Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 13

Sejak itu Karim menjadi orang suruhan Munarep. Dia melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh Munarep. Menyediakan bahan-bahan untuk santet, menyelia pesakit yang datang berubat, meletakkan bahan-bahan sihir di bawah rumah orang dan sebagainya. Dia menjadi orang yang paling rapat dengan Munarep yang memang selama ini sebatang kara.

Karim tidak mengikut Munarep secara melulu. Dia mencerap setiap perlakuan Munarep. Malah ada mantera-mantera tertentu yang sudah pun dihafalnya. Dia juga sudah mahir benar mengendalikan bahan-bahan santet dan sebagainya. Malah ramuan-ramuan untuk sihir-sihir hebat juga sudah terakam kemas di dalam ingatannya. Dia juga sekarang tidak keseorangan menjadi orang suruhan Munarep. Sebulan yang lalu dia berjaya menrekrut seorang pemuda sasak yang sebatang kara di Mataram ini untuk mengikut mereka. Syarat awal Munarep supaya dia mencari pengganti sekiranya sampai masanya diperturunkan ilmu dan pergi dari situ berjaya dipenuhinya. Kini hanya menanti Munarep menurunkan semua ilmunya secara rasmi kepadanya.

Penantiannya itu berakhir pada malam itu. Munarep memintanya menemuinya di dalam bilik khas. Kini mereka duduk berhadapan tidak lagi sebagai orang suruhan dan tuan. Tetapi sebagai mahaguru dan anak murid.

“Wahai Karim, sekarang aku akan ambil engkau menjadi muridku. Mahukah engkau?” tanya Munarep.

“Ya, mahaguru,” jawab Karim.

“Mahukah engkau ikut segala syaratnya?” tanya Munarep lagi.

“Ya, mahaguru,” jawab Karim.

Munarep tersenyum melihat Karim lantas bangun dan berdiri selangkah daripada Karim. “Sekarang, sembah dan cium kakiku,” arahnya.

Karim melepaskan sila lalu bersujud menyembah Munarep. Kemudian merangkak sedikit lantas menyembah lagi. Tetapi kali ini sambil mencium kaki mahagurunya itu. Kaki yang berkuku panjang dan hitam itu dicium semahu-mahunya. Dia berasa kepalanya disentuh Munarep. Dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang meresap masuk ke dalam kepala lalu merayap ke seluruh tubuhnya.

“Sekarang engkau sah anak muridku!” kata Munarep lalu ketawa besar.

Karim berasa gembira. Dia tersenyum bangga.

Bermula pada malam itu juga, pada setiap malam tanpa bintang atau pada bulan penuh, dalam tiga bulan itu, Karim diajar satu persatu ilmu-ilmu hitam paling berkuasa suku sasak yang dimiliki oleh Munarep. Disamping ilmu-ilmu hitam lain seperti pedang pekir, kedebong embus, semanis mate dan sebagainya yang diajar sekali lalu.

Pertama, dia diperturunkan oleh Munarep dengan ilmu Banggru. Bukan ilmu Banggru biasa tetapi luar biasa. Diajar mantera dan ritual ilmu itu dengan sempurna supaya mangsa yang dirasuk ilmu ini tidak mampu dipulihkan kecuali memenuhi syarat. Dia mencuba ilmu hitam itu buat pertama kalinya kepada seorang gadis penjual ayam taliwang di sebuah gerai makanan di tengah kota Mataram itu. Mangsanya itu dipilih secara spontan. Tidak ada apa-apa hubungan langsung dengannya. Gadis itu merana. Ilmu sihir Banggru itu berjaya dikuasainya.

Selepas itu dia diperturunkan oleh Munarep dengan ilmu Sokik Api. Diajar mantera dan ritual melakukan sihir tersebut. Dia mencuba ilmu hitam itu kepada seorang pesilat. Pesilat ini dipilih secara rambang ketika sedang membuat demonstrasi pertarungan di salah satu acara di Mataram. Mengikut khabar yang didengarnya pesilat ini adalah antara pelapis yang terhandal di Pulau Lombok itu. Sihirnya menjadi dengan sempurna. Pesilat itu merana kesakitan kerana kepanasan. Akhirnya menemui ajal tidak berapa lama kemudian.

Karim terus menunggu Munarep menurunkan ilmu selak, ilmu paling hebat yang dimiliki oleh Munarep. Tetapi orang tua itu seperti enggan hendak menurunkan ilmu itu dalam masa terdekat. Jadi, sekarang masa untuk meninggalkan mahagurunya itu. Mahagurunya itu membenarkan. Selepas beberapa lama di Mataram akhirnya dia meninggalkan kota yang banyak mengubah hidupnya itu.

Karim tidak terus pulang ke Malaysia. Dia mahu berkelana ke dua tempat lagi. Destinasi pertamanya ialah Bali. Dia pernah melihat betapa hebatnya ilmu sihir Bali. Seorang pesakit yang disihir oleh dukun bali hampir sahaja melayang nyawanya. Nyaris waris pesakit itu sempat membawanya berjumpa Munarep. Dia lihat mahagurunya itu berhempas pulas mengubati pesakit itu. Malah mahagurunya itu mengalami kecederaan dalaman ketika bertempur batin dengan dukun bali itu. Dia teringat kata-kata mahagurunya, “Memang dari dulu, dukun bali selalu menyusahkanku. Begitu juga dukun dari Pati.”

Karim tiba di Bali. Berlagak seperti orang biasa yang dungu. Menyembunyikan segala ilmu hitam suku sasak yang dimilikinya. Tidak lama kemudian dia berjumpalah dengan I Gede Mahendra, antara dukun paling terkenal di Bali. Dia diterima menjadi murid dukun itu selepas bersusah payah memujuk dan merayu. Walaupun berasa ada sesuatu yang disembunyikannya tetapi dukun bali itu tetap menerima Karim sebagai anak muridnya.

Prosesnya sama ketika dia mula-mula menjadi murid Manurep dahulu. Menjadi orang suruhan pada mulanya dan sedikit demi sedikit sampai berjaya mendapatkan kepercayaan dukun bali tersebut. Akhirnya dukun itu menurunkan segala ilmu hitam bali yang dimilikinya kepadanya. Setelah sudah berguru dengan mahaguru keduanya itu, maka dapatlah dia ilmu desti dan cetik bali. Juga ilmu leak yang dikatakan mirip ilmu selak itu. Malah ilmu leak dikatakan lebih hebat berbanding ilmu selak.

Badannya terkesan sedikit dengan pertambahan ilmu hitam itu. Tetapi lama kelamaan ilmu hitam sasak dan bali itu elok menyatu di dalam dirinya walaupun kadang-kadang dia berasa bebannya. Sesekali dia berasa pitam.

Walaupun begitu, dia tidak pernah terlintas untuk membatalkan hasratnya untuk menuntut ilmu hitam jawa pula. Selepas habis menuntut daripada dukun bali, dia bergegas ke Pati, Jawa Tengah. Dia menjadi murid kepada Ji Joko Budianto, salah seorang dukun jawa yang terkenal. Dia diterima masuk ke dalam padepokan dukun itu. Seperti biasa melalui senjata pujuk dan rayu. Melihat kesungguhan dan ketebalan jahilnya, maka Ji Joko Budianto menerimanya. Mula-mula sebagai orang suruhan dan semakin lama meningkat menjadi murid yang paling dipercayai. Sebagai murid yang paling dipercayai, Karim diturunkan dengan ilmu-ilmu hitam jawa. Santet, teluh, pelet dan pelbagai ilmu hitam jawa berjaya dimilikinya. Dia mahir dengan semua ilmu hitam itu dengan begitu pantas. Ji Joko Budianto berasa takjub dan berasa bangga kerana punya anak murid sehebat Karim.

“Sekarang aku mahu lihat engkau praktikkan ilmu yang kuajar itu. Pilih mangsamu,” kata Ji Joko Budianto.

Karim serta merta teringatkan Sanusi.

“Engkau sudah pilih mangsamu?” tanya Ji Joko Budianto.

Karim mengangguk.

“Santet dia,” arah Ji Joko Budianto.

Karim menyantet Sanusi dengan menggunakan patung jerami.

“Tiga hari lagi mangsa engkau itu akan mati,” kata Ji Joko Budianto dengan penuh yakin.

Karim menelefon Kalsum pada hari ketiga selepas dia menyantet Sanusi. Benarlah seperti yang dikatakan oleh Ji Joko Budianto. Sanusi sudah meninggal dunia pagi tadi. Kebetulan Sanusi pulang ke kampung seminggu lepas. Dia baru sahaja dikebumikan selepas asar tadi.

Selepas merantau lebih kurang tiga tahun lebih, akhirnya Karim memutuskan untuk kembali ke Malaysia. Dia berasa ilmu hitam yang dimilikinya sudah cukup untuk menjadi bekalan hidup di Malaysia nanti. Dia sudah merancang segalanya dengan rapi. Tetapi malam sebelum dia pulang ke Malaysia, dia diserang demam. Badannya berpeluh dingin. Kepalanya diserang pening. Dadanya berasa sesak. Dia tahu sebabnya. Ilmu-ilmu hitam yang bercampur baur itu sedang menunjukkan kesannya yang sebenar. Malam itu dia bermimpi, seorang lelaki tua yang pendek dan gendut memberitahu bahawa itulah kesan yang akan dihadapinya kerana menuntut ilmu-ilmu berlainan suku itu. Dia akan jatuh sakit dan menderita dalam satu tempoh. Akan bangun semula selepas itu dengan kekuatan baru kerana ilmu-ilmu hitam itu sudah menyatu antara satu sama lain.

Karim tersentak terjaga. Badannya berasa semakin lemah. Tetapi dia bertegas untuk pulang ke Malaysia pada hari itu juga. Dia lepas semua pemeriksaan di lapangan terbang. Akhirnya sampai di Malaysia. Berjalan longlai keluar dari dewan ketibaan dan disambut oleh Kalsum, anak-anaknya, Mazlan, Abang Khalid, Halimah dan Fauziah. Dia meminta mereka terus pulang ke Pulau Pinang dengan alasan dirinya demam. Mazlan memandu terus dari Subang ke Pulau Pinang dalam kereta yang bersempit.

Karim rebah di muka pintu rumah pusaka keturunan Haji Zainul sebaik sampai. Mazlan memapahnya naik ke tingkat atas dan dibaringkan di atas katil. Bermula dari waktu itu keadaannya semakin teruk hari demi hari. Dia tidak mampu berdiri. Tidak upaya berjalan. Terkejang sahaja di atas katil. Buang air kecil dan besar di atas tilam. Enggan dipakaikan lampin pakai buang dewasa. Hancing air kencing dan busuk tahi meloyakan Kalsum dan anak-anak. Kadang-kadang bau itu tersebar sehingga ke tingkat bawah. Badannya semakin hari semakin kurus sehingga akhirnya menampakkan tulang rusuk dan tengkorak kepalanya. Yang peliknya selera makannya tidak pula kurang. Malah ia bertambah dari hari ke hari. Belum pun nasi di dalam mulut dikunyah lumat, dia sudah minta Kalsum menyuapkan nasi lain. Paling kurang dia makan dua pinggan setiap hidangan. Selalunya sampai tiga, empat dan lima pinggan untuk satu hidangan!

Yang lebih pelik ialah Karim tidak mahu dihantar ke hospital. Berkali-kali Kalsum menyatakan hasrat untuk membawanya ke hospital tetapi ditolak dengan tegas. Sampai mencarut memarahi isterinya yang mengambil berat tentang dirinya itu. Sejak dicarut dan dimarahi Karim di hadapan Mazlan dan Halimah, Kalsum tidak lagi bertanyakan tentang hal itu. Pagi, petang, siang, malam, Kalsum berendam air mata memikirkan penyakit yang menimpa suaminya itu. Masa hadapannya dan anak-anak kelihatan suram kerana duit simpanan yang semakin berkurangan jika Karim tidak pulih seperti dahulu. Dia tidak nampak ada harapan untuk Karim pulih.

Tepat jam dua belas tengah malam, pada hari ke 44 Karim terlantar, dia dapat merasakan sesuatu masuk melalui kedua belah tapak kaki dan kepalanya. Dia berasa amat dingin. Seperti ada angin antartika yang sedang menjalar di dalam setiap urat-urat dan tulang-tulangnya. Dia dapat merasakan tiga angin sejuk itu akhirnya bertembung di dalam dadanya. Tiba-tiba dadanya itu panas membahang sehingga menyakitkannya. Dia meraung sekuat-kuat hati. Anehnya raungan itu tidak didengari oleh sesiapa pun termasuk Kalsum dan anak-anak yang tidur di lantai berdekatan. Badannya melentik-lentik menahan kesakitan. Tidak lama kemudian badannya terhempas ke tilam bila kesakitan itu hilang mengejut. Dia kembali sihat. Dia serta merta merasakan semangat baru yang sedang bernyala-nyala di dalam dirinya.

Karim bangun dari perbaringan. Duduk seketika di tepi katil sebelum terus keluar dari bilik tidur itu. Kainnya terlondeh dan terlepas dari badan. Dia berjalan terus ke ruang tengah. Tempat pertama yang dituju selepas pulih itu ialah sebuah almari lama yang sudah berada di situ sejak puluhan tahun. Dia membuka almari lama itu dengan tergesa-gesa. Mengeluarkan seluruh isi di dalamnya dengan kasar. Al-Quran dan kitab kuning dibiarkan jatuh bersepai dan bersepah di lantai. Kitab-kitab kuning itu dipijak-pijak dan Al-Quran pula bukan setakat dipijak tetapi ditendang melayang menghempas dinding. Kemudian selerakan Al-Quran dan kitab-kitab kuning itu dikencingnya. Al-Quran diperlakukan dengan lebih biadap. Dia duduk bertinggung lalu berak di atas salah sebuah naskah Al-Quran itu. Dia ketawa seronok bila melihat tahinya berselepat di halaman naskah Al-Quran itu. Dia mengoyak halaman-halaman naskah-naskah Al-Quran yang lain. Halaman-halaman Al-Quran yang dikoyaknya itu dibuat sebagai tisu pengelap najisnya.

Selepas itu Karim memasukkan naskah-naskah Al-Quran dan kitab-kitab yang berselepat dengan najis dan basah dengan air kencingnya itu ke dalam plastik sampah. Dia mencampak plastik sampah itu di atas siling ruang tengah itu.

Kini dia berjalan pula ke sorong rumah. Membuka salah sebuah tingkap di situ. Terbelahak dan sendawa beberapa kali. Kemudian mengeluarkan kahak dari kerongkong. Meludah gumpalan kahak itu ke luar. Kahak hijau bercampur merah darah itu jatuh pada pokok limau kasturi yang ditanam di tanah.

Sejurus kemudian dia kembali ke ruang tengah. Duduk bersila kejap di tengah-tengah ruang tengah itu. Dia membaca mantera dan meniupnya pada segenap penjuru rumah. Rumah itu bergegar sedikit. Dia tersenyum lalu berkata :

“Mulai saat ini engkau semua jaga rumah ini. Inilah sarang engkau sekarang. Inilah istana kita sekarang!”

Alang rumah berkeriat-keriut, bumbung berdetap-detap, angin menderu kasar di luar.

Karim ketawa semahu-mahunya. Kemudian dia bangun, mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Dia menoleh pantas ketika berada di muka pintu bilik air kerana merasakan ada seseorang sedang memerhatikannya. Soraya berdiri tegak di ruang tamu. Anaknya yang paling bongsu itu melihat semua kejadian itu tanpa rasa gentar malah tersenyum pula. Karim membalas senyuman Soraya. Soraya kembali ke bilik tidur.

Di tingkat bawah, Azlan tersentak terjaga dan kemudian tidur semula selepas beberapa ketika.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin