sekurang-kurangnya seratus ribu pound sterling kalau mahu menjualnya semula dalam masa terdekat. Tapi engkau tak…” kata Van Basten.

“Tetapi kalau akulah… aku akan ambil untung sedikit sahaja. Biar pelukis yang untung banyak. Sebab lukisan tu hasil penat lelah pelukis. Agen hanya tolong jual sahaja, makan atas angin,” potong Karim.

Van Basten mengangguk setuju. “Kalau engkau mahu jadi agen macam Sanusi, aku akan jadikan engkau agen untuk projek terbaru aku.”

Karim tersenyum. Van Basten termakan kata-katanya. Wang ternyata mampu membeli jiwa yang rapuh. “Kalau begitu jadikan aku sebagai agen untuk projek terbaru engkau.”

Van Basten berfikir sejenak. “Engkau kenal pengumpul tegar lukisan aku?”

“Engkau kenalkan mereka pada aku. Aku akan jumpa mereka dan berbincang pasal harga dan lain-lain. Macam mana?” jawab Karim.

Van Basten tersenyum. “Baiklah,” jawabnya tidak lama kemudian.

Karim tersenyum panjang. “Terima kasih kerana beri aku peluang ini. Aku tidak akan kecewakan engkau!” kata Karim sambil menghulurkan salam.

Kedua tangan bertaut dan bergoncang. Mereka berdua saling tersenyum gembira dengan persetujuan itu.

“Jadi, apa projek terbaru engkau? Dan bila ia akan siap? Ada tak lukisan lama engkau yang belum dijual?” tanya Karim.

“Mari ikut aku,” ajak Van Basten.

Mereka berdua ke ruang melukis Van Basten. Berdiri di hadapan sebuah lukisan yang sudah berbalut.

“Buat permulaan engkau rundingkan harga tertinggi yang aku boleh dapat lepas tolak komisen engkau untuk lukisan ini,” kata Van Basten.

“Bila engkau buat lukisan ini?” tanya Karim.

“Dua tahun lepas. Engkau sudah tengok. Mahu tengok lagi?” kata Van Basten.

“Mesti. Dan engkau mesti ceritakan kepada aku tentang lukisan ini. Mudah bagi aku untuk terangkan pada klien nanti,” balas Karim.

Van Basten membuka balutan lukisan itu. Lukisan itu sedikit demi sedikit terdedah pada mata Karim. Muka Karim semakin lama semakin berkerut. Akhirnya dia terkejut besar bila seluruh lukisan itu terdedah.

“Aku rasa engkau pernah lihat lukisan ini semasa datang dengan Sanusi tempoh hari,” kata Van Basten.

Karim mengangguk. Fikirannya bersimpang siur. Panas.

“Lukisan ini dibuat daripada……”

Karim tidak mengambil perhatian terhadap penerangan Van Basten. Dia menyampuk ketika pelukis itu sedang ghairah memberi penerangan tentang maksud lukisan itu.

“Bukankah engkau sudah jual lukisan ini pada aku?” tanya Karim.

Van Basten melihat tajam muka Karim. Dia berasa seperti Karim sedang menuduhnya berbohong. “Sanusi kata engkau tidak jadi beli lukisan ini. Dia kata ada beberapa klien lain yang turut berminat.”

“Lukisan ini ada di apartmenku. Aku beli dengan harga dua ratus ribu pound sterling. Duit itu aku serah pada Sanusi. Dia kata engkau hendak segera bergegas ke Paris,” kata Karim.

“Betulkah?” tanya Van Basten, hairan.

“Ya. Aku tak tipu,” jawab Karim.

Van Basten menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa maksud engkau?” tanya Karim.

“Sanusi sudah tipu engkau,” kata Van Basten.

Karim terkejut besar. Dihentak kecewa dan marah. “Betulkah Van Basten?”

Van Basten mengangguk. “Aku memang belum jual lukisan ini pada sesiapa pun. Boleh kita ke apartmen engkau? Aku nak tengok lukisan itu. Nanti aku terangkan pada engkau apa perbezaan dua lukisan yang sama tapi tak serupa. Aku bawa sekali lukisan asli ini.”

Mereka berdua bergegas ke apartmen Karim. Mereka berdua berkurung di dalam bilik bacaan. Di luar, Kalsum dan anak-anak kehairanan.

“Hasil kerja yang bagus. Tetapi tetap ada beza dan cacat celanya,” kata Van Basten sambil melihat dua lukisan yang diletakkan sebelah menyebelah itu.

“Memang sama!” kata Karim dan kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengetap gigi tanda kecewa pada diri sendiri dan marah pada Sanusi. Mukanya merona merah.

“Perbezaan pertama paling penting yang membuktikan lukisan yang ada pada engkau ini palsu ialah tiadanya signature mark aku,” kata Van Basten.

Signature mark?” tanya Karim yang masih naif dalam lukisan.

“Ia adalah tanda yang diletakkan oleh seseorang pelukis sama ada tersembunyi atau tidak sebagai pengenalan dirinya bahawa sesuatu lukisan itu adalah miliknya,” beritahu Van Basten serba ringkas.

“Maksud engkau tanda tangan ini?” tanya Karim sambil menunjuk ke arah tanda tangan Van Basten pada bahagian kiri bawah lukisan palsu itu. “Aku lihat tanda tangan ini sama sahaja dengan tanda tangan pada lukisan yang ada pada engkau ni,” sambungnya.

“Bukan tanda tangan. Tetapi imej lain yang bergaul bersama sapuan cat,” beritahu Van Basten.

“Maksud engkau?” tanya Karim.

“Mari aku tunjukkan,” kata Van Basten.

Van Basten mengeluarkan kanta pembesar dari beg sandangnya. Lalu meletakkan kanta pembesar itu pada sudut bucu kanan atas lukisan asli tersebut. Dia mendekat dan menjauhi kanta pembesar itu dari lukisan tersebut. Sudahnya berhenti selepas beberapa kali mengulang perkara yang sama.

“Mari sini. Lihat melalui kanta pembesar itu. Apa yang engkau nampak?” tanya Van Basten.

Karim melihat lama melalui kanta pembesar itu. “Seperti imej ayam. Betul?”

“Kurang tepat. Betul ayam. Tapi ayam jantan!” jawab Van Basten.

“Dan ini…” Karim melihat muka Van Basten dengan rasa kecewa yang sudah menguasai diri. Dia tidak menghabiskan kata-katanya itu.

Signature markaku. Ia ada pada setiap lukisan aku sejak dulu. Letaknya pun di tempat yang sama setiap lukisan. Di bucu kanan atas,” kata Van Basten.

“Betul ke?” tanya Karim, masih mahu berharap Van Basten sekadar berseloroh atau apa sahaja asalkan tidak benar.

Van Basten melakukan perkara yang sama pada lukisan tiruan yang dibeli Karim. “Tengok imej ayam jantan tu tak ada pada lukisan engkau ni.”

Karim mengeluh dalam. Mukanya merah menahan marah.

“Kalau mahu engkau boleh bawa lukisan yang ada pada engkau itu pada pakar lukisan yang mengkhusus dalam lukisan-lukisan aku. Ada beberapa orang di kota ini seperti Van Gaugh dan Smith,” kata Van Basten. Dia mengeluarkan buku memo dari dalam poket dan menulis sesuatu di dalamnya. Kertas memo dikoyak dan diserahkan kepada Karim. “Ini telefon mereka.”

Karim terduduk di bangku berdekatan.

Signature mark itu tanda yang paling jelas. Paling cepat hendak kesan sama ada ia lukisan asli aku atau tidak. Tanda ini hanya aku dan beberapa pakar lukisan sahaja yang tahu,” kata Van Basten lagi.

Karim mengeluh panjang. Dia benar-benar marah dengan Sanusi.

“Kalau pakar lukisan tengok lukisan ini pun mereka dapat kesan. Pertama material yang ada pada lukisan palsu ni tak sama dengan lukisan asli ini. Cara sapuan pun tak sama. Ketebalan cat pun tak sama. Warna pun tak sama dan macam-macam lagi,” terang Van Basten sambil membelek-belek lukisan palsu itu sepintas lalu. Kemudian dia menghidu hampir seluruh bahagian lukisan itu. “Bau seluruh lukisan ini pun masih segar. Maksudnya…”

“Apa maksudnya?” Karim memintas kata-kata Van Basten dalam antara dengar dengan tidak penjelasan pelukis itu. Entah mengapa ia mengharapkan sesuatu yang dapat memberikannya harapan walaupun sehalus kuman.

“Maksudnya lukisan ini baru sahaja dibuat! Ia ternyata palsu. Sedangkan lukisan aku hanya sebahagian kecil sahaja baunya yang masih segar. Sementara bahagian lainnya baunya sudah tidak berapa segar kerana rata-rata berusia dua tahun,” jawab Van Basten.

Karim terus terhenyak di kerusi. Fikirannya bercelaru. Dia berasa keliru. Keliru dengan apa yang sedang berlaku. Keliru dengan tindakan Sanusi yang sanggup menipunya.

Van Basten beredar dari situ. Karim terhenyak semula di sofa. Fikirannya kusut. Kalsum yang tahu perubahan emosi suaminya itu cuba bertanya. Tetapi Karim enggan memberitahu masalah yang sedang dihadapinya. Kalsum terus mendesak sehingga menyebabkan fikiran Karim semakin kusut. Karim masuk ke dalam bilik bacaan, keluar semula dengan lukisan palsu itu dan terus beredar dari apartment. Dia menahan teksi lalu terus ke tempat Van Gaugh.

Karim menanti dengan penuh debar penilaian Van Gaugh. Pakar lukisan terutamanya lukisan-lukisan Van Basten itu meneliti, merasa dan akhirnya mencium lukisan di hadapannya itu. Selepas yakin Van Gaugh pun memberikan penilaiannya.

“Harga sebuah lukisan baru Van Basten mutakhir ini boleh mencecah sehingga 350 ribu pound sterling. Lukisan ini pula…”

“Berapa nilainya?” tanya Karim. Dia sudah pun memutuskan untuk menjual lukisan itu sesegera mungkin kepada salah seorang pakar lukisan yang akan ditemuinya nanti jikalah salah seorang daripada mereka tidak dapat mengesan kepalsuan lukisan tersebut. Rencana licik itu difikirkannya ketika dalam teksi menuju ke tempat Van Gaugh itu.

“Mungkin dalam 150 ribu pound sterling,” jawab Van Gaugh.

“Engkau mahu membelinya? 150 ribu pound sterling,” tanya Karim, membuat tawaran. Dia setuju dengan harga yang disebut oleh Van Gaugh itu walaupun ia kurang daripada harga yang dibayarnya kepada Sanusi. Biar rugi sikit daripada rugi banyak, fikirnya.

Van Gaugh semacam terkejut bila mendapat tawaran itu. “Bukankah engkau ingin menyimpan lukisan ini sebagai pelaburan? Aku beri jaminan ia akan naik berkali ganda dalam masa beberapa tahun lagi.”

“Aku perlukan duit sekarang. Isteri aku sakit dan perlu jalani pembedahan,” tipu Karim.

Van Gaugh mengerti. “Memang sayang. Ia karya yang hebat. Betul engkau hendak jual?”

Karim mengangguk pantas.

“Engkau tak menyesal?” tanya Van Gaugh lagi.

“Ya. Aku sungguh-sungguh,” jawab Karim, tegas.

“Aku kenal orang yang berminat dengan lukisan-lukisan Van Basten. Engkau tak kisah tunggu sebentar?” kata Van Gaugh.

Karim mengangguk.

Van Gaugh ke meja telefon . Dia menelefon seseorang. Sementara Karim menunggu dalam resah dan peluh yang mula membasahi belakang kemejanya. Van Gaugh selesai bercakap di dalam telefon. Mengeluh sebaik sampai pada sofa yang diduduki oleh Karim.

“Ada masalah?” tanya Karim yang tidak sabar ingin tahu makna keluhan Van Gaugh itu.

Van Gaugh mengangguk lalu menjelaskan, “Dia berminat hendak beli jika engkau boleh turunkan harga sedikit lagi.”

“Berapa harga yang dia letak?” tanya Karim.

“120 ribu pound sterling,” kata Van Gaugh.

“Bagaimana kalau 140 ribu pound sterling?” balas Karim.

Van Gaugh berfikir sebentar sebelum kembali ke meja telefon dan menelefon orang yang telah dihubunginya tadi. Kali ini perbualan mereka tidak lama. Van Gaugh kembali kepada Karim dengan wajah tersenyum. Karim lega melihat air muka Van Gaugh itu. Dia yakin Van Gaugh membawa berita gembira.

“Dia setuju dengan harga kamu itu.Tahniah!” kata Van Gaugh.

Karim rasa bagai hendak melompat sebaik mendengar kata-kata Van Gaugh itu. Walaupun tahu dia sebenarnya rugi dalam urusan jual beli lukisan itu tetapi dia tetap gembira kerana tidak rugi lebih besar. Dia mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada Van Gaugh.

“Jadi, bila dia akan hantar duit?” tanya Karim.

“Engkau mahu tunai atau cek?” tanya Van Gaugh.

“Tunai,” jawab Karim dengan pantas.

“Sekejap lagi pembantunya akan datang bawa duit,” kata Van Gaugh lalu melihat jam. “Dalam lima belas minit lagi,” sambungnya kemudian.

Lima belas minit itu adalah lima belas minit yang sangat panjang dalam hidup Karim. Setiap detikan jarum jam menambahkan keresahan yang semakin bersarang di hatinya. Dia cuba menenangkan diri tetapi tidak mampu berbuat demikian. Berasa malu bila keresahannya itu ditegur Van Gaugh yang memintanya bersabar. Bagi menghilangkan keresahannya Van Gaugh mengajaknya berbual tentang London.

Loceng berbunyi.

“Barangkali pembantu itu sudah sampai,” kata Van Gaugh lalu bergegas ke pintu.

Karim yang lega mengekori Van Gaugh hingga ke muka pintu. Van Gaugh memulas tombol dan menarik daun pintu. Seorang lelaki berkot hitam dan lengkap bertali leher berdiri lurus di muka pintu. Lelaki itu tersenyum sebaik memandang mereka berdua.

“Apa khabar Van Gaugh?” kata lelaki berkot hitam itu.

Van Gaugh menjawab gembira, “Aku baik. Masuklah. Ini pemilik lukisan itu. Namanya Karim.”

Karim menghulurkan tangan. Lelaki berkot hitam itu menyambutnya lalu memperkenalkan dirinya sebagai Robert. Kemudian mereka bertiga duduk di set sofa di ruang tamu apartmen Van Gaugh itu. Robert mengeluarkan dokumen dari dalam beg bimbitnya. Menyerahkan dokumen itu kepada Karim untuk ditandatangani.

“Bos saya memang mahukan segala urusan dilakukan secara professional. Ini sebagai hitam putih urusan jual beli lukisan ini. Encik Karim boleh baca setiap butiran dokumen ini. Saya tidak kisah menunggu. Selepas tandatangan diturunkan saya akan serahkan duit,” kata Robert sambil menolak beg bimbit yang terbuka kepada Karim. Di dalam beg bimbit itu tersusun wang.

Karim malas hendak membaca setiap butiran dokumen itu. Dia pantas mencari bahagian yang perlu ditandatangani dan terus menurunkan tandatangannya di situ. Lekas pula menyerahkan dokumen itu kepada Robert.

Robert tersenyum. “Tidak minta hendak baca?”

Karim tergelak. “Aku lebih suka wang.”

“Siapa pun lebih suka wang,” balas Robert.

Mereka bertiga ketawa.

