Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,825
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 32

32

Angin malam bertiup lembut menampar tubuh dan wajah Tan Sri Lukman Hakim. Malam bertambah indah dengan neon-neon yang bercahaya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Puan Sri Karmila mendapatkan suaminya. Ditatangnya dulang yang berisi minuman lalu diletakkan di hadapan suaminya.

“Jauh abang termenung? Ingatkan buah hati ke?” Puan Sri Karmila mengusik manja.

“A’ah abang teringatkan buah hati. Entah buah hati abang itu teringatkan abang ke tidak?” Tan Sri Lukman Hakim mengeluh.

Puan Sri Karmila menoleh ke arah suaminya. Matanya dijengilkan sebagai tanda tidak puas hati. Jiwanya diamuk resah.

“Hai sejak bila pula abang dah berani pasang baru di belakang saya?” soalnya cemburu. Tan Sri Lukman Hakim tersenyum penuh makna.

“Eh, kita bertanya dengan dia, boleh pula dia senyum ala-ala kambing dengan kita.”

“Sayang cemburu ya?”soal Tan Sri Lukman Hakim mengusik.

“Tak,” jawab Puan Sri Karmila cuba menafikannya. Pandangannya dikalihkan. Bergetar jiwanya tatkala memandang ke arah suaminya.

“Tak perlulah sayang nak berdalih, sekilas abang tengok muncung itu, abang dah tahu apa yang tersirat dan tersurat di hati sayang.”

Puan Sri Karmila mencebikkan bibirnya. Dia tahu pengalaman hidup bersama suaminya selama 31 tahun telah membuatkan mereka saling mengenali dan memahami. Dia teringat bagaimana kali pertama dia bertentang mata dengan suaminya.

Perkahwinan mereka bukanlah atas dasar cinta tetapi atas dasar pilihan keluarga. Kali pertama dia bertentang mata dengan suaminya hanya pada hari pernikahan mereka dan itulah cinta pandang pertamanya. Alhamdulillah mereka hidup bahagia disamping tiga cahaya mata yang sudah membesar dengan sempurna.

“Amboi jauhnya sayang termenung,” tegur Tan Sri Lukman Hakim.

“Tak adalah cuma teringat masa muda-muda dulu. Eh, abang tak jawab soalan saya lagi tadi.”

“Soalan apa?” Tan Sri Lukman Hakim pura-pura tidak mengerti.

“Siapa dia buah hati abang tu yang abang bukan main khusyuk merindu.”

Tan Sri Lukman Hakim ketawa besar. Kepalanya digelengkan.

“Siapa lagi buah hati tu kalau bukan anak bongsu kita, L.”

“Abang sengaja kenakan sayang. Tak baik tau!” Puan Sri Karmila menampar manja dada bidang sasa suaminya. Malu dia kerana dipermainkan seperti itu.

Tan Sri Lukman Hakim tertawa bahagia. Dia merangkul pinggang isterinya. Dahi isterinya dikucup dengan penuh kasih sayang. Puan Sri Karmila tersenyum. Malu. Dia melentokkan kepalanya di dada suaminya.

“Abang rasa dah sampai masanya untuk kita carikan jodoh untuk L. Lagi pun siang tadi, Tengku Zaim ada bertanyakan abang tentang L. Kalau boleh dia mahu jodohkan anak kita dengan anak dia. Si Tengku Naim itu. Apa pendapat sayang?”

“Tengku Naim...” Puan Sri Karmila cuba mengingat gerangan empunya nama.

“Oh, Tengku Naim, budak yang suka buli L masa kecil dulu?” tanya Puan Sri Karmila.

“Dialah itu,” jawab Tan Sri Lukman Hakim.

“Bukan ke dia belajar di Australia?”

“Sekarang dah ada kat Malaysia. Dia ambil alih perniagaan Tengku Zaim.”

“Tapi nak ke si L itu terima cadangan kita?” tanya Puan Sri Karmila ragu-ragu.

“Abang rasa tak ada masalah. Lagi pun sampai bila dia nak membujang? Bila kita tanya dia ada calon ke tak jawapannya sentiasa tak. Jadi biar kita yang carikan jodoh untuknya. Senang cerita.”

“Habis itu bila Tengku Zaim nak masuk meminang?”

“Ewah, ewah sayang pula yang excited. Macam dia pula yang nak kahwin. Jangan-jangan masa keluarga abang masuk meminang dulu, sayang pun over excited macam ni juga ya?” Tan Sri Lukman Hakim menduga.

“Mana ada. Tak excited pun nak kahwin dengan abang,” nafi Puan Sri Karmila.

“Ya ke?” Tan Sri Lukman Hakim meletuskan tawa melihat telatah isterinya. Puan Sri Karmila turut sama tertawa. Bahagia!

“Tapikan abang, sayang rasa kita perlu bincang dulu dengan L. Buatnya budak itu dah ada pilihan hati sendiri haru biru kita nanti. Malu kita pada Tengku Zaim dan Tengku Laila.”

“Betul juga kata sayang. Lagipun Tengku Zaim baru bertanya. Kalau kita dah setuju barulah dia masuk merisik dan meminang.”

“Dah besar rupanya anak kita itu. Saya rasa baru semalam saya kandungkan dan lahirkan dia. Diam tak diam dah nak dipinang orang anak kita tu. Cepat betul masa berlalukan abang.”

“Yelah, kita pun dah semakin tua tinggal tunggu ajal menjelma.”

“Abang...”

“Ya sayang.”

“Sayang bangga jadi isteri abang. Terima kasih kerana menerima sayang seadanya.”

“Sayang, bukankah abang pernah katakan abang mahu cinta yang kita bina ini biarlah cinta hingga ke syurga. Ingat, seorang lelaki tidak akan berjaya tanpa wanita di sisinya. Abang bertuah kerana memiliki sayang sebagai isteri abang. Sayang adalah anugerah ALLAH yang tidak ternilai dan anak-anak adalah amanah ALLAH yang termahal buat abang. Terima kasih, sayang.”

“Kasih diterima abang.”

Langit malam dipandang mereka dengan penuh kesyukuran. Bulan dan bintang pasti cemburu melihat kemesraan mereka.

Previous: bab 31
Next: bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.