Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 9

Bab 9

Mereka sampai di Pulau Pinang selepas lima jam perjalanan dari Selangor. Hari sudah hampir masuk maghrib. Sebentar lagi cerah siang akan pergi dan gelap malam akan menyelubungi.

Halimah dan Bibik Aminah memapah Habshah masuk ke dalam rumah. Kalsum yang baru tersedar akan kepulangan mereka tergesa-gesa turun ke tingkat bawah. Dia membantu mengangkat beg-beg Habshah.

“Kenapa dengan hang, Sum?” tanya Mazlan sebaik melihat muka Kalsum. Kedua-dua belah matanya kelihatan bengkak, bekas menangis.

“Bekas kawan-kawan sekerja Karim datang tadi. Depa nak masuk dalam rumah cari Karim. Cek halang tetapi depa rempuh juga. Nasib baik Ustaz Yahya ada,” jawab Kalsum, ambil beg Habshah dari dalam bonet.

“Karim tak keluar?” tanya Mazlan.

“Matilah kalau dia keluar. Patah riuk nanti dikerjakan kawan-kawan dia tu,” jawab Kalsum.

“Orang kampung kerumun?” tanya Mazlan.

Kalsum mengangguk lemah. “Malu cek.”

Mazlan mengeluh perlahan. “Kena bertanggungjawab. Kena berdepan dengan depa tu. Lepas ni mesti ramai lagi yang akan cari. Hang kata apa pada bekas kawan-kawan sekerja dia tu?”

“Cek kata Karim tiada di sini. Karim kerja di Kuala Lumpur,” jawab Kalsum.

Mazlan mengeluh lagi. “Lambat laun pasti ada orang yang nampak,” katanya kemudian.

Kalsum tidak menjawab. Apa yang dikatakan oleh Mazlan itu benar. Dia terus membawa beg Habshah ke dalam rumah dan menyertai Halimah, Bibik Aminah dan Habshah yang sudah berada di dalam bilik. Habshah ditempatkan di bilik tengah. Bilik tengah itu dikapit oleh bilik Azlan dan bilik Mazlan dan Halimah. Bilik tengah itu bilik Raudhah. Sementara Habshah ada di situ, Raudhah akan tidur bersama Mazlan dan Halimah.

“Terima kasih kak, bibik dan Kalsum,” kata Habshah sebaik sudah berasa selesa di atas katil. Dia melihat Raudhah lalu menyambung kata, “Terima kasih Raudhah sebab bagi pinjam bilik ni pada Mak Usu.”

“Sama-sama,” jawab Raudhah lalu keluar bilik untuk ke ruang tamu.

Halimah, Kalsum dan Bibik Aminah mengemas apa yang patut. Pakaian Habshah dikeluarkan dari dalam beg-beg dan disusun kemas di dalam almari. Langsir bilik itu juga ditukar dengan yang baru. Selepas habis berkemas di bilik itu, Halimah dan Kalsum membawa diri ke ruang tamu.

“Sudah selesai kemas bilik tu?” tanya Mazlan sebaik melihat Halimah dan Kalsum datang ke ruang tamu.

Azlan dan Raudhah yang tidur sepanjang perjalanan kini segar bugar dan sedang bermain kejar-kejar di ruang tamu itu.

“Sudah,” jawab Halimah. “Abang ke masjid nanti?” tanyanya kemudian.

Mazlan mengangguk.

“Azlan pergi mandi dulu. Bersiap cepat. Tak nak ikut abah ke masjid?” kata Halimah.

Azlan berhenti bermain serta merta dan terus ke bilik air untuk mandi.

“Nanti abang beli lauk untuk makan malam. Mah masak nasi sahaja ya,” kata Mazlan.

“Baik bang,” jawab Halimah.

“Nanti hang makanlah sekali dengan kami, Sum,” ajak Mazlan.

“Cek sudah makan pukul enam tadi. Karim lapar sangat,” jawab Kalsum.

Halimah meneliti muka Kalsum. Dapat mengesan bekas menangis pada muka Kalsum.

Azlan berhenti mencedok air dari dalam kolah. Kemudian dia memusing kepala paip. Air berhenti terjun ke dalam kolah. Dia memasang telinga. Bulu romanya meremang. Segera mencapai tuala. Membuka kain basahannya dan cepat membalut badannya dengan tuala. Dia seperti terdengar bunyi desir angin yang amat perlahan. Disusuli pula oleh bunyi ngiau kucing dan tangisan budak lelaki. Tidak lama kemudian terdengarlah bunyi sesuatu mencakar dinding.

“Srtttt...” Bunyi cakaran semakin menjauhi bilik air itu. Ia menghala ke bilik-bilik tidur.

Azlan keluar dari bilik air. Dia berlari anak. Berhenti sebentar di hadapan bilik Raudhah. Pintu bilik itu tertutup. Lantas dia terus ke ruang tamu.

“Kenapa badan tu masih basah, Azlan?” tanya Halimah bila melihat Azlan yang berdiri di pintu yang memisahkan ruang tamu dan ruang belakang itu.

Mazlan bangun untuk mandi dan bersiap ke masjid. “Lain kali lap badan tu sampai kering dulu. Dah, pi pakai baju.”

“Ibu, abah, benda tu dah datang…” kata Azlan.

“Apa?” tanya Halimah.

“Abang kata benda tu dah datang,” kata Raudhah, mengulangi kata-kata Azlan.

Mazlan, Halimah dan Kalsum melihat Azlan.

“Betul ibu, abah, Makcik Kalsum,” kata Azlan.

“Apa yang datang?” tanya Mazlan.

Belum sempat Azlan membuka mulut, dari dalam bilik Raudhah kedengaran suara Habshah menjerit, “Pergi dari sini! Pergi dari sini! Pergi dari sini!”

Semua yang berada di ruang tamu itu bergegas ke bilik Raudhah.

“Kenapa ni bibik?” tanya Halimah yang sudah mendekati Habshah yang tangannya menunjuk-nunjuk ke arah tingkap.

Langsir dan tingkap itu ternganga. Kedua-duanya tidak ditutup oleh Kalsum kerana terlupa.