Karim segera meminta diri. Dia mahu pergi dari situ secepat mungkin. Akan terus ke lapangan terbang untuk membeli tiket kapal terbang. Dia harus keluar dari United Kingdom secepat mungkin sebelum orang yang berkenaan sedar lukisan Van Basten dari tangannya itu adalah palsu.

Sanusi dan Van Basten muncul di pintu sejurus Karim beredar dari situ. Mereka berdua menyertai Van Gaugh dan Robert. Mereka saling memuji dan ketawa kerana dapat memperbodohkan Karim dengan perancangan licik itu.

Dia membeli tiket penerbangan petang esok dari London ke Kuala Lumpur. Lekas kembali ke apartmen dan satu masalah lain sedang menunggunya : Kalsum! Bagaimana cara terbaik untuk memberitahu masalah besar yang sedang dihadapinya itu kepada Kalsum? Tanpa ada perancangan rapi dia terpaksa berdepan juga dengan Kalsum.

“Apa?! Pergi dari sini?” balas Kalsum terkejut bila Karim yang masuk ke dalam rumah secara tergesa-gesa itu memintanya berkemas kerana mereka akan pulang ke Kuala Lumpur esok. Mereka akan berehat di hotel berdekatan Lapangan Terbang Heathrow sehingga sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.

“Ya, pergi dari sini. Awak tak dengar ke?!” bentak Karim. Dia faham benar tingkah Kalsum. Jika dia berlembut, Kalsum akan menguasai keadaan. Tetapi jika dia keras atau bertegas, Kalsum akan tunduk kepadanya. Sekarang cara keras dan tegas umpama diktator itulah yang sedang digunakannya.

“Tapi kenapa bang?” tanya Kalsum yang nampak tidak berpuas hati kerana tidak tahu hujung pangkal. Dia sedar suaminya jadi begitu sejak Van Basten datang ke rumah dan berkurung di dalam bilik bacaan. Hatinya kuat merasakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku bila suaminya itu keluar dari rumah tadi dengan membawa benda yang berbungkus besar itu.

“Awak jangan banyak tanya boleh tak?!” marah Karim. Dia menghenyakkan badan di sofa. “Kemas mana yang patut. Kalau tak sempat bawa apa sahaja yang perlu,” arahnya pula.

Tetapi Kalsum tetap tidak berganjak dari ruang tamu itu. “Cuba abang beritahu apa yang berlaku. Saya tak marah.”

Karim mendengus kasar. “Hang nak aku yang kemas ke?!” katanya dengan keras sambil bangun mengambil beg bimbit yang diberikan oleh Robert itu. Dia bergerak ke bilik bacaan untuk mengira wang di dalam beg bimbit itu.

Kalsum yang tahu marah Karim sedang di puncak mengundur ke bilik tidur untuk mengemas pakaian mereka. Karim bila marah selalu membahasakan dirinya ‘hang’. Dia tidak selesa dengan keadaan begitu. Keadaan di mana Karim membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu. Setiap kali itu berlaku dia dan anak-anak yang terkena tempiasnya. Begini jugalah sikap Karim ketika hendak lari dari Malaysia ke United Kingdom kerana bahana skim pelaburan Pak Lang itu. Bila sampai ke sini barulah suaminya itu memberitahu apa yang berlaku : Suaminya itu terpaksa lari dari klien-klien yang pastinya menuntut supaya wang pelaburan mereka dikembalikan. Sedangkan wang pelaburan mereka itu sudah dilarikan oleh orang atasan. Tidak diketahui orang atasan itu adalah Ramlan atau Pak Lang sendiri. Suaminya menjadi mangsa tetapi mujurlah kononnya pihak syarikat sempat membayar bonus dan gajinya yang mencecah jutaan ringgit. Sekali imbas dia berasa sangsi dengan jumlah gaji dan bonus pada bulan terakhir sebelum keruntuhan skim cepat kaya Pak Lang itu. Tetapi kesangsiannya itu mudah meruap dengan kemewahan yang dicurahkan oleh Karim sepanjang berada di United Kingdom ini. Kali ini dia yakin tentu ada masalah lain. Tetapi dia juga yakin Karim akan selalu dapat mengatasi masalah itu. Walaupun emosi terganggu tetapi yang penting duit tidak berkurangan.

“Celaka!!!”

Pekikan Karim menggamatkan apartmen itu. Kalsum yang bergegas dari bilik tidur menerpa masuk ke dalam bilik bacaan itu. Dia lalu mendapati berbuku-buku wang kertas bergelimpangan di atas lantai. Hanya beberapa buku sahaja yang tersusun kemas di atas meja kerja. Suaminya dilihat sedang mundar mandir sambil menggenggam-genggam rambutnya.

“Kenapa ni bang?” tanya Kalsum yang kebingungan.

“Kita kena tipu Sum! Hampir semuanya duit palsu!” jawab Karim yan tidak mampu lagi menyembunyikan bencana yang menimpanya.

“Kena tipu?!” tanya Kalsum yang mula kegugupan.

“Ya, Sum. Ya. Habis duit simpanan kita!” jawab Karim.

Kalsum terpukul dengan pengesahan Karim itu. Dia histeria serta merta. “Bagaimana boleh jadi begini bang?! Bagaimana boleh jadi begini bang?!” jeritnya.

Karim pula yang terpaksa menenangkan Kalsum. Kalsum terhenyak di kerusi sambil air matanya mengalir laju. Karim menceritakan apa yang berlaku. Dan seperti biasa versi ceritanya tentu tidak sama dengan cerita yang asli. Dia selamanya menjadi mangsa dan orang lain selamanya menjadi pemangsa.

Tengah hari esoknya mereka sekeluarga sudah pun berada di dalam perut kapal terbang. Mereka terpaksa kembali ke Malaysia semula selepas tidak sampai setahun berada di United Kingdom. Dari KLIA mereka akan terus pulang ke kampung Kalsum di Bukit Teh. Mereka akan tinggal di rumah pusaka keluarga Kalsum. Kalsum sudah pun menelefon kakak dan abangnya untuk memberitahu tentang masalahnya itu. Rumah pusaka yang besar itu kini dihuni oleh abang Kalsum. Karim enggan tetapi terpaksa.

“Kenapa abang ngah?”

Pertanyaan Habshah itu mengejutkan Zaman yang memerhati siling yang terlopong itu sejak tadi.

“Siling tu memang berlubang ke?” tanya Zaman. Matanya pada Bibik Aminah.

“Sebelum ini tidak ada Bapak Zaman,” jawab Bibik Aminah terus terang.

“Yalah. Kenapa letak katil ini di bawah siling yang berlubang” tanya Yunus pula.

Zaman dan lain-lain memandang Habshah. Habshah tiada jawapan untuk itu. Dia sendiri tertanya-tanya.

“Nanti saya minta Johan alihkan katil ni,” kata Habshah. “Kalau bukan Latifah, siapa abang ngah?” Habshah mengembalikan pokok perbualan sebelum Zaman mengajukan persoalan tentang siling yang terlopong itu.

“Engkau akan tahu nanti Sah. Berdoalah banyak-banyak kepada Allah supaya ditunjukkan kepada engkau mana yang batil dan mana yang benar,” jawab Zaman.

“Tetapi saya hendak tahu sekarang juga, abang ngah” balas Habshah.

“Insyallah, sampai masa engkau akan tahu juga. Sekarang ini apa yang lebih penting ialah engkau kena pindah dari sini. Abang ngah lihat ramai pesakit yang datang berubat. Pesakit-pesakit tu bukan bawa penyakit biasa. Semuanya penyakit berkaitan sihir. Abang ngah bimbang penyakit mereka terkena pada engkau pula. Ya lah, permainan syaitan ni manalah kita nak tahu,” kata Mazlan panjang lebar.

Habshah sedikit terkejut. “Tetapi saya rasa lebih sihat di sini. Mak Siti yang tengokkan Sah,” balasnya selepas mendapati Zaman serius dengan kata-katanya tadi.

Zaman mengangguk-angguk seolah-olah faham dengan apa yang ingin disampaikan Habshah. “Betullah tu. Tetapi Mak Siti tak boleh tengok engkau selalu. Terutamanya jika pesakitnya ramai macam malam ni. Abang Ngah betul-betul rasa keadaan engkau akan lebih baik jika engkau pindah sama ada ke rumah abang ngah, abang long atau Kak Halimah. Kasihan Mak Siti. Dia sudah tua. Kederat pun tidak macam orang muda,” balas Zaman.

Habshah melihat Zaman. Mencari-cari apa sebenarnya yang ingin diperkatakan oleh abang ngahnya itu. “Tetapi saya rasa selamat di sini. Mak Siti kata rumah saya tu sudah disihir Latifah. Ilmu sihir yang digunakan Latifah itu bukan calang-calang. Sihir siam, abang ngah!”

“Ini saranan abang ngah sahaja. Terpulang mahu ikut atau tidak,” balas Zaman dengan nada yang kedengaran hampa. “Abang ngah bimbang jika kesihatan engkau sekarang hanya tipu dayanya semata-mata sebelum diserang dengan lebih teruk. Abang ngah bimbang jika penyakit pesakit-pesakit Mak Siti terkena pada engkau pula. ”

“Apa sebenarnya yang abang ngah nak cakapkan ni?!” kata Habshah sedikit keras.

“Sah pindah dulu. Pindah rumah kakak. Rasanya kalau lebih jauh dari sini lebih bagus. Kita cuba berubat di sana pula,” kata Halimah yang diam sejak tadi. Halimah memandang Mazlan. Mazlan mengangguk membenarkan kata-kata isterinya itu.

“Jika tidak pun Sah tinggal di rumah abang long,” tawar Yunus.

Habshah mengeluh. Dia berasa dirinya seolah-olah ditekan oleh adik beradiknya. Dia beranggapan adik beradiknya itu sedang menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. “Sah kena tanya Johan dahulu. Kalau dia bagi bolehlah. Jika tidak tak terdayalah.”

Zaman, Yunus dan Halimah menerima baik jawapan Habshah itu. Keadaan sepi seketika sehinggalah lantai berkeriut dan kelihatan Mak Siti berjalan masuk ke ruang sorong itu dari ambang pintu.

“Maafkan makcik sebab tak sedar kehadiran engkau berdua, Yunus dan Zaman. Ramai pesakit yang datang malam ni,” kata Mak Siti.

“Tidak apa-apa Mak Siti,” balas Yunus.

“Siling tu…” kata Mak Siti sambil menunjukakan jari telunjuknya pada siling yang terlopong itu, “jatuh beberapa hari lepas. Kawasan ni dipukul ribut pada hari tu. Belum sempat hendak panggil tukang betulkan,” jelas Mak Siti pula tanpa diminta oleh sesiapa.

“Oh begitu…” balas Yunus.

“Besok Mak Siti panggil tukang betulkan,” sambung Mak Siti lagi. Kali ini matanya mengerling Zaman sepintas lalu.

Zaman yang sedar diperhatikan mendiamkan diri.

“Eloklah kalau begitu. Tadi ada kucing dan tikus yang terjun dari situ. Sampai berdarah bahu Habshah dicengkam kucing tu ,” kata Halimah memberitahu kejadian yang berlaku tadi.

“Sakit, Sah?” tanya Mak Siti, menunjukkan prihatin.

“Insyallah, akan baik-baik sahaja,” jawab Habshah.

Jam dinding berdeting nyaring. Jarum jam dan minit bertindih pada angka sebelas. Sudah hampir tengah malam.

“Zaman rasa elok kita beransur dulu abang long,” kata Zaman.

Yunus yang melihat jam tangannya mengangguk setuju. “Engkau Halimah, tidur di mana malam ni?” tanyanya kepada Halimah.

“Tidur sahaja rumah abang ngah,” ajak Zaman dengan mata mengharap.

Halimah yang faham riak muka Zaman mengiakan selepas melihat anggukan Mazlan. “Kak pergi dulu Sah,” katanya lalu memeluk dan mencium pipi Habshah. Kemudian dia bersalam pula dengan Bibik Aminah. “Bibik tengokkan puan ya.” Pembantu rumah itu mengiakan.

Yunus dan Mazlan meleraikan sila dan bangun seterusnya bersalam dengan Mak Siti. Azlan dan Raudhah ragu-ragu hendak bersalaman dengan Mak Siti sehinggalah dipaksa oleh Halimah. Zaman pula mendekati Habshah terlebih dahulu. Memeluk adik perempuannya itu sambil berbisik di telinga, “Timbangkan saranan abang ngah itu ya.” Kata-kata itu diucapkan oleh Zaman dengan penuh harapan. Itu dapat dirasakan oleh Habshah yang kemudiannya bingung dengan kesungguhan abang ngahnya itu yang mahu dia keluar dari rumah Mak Siti. Habshah tahu ia bukanlah sangat berkenaan beberapa sebab yang disebutkan Zaman tadi. Dia yakin ada sesuatu yang disembunyikan oleh adik beradiknya itu.

Zaman orang terakhir bersalam dengan Mak Siti. Yunus, Mazlan, Halimah, Azlan dan Raudhah sudah mula menuruni tangga. “Terima kasih ya Mak Siti sebab jaga adik saya.”

Mak Siti tersenyum pahit. Kemudian menghamburkan kata-kata yang aneh, “Rupa-rupanya berisi.”

Zaman terkejut tetapi berpura-pura tidak mengerti dan terus menarik tangannya yang terasa sedikit dipicit oleh Mak Siti.

Halimah satu kereta dengan dua abangnya. Sementara Mazlan, Azlan dan Raudhah dalam kereta mereka yang mengekori dari belakang. Mazlan meminta Halimah naik satu kereta dengannya dan Mazlan membenarkan.

“Apa sebenarnya yang berlaku abang ngah?” tanya Halimah. “Kenapa Sah tidak boleh terus duduk rumah Mak Siti. Halimah rasa ada sebab lain selain sebab-sebab yang abang ngah kata tadi.”

“Abang long pun nak tahu kenapa ngah. Engkau tahu apa-apa ke?” kata Yunus pula.

“Memang perkara inilah yang ngah nak bincangkan,” kata Zaman.

“Cuba engkau cerita pada kami berdua,” kata Yunus.

Mazlan memerhati meter kelajuan kereta. Jarum meter kelajuan itu pada nombor 110. Dia kehairanan kerana Iswarnya itu dirasakannya bergerak perlahan tidak seperti dalam kelajuan 110km/jam. Dia berasa keretanya itu berat di belakang. Seolah-olah dia sedang membawa muatan berat. Toyota Zaman semakin lama semakin jauh ke hadapan. Azlan yang duduk di belakang terburu-buru ke ruang hadapan dan duduk bersama Raudhah di bangku hadapan.

“Abah, ada budak dekat belakang.” kata Azlan.

Mazlan kehairanan memandang Azlan. Azlan dilihat bersungguh-sungguh memaksudkan kata-katanya itu. “Budak mana? Belakang mana?” tanyanya.

“Atas bonet kereta kita,” balas Azlan.

“Atas bonet?!” tanya Mazlan.

“Ya, abah,” jawab Azlan sungguh-sungguh.

Mazlan segera melihat ke belakang melalui cermin pandang belakang. Kata-kata Azlan itu benar. Dirinya tersentak bila melihat seorang budak lelaki duduk dalam keadaan merangkak di atas bonet keretanya. Lampu tinggi dari kereta bertentangan menyuluh Iswara itu. Diikuti pula dengan bunyi hon yang panjang. Iswara itu masuk sedikit ke lorong sebelah. Mazlan yang baru tersedar memulas stereng keretanya ke kiri, sempat memasuki semula lorong yang betul. Azlan tercampak ke kiri, menghempap badan Raudhah dan kepalanya hampir terkena cermin kereta.

“Engkau tak apa-apa Azlan? Raudhah?” tanya Mazlan. Dia kemudian beristighfar berulang kali dan kemudian kembali melihat ke belakang melalui cermin pandang belakang.

Budak lelaki itu tidak kelihatan lagi di situ.

Pelik, getus hati Mazlan. Tetapi Iswaranya masih berasa berat. Dia teringatkan sesuatu.

“Azlan, tolong cari kaset bacaan Al-Quran,” arah Mazlan.

Azlan membuka ruang simpanan pada papan pemuka. Mencari-cari kaset di balik timbunan kertas yang memenuhi ruang tersebut. Kaset bacaan Al-Quran itu tiada di situ. Dia teringat ada bermain dengannya beberapa hari lalu. Kaset itu diletakkannya di bahagian ruang belakang tempat duduk belakang. Azlan memberanikan diri ke bahagian belakang. Dia pantas mengambil kaset Al-Quran di ruang belakang itu. Sebelum sempat dia berpaling, budak lelaki itu muncul lagi di atas bonet. Kanak-kanak perempuan itu menyeringai menampakkan gigi-giginya yang tajam.

“Abah!” jerit Azlan dan bergegas ke hadapan dengan termengah-mengah.

“Kenapa?” tanya Mazlan yang terkejut.

“Budak lelaki itu ada lagi!” beritahu Azlan.

Mazlan segera mengambil kaset bacaan Al-Quran dari tangan Azlan dan memasangnya menggunakan pemain kaset. Tidak lama kemudian barulah Iswara itu beransur-ansur terasa ringan dan meluncur laju seperti biasa.

“Dia dah tak ada, abah. Sudah hilang,” kata Azlan.

Raudhah yang menekup mukanya dengan tangan sejak tadi baru berani melihat ke belakang.

“Alhamdulillah,” ucap Mazlan.

Di dalam Toyota Zaman, Halimah melihat ke belakang. Kehairanan kerana Iswara Mazlan tidak kelihatan. Dia berasa tidak sedap hati tetapi didiamkannya sahaja. Dia tahu Mazlan arif dengan jalan di Klang ini. Mazlan pernah bekerja di sini. Di sini jugalah mereka bertemu buat pertama kali, jatuh cinta dan akhirnya memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.

Halimah kembali menumpukan perhatian kepada kata-kata Zaman. Abang ngahnya tadi menegaskan betapa pentingnya mereka membawa Habshah keluar dari rumah Mak Siti. Tetapi terpaksa akur bila Yunus memberitahu mereka tidak ada apa-apa kuasa untuk memaksa sekiranya Habshah sendiri tidak mahu dan Johan pula membantah. Mereka bertiga faham bagaimana hal itu jika berlaku tentunya akan mengeruhkan muka Mak Siti. Jadi jika hal itu hendak dilaksanakan juga tetapi tentunya dengan kehendak Habshah dan Johan, ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab supaya tidak mengguris hati Mak Siti.

“Tetapi kenapa?” tanya Yunus yang kembali kepada persoalan pokok.

“Kenapa abang ngah beria-ia mahukan Habshah keluar dari rumah Mak Siti tu?” tanya Halimah pula.

Zaman diam sebentar, menarik nafas dan menghelanya perlahan lalu menerangkan dengan panjang lebar. “Angah mimpi perkara ini berulang kali. Mimpi pertama arwah emak datang beritahu Habshah itu betul terkena buatan sihir orang. Latifah tidak bersalah tetapi Mak Siti. Mimpi kedua arwah bapak pula datang beritahu apa yang dicakapkan oleh arwah emak itu betul. Mimpi ketiga angah ditunjukkan bagaimana hantu belaan Mak Siti menggigit Habshah. Mak Siti yang berdiri di sisi katil melihat sahaja sambil tersenyum. Angah sudah pergi tanya orang yang memang pandai dalam permainan sihir ni. Dia mengesahkan memang Habshah tu sudah terkena sihir. Penyakit barah payu daranya itu memang ada tetapi masih di peringkat awal. Hantu belaan Mak Siti itulah yang memburukkan lagi keadaan.”

Yunus dan Halimah tercengang sukar hendak percaya dengan kata-kata Zaman itu.

“Takkanlah Mak Siti tu sanggup lakukan begitu pada Habshah…” respon Yunus.

“Iyalah angah,” sambut Halimah pula.

“Angah pun sukar hendak percaya tetapi itulah mimpi angah,” balas Zaman sekejap menoleh ke belakang untuk memandang Halimah dan kemudian memandang pula Yunus yang memandu keretanya.

Keadaan di dalam Toyota itu sepi seketika. Sehinggalah Halimah bersuara kerana teringatkan kata-kata Azlan di rumah Mak Siti tadi.

“Dalam mimpi ketiga tu, hantu yang bagaimana gigit Habshah tu, angah?” tanya Halimah.

“Perempuan muda. Langsuirlah tu. Dia gigit payu dara Habshah sampai berdarah. Langsuir ni selalunya mengacau bersama budak lelaki atau bajang,” jawab Zaman.

“Budak lelaki?!” tanya Halimah yang terkejut.

“Ya, kenapa Halimah?” tanya Zaman menoleh ke belakang.

“Azlan, Azlan….”

“Kenapa dengan Azlan?” tanya Zaman dan Yunus yang memintas kegagapan Halimah itu.

“Azlan kata dia dan bibik nampak budak lelaki tu ketika cari minyak gamat di rumah Mak Siti tadi. Habshah pun ada cakap dia nampak perempuan muda dalam almari baju lama tu. Perempuan muda tu gigit dia sampai berdarah hari tu,” kata Halimah yang masih terkejut dengan kenyataan itu.

“Bibik ada cakap apa-apa?” tanya Zaman.

“Tak ada,” jawab Halimah.

“Mungkin dia tahu sesuatu tetapi takut hendak beritahu kita,” kata Yunus.

Halimah teringatkan pula kata-kata Zaharah dan Zaiton, kakak-kakak kepada Johan yang ditemuinya minggu lepas ketika melawat Habshah di rumahnya. Kebetulan Zaharah dan Zaiton datang melawat Habshah juga.

“Itulah Kak Zaharah sudah pesan pada Habshah jangan asyik berubat pada orang yang sama kalau ada masalah. Memanglah ilmunya kuat. Hendak jawatan dapat, hendak cantik muda dapat, hendak hormat orang dapat, tapi kita juga yang merana nanti,” kata Zaharah.

“Kak Zaiton pun ada pesan yang sama pada Habshah dan Johan. Tetapi mereka berdua tu degil. Tak nak ikut cakap. Kami adik beradik sudah lama elak diri dari jumpa dia kalau ada masalah,” kata Zaiton pula.

Kedua-duanya tergesa-gesa minta diri sebaik melihat Mak Siti yang baru sampai di rumah Habshah itu.

Halimah memberitahu apa yang dikatakan oleh kedua-dua kakak kandung Johan itu kepada Yunus dan Zaman.

“Dengan siapa Habshah selalu jumpa kalau ada masalah?” tanya Zaman melihat Halimah.

Halimah serba salah hendak menjawab. Dulu, ketika dia, Habshah dan Zaman tinggal serumah ketika masing-masing masih bujang, ada satu peristiwa yang dia pernah berjanji kepada Habshah takkan membocorkan rahsia tujuan sebenar dia ke rumah Mak Siti bersama Johan kepada Zaman. Ketika itu Habshah sudah pun bertunang dengan Johan. Mak Siti meminta mereka ke rumah untuk melakukan jampi bagi menguatkan kasih sayang antara mereka. Kononnya waktu bertunang adalah tempoh yang penuh dugaan. Jadi upacara untuk menguatkan kasih sayang antara mereka itu perlu supaya hubungan mereka tidak putus di tengah jalan. Bila pulang, Habshah menceritakan apa yang dilakukan oleh Mak Siti kepadanya. Dia mandi bunga, diperasapkan dengan kemenyan dan diberi mantera untuk diamalkan. Ketika Halimah tengah bertunang dengan Mazlan, Habshah menganjurkan dia berjumpa Mak Siti untuk melakukan apa yang dilakukannya. Tetapi Habshah menolak dengan baik melalui pelbagai alasan sehingga Habshah akhirnya putus asa dan meluahkan kata-kata yang mengejutkannya : “Kak ni, Sah nak tolong sahaja. Biar hubungan kak dan Abang Mazlan tu kekal. Biar Abang Mazlan tu tak pandang perempuan lain dah. Nanti kakak ditinggalkan macam dulu baru tahu. Mak Siti tu boleh buat apa sahaja. Percayalah. Dia hebat orangnya!”

“Takkan engkau tak tahu Halimah. Engkau kan rapat dengan Sah,” kata Zaman.

“Err… dia memang selalu jumpa Mak Siti kalau ada masalah.”

Zaman dan Yunus sama-sama mengeluh.

“Along takut kalau Mak Siti ada beri apa-apa pada Habshah sama ada dia sedar atau tidak. Dia ada minta apa-apa daripada Mak Siti?” kata Yunus.

“Masa bertunang dengan Johan, Mak Siti ada panggil mereka untuk buatkan hubungan mereka tu kekal. Habshah mandi bunga, diperasap kemenyan dan diberi mantera untuk diamalkan,” jawab Halimah terus terang. Dia sudah menimbangkan dalam waktu begini janjinya pada Habshah harus dibatalkan demi kebaikan adiknya itu juga.

“Apa?!” Zaman terkejut. “Dia pergi masa kenduri arwah di rumah Johan tu?” Dia masih ingat peristiwa itu di mana dia keberatan untuk melepaskan Habshah menghadiri majlis kenduri arwah bapa Johan sehinggalah Johan sendiri yang meminta kebenaran daripadanya, mengambil sendiri Habshah dan berjanji akan membawanya pulang sebelum tengah malam. Habshah benar-benar pulang sebelum tengah malam.

“Ya. Kenduri arwah tu pun sebenarnya tiada. Mereka sengaja reka cerita,” kata Halimah membongkar rahsia yang sudah lama terpendam itu.

Zaman mendengus kasar. “Apa lagi yang dia buat dengan Mak Siti?”

“Saya tahu yang itu sahaja,” jawab Halimah.

“Orang minta pada Allah. Ini minta pada makhluk. Ajal, jodoh semuanya milik Allah,” kata Zaman kesal dengan tindakan Habshah itu.

“Along tak beranilah nak tuduh,” kata Yunus pula. “Tetapi kalau diikutkan cara Mak Siti tu berubat memang tak kenalah. Dia pakai syaitan untuk mengubat orang. Semua orang tahu tu termasuk anak-anak tiri dia. Entah Johan tahu ke tak wallahu a’lam.”

Keadaan sunyi sepi semula. Halimah melihat ke belakang. Berasa lega bila mendapati Iswara Mazlan ada di belakang.

Mereka sampai di rumah Zaman. Mazlan memberitahu apa yang berlaku dalam perjalanan tadi. Ini menguatkan hasrat mereka untuk memindahkan Habshah dari rumah Mak Siti.

Tetapi bila kembali ke rumah Mak Siti keesokan harinya, Habshah sudah tiada di dalam rumah itu. Dia sudah dipindahkan ke rumah Seri, rumah satu-satunya anak kandung Mak Siti dengan bapa Johan. Rumah Seri yang lebih berupa banglo itu tidak berapa jauh dari rumah Mak Siti.

“Mak minta Kak Habshah pindah ke sini. Dia takut Kak Habshah tak selesa kerana pesakit-pesakit yang semakin ramai datang berubat setiap malam,” terang Seri kepada Halimah, Yunus, Zaman dan Mazlan.

Azlan dan Raudhah yang mengantuk awal tertidur sejak dalam perjalanan ke situ. Kini kedua-duanya terbaring lena di sisi Mazlan.

“Mak selalu jenguk Kak Habshah hampir setiap jam. Periksa kesihatan Kak Habshah okey ke tak. Maklumlah permainan sihir ni bila-bila sahaja boleh dihantar semula,” sambung Seri lagi.

Keempat-empat beradik itu mengangguk faham. Seri meninggalkan mereka untuk ke dapur walaupun Halimah memberitahu tidak perlu membuatkan minuman untuk mereka. Halimah dan Bibik Aminah mengekori Seri ke dapur.

Peluang itu diambil Zaman untuk memujuk Habshah berpindah ke rumahnya, Yunus atau Halimah.

Habshah mendengus bila soal itu diajukan. Apa lagi yang abang ngahnya itu hendak. Dia sudah pun berpindah ke rumah Seri sekarang.

“Eloknya engkau keluar dari kawasan ni Sah,” kata Zaman.

“Apa yang tak kena lagi angah?!” tanya Habshah, bernada agak tinggi.

“Angah akan beritahu jika engkau berpindah ke rumah salah seorang daripada kami,” jawab Zaman.

Habshah hampir tergelak, tidak mengerti dengan perangai Zaman itu. “Beritahu sahaja sekarang, angah. Tak perlu nak disembunyikan.”

“Kenapa engkau degil sangat Sah. Kami suruh engkau keluar dari sini demi kebaikan engkau juga,” kata Yunus pula.

“Along ingat senang? Nanti apa kata Johan? Nanti apa kata Mak Siti?” jawab Habshah.

Habshah memang tidak mahu mengguris hati kedua-dua orang yang paling penting dalam hidupnya itu. Johan, walaupun bersifat kedekut dan tidak ambil kisah sangat tentang perasaannya akhir-akhir ini, tetaplah juga suami yang baik sepanjang perkahwinan mereka. Mak Siti pula memang banyak budi kepadanya. Mak Siti bantu dia dalam banyak perkara. Hubungan suami isteri yang bahagia antara dia dan Johan hasil buatan Mak Sitilah. Jawatan pengurus sumber manusia yang dipegangnya sekarang hasil jampi Mak Sitilah. Orang hormat dan tunduk kepadanya, terutamanya pekerja-pekerja kilang dan rakan-rakan pejabat, hasil mantera Mak Sitilah. Wajahnya yang jelita, berseri-seri dan kelihatan muda seperti anak dara itu hasil susuk Mak Siti lah. Jadi dia layan Mak Siti lebih daripada emak dan bapanya ketika keduanya masih hidup. Duit belanja yang diberi kepada Mak Siti jauh lebih besar daripada duit belanja yang diberi kepada orang tuanya setiap bulan. Dia benar-benar percaya dan sayang kepada Mak Siti.

“Jika engkau pujuk Johan tentu dia faham dan benarkan,” kata Zaman.

Habshah mengeluh pula. Dia rimas dengan desakan Zaman itu. “Saya sihat di sini angah. Takkan apa-apa. Tambahan pula Mak Siti ada di sini. Mak Siti pandai dalam hal-hal sihir ni.”

Zaman hampir sahaja hilang sabar bila mendengar Habshah memuji-muji Mak Siti. “Asyik-asyik kau sebut…”

Yunus memotong kata-kata Zaman. Dia tahu apa yang ingin dikatakan oleh Zaman. “Engkau tak nak tak apalah, Sah. Nanti kalau engkau berubah fikiran beritahulah kami.”

