Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,325
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 12

12

Elfira sudah tercegat di muka pintu. Dia menekan loceng rumah Firuz Eidil. Beberapa minit kemudian, Firuz Eidil keluar dan pintu di buka. Mereka saling berbalas pandang. Elfira memalingkan wajahnya dari Firuz Eidil. Dia menonong masuk ke dalam rumah.

“Amboi, selambanya masuk. Ada ke saya suruh masuk?” soal Firuz Eidil sinis.

Elfira memandang ke arah Firuz Eidil.

“Oh tak ada ya? Okey kalau begitu saya keluar baliklah.”

Elfira sudah menuju ke pintu.

“Ada ke saya suruh awak keluar?”

Elfira memandang Firuz Eidil bosan.

“Kenapa dengan Encik Firuz ni, masuk salah, keluar pun salah. Mengigau lagi ke?” bentak Elfira.

“Dah jangan nak buat muka bengang dengan saya. Sekarang awak pergi dapur dan buatkan sarapan pagi untuk saya dan adik-adik saya.”

“Hem, tahu.”

“L, hari ini awak kena buktikan yang awak tak seperti yang saya bayangkan.”

“Kenapa? Encik Firuz tak percaya dengan kebolehan saya?”

“Lebih kurang begitu.”

“Okey, hari ini saya akan buktikan yang saya pandai masak! Ala setakat nasi goreng, tak ada hal lah.”

“Bagus. Kalau begitu hari ini saya nak awak masak mi goreng. Dalam peti sejuk tu ada mi. Jadi eloklah awak masak mi tu sebelum tamat tempoh. Lepas tu buatkan air kopi o kaw-kaw. Sekarang saya nak pergi mandi. Ingat, jangan awak pergi beli pulak! Terima kasih sayang,” sindir Firuz Eidil sambil mengenyitkan mata. Nakal.

“Uweekkk!”

Elfira kegelian apabila Firuz Eidil dengan selambanya panggil dia sayang. Rasa macam nak muntah.

“Yang awak buat muka tu kenapa? Marah atau awak tak tahu nak buat mi goreng? Tak pun awak dah tergoda dengan panggilan sayang?” sindirnya lagi.

Elfira menahan geram. Gegendang telinganya rasa bagai nak meletup mendengar kata-kata Firuz Eidil. Jika diikutkan hatinya ingin sahaja dia mencekik-cekik lelaki itu dan menjerit sekuat hati. Dia menghantar Firuz Eidil dengan pandangan yang tajam manikam. Manakala Firuz Eidil menghadiahkan kenyitan nakal kepada Elfira. Dia tahu bahawa hati gadis itu sedang marak dengan api kemarahan. Firuz Eidil hilang dari pandangan mata Elfira.

Tanpa disedari oleh mereka, Ain Nadia sedang mengintip perbuatan mereka. Sebaik sahaja dia mendengar loceng rumah berbunyi pagi tadi, dia sudah melihat sandiwara Firuz Eidil dan Elfira. Ain Nadia hairan melihat abangnya yang suka mengarah itu ini kepada Elfira. Dia yakin ada sesuatu di hati abangnya terhadap Elfira. Apabila melihat Firuz Eidil menuju ke tangga, Ain Nadia segera masuk ke biliknya.

Elfira segera mengambil telefon bimbitnya.Nombor Sofea didailnya dengan geram. Dia menunggu taliannya disambungkan. Lega rasanya apabila mendengar suara Sofea memberi salam di hujung talian.

“Fea...”

“L, kenapa suara kau lain?”

“Aku tengah geram sangat ni kau tahu tak? Kalau ikutkan hati aku yang panas membara ni, nak aku cekik-cekik si mat singa itu sampai mati. Dah itu aku kerat-kerat tubuh dia sampai tak nampak apa dah!”

“Amboi bukan main marah lagi bff aku ni. Sabar L jangan ikut hati nanti mati. Cuba kau cerita kat aku apa yang terjadi sebenarnya?”

Elfira menarik nafasnya dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan.

“Ada ke patut dia boleh tukar menu pagi ini,” beritahu Elfira geram.

“Pulak dah. Dia nak makan apa?”

“Dia minta mi goreng. Yang aku tak tahan tu boleh dia panggil aku sayang. Rasa macam nak termuntah aku dengar. Hilang akal betullah bos kau tu!”

Sofea ketawa di hujung talian. Dia tidak dapat menahan geli hatinya. Dia juga pelik dengan sikap bosnya itu. Setahunya Firuz Eidil bukanlah seorang yang suka membuli. Tetapi dengan Elfira ni lain pulak. Habis tunggang-langgang hidup Elfira diperlakukan oleh Firuz Eidil.

“Fea, aku telefon ni bukan nak dengar kau ketawakan aku tapi aku nak tahu cara-cara buat mi goreng.”

Sofea masih lagi ketawa.

“Fea, sudah-sudahlah itu!”

“Maaf, aku bukan sengaja nak gelakkan kau tapi aku memang tak tahan dengar cerita kau. Aku rasa peliklah.”

“Apa yang pelik?”

“Peliklah kenapa bos aku tu sibuk sangat nak kau masak. Silap hari bulan tunang dia pun tak buat macam apa yang kau buat sekarang. Jangan-jangan...”

“Ha, jangan-jangan apa pulak?”

“Dia dah jatuh cinta dengan kau tak?”

“Aku ingat mat singa tu je yang gila rupanya setiausaha dia pun gila. Itulah kerja lagi dengan orang gila, kan dah gila!”

“Amboi sedapnya kau kata bff kau ni gila. Kalau bos aku gila, maknanya bos kau pun gilalah sebab kita kan kongsi bos.”

“Boleh tak kalau kita tak cakap pasal mat singa itu. Sekarang tolong selesaikan masalah aku.”

Sesekali Elfira mengerling ke arah tangga bimbang jika Firuz Eidil atau adik-adik Firuz Eidil terdengar perbualannya dengan Sofea.

“Alahai L, cara nak buat mi goreng tu sama je macam kau buat nasi goreng. Tak jauh bezanya pun. Tapi kalau kau nak sedap letaklah cili sos sikit, sos tiram sikit dan kicap sikit. Pandai-pandailah kau agak.”

“Okey, terima kasih Fea.”

“Semoga berjaya!” jerit Sofea dihujung talian.

Elfira mendengus bengang. Sakit telinganya!

Dia segera mengupas bawang merah dan putih. Segala ilmu yang diperturunkan oleh Sofea semalam diguna pakai hari ini. Dengan yakinnya Elfira memasak. Dia merasa masakannya.

“Alamak tawarlah pulak.”

Elfira mengambil pot berisi garam. Dia memasukkan sesudu garam. Tiba-tiba akal nakalnya melintasi minda.

Kau suka buli akukan. Hem masa inilah aku nak balas balik. Dah penat-penat aku belajar buat nasi goreng, kau suruh aku buat mi pulak. Nanti kau.”

Dia memasukkan tujuh sudu lagi garam, Sebelum itu dia sudah mengalihkan mi goreng untuk dirinya dan adik-adik Firuz Eidil. Yelah, yang bersalah abangnya takkan nak buat aniaya kat adik-adik dia pula. Elfira menggaul rata mi untuk Firuz Eidil.

Sekarang giliran kau pula kopi o.

Elfira mengambil teko. Kemudian dia mengambil kicap, sos tiram, kopi dan gula. Dia memasukkan tiga sudu sos tiram, lima sudu kicap, dan tujuh sudu kopi dan lima sudu gula. Dia mengambil air panas lalu dituangnya ke dalam teko tersebut kemudian dikacau air tersebut. Confirm pekat, likat dan memikat. Elfira tersenyum puas.

Elfira menghidangkan sarapan pagi yang istimewa buat Firuz Eidil. Elfira mendapatkan mi yang telah diasingkan tadi, tanpa menunggu kehadiran Firuz Eidil, dia menyuapkan mi tersebut ke mulutnya. Manakala untuk Ain Nadia dan Dira Nadia telah disimpankannya di dapur.

“Awak makan tak tunggu saya ke?” tanya Firuz Eidil.

“Saya hanya pekerja jadi saya tak layak nak makan dengan bosnya.”

“Menjawab aje kerjanya. Sedap ke mi awak ni?”

“Rasa dulu barulah tahu sedap ke tak. Encik Firuz nikmatilah sarapan itu. Saya dah kenyang dan saya nak cuci pinggan mangkuk yang dah berlambak kat sinki itu.”

Elfira tersenyum penuh makna.

Firuz Eidil mengukir senyum. Dia teruja melihat Elfira makan dengan begitu berselera. Firuz Eidil akui dia tertarik dengan aroma mi goreng itu. Dia menyudukan suapan pertama ke mulutnya.

“Uweeekkk...”

Firuz Eidil mengeluarkan kembali mi dari mulutnya.

“Masinnya! Garam tumpah ke apa?”

Firuz Eidil segera mengambil air kopi o lalu dia minum dengan gelojohnya. Kemudian dia menyemburkan air kopi o tersebut.

“ELLFIIRAAAA!!!” Firuz Eidil menjerit kuat memanggil nama Elfira.

Sementara itu di dapur Elfira sudah ketawa terbahak-bahak. Siap mengalirkan air mata lagi. Mukanya sudah memerah menahan tawa. Dia berdehem perlahan. Dengan berwajah selamba dia menuju semula ke ruang makan. Hatinya masih menggeletek geli hati.

“Ya Encik Firuz ada apa yang boleh saya bantu?” soalnya dengan sisa tawa.

Muka Firuz Eidil merah menahan marah.

“L, apa awak buat ni?” soalnya dengan suara yang agak tinggi.

“Saya buat apa yang Encik Firuz suruh buatlah.”

“Saya suruh buat mi goreng dan air kopi o. Bukan buat mi masin dan kopi yang tak serupa kopi. Awak nak bunuh saya ke?”

“Aik, tak tahu pulak saya kalau makan mi goreng boleh mati.”

“Dah buat salah pun masih boleh bergurau lagi?”

Elfira sekadar tersengih.

“Berapa banyak garam yang awal letak dalam mi tu?”

“Mula-mula tadi setengah sudu lepas itu saya rasa masih tak sedap jadi saya tambah tujuh sudu garam. Baru mantap.”

“Awak gila ke? Air tu pula air apa?”

“Oh yang tu, saya campurkan kopi dengan sos tiram, kicap dan gula.”

“Ha?” Firuz Eidil ternganga besar. Dia tidak menyangka Elfira akan membulinya dengan teruk.

“Eee, geramnya saya! Awak ni tahu buat kopi tak?” suara Firuz Eidil sudah meninggi. Tangannya menggenggam penumbuk dan menggeletar kerana menahan marah.

“Tahu! Encik Firuz untuk pengetahuan Encik Firuz saya mana pernah masuk dapur. Semuanya mama saya yang buatkan untuk saya. Saya cuma tahu makan dan minum. Kalau dekat rumah pula, Fea yang akan masak untuk saya atau kami beli aje di kedai.”

“Patutlah pun. Malang sungguh siapa yang dapat awak jadi isteri tahu tak!” bentak Firuz Eidil.

“Malang lagi siapa yang jadi isteri Encik Firuz.”

“Sudahlah! Malas saya nak bergaduh dengan awak. Hilang selera nak makan. Kita pergi pejabat sajalah.”

“Baik bos!” Elfira memberi tabik hormat kepada Firuz Eidil.

“Esok Encik Firuz nak sarapan apa pula?” Elfira sengaja mengusik Firuz Eidil. Muka Firuz Eidil jelas tampak bengang. Soalan Elfira dibiarkan tanpa jawapan. Elfira tersengih.

“Amboi marah nampak? Tak baik marah-marah pagi-pagi begini Encik Firuz, nanti rezeki lari. Susah nak kejar rezeki tu nanti. Lagipun kalau Encik Firuz marah muka Encik Firuz macam...” sengaja Elfira memberhentikan bicaranya. Sekadar memancing reaksi Firuz Eidil.

“Macam apa?”

“Macam singa kelaparan.” Elfira siap buat gaya singa kelaparan.

Hati Firuz Eidil tertawa melihat gelagat Elfira. Namun wajahnya tetap diseriuskan. Dia sedar dalam keegoan Elfira ada nakal dan lucunya. Nak marah pun dah tak sampai hati.

Kau memang pandai memujuk. Kenapa hati ini begitu sukar untuk memarahimu sepenuh hati. Mengapa mesti ada rasa belas yang tidak bertepi. Elfira, apa yang ada pada dirimu sehingga aku begitu lemah berhadapan denganmu.

Alahai kasihanlah pulak. Jangan kempunan sudah. Ala, bukannya dia tak boleh nak makan kat kedai. Tapi seronok juga sekali-sekala dapat buli orang, getus hati Elfira sendiri.

“ Along,” panggil Dira Nadia.

“Along dah nak pergi kerja, kau orang baru bangun.”

“Kami dah lama bangun along,” beritahu Ain Nadia.

“Macam mana tak terbangun, kita orang dengar singa mengaum pagi-pagi hari,” usik Dira Nadia. Ain Nadia dan Dira Nadia mengenyitkan mata nakal ke arah Firuz Eidil.

Firuz Eidil diam membisu. Dia tidak tahu untuk membidas kata-kata adik-adiknya itu.

Malunya aku.

“Kak L, Ain dan Dira punya mi goreng special juga ke?” tanya Ain Nadia sambil ketawa kecil.

“Ain dengan Dira punya mi lagi marvellous daripada along.”

Elfira menghadiahkan kenyitan nakal kepada Ain Nadia dan Dira Nadia. Kalau dah namanya kembar asyik berkepit aje.

“Air kopi pulak?” soal Dira Nadia.

“Kak L dah sediakan susu kotak dalam peti ais. Ambil dan tuang sendiri okey.”

“Okey,” jawab Ain Nadia dan Dira Nadia serentak.

“Along nak pergi pejabat. Duduk rumah jangan asyik nak merayap aje,” pesan Firuz Eidil.

“Okey,” jawab Ain Nadia lalu mencium tangan Firuz Eidil. Diikuti oleh Dira Nadia. Kemudian mereka bersalaman dengan Elfira.

“Kak L, jaga-jaga singa masih lapar tu,” bisik Dira Nadia perlahan.

“Tak apa, singa tu waktu kenyang pun tetap macam singa lapar,” jawab Elfira.

“Apa lagi yang dibisikkan tu?” jerkah Firuz Eidil.

“Tak ada apa,” jawab Elfira dan Dira Nadia serentak.

***

Firuz Eidil dan Elfira diam membisu sepanjang perjalanan ke Firuz Land. Baik Firuz Eidil mahu pun Elfira mereka lebih senang untuk melayani perasaan sendiri. Sesekali pandangan mereka bertembung di cermin pandang belakang. Elfira memberhentikan kereta di hadapan bangunan Firuz Land.

“Selepas ini awak kemaskan rumah saya. Ini kunci pendua untuk awak. Lepas ni tak perlulah saya nak buka pintu untuk awak lagi dan tak perlulah awak tekan loceng rumah saya bertalu-talu.”

Firuz Eidil menghulurkan kunci rumahnya kepada Elfira. Gadis itu menyambutnya. Setelah Elfira membukakan pintu kereta untuk Firuz Eidil, dia segera berlalu meninggalkan perkarangan Firuz Land.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.