“Saya tak tahu. Saya sedang kemas pakaian. Tiba-tiba sahaja puan menjerit-jerit,” jawab Halimah.

“Dia ada di sini kak! Dia ada di sini kak!” jerit Habshah lagi.

“Siapa yang ada di sini?” tanya Halimah yang terpinga-pinga.

Habshah menunjuk-nunjuk ke arah tingkap yang terbuka. “Perempuan muda, kakak! Perempuan cantik, kak! Kak tak nampak?” jeritnya.

Halimah dan lain-lain melihat ke arah di mana jari telunjuk Habshah dihalakan. Di luar sana, di bawah pokok buah star atau buah kundang, tidak kelihatan sesiapa. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Dia ada di situ kak. Dia lambai ke arah saya. Dia bawa budak lelaki tu sekali. Saya dengar suara budak tu menangis, kak,” kata Habshah terus.

“Tiada apa-apa di situ Sah. Tiada apa-apa,” balas Halimah sambil memegang badan Habshah. Dia cuba menenangkan adiknya itu.

“Dia ada di situ kak. Tengok. Dia lambai saya,” kata Habshah, ketakutan.

“Tak ada sesiapa di sana, Sah. Istighfar banyak-banyak,” kata Halimah.

Habshah beristighfar. Kelibat langsuir itu hilang sebentar. Tetapi muncul semula selepas beberapa saat. Kali ini dengan muka yang lebih menyeramkan. Tangisan budak lelaki yang dibawanya semakin kuat pada pendengaran Habshah. Habshah hampir menangis kerana ketakutan.

“Dia tak mau pergi kak! Tolong aku kak, Abang Mazlan, bibik, Kalsum, Azlan… . Azlan nampak tak perempuan tu? Azlan nampak kan?” kata Habshah.

Semua mata memandang ke arah Azlan. Azlan diam tidak menjawab pertanyaan Habshah itu.

“Azlan?” tanya Halimah.

Azlan mengangguk. “Dia baru datang mak. Masa Azlan mandi tadi. Benda tu ada di bawah pokok stak tu. Perempuan muda dan budak lelaki tu.”

“Perempuan muda dan budak lelaki?” tanya Halimah.

“Ya, kak. Aku takut kak,” balas Habshah.

Halimah, Mazlan, Bibik Aminah dan Kalsum terlopong. Mazlan segera ke tingkap untuk menutupnya. Bulu romanya meremang. Dia terdengar suara tangisan kanak-kanak perempuan. Dia tidak menghiraukan apa yang didengarnya itu. Tetap menutup tingkap. Kemudian dia menarik pula langsir. Ketika langsir itu hampir tercantum kedengaranlah suara nyaring tangisan budak lelaki. Tangisan itu dapat didengar oleh semua orang yang berada di dalam bilik itu. Masing-masing terperanjat dan mereka semakin kumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran yang diingati waktu itu. Tangisan yang nyaring itu disertai pula dengan bunyi cakaran pada dinding luar. Semakin lama kedua-dua bunyi itu semakin kuat. Habshah, Kalsum, Bibik Aminah sampai menekap-nekap telinga kerana tidak mahu mendengar bunyi-bunyi yang menyeramkan sampai meremangkan bulu roma itu.

“Kenapa?” Satu suara tiba-tiba muncul dari belakang.

Mazlan menoleh. Kelihatan Karim dan anak-anaknya sudah turun ke bawah.

“Saya dengar suara budak lelaki menangis dan kucing mengiau,” kata Karim.

Mazlan mengangguk. “Baca apa surah yang patut.”

Karim terus kumat kamit membaca Al-Fatihah.

“Aku sayangkan kamu, Sah…” Suara langsuir itu terus bergema.

“Pergi dari sini! Jangan kacau aku!” jerit Habshah.

Keadaan itu mengejutkan Karim. Bulu romanya meremang. Dia menelan air liur beberapa kali. Dia juga dengar suara langsuir itu. Suara itu datang dari luar rumah.

“Aku ingin bersama kamu Sah…” Suara itu terus bergema.

“Apa yang hang mahu?!” Halimah meninggikan suara, memberanikan diri.

“Habshah. Dia adalah aku. Aku adalah dia! Ha, ha, ha!”

“Dia adalah dia. Dia bukan engkau. Dan engkau bukan dia!” bentak Halimah.

“Aku telah pilih dia. Dia juga sudah terima aku.” Suara langsuir itu bergema lagi. Mengilai tetapi tidak semena-mena hilaiannya itu bertukar menjadi jeritan yang menakutkan.

“Allahuakbar, Allahuakbar.” Suara azan kedengaran dari arah masjid.

Keadaan kembali seperti biasa.

“Abang kena jemput Salim malam ni juga,” kata Halimah.

Mazlan mengangguk. “Abang akan terus ke Prai untuk ambik dia selepas sembahyang maghrib di masjid nanti.”

Mazlan segera mandi dan bersiap lalu terus ke masjid bersama Azlan. Dalam keadaan tergesa-gesa itu Azlan sempat berkata kepada Mazlan.

“Abah, dia ada atas bumbung rumah kita.”

Mazlan terus sahaja memimpin Azlan melangkah ke masjid. Mereka sampai di situ ketika Ustaz Yahya sudah mengangkat takbiratul ihram.

Mazlan dan Azlan bergegas menjemput Salim selepas menunaikan solat maghrib. Karim kekal di rumah. Setidak-tidaknya ada lelaki dewasa di rumah itu jika berlaku apa-apa yang buruk kepada Habshah.

Iswara yang dipandu Mazlan terasa berat. Seolah-olah ia seperti membawa beban yang amat berat. Mazlan tidak henti-henti membaca ayat-ayat Al-Quran. Al-fatihah, ayat kursi dan tiga kul diulang baca berkali-kali. Sementara Azlan mengikut apa yang dibaca oleh Mazlan. Perakam kaset terus menerus memainkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada beberapa tempat di sepanjang perjalanan itu mereka berdua nampak Mak Siti berbaju kurung kedah berdiri di bahu jalan. Mak Siti merenung tajam dan menyerigai marah.