Zaman menyesal pula kerana hampir terlepas kata. Entah mengapa dia terlalu yakin bahawa semua ini angkara Mak Siti. Selepas bermimpi dua tiga kali tentang Mak Sitilah yang sebenarnya menganaiaya Habshah, dia segera mencari maklumat tentang bomoh terkenal di Selangor itu. Dia bertanya kepada sesiapa yang pernah berhubungan dengan Mak Siti. Kebanyakkan pesakit yang pernah berubat dengan Mak Siti menyatakan bahawa penawar Mak Siti memang mujarab. Mak Siti boleh ambil hantu yang dihantar orang kepada pesakit-pesakitnya dengan mudah. Mak Siti masukkan hantu-hantu itu di dalam botol. Setiap bulan Mak Siti akan sewa bot untuk bawa botol-botol berisi hantu itu untuk dibuang di tengah laut. Kebanyakan botol-botol itu akan tersangkut di Pulau Besar. Menurut seorang bomoh yang pernah berlawan secara batin dengan Mak Siti, Mak Siti bukan calang-calang bomoh. Mak Siti ada semua jenis hantu. Hantu-hantu kuat yang ditangkapnya daripada pesakit-pesakit diambil untuk kegunaannya. Hanya hantu-hantu yang lemah dan tidak berguna sahaja yang dibuang ke laut. Mak Siti juga ada pelbagai jenis ilmu. Ilmu susuk, ilmu santau, ilmu busung dan bermacam lagi. Setahunya juga tidak pernah ada bomoh yang mampu menewaskan Mak Siti. Dia sendiri hampir mati dikerjakan Mak Siti kerana cuba merawat pesakit yang disihir Mak Siti. Pesakit itu mati juga kerana busung.

Azlan terjaga dari lena. Matanya terus tertumpu ke luar rumah. Melalui cermin pintu gelongsor hitam itu dilihatnya tiga budak lelaki sedang berjalan riang ke arah banglo Seri itu. Ia datang dari arah rumah Mak Siti. Ketiga-tiganya saling berpelukan bahu. Perut mereka buncit dengan dada yang kurus menampakkan tulang rangka. Kaki mereka juga kurus dan melengkung ke dalam menjadikan kangkang mereka luas. Telinga mereka capang dan tajam ke atas. Ketika mereka ketawa kelihatanlah gigi mereka yang tajam dan rapat-rapat.

“Kenapa Azlan?” tanya Mazlan yang baru sedar anaknya itu sudah terjaga.

“Budak lelaki tu dan kawan-kawannya datang, abah,” kata Azlan sambil menunjuk ke arah pintu gelongsor hitam itu.

Mazlan segera melihat ke luar rumah. Tiada apa-apa yang dilihatnya di situ kecuali kesuraman malam yang disimbahi lampu pendaflour.

“Kenapa Mazlan?” tanya Zaman yang tidak berapa dengar butir percakapan di antara Mazlan dan Azlan tadi.

“Azlan kata dia nampak budak lelaki dan kawan-kawannya datang ke sini,” kata Mazlan.

Zaman, Yunus dan Habshah terkejut dengan kata-kata Mazlan itu. Mata Azlan masih pada cermin pintu gelongsor hitam dan kemudian perlahan-lahan mata dan kepalanya itu bergerak melihat ruang tamu dan seterusnya hinggap pada tempat di mana Habshah berada. Dia seolah-olah melihat sesuatu yang sedang berjalan masuk ke dalam banglo itu dan kini berhenti dekat Habshah. Bulu roma Mazlan, Zaman dan Yunus meremang tidak semena-mena.

“Dekat mana benda tu Azlan?” tanya Zaman.

Azlan menunjuk ke arah Habshah. Semua mata memandang Habshah. Habshah tersenyum memandang mereka. Senyuman itu perlahan-lahan hilang selepas beberapa ketika. Diikuti oleh mata beningnya yang perlahan-lahan kuyu dan akhirnya tertutup. Bibirnya yang terkatup bergetar-getar laju seperti orang yang kedinginan. Dada Habshah mula turun naik semakin deras. Perutnya pula berombak.

Zaman melihat Yunus. Yunus melihat Mazlan. Mereka berpandangan sesama sendiri. Halimah dan Bibik Aminah yang kembali ke ruang tamu menerpa Habshah. Seri sama terkejut dan segera mendapatkan Habshah selepas meletakkan dulang berisi minuman dan kuih.

“Kenapa ni bang?” tanya Halimah kepada Mazlan. Mazlan mengangkat bahu, tidak tahu. “Kenapa ni along, angah?” Halimah cuba mendapatkan jawapan dari Yunus dan Zaman pula. Kedua-duanya tidak menjawab pertanyaan Halimah.

Seri pula kelam kabut keluar rumah untuk mencari Mak Siti di rumahnya.

Zaman bersila kemas di sisi Habshah. Dia membaca ta’awwuz.

Yunus dan Halimah melihat tindakan Zaman itu dalam kehairanan. Setahu mereka Zaman tidak pernah belajar ilmu perubatan Islam.

“Kamu duduk bersetentangan dengan saya,” kata Zaman, mengarah Yunus. Suaranya berubah lain. “Mazlan duduk di kepala. Kita sama-sama baca Al-Fatihah, ayat kursi, enam ayat pertama surah Al-Baqarah. Enam ayat pertama surah Yasin. Insyallah dengan izin Allah, syaitan belaan ni akan beredar dari sini,” arahnya lagi.

Yunus dan Mazlan menurut arahan Zaman.

Zaman, Yunus dan Mazlan bersedia melantunkan bacaan Al-Fatihah. Sementara Halimah yang sudah menitiskan air mata melihat penuh risau keadaan Habshah yang kelihatan membimbangkan. Sebaik bacaan bismillah dilantunkan, dada Habshah yang turun naik deras itu reda sekelip mata. Perutnya yang berombak-ombak juga berhenti serta merta. Tetapi sebaik ayat pertama Al-Fatihah dibacakan, dada itu kembali turun naik lebih deras dan perutnya berombak lebih buas dari sebelumnya. Yunus, Mazlan dan Halimah bimbang dengan keadaan Habshah itu. Tetapi Mazlan memberi isyarat supaya mereka bertenang. Di penghujung Al-Fatihah, keadaan Habshah semakin teruk. Urat-urat mulai kelihatan timbul di lehernya dan matanya yang terpejam bergetar-getar tadi terbuka mengejut sebaik Al-Fatihah itu habis dibacakan.

Zaman mengangkat tangan, mengisyaratkan supaya mereka tidak terus menyambung bacaan dengan ayat kursi.

“Assalammualaikum,” kata Zaman sambil memandang mata Habshah yang terjegil tajam ke arahnya.

Habshah mendengus tidak menjawab salam Zaman. Bunyi nafasnya kedengaran kasar. Sesekali dia menderam seperti seekor kucing. “Aku tak suka, engkau! Pergi dari sini!” bentak Habshah kepada Zaman.

Zaman hanya tersenyum. “Yunus, Mazlan dan Halimah jangan lepas zikir,” pesan Zaman kepada mereka bertiga. Kemudian menumpukan semula perhatiannya kepada Habshah, “Siapa engkau?”

“Aku tak suka engkau! Pergi!!!” kata Habshah yang sekarang dirasuk jin.

“Kenapa engkau tak suka aku?” tanya Zaman.

“Sebab engkau pengacau!” kata jin itu lagi.

“Bukan engkau yang mengacau dia?” balas Zaman.

Habshah menderam keras.

“Kenapa engkau kacau dia?!” tanya Zaman, bernada keras.

Habshah terus menderam keras. Disusuli dengan ketawa yang menyeramkan.

“Engkau ketawa ya. Aku tanya sekali lagi kenapa engkau kacau dia?” Zaman membetulkan silanya supaya lebih kemas.

Habshah terus sahaja menderam keras dan kini tersengih-sengih seolah-olah sedang memperlecehkan Zaman.

“Aku tanya secara lembut tapi engkau masih degil. Hendak aku buat secara kasar?” gertak Zaman.

Habshah mencebikkan mulut. Terus sahaja memperlecehkan Zaman. Jin di dalam badan Habshah ingin tahu sejauh mana hebatnya pendamping Zaman. Dia menurut perintah tuannya sahaja.

Zaman menggelengkan kepala dengan kedegilan jin itu. Kemudian dia berkata, “Sesungguhnya tiada satu apa pun yang lebih berkuasa daripada Allah. Allah sahajalah Yang Maha Besar. Ya Allah, kepada-MU aku berserah dan kepada-Mu aku memohon pertolongan.” Lalu dia pun melantunkan ayat kursi sambil menggerakkan jari-jari tangannya seperti sedang mencekik sesuatu.

Habshah yang mencebik-cebik tadi kini kelihatan termengah-mengah. Matanya memantulkan ketakutan. Tangannya pula meraba-raba lehernya. Sementara kedua belah kakinya menendang-nendang angin. “Aku menyerah! Aku menyerah!” kata jin dalam badan Habshah itu dengan susah payah. Suara itu hampir tidak terlepas dari kerongkong Habshah.

Zaman memberhentikan bacaan ayat kursi dan gerakan jari-jarinya itu. “Engkau takkan mampu menentang ilmu haq Allah. Sekarang engkau beritahu siapa engkau? Jika engkau bertuan, siapa tuan engkau? Dan kenapa engkau kacau dia? Aku mahu engkau bercakap benar. Aku akan kerjakan engkau jika engkau menipu.”

“Aku…”

Jin itu tidak sempat menjawab kesemua soalan Zaman itu. Mak Siti dan Seri sudah pun datang. Mak Siti segera mendekati Habshah. Dia pantas mencangkung di hujung kaki Habshah. Memegang ibu jari Habshah sambil mulutnya kumat kamit membaca mantera. Sepantas kilat Habshah kembali seperti sedia kala. Dia pengsan sekejap. Seri mengambil air. Mak Siti menjampi air itu dan kemudian merenjiskan ke muka Habshah. Habshah tersedar dan terpinga-pinga bila diberitahu apa yang berlaku tadi. Zaman pula tersedar. Pendampingnya hilang entah ke mana.

“Nasib baik Mak Siti ada. Kalau tidak tak tahu apa yang jadi pada Shah. Terima kasih mak,” kata Habshah.

Zaman, Yunus, Mazlan dan Halimah diam sahaja. Walaupun tidak suka dengan tindakan Mak Siti memotong perbualannya dengan jin itu, Zaman tetap sabar.

‘Engkau tak kenal aku siapa, Zaman.’ Satu suara bergema di dalam hati Zaman. Dia tahu itu suara Mak Siti. Dia mengelak untuk melihat Mak Siti. Dia berpura-pura seperti tidak mendengar kata-kata Mak Siti itu. Dia berpura-pura kosong. Biar Mak Siti anggap segala tindakannya tadi adalah spontan belaka. ‘Ha, ha, ha…’ Suara Mak Siti bergema lagi di dalam hatinya.

Mak Siti kembali ke rumahnya untuk merawat pesakit.

Johan sampai ke rumah Seri dengan terburu-buru. Seri menelefonnya dari rumah Mak Siti tadi.

“Bagaimana keadaan Kak Habshah, Seri?” tanya Johan sebaik masuk ke dalam banglo itu.

“Kak Habshah sudah pulih,” jawab Seri.

“Mak Siti yang pulihkan,” sambut Habshah sendiri.

“Apa yang berlaku?” tanya Johan membelai-belai wajah Habshah.

“Hantu Latifah tu datang balik,” jawab Habshah.

Johan mengangguk-angguk faham. Dia memandang Zaman pula. “Sebab inilah saya rasa Habshah ini elok sahaja tinggal dekat dengan Mak Siti. Kalau jadi macam tadi ada juga orang yang boleh diharapkan. Habshah sudah beritahu cadangan abang ngah pagi tadi,” kata Johan.

Zaman mengangguk-angguk.

“Abang ngah janganlah ambil hati. Saya pun tidak mahu susahkan abang ngah, abang long dan Kak Halimah. Ini tangunggjawab saya. Biarlah saya yang jaga Habshah walau apa pun yang terjadi,” sambung Johan lagi.

Zaman terus mengangguk-angguk.

“Jika itu kata engkau, kami ikut sahaja,” balas Yunus bila mendapati Zaman hanya membalas kata-kata Johan itu dengan anggukan.

Selepas menjamah air dan kuih yang dihidangkan oleh Seri, adik beradik Habshah itu pun pulang ke rumah masing-masing.

Malam itu, Yunus, Zaman dan Halimah mendirikan solat hajat. Mereka memohon supaya Allah menunjukkan kebenaran kepada Habshah dan Johan.

Sudah hampir seminggu peristiwa di rumah Seri itu berlaku. Hujung minggu itu Halimah tidak ke Klang melawat Habshah seperti beberapa minggu lepas. Hatinya mahu ke sana tetapi kilang Hume membuat majlis meraikan pengurus yang baru. Dia ditugaskan oleh pengurus sumber manusia untuk menyediakan makanan dan minuman bagi jamuan majlis itu.

Nasi tomato, kambing kurma, buah tembikai dan minuman sudah siap dihidangkan. Semua hidangan itu hanya menanti masa untuk dijamah oleh para pekerja kilang Hume itu yang masih mendengar ucapan pengurus baru. Halimah yang melepaskan keletihan di belakang kantin melepaskan pandangannya jauh entah ke mana.

Seorang pekerja kontrak Indonesia memberi salam. Halimah terkejut tetapi tersenyum juga lalu mengelap pipinya yang sudah basah dengan air mata.

“Kenapa kak?” tegur pekerja Indonesia itu.

Mazlan yang mencari Halimah muncul. “Rupanya awak di sini. Kenapa ni? Teringatkan Habshah?” Mazlan melihat pekerja Indonesia itu. “Kak ni tentu sedang ingatkan adik dia. Beberapa minggu ni kalau hujung minggu kami akan terus segera ke Klang. Adik kakak sakit. Buatan orang.”

Seorang pekerja Indonesia lain muncul. Harum kurma daging yang berbaur dengan harum nasi tomato dan ayam masak merah menarik seleranya. “Jamuan ini untuk kami sekali ke bang?” tanyanya kepada Mazlan.

“Ya. Richard suruh kami sediakan untuk semua pekerja. Hangpa makan sekali dengan mereka nanti,” jawab Mazlan.

“Salim, kamu ada kenal sesiapa yang pandai ubatkan orang. Tetapi tidak mahu yang guna ilmu hitam,” kata Mazlan kepada pekerja Indonesia yang pertama muncul tadi.

Salim tersenyum.

“Dia boleh bang,” kata pekerja Indonesia yang muncul kemudian tadi.

“Betul ke Hasan?” tanya Mazlan seperti tidak percaya.

“Abang tak tahu ke?” Pertanyaan Mazlan dibalas dengan pertanyaan oleh Hasan.

Halimah dan Mazlan melihat Salim. “Betul ke Salim?” tanya Mazlan.

Salim, pemuda yang terkenal warak itu malu hendak mengaku. Dia tersenyum sahaja.

“Engkau boleh tolong kami Salim?” tanya Halimah.

Salim tidak mampu menolak. “Insyallah. Kita hanya berusaha. Allah sahaja yang menentukan,” jawab Salim.

“Ceritalah masalah adik kakak tu pada Salim ni, kak,” kata Hasan.

Halimah menceritakan apa yang berlaku kepada Habshah. Salim mendengar dengan teliti keseluruhan cerita Halimah itu.

“Nama penuh adik kakak?” tanya Salim.

Halimah memberitahu nama penuh Habshah.

“Nama penuh kawan dia tu?” tanya Salim lagi.

Halimah memberitahu nama penuh Latifah.

“Nama penuh emak tiri suami adik kakak tu?”

Halimah memberitahu nama penuh Mak Siti.

Salim berzikir di dalam hati. Dia memohon kepada Allah SWT supaya memberikan gambaran tentang ketiga-tiga perempuan tersebut. Dia seolah-olah sedang mengelamun. Di dalam firasatnya dia nampak gambaran ketiga-tiga perempuan itu.

“Adik kakak ni memang sedang sakit. Barah itu sikit sahaja. Yang teruk adalah gangguan jin-jin tu,” beritahu Salim selepas melihat gambaran yang dikurniakan oleh Allah SWT itu. “Kawan dia pula memang tidak tahu apa-apa. Dia teraniaya. Mak Siti ini pula pawang kan?” sambungnya.

Halimah mengangguk. Dia tidak maklumkan siapa sebenarnya Mak Siti kepada Salim tadi. Semasa bercerita tadi dia hanya memberitahu Habshah tinggal di rumah Mak Siti. Mereka mahu pindahkan Habshah daripada rumah itu kerana tidak mahu menyusahkan Mak Siti.

“Mak Siti ni bukan calang-calang pawang. Dia pawang besar. Penuh ilmu dan banyak pendampingnya,” beritahu Salim lagi.

“Kalau bukan Latifah, siapa pula Salim?” tanya Halimah.

Salim hanya tersenyum. “Insyallah, kakak akan tahu nanti. Saya sudah panggil dia datang. Sekarang pukul berapa?”

Hassan melihat jam digital yang melilit lengannya. “Pukul 11.30.”

“Tepat pukul 12 tengah hari, Insyallah dia akan datang berjumpa saya. Dia tahu saya sudah melihatnya,” jawab Salim.

“Habshah?” tanya Halimah.

“Insyallah, jika diizinkan Allah, adik kakak itu akan mahu ke rumah kakak nanti,” jawab Salim.

Di Klang, Mak Siti berasa tidak sedap hati secara tiba-tiba. Dia dapat merasakan ada seseorang yang menyelinap lalu menyelidikinya. Dia masuk ke dalam bilik khas di tingkat bawah. Dia duduk bersila di hadapan meja pemujaan. Dia mengambil beberapa helai kain pelbagai warna dan mengelubungkannya di atas kepala. Dia membaca mantera dan mengarahkan salah satu pendampingnya mengikutinya. Dia cuba mencari orang yang menengoknya tadi. Akhirnya dia sampai di sebuah kilang yang penuh dengan batang-batang piling, bahagian-bahagian longkang konkrit dan sebagainya. Dia melewati papan tanda ‘Hume’ di hadapan kilang itu. Nampak Halimah, Mazlan dan dua orang pemuda sedang bersembang di kantin. Goyangan badannya terhenti. Dia duduk diam seperti batu. Kini dirinya sudah berada di Hume secara batin.

Penggera jam digital Hasan berbunyi.

“Tepat pukul 12. Alhamdulillah. Dia sudah sampai,” kata Salim yang tiba-tiba memejamkan matanya tadi. Dia nampak Mak Siti datang dari arah cerucuk konkrit diletakkan.

‘Hei celaka! Berani engkau! Mari sini jika engkau benar hebat!’ kata-kata batin Mak Siti itu bergema di dalam hati Salim.

“Dia panggil saya. Dia dan bendanya tunggu saya di sana. Saya pergi dulu kak, abang,” kata Salim sambil jarinya menunjuk ke arah bahagian kiri kilang.

Halimah dan Mazlan mengangguk. Terbit juga rasa risau di hati masing-masing.

Hasan menemani Salim tanpa disuruh. Salim membenarkan tetapi berpesan supaya dia tidak lepas zikir.

Di bawah terik panas matahari, kelihatan berbalam-balam dua susuk lembaga yang berdiri di tengah-tengah di antara dua barisan cerucuk konkrit. Bila semakin hampir barulah jelas rupa dua lembaga itu. Ia adalah Mak Siti yang memakai baju kurung kedah berbunga kecil berwarna warni sambil memegang tangan seorang budak lelaki yang galak matanya. Salim tahu makhluk berupa budak lelaki itu adalah bajang.

Mak Siti cuba menengok Salim. Melalui tilikannya itu Mak Siti tidak nampak apa-apa kelebihan pada Salim. Pemuda yang semakin hampir kepadanya itu ternyata tidak berisi. Auranya juga aura manusia biasa. Jantung Mak Siti tidak berdegup kencang. Dia tersenyum sendirian. Kosong tapi berlagak hebat! Cemuh Mak Siti di dalam hati.

Salim mendengar cemuhan Mak Siti itu tetapi dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia sudah mendindingkan dirinya supaya kelihatan biasa. Biar Mak Siti melihat dirinya bukan satu ancaman.

Salim berbisik kepada Hasan. “Lagi lima langkah kita belok ke deretan cerucuk sebelah kanan. Buat seperti kita berpura-pura periksa cerucuk tu. Biar dia yang datang kepada kita.”

Hasan mengangguk kecil.

Mereka berdua membelok ke kanan selepas lima langkah. Masing-masing berpura-pura memeriksa cerucuk konkrit. Malah Hasan bersusah payah naik ke atas susunan cerucuk konkrit dan berpura-pura memeriksa cerucuk konkrit yang berada di bahagian paling atas. Manakala Salim yang kekal di bawah membongkok untuk memeriksa cerucuk konkrit yang berada di bahagian paling bawah. Dia dapat merasakan batin Mak Siti dan bajangnya sudah menghampirinya. Salim berpura-pura tidak sedar tentang kehadiran mereka.

“Hei anak muda!” tegur Mak Siti.

Salim menoleh. Berpura-pura terkejut. Hasan yang berada di hujung konkrit sebelah sana sudah berada di hujung konkrit sebelah sini. Dia melihat dan mendengar perbualan Salim dan Mak Siti itu dari atas. Bajang yang dipimpin Mak Siti menyeringai kepadanya. Bulu romanya meremang.

“Astaghfirullah,” ucap Salim sambil mengurut dadanya.

“Engkau jangan berpura-pura tidak sedar dengan kehadiran aku. Bukankah engkau datang ke sini untuk berjumpa aku? Aku dengar panggilan batin engkau tadi,” kata Mak Siti.

“Sebenarnya makcik ni siapa?” tanya Salim.

Mak Siti ketawa mengilai menyeramkan. “Aku beri amaran kepada engkau. Jangan main-main dengan aku. Aku boleh ambil nyawa engkau bila-bila masa. Jauhkan diri engkau dari menolong Halimah dan adik beradiknya,” katanya.

“Oh begitu. Baru saya faham. Semua ini berkenaan Kak Habshah,” balas Salim.

“Jangan kata aku tidak beri amaran. Ingat aku boleh ambil nyawa engkau pada bila-bila masa,” kata Mak Siti lagi.

Bajang yang dipimpinnya menyeringai ke arah Salim.

“Saya rasa ada baiknya makcik hentikan semua ini,” balas Salim.

“Engkau jangan nak ajar aku!” marah Mak Siti.

“Kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Buang semua pendamping yang makcik ada. Mintalah keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun,” nasihat Salim.

“Aku kata jangan ajar aku. Engkau tak faham?!” marah Mak Siti berterusan.

“Saya saling ingat mengingatkan sesuai dengan firman Allah : Berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan kesabaran,” balas Salim.

“Engkau ajar dia ni,” arah Mak Siti kepada bajangnya.

Bajang itu menyeringai dengan lebih menggerunkan. Salim yang sejak tadi berdiri lurus sudah memasang kekudanya sejak tadi. Dia mendapat firasat beberapa minit lalu bahawa bajang itu akan menyerangnya. Hatinya basah dengan zikir dan kini mulutnya mula mengalunkan ayat kursi.

Bajang itu cuba menerkamnya tetapi terjatuh menggeletek di tanah sebelum tangannya sempat mencekau leher Salim. Mak Siti terkejut dengan keadaan itu. Dirinya juga diserang kepanasan serta merta. Dia berlari bersama bajang itu menjauhi Salim dan hilang di dalam remang matahari.

Jasad Mak Siti di dalam bilik misteri di tingkat bawah bergerak semula. Dia tersedar dalam keadaan terkejut. Kelihatan seperti orang kelemasan yang baru ditarik dari bawah air. Dia tercungap-cungap sambil menepuk-nepuk dadanya. Dia segera mencampakkan kain berwarna warni yang dijadikan kelubung itu.

“Sial engkau anak muda!” jerit Mak Siti dalam kesakitan, bahana memperkecilkan kemampuan lawan.

Di sudut bilik khas itu, bajangnya terbaring kesakitan dan keletihan dengan perut yang kembang kempis laju.

Peluh membintiki dahi Habshah yang tidur tengah hari itu. Sesekali kepalanya menggeleng-geleng resah. Kedua belah kelopak matanya pula bergetar-getar gelisah. Sesekali terdengar dia mengigau. Tangannya tercekau-cekau.

Habshah sedang bermimpi. Bermimpi tentang apa sebenarnya yang berlaku pada masa silam.

Beberapa orang lelaki melihat Habshah dengan penuh berahi. Mereka duduk di sepanjang jalan masuk ke rumah sewanya. Seorang daripadanya bersiul gatal. Seorang lagi mengenyit mata berulang kali. Seorang lagi pula galak melakukan flying kiss. Dan seorang lagi iaitu Johan memandang tajam sekejap ke arahnya dan sekejap ke arah tiga orang lelaki lain itu.Seperti selalu cemburu menyelinap masuk ke dalam hati pemuda itu. Hatinya bagaikan dihiris-hiris kerana terpaksa berkongsi melihat lenggokan Habshah di dalam kebaya pendek itu.

Malamlah sudah. Bulan penuh tergantung indah.

“Engkau tahu Johan,” kata Rashid sambil melihat ke arah rumah sewa Habshah.

Johan tidak membalas kata-kata Rashid itu. Matanya tetap pada rumah sewa Habshah. Ada sesuatu yang meresahkannya sejak malam tadi. Khabar angin yang bertiup kencang menyatakan bahawa Habshah menonton wayang bersama Zaki di Kuala Lumpur siang tadi. Beberapa orang kawan terserempak dengan mereka berdua.

“Aku dengar Habshah keluar dengan Zaki siang tadi. Tertutuplah peluang engkau. Zaki tu pengurus kilang. Engkau pula walaupun kerja di bank tetapi kerani cabuk sahaja,” sambung Rashid.

Johan mendengus dan kemudian mengalihkan pandangannya kepada Rashid yang duduk di sisinya di atas tangga itu.

Rashid hanya tersengih. Tidak berapa terkesan dengan dengusan dan pandangan tajam Johan itu. “Aku cakap yang betul Johan…” sambungnya lagi.

Johan mengeluh panjang pula. Dia tidak jadi marah. Kewarasannya menyatakan apa yang dikatakan oleh Rashid itu benar. Harapannya ditahap bahaya jika pesaingnya adalah Zaki. Habshah pasti memilih Zaki yang bukan sahaja berjawatan tinggi tetapi kacak dan berkereta pula.

“Engkau hendak buat apa?” tanya Rashid.

“Buat apa?’ tanya Johan. Berpura-pura tidak faham maksud Rashid.

“Engkau nak biarkan sahaja Habshah tu terlepas ke tangan Zaki? Zaki tu pun bukan lelaki baik. Hidung belang. Banyak perempuan yang sudah dinodainya. Pakai dan buang macam tu sahaja. Malah aku biasa tengok beberapa orang perempuan yang pernah jadi pasangannya itu lebih cantik daripada Habshah,” kata Rashid.

“Jadi?” tanya Johan seolah tidak ambil pusing.

“Engkau hendak biarkan Habshah terima nasib yang sama? Engkau mesti bertindak sebelum Habshah terbuai dengan kata-kata manis Zaki. Sebelum dia layu terkena sentuhan Zaki,” jawab Rashid.

“Tetapi Habshah pandang aku sebelah mata sahaja. Kalau boleh aku memang mahu jadikan dia teman hidup aku tetapi malangnya hatinya tidak pada aku,” jawab Johan, terus terang pula.

“Aku ada cara jika engkau betul-betul mahu jadikan dia sebagai teman hidup sampai bila-bila. Dia boleh suka engkau dalam sekelip mata sahaja,” kata Rashid.

“Macam mana tu?” tanya Johan.

“Mak tiri engkau bomoh besar. Tak kan engkau tak tahu…” balas Rashid.

“Maksud engkau minyak pengasih?” tanya Johan.

“Minyak dagu!” balas Rashid.

Johan diam memikirkan sesuatu. “Tapi…”

“Tapi apa Johan? Engkau buat pun bukan nak aniaya dia. Engkau sayangkan dia kan?” pintas Rashid.

Johan mengangguk.

“Engkau nak selamatkan dia daripada Zaki kan?” tanya Rashid.

Johan mengangguk.

“Inilah caranya. Orang takkan perasan. Kalau engkau guna minyak dagu tu masa dia sudah bercinta dengan Zaki nanti orang pelik pula. Ya lah tiba-tiba sahaja Habshah beralih arah kepada engkau yang bukan sesiapa ni,” kata Rashid.

Johan mengangguk-angguk setuju. “Engkau ada ke benda tu?”

“Buat apa pulak aku nak simpan benda macam tu,” kata Rashid.

“Jadi mana aku nak dapat benda tu?” tanya Johan.

Rashid menggelengkan kepala. “Aku tengok engkau ni memang dah angau teruk pada Habshah tu. Eloklah selesaikan cepat. Sampai sudah tak boleh hendak berfikir ni. Mak tiri engkau kan ada. Mintaklah daripada dia.”

“Daripada dia?” tanya Johan.

“Iya lah. Siapa lagi? Aku dengar dia ada buat minyak dagu tu. Minyak dagu dia tu berkesan. Tak sampai setengah jam sampailah perempuan yang engkau calit tu pada pangkuan engkau. Hanya orang yang tahu sahaja boleh dapatkannya. Dia tidak jual pada sembarangan orang. Harganya pun mahal. Tetapi takkan dia hendak berkira dengan engkau kan,” beritahu Rashid.

Johan menggaru kepala. “Tak boleh dapatkan daripada orang lain?”

“Kenapa engkau enggan dapatkan daripada dia?” tanya Rashid, kehairanan.

“Payahlah kalau adik beradik tahu aku dapatkan Habshah dengan jalan tak elok begitu. Lagi bagus kalau kita berdua saja tahu,” jawab Johan.

“Engkau sanggup ke Siam?” tanya Rashid.

“Sanggup. Kenapa?” tanya Johan.

“Kita ambik dari sami siam. Aku kenal budak utara yang boleh bawa kita ke sana. Kalau engkau setuju nanti aku aturkan perjalanan kita,” kata Rashid.

Johan mengangguk setuju. Berahi cinta dan niat kononnya hendak menyelamatkan Habshah daripada Zaki menghalalkan cara. “Bila paling cepat?” tanyanya.

“Hujung minggu ni. Kita gerak pagi sabtu,” jawab Rashid.

Johan bersetuju.

Di daerah Betong, selatan Siam, lolongan anjing di kejauhan memecah kesunyian malam yang sunyi itu. Di bawah remang cahaya bulan penuh itu, kelihatan empat orang pemuda sedang meredah sebuah kawasan perkuburan. Seorang pemuda yang berjalan paling hadapan dengan lampu suluh memeriksa kawasan perkuburan itu.

“Di sana tu,” kata pemuda itu sambil menunjuk ke arah sebuah kubur yang masih baru. Kubur itu adalah kubur seorang perempuan mengandung anak sulung yang mati bersama janinnya siang tadi.

Keempat-empat orang pemuda itu bergegas ke kubur tersebut. Sami Cha, seorang sami muda yang tinggi ilmu batinnya segera mengambil tempat berdekatan kubur tersebut. Mulutnya tidak berhenti membaca mantera dalam bahasa siam sambil melemparkan campuran beras kunyit, pasir pantai dan buah lenga. Pembantunya, tiga orang pemuda yang bertelanjang bulat itu tergesa-gesa menggali kubur tersebut. Bunyi letap ranting patah dan kersik daun gugur dipijak sesuatu kedengaran di sekitar kawasan perkuburan tersebut. Bunyi lolongan anjing kedengaran galak. Disertai dengan bunyi perempuan menangis, bayi merengek dan deram suara sesuatu yang seperti sedang memerhati mereka berempat. Mereka tidak menghiraukan gangguan jin itu. Selepas beberapa lama menggali akhirnya mayat perempuan mati mengandung anak sulung itu pun terdedah. Ketiga-tiga pemuda itu segera menaikkan mayat tersebut dari liang kubur dan segera membawanya ke hutan kecil yang bersempadan dengan kawasan perkuburan itu.

Mereka bertiga mengikat mayat itu pada sebatang pokok. Sami Cha terus membaca mantera sambil melemparkan campuran beras kunyit, pasir pantai dan buah lenga ke sekitar kawasan tersebut. Dua orang pemuda tadi masing-masing memegang tangan kanan dan kiri mayat itu. Seorang pemuda lagi menyalakan lilin.

Lilin sudah dinyalakan. Sami Cha menganggukkan kepala mengisyaratkan upacara selanjutnya akan diteruskan. Dia segera melayurkan api lilin pada dagu mayat itu. Dia membaca mantera dengan lebih kuat. Angin bertiup kencang dengan tidak semena-mena. Pelbagai suara yang mengerikan kedengaran. Lemak pada dagu mayat yang dilayur dengan api lilin itu pun pecah lalu minyaknya menitis ke dalam tempurung jantan kelapa yang ditadah di bawah dagu mayat itu.

Sami Cha terus membaca mantera dengan lebih kuat sambil mencampakkan campuran beras kunyit, pasir pantai dan buah lenga ke sekitar. Angin yang menderu kuat tiba-tiba berhenti sebaik cecair dari lemak dagu mayat itu cukup sebotol kecil minyak wangi. Mata mayat itu terbuka mengejut. Mayat itu meraung kesakitan dan kemudian menderam marah. Mayat itu meronta tetapi sia-sia kerana kedua-dua belah tangannya sudah dipegang oleh dua orang pemuda berhati kering itu.

“Kenapa engkau buat begini kepada aku?!” tanya mayat itu.

“Aku inginkan pertolongan engkau,” kata Sami Cha. Senyuman terselit di hujung bibirnya.

“Pulangkan apa yang engkau ambil daripada aku!” jerit mayat itu.

“Engkau jadikan minyak ini mujarab. Pastikan ia penuh setiap kali bulan mengambang penuh!” tegas Sami Cha itu.

Mayat itu mengalah dengan permintaan Sami Cha.

Titisan lemak dagu itu dicampurkan dengan beberapa bahan lain untuk dijadikan minyak dagu. Kemenyan dibakar. Asapnya menerawang dan baunya merebak memenuhi ruang. Sami Cha terus membaca mantera sambil memperasapkan campuran itu. Campuran itu dipuja dan selepas beberapa lama siaplah apa yang dipanggil minyak dagu itu.

“Minyak ini sudah ada tuan punyanya. Dia datang ambil tulat. Upah engkau bertiga aku bagi tulat,” kata Sami Cha.

Selepas perjalanan yang berjam-jam lamanya, akhirnya Johan, Rashid dan Dahari pun sampai ke rumah Sami Cha di Bentong itu. Kini mereka berada di dalam bilik khas sami muda itu. Bilik itu dihiasai dengan kain-kain yang bertulis mantera-mantera. Ia juga dikelilingi oleh patung-patung Buddha di setiap penjuru. Pelbagai barangan pemujaan diletakkan di tengah-tengah bilik itu. Di hadapan barang pemujaan itu, Sami Cha sedang duduk bersila mengadap mereka bertiga.

“Aku sudah masukkan minyak tu dalam tanah liat keras ni. Aku juga sudah jampikan ia. Supaya engkau selamat bawanya balik ke Klang walaupun dalam hujan dan ribut nanti,” beritahu Sami Cha.

Johan melihat seketul tanah liat yang dibalut dengan kain kuning di hadapannya itu. Hatinya terbersit : Benarkah di dalam tanah liat tu ada minyak dagu itu?

“Aku takkan tipu engkau,” kata Sami Cha sambil merenung tajam muka Johan.

Johan terperanjat ditegur begitu. ‘Bagaimana dia boleh tahu apa yang ada di dalam hati aku? Hebat!’ kata hatinya.

“Kalau tak digunakan nanti, engkau tanam dalam tanah. Kalau engkau simpan dalam rumah, petir pasti sambar rumah engkau,” sambung Sami Cha lagi.

Johan mengangguk-angguk. Dia semakin takjub dengan Sami Cha. Ilmu pemuda di hadapannya itu memang hebat. Tanpa diberitahu sami muda itu tahu dialah orang yang akan membeli minyak dagu itu. Bukankah itu ajaib?

“Aku rasa elok engkau bertiga beredar segera. Akan hujan dan ribut ni,” kata Sami Cha itu.

Mereka bertiga berasa hairan dengan kata-kata Sami Cha itu. Langit cerah dan awan hanya bergaris nipis ketika mereka masuk ke dalam rumah Sami Cha tadi. Tidak ada tanda hari akan hujan dan ribut.

“Berapa?” tanya Rashid.

“Engkau pun tahu berapa nilainya,” jawab Sami Cha. “Engkau sudah sediakan duitnya bukan? Berilah semua duit yang telah engkau sediakan dalam beg itu,” sambungnya sebaik memandang semula Johan.

Johan menggeleng-geleng. Hampir tidak percaya yang Sami Cha tahu segalanya. Dia segera mengeluarkan duit yang sudah disediakan dari dalam beg galasnya itu. Duit bertukar tangan dan minyak dagu bertukar tuan.

Mereka segera beredar dari rumah Sami Cha. Kira-kira sepuluh kilometer dalam perjalanan pulang, hujan dan ribut pun melanda. Petir sambar menyambar dan guruh berlawan tingkah. Keadaan cemas itu berlanjutan dari selatan siam hingga ke Klang.

Dia sudah pun mengambil botol minyak dagu yang ditanamnya dalam tanah di bawah rumah semalam. Botol itu diletakkannya di dalam poket. Sekarang dia teragak-agak untuk menegur Habshah yang dilihatnya sedang duduk santai di hadapan rumah sewanya. Dia kelihatan ingin keluar dan sedang menunggu seseorang.

“Jangan tunggu lagi. Pergi cepat!” tolak Rashid sehingga dia menapak beberapa langkah ke hadapan.

Keadaan Johan itu memancing perhatian Habshah yang kebetulan sedang meninjau ke arah jalan menunggu seseorang datang mengambilnya untuk ke bandar. Pandangan mereka bertaut di kejauhan. Johan mengangkat tangan, menyapa. Sapaan itu dibalas oleh Habshah sambil tersenyum. Entah dari mana timbul kekuatan dan keberanian Johan untuk melangkah ke arah Habshah selepas mencapai segugus buah rambutan. Dia mengambil botol minyak dagu dari dalam poket seluarnya dan mencalitnya ke jari manisnya. Lalu tergesa-gesa memasukkan kembali botol minyak dagu itu ke dalam poket seluarnya.

Kini Johan sudah berada di hadapan rumah sewa Habshah. Dia tersenyum kepada Habshah.

“Hendak ke mana Sah?” tanya Johan seolah-olah sudah biasa sangat menegur dan berbual dengan gadis itu.

“Hendak ke bandar, Johan,” kata Habshah sambil meninjau-ninjau ke arah jalan. “Saya sedang tunggu kawan datang ambil. Janji lima belas minit yang lalu. Tapi sampai sekarang belum nampak batang hidung,” sambungnya. Kali ini mata gadis menawan itu pada muka Johan. Disertai pula dengan senyuman yang manis bak madu itu.

Johan tersenyum. Hatinya berbunga menerima senyuman manis Habshah itu. Dia terpegun sebentar.

“Kenapa Johan?” tanya Habshah disertai lirikan manja. “Rambutan itu untuk saya? Buah tangan sebelum saya berpindah dari sini.”

Johan tersedar lalu terkejut. “Ya,ya. Sah nak pindah? Ke mana?” katanya sambil menyerahkan gugusan rambutan.

Habshah menyambut gugusan rambutan itu. Tangannya bersentuhan dengan jari Johan yang tercalit minyak dagu. “Saya akan tinggal dengan abang dan kakak nanti.”

Sebuah kereta bergerak laju di atas jalan kecil bertar di hadapan mereka. Membrek mengejut sebaik membelok masuk ke halaman rumah sewa Habshah. Dari dalam kereta itu keluar Zaki yang bergaya bersama kaca mata hitamnya. Zaki terus mendekati Habshah dan Johan.

“Maaf I terlambat. Shall we?” tanya Zaki kepada Habshah tanpa menghiraukan kehadiran Johan di situ. Baginya Johan bukan sesiapa jika berbanding dirinya.

Sorry Zaki. I rasa tak sedap badanlah. Tiba-tiba sahaja,” kata Habshah.

Johan meminta diri. Habshah membiarkan Johan pergi. Bila dia menoleh semula dilihatnya Habshah sudah pun masuk ke dalam rumah sewanya. Zaki yang dibiarkan keseorangan di halaman rumah kelihatan terpinga-pinga. Saingan Johan itu berlalu hampa. Telinga Johan menangkap bunyi keriuk cermin tingkap dibuka. Dia dapat melihat kelibat Habshah melalui bukaan cermin itu.

Lima belas minit kemudian pintu rumah sewa Johan pun diketuk orang. Johan terus bangun dari sofa dan membuka pintu. Bibirnya mengukir senyuman sebaik melihat Habshah di muka pintu.

Sejak itu Habshah dan Johan menjadi sepasang kekasih. Ia mengejutkan ramai orang termasuk Zaki yang amat yakin Habshah sudah berada di dalam genggamannya.

Selepas beberapa lama, Johan pun terdengar kata-kata orang yang menuduhnya menggunakan guna-guna untuk mendapatkan Habshah. Ada khabar angin menyatakan bahawa Zaki akan bertemu sendiri dengan abang ngah Habshah untuk memberitahu apa yang sedang berlaku kepada Habshah.

Khabar angin itu menyebabkan Johan tidak senang duduk. Dia perlu bertindak segera untuk menawarkan kesan minyak dagu terhadap Habshah agar rahsianya tidak terbongkar. Dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan cintanya dengan Habshah. Dia, Rashid dan Dahari kembali ke rumah Sami Cha. Tetapi hampa bila diberitahu Sami Cha tiada di situ dan hanya akan pulang beberapa bulan lagi.

Mereka mencari beberapa orang sami lain yang mungkin dapat menawarkan minyak dagu Sami Cha itu. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang sanggup untuk menawarkan minyak dagu Sami Cha itu.

Mereka pulang ke Klang dengan hampa. Sedangkan masa semakin suntuk. Khabar angin terbaru menyatakan Zaki akan berjumpa dengan abang ngah Habshah dua hari lagi sekembalinya lelaki itu daripada berkursus.

“Engkau dah tak ada cara lain Johan. Engkau mesti minta tolong daripada Mak Siti. Aku yakin dia mampu tawarkan,” kata Rashid.

Johan mengeluh dalam. Tetapi dia terpaksa juga mengadap Mak Siti.

“Benda ni bukan benda main-main Johan,” kata Mak Siti sebelum sempat Johan membuka mulut untuk memberitahu hajatnya kepada mak tirinya itu. “Sekarang engkau nak tawarkan minyak dagu tu kan?” sambungnya sambil melihat tajam Johan. Johan yang terkejut menelan air liur dan mengangguk teragak-agak. “Kalau engkau lambat tawarkan, dia akan sedar sendiri walaupun ambil masa. Saka dia pun bukan calang-calang. Dia tak tahu tetapi mak tahu dia ada saka yang jaga dia dari jauh. Saka keturunan dia.”

Johan menelan air liur lagi. “Jadi mak boleh tolong saya?”

Mak Siti diam beberapa ketika. Ini mengundang rasa tidak senang di hati Johan sehingga mula berasa putus asa. “Mak akan tolong. Engkau bukan sahaja nak minta tawarkan minyak dagu tu kan?”

“Ya,” jawab Johan yang lega. “Kalau boleh saya nak dia tetap bersama saya. Saya cintakan dia mak,” sambungnya yang sudah tidak malu-malu lagi.

“Mak faham tu. Malam ni mak tawarkan dan buatkan dia terus suka pada engkau. Tetapi sebelum kahwin engkau mesti bawa dia jumpa mak. Mak nak kuatkan hubungan engkau berdua supaya perkahwinan engkau berdua kekal nanti. Mak suka dia ni,” kata Mak Siti.

Johan bersetuju sambil tersenyum panjang.

Mak Siti pula tersenyum di dalam hati. Kemudian memberi pesan : “Minyak dagu yang engkau ambil dari sami siam tu jangan diguna lagi. Tanam dalam tanah.”

Johan dilihat sedang menanam botol minyak dagu di perdu pokok mempelam di halaman rumah mereka.

Mimpi pertama itu tamat di situ. Tidur Habshah tenang seketika sebelum dijerkah tiga mimpi lain yang kembali menyentakkan. Mimpi-mimpi itu berlangsung dengan begitu pantas.

Mimpi kedua : Habshah kelihatan sedang berkemban di dalam bilik rawatan di tingkat atas rumah Mak Siti. Dinding-dinding di situ ditutup dengan kain-kain berwarna merah, kuning, hijau dan lain-lain. Mak Siti masuk ke dalam bilik khas itu. Diekori oleh satu lembaga yang amat besar dan tinggi. Lembaga yang amat besar dan tinggi itu membawa sebuah tempayan berisi air bunga. Ia meletakkan tempayan itu di tengah-tengah bilik. Kemudian ia berdiri di salah satu bucu bilik rawatan itu. Di bucu lain pula berdiri pantas di awan yang boleh meninggi sehingga mencecah awan dan mempunyai kudrat yang amat kuat. Di bucu yang berikutnya tercongok seekor jembalang tanah. Di bucu terakhir pula berdiri bajang. Habshah yang berada di dalam mimpi itu tidak menghiraukan keadaan itu kerana dia tidak nampak makhluk-makhluk halus itu.

Habshah mandi bunga. Mak Siti yang memandikannya. Orang tua itu tersenyum sambil membaca mantera entah apa bermula dari saat mencedok air bunga dari dalam tempayan dengan gayung sehingga mencurahkannya ke badan Habshah sehingga selesai. Pada siraman yang keenam, dari badan Habshah itu tidak semena-mena terpelanting keluar seorang perempuan muda yang amat cantik paras rupanya. Lembaga itu tercungap-cungap seperti keletihan. Tetapi tidak lama kemudian tubuh lembaga itu bergoncangan lalu ia menangis teresak-esak.

Mak Siti membawa Habshah keluar dari bilik rawatan itu. Katanya upacara buang sial, naikkan semangat dan buang saka itu sudah selesai. Habshah kelihatan gembira sambil mengenakan bajunya di bilik tidur. Dia memang berasa dirinya segar dan bersemangat. Mak Siti meninggalkannya di situ dan terburu-buru kembali ke bilik rawatan. Saka keturunan Habshah masih menangis teresak-esak.

“Keturunan dia memang sudah tidak mahukan engkau. Habshah yang cuba engkau dekati dan sebatikan diri itu juga tidak mahukan engkau,” kata Mak Siti, bersila kemas di hadapan meja pemujaan.

Saka itu menjegilkan mata. Matanya yang merah dan pandangannya yang menyeramkan itu disambut dengan senyuman oleh Mak Siti. Mak Siti tahu dia berdepan dengan apa. Dia tahu saka itu bukan calang-calang.

“Berkhidmatlah kepada aku…” pujuk Mak Siti.

Saka itu menderam keras. Sesekali dia mengerling tajam ke empat-empat bucu bilik khas itu. Pendamping-pendamping Mak Siti siap siaga dengan sebarang kemungkinan. Dalam masa sela sesaat ia terus menerkam Mak Siti. Keempat-empat pendamping Mak Siti gagal menahan terkaman saka itu. Tetapi sebelum kuku tajam saka itu sampai ke dada Mak Siti, tidak semena-mena lembaga itu rebah ke lantai.

“Kalau aku mahu aku boleh paksa engkau,” kata Mak Siti yang arif dalam ilmu menunduk segala jin itu. “Tetapi aku tidak mahu buat begitu. Aku mahu engkau berkhidmat dengan aku secara rela. Aku akan jadikan engkau ketua bagi keempat-empat mereka,” pujuk Mak Siti lagi.

Saka itu terus menderam. Tetapi deramnya sudah tidak sekeras tadi. Kemudian ia bersetuju. Persetujuan yang datang bersama syarat.

“Engkau sebutkan,” kata Mak Siti setelah bersetuju dengan permintaan saka itu.

“Sampai masa aku mahukan korban manusia. Korban manusia itu mestilah pengkhianat itu dan kerabatnya,” kata saka tersebut.

Mak Siti tidak mengangguk pada mulanya. Hanya setelah ditenung tajam saka itu barulah dia mengangguk kecil.

“Jika engkau sanggup aku akan taat sampai bila-bila. Engkau sanggup?” tanya saka itu.

“Ya, aku sanggup,” jawab Mak Siti. Dia memang sudah lama menginginkan pendamping langsuir yang hebat bagi membantunya membuat kerja-kerja santau yang lebih berkesan.

Saka itu kelihatan tersenyum puas dalam wajahnya yang amat mengerikan.

Mimpi ketiga : “Sah mahu susuk biasa yang pakai berlian atau emas itu atau susuk keramat?” tanya Mak Siti lalu tersenyum sambil memegang lembut tangan Habshah.

“Susuk keramat?” tanya Habshah. Dia baru dengar susuk itu.

Mak Siti mengangguk. “Ia lebih hebat daripada susuk logam yang selalu dipakai orang tu…”

“Begitu?” tanya Habshah yang ghairah ingin tahu.

Mak Siti mengangguk lagi. “Susuk keramat boleh buatkan muka engkau jadi siapa sahaja yang engkau mahukan. Saling tidak tumpah.”

“Kalau saya mahu jadi seperti Uji Rashid?” tanya Habshah.

“Boleh,” jawab Mak Siti dengan penuh yakin.

“Boleh?” tanya Habshah yang teruja benar.

Mak Siti mengangguk dengan penuh yakin. “Asalkan semua perkara untuk membuat santau keramat itu dipenuhi,” katanya kemudian.

“Apa bahan utama untuk santau keramat tu mak?” tanya Habshah.

“Bahan utamanya ialah sesiapa yang engkau ingin jadi itu. Jika Sah mahu jadi seperti Uji Rashid, maksudnya Uji Rashidlah bahan utamanya,” jawab Mak Siti.

“Maksud emak?” tanya Habshah yang kebingungan.

“Uji Rashid perlu dikorbankan untuk Sah. Roh Uji Rashid akan masuk ke dalam badan Shah. Bila ia sebati muka Sah akan bertukar saling tak tumpah seperti muka Uji Rashid,” jawab Mak Siti dengan lewa.

Habshah terkejut sehingga mukanya pucat pasi.

Mak Siti tersengih melihat reaksi Habshah. Dia memang sengaja mengumpan Habshah dengan susuk keramat itu. Mahu menguji sejauh mana kesanggupan Habshah untuk bersekutu dengan syaitan.

“Mahu ke tak susuk keramat?” tanya Mak Siti.

Habshah menggelengkan kepala. Wajahnya masih pucat pasi. “Pakai susuk berlian sudahlah mak.”

Mak Siti tersenyum kemudian mengangguk. “Kita mulakan sekarang.”

Habshah mengangguk setuju. Lalu ritual memasukkan susuk berlian itu pun dimulakan. Berlian-berlian itu dimasukkan ke dalam pipi, dagu, mata, punggung dan alat sulit Habshah. Selepas semua ritual itu selesai Habshah berdiri megah di hadapan cermin. Dia melihat dirinya yang berseri-seri tetapi perlahan-lahan berbalam-balam dilihatnya dirinya tenggelam timbul di antara dirinya yang sebenar dengan satu lembaga yang amat hodoh dan mengerikan.

Mimpi keempat : Kelihatan sebuah patung jerami pada tangan seseorang. Kedengaran suara seorang wanita sedang membaca mantera entah apa. Sebatang jarum peniti dicucuk tepat pada bahagian dada kiri patung jerami itu. Serta merta gambaran Habshah yang sedang kesakitan sambil memegang payu dara kirinya terpancar. Sebatang jarum peniti lain dicucuk pada dada kanan patung jerami itu. Serta merta pula gambaran Habshah yang sedang kesakitan sambil memegang payu dara kirinya terpancar.

“Aku sudah laksanakan janjiku.” Suara seorang wanita kedengaran.

Saka keturunan Habshah yang melihat ritual sihir patung itu dilakukan sejak tadi kelihatan mengangguk dan tersenyum. “Aku akan abdikan diri aku pada engkau. Aku mahu engkau seksa dia dahulu. Kemudian baru bunuh.” Kemudian kedengaran dia ketawa mengilai.

“Aku akan kerahkan pendamoping aku ini memusnahkannya sedikit demi sedikit.” Suara wanita itu kedengaran membalas. Seekor bajang ditunjukkan pada waktu itu.

“Kenapa tidak engkau sendiri?” tanya saka itu.

“Ilmuku dalam permainan patung ini belum cukup masak. Aku baru mencuba-cuba.” Suara wanita itu kedengaran menjawab, ragu-ragu.

Keadaan menjadi gelap gelita. Kelihatan bajang sedang menyerigai. Dan berbalam-balam di belakang bajang itu ialah perempuan tua yang amat dikenali Habshah. Perempuan tua itu tak lain tak bukan ialah Mak Siti!

“Pergi sayang. Kerjakan dia…” kata Mak Siti.

Bajang itu menghampiri Habshah yang sedang tidur di atas katil.

Habshah terjaga mengejut dari mimpi ngeri itu. Nafasnya tersangkak-sangkak. Badannya melengas dibasahi peluh. Matanya melingas dalam ketakutan. Memanggil Bibik Aminah dengan tergesa-gesa. Bibik Aminah yang tidur di lantai berdekatan mendapatkannya dengan terburu-buru.

“Kenapa puan,” tanya Bibik Aminah terburu-buru.

Habshah menceritakan mimpi-mimpinya itu kepada Bibik Aminah. “Apa pendapat bibik?” tanyanya sebaik habis bercerita. Pipinya dibasahi air mata yang sukar dibendung.

“Saya tidak tahu apa saranan yang harus diberi puan. Puan buatlah keputusan yang terbaik untuk semua,” jawab Bibik Aminah.

Habshah berfikir sejenak sebelum berkata semula, “Hari ni saya nak minta berpindah semula ke rumah Mak Siti. Esok bibik balik rumah. Pergi sana awal pagi ni. Pastikan anak-anak dan suami saya semua sudah keluar rumah. Bibik korek tanah pada perdu pokok mempelam tu. Tengok ada ke tak botol minyak dagu tu.”

Bibik Aminah menelan air liur. Dia berasa sedikit bimbang tentang apa yang akan berlaku.

“Boleh bibik? Tolong saya bibik…” rayu Habshah.

Bibik Aminah mengangguk juga.

“Lepas bibik balik sini, kita buat satu rancangan supaya bibik boleh jenguk pula bilik khas mak di tingkat bawah tu. Tengok ada ke tak patung jerami macam dalam mimpi saya tu. Saya tak pernah nampak dia guna patung jerami selama ni,” kata Habshah lagi yang lebih kepada arahan.

Air liur Bibik Aminah melorot ke dalam kerongkong dengan lebih laju.

“Boleh?” tanya Habshah.

Bibik Aminah mengangguk terpaksa.

Habshah kembali ke rumah Mak Siti. Mak Siti menerima hasratnya untuk tinggal semula di rumahnya dengan gembira sekali.

Bibik Aminah bertolak dari rumah Mak Siti sebelum tanah cerah. Dia berjaya mendapatkan teksi selepas tidak berapa lama menunggu di perhentian bas dan teksi berdekatan. Teksi itu terus dipandu ke rumah Habshah. Teksi itu berselisih dengan kereta Johan. Johan kelihatan memandu laju. Dia agak terlewat sedikit untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah sebelum akan bergegas pula ke pejabat. Dia ada mesyuarat pada pagi itu.

Bibik Aminah segera ke belakang rumah sebaik sampai di rumah Habshah. Mengambil cangkul kecil di situ dan terus ke satu-satunya pokok mempelam yang ditanam Johan sebaik menduduki rumah itu. Kini pokok mempelam itu sudah besar dan peliknya tidak pernah berbuah. Mungkinkah itu ada kaitan dengan apa yang ada pada perdunya itu jika mengikut mimpi Habshah?

Bibik Aminah berdiri lama di pokok mempelam itu. Hari sudah mulai cerah. Dia teragak-agak dan diserang keseraman secara mengejut. Bulu romanya merinding. Dia menarik nafas berkali-kali. Terlintas untuk melumatkan permintaan Habshah. Tetapi tidak sanggup hendak melanggar amanah. Dia kuatkan hati dan semangat. Beristighfar berkali-kali. Membaca Al-Fatihah dan ayat kursi. Dia mengangkat cangkul dan menghayunkannya ke tanah pada perdu di hadapannya. Sambil mulutnya tidak henti mengucapkan kalimah tauhid lailahaillah.

Selepas beberapa lama mencangkul tidak ditemuinya sebarang botol pada bahagian perdu pokok mempelam yang dicangkulnya itu. Dia menimbus semula lubang yang digali. Kemudian beralih ke bahagian lain perdu. Juga tidak ditemuinya sebarang botol di situ. Dia beralih ke bahagian lain perdu. Terus mencangkul kawasan tersebut dengan bersungguh-sungguh. Mulutnya masih tidak lekang menyebut kalimah tauhid lailahaillallah. Akar tunjang dan akar-akar cabang pokok mempelam pada bahagian itu terserlah pada pandangan matanya. Tetapi botol minyak dagu seperti yang dimimpikan oleh Habshah itu masih belum ditemui. Dia mengeluh kerana mimpi Habshah itu sekadar mainan tidur. Dia menyesal kerana ikut percaya dengan apa yang dipercayai oleh Habshah. Dia lega kerana Johan tidak seperti di dalam mimpi itu.

Bibik Aminah menimbus semula lubang yang dicangkulnya pada bahagian terakhir perdu itu. Kilat menyambar pantas secara mengejut dan diikuti guruh yang berdentum. Dia terkejut lalu menimbus lubang yang masih terlopong itu dengan lebih pantas. Dalam kekalutan itulah pandangannya tertangkap tanah yang berbentuk. Tanah yang berbentuk seperti botol itu perlahan-lahan relai. Hujan turun secara mendadak. Dia yang terpaku membiarkan dirinya dibasahi hujan. Matanya tertumpu lama pada bentuk tanah seperti botol minyak wangi itu. Air hujan mencairkan tanah yang berbentuk itu. Lalu apa yang di dalamnya perlahan-lahan terserlah. Ia botol minyak wangi!

Bibik Aminah segera mengambil botol minyak wangi itu. Dia masuk ke dalam rumah Habshah terlebih dahulu untuk mandi dan menyalin pakaian baharu sebelum kembali ke rumah Mak Siti. Ketika di dalam bilik air, di antara deru air yang keluar meloncat dari kepala paip ke kolah, dia terdengar namanya dipanggil. Dia menajamkan pendengaran. Panggilan itu tidak berulang. Dia terus mandi. Kali ini telinganya menangkap lagi suara seseorang memanggil namanya. Dia segera menutup kepala paip. Dia menajamkan pendengaran sekali lagi.

“Bibik… Bibik… Bibik…”

Kali ini dia mendengar jelas suara itu. Dia segera mencapai tuala dan keluar dari bilik air. Kilat yang memancar terang menyelinap masuk ke dalam rumah Habshah itu. Rumah itu berasa bergegar sebaik guruh berdentuman. Dia segera memakai baju dan mencapai beg tangan. Dia keluar dari bilik tidurnya. Lampu yang terpasang di tingkat atas itu terpadam. Rumah teres dua tingkat itu gelap.

Bibik Aminah turun dengan tergopoh-gopoh ke tingkat bawah. Ketika berada di separuh tangga dia dengar bunyi dentuman yang amat kuat di atas siling. Kemudian dia mendengar sesuatu sedang berjalan di atas siling itu. Serentak itu pula hidungnya mula tercium bau gaharu colok yang sedang dibakar. Kini dia terdengar pula suara perempuan merintih kesakitan. Bulu romanya segera merinding.

Sebaik sampai di tingkat bawah Bibik Aminah sempat menoleh ke arah tangga. Cermin besar yang tergantung pada dinding tangga memantulkan imej sebahagian ruang keluarga di tingkat atas. Dia terkejut besar bila ternampak seorang perempuan muda berdiri memandang tajam ke arahnya melalui cermin tersebut. Dia bergegas ke pintu untuk keluar dari rumah itu. Sebaik pintu dibuka dia terkejut besar bila mendapati Johan berada di luar.

“Kenapa bibik balik?” tanya Johan.

“Saya ambil barang puan. Tetapi tidak ketemu barangnya,” jawab pembantu rumah itu tergagap-gagap.

“Saya tertinggal barang. Nasib baik mesyuarat ditunda ke sebelah petang. Bibik tunggu saya ambil barang dahulu. Nanti saya hantar bibik ke rumah Mak Siti,” kata Johan.

“Tak apa encik,” jawab Bibik Aminah.

“Hujan ni…” balas Johan.

“Encik hantar saya di perhentian bas sahaja. Nanti saya naik teksi ke rumah Mak Siti. Nanti encik lambat,” kata Bibik Aminah memberi alasan.

“Baiklah,” jawab Johan lalu segera masuk ke dalam rumah.

Bibik Aminah menunggu Johan dengan gelisah. Hujan semakin menggila. Kilat sabung menyabung dan guruh berdentum-dentuman. Dia memegang erat beg tangannya.

“Kenapa bibik pegang beg tangan tu macam tu?” tanya Johan.

Bibik Aminah terkejut ditegur Johan begitu. Dia tidak sedar yang Johan sudah pun berada di luar rumah itu semula. “Tak ada apa-apa encik,” jawabnya.

Johan siap memakai kasut. “Mari saya hantarkan bibik ke perhentian bas.”

Bibik Aminah berasa lega kerana Johan tidak menyoal lanjut. Dia diturunkan di perhentian bas. Berjaya menahan teksi dalam hujan lebat. Kemudian bergegas pulang ke rumah Mak Siti. Ketika dia turun dari teksi dalam hujan lebat itu, kilat memancar ke arahnya. Kilat itu hampir menyambar beg tangannya. Selepas itu guruh pula berdentuman kuat. Dia bergegas naik ke atas rumah untuk bertemu Habshah. Lalu memaklumkan apa yang ditemuinya itu kepada Habshah dengan serba payah.

“Jadi memang benarlah mimpi saya tu bibik…” kata Habshah dengan nada lemah. Dia kecewa dengan penemuan itu.

Bibik Aminah mengangguk dalam serba salah.

“Kamu ni dari mana?” Satu suara yang menegur dari belakang mengejutkan Habshah dan Bibik Aminah.

Mak Siti! Bibik Aminah menjerit di dalam hati. Mukanya berubah pucat.

“Engkau ni dari mana? Aku tak nampak engkau sejak pagi tadi,” kata Mak Siti lagi. Matanya meneliti Bibik Aminah atas bawah.

“Saya suruh bibik balik rumah, mak,” kata Habshah, menjawab bagi pihak Bibik Aminah yang masih kaku membisu itu.

“Kenapa?” tanya Mak Siti, tidak berapa puas hati dengan jawapan Habshah itu.

“Saya minta dia tengokkan rumah. Bersih ke tidak. Kemas ke tidak,” jawab Habshah.

Mak Siti meneliti Bibik Aminah atas bawah sekali lagi. Bibik Aminah cuba berlagak biasa. Tetapi tetap canggung. Mujur Habshah bijak memainkan peranan. Lekas meminta Bibik Aminah membawanya ke bilik air. Bibik Aminah segera melaksanakan apa yang diminta oleh Habshah.

Mak Siti tetap tidak berganjak dari ruang sorong itu. Dia memeriksa sekeliling. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia terpandang beg tangan Bibik Aminah yang tersadai di sisi katil. Berasakan sesuatu tetapi tidak sampai bertindak hendak memeriksa isi beg tangan itu.

“Kenapa mak?” tanya Habshah yang sudah pun berada di ambang pintu untuk turun ke bilik air ke tingkat bawah.

Perhatian Mak Siti teralih kepada Habshah dan Bibik Aminah. “Tak ada apa-apa,” jawabnya lalu turun ke tingkat bawah.

Habshah dan Bibik Aminah sudah berada di dalam bilik air. Mak Siti pula masuk ke dalam bilik khasnya seperti yang dilakukannya pada setiap pagi.

“Bibik mesti cepat masuk dalam bilik khas tu. Cari patung jerami,” kata Habshah, menamatkan penerangan rancangan seterusnya kepada pembantu rumahnya itu.

Bibik Aminah mengangguk. Dia berani dalam ketakutan.

“Bersedia bik?” tanya Habshah.

Bibik Aminah menarik dan melepaskan nafas dua tiga kali. Selepas itu baru dia mengangguk.

“Okey, kita mulakan,” kata Habshah.

Bibik Aminah meluru keluar dari bilik air. Dia berlari kalut sambil mulutnya menjerit-jerit memanggil Mak Siti. Mak Siti meluru keluar dari bilik khasnya bila mendengar namanya dipanggil. Terserempak dengan Bibik Aminah di ruang makan.

“Kenapa?” tanya Mak Siti.

“Puan, puan jatuh di dalam bilik air!” kata Bibik Aminah lalu terus menarik tangan Mak Siti untuk mengikutinya ke bilik air.

Mak Siti segera mengikuti Bibik Aminah.

“Aduh, sakit. Aduh…” Suara Habshah yang sedang mengeluh kedengaran dari dalam bilik air.

Mak Siti segera masuk ke dalam bilik air. Terus sahaja bercangkung untuk melihat keadaan Habshah yang terduduk di atas lantai bilik air itu. Habshah bersungguh-sungguh mengerang kesakitan.

“Kenapa ni Sah?” tanya Mak Siti, benar-benar mengambil berat.

“Jatuh tadi mak. Tergeliat kaki ni,” jawab Habshah lalu meraung semula.

Mak Siti menoleh untuk melihat Bibik Aminah.

“Bukan salah bik mak. Saya yang tak berhati-hati,” kata Habshah.

Mak Siti melihat pergelangan kaki kiri Habshah itu.

“Ambik minyak urut di dalam bilik aku,” kata Mak Siti kepada Bibik Aminah.

Bibik Aminah lekas beredar dari bilik air itu. Berlari gopoh gapah ke bilik khas Mak Siti. Dia menerpa masuk ke dalam bilik khas itu dengan ditemani ketakutan yang bukan kepalang.

Mak Siti pula terus memerhati pergelangan kaki kiri Habshah itu. Dia menyentuh pergelangan kaki kiri Habshah itu. Habshah meraung kesakitan. Mak Siti kehairanan.

“Sakit sangat ke?” tanya Mak Siti.

Habshah mengangguk.

Mak Siti terus kehairanan. Hasil tilikan sepintas lalu menyatakan bahawa pergelangan kaki Habshah itu tidak apa-apa. Lain benar tindak balas Habshah berbanding tilikannya itu. Tetapi pada waktu ini dia lebih percayakan Habshah berbanding tilikannya itu. Kadang-kadang tilikannya itu memang boleh tersasar. Lagi pula dia memang percayakan Habshah sejak dulu. Menantu tirinya itu tidak pernah berbohong kepadanya. Malah dia menganggap Habshah lurus orangnya. Begitu percayakan dirinya. Dia sukakan Habshah. Oleh kerana itulah dia teragak-agak hendak menuruti kehendak saka keturunan Habshah itu. Tetapi terpaksa memenuhinya demi untuk memiliki jin yang hebat itu. Oleh sebab itu jugalah dia pada mulanya berbohong dengan saka itu dengan menyatakan dia belum menguasai ilmu sihir patung. Lalu diserahkannya tugas menderitakan Habshah pada bajang peliharaannya. Dengan cara ini dia berasa tidak terlalu bersalah. Tetapi saka itu mengetahui juga hal yang sebenarnya. Hanya baru-baru ini sahaja dia menggunakan ilmu sihir patung untuk menyeksa Habshah.

“Mana bibik ni?” tanya Mak Siti yang mula sedar Bibik Aminah belum kembali membawa minyak urut.

“Dia belum jumpa minyak urut tu kut mak,” kata Habshah lalu mengerang-gerang kecil pula.

Mak Siti melepaskan cangkung. Dia mahu menuruti pembantu rumah itu.

Habshah dapat mengagak apa yang sedang difikirkan oleh Mak Siti. “Kejap lagi bibik tu datanglah mak. Mak teman saya dekat sini ya. Saya seram sejuklah mak. Meremang bulu roma.”

Mak Siti melihat Habshah. Dia kehairanan lagi. Dia menengok sepintas lalu. Tiada apa-apa. Mengapa pula Habshah seram sejuk dan meremang bulu roma seolah-olah seperti ada jin yang menganggunya di situ? Persoalan itu hanya sempat bergentayangan di fikirannya sepintas lalu sahaja bila dia melihat riak muka Habshah yang bersungguh-sungguh. Dia kembali mencangkung mengadap Habshah.

Di bilik khas Mak Siti, Bibik Aminah sedang berusaha mencari patung jerami. Dia memeriksa dengan pantas setiap ruang di dalam bilik khas itu. Kini dia di tempat pemujaan Mak Siti. Dia memeriksa barang-barang di atas meja pemujaan itu. Darahnya tersirap bila melihat tengkorak kepala dan pelbagai jenis peralatan lain yang ada di atas meja itu. Matanya mencerap keseluruhan meja pemujaan tersebut. Matanya ternampak sebuah peti kecil buruk di sisi kaki meja pemujaan itu. Lalu dia membuka peti tersebut. Matanya terbeliak bila melihat ada sebuah patung jerami di dalam kotak itu. Dada kanan dan kiri patung jerami itu dicucuk dengan dua batang jarum peniti. Ia seperti apa yang dimimpikan oleh Habshah! Dia tergamam.

Mak Siti melepaskan cangkung kali kedua. Dia berasa tidak sedap hati kerana Bibik Aminah tidak muncul-muncul. Dia sekali lagi mahu menuruti Bibik Aminah. Kali ini rayuan Habshah agar dia kekal di situ tidak dihiraukannya. Beralasan bahawa kawasan yang terseliuh itu akan masuk angin jika dibiarkan lama tanpa diurut.

Mak Siti beredar dari bilik air itu. Melangkah ke bilik rawatan. Dia ada menyimpan beberapa botol minyak urut di bilik rawatan itu. Tetapi langkahnya terhenti. Fikirannya terlintaskan bilik khas yang ditinggalkannya tadi. Dia baru teringat bilik khasnya itu dibiarkan tidak berkunci tadi. Langkahnya mengarah pula ke bilik khas itu.

Bibik Aminah yang tergamam itu tersedar selepas beberapa ketika. Bulu romanya merinding lebih hebat. Diserbu ketakutan yang lebih dahsyat. Dia kaku seketika. Tidak tentu arah. Ternampak pintu barulah terfikir hendak segera keluar dari situ. Sebaik dia melepasi muka pintu, dia mendengar sesuatu dari dalam bilik khas itu. Suara sesuatu sedang memanggilnya. Bulu romanya seperti hendak tercabut dari kulitnya. Dada dan seluruh badannya menggeletar akibat ketakutan yang melampau. Dia tidak menoleh dan terus keluar dari bilik khas itu. Dia terdengar derap tapak kaki menghala ke arahnya. Dia segera ke almari hiasan lama yang terletak di sisi pintu bilik khas tersebut.

Bunyi tapak kaki itu semakin mendekat. Bibik Aminah berpura-pura mencari minyak urut di dalam almari hiasan itu.

“Engkau buat apa di sini?”

Bibik Aminah terkejut. Segera menoleh ke kanan. Berdepan Mak Siti yang memandang dengan curiga.

“Saya cari minyak urut. Dari tadi tidak ketemu,” jawab Bibik Aminah. Tangannya menggeletar memeriksa isi almari hiasan itu.

“Mana ada di situ! Tiada minyak urut di sini. Ambil minyak urut di bilik rawatan!” marah Mak Siti.

“Saya fikir ada di sini,” jawab Bibik Aminah sambil tersengih melihat Mak Siti. Dia terus sahaja memeriksa isi almari hiasan itu.

“Ambil lekas minyak urut di bilik rawatan aku!” marah Mak Siti, mencekak pinggang.

“Ya…ya…ya,” jawab Bibik Aminah tergagap-gagap. Dahinya merenik peluh.

“Aku ada letak beberapa botol di situ,” arah Mak Siti.

Bibik Aminah berhenti memeriksa isi almari hiasan itu. Dia segera beredar dari situ tanpa melihat muka Mak Siti. Mak Siti mengomel sendirian. Dia ke bilik khas lalu mengunci pintunya. Sayup-sayup terdengar derap tapak kaki Bibik Aminah menaiki tangga. Mak Siti menyusul kemudian.

Kini Habshah sudah kembali baring di atas katil di ruang sorong. Mak Siti baru lepas mengurut pergelangan kakinya yang kononnya tergeliat itu. Kemudian Mak Siti turun ke tingkat bawah. Bibik Aminah memberitahu Habshah tentang penemuannya di dalam bilik khas Mak Siti itu.

“Benarkah, bik?” tanya Habshah yang terkejut bercampur kecewa.

“Ya, puan. Keadaan patung tu sama seperti yang dimimpikan oleh puan. Dibuat dengan jerami dan ada dua jarum peniti yang dicucuk pada kedua bahagian dadanya,” jelas Bibik Aminah.

Hati Habshah luluh. Air matanya perlahan-lahan bertakung pada kelopak matanya. Dia berasa amat sebak. Dua orang yang paling rapat, dipercayai dan disayanginya rupa-rupanya mengkhianatinya.

“Sabar puan. Ini dugaan,” nasihat Bibik Aminah.

Habshah mengangguk. Tiba-tiba dia teringatkan mimpi-mimpinya itu. Serta merta itu dia teringatkan dosa-dosanya menyekutukan Allah. Dia berasa amat takut. Terngiang pula kata-kata Zaman tempoh hari yang bersungguh-sungguh memintanya keluar dari rumah ini demi kebaikannya. Dia menyesal kerana tidak menurut saranan abang ngahnya itu. Dia berasa bersalah kerana bukan sahaja menolak tetapi membangkang keras. Kali ini dia tidak peduli lagi apa perasaan Johan dan Mak Siti. Lalu dia menelefon abang-abang dan kakaknya. Dia memutuskan untuk tinggal di rumah Halimah. Selepas itu barulah dia menelefon Johan memberitahu keputusannya itu.

Zaman dan Yunus sampai ke rumah Mak Siti tidak berapa lama selepas dihubungi oleh Habshah. Johan sedang memujuk Habshah supaya kekal di rumah Mak Siti. Lelaki itu berkeras bahawa Mak Siti adalah orang yang paling layak menjaganya waktu ini.

“Kenapa? Cuba beritahu abang,” kata Johan.

Zaman dan Yunus diam sahaja melihat perbualan suami isteri itu.

“Saya sudah berasa sihat sikit bang. Bagilah saya ambil angin di sana. Bagilah saya duduk dengan Kak Limah sekejap. Saya sudah lama teringin hendak duduk berbual lama dengan Kak Limah seperti masa kami budak-budak dahulu. Selama ini sibuk sentiasa. Kerja, kerja dan kerja. Mungkin saya tak akan dapat lagi peluang begini,” jawab Habshah yang tidak mahu mendedahkan alasan sebenar dia ingin keluar dari rumah Mak Siti itu.

“Bukankah lebih baik jika Sah ke sana bila sudah betul-betul sembuh nanti?” balas Johan.

“Bagaimana kalau Sah tidak betul-betul sembuh?” jawab Habshah.

“Abang yakin Sah pasti sembuh. Cuma akan ambil masa sedikit sahaja lagi. Orang lain yang penyakitnya lebih teruk daripada Sah pun mak boleh ubatkan,” kata Johan.

Mak Siti muncul. “Kenapa ni?” tanyanya yang mengingatkan kehadiran Johan, Zaman dan Yunus itu untuk melihat keadaan Habshah yang terseliuh.

Johan mengeluh. “Sah ni mak. Tiba-tiba sahaja dia hendak ke rumah Kak Limah. Saya rasa dia akan lebih baik jika terus di sini.”

Mak Siti agak terkejut. Ingatannya terus kepada Salim. Celaka! Ini mesti kerja dia! Dia menyeranah di dalam hati. Tetapi apa yang di dalam hatinya tidak terpancar pada riak mukanya. Mak Siti tersenyum melihat Johan, Zaman, Yunus dan Habshah.

“Saya nak duduk dengan Kak Limah kejap sahaja mak. Saya akan balik ke sini lagi nanti,” kata Habshah seperti merayu.

“Kenapa?” tanya Mak Siti. “Mak tak jaga kamu dengan baik?”

“Bukan begitu mak. Saya nak habiskan masa dengan Kak Limah seperti kami kecil-kecil dahulu. Banyak perkara saya nak kongsikan dengan dia. Saya takut, saya takut saya tak berkesempatan bila sudah sembuh sepenuhnya nanti. Nanti kerja tak habis-habis macam dulu,” jawab Habshah.

Mak Siti mengangguk-angguk.

“Mak Siti janganlah berkecil hati. Habshah bukan tidak suka duduk di sini. Cuma dia nak luangkan masa dengan Halimah sahaja. Selepas jemu duduk di Penang nanti, tentulah dia akan pulang ke sini semula. Tak mungkin akan lama,” kata Yunus, baru mencelah perbualan.

Mak Siti mengangguk-angguk. Dia cuba menelaah apa yang sedang berlaku. Dia merenung Bibik Aminah yang diam sejak tadi. Pembantu rumah itu kelihatan gelisah.

“Bolehkan Mak Siti?” tanya Zaman.

Mak Siti yang serba salah terpaksa mengangguk juga.

“Boleh Johan?” tanya Zaman kepada Johan pula.

Johan yang serba salah juga terpaksa mengangguk.

“Terima kasih bang. Terima kasih mak,” kata Habshah. Air matanya mengalir tanpa sedar.

Akhirnya Habshah berjaya keluar dari rumah Mak Siti. Halimah dan Mazlan yang sampai pada petang itu membawanya ke Penang pada hari itu juga. Habshah diiringi oleh Bibik Aminah. Johan berjanji akan membawa anak-anak mereka melawatnya di Penang setiap hujung minggu.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin