Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,889
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 5

5

Elfira menolak daun pintu dengan kasar. Sakit hatinya dilempiaskan pada pintu. Sebaik masuk ke dalam rumah Firuz Eidil, mulut Elfira ternganga luas. Dia ternganga bukan sebab kagum dengan hiasan rumah tersebut atau melihat betapa cantik dan bersihnya rumah itu tetapi ia adalah sebaliknya! Rasa macam nak pengsan! Ambulance please!

“Hish ini rumah atau tempat pembuangan sampah? Bersepah! Eee...berhabuk lagi. Macam mana nak kemas ni. Dahlah aku tak pernah kemas rumah,” omel Elfira panjang lebar.

Rumah teres dua tingkat itu kelihatan tunggang-langgang. Ini baru di tingkat bawah belum lagi di tingkat atas. Elfira mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Harapannya agar tingkat atas tidak seperti di bawah. Dia berdoa di dalam hati. Jika tidak teruk dia kena kemas rumah itu. Lagipun dia mana pernah mengemas rumah. Semuanya pembantu rumahnya yang buat.

Pintu bilik ditolaknya. Matanya terkasima memandang ke dalam bilik itu. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kepalanya rasa bagai nak pitam.

“Berseleraknya! Ini bilik ke apa?” jeritnya kuat seolah-olah sedang memarahi seseorang.

Satu keluhan berat dilepaskannya. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Pening, pening! Haru-biru! Dia berlalu menuju ke bilik utama. Kali ini dia tidak berharap bilik itu akan bersih. Pintu bilik ditolak kasar. Ha! Kan dah kata mesti bersepah juga. Elfira ketawa kuat. Dia ketawa bukan sebab suka tapi sebab sakit hati terlampau kepada Firuz Eidil.

“Lelaki ni memang sengaja nak kenakan aku. Apalah dosa aku padanya. Dia ingat dia tu siapa?”

Masih terngiang-ngiang kata-kata Firuz Eidil pagi tadi di telinganya.

“Ada ke patut dia kata aku miskin. Dia tak tahu ke yang aku ni anak Tan Sri Lukman Hakim!” Elfira menjerit kuat melepaskan geram yang bersarang di hatinya.

“Tapi kalau fikir-fikir balik memanglah dia tak tahu aku ni anak Tan Sri. Ya ALLAH inikah balasan sebab menipu mama dan papa? Tapi L tak ada niat untuk menipu mereka,” luahnya dengan nada kesal.

Elfira merapati katil Firuz Eidil. Gambar lelaki itu dipandangnya dengan penuh benci. Lidahnya dijelirkan. Dia mengejek lelaki itu seolah-olah lelaki itu ada di hadapannya kini.

“Ini mesti tunang dia. Amboi bukan main seksi lagi. Macam dah tak cukup kain kat Malaysia ni. Sepadan sangatlah dengan si Firuz Eidil itu,” omelnya lagi.

Dia teringatkan kata-kata Sofea tentang tunang Firuz Eidil yang dipanggil minah over. Memang sesuai pun gelaran yang diberikan Sofea kepada tunang Firuz Eidil itu. Elfira meletakkan gambar itu kembali ke tempat asalnnya. Dia kemudian menyelak langsir yang menutupi tingkap. Setelah itu daun tingkap dikuak lebar. Dia turun semula ke tingkat bawah. Lalu ke dapur. Kabinet diselongkarnya. Akhirnya dia bertemu juga dengan apa yang dicarinya. Lalu dia kembali ke tingkat atas. Dia mengutip kain baju kotor dengan penyepit kuih lalu di masukkan ke dalam bakul untuk dibasuh.

Setelah itu Elfira turun semula ke tingkat bawah. Dia mencari mesin basuh.

“Wah, bagus betul bos aku ni! Basuh baju pun ada bilik khas. Siap tulis ‘mencuci pakaian sahaja’. Gila gempak mamat ni,” bebel Elfira.

Elfira segera menyepit pakaian Firuz Eidil lalu di masukkan ke dalam mesin basuh. Manakala sebelah tangannya lagi menutup hidung. Dia mengambil liquid pencuci pakaian dan ditenungnya.