Selepas hampir empat puluh lima minit mereka berdua sampai juga di rumah sewa Salim di Taman Pelangi, Perai. Salim tersenyum menyambut mereka. Belum pun sempat Mazlan dan Azlan turun dari kereta, Salim terus menerpa ke arah mereka. Salim mengarahkan mereka berdua kekal di dalam kereta. Azlan mundur ke kerusi belakang. Salim masuk ke dalam kereta dan terus sahaja mengarahkan Mazlan memandu semula ke rumah. Dia duduk di sebelah Mazlan.

“Diganggu sepanjang perjalanan tadi, bang?” tanya Salim.

“Ya,” jawab Mazlan. “Kereta ni rasa berat. Benda tu menanti di bahu-bahu jalan,” jelasnya pula.

“Syaitan ni kalau tak mengganggu bukanlah namanya mahluk yang dilaknat Allah,” balas Salim.

“Tetapi sekarang tidak berasa berat lagi. Tak juga nampak benda tu menunggu di bahu-bahu jalan lagi,” beritahu Mazlan.

“Alhamdulillah. Adiknya Kak Limah sampai tadi?” balas Salim.

“Ya. Abang dan Kak Limah pergi ambil dia di Klang pagi tadi. Kami baru sampai sebelum maghrib tadi. Tak berapa lama selepas sampai dia pun menjerit-jerit,” beritahu Mazlan lagi.

Salim mengangguk-angguk. Tekun mendengar setiap butir maklumat daripada Mazlan.

“Dia kata dia nampak perempuan muda. Perempuan tu bawa budak lelaki,” sambung Mazlan lagi.

“Anak abang Mazlan ni nampak benda tu kan?” tanya Salim.

“Ya, ya,” jawab Mazlan. Hairan kerana dia tidak pernah beritahu sesiapa tentang kebolehan Azlan dapat melihat makhluk halus.

“Azlan, perempuan tua tepi jalan tu pakai lengan baju paras ini kan?” tanya Salim yang menoleh ke belakang sambil meletakkan tangan kirinya pada sepertiga tangan kanannya.

Azlan mengangguk.

“Budak lelaki tu telinganya tajam ke atas? Dan giginya rapat-rapat dan tajam?” tanya Salim lagi.

“Ya, pakcik,” jawab Azlan.

Salim mengangguk-angguk. “Lama lagi ke hendak sampai bang?” tanyanya.

“Lagi dua puluh minit,” jawab Mazlan.

“Boleh pandu lebih laju?” pinta Salim.

“Ya, ya,” jawab Mazlan dan terus menekan minyak.

Di rumah pusaka keturunan Haji Zainul, keadaan yang tenang seketika lebih sejam yang lalu itu kini tegang semula. Bunyi debum sesuatu mendarat di atas bumbung rumah kedengaran jelas. Kalsum, Karim dan anak-anak mereka yang kembali ke tingkat atas terperanjat besar. Kalsum membawa anak-anak turun semula ke tingkat bawah untuk menyertai Halimah, Habshah dan Bibik Aminah. Karim memilih untuk berada di tingkat atas itu seketika. Dia ingin tahu benar apa sebenarnya yang menganggu mereka itu. Dia memang berani sejak kecil lagi. Rumah keluarganya berdepan dengan kubur. Dan ketika kecil dia tidak takut sedikit pun bila lalu di hadapan kubur itu pada malam hari ketika pulang dari belajar mengaji.

“Trap…. Trap… Trap….” Bunyi sesuatu bergolek di atas bumbung kedengaran jelas. Kini bunyi itu berhenti betul-betul di atas kepala Karim. Karim mendongak dan menunggu sesuatu. Dia mendengar ngiau kucing dari atas bumbung itu. Bulu romanya meremang lagi tetapi dia tidak terdetik untuk cabut lari. Malah dia mencabar jin itu.

“Hang ingat aku takut?! Apa hang sebenarnya?!” lawan Karim. Suaranya tidak begitu kuat tetapi tegas. Seolah-olah mahu kata-katanya itu didengar oleh dirinya sendiri dan jin itu sahaja.

Ngiau itu kedengaran lagi. Kali ini nadanya lebih kuat.

“Aku tak takutlah…” kata Karim dengan nada sinis.

Tingkap di ruang sorong tiba-tiba terbuka. Deru angin menampar telinga. Daun daun tingkap yang terbuka menampar-nampar dinding luar. Karim yang berada di ruang tengah itu berjalan ke sorong. Dia sampai ke tingkap yang terbuka dan berdiri di situ. Dia melepaskan pandangan ke luar – ke tengah jalan kampung. Di situ dia melihat seorang perempuan muda yang amat elok paras rupanya sedang memimpin tangan budak lelaki yang galak mata dan tajam telinganya. Kedua-dua lembaga itu merenung tajam ke arahnya sambil berjalan menuju ke rumah pusaka itu. Karim berlari turun ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.

“Dia nak masuk kak! Dia nak masuk kak!” jerit Habshah tiba-tiba. Dia tidak nampak kedua lembaga itu tetapi dia merasakannya dengan hati.

Halimah, Bibik Aminah, Raudhah, Kalsum dan anak-anaknya yang sudah berkumpul di bilik Raudhah sejurus mendengar bunyi-bunyi pelik dari luar rumah tadi terkejut dengan kata-kata Habshah itu. Kalsum segera keluar dari bilik itu untuk melihat ke arah pintu utama. Terperanjat bila terserempak dengan Karim yang baru sampai di bilik Raudhah itu.

“Abang ni…. Terperanjat saya!” marah Kalsum.

“Abang lihat perempuan muda dan budak lelaki berjalan masuk ke ruang tamu tingkat bawah ni. Ada nampak apa-apa masuk?” tanya Karim, tidak menghiraukan marah Kalsum.

“Tak ada apa-apa. Saya baru jenguk ke pintu tu tadi,” jawab Kalsum sambil memuncungkan bibirnya ke arah pintu di ruang tamu itu.

Dari dalam bilik, terdengar Habshah menjerit lagi. “Dia ada depan pintu kak! Tolong halau dia kak!” Habshah tidak keharuan. Dia berusaha hendak bangun untuk meninggalkan katil. Dia mahu menyembunyikan diri di mana-mana.

“Sabar Sah. Kejap lagi kawan Abang Mazlan datang. Istighfar banyak-banyak. Minta bantuan Tuhan,” kata Halimah menyabarkan.

“Ya, sabar Sah. Tak ada apa-apa yang masuk Sah,” kata Kalsum pula.

Bunyi cakaran terdengar di dinding luar bilik Raudhah itu. Sayup-sayup kedengaran pula tangisan nyaring budak lelaki. Ditokok pula dengan bunyi sesuatu mengetuk pintu belakang dan hadapan dengan kuat. Keadaan menjadi lebih runcing. Habshah yang ketakutan dilihat hampir menangis. Kalsum masuk semula ke dalam bilik Raudhah dan memeluk Zakiah dan Lutfi yang sudah pun menangis. Soraya berlagak biasa. Raudhah pula memegang tangan Halimah. Halimah sedaya upaya menenangkan semua orang.

Karim ke ruang tamu. “Hei syaitan! Hang nak apa?!”

Ketukan kuat pada pintu hadapan itu berhenti mengejut bila dijerkah Karim.

“Tahu pun takut dengan aku,” kata Karim lalu tersenyum sinis bangga sendirian.

Serta merta juga bunyi cakaran dan ketukan pada pintu belakang berhenti.

Karim berasa dirinya hebat. “Taklah hebat mana…” ejeknya lalu tergelak sendirian.

“Dia dah nak masuk kak!!!” jerit Habshah yang dapat didengar hingga ke ruang tamu.

Mereka semua terperanjat. Termasuklah Karim. Belum sempat Karim melangkah ke bilik Raudhah untuk melihat apa yang berlaku, tiba-tiba sahaja pintu hadapan rumah pusaka itu terkuak keras. Angin yang entah dari mana terburu-buru masuk lalu melanggar dada Karim. Karim terpelanting sehingga terduduk di atas lantai.

Kalsum bergegas keluar dari bilik Raudhah selepas mendengar bunyi bising di luar. Terkejut bila mendapati Karim terduduk di lantai sambil mengaduh. Dan di muka pintu hadapan rumah pusaka itu pula berdiri perempuan muda yang memimpin budak lelaki yang menyerigai marah. Dalam ketakutan kaki Kalsum melangkah juga untuk mendapatkan Karim.

“Abang tak apa-apa?” tanya Kalsum.

“Dada aku ni sakit Sum. Bisa,” jawab Karim sambil meramas-ramas dadanya.

“Kita berkumpul dalam bilik Raudhah bang. Mari saya papah abang,” kata Kalsum lalu mengangkat Karim.

Mereka berdua beredar dari ruang tamu itu. Kalsum sempat menoleh untuk melihat pintu hadapan. Perempuan muda dan budak lelaki itu tersenyum melihatnya. Hilaian ketawa yang panjang dan menyeramkan bergema di seluruh rumah pusaka itu. Kalsum menutup pintu yang memisahkan di antara ruang tamu dan ruang tengah dan dapur itu. Ketika dia hendak menyelak pintu itu, ketukan yang amat kuat telah menggegarkan pintu tersebut. Mereka berdua terkejut.

Halimah keluar dari bilik Raudhah untuk melihat apa yang berlaku. Meninggalkan sementara Habshah ditemani Bibik Aminah dan lain-lain.

“Saya rasa benda tu dah masuk ke ruang tamu,” kata Kalsum kepada Halimah.

“Cepat masuk ke dalam bilik. Pintu takkan membantu. Tak dapat halang benda macam ni,” kata Halimah.

Kalsum pantas memimpin Karim ke bilik Raudhah. Akhirnya kesemua mereka berjaya berkumpul di bilik Raudhah. Karim yang duduk tersandar di dinding masih meraba-raba dadanya yang berasa sangat berbisa. Bisa itu dapat dirasainya semakin merebak dan sekarang seperti turun ke perut.

“Pang!”

Bunyi daun pintu ditolak kasar dan menampar dinding kedengaran di luar.

Kalsum dan Bibik Aminah berpandangan sesama sendiri. Zakiah dan Lutfi terus menangis. Raudhah memegang tangan Halimah. Halimah melihat Habshah sepintas lalu. Habshah memejamkan matanya. Berasa letih untuk menghadapi semua ini.

“Srtt…. Srtt….. Srtt…” Bunyi cakaran terdengar dari arah bilik tidur Mazlan dan Halimah menuju ke bilik tidur Raudhah.

“Hi… Hi… Hi…” Bunyi hilaian ketawa juga terdengar menghampiri bilik Raudhah itu.

“Dia dah ada dalam rumah puan,” kata Bibik Aminah kepada Halimah.

“Baca apa yang perlu. Hanya kepada Allah kita meminta pertolongan,” balas Halimah.

Masing-masing membaca ayat-ayat Al-Quran yang diingati pada waktu itu. Halimah paling lantang melantunkan Ayat Kursi. Kedua lembaga itu hanya berlegar di luar bilik Raudhah. Belum sampai menerpa masuk ke dalam bilik. Bunyi cakaran pada dinding dan hembusan angin kedengaran berlanjutan.

“Tuk! Tuk! Tuk!”

Bunyi ketukan pada pintu bilik tidur Raudhah itu memeranjatkan semua orang kecuali Habshah. Habshah kelihatan seperti sedang tidur.

“Hi, hi, hi….” Hilaian ketawa langsuir bergema.

Anak-anak Kalsum melompat memeluk ibu dan bapa mereka. Raudhah menggenggam tangan Halimah dengan lebih erat. Halimah tidak lepas membaca Ayat Kursi. Dia memohon kepada Allah SWT agar jin yang mengacau mereka itu tidak mengapa-apakan mereka.

Bunyi cakaran dan hilaian ketawa itu lenyap. Masing-masing berasa lega. Dari ruang tamu kedengaran orang memberi salam. Hampir semuanya keluar dari bilik tidur itu. Kecuali Bibik Aminah dan Karim.

“Siapa?” tanya Halimah dari balik pintu yang memisahkan di antara ruang tengah dan ruang tamu itu.

“Abang,” jawab satu suara yang mirip suara Mazlan.

“Betul ke Abang Mazlan?” tanya Kalsum, was-was.

“Insyallah betul. Memang suara Abang Mazlan,” jawab Halimah yang sudah pun memegang selak pintu untuk membukanya.

“Kak yakin?” tanya Kalsum.

“Insyallah,” jawab Halimah lalu membuka selak dan menguak pintu itu.

Berdiri di ruang tamu itu ialah Mazlan, Azlan dan Salim.

Halimah dan Kalsum berasa amat lega.

“Apa yang berlaku ni?” tanya Mazlan. “Pintu depan dibiar ternganga. Pintu ni pulak berkunci rapat,” sambungnya.

Halimah beritahu apa yang berlaku.

“Kak, boleh saya tengok Abang Karim?” tanya Salim sebaik Halimah habis menceritakan kejadian yang berlaku sebelum mereka bertiga sampai di rumah itu.

“Dia di dalam bilik, Salim. Ikut saya,” kata Halimah.

Mereka ke bilik Raudhah. Karim masih meramas-ramas dadanya yang sakit. Salim melihat Habshah yang terbaring tenang di atas katil itu sepintas lalu. Dia mengisyaratkan kepada Bibik Aminah yang berada hampir dengan sisi katil supaya menjauhkan diri dari situ. Kemudian dia memberikan perhatian kepada Karim.

“Bahagian mana yang sakit bang?” tanya Salim.

Karim menekan-nekan dadanya. “Dada ni rasa bisa sangat,” jawab Karim.

“Mari saya tengokkan. Insyallah, mudah-mudahan tidak apa-apa,” kata Salim.

Karim mengangguk-angguk, membenarkan dirinya diperiksa Salim.

Salim meletakkan tapak tangan kanannya pada dada Karim. Dia membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Diikuti dengan Bismillah Lima sebanyak tujuh kali. Dengan izin Allah, bisa yang menjalar pada dada dan perut Karim itu beransur hilang. Karim berasa amat lega.

“Lain kali berhati-hati ya bang,” kata Salim sambil menepuk-nepuk bahu Karim.

Karim mengangguk-angguk.

Salim memberi perhatian kepada Habshah pula.

“Kak ni yang sakit tu kan, Kak Limah?” tanya Salim.

“Ya,” jawab Halimah.

“Dia pejam mata dari tadi?” tanya Salim lagi.

“Masa benda tu kacau tadi, dia menjerit-jerit kata benda tu nak masuk rumah. Tetapi tiba-tiba dia diam dan terus tidur,” beritahu Halimah.

Salim berdiri di hujung katil. Dia membaca surah Al- Fatihah. Belum pun ibu Al-Quran itu selesai dibaca, Habshah yang seperti tidur tadi pantas mencelikkan mata. Kedua-dua biji matanya meliar melihat sekeliling. Dadanya berombak-ombak deras. Kedua-dua belah tangannya menggeletar dan kemudian terangkat ke udara. Tidak semena-mena badannya terbidas tegak.

“Celaka engkau!” Habshah menjerit memarahi Salim.

Salim tersenyum sahaja.

“Aku tak suka engkau!!! Puih!” jerit Habshah lagi sambil meludah ke arah Salim.

Salim tidak berganjak. Air ludah Habshah tidak sampai kena padanya. Hanya berceretek pada selimut yang menutupi kaki Habshah itu. Dia masih membisu terhadap makian yang dihamburkan oleh Habshah. Dadanya dipenuhi dengan zikir lailahaillallah. Zikir yang paling mulia itu berdetak di dalam hatinya tanpa putus sejak tadi.

“Pergi dari sini!!! Ini antara aku dan dia!!!” jerit Habshah lagi.

“Siapa engkau sebenarnya?” tanya Salim dengan nada tenang.

“Engkau tak tahu aku siapa?” tanya Habshah yang diikuti dengan hilaian ketawa yang panjang.

“Engkau langsuir?” tanya Salim buat kali kedua. Nada suaranya kekal tenang tapi terkandung ketegasan yang lebih kuat.

Habshah mengilai menyeramkan. “Aku saka keturunan dia,” jawab Habshah yang sebenarnya sudah dirasuki oleh langsuir, saka keturunannya.

“Mengapa engkau seksa dia begini?” tanya Salim.

“Dia melanggar janji,” jawab Habshah.

“Bukan dia yang berjanji,” kata Salim.

“Keturunannya yang berjanji,” balas saka itu.

“Bukan salah dia. Dia tidak pernah mahukan engkau,” kata Salim.

“Hah! Itu aku tak peduli! Dia mesti terima balasan kerana melanggar janji!” balas Habshah.

“Siapa tuan engkau sekarang?” tanya Salim.

“Dialah tuan aku sekarang,” jawab Habshah.

“Siapa tuan engkau sekarang?” tanya Salim lagi. Kali ini dengan nada suara yang lebih tegas.

“Siapa lagi kalau bukan dia,” jawab Habshah.

“Jangan bohong. Jangan paksa aku dera engkau supaya bercakap benar.” Salim memberi amaran.

“Ha, ha, ha. Dia memang tuan aku, bodoh!” balas Habshah sambil menjelir-jelirkan lidahnya ke arah Salim.

Salim menghela nafas. “Jangan paksa aku,” katanya.

Habshah membetulkan letak duduknya. Dia bersila kemas di atas katil itu. Menggamit tangannya ke arah Salim sambil bibirnya mengukir senyuman sinis. Dia mencabar Salim.

“Baiklah, jika itu yang engkau mahukan,” kata Salim. “Bawakan saya sebaldi air kak,” pinta Salim kepada Halimah pula.

“Di sini ada rumpun buluh kuning kan? Di belakang rumah, betul?” tanya Salim kepada Mazlan.

“Ya, ya, memang ada,” jawab Mazlan.

“Ambilkan sebatang buluh kuning untuk saya bang,” pinta Salim.

Halimah segera ke bilik air dan kembali dengan sebaldi air. Salim sudah pun bersila di lantai beberapa langkah dari hujung katil. Dia hampir bersandar pada dinding bilik di bahagian itu. Halimah meletakkan sebaldi air di hadapan Salim seperti yang diarahkan. Tidak lama kemudian Mazlan pula kembali dengan sebatang buluh kuning. Dia mengambilnya di belakang rumah. Ada serumpun buluh kuning hidup di situ. Buluh kuning itu diberikan kepada Salim.

Habshah menjuihkan mulutnya. Begitu sinis.

“Bila saya sampai pada surah yasin nanti, saya minta semua ikut baca enam ayat pertama Yasin tu bersama-sama saya. Kita sama-sama berdoa dan berserah kepada Allah semoga dengan limpah kurnia-NYA, DIA membantu kita menghadapi dugaan ini,” kata Salim.

Semua yang ada di situ mengangguk.

Salim membaca basmallah. Lalu meneruskan dengan membaca surah Al-Fatihah. Habis membaca Al-Fatihah, dia meniup air di dalam baldi tersebut. Habshah yang pada mulanya mengajuk dan mengejek-ngejek semakin lama semakin berubah fiilnya. Selepas Al-Fatihah, Salim terus melantunkan ayat 255 surah Al-Baqarah pula. Usai membaca ayat itu dia meniupnya pada air di dalam baldi. Habshah mula kelihatan gelisah. Matanya meliar-liar seperti ketakutan. Salim membaca pula ayat 1 hingga 8 surah Al-Insyirah lalu meniupnya pada air di dalam baldi selepas habis membacanya. Badan Habshah terhempas ke katil. Dia meronta-ronta dan sesekali badannya melentik-lentik kerana menahan kesakitan.

Salim mencelup air itu dan merenjisnya ke badan Habshah.

“Sakit! Sakit! Sakit!!!” jerit Habshah sebaik air jampi itu terkena pada badannya. Dia berasa pijar pada tengkuk.

Salim tidak mempedulikan keadaan Habshah itu. Halimah cuba mendekati Habshah untuk menenangkannya tetapi dilarang oleh Salim.

Badan Habshah semakin melentik, terhempas dan meronta-ronta.

“Aku sakitlah bodoh!!!” jerit Habshah.

Salim menggelengkan kepala. “Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Ternyata engkau seorang yang bongkak!”

Habshah menderam. Dia bangun lalu merangkak sekeliling atas katil. Kemudian dia berhenti bila posisinya mengadap Salim. Rambutnya yang panjang dan kusut masai terurai ke bawah menutupi hampir keseluruhan mukanya. Tetapi dari celah-celah juntaian rambut itu ternampak juga sepasang matanya yang melontarkan pandangan yang amat tajam kepada Salim. Dia melihat sekeliling sepintas lalu. Kalsum menyembunyikan diri di belakang Bibik Aminah. Sementara Zakiah dan Lutfi menyembunyikan muka masing-masing di balik belakang Kalsum. Halimah dan Bibik Aminah saling berpegangan tangan sambil mulut mereka berdua kumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran. Raudhah memeluk Mazlan yang juga tidak lepas membaca ayat-ayat Al-Quran. Azlan dan Soraya pula berdiri tegak menentang mata Habshah. Pandangan Habshah jatuh lama pada Azlan sebelum tumpuannya beralih kepada Salim.

“Lepaskan aku!” bentak Habshah.

“Aku takkan lepaskan engkau selagi engkau tidak menjawab beberapa pertanyaan aku. Dengan izin Allah, aku sudah kunci jalan-jalan keluar engkau pada tubuh dia. Hah, beritahu aku siapa tuan engkau yang sebenarnya sekarang?” kata Salim.

Habshah menderam kasar, panjang dan lama. Enggan menjawab pertanyaan Salim itu.

“Beritahu aku sekarang!” tegas Salim.

Habshah terus menderam kasar, panjang dan lama. Tetap berdegil.

“Baiklah, jika itu yang engkau mahu,” balas Salim.

Salim membaca Basmallah sebelum mencelupkan separuh buluh kuning ke dalam air di dalam baldi. Kemudian dia terus melantunkan Al-Fatihah. Disusuli pula dengan 10 ayat surah Al-Baqarah iaitu lima ayat, ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir dari ayat 284, 285 dan 286. Kemudian dia membaca Ayat Kursi. Disusuli dengan membaca enam ayat pertama surah Yasin yang diikuti oleh semua yang berada di dalam bilik itu. Sepanjang pembacaan itu Salim memusingkan buluh kuning di dalam air di dalam baldi itu mengikut arah lawan jam.

Habshah menjerit-jerit kesakitan. “Aku gatal! Miang! Gatal!!!” jeritnya sambil menggaru-garu tubuhnya.

“Sekarang cakap siapa tuan engkau!” tegas Salim.

Habshah bersila kejap. Mula menderam lagi. Masih degil walaupun kesakitan.

Di Klang, Mak Siti mendapat lintasan bayangan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu. Dia menunda sesi rawatan pada malam itu. Lalu meminta semua pelanggannya beredar dari rumahnya dengan serta merta. Mak Siti segera masuk ke dalam bilik khasnya. Lalu bersila kejap di hadapan meja pemujaan. Dia memejamkan mata dan membaca mantera. Apa yang berlaku di rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu terpampang dalam pandangan batinnya. Dia nampak jelas jalan-jalan keluar pada tubuh Habshah itu telah dikunci. Dia membuka kunci-kunci itu dengan mantera-mantera. Kunci-kunci itu terbuka satu persatu.

Di Pulau Pinang, langsuir yang degil mula lunak bila ditekan berkali-kali oleh Salim.

“Cepat cakap! Siapa tuan engkau sekarang?” kata Salim.

Mulut Habshah ternganga-nganga seolah-olah mahu mengucapkan sesuatu tetapi terencat kerana tidak semena-mena badannya terhempas ke tilam. Habshah terlentang dengan tangan yang terdepa luas di atas tilam itu. Sejurus kemudian terdengarlah hilaian ketawa yang menggerunkan.

Salim terkejut menghadapi keadaan itu. Dia segera memejamkan mata. Melihat apa yang berlaku dengan pandangan batin. Tahulah dia bahawa kunci-kuncinya pada jalan-jalan keluar di tubuh badan Habshah itu sudah dibuka oleh seseorang. Orang yang membuka kunci-kunci itu pula bukan calang-calang orang. Dia tidak dapat melihat orang itu dengan jelas. Imejnya kabur dalam pandangan batinnya.

Salim dan Mak Siti menilai kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing. Pertarungan batin di antara mereka berdua pun berlangsung.

“Saka tu dah keluar. Kak, tolong tengokkan Kak Habshah,” kata Salim kepada Halimah.

Halimah segera mendapatkan Habshah. Air matanya gugur sebaik melihat adiknya yang terlentang dan tercungap-cungap keletihan itu.

“Apa yang jadi kepada Sah, kak?” tanya Habshah dengan suara yang lemah.

“Langsuir tu masuk dalam badan hang, dik. Baru sahaja keluar. Syukur,” jawab Halimah.

Habshah memejamkan mata perlahan-lahan. Dadanya berombak-ombak tanda dia masih bernyawa. Halimah membiarkan sahaja Habshah kerana mengandaikan adiknya tentu sangat keletihan.

Salim mula kumat kamit membaca surah Al-Fatihah dan meniupkannya ke empat penjuru rumah itu sebagai pagar pelindung dari sihir. Selain dirinya dia juga perlu melindungi semua yang ada di dalam rumah itu. Kemudian dia membaca ayat 84 surah An-Nisa’ dan ayat 64 surah Yusuf. Memasang badan untuk bersedia menghadapi ancaman Mak Siti.

Mak Siti tersenyum sinis. Dia tahu pemuda di hadapannya itu berisi. Tetapi isinya tidak melebihi ilmu yang dimilikinya. Dia sudah menilik sedalam-dalamnya. Dia malas hendak berdepan dengan Salim. Dia lebih memusatkan perhatiannya kepada Habshah. Habshah mesti dihapuskan. Dia tahu Habshah sudah mendapat alamat bahawa dia adalah dalang di sebalik semua itu. Untuk itu dia mesti berundur dahulu. Biar Salim dan lain-lain berasa menang. Tengah malam nanti akan dikerjakan ritual yang akan menamatkan segalanya. Buat masa ini Habshah haruslah dibisukan dan dia perlu mengelirukan Salim.

Mak Siti membayangkan Habshah di dalam pandangan batinnya. Membaca mantera pukau dan meniupnya ke atas imej Habshah itu. Habshah tertidur lena.

Mak Siti melihat dengan pandangan batin penduduk-penduduk kampung berdekatan rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu. Dia mendapati ada seorang jiran Mazlan dan Halimah yang membela. Orang itu adalah Kak Ani, isteri Abang Min. Kak Ani mewarisi hantu raya daripada ayahnya. Sebab itulah mulutnya lancang ikut sedap hati tanpa menghiraukan perasaan orang.

“Hai, anakku hantu raya kepunyaan Mahani Binti Som. Sekarang ini aku tuan sementara engkau. Pergi kepada Halimah Binti Badariah. Kacau keluarganya. Jika engkau tidak pergi, aku sumpah engkau. Engkau menderhaka kepada Allah. Engkau menderhaka kepada Rasullullah. Engkau menderhaka kepada aku!”

Kalimah penuh syirik itu diucapkan oleh Mak Siti dengan sepenuh hati. Hantu raya belaan Kak Ani mengikut perintahnya.

Muka Salim bergetar. Isyarat adanya hantu raya. Dia segera bangun, menguak langsir, membuka tingkap dan melihat ke luar tingkap. Di bawah pokok stak itu dilihatnya seorang perempuan.

“Siapa tu? Abang kenal?” tanya Salim kepada Mazlan.

Karim dan Kalsum turut ke tingkap. Halimah, Bibik Aminah, Raudhah dan Azlan kekal memerhati Habshah.

“Itu Kak Ani!” jerit Kalsum, spontan.

“Siapa dia tu?” tanya Salim.

“Jiran hadapan rumah,” jawab Kalsum.

Mazlan membisu.

“Dia bela hantu ke?” tanya Karim.

“Hantu dia ke yang kacau kita sejak tadi?” tanya Kalsum pula.

Salim tidak menjawab soalan daripada Karim dan Kalsum itu. Sebaliknya dia berkata, “Sihir ini banyak tipu dayanya. Kita kena berhati-hati daripada menuduh orang.”

Hantu raya yang menyerupai Kak Ani itu hilang secepat kilat. Beberapa saat kemudian terdengarlah bunyi keriat-keriut alang rumah pusaka itu.

“Bawakan saya 40 tangkai cabai kering, sedikit garam, sedikit arang, bekas kemenyan, pemetik api dan semangkuk air,” pinta Salim.

Mazlan menyuruh Halimah ke dapur untuk mengambil semua barang yang diminta oleh Salim. Nasib baik semua barang itu ada. Halimah yang kembali semula ke bilik Raudhah menyerahkan kesemua barang itu kepada Salim.

Salim membaca Al-Fatihah dan kemudiannya mematahkan satu demi satu tangkai 40 cabai kering itu sehingga menjadi tiga bahagian bagi setiap tangkai. Selepas beberapa lama, di hadapannya kini ada 120 bahagian cabai kering daripada 40 tangkai cabai kering itu. Kini dia beralih membaca ayat kursi sebanyak 33 kali yang ditiupkannya ke atas semangkuk air itu. Air yang sudah dibacakan 33 kali ayat kursi itu lalu direnjiskannya ke atas garam dan arang.

Bunyi berdentum dentam kedengaran dari tingkat atas rumah berbaur dengan bunyi keriat-keriut alang rumah yang semakin galak.