“Banyak mana nak guna ni? Ah tuang jelah.” Dia menuang pencuci pakaian semahunya ke dalam mesin basuh. Lalu butang start ditekannya.

“Nasib kaulah Firuz.”

Elfira berlalu. Dia kemudian mengemas seluruh rumah tersebut. Elfira mengelap peluh yang membasahi mukanya. Dia kemudiannya bercekak pinggang. Dia mengukir senyum. Puas hati dengan hasil kerjanya. Inilah kali pertama dia mengemas rumah sepanjang usianya 24 tahun. Hidungnya terasa gatal, lalu dia bersin. Sah penangan habuk! Diakan memang alergik dengan habuk.

Usai sahaja kerjanya, dia terus pulang ke rumah untuk bersihkan diri dan solat zohor. Selesai sahaja solat zohor Elfira terus menuju ke pejabat.

“Hai Fea,” Elfira menegur Sofea sebaik sahaja dia tiba di meja sahabatnya itu.

“L, kau pergi mana? Puas aku dan bos cari kau. Ini baru hari pertama kau kerja, kau dah buat hal. Susahlah kalau begini.”

“Kau tanya aku pergi mana? Takkan bos kesayangan kau itu tak beritahu dengan kau?”

“Beritahu apa?”

“Sah dia tak cakap dengan kau ni. Kalau kau nak tahu dia suruh aku jadi bibik kat rumah dia. Dia ingat aku ni siapa yang dia boleh arah sesuka hati dia. Geram aku tengok dia. Aku rasa macam nak cekik-cekik aje dia itu.”

“Apa? Dia suruh kau jadi bibik? Kau biar betul L? Takkanlah bos aku tu nak kau jadi bibik. Bukan ke dia tawarkan kau jadi pemandu dia aje?”

Sofea seperti tidak percaya dengan kata-kata Elfira.

“Betullah. Apa faedahnya aku nak tipu kau. Aku rasa bos kau ni ada sakit mental. Tak pun dia ada masalah jiwa. Kalau kau masuk rumah dia pun kau akan seram. Mesti kau fikir apa yang aku fikir.”

“Kau fikir apa L?”

Sofea begitu teruja. Dia rasa macam tak nak percaya aje dengan apa yang dikatakan oleh Elfira.

“Aku rasa dia tu baru terlepas dari mana-mana rumah sakit jiwa. Bahaya tu. Kau nampak dia di luar tu punyalah hensem tapi rumah dia macam dilanda tsunami,” bisik Elfira kepada Sofea.

Bab ni dia tak bolehlah cakap kuat-kuat nanti orang dengar dah mengaibkan bosnya pulak!

Sofea tidak dapat menahan tawa lalu dia ketawa kuat. Elfira bingung. Dia serius boleh pulak Sofea ketawa. Rasanya dia tak buat lawak tadi.

“Fea, kenapa kau gelak? Apa yang lucu sangat?”

“Kaulah yang lucu. L, bos aku tu tak sakit mental. Yang sakit mental tu kau.”

“Eh, aku pulak yang kena.”

“Sudah, sudah. Kita lupakan hal kau tu tadi. Sekarang ni aku nak tanya kenapa kau tak jawab telefon? Dah lenguh tau aku dail nombor kau.”

“Mana ada telefon aku berbunyi,” jawab Elfira. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Alamak bateri habislah. Aku lupa nak cas tadi.”

“Hem, patutlah. Lain kali cas bateri telefon kau tu sampai penuh.”

“Maaf, tak sengaja. Mat singa tu mana?”

“Mat singa? Siapa tu?”

“Siapa lagi bos kesayangan kaulah.”

“Oh. Dia keluar lunch dengan tunang dia. Lupa pulak, dia suruh kau masukkan cek.”

“Aku?” Elfira menuding jari ke arah dirinya.

Sofea mengangguk perlahan.

“Dia kata kau akan jadi despatch sementara.”

“Kan aku dah cakap yang bos kau tu sengal. Dia ingat aku ni robot agaknya.”

“Yang tu aku tak tahu. Tapi rasanya aku pelik jugalah sebab setahu aku dia tak macam ni. Tapi dengan kau, dia...entahlah susah aku nak cakap.”

“Kalau kau pelik aku lagi pelik. Entah apalah dosa aku kat dia agaknya.”

“Sabarlah L, mungkin ada hikmah disebaliknya. Entah-entah dia jatuh hati dengan kau tak?”

“Heeee...geli aku dengar. Kau jangan nak mengarut okey. Nanti tak pasal-pasal aku muntah hijau kat sini.”

“Siapa yang nak muntah hijau tu?” sapa satu suara dari arah belakang.

Elfira dan Sofea tergamam. Mereka memandang ke arah suara yang menyergah mereka sebentar tadi. Kelihatan Firuz Eidil sudah berdiri tegak di belakang Elfira.

“L, masuk pejabat saya sekarang!” arah Firuz Eidil. Wajahnya begitu serius.

Elfira memandang Sofea sambil mengangkat keningnya manakala Sofea mengangkat bahunya.

“Apa lagi tercegat di situ. Masuk sekarang!” bentak Firuz Eidil.

“Eeee...dia ingat aku ni pekak ke nak terjerit-jerit macam itu. Boleh pecah gegendang telinga aku ni tahu tak. Dah macam singa lapar,” bebel Elfira kepada Sofea.

“Baik kau pergi sekarang. Kalau tak teruk nanti kau di ‘ngap’ nya.”

“Okeylah aku jumpa mat singa itu dulu.”

Elfira mengenyitkan matanya nakal. Namun bibirnya sudah memuncung panjang. Sofea geli hati melihat gelagat Elfira. Dia hairan melihat sikap Firuz Eidil yang tiba-tiba suka membuli. Walhal sepanjang dia bekerja di sini tidak pernah pulak dia dibuli begitu.

Di bilik Firuz Eidil, kelihatan Elfira berdiri kaku di hadapan meja Firuz Eidil. Dia sekadar jadi pemerhati. Manakala Firuz Eidil sedang sibuk mengemas fail yang berselerak di atas meja.

“Kenapa tercegat di situ, duduklah. Pejabat saya belum nak runtuh lagi,” sindir Firuz Eidil.

“Dah orang tak jemput duduk takkan saya nak duduk. Nanti kata saya tak hormatkan majikan pula,” balas Elfira.

Firuz Eidil buat-buat tidak dengar dengan apa yang dicakapkan oleh Elfira.

“Kenapa awak tak jawab panggilan telefon saya? Kalau tak nak guna telefon bimbit itu campak sahaja kat longkang habis cerita. Ada telefon tapi tak nak guna buat apa,” bebel Firuz Eidil.

“Hish, Encik Firuz kalau cakap tak menyakitkan hati saya tak boleh ke? Bateri telefon habis. Lupa nak cas.”

“Betul apa saya cakap. Awak itu driver sepatutnya bateri telefon bimbit awak itu kena penuh sepanjang masa. Faham!”

“Ha! Encik Firuz sedar pun kerja saya ni sebagai driver tapi kenapa ya saya kena jadi bibik dan minah despatch? Itu merangkumi kerja seorang personal driver ke?” sinis bicara Elfira. Keningnya diangkat tinggi. Ingat Ziana Zain je ke yang boleh angkat kening. Dia pun boleh juga tau!

Firuz Eidil terkedu. Dia tidak menyangka Elfira akan berdebat dengannya. Dia menarik nafas lalu dilepaskan perlahan.

“Okey, saya memang ambil awak sebagai pemandu peribadi saya, tapi saya juga perlukan seorang pembantu rumah dan despatch. Jadi saya rasa awak layak untuk buat kerja-kerja tu. Awak jangan risau saya akan bayar gaji awak dengan setimpal.”

“Layak? Apa maksud Encik Firuz dengan layak? Oh...saya layak sebab saya miskin, begitu? Atau pun Encik Firuz rasa kerja-kerja macam itu lebih layak buat saya daripada kerja kilang? Encik Firuz nak buat amal kebajikan dengan bagi saya kerja dan bayar gaji saya dengan lumayan. Macam itu ke maksud Encik Firuz? Hina ke kalau saya miskin? Saya tak susahkan orang.”

“Saya tak cakap awak miskin,” dalih Firuz Eidil.

“Saya rasa Encik Firuz Eidil ni dah nyanyuk. Pagi-pagi lagi Encik Firuz Eidil dah kata saya ni miskin sekarang nak nafikan pulak?”

Firuz Eidil ketawa. Menyampah Elfira melihat tawa Firuz Eidil. Menyakitkan hati!

“Awak ni kelakarlah, L. Cik adik, miskin tak bermakna miskin dari sudut harta atau wang ringgit. Tetapi ia jua boleh dikategorikan dalam sudut pandang yang lain. Yang saya maksudkan pada awak pagi tadi adalah miskin attitude. ”

“Maksud Encik Firuz?”

“Itu awak kena cari sendiri. Kalau awak nak talian hayat saya boleh bagi. Tapi tengok dari cara awak ni saya yakin awak ni budak kampung je. Entah tamat SPM ke tak?”

Firuz Eidil mengenyitkan matanya nakal. Elfira mengecilkan anak matanya. Jika ikutkan hatinya ingin sahaja dia cekik-cekik lelaki itu sekarang juga. Belum ada lelaki yang berani buat dia begitu.

“Tak apalah Encik Firuz. Saya pun tak teringin nak tahu. Simpan sahajalah talian hayat Encik Firuz tu. Terima kasih.”

“Kasih diterima,” jawab Firuz Eidil bersahaja. Dia masih mahu membakar hati dan perasaan Elfira.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya nak keluar.”

“Keluarlah. Tapi sebelum itu ambil cek dari Sofea dan tolong depositkannya. Jangan lupa my miss driver aka bibik.” Firuz Eidil mengenyitkan matanya.

Elfira menjeling tajam ke arah Firuz Eidil.

“Lepas tu terus datang ofis jangan balik rumah buat tahi mata pulak.”

“Ya, Encik Firuz Eidil!” jawab Elfira meluat.

Elfira terus berlalu keluar dari bilik Firuz Eidil. Sebaik sahaja dia menutup pintu bilik Firuz Eidil, dia mengajuk kembali kata-kata Firuz Eidil. Dia mengejek. Puas hati dia. Sofea yang nampak akan perbuatan Elfira sekadar menggeleng kepala.

“Aku nampak apa kau buat tadi. Dah puas hati? Kalau ya pun nak lepaskan geram jangan jadikan pintu itu mangsanya. Kau ejek kat pintu bukan si mat singa kau itu nampak.”

“Tak kisahlah. Janji aku puas hati.”

“Apa yang dia dah buat pada kau sampai kau marah sangat ni?”

“Kau tahu dia kata aku miskin attitude! Lepas itu boleh dia kata aku ni entah lulus SPM ke tak? Sakitnya hati aku! Dia tahu tak yang dia tu sedang bercakap dengan Elfira Tan Sri Lukman Hakim?”

“Kau beritahulah dia siapa kau sebenarnya? Kan mudah. Mesti dia tak akan layan kau macam ni.”

“Tak nak! Dan kau jangan nak mengada-ngada beritahu dia siapa aku. Kalau tak putus sahabat.”

“Eh aku pula. Ya, aku janji tak cakap dengan dia. Nanti, dia kata kau miskin attitude? Apa maksudnya?”

“Manalah aku tahu. Malaslah aku nak fikir. Buat sakit otak aku aje. Nanti tak pasal-pasal aku pula yang masuk hospital sakit jiwa.”

“Sabarlah L.”

“Sabarlah ni kalau tak dah lama aku cekik-cekik dia. Aku penyek-penyekkan dia. Aku ada taekwando, silat dan karate do, dia ada?”

Sofea menggelengkan kepalanya.

“Dahlah, aku nak pergi bank in kan cek itu. Kalau tak membebel aje dia nanti.” Elfira berlalu meninggalkan Sofea terkulat-kulat.

Sofea menggeleng.

“Alahai L, ini baru hari pertama dah kecoh begini. Macam manalah agaknya hari-hari seterusnya. Hish yang aku sibuk hal mereka ni kenapa? Suka hati merekalah kan?”

Sofea kembali menjalankan tugasnya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.