Salim membakar arang tadi di dalam bekas kemenyan sehingga membara. Lalu cabai kering dan garam tadi dibakar dengan bara arang itu. Sedikit demi sedikit sehingga habis. Ia mengambil masa yang agak lama. Asap dan gas dari kedua-dua barang itu menerawang ke udara lantas merebak ke seluruh ruang rumah. Terdengarlah bunyi deram hantu raya yang kesakitan. Tidak lama kemudian bunyi dentum dentam dan keriat-keriut alang rumah pun senyaplah.

“Alhamdulillah, benda tu sudah lari. Esok kita tengok apa jadi pada tuannya,” kata Salim.

Selepas itu tiada lagi apa-apa gangguan yang berlaku terhadap mereka. Salim memeriksa Habshah yang kelihatan lena sejak tadi. Dia mengangguk-angguk.

“Semuanya baik ke Salim?” tanya Halimah.

“Baik buat masa sekarang,” jawab Salim. “Alhamdulillah, Allah lindungi dia buat masa sekarang.”

“Siapa punya kerja ni, Salim?” tanya Kalsum tiba-tiba.

“Saya tak berani hendak kata,” jawab Salim.

“Kak Ani?” tanya Kalsum. “Mungkin benda yang kacau Habshah di Klang tu dah tak ikut sampai ke mari. Benda belaan Kak Ani pula yang ambil kesempatan untuk makan si Habshah ni.”

“Wallahu a’lam. Tetapi dalam permainan sihir ni, apa yang dinampak tak seperti yang dinampak,” jawab Salim.

“Maksud Salim?” tanya Mazlan.

“Maksudnya, bomoh yang tinggi ilmunya mampu menyembunyikan diri di belakang orang lain. Orang lain yang dituduh. Dia terlepas begitu sahaja,” jawab Salim.

“Begitu halnya dalam kejadian tadi?” tanya Mazlan.

“Mengikut firasat saya begitulah,” jawab Salim.

“Jadi siapa dalang yang sebenar?” tanya Halimah.

“Saya nampak tak berapa jelas. Kabur. Jadi tak berani hendak kata. Insyallah, kalau Allah izinkan, pasti abang-abang dan kakak-kakak tahu juga nanti. Jika tidak, tak perlulah berburuk sangka,” jelas Salim.

Melihat Habshah tidur tenang, Salim, Mazlan, Karim, Kalsum, Halimah dan anak-anak kecil itu beredar dari bilik Raudhah itu dan berkumpul di ruang tamu. Mereka berbual-bual di situ sambil menjamah kopi O panas dan beberapa jenis biskut. Pembantu rumah menunggu Habshah di dalam bilik Raudhah.

“Salim tidurlah di sini malam ni. Besok pagi kita sama-sama ke kilang. Macam mana?” tanya Mazlan.

“Baiklah,” jawab Salim ringkas.

“Salim boleh tidur di bilik Azlan. Azlan tidur dengan kami malam ni,” kata Mazlan.

“Di mana-mana pun tidak mengapa bang. Usah susah-susah,” jawab Salim sambil memerhati sepintas lalu Azlan. Azlan tersenyum padanya.

“Anak abang ini istimewa,” kata Salim yang tiba-tiba menumpukan perbualan pada Azlan. “Dia boleh lihat makhluk halus dengan izin Allah. Dia juga boleh berhubung atau bercakap dengan mereka.”

Mazlan dan Halimah berpandangan sesama sendiri. “Memang dia boleh lihat benda-benda halus tu tetapi kami tak tahu pula dia boleh bercakap dengan mereka.”

“Kami terkejut bila dia beritahu yang Kak Ani tu ada bela hantu dulu. Satu hari masa kak pergi rumah Kak Ani, dia terlepas cakap depan Kak Ani, bertanya kenapa dia nampak Kak Ani melintas masuk bilik air sedangkan Kak Ani ada bersama kami di ruang tamu. Kak Ani melenting marah. Lama juga dia tak bertegur sapa dengan kami walaupun kak minta maaf dan beri alasan budak-budak mana tahu apa,” terang Halimah pula.

Salim mengangguk dan tersenyum. “Jika dia mahu, dia juga boleh panggil mereka. Tetapi belum sampai masanya lagi sebab dia masih kecil. Abang kena hantar dia belajar agama pada orang yang betul. Takut nanti kelebihannya itu disalahgunakan.”

“Insyallah,” jawab Mazlan sambil mengusap-usap ubun-ubun Azlan.

“Dari mana Salim belajar ilmu begini?” tanya Karim, menyampuk perbualan itu tiba-tiba.

Salim mengalihkan pandangannya pada Karim lalu tersenyum. “Dari kiyai saya di pesantren.”

“Pesantren mana?” tanya Karim yang lebih teruja untuk tahu bagaimana anak muda di hadapannya itu boleh jadi hebat dan sampai boleh melawan dan menghalau hantu.

“Di Indonesia. Lebih tepatnya di Lombok,” jawab Salim.

“Hebat ke ilmu di sana?” tanya Karim, matanya bersinar. Ingin tahunya menyala dengan lebih terang.

“Di sana ilmu putih pun kuat, ilmu hitam pun boleh tahan. Tetapi yang haq sentiasa akan mengatasi yang batil. Malangnya yang haq itu tak ramai yang kejar atau mahu. Tetapi yang batil itulah yang ramai orang berlumba-lumba hendak dapatkan,” jawab Salim.

“Jika saya mahu dapatkan ilmu macam Salim ini bagaimana?” tanya Karim, tersengih tetapi memaksudkan kata-katanya itu.

“Abang pergi mengaji. Insyallah, dengan keikhlasan hati, tuan guru abang kelak pasti akan turunkan ilmu rahsia ini kepada abang,” jawab Salim.

“Kalau saya hendak mengaji dengan guru Salim di pesantren di Lombok tu, boleh?” tanya Karim.

“Ya, ya, boleh saja. Tiada salahnya,” jawab Salim. “Tetapi di Malaysia ini, di Tanah Melayu ini, ramai tok guru yang hebat. Malah lebih hebat atau setara dengan tok-tok guru di kepulauan Indonesia.”

“Kalau Salim bawa saya berjumpa dengan guru Salim, mungkin lebih senang diterima,” kata Karim.

“Baiklah,” jawab Salim. “Jika niatnya ada eloklah diteruskan.”